Memindah Zakat
Soalan: Dipohonkan fatwa Pehin Mufti berhubung dengan penggunaan wang zakat di negara ini untuk membantu orang-orang di luar negeri seperti mangsa-mangsa bencana Tsunami di Acheh, Indonesia.
Jawapan: Maksud Memindahkan
Pengertian pindah ialah bertukar. Memindah pula ialah mengalihkan sesuatu dari satu tempat ke tempat lain (Mu‘jam Lughât al-Fuqahâ’: 487). Jika pengertian ini dikaitkan dengan memindah zakat dalam istilah fuqahâ’, pengertiannya ialah seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Qalyubi Rahimahullah:
Ertinya: Memberikan zakat kepada orang yang tidak berada pada tempat zakat ketika wajib dikeluarkan, sama ada penerima dari kalangan orang tempat berkenaan atau orang luar, dan sama ada zakat itu dikeluarkan oleh pengeluarnya dari tempat itu atau sama ada penerima datang kepada tempat itu setelah masa wajib dikeluarkan. (Hâsyiyah Qalyubi: 3/202)
Berdasarkan pengertian al-Qalyubi itu, “memindahkan” yang kita maksudkan dan sebutkan dalam jawapan ini ialah memindahkan zakat dari tempat wajib zakat dikeluarkan ke tempat lain. Yang memindahkan itu sama ada pemerintah atau pengeluar zakat. Manakala perkataan “tempat” yang kita maksudkan ialah salah satu pengertian kepada “al-balad” sebagaimana yang dimaknakan al-Qalyubi sebagai tempat zakat wajib dikeluarkan. Mengikut al-Qalyubi lagi zakat yang dimaksudkan ialah zakat harta dan fitrah. (Hâsyiyah Qalyubi: 3/202)
Hukum Memindahkan
Hukum asal dan pendapat yang al-azhhar dalam mazhab Syafi‘e, zakat ditegah dipindahkan daripada tempat zakat wajib dikeluarkan ke tempat lain berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir, miskin, ‘âmil yang menguruskannya, mu’allaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba yang memerdekakan dirinya, yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan yang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang sedemikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah: 60) Dan hadits:
Maksudnya: (Zakat) diambil daripada orang kaya mereka dan diagihkan kepada fakir miskin mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ulama Syafi‘e berkata fakir miskin yang dimaksudkan ialah yang berada di tempat zakat dikeluarkan. Zakat itu pula menjadi harapan habuan mereka kerana ada hak mereka pada zakat itu, maka jika dipindahkan akan memutuskan harapan mereka.
Inilah sebabnya ada tegahan memindahkan zakat dalam mazhab Syafi‘e.
An-Nawawi berkata:
Ertinya: Dan yang al-Azhhar adalah ditegah memindah zakat. (Minhâj ath-Thâlibîn: 203)
Pendapat Imam an-Nawawi ini disebutkan dan disyarahkan dalam kitab-kitab seperti at- Tuhfah, Mughni al-Muhtâj, an-Nihâyah, Hawâsyi asy-Syarwani dan lain-lain.
Tegahan ini dimaknakan ulama mazhab sebagai haram, yakni haram memindahkan zakat. Syeikh al-Bajuri Rahimahullah berkata:
Ertinya: Haram ke atas orang yang mengeluarkan zakat memindahkan zakatnya dari tempat wajib zakatnya dikeluarkan bersama adanya di situ orang-orang yang berhak menerimanya…. (Hâsyiyah al-Bajuri: 1/293)
Syeikh al-Jardani Rahimahullah pula berkata:
Ertinya: Diharamkan kepada pemilik (pengeluar zakat), bukan kepada ketua negara, memindahkan zakat, sama ada zakat harta atau fitrah daripada tempat wajibnya ke tempat lain bersama adanya yang berhak di tempat itu. (Fath al-‘Allâm: 3/501)
Pengecualian
Difahamkan daripada teks-teks pendapat ulama yang mensyarahkan perkataan Imam an- Nawawi itu bahawa tegahan berlaku kerana ada ashnâf yang berhak di tempat wajib zakat dikeluarkan atau zakat tidak berbaki. Ini bermakna sekiranya ashnâf tidak ada di situ atau zakat masih berbaki, maka hukum tegahan boleh berubah.
