Di Mana Silapnya Kursus ‘Keseronokan Bekerja’?
Soalan: Sukacita memohon pandangan dan fatwa Pehin mengenai kursus ‘Keseronokan Bekerja’ yang dianjurkan oleh sebuah institusi kerajaan. Difahamkan bahawa kursus tersebut diadakan di sebuah taman rekreasi dan berjalan selama beberapa hari. Para peserta dikehendaki bermalam di sana tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan, bujang, beristeri ataupun bersuami. Manakala aktiviti-aktiviti yang dijalankan pula (seperti yang telah dirakamkan melalui rakaman CD pada kursus yang lalu) adalah seperti berpegang tangan antara lelaki dan perempuan walaupun memakai sarung tangan, mencari sambil memegang badan seseorang secara bertutup mata dan aktiviti-aktiviti lain yang menampakkan pergaulan bebas walaupun sedikit terbatas.
Melalui pemerhatian yang dilakukan, terdapat peserta kursus terutamanya lelaki yang mengambil kesempatan ke atas peserta perempuan.
Persoalannya, apakah boleh suami, isteri atau ibu bapa peserta kursus berkenaan menghalang mereka daripada menyertai kursus tersebut sedangkan jika menolak menyertainya dikhuatiri akan menjejaskan perkhidmatan seseorang itu dari segi prestasi, kenaikan pangkat, pengurniaan pingat dan sebagainya?
Sekian disampaikan untuk pihak Pehin membuat penyelidikan mengenai kursus berkenaan.
Jawapan: Jabatan ini telah menerima soalan di atas tanpa dilengkapi dengan nama dan alamat penuh sebagaimana yang dikehendaki. Berkemungkinan penyoal ini tidak ingin diketahui identitinya kerana takut dikenakan tindakan “disiplin” ke atasnya atau sebab-sebab “keselamatan”.
Walau bagaimanapun, sebagai mengambil nilai terhadap soalan yang diajukan, Jabatan ini mengambil inisiatif untuk menjawab pertanyaan yang dikemukakan berdasarkan kepada maklumat yang diberikan dalam surat berkenaan. Maka ditekankan di sini bahawa jawapan ini adalah mengikut keterangan yang diberikan, jika maklumat yang diberikan itu tidak betul seperti yang didakwa, maka jawapan ini hanyalah sekadar untuk menjadi panduan dan peringatan kepada semua penganjur kursus atau yang seumpama dengannya, tidak semestinya kepada pihak institusi yang dimaksudkan sahaja. Jawapan ini adalah atas dasar nasihat dan untuk berkongsi pandangan demi kebaikan bersama.
Tujuan Kursus
Mengadakan kursus memang digalakkan kerana ia merupakan salah satu cara untuk meningkatkan lagi ilmu pengetahuan dan mengongsikan pengalaman bagaimana melaksanakan sesuatu pekerjaan. Sebahagian kursus adalah bertujuan untuk menjadikan seseorang pekerja itu lebih cekap dan profesional serta mempunyai kepakaran dalam bidang kerja yang diamanahkan. Pendedahan yang secukupnya melalui kursus boleh meningkatkan lagi kualiti dan kreativiti seseorang pekerja. Ia juga mendorong pekerja agar sentiasa bersemangat dalam menjalankan kerja sebagaimana kursus ‘Keseronokan Bekerja’ yang dianjurkan oleh institusi berkenaan seperti yang dijelaskan di atas.
Langkah institusi berkenaan mengadakan kursus ‘Keseronokan Bekerja’ adalah satu usaha ke arah pembangunan tenaga kerja yang mahir. Perkara yang perlu diambil kira dalam merancang dan mengendalikan kursus itu ialah pengisian dan pengendalian kursus (program) berkenaan. Program yang teratur lagi mantap akan memberi kesan positif yang berpanjangan kepada para peserta kursus. Metodologi atau cara pengendalian kursus secara langsung akan memberi kesan kepada para peserta, kerana cara itulah yang dianggap betul. Pengendalian itu termasuklah pemilihan tempat kursus dan cara aktiviti dilaksanakan.
