Hukum Berkaitan Dengan Masjid
Soalan: Jawatankuasa Takmir sebuah masjid hendak mengadakan Peraduan Nasyid Bahagian Perempuan (yang berumur antara 12-25 tahun) dan Peraduan Hadrah di dalam masjid.
1. Apakah hukum perempuan yang menjadi penyanyi solo bagi salah satu kumpulan nasyid menyertai peraduan tersebut dalam keadaan haidh?
2. Apakah hukum memainkan alat bunyi-bunyian seperti kompang, rebana dan sebagainya di dalam masjid?
3. Bolehkah mengadakan peraduan hadrah dengan membawakan lagu-lagu dewan hadrah di dalam masjid?
Jawapan: Masjid adalah rumah Allah yang menjadi tempat beribadat orang-orang Islam terutama untuk menunaikan sembahyang berjemaah dan melakukan perkara-perkara yang berkebajikan.
Masjid mempunyai kehormatannya dan hukum-hukumnya yang tersendiri sesuai dengan sifatnya sebagai tempat yang terbaik di muka bumi.
Hukum Perempuan Haidh Masuk Masjid
Di antara hukum-hukum berkaitan dengan masjid itu ialah diharamkan bagi orang yang berhadas besar sama ada lelaki atau perempuan termasuk perempuan haidh masuk berhenti di dalam masjid. Tetapi adalah diharuskan bagi mereka masuk ke masjid untuk melintas dari satu pintu ke satu pintu yang lain, kerana ianya tidak dikatakan berhenti di dalam masjid. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) kecuali kamu hendak melintas sahaja, hingga kamu mandi bersuci. (Surah an-Nisâ’: 43)
‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pula meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid bagi perempuan yang haidh mahupun orang yang berjunub. (Hadits riwayat Abu Daud)
Daripada dua dalil di atas jelas menunjukkan bahawa orang yang berhadas besar adalah diharamkan berhenti di dalam masjid kecuali ada keuzuran yang mendesak seperti seorang yang bermimpi (keluar mani) di dalam masjid dan dia tidak dapat keluar dari masjid kerana dia terkunci di dalamnya atau seorang yang berlindung di dalam masjid daripada mara bahaya yang boleh memudharatkan diri, tubuh badan dan hartanya jika dia keluar dari masjid. Maka dalam hal sedemikian, tidak diharamkan baginya untuk berhenti di dalam masjid disebabkan oleh keuzuran yang mendesak itu. (Mughni al-Muhtâj: 1/71)
Adapun berhenti di dalam masjid dalam keadaan berhaidh kerana dia penyanyi solo kumpulan nasyid yang diadakan di dalam masjid, bukanlah suatu bentuk keuzuran yang mendesak sehingga membolehkannya berhenti di dalam masjid untuk bernasyid.
Menyaringkan Suara Di Dalam Masjid
Masjid juga adalah tempat beribadat yang mesti dipelihara ketenangannya, daripada apa jua bentuk gangguan, sama ada ia boleh mengganggu orang yang berada di dalamnya mahupun demi menjaga kehormatan masjid itu sendiri. Oleh itu, sehingga setakat bersuara kerana mencari benda hilang atau berjual beli pun lagi dilarang, apatah lagi dengan melaung-laung kerana bernasyid dan memukul-mukul gendang, sudah tentu perbuatan seumpama ini dianggap melampau dan menyimpang. Oleh itu, mestilah ia dijauhi dan jangan dijadikan rancangan kerana tidak sesuai dan tidak layak bagi masjid, Rumah Allah ini.
Sayugia dihayati dan diperhatikan baik-baik firman Allah dan beberapa riwayat seperti di bawah ini:
Tafsirnya: (Nûr hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingati nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Surah an-Nûr: 36)
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di dalam masjid, maka kamu katakanlah: “Semoga Allah tidak memberi keuntungan kepada perniagaanmu”, dan jika kamu melihat seseorang mencari (dengan bersuara nyaring) di dalam masjid sesuatu yang hilang, maka kamu katakanlah: “Semoga Allah tidak mengembalikan (barangan itu) kepadamu.”ُ (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Manakala as-Sa’ib bin Yazid Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan dengan berkata:
Maksudnya: Aku pernah berdiri di dalam masjid, kemudian seorang lelaki melemparkan (batu kecil) kepadaku. Lalu aku menoleh (dan mendapati yang melempar itu ialah) ‘Umar bin al-Khaththab seraya beliau berkata: “Engkau pergi dan bawakan kepadaku dua orang ini”. Lalu aku (pergi dan) membawa dua orang itu menemuinya. Beliau (‘Umar) berkata: “Siapakah kamu berdua atau dari mana kamu berdua datang?” Mereka berdua menjawab: “Daripada penduduk Tha’if”. Beliau berkata: “Kiranya kamu berdua ini dari penduduk negeri ini nescaya aku akan menyakiti kamu (menghukum sebat) disebabkan kamu berdua bersuara nyaring di dalam masjid Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Riwayat al-Bukhari)
Oleh yang demikian, apa jua bentuk suara yang nyaring di dalam masjid adalah ia dielakkan, terutama ketika para jemaah berada di dalam masjid melakukan berbagai ibadat. Ada yang berzikir, ada yang membaca al-Qur’an, ada yang sembahyang, menurut kesukaan dan kecenderungan masing-masing, di mana apa sahaja bentuk bunyian bising adalah mengganggu dan mengacau serta memalingkan konsentrasi mereka. Jika ini berlaku, ia boleh menjadi musibah kepada pembuat bising sendiri, iaitu berdosa kerana membuat bising itu dan kedua berdosa kepada orang-orang yang beribadat tadi kerana mengganggu dan menjejaskan kesempurnaan ibadat mereka.