Sebagaimana keadaan hukum-hukum lain yang terdedah kepada beberapa perubahan berdasarkan analisis ahlinya, maka hukum tegahan memindah zakat ini dalam keadaan tertentu boleh berubah daripada tegahan (haram) kepada suruhan (wajib). Perubahan berlaku seperti ketika tidak ada semua ashnâf penerima, atau dilakukan oleh ketua negara atau masih ada baki setelah diagih-agihkan, atau dibenarkan hakim atau ketua negara, atau mengamalkan pendapat “muqâbil al-azhhar”, dan lain-lain.
An-Nawawi Rahimahullah berkata:
Ertinya: Dan sekiranya ashnâf tidak ada dalam negeri itu, zakat wajib dipindah, atau sebahagian ashnâf tidak ada, kita membolehkan memindah secara wajib, dan jika tidak kita bolehkan, diagihkan kepada ashnâf yang ada. Ada yang berkata dipindahkan... (Minhâj at- Thâlibîn: 203)
Perubahan ini selari dengan kesepakatan ulama mazhab-mazhab fiqh Islam boleh memindahkan zakat dari tempat wajib dikeluarkan dalam keadaan tertentu tidak ditegah, seperti apabila orang yang berhak di tempat itu tidak memerlukannya, sama ada sebahagian atau kesemua zakat. (al-Jashshash, Ahkâm al-Qur’an: 3/136, Ibn Qudamah, al-Mughni: 2/673, Kasysyâf al-Qannâ‘: 2/264, asy-Syarbini, Mugni al-Muhtâj: 3/118, dan Abhâts Fiqhiyyah fi Qadhâyâ az-Zakâh al-Mu‘âshirah: 1/455)
Persoalan memindah zakat sudah jelas ditegah kecuali dalam keadaan tertentu. Perkara yang akan kita sebutkan seterusnya ialah dalam keadaan tertentu itu, iaitu ketika tidak ada semua ashnâf penerima, atau masih ada baki setelah diagih-agihkan, atau dilakukan oleh pemerintah, atau dibenarkan hakim atau ketua negara, atau mengamalkan pendapat “muqâbil al-azhhar”, dan lain-lain.
a. Ketiadaan yang berhak atau masih berbaki
Jika kesemua ashnâf tidak ada di negeri tempat wajib zakat dikeluarkan, atau zakat masih berbaki setelah ashnâf yang ada menerima bahagian masing-masing secukupnya, zakat itu wajib dipindahkan ke tempat yang lebih hampir.
Ibnu Hajar berkata:
Ertinya: Jikalau ashnâf tidak ada dalam negeri, yakni ditempat wajib zakat dikeluarkan, atau zakat masih berbaki daripada mereka, maka wajib memindahkannya atau baki itu kepada ashnâf yang seperti mereka di tempat yang lebih hampir dari tempat zakat wajib dikeluarkan. (Hawâsyi asy-Syarwani wa al-‘Abbadi: 7/174)
Syeikh asy-Syarbini Rahimahullah berkata:
Ertinya: Jika masih ada baki lagi daripada mereka -ُُ yakni daripada penduduk tempat wajib zakat dikeluarkanُُ - maka wajib memindahkannya ke tempat yang lebih hampir ke tempat wajib zakat dikeluarkan. Jika dipindah ke tempat yang lebih jauh, maka perbuatan itu menyalahi pendapat yang terdahulu.
Syeikh al-Bajuri Rahimahullah berkata:
Ertinya:... Sekiranya semua orang yang berhak tidak ada, atau harta zakatnya masih berlebihan setelah diberikan kepada masing-masing yang berhak, maka wajib memindahkannya pada yang pertama (jika semua yang berhak tidak ada), dan lebihan zakat itu pada yang kedua (jika zakat masih berbaki) diberikan kepada orang-orang yang berhak seperti mereka di negeri yang paling hampir... (Hâsyiyah al-Bajuri: 1/293)
Teks-teks di atas membawa pengertian bahawa dalam keadaan-keadaan tersebut zakat wajib dipindahkan ke tempat yang lebih hampir dengan tempat zakat wajib dikeluarkan yang mempunyai ashnâf yang berhak, dan jika tidak ada, dipindahkan lagi ke tempat yang hampir juga yang ada ashnâf yang berhak menerimanya. Sekiranya dipindahkan ke tempat yang jauh, sedangkan di tempat yang lebih hampir masih ada ashnâf yang berhak, adalah haram dan tidak memadai zakat. (Sabîl al-Muhtadîn: 2/123)
b. Dilakukan oleh ketua negara
Dalam Musnad asy-Syafi‘e disebutkan:
Ertinya: Bahawa zakat tidak dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain melainkan apabila ada baki daripada keperluan fakir di tempat itu, akan tetapi ketua negara boleh memindahkannya ke mana yang dikehendakinya. Inilah pendapat mazhab Syafi‘e.
Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:
Ertinya: Yang ashah berdasarkan kehendak hadits-hadits, ketua negara dan ‘âmil boleh memindahkannya. (Mughnî al-Muhtâj: 3/118) Imam al-Awza‘i Rahimahullah menyokong pendapat ini dengan berkata:
Ertinya: Sesungguhnya itulah (ketua negara dan ‘âmil boleh memindahkan zakat) yang benar berdasarkan petunjuk hadits dan amali Khulafâ’ ar-Râsyidîn Radhiallahu ‘anhum. (Mughnî al-Muhtâj: 3/118)
Syeikh al-Bajuri Rahimahullah berkata:
Ertinya: Adapun ketua negara tidak haram memindahkan zakat walaupun ada orang yang berhak di tempat wajibnya zakat itu dikeluarkan…. (al-Bajuri: 1/293)
Pengarang kitab Mathla‘ al-Badrain berkata:
Tetapi tidak haram atas imam (ketua negara) memindahkan zakat dan jika ada yang mustahiqq (orang yang berhak menerimanya) pada tempat wajib zakatnya sekalipun. (h.60)
c. Dibenarkan hakim atau ketua negara, atau mengamalkan pendapat “muqâbil al-azhhar”
Jika pengeluar sendiri yang akan memindahkan zakatnya adalah lebih elok meminta kebenaran pihak berkuasa dengan mengambil kira pendapat muqâbil al-azhhar.
Mengenai “mengamalkan muqâbil al-azhhar” Syeikh Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Asyn Rahimahullah berkata:
Ertinya: Maka yang paling baik hendaklah pemilik meminta kebenaran hakim atau ketua negara untuk memindahkannya, atau hendaklah pemilik mengamalkan pendapat “muqâbil al-azhhar”, iaitu pendapat harus memindahkan zakat secara muthlak sebagaimana pendapat mazhab kebanyakan ulama. (Busyrâ al-Karîm: 2/62)
Selanjutnya beliau menerangkan bahawa hadits yang dijadikan alasan tidak boleh memindahkan zakat hanya kerana perkataan “mereka yang fakir” dikaitkan dengan negeri mereka (pengeluar zakat). Sekiranya tidak dikaitkan begitu, hadits itu adalah dalil harus memindahkan zakat kerana yang zahir, perkataan “mereka yang fakir” itu merangkumi “fakir” yang terdapat di tempat pengeluar zakat dan di tempat-tempat lain. Walaupun begitu tidak memindahkan zakat adalah lebih baik. Yang jelas ditegah ialah memindahkan dam haji berdasarkan adanya nash yang sharîh. Berbeza dengan pemindahan zakat yang tidak jelas nash yang menegahnya.
Katanya lagi:
Ertinya: Berbeza pemindahan zakat, tidak ada nash yang sharîh melarangnya.... (Busyrâ al-Karîm: 2/62)
Sekiranya pemilik dibenarkan oleh ketua negara, hakim atau ‘âmil memindahkan zakatnya, maka jangkauan pemindahan hanya setakat dalam wilayah atau kawasan yang tertakluk di bawah kuasa masing-masing pemberi kebenaran. (Sabîl al-Muhtadîn: 2/123)
Kemudian pendapat yang hampir seiring dengan pendapat di atas disebutkan dalam beberapa kitab mazhab Syafi‘e.
