Emas Putih
Soalan: Adakah emas putih itu diwajibkan zakat? Berapakah nishâb dan kadarnya dan apakah hukum lelaki memakai emas putih?
Jawapan: Ta‘rif Emas Putih
Emas putih terhasil setelah emas tulen dicampur dengan logam lain seperti nikel, zink, tembaga dan sebagainya. Setiap benda yang mengandungi campuran emas tulen akan mempunyai simbol ‘karat’. Simbol ‘karat’ inilah yang menjadi petanda bahawa sesuatu benda itu ada mengandungi emas tulen. Selalunya 18k emas putih mempunyai 75% emas tulen dan 14k emas putih mempunyai 58.3% emas tulen. Emas putih yang terhasil daripada logam yang telah dialoi (gabungan dua logam) ini akan mempunyai sedikit warna kekuning-kuningan. Maka untuk menjadikannya putih, semua emas putih akan dilapisi (plated) dengan rhodium, sejenis elemen perak yang berkilat dan bersifat keras daripada kumpulan logam platinum. (Collins concise Dictionary).
Jika emas putih ini selalu dipakai, maka salutan rhodium akan menjadi nipis dan menghilang, menampakkan warna logam yang sebenar. Untuk memastikan emas putih itu kembali berwarna putih, hendaklah dilapisi semula dengan rhodium.
Maka dapatlah difahami bahawa setiap emas putih itu mengandungi campuran emas tulen bersama logam lain. Setelah digabungkan dua logam itu pula, terhasillah emas putih yang kemudiannya dilapisi dengan rhodium untuk memastikan warnanya sentiasa putih dan berkilat. (Blue Nile Gold Education).
Adakah Emas Putih Diwajibkan Zakat?
Seperti yang dijelaskan, emas putih ialah hasil campuran emas tulen bersama logam lain.
Menurut asy-Syeikh Muhammad asy-Syarbini al-Khathib:
Ertinya: Dan tidak (wajib zakat) bagi sesuatu benda yang bercampur sehinggalah sampai nishâb emas atau perak apabila diasingkan (dipisahkan) daripada campuran logam yang lain. (Mughni al-Muhtâj: 1/576)
Maka dapatlah difahami bahawa emas putih tidak wajib dikeluarkan zakat kerana emas tulen yang ada di dalam emas putih itu bercampur dengan logam yang lain dan tidak terasing atau terpisah daripada campuran tersebut.
Memandangkan emas putih tidak wajib untuk dikeluarkan zakat, maka nishâb dan kadar bagi zakat emas putih tidak wujud.
Apakah Hukum Lelaki Memakai Emas Putih?
Lelaki adalah diharamkan memakai perhiasan yang menyerupai perempuan seperti rantai, gelang tangan, anting-anting dan sebagainya kecuali cincin yang diperbuat daripada perak. Bahkan disunatkan memakai cincin kerana Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam ada memakai cincin yang diperbuat daripada perak sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Cincin Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam adalah daripada perak semuanya, batu matanya daripada perak. (Hadits riwayat Abu Daud)
Berbalik kepada pengertian emas putih, ianya mesti dilapisi dengan sejenis logam yang bernama rhodium. Kerana jika tidak dilapisi, warna emas putih akan masih berwarna kekuningan dan bukannya putih. Ia juga hendaklah dilapisi dengan rhodium dalam jumlah yang banyak supaya boleh menutupi warna kekuningan itu secara menyeluruh dan menjadikannya warna putih yang berkilat.
Menurut asy-Syeikh Muhammad asy-Syarbini al-Khathib di dalam kitabnya Mughni al- Muhtâj, benda atau bejana yang diperbuat daripada emas atau perak jika dilapis (plated) dengan tembaga atau logam lain, maka tidak haram menggunakannya dengan syarat dapat dihasilkan daripada lapisan itu sesuatu yang berharga apabila diletak di atas api (dilebur). Kerana jika disadur barang yang diperbuat daripada emas atau perak itu dengan saduran yang banyak, maka sifat bermegah dengan emas atau perak itu tidak akan wujud.
Tetapi jika saduran tersebut hanya sedikit sahaja sekira-kira tidak terhasil daripada saduran itu sesuatu yang berharga apabila dilebur, maka haram menggunakannya kerana saduran itu tidak mampu melapisi benda tersebut dan tidak boleh menghilangkan sifat bermegah dan ianya boleh menyinggung hati orang-orang miskin. (Kitab Mughni al-Muhtâj 1/61).
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitab az-Zawâjir, ‘illah (sebab) pada pengharaman bejana ialah ‘ain (zat emas atau perak itu sendiri) dan bermegah.
Sehubungan itu, jika dilapisi bejana emas atau perak dengan tembaga atau logam lain sehingga meliputi keseluruhan (zahir dan batin) bejana itu, harus menggunakannya dan sekalipun tidak dapat dihasilkan daripada salutan tadi sesuatu yang berharga apabila dilebur di atas api sebagaimana juga seperti bejana emas yang berkarat dan meliputi karatnya itu keseluruhan bejana, maka semua itu sesungguhnya halal penggunaannya kerana telah luput salah satu sebab daripada dua bahagian ‘illah iaitu bermegah. Dengan sebab itu juga harus menggunakan bejana-bejana yang berharga lagi mahal seperti permata dan mutiara kerana ketiadaan (‘illah) ‘ain dan tidak menjadi pemerhatian kerana adanya (‘illah) bermegah, kerana ‘illah bermegah satu-satunya sahaja tidak mencukupi bagi menghukumkan haram menggunakan bejana yang seumpama itu. (Kitab az-Zawâjir: 1/198)
Maka di sini dapat difahami bahawa tidak haram lelaki memakai cincin daripada emas putih (campuran emas tulen bersama logam lain seperti nikel, zinc atau tembaga yang dilapisi dengan rhodium) kerana lapisan rhodium tersebut boleh menutup warna emas iaitu warna kuning dan dengan itu dapat melenyapkan salah satu ‘illah haramnya daripada memakai emas iaitu bermegah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10235
