Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hadits Dha‘îf Dan Maudhû‘ Mengenai Kelebihan Bulan Rejab

Soalan: Dipohonkan pandangan dan penjelasan Pehin Mufti mengenai artikel sebuah akhbar luar negeri seperti berikut:

BERDOSA IKUT HADITS PALSU BULAN REJAB.

Umat Islam kini berada dalam Rejab iaitu bulan yang ketujuh dalam kalendar Islam. Bagi sesetengah masyarakat Islam, mereka menganggap Rejab adalah bulan teristimewa kerana menyangka mempunyai banyak kelebihan.

Sebenarnya tidak tsabit dalam hadits shahîh yang menyatakan kelebihan Rejab. Cuma bulan ini termasuk dalam salah satu daripada empat bulan yang dilarang berperang padanya selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Tidak dinafikan ada beberapa hadits yang sering kita dengar dalam ceramah dan penulisan mengenai kelebihan bulan ini. Malangnya, kebanyakan hadits itu berkisar sekitar dha‘îf, palsu atau tiada sandaran.

Antara hadits yang sering digunakan untuk menyatakan kelebihan bulan ini ialah: “Dalam syurga ada sebuah sungai yang bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya akan diberi minum air sungai itu.” - Hadits ini sebenarnya bertaraf dha‘îf.

Selain itu, hadits berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan, sesiapa berpuasa tujuh hari nescaya ditutup daripadanya tujuh pintu Neraka Jahanam. Sesiapa berpuasa lapan hari, nescaya dibuka baginya lapan pintu syurga.” Taraf hadits ini juga dha‘îf.

Dalam pada itu ada hadits lagi yang berbunyi: “Rejab bulan Allah, Sya‘ban bulanku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam), Ramadhan bulan umatku.” Hadits ini munkar, malah ada sesetengah ulama mengatakan ia hadits palsu, tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan.

Ibnu Hajar al-Asqalani telah berusaha mengumpul mengenai kelebihan Rejab dalam kitabnya, Tabyîn al-‘Ajâ’ib bima warada fî fadhl Rajab. Namun menurut beliau, tiada satu pun hadits shahîh yang menyatakan mengenai kelebihan dan fadhilat puasa pada Rejab.

Tanda dha‘îf atau palsu dalam hadits kelebihan Rejab ketara sekali, terutama apabila menjanjikan pahala yang terlalu besar bagi mereka yang berpuasa atau beribadat padanya. Ulama menyatakan, janji yang terlalu besar tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan. Hal ini menunjukkan kemungkinan hadits itu dusta atau palsu.

Bagaimanapun, tiada hadits yang melarang umat Islam berpuasa pada Rejab. Oleh Itu, hukum berpuasa sunat dalam bulan ini sama saja dengan berpuasa pada bulan lain, seperti puasa pada Isnin dan Khamis atau tiga hari dalam sebulan.

Namun begitu, soal ketsabitan atau ketulenan sesebuah hadits perlu diambil kira. Adalah tidak wajar apa saja yang dikatakan hadits terus disebarkan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrîj dan tahqîq (keputusan) ulama hadits terhadap kedudukannya.

Sebenarnya dengan penyebaran hadits palsu seumpama, akan mancemarkan kesucian hadits Rasulullah yang dipelihara dengan begitu baik oleh ulama Islam terdahulu.

Rasulullah memberikan amaran terhadap orang yang berdusta atas namanya dengan ancaman yang berat. Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” - (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadits mutawâtir.

Dalam riwayat lain, Nabi menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” -(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ancaman dalam hadits ini merangkumi segala jenis pendustaan dan pembohongan ke atas Nabi, sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat atau ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhîb dan tarhîb).

Dalam manghuraikan maksud hadits ini, Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi dan semua jenis pendustaan ke atas Baginda.”

Dalam Islam, pendustaan atas nama Nabi adalah jenayah amat berat. Dimaksudkan pendustaan atas Nabi adalah menyandar sesuatu perkataan, pengakuan atau perbuatan kepada Rasulullah secara dusta. Nabi langsung tidak ada kaitan dengan perkataan, pengakuan dan perbuatan yang disandarkan kepadanya.

Misalnya, menyatakan bahawa Rasulullah bersabda sesuatu yang Baginda tidak pernah bersabda, berbuat atau mengaku sesuatu yang Baginda tidak pernah melakukannya.

Sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai hadits atau sunnah. Adapun menyandar sesuatu kepada Nabi secara dusta, bukanlah dikategorikan sebagai hadits pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadits berdasarkan apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-maudhû‘ (palsu) atau al-mukhtalaq (rekaan).

Bukan saja membuat hadits palsu itu hukumnya haram, bahkan meriwayatkannya tanpa menjelaskan kepada pendengar bahawa ia adalah hadits palsu juga adalah haram dan berdosa.

Oleh itu, semua umat Islam wajib memandang berat perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadits Rasulullah yang menjadi sumber kedua perundangan Islam selepas al- Qur’an,

Umat Islam jangan mudah tertipu dengan dakwaan palsu yang disandarkan kepada Rasulullah, sedangkan ia tidak ada hubungan langsung dengan Baginda.

Sehubungan itu, penyebaran hadits dha‘îf dan palsu mengenai kelebihan Rejab ini hendaklah dihentikan agar jangan sampai masyarakat melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala, sedangkan dosa besar pula yang diperoleh akibat menyebar dan beramal dengan hadits palsu seperti ini.

Jawapan: Beramal Dengan Hadits Dha‘îf

Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan, para ulama dari kalangan ahli hadits, fuqahâ’ (ahli fiqh) dan selain mereka mengatakan: “Harus dan sunat beramal dengan hadits dha‘îf yang menerangkan kelebihan-kelebihan sesuatu amalan (fadhâ’il al-a‘mâl), hadits yang menggalakkan beramal (at-targhîb) dan hadits yang memberi peringatan (at-tarhîb) selama mana hadits tersebut tidak sampai kepada peringkat maudhû‘ (palsu).”

Akan tetapi dalam perkara hukum seperti perkara halal, haram, jual beli, nikah, thalaq dan sebagainya tidak boleh beramal melainkan ianya berdasarkan kepada hadits shahîh atau hadits hasan. Kecuali dalam isu-isu untuk mengambil jalan berhati-hati, umpamanya apabila terdapat hadits dha‘îf yang menerangkan hukum makruh tentang setengah kegiatan jual beli atau pernikahan, maka sunat menghindari perkara tersebut akan tetapi tidak wajib menghindarinya. (Al-Adzkâr li an-Nawawi: 38)

Selain hadits maudhû‘, termasuk juga hadits yang tidak boleh dijadikan sebagai sandaran itu ialah hadits yang terlalu dha‘îf (sangat lemah). Oleh itu, untuk beramal dengan hadits dha‘îf hendaklah memenuhi dua syarat:

1. Terdapat prinsip syara‘ yang menyokong hadits tersebut, umpamanya hadits tersebut termasuk di dalam kaedah umum syara‘ (qâ‘idah kulliyah).

2. Ketika beramal dengan hadits tersebut jangan beri‘tiqâd ianya adalah tsabit, tetapi beramal setakat sebagai mengambil jalan berhati-hati. (Al-Futûhât ar-Rabbaniyyah ‘ala al-Adzkâr an-Nawawiyyah li Ibn ‘Alan: 1/83)

Kemuliaan Bulan Rejab

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (Ketetapan) yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya). (Surah at-Taubah: 36)

Menurut ulama tafsir bahawa empat bulan yang dihormati yang disebutkan oleh ayat di atas ialah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.

Menurut mereka lagi, maksud ‘حرم’ (yang dihormati) itu ialah maksiat yang dilakukan di dalamnya mendatangkan dosa yang lebih besar, sementara ketaatan atau kebaikan yang dilakukan di dalamnya pula memperolehi ganjaran pahala yang lebih besar.

Orang-orang Arab amat menghormati dan mengagungkan bulan-bulan tersebut serta mengharamkan di dalamnya melakukan pembunuhan sehinggakan jika salah seorang daripada mereka bertemu orang yang telah membunuh bapanya, anaknya atau saudaranya di bulan-bulan ini, orang yang membunuh itu tidak akan diganggu. (Tafsîr al-Fakhr ar-Razi li ar-Razi: 16/53)

Beberapa Hadits Mengenai Kemuliaan Bulan Rejab

Terdapat beberapa hadits yang menyatakan mengenai kemuliaan bulan Rejab, di mana sebahagiannya dihukumkan sebagai dha‘îf, sebahagiannya lagi dihukumkan munkar dan ada juga yang dihukumkan sebagai maudhû‘. Antara hadits tersebut ialah:

Maksudnya: Rejab bulan Allah, Sya‘ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku. (Hadits riwayat as-Suyuthi)

Maksud ‘Rejab bulan Allah’ ialah Allah mengharamkan melakukan pembunuhan di dalamnya.