Dalam kitab an-Nihâyah berbunyi:
Ertinya: Akan tetapi yang al-awjah, penanggung hutang boleh mengagihkan zakat (hutangnya) di mana-mana tempat yang dikendakinya. (ar-Ramli, Nihâyah al-Muhtâj: 6/167)
Dalam kitab Busyrâ al-Karîm berbunyi:
Ertinya:... Akan tetapi sesetengah ulama berpendapat (orang berhutang) boleh membahagikan zakatnya di mana-mana tempat yang dia suka kerana apa-apa yang berada dalam tanggungan tidak mempunyai tempat khusus, dan inilah yang mu‘tamad. (As-Sayid al-Bakri, I‘anâh ath-Thâlibîn: 2/198, Ba ‘Asyn, Busyrâ al-Karîm: 2/62)
Pandangan Mazhab Hanafi
Khusus mengenai pandangan mazhab Hanafi, sekiranya zakat di tempat wajib dikeluarkan tidak diperlukan oleh ashnâf, sama ada mereka tidak ada atau ashnâf yang ada telah menerima bahagian masing-masing dengan secukupnya, mengikut mazhab ini zakat itu boleh dipindahkan kepada keluarga terdekat yang memerlukan, kepada ashnâf yang paling baik dan wara‘, kepada yang lebih bermanfaat kepada umat Islam, kepada penuntut ilmu atau kepada orang-orang zâhid. Mazhab ini juga membolehkan zakat dipindah daripada negeri perang ke negeri Islam.
Dalam kitab ad-Durr al-Mukhtâr disebutkan:
Ertinya: Makruh memindahkan zakat, melainkan kepada kerabat, orang yang paling memerlukan, yang paling baik, yang paling wara‘,yang paling bermanfaat kepada umat Islam, dari negeri perang ke negeri Islam, kepada penuntut ilmu atau kepada orang-orang zâhid. (ad-Durr al-Mukhtâr Syarh Tanwîr al-Abshâr fî Fiqh Mazhab al-Imam Abi Hanifah: 2/353-354)
Kajian Mutakhir
Dalam kitab Abhâts fî Qadhâyâ az-Zakâh al-Mu‘âshirah disebutkan pendapat jumhûr ulama daripada kalangan mazhab Hanafi dan Maliki, bahawa harus memindahkan zakat kepada sesiapa yang paling memerlukan, seperti orang-orang yang ditimpa kesusahan disebabkan malapetaka, bencana banjir, kemarau dan sebagainya. (1/470)
Dalam kitab yang sama disebutkan lagi bahawa pendapat yang paling râjih tentang memindahkan zakat ialah pendapat jumhûr bahawa unsur “sangat memerlukan” dianggap sebab utama boleh memindahkan zakat berdasarkan hadits. Selain itu disebabkan kawasan negeri-negeri Islam adalah diikat oleh ukhuwwah Islâmiyyah yang memerlukan saling tolong-menolong antara satu dengan yang lain. Sekiranya pada satu-satu kawasan negeri-negeri Islam ditimpa sesuatu bencana, maka penduduknya dianggap lebih memerlukan bantuan dan pertolongan. Untuk memenuhi keperluan mereka tentulah diharapkan bantuan daripada negeri-negeri yang menyimpan baki zakat. (1/472)
Persoalan Fatwa Mazhab Syafi‘e Tentang Zakat
Dalam kitab Bughyah ath-Thullâb karangan Syeikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathani dinukilkan bahawa Ibnu ‘Ajil Rahimahullah berkata ada tiga masalah harus difatwakan dengan bersalahan bagi mazhab Imam Syafi‘e:
Pertama: Memindahkan zakat. Kedua: Diberikan zakat bahagian yang satu daripada bahagi yang dua lapan. Ketiga: Diberikan zakat kepada orang seorang. (Dawud bin Abdullah al-Fatani, Bughyah ath-Thullâb: 2/84)
Juga dalam kitab ini disebutkan bahawa tersebut dalam Fatâwâ al-Kabîr susunan Ibnu Hajar Rahimahullah:
Ertinya: Ditanya tentang apa yang dihikayatkan daripada Faqîh Ahmad bin Musa bin ‘Ajil yang berkata: “Tiga persoalan tidak difatwakan dengannya dalam mazhab Imam Syafi‘e, tetapi difatwakan berdasarkan mazhab Abu Hanifah,” iaitu memindah zakat, mengagihkan zakat seseorang kepada satu ashnâf, dan kepada seorang saja. Al-Ashbahi berkata dalam fatwanya sebagai jawapannya: “Ketahuilah bahawa apa yang dihikayatkan daripada Faqîh Ahmad bin Musa bin ‘Ajil itu telah dihikayatkan juga daripada ulama-ulama lain daripada kalangan ulama-ulama besar seperti Syeikh Abu Ishaq, Syeikh Yahya bin Abul Khair, Faqîh al-Ahnaf dan lain-lain. Pendapat ini diikuti oleh kebanyakan ulama muta’akhkhirîn. Yang mendorong mereka kepada yang demikian adalah kerana kesukaran. Allah Ta‘ala berfirman (tafsirnya): “Dan tidak dijadikan ke atas mereka pada agama daripada kepayahan.” (Selesai). Maka adakah harus kita bertaqlîd akan mereka pada yang demikian atau tidak? Ibnu Hajar menjawab: “Bahawa yang dinukilkan ulama-ulama besar itu tidak mengapa bertaqlîd padanya.” (1/85)
Kedudukan Zakat Yang Dikelola MUI Sekiranya zakat yang diamanahkan untuk diagihkan oleh Majlis Ugama Islam masih berbaki, maka kedudukannya dari sudut; sama ada kerana tidak ada ashnâf yang berhak menerimanya di negara ini lagi, atau sama ada kerana sebagai baki kepada agihan bahagian daripada kumpulan zakat yang ada adalah tertakluk kepada penilaian MUI juga.
Sekiranya penilaian mengikut MUI baki zakat itu kerana tidak ada ashnâf yang berhak menerimanya di negara ini lagi, atau sama ada kerana sebagai baki kepada agihan bahagian daripada kumpulan zakat yang ada, maka hukum kedudukan zakat berkenaan samalah dengan hukum yang disebutkan oleh ulama-ulama mazhab Syafi‘e yang saya sebutkan di atas, iaitu wajib dipindahkan.
Rumusan
Hukum asal pengagihan zakat hendaklah dilakukan pada tempat zakat itu wajib dikeluarkan. Ia tidak boleh dipindahkan dari tempat itu sekiranya di tempat zakat wajib dikeluarkan masih ada ashnâf yang berhak di situ. Hukum asal ini berubah kepada boleh dipindahkan sekiranya tidak ada ashnâf yang berhak, atau zakat masih berbaki setelah diagih-agihkan kepada yang berhak, atau pengagihan dilakukan oleh ketua negara, atau mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
Pemindahan hanya boleh dibuat ke tempat yang lebih hampir berdasarkan kedudukan adanya ashnâf yang berada di bawah takluk kuasa pemberi kebenaran atau kuasa ketua negara.
Dalam pada itu berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Syeikh Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Asyin Rahimahullah tentang “mengamalkan muqâbil al-azhhar” bersama huraian beliau mengenainya, begitu juga pendapat yang dinukilkan Syeikh Daud al-Fathani daripada kitab Fatâwâ al-Kabîr susunan Ibnu Hajar Rahimahullah yang membolehkan bertaqlîd fatwa zakat kepada Mazhab Abu Hanifah kerana mengikut Ibnu ‘Ajil ada tiga perkara zakat yang boleh berfatwa dengan mazhab Abu Hanifah, termasuk soal memindahkan zakat, serta kajian mutakhir yang disebutkan tentang pendapat jumhûr ulama, maka saya berpendapat dengan bertaqlîd kepada pendapat ini, sekiranya ada orang-orang Islam di tempat lain daripada kalangan ashnâf zakat yang sangat memerlukan baki zakat mengikut keadaan tertentu itu, boleh dipindahkan kepada mereka, sama ada kerana mereka ditimpa bencana tsunami, gempa bumi, banjir, kemarau dan lain-lain bencana alam yang memerlukan huluran bantuan. Pemindahan ini pula ditangani oleh ketua negara berdasarkan kuasa mutlaknya dalam pengagihan zakat.
Adapun penilaian tentang kedudukan jauh dekat tempat ashnâf itu dan setakat mana keperluan mereka tertakluk kepada hasil kajian. Kajian perlu mengambil kira tempat yang dimaksudkan hendaklah didahulukan yang paling hampir dengan tempat zakat wajib dikeluarkan, begitu juga tentang ashnâf yang paling memerlukan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10331
