Menderma Darah
Soalan: Apakah hukum mendermakan darah kepada orang bukan Islam atas dasar tolong-menolong sesama manusia walaupun ramai lagi orang Islam yang memerlukannya? Bagaimanakah pula hukumnya menerima darah daripada orang bukan Islam?
Jawapan: Menderma darah atau tabarru‘ dengan darah adalah salah satu pekerjaan yang berkebajikan dan amalan tolong-menolong yang diberi ganjaran pahala, kerana amalan itu bertujuan membantu menyelamatkan nyawa manusia dengan syarat menderma darah itu tidak melemahkan atau memudharatkan kesihatan orang yang menderma dan orang yang menerima darah.
Adalah harus menderma darah atau memindahkan darah untuk tujuan menyelamatkan nyawa atau menjadikan ubat kepada orang yang benar-benar memerlukannya. Begitu juga menerima darah daripada orang lain kerana hajat untuk menyelamatkan nyawa atau menyembuhkan penyakit, sekalipun darah daripada orang bukan Islam yang mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan Islam seperti memakan benda-benda haram umpama minum arak atau makan khinzir dan sebagainya apabila tidak ada jalan lain untuk menyelamatkan nyawa kita sebagai ubat.
Sebahagian ulama menyandarkan keharusan menderma darah itu kepada umumnya ayat al- Qur’an yang berkaitan dengan keperluan (dharurat) seperti mana juga keharusan berubat dengan benda-benda yang haram.
Berkenaan berubat dengan benda-benda haram ini, mazhab-mazhab fiqh telah berselisih pendapat dalam mengharuskan berubat dengannya.
Sebahagian ulama Syafi‘iyyah mengharuskan berubat dengan benda haram dengan syarat tidak didapati ubat yang lain daripadanya dan tidak berlebihan dengannya daripada kadar dharurat. Inilah juga yang menjadi pendapat mazhab Imam Abu Hanifah.
Al-Imam Ibnu Hajar telah ditanya perkara berubat dengan kuku dan tulang bangkai, maka dia menjawab: “Harus berubat dengan kuku dan tulang bangkai dan lain-lain benda yang najis, sama ada benda itu semata-mata atau benda-benda najis itu bercampur dengan yang lain, melainkan arak. Maka tidaklah harus berubat dengan arak semata-mata arak, dan harus berubat dengan arak yang bercampur dengan yang lain.”
Antara ayat-ayat al-Qur’an yang menunjukkan keharusan berubat dengan benda-benda yang haram kerana dharurat itu ialah firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana dharurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: 173)
Firman Allah Ta‘ala setelah menyebut jenis-jenis benda yang diharamkan:
Tafsirnya: Padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya ke atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya. (Surah al-An‘âm: 119)ُ
Ayat-ayat al-Qur’an ini menerangkan mengenai dengan keringanan atau rukhshah menggunakan benda-benda yang haram dan tidak berdosa menggunakannya jika dalam keadaan dharurat seperti untuk menyelamatkan nyawa ataupun mengubati kesakitan seperti pemindahan darah daripada orang lain yang mana tidak ada ubat selainnya.
Daripada ayat-ayat seumpama inilah para ulama fiqh menetapkan kaedah fiqh yang menyebut:
Ertinya: Keadaan-keadaan dharurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.
Menurut Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq dalam kitab Buhûts wa Fatâwa Islâmiyyah fî Qadhâyâ Mu‘âsharah sesungguhnya hukum harus memindahkan darah daripada orang Islam kepada orang bukan Islam dan daripada orang bukan Islam kepada orang Islam mengikut keterangan doktor yang pakar serta mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara‘ adalah sama seperti hukum harus orang Islam mendermakan anggota daripada anggota badannya kepada orang bukan Islam. Ini kerana nash-nash sebahagian daripada ulama fiqh mengatakan sesungguhnya mayat bani Adam itu walaupun orang kafir ia adalah suci.