Maksud ‘Sya‘ban bulanku’ ialah kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak melakukan ibadat puasa di dalamnya.

Sementara maksud ‘Ramadhan bulan umatku’ pula ialah kerana banyaknya kebajikan-kebajikan yang boleh diraih oleh mereka pada bulan tersebut. ( Hâsyiyah Syaikh al-Islam Muhammad bin Salim al-Hifni: 2/311)

Hadits ini dikeluarkan oleh ad-Dailami daripada Anas dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhû‘ât daripada hadits Abu Sa‘id al-Khudri.

Ianya juga dikeluarkan oleh Abu al-Fath bin Abu al-Fawaris dalam al-Amâli daripada al- Hasan al-Bashri secara mursal sebagaimana yang disebutkan oleh as-Suyuthi dalam al- Jâmi‘ ash-Shaghîr.

Asy-Syeikh Ali bin Ahmad bin Muhammad al-‘Azizi asy-Syafi‘e dalam as-Sirâj al-Munîr Syarh al-Jâmi‘ ash-Shaghîr menjelaskan bahawa hadits tersebut adalah hadits dha‘îf. Demikian juga di dalam kitab al-Jâmi‘ ash-Shaghîr hadits tersebut diberi tanda dengan (ض) yang bermaksud hadits dha‘îf. (As-Sirâj al-Munîr Syarh al-Jâmi‘ ash-Shaghîr: 2/311 dan al- Jâmi‘ ash-Shaghîr li as-Suyuthi: 2/915)

Selain itu, di dalam riwayat yang lain, hadits: ر ُهللا، ُ...حرَجَب ُشَه (Rejab adalah bulan Allah) tidak diriwayatkan setakat itu sahaja, bahkan terdapat juga beberapa riwayat yang merangkaikannya dengan kelebihan-kelebihan amalan tertentu. Antara riwayat tersebut:

Maksudnya: Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Sesiapa berpuasa bulan Rejab dengan iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dia berhak mendapat keredhaan Allah yang Maha Agung dan Dia menempatkannya di dalam syurga al-Firdaus yang tertinggi….

Maksudnya: Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Sesiapa yang berpuasa dua hari daripada bulan Rejab, maka baginya pahala dua kali ganda dan timbangan tiap-tiap pahala itu seperti bukit-bukit dunia….

Maksudnya: Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Lalu Rasulullah ditanya: “Wahai Rasulullah! Apa maknanya kata-kata Tuan ‘Rejab adalah bulan Allah’?” Baginda menjawab: “Kerana ia dikhususkan dengan keampunan Allah….” Kemudian Baginda bersabda: “Janganlah kamu melupakan malam pertama bulan Rejab, kerana ianya dinamakan oleh para malaikat sebagai ar-raghâ’ib….” Kemudian Baginda bersabda: “Tidak ada seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis iaitu Khamis yang pertama pada bulan Rejab, kemudian dia mendirikan sembahyang di antara waktu ‘Isya’ dengan waktu sepertiga awal malam - yakni pada malam Jumaat - sebanyak dua belas rakaat, pada tiap-tiap rakaat dia membaca surah al-Fâtihah sekali dan surah al-Qadr tiga kali dan surah al-Ikhlâsh dua belas kali, dia pisahkan tiap-tiap dua rakaat dengan satu salam,…. Kemudian dia meminta kepada Allah akan hajatnya, maka Allah akan memperkenankan hajatnya itu….”

