Hukum Wang Jualan Anjing
Soalan: Salah satu unit di Kementerian Pertahanan memiliki beberapa ekor anjing terlatih yang sudah tua. Pihak kementerian berpendapat jika anjing-anjing itu dimusnahkan ia akan merugikan dan tidak berperi kemanusiaan. Oleh itu pihak kementerian bercadang untuk menjualnya kepada orang persendirian yang berminat untuk membelinya. Dipohonkan Fatwa Pehin Mufti mengenainya.
Jawapan: Di dalam mazhab Syafi‘e menyebutkan bahawa tidak harus menjual beli anjing sama ada anjing itu anjing terlatih atau lainnya dan sama ada ia anak anjing atau anjing dewasa. Begitu juga bagi orang yang membunuh anjing, tidak dikenakan bayaran ganti rugi nilai anjing yang dibunuhnya. Pendapat ini disepakati oleh kebanyakan ulama. Ini adalah bersandarkan kepada beberapa buah hadis shahîh, antaranya hadis riwayat Abu Mas‘ud al-Badri bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang dari menerima harga seekor anjing, mahar daripada seorang yang zalim dan memberi upah kepada kâhin (tukang tilik). (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada menerima harga seekor anjing dan Baginda bersabda: “Jika seseorang itu datang untuk meminta harga seekor anjing, maka penuhilah tangannya dengan tanah.” (Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahîh)
Daripada nash-nash yang disebutkan di atas, jelaslah bahawa di dalam mazhab Syafi‘e, wang jualan anjing itu haram diterima atau dituntut dan apabila harga jualannya sudah tidak boleh diterima, maka jual beli anjing itu ertinya ditegah.
Di dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj, Ibnu Hajar menyebutkan bahawa di antara syarat sah jual beli itu, hendaklah barang atau benda yang hendak dijual beli itu suci, maka tidak sah jual beli anjing walaupun ia anjing terlatih.
Al-Mawardi berkata di dalam kitabnya al-Hâwi al-Kabîr: “Jual beli anjing itu adalah bâthil (tidak sah), harganya haram dan tidak dikenakan bayaran ke atas orang yang membunuhnya sekalipun, sama ada anjing itu boleh dimanfaatkan atau tidak.”
Syeikh Sulaiman al-Bujairimi di dalam kitabnya Bujairimi ‘ala al-Khathîib menjelaskan bahawa tidak sah jual beli benda-benda najis seperti anjing walaupun ia anjing terlatih.
Walau bagaimanapun, sebagai irsyâd bukan fatwa bolehlah pihak kementerian bertaqlîd kepada mazhab Hanafi yang mengharuskan jual beli anjing yang bermanfaat dan wajib dibayar harganya ke atas orang yang memusnahkannya. (Al-Majmû‘: 9/272)
Sah hukumnya di sisi mazhab Hanafi jualan setiap binatang buas yang bertaring seperti anjing, harimau bintang, singa, harimau, serigala, kucing dan lain-lain. Semuanya dianggap harta berdasarkan faedah yang diperolehi daripadanya dari segi realiti dan harus mengambil faedah daripadanya dari segi syara‘, seperti kerja kawalan dan buruan. (Al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 4/446)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10282
