Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Memijak Al-Qur’an Untuk Menolak Tuduhan Mencuri

Soalan: Apakah hukum seorang pelajar yang sanggup memijak al-Qur’an bagi membenarkan atau mempertahankan dirinya daripada tuduhan mencuri?

Jawapan: Perkara tuduhan mencuri atau lain-lain tuduhan, adalah suatu perkara yang perlu kepada pembuktian. Perkara ini boleh diselesaikan melalui pengadilan mahkamah ataupun meminta orang tengah yang adil dan arif untuk membantu menyelesaikannya dengan cara yang baik. Adalah menjadi tanggungjawab orang yang mendakwa untuk mendatangkan bukti, kerana hanya dengan adanya bukti barulah akan jelas kebenaran. Tanpa bukti, segala tuduhan itu tidak boleh dipakai, sebagaimana disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Seandainya diberikan manusia menurut tuntutan mereka, tentu manusia akan banyak menuntut darah dan harta orang-orang lain (kerana itu orang yang menuntut itu harus mendatangkan saksi atau bukti). Akan tetapi sumpah diwajibkan ke atas orang yang terdakwa. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain:

Maksudnya: Akan tetapi (mendatangkan) bukti diwajibkan ke atas orang yang mendakwa, dan sumpah pula diwajibkan ke atas orang yang terdakwa. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Sama juga bagi yang tertuduh. Adalah menjadi hak dan kewajipannya membela dirinya daripada tuduhan itu dengan cara menyatakan yamîn (sumpah), tetapi dengan cara yang tidak melanggar atau bertentangan dengan syara‘.

Memijak al-Qur’an kerana membela atau melepaskan diri daripada tuduhan mencuri atau lain-lain tuduhan, bukanlah cara yang betul tetapi salah dan bertentangan dengan syara‘.

Perbuatan memijak itu sendiri satu penghinaan terhadap al-Qur’an, apatah lagi jika ia dilakukan dalam keadaan sedar dan sengaja, sekalipun pada anggapannya ini untuk menegakkan kebenaran, tetapi ini bukanlah caranya, malah haram dan bahkan ditakuti membawa murtad.

Mushhaf yang tertulis di dalamnya Kalâmullâh yang berada di tangan kaum Muslimin wajib dihormati dan dimuliakan bersesuaian dengan kesucian dan keagungannya. Menurut ijmâ‘ umat Islam, adalah menjadi kewajipan kita menghormati dan menjaga al-Qur’an itu daripada pencemaran dan penghinaan dalam bentuk apa juapun.

Antara adab menghormati al-Qur’an, kita dikehendaki menyentuhnya dengan berwudhu. Tanpa berwudhu hukumnya haram, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah al-Wâqi‘ah:

Tafsirnya: Tidak boleh menyentuhnya (al-Qur’an itu) kecuali orang-orang yang suci. (Surah al-Wâqi‘ah: 79)

Antara lain cara memelihara dan menghormati al-Qur’an ialah tidak boleh mencampak atau meletakkannya di atas benda-benda yang kotor atau yang terdedah kepada pencemaran dan najis. Dalam hal ini Imam an-Nawawi telah menjelaskanُُ dalam kitabnya, at-Tibyân fî Âdâb Hamlah al-Qur‘ân:

Ertinya: Telah ijmâ‘ orang-orang Islam atas wajibnya menjaga Mushhaf dan menghormatinya. Telah berkata ashhâb kami dan lain-lainnya: “Dan jika mencampakkannya oleh seorang Muslim - َلَُ nescaya jadilah dia kafir”. Dan berkata mereka lagi: “Dan haram menjadikannya bantal sandar (demikian juga bantal tidur), bahkan haram juga bersandar atau menjadikannya bantal bagi satu-satu kitab ilmu.” (At-Tibyân fî Âdâb Hamlah al-Qur’ân: 150)

Memijak Mushhaf dengan sengaja adalah jelas satu penghinaan terhadap al-Qur’an. Bahkan setakat menghalakan kaki ke arah al-Qur’an pun sudah dihukumkan haram.

Menurut hukum syara‘, seorang Islam yang sengaja mempersenda atau menghina, seperti al- Qur’an atau sesuatu yang dipandang mulia dalam Islam, sama ada ia dengan perkataan atau perbuatan, boleh menjadikan orang tersebut murtad.

Imam ar-Ramli Rahimahullah berkata:

Ertinya: Perbuatan yang boleh membawa kepada kufur termasuklah sengaja mempermainkan (meremehkan) agama dengan terang-terangan, menentang atau mengingkarinya, seperti mencampakkan Mushhaf atau sesuatu yang ada padanya terdapat kandungan al-Qur’an, sekalipun ianya sekadar nama-nama mulia atau mana-mana hadits. (Nihâyah al-Muhtâj: 7/416)

Imam ar-Rauyani pula menyatakan bahawa seseorang itu boleh terkeluar dari agama Islam apabila benda-benda yang ditulis padanya ilmu-ilmu syari‘ah atau ilmu Islam diletakkan di tempat yang kotor dan jijik kerana perbuatan sedemikian dengan terang menghina dan merendah-rendahkan agama Islam. (Nihâyah al-Muhtâj: 7/416)

Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn pula berkata:

Ertinya: Dan perbuatan yang menjadikan kufur itu ialah perbuatan sengaja menghina dengan terang akan agama Islam atau ingkarkan agama Islam seperti mencampakkan Mushhaf ke tempat kotor dan dia sujud kepada patung atau matahari.

Kemudian al-Qalyubi menyatakan bahawa perbuatan yang boleh menjadikan seseorang itu kufur ialah seperti mencampak atau melontarkan al-Qur’an, sama ada perkara tersebut telah benar-benar dilakukannya ataupun dia baru berazam hendak melakukannya, merosakkan sebahagian daripadanya, meletakkan kaki di atasnya dan mengoyakkan isi kandungannya. (Bujairimi ‘ala al-Khathib, kitâb al-hudûd: 4/305)

Demikian juga Ibnu Taimiyyah turut menegaskan bahawa perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu kufur antaranya ialah menghina Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau mempersendakanNya atau mempersendakan ayat-ayatNya. Ini termasuklah orang yang menghina Mushhaf dan memijaknya dengan kaki atau melemparkannya kepada kotoran, mencaci atau melaknatnya. Semua ini dihukumkan kafir dan boleh dibunuh menurut ijmâ‘ ulama. (Manhaj Ibnu Taimiyyah fî Mas’alah at-Takfîr: 109)

Oleh itu sebagai umat Islam adalah menjadi kewajipan kita untuk memelihara dan memuliakan al-Qur’an dengan tidak membiarkannya tercemar atau terdedah kepada apa sahaja bentuk penghinaan, sama ada percakapan ataupun perbuatan.

Berdasarkan pendapat ulama-ulama di atas, maka perbuatan sengaja memijak al-Qur’an itu, walau apapun alasannya merupakan suatu penghinaan terhadap al-Qur’an yang boleh membawa kepada kufur.

Oleh itu, selaku seorang Islam, penuntut yang melakukan perbuatan tersebut hendaklah bertaubat dan menyesali perbuatannya itu, sekalipun tujuan asalnya bukan untuk menghina tetapi cuma untuk membela diri.

Bukan sahaja dalam perkara menghinakan al-Qur’an, bahkan apa jua bentuk kesalahan kita melangkahi ajaran Islam, kita adalah dituntut supaya segera bertaubat serta memohonkan ampun kepada Allah, kerana Allah itu amat mengasihi orang-orang yang bertaubat, firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri. (Surah al-Baqarah: 222)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10327