Ketiga-tiga hadits di atas (bilangan 1, 2 dan 3) dihukumkan oleh para ulama sebagai hadits maudhû‘ (palsu). (Al-La’âli’ al-Mashnû‘ah fi al-Ahâdîts al-Maudhû‘ah li as-Suyuthi: 2/55, al-Fawâ’id al-Majmû‘ah fi al-Ahâdîts al-Maudhû‘ah li asy-Syaukani: 47,48 dan 100, al-Asrâr al-Marfû‘ah fi al-Akhbâr al-Maudhû‘ah li al-Mala ‘ala al-Qâri: 438 dan Mausû‘ah al-Ahâdîts wa al-Âtsâr adh-Dha‘îfah wa al- Maudhû‘ah: 5/64-66)

Puasa Di bulan Rejab

Di antara bulan yang disunatkan berpuasa ialah bulan-bulan haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Oleh itu, Rejab termasuk di antara bulan yang disunatkan berpuasa di dalamnya.

Dalil yang menunjukkan sunat berpuasa pada bulan Rejab itu, diriwayatkan daripada Mujibah al-Bahiliyyah daripada ayahnya atau bapa saudaranya berkata:

Maksudnya: “Sesungguhnya dia pernah mengadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian setelah dia pergi selepas setahun, dia mengadap pula Baginda, sedang perihal dan bentuk (badannya) sudah berubah. Lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah! Tidakkah Tuan mengenaliku?” Baginda bersabda: “Siapa awak?” Dia berkata: “Saya adalah al-Bahili yang datang mengadap Tuan pada tahun lalu”. Baginda bersabda: “Apa yang telah membuatmu berubah, padahal engkau dahulu mempunyai bentuk (badan) yang bagus?” Dia berkata: “Saya tidak makan makanan kecuali di malam hari sejak berpisah dengan Tuan”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kenapa engkau menyeksa dirimu?” Selanjutnya Baginda bersabda: “Berpuasalah pada bulan Sabar (Ramadhan) dan sehari setiap bulan”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku, sesungguhnya saya masih kuat”. Baginda bersabda: “Berpuasalah dua hari (setiap bulan)”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku”. Baginda bersabda: “Berpuasalah tiga hari (setiap bulan)”. Dia berkata: “Tambahkan lagi untukku”. Baginda bersabda: “Berpuasalah pada bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah!” Sambil Baginda bersabda itu Baginda memberi isyarat dengan tiga jari, digenggamnya keras kemudian dilepaskannya. (Hadits riwayat Abu Daud)

Imam an-Nawawi berkata: “Sesungguhnya Rasulullah memerintahkan meninggalkan (setelah tiga hari) kerana menjadi kesusahan ke atasnya memperbanyakkan puasa sebagaimana tersebut di awal hadits. Adapun bagi sesiapa yang tidak menjadi kesusahan ke atasnya, maka berpuasa seluruhnya (di bulan-bulan haram) adalah satu fadhilat.” (Al-Majmû‘: 6/438 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/307)

Hadits Kelebihan Berpuasa Di Bulan Rejab

Dalam memperkatakan kelebihan berpuasa di bulan Rejab, Imam Ibnu Hajr al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala, salah seorang ulama besar dalam mazhab Syafi‘e, menjelaskan bahawa memang banyak hadits-hadits maudhû‘ (palsu) yang diriwayatkan bagi menerangkan kelebihan berpuasa di bulan Rejab. Para ulama di kalangan kita dan selain mereka tidak meletakkan sandaran kepada hadits-hadits tersebut dalam berhujah untuk menyatakan sunat berpuasa dalam bulan Rejab, mereka menjauhkan diri daripada berdalil dengan hadits-hadits tersebut. Bahkan mereka hanya meletakkan sandaran kepada hadits yang diriwayatkan daripada Mujibah al-Bahiliyyah yang disebutkan terdahulu dan hadits-hadits lainnya, seperti hadits:

1. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah sungai yang dipanggil Rejab, (airnya) lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa sehari pada bulan Rejab nescaya Allah akan memberi minum air sungai itu. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

2. Dalam riwayat yang lain, daripada Abdullah bin Sa‘id daripada bapanya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa berpuasa sehari daripada bulan Rejab, ia umpama berpuasa setahun. Barang siapa berpuasa tujuh hari (daripada bulan Rejab), maka ditutup baginya pintu-pintu neraka Jahannam. Barang siapa berpuasa lapan hari (daripada bulan Rejab), maka dibukakan baginya lapan pintu syurga. Barang siapa berpuasa sepuluh hari (daripada bulan Rejab), maka dia tidak meminta sesuatu kepada Allah melainkan Allah memberinya. Barang siapa berpuasa lima belas hari (daripada bulan Rejab), maka penyeru dari langit akan berseru: “Sesungguhnya telah diampunkan bagimu apa yang telah lalu, maka mulakanlah amalanmu, kejahatan-kejahatanmu telah digantikan dengan kebajikan-kebajikan”. Dan barang siapa yang (berpuasa) lebih nescaya Allah akan melebihkan (pahalanya). (Hadits riwayat al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu‘ab)ُُُ

