Mencari Arah Qiblat
Soalan: Saya telah mengunjungi dua buah masjid di Stockholm dan Sodermalan di Sweden iaitu:
1. Masjid di Stockholm berkapasiti kira-kira 100-150, dan memperlukan 20-25 minit jalan kaki. Arah qiblat menuju ke arah selatan.
2. Masjid Sodermalan berkapasiti 300-500 orang, jarak dari rumah 2-4 km dan arah qiblat menuju ke arah barat. Kedua-dua arah itu berdasarkan kompas yang saya bawa dari Indonesia. Waktu saya cuba menentukan arah qiblat di Indonesia, rata-rata arah menunjuk ke arah barat.
Ke manakah arah qiblat yang harus saya ikuti di antara dua masjid tersebut? Dipohonkan juga penjelasan tentang hadis atau dalil yang menguatkan dalam penetapan arah qiblat tersebut.
Jawapan: Perkara Menentukan Arah Qiblat
Syarat sah sembahyang ialah menghadap qiblat, iaitu Masjid al-Haram sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (tempat letaknya Ka‘bah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. (Surah al-Baqarah: 144)
Maka berdasarkan ayat di atas, arah qiblat yang dituju dalam menunaikan sembahyang ialah jihah (arah) Masjid al-Haram di manapun sembahyang itu ditunaikan. Menurut maklumat yang kita terima sukatan arah qiblat dari Stockholm ialah 148˚ 11’ (North).
Sekiranya arah qiblat tidak dapat diketahui dengan tepat, maka hendaklah seseorang itu berijtihâd menurut kuat sangkaannya (ghâlib azh-zhann) di mana arah qiblat (Masjid al- Haram) termasuklah dengan bertanya kepada orang yang tahu mengenainya atau menggunakan peralatan seperti kompas dan sebagainya.
Menyentuh tentang kompas ini perlulah dipastikan supaya kompas yang digunakan itu benar-benar berfungsi dengan baik dan tepat. Sebab ada juga sebahagiannya yang kurang berkesan dan mengelirukan, kerana jarum kompas itu mudah terkesan oleh keadaan persekitaran seperti metal atau besi di tempat di mana kompas itu diletakkan.
Maka setelah berusaha mencari arah qiblat hendaklah seseorang itu menunaikan sembahyang mengikut arah yang dicari atau arah yang kuat pada sangkaannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10340