Tentang bagaimana mengendalikan kursus ini, setentunya pihak institusi berkenaan lebih arif lagi. Tidaklah pihak Jabatan Mufti Kerajaan menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Namun apa salahnya kita sama-sama berkongsi pemikiran, sama-sama ingat-mengingati sesuai dengan firman Allah Subhânahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman. (Surah adz-Dzâriyât: 55)
Diterangkan juga dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Ruqayyah Tamim bin ‘Ausin ad-Dari Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Agama itu nasihat. Kami berkata: “Bagi siapa?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bagi Allah dan bagi KitabNya dan bagi RasulNya dan imam-imam kaum Muslimin dan bagi orang ramai mereka. (Hadits riwayat Muslim)
Daripada hadits di atas dapat difahami bahawa maksud nasihat bagi imam-imam kaum Muslimin iaitu pemimpin-pemimpin, ketua-ketua pemerintah dan sebagainya itu adalah berdasarkan kepada konsep tolong-menolong dan menyokong dalam perkara kebenaran dan keadilan, patuh kepada urusan kebaikan, tegur dengan cara yang sopan dan ingat-mengingati di waktu terlalai daripada berbuat kewajipan. Malah nasihat ini melarat hingga ke rakyat jelata.
Aktiviti Kursus ‘Keseronokan Bekerja’
Apa yang dapat difahami daripada keterangan penyoal ialah rasa kurang senang penyoal terhadap cara pengendalian kursus dan aktiviti yang dilakukan setelah beliau menonton rakaman CD mengenainya. Antara perkara yang dijelaskan adalah kursus ‘Keseronokan Bekerja’ ini diadakan di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas. Kursus ini berjalan selama empat hari tiga malam dan melibatkan warga institusi berkenaan dalam semua peringkat sama ada lelaki ataupun perempuan tidak kira bujang, beristeri ataupun bersuami. Manakala aktiviti-aktiviti yang dijalankan pula (seperti yang telah dirakamkan melalui rakaman CD pada kursus yang lepas) adalah seperti berpegang tangan antara lelaki dan perempuan walaupun memakai sarung tangan, mencari sambil memegang badan seseorang secara bertutup mata dan aktiviti-aktiviti lain yang menampakkan pergaulan bebas walaupun sedikit terbatas. Seperti yang difahamkan ada juga peserta kursus terutama lelaki yang mengambil kesempatan ke atas peserta kursus perempuan.
Daripada penilaian kita, jika inilah kandungan kursus yang dirancang dan dilakukan, ia menggambarkan bahawa tidak ada penelitian awal pihak penganjur untuk mengelakkan perkara yang boleh menyalahi hukum syara‘ seperti aktiviti permainan yang mencampurkan lelaki dan perempuan sehingga ada peserta mengambil kesempatan, yang dianggap pergaulan bebas sebagaimana yang didakwa oleh penyoal.
Perkara seumpama ini tidak wajar terjadi dalam kursus yang diadakan oleh institusi kerajaan. Lebih-lebih lagi, seperti yang diketahui, Negara Brunei Darussalam telah mengisytiharkan dan mencanang bahawa Melayu Islam Beraja (MIB) adalah dasar pentadbiran negara. Antara perkara yang turut ditekankan ialah menjaga tuntutan agama. Maka dalam merancang dan mengendalikan kursus juga sangat perlu mengambil kira aspek tersebut. Bahkan ia patut menunjuk ajar para peserta untuk menurut kehendak agama, negara dan adat yang murni sebagai pengetahuan yang betul.
Hukum Percampuran Antara Lelaki Dan Perempuan Yang Bukan Mahram
Percampuran di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dalam sesuatu permainan atau aktiviti adalah termasuk perkara yang dilarang. Hal keadaannya akan boleh menjadi mungkar dan maksiat, jika permainan atau aktiviti yang diadakan itu, benar-benar melampaui batas yang telah digariskan oleh syara‘.
Apabila sesuatu percampuran itu terjadi, boleh saja berlaku perlanggaran adab-adab percampuran yang dibataskan oleh syara‘. Percampuran itu juga boleh mengundang atau mendatangkan fitnah dengan adanya perkara-perkara yang jelas dilarang seperti berpegang-pegangan, bersentuhan dan sebagainya. Pada kebiasaannya, aktiviti sedemikian boleh dilakukan secara berasingan di antara peserta lelaki dan perempuan.
