Hukum Sembahyang Orang Yang Ada Bersamanya Beg Air Kencing
Soalan: Bagaimanakah kedudukan orang yang bersembahyang dengan berbaring di atas katil dalam keadaan hos dan beg air kencing bersambung dengannya semasa dirawat di rumah sakit?
Jawapan: Sebagaimana yang kita ketahui, bahawa sembahyang seseorang itu tidak sah jika dia tidak suci daripada hadas dan najis. Sesuatu yang keluar daripada dua jalan yang biasa iaitu qubul dan dubur, sama ada air kencing, tahi atau kentut adalah perkara-perkara yang membatalkan wudhu.
Adapun sesuatu yang keluar bukan daripada dua jalan biasa tadi, seperti yang keluar daripada lubang dari perut, menurut ulama mazhab Syafi‘e, jika sesuatu yang keluar daripada dua jalan biasa atau daripada salah satunya itu terhenti, atau tersumbat tempat keluar yang biasa itu oleh sesuatu halangan, maka apa yang keluar daripada lubang perut itu adalah juga membatalkan wudhu. (Al-Majmû‘: 2/10)
Merujuk kepada pertanyaan bagaimana kedudukan orang yang bersembahyang di katil dengan berbaring dengan menggunakan hos ketika kencing atau ada bersamanya beg air kencing sama ada hos tersebut disambung pada kemaluannya ataupun melalui lubang yang ditebuk di bahagian perutnya, maka sebelum dia melakukan sembahyangnya, hendaklah dia mengetahui terlebih dahulu bagaimana ia mengambil wudhu dan perkara yang berkaitan dengannya.
Menurut fatwa asy-Syeikh Jadul Haq ‘Ali Jadul Haq bahawa kedudukan sembahyang orang seperti ini sama dengan sembahyang orang yang menghadapi masalah air kencingnya sentiasa menitis keluar (ُسلسُالبول).
Orang yang menghadapi masalah seumpama ini, hendaklah berwudhu bagi setiap kali hendak menunaikan sembahyang fardhu dan hendaklah berwudhu itu sesudah masuk waktu sembahyang. Tidak sah wudhunya jika dia berwudhu kerana sembahyang fardhu sebelum masuk waktu sembahyang. Dalil yang dikemukakan bagi perkara ini bahawa wudhu orang yang menggunakan hos ketika kencing itu adalah thahârah (penyucian) ketika dharurat, jadi tidaklah harus baginya untuk melakukan sesuatu sebelum tiba waktunya disebabkan ketiadaan dharurat ketika itu. (Al-Majmû‘: 2/496)
Sebaik sahaja selesai berwudhu hendaklah disegerakan sembahyang fardhu selepas itu. Jika kerana keperluan yang berkaitan dengan sembahyang seperti menutup aurat, azan, iqâmah, berijtihâd di dalam menentukan qiblat, berusaha mencari pendinding tempat dia bersembahyang dan sebagainya, maka harus dia melewatkannya. Akan tetapi jika dia melewatkannya tanpa sesuatu keuzuran, maka batallah wudhunya, kerana dia telah melampaui batas yang telah ditentukan. (Al-Majmû‘: 2/496)
Ringkasnya orang yang menggunakan hos ketika kencing, jika dia hendak sembahyang fardhu hendaklah berwudhu setelah masuk waktu dan sembahyang tanpa berlengah-lengah selepas berwudhu itu. Oleh kerana dia seorang yang sakit maka bolehlah dia sembahyang dalam keadaan berbaring jika dia tidak boleh berdiri atau duduk.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10278