Manakala Doktor Ahmad Syarbashi dalam kitab Yas’alûnaka fi ad-Dîn wa al-Hayâh menerangkan bahawa ahli-ahli fatwa mengatakan sesungguhnya apabila penyembuhan penyakit dan keselamatan nyawa itu bergantung kepada pemindahan darah daripada orang lain yang mana tidak ada benda-benda mubâh lagi halal sebagai ganti untuk menyembuhkannya dan menyelamatkan nyawanya, maka haruslah memindahkan atau menerima darah tanpa syubhah walaupun daripada orang yang bukan beragama Islam, begitu juga jika ia bergantung untuk menyelamatkan anggota badan. Adapun jika tidak bergantung untuk menyembuhkan tetapi hanya untuk mempercepatkan penyembuhan maka ulama-ulama Syafi‘e juga mengharuskan dengan pemindahan darah itu.
Jadi jelas di sini bahawa menerima darah itu adalah harus walaupun daripada orang yang bukan beragama Islam kerana dharurat dan berhajat kepadanya. Apatah lagi darah manusia mempunyai berbagai-bagai jenis dan memerlukan kesesuaian pada tubuh badan kita supaya tidak mendatangkan mudharat kepada yang menerimanya.
Hajat menerima atau memindahkan darah sangat memberi manfaat sehingga ia dianggap suatu keperluan kepada kita sebagai ubat. Kaedah fiqh juga ada menyebutkan:
Ertinya: Sesuatu keperluan umum atau khusus itu boleh menduduki tempat dharurat (atau sama dengan dharurat).
Kesimpulannya, berdasarkan keterangan dan pendapat para ulama di atas, maka harus memindahkan darah atau menerima darah tanpa syubhah walaupun daripada orang yang bukan beragama Islam ketika dharurat dan berhajat kepadanya untuk menyembuhkan penyakit dan menyelamatkan nyawa dengan mengi‘tibârkannya sebagai ubat dan tidak ada ubat yang lain selainnya setelah mendapat pengesahan daripada doktor yang pakar dalam masalah ini.
Walau bagaimanapun mengenai dengan orang Islam yang menerima darah orang kafir, menurut Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz dalam fatwanya bilangan 20/92, beliau berkata:
“Tiada digalakkan menerima darah orang kafir oleh orang Islam dan sayugia orang Islam derma darah kepada orang Islam yang berhajat tambah darah.”
Manakala dalam siri fatwa bilangan 09/63 mengenai hukum berubat dengan najis seperti darah orang Inggeris yang dimasukkan ke dalam badan orang Islam kerana kekurangan darah, beliau memfatwakan:
“Harus bagi orang Islam menderma darahnya untuk orang Islam, dan yang bukan Islam yang tiada bermusuhan dengan orang-orang Islam, jika tidak membawa mudharat ke atas dirinya dan tidak ada lain ubat melainkan darah itu, dan tidak digemari orang Islam yang sakit diubati dengan darah orang yang bukan Islam menurut fatwa Al-‘Allâmah Dato Mufti Sayyid ‘Alawi al-Haddad dalam warta Jabatan Ugama Johor.”
Oleh yang demikian memandangkan keadaan masa kini di mana darah sangat diperlukan maka adalah wajar orang Islam menyahut seruan pihak Kementerian Kesihatan untuk menderma darah, agar darah orang Islam yang sentiasa diperlukan itu tidak terputus bekalan atau mudah diperolehi. Langkah sedemikian sangat bersesuaian dengan suruhan Allah Ta‘ala untuk berbuat kebajikan sesama Islam sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Seorang Muslim itu adalah saudara seorang Muslim yang lain. Dia tidak boleh berbuat aniaya dan menyakiti saudaranya tersebut. Barang siapa yang menanggung hajat saudaranya, maka Allah pun akan menanggung hajatnya. Barang siapa yang melepaskan salah satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahannya di antara kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Dan barang siapa yang menutupi (aib) seorang muslim, maka pada Hari Kiamat kelak Allah akan menutupi (aib)nya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10344