Mungkin sebahagian orang menganggap perkara lelaki memegang perempuan itu adalah perkara lumrah atau perkara biasa dilakukan. Namun dari aspek adat Melayu pun tidak sedemikian apatah lagi dari aspek agama pula, ia adalah perkara yang dibatasi hukum.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadits Baginda yang diriwayatkan daripada Ma‘qil bin Yasaar Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Seseorang yang dicucuk kepalanya dengan jarum besi lebih baik daripada dia menyentuh badan perempuan yang tidak halal baginya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Jangankan memegang, melihat saja pun (jika memang ia dilarang, boleh mendatangkan fitnah atau mendorong kepada maksiat) sudah dihukumkan zina sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Ditentukan atas anak Adam itu bahagiannya daripada zina. Mereka pasti akan mendapati hal tersebut dan pasti terjadi, maka bentuk zina bagi kedua-dua mata itu ialah memandang. (Hadits riwayat Muslim)
Maka untuk mengelakkan daripada berlakunya zina, kaum lelaki dan kaum perempuan hendaklah sentiasa menjaga adab-adab pergaulan termasuk penglihatan supaya tidak terjerumus kepada perkara maksiat. Dengan menjaga adab dan pandangan mata, ia boleh mengawal nafsu dan memelihara kehormatan diri daripada melakukan perbuatan zina.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. (Surah an-Nûr: 30)
Dalam ayat yang lain, firman Allah Subhânahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. (Surah an-Nûr: 31)
Kita cukup yakin bahawa kursus tersebut tidak ada cacatnya jika dikendalikan dengan cara yang teratur seperti pengasingan waktu atau tempat kursus antara lelaki dan perempuan. Adalah tidak wajar jika kursus ‘Keseronokan Bekerja’ yang sepatutnya memberi kemahiran kepada peserta menjadi tempat mendapatkan “keseronokan hati dan keseronokan nafsu” yang banyak dipengaruhi oleh pujukan syaitan. Dalam al-Qur’an, Allah Subhânahu wa Ta‘ala memperingatkan bagaimana syaitan menghias perkara-perkara mungkar dan maksiat itu menjadi perkara kebajikan di mata orang-orang yang telah diperdayakannya.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amalan buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan dan cara yang ditetapkan Tuhan untuk memberi hidayah kepadanya atau sebaliknya)? (Surah Fâthir: 8)
Berdasarkan ayat ini dapat difahami bahawa jika kita terpedaya dengan pujukan dan tipu daya syaitan, kita akan menjadi orang-orang yang rugi kerana mencampakkan kemuliaan diri kita sehingga dikuasai oleh syaitan yang sentiasa menginginkan kita melihat kemungkaran itu sebagai suatu yang baik lagi indah.
Dalam ayat yang lain, Allah Subhânahu wa Ta‘ala menjelaskan bagaimana syaitan berazam untuk terus-menerus menyesatkan manusia kerana dendamnya kepada Nabi Adam ‘Alaihissalâm dan zuriatnya yang terkandung dalam firmanNya:
Tafsirnya: Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.” (Surah al-Hijr: 39)
Apabila manusia sudah berfahaman bahawa maksiat itu suatu yang baik dan tidak lagi membencinya, maka tertutuplah segala jalan untuk mendapat hidayah daripada Allah Subhânahu wa Ta‘ala sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka daripada jalan (yang benar), oleh itu, mereka tidak beroleh petunjuk. (Surah an-Naml: 24)
Ayat-ayat di atas jelas menggambarkan bahawa syaitan akan menyesatkan manusia supaya manusia yang terpedaya itu melihat yang ma‘rûf menjadi munkar dan melihat yang munkar itu pula menjadi ma‘rûf. Akibatnya, menjadi hinalah manusia itu di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘ala dan bukan lagi mulia.
Tempoh Kursus Yang Dijalankan
Menyentuh tentang tempoh kursus yang diadakan di kawasan Taman Rekreasi Hutan Simpan sehingga selama empat hari tiga malam, apakah aktiviti malam itu tidak boleh dilakukan di waktu siang supaya tidak timbul ketegangan-ketegangan dalam keluarga seperti yang ditimbulkan oleh penyoal? Menurutnya, peserta kursus yang sudah berumahtangga perlu meninggalkan suami atau isterinya di rumah pada waktu malam, memberi peluang kepada peserta kursus berseronok-seronok dengan yang bukan mahramnya sehingga boleh menyebabkan mereka terutamanya lelaki mengambil kesempatan ke atas peserta kursus perempuan atau mungkin lebih daripada itu. Misalnya, suami-suami yang ditinggalkan oleh para peserta kursus perempuan di rumah boleh saja menimbulkan perkara maksiat jika suami tersebut tinggal hanya bersama pembantu rumah perempuan dengan anak-anak