Berzikir Atau Membaca Al-Qur’an Dengan Nyaring Di Dalam Masjid Adapun menyaringkan suara di dalam masjid kerana berzikir atau membaca al-Qur’an tidaklah ditegah, tetapi bagaimanapun masih dengan syarat ianya tidak menggangu orang lain yang berada di dalam masjid. Asy-Syeikh al-‘Allâmah al-Muhaqqiq Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani Rahimahullah berfatwa:
Ertinya: Tidak dihukumkan makruh menyaringkan suara di dalam masjid dengan zikir atau yang seumpamanya seperti membaca al-Qur’an melainkan jika (perbuatan itu) mengganggu orang yang sedang bersembahyang atau orang yang sedang tidur. Bahkan jika ianya terlalu mengganggu, maka hukumnya adalah haram, maka hendaklah ditegah daripada melakukannya ketika itu sebagaimana jikalau seseorang duduk selepas azan dengan berzikir kepada Allah Ta‘ala dan semua orang yang datang hendak menunaikan sembahyang pun ikut duduk bersama-samanya berzikir (sehingga perbuatan mereka itu) mengganggu orang-orang yang sedang bersembahyang. (Tetapi) jikalau ianya tidak mendatangkan apa-apa gangguan, maka ianya adalah diharuskan, bahkan disunatkan…. (Bughyah al-Mustarsyidîn: 66)
Dari itu, apa jua aktiviti yang diadakan di masjid, keharusannya tetap tertakluk kepada aktiviti tersebut adalah ibadat dan tidak pula mendatangkan gangguan kepada orang yang bersembahyang dan beribadat di dalamnya serta tidak menjejaskan kehormatan masjid itu.
Orang-orang Islam dituntut supaya mengerti dan memahami etika duduk di masjid, terutamanya ketika bersama-sama dengan para jemaah yang lain. Masih didapati ada orang yang membaca al-Qur’an atau berzikir dengan suara yang nyaring atau agak nyaring, sedang duduk di sebelahnya (di kanan atau di kirinya) ada pula orang lain yang juga sedang membuat kerja yang sama (membaca al-Qur’an atau berzikir) tetapi tidak mengangkat suaranya. Adapun orang kedua ini, tidak syak lagi, berada di kedudukannya yang betul, sementara orang pertama pula telah melakukan kesalahan yang boleh mendatangkan gangguan kepada orang yang kedua, dan malah lain-lain orang yang berada di hadapan atau di belakang. Kesalahan begini barangkali tidak ramai orang yang menyedarinya, kerana itu perlulah diberitahu melalui seperti khutbah, ceramah-ceramah atau kursus-kursus dan seumpamanya.
Bernasyid Dan Berhadrah Dalam Masjid
Adapun pertandingan nasyid dan hadrah di dalam masjid adalah lebih daripada mendatangkan gangguan, malah menjejaskan kehormatan masjid yang sepatutnya berkeadaan hening, bukannya hingar-bingar, dan tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara keduniaan serta perkara-perkara melekakan.
Jika bacaan zikir atau al-Qur’an selaku ibadat adakalanya dihukumkan makruh atau haram apabila ia boleh mengganggu orang lain yang sedang berada di dalam masjid, apatah lagi pertandingan nasyid dan hadrah yang jelas dilihat bukan sebagai ibadat itu. Rumah Allah adalah Rumah Allah, jangan kita samakan dengan lain-lain bangunan, dengan lain-lain dewan dan sebagainya. Statusnya tidak sama dengan lain-lain bangunan itu. Di sini, kita boleh beri‘tikâf dapat pahala. Memasang lampu di dalamnya dapat pahala. Membersih dan menyapunya dapat pahala. Berbanding yang lain-lain.
Oleh itu, tidaklah kena pertandingan nasyid dan hadrah di dalam masjid. Semua orang sudah tahu dan maklum, bahawa pertandingan nasyid itu tidak dapat lari daripada bentuk dan unsur hiburan, iaitu untuk bersedap-sedap dan berseronok-seronok. Sekarang, ia diiringi juga dengan alat-alat bunyian seperti rebana, kompang dan sebagainya. Sementara dari sudut penghakiman pula, suara-suara yang lemak merdu dan mempesonakan itu adalah satu keutamaan. Adakah semua ini layak di dalam masjid selain kebisingan bunyi yang dipersoalkan?
Pertandingan Hadrah Membawakan Lagu-Lagu Dewan Hadrah
Kaedah umum mengenai lirik lagu-lagu hadrah adalah harus, selama mana ianya tidak bertentangan dengan hukum syara‘, seperti kata-kata yang tidak sopan, berunsur asmara, perkara-perkara yang menyalahi aqidah dan seumpamanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10264