Imam Ibnu Hajar al-Haitami pernah ditanya mengenai status kedua-dua hadits di atas adakah ianya dikategorikan dalam hadits maudhû‘ (palsu) ataupun tidak?

Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua hadits tersebut tidak dikategorikan dalam hadits maudhû‘ (palsu), bahkan ianya hanya dihukumkan sebagai hadits dha‘îf. Oleh itu harus meriwayatkannya dan beramal dengannya dalam perkara menerangkan kelebihan-kelebihan sesuatu amalan (fadhâ’il al-a‘mâl). (Al-Fatâwâ al-Fiqhiyyah al-Kubrâ: 2/86).

Perkara yang sama juga pernah ditanya kepada Imam as-Suyuthi Rahimahullahu Ta‘ala, dan beliau memberi jawapan yang serupa. (Al-Hâwî li al-Fatâwâ: 1/419-420).

Imam Ibnu Hajar al-Haitami juga menjelaskan, telah menjadi ketetapan secara ijmâ‘ bahawa hadits dha‘îf, mursal, munqathi‘, mu‘dhal, mauqûf boleh beramal dengannya dalam perkara fadhâ’il al-a‘mâl. Tidak diragukan lagi bahawa puasa di bulan Rejab itu merupakan daripada perkara fadhâ’il al-a‘mâl. Maka dalam hal ini adalah memadai bersandar kepada hadits-hadits dha‘îf atau seumpamanya. Yang demikian itu tidak diingkari melainkan orang yang jahil yang tidak berpengetahuan. (Al-Fatâwâ al-Fiqhiyyah al-Kubrâ: 2/54-55)

Kesimpulan Sebagai kesimpulan, memang terdapat banyak riwayat hadits yang memperkatakan kemuliaan bulan Rejab serta kelebihan beramal di dalam bulan tersebut, di mana sebahagiannya dikategorikan sebagai dha‘îf dan sebahagiannya lagi dikategorikan sebagai maudhû‘ dan sebagainya. Hadits-hadits dha‘îf masih boleh diamalkan kecuali yang maudhû‘ (palsu) dan yang terlalu dha‘îf (terlalu lemah) sebagaimana menurut pandangan ulama yang telah disebutkan terdahulu.

Hadits-hadits yang dikategorikan sebagai hadits maudhû‘ (palsu) itu ialah antaranya:

1. Hadits: Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Barang siapa berpuasa bulan Rejab dengan iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dia berhak mendapat keredhaan Allah yang Maha Agung dan Dia menempatkannya di dalam syurga al-Firdaus yang tertinggi….

2. Hadits: Rejab adalah bulan Allah, Sya‘ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Barang siapa yang berpuasa dua hari daripada bulan Rejab, maka baginya pahala dua kali ganda dan timbangan tiap-tiap pahala itu seperti bukit-bukit dunia….

3. Hadits: Tidak ada seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis iaitu Khamis yang pertama pada bulan Rejab, kemudian dia mendirikan sembahyang di antara waktu ‘Isya’ dengan waktu sepertiga awal malam - yakni pada malam Jumaat - sebanyak dua belas rakaat, pada tiap-tiap rakaat dia membaca surah al-Fâtihah sekali dan surah al- Qadr tiga kali dan surah al-Ikhlâsh dua belas kali, dia pisahkan tiap-tiap dua rakaat dengan satu salam,…. Kemudian dia meminta kepada Allah akan hajatnya, maka Allah akan memperkenankan hajatnya itu….

Oleh itu, dalam hal ini adalah elok mengambil sikap berhati-hati dalam memilih dan beramal dengan hadits-hadits yang diriwayatkan supaya tidak terjebak kepada hadits-hadits yang dikatakan maudhû‘ (palsu) itu, di samping jangan ikut sedap menolak mentah, apatah lagi sampai mencerca hadits-hadits dha‘îf.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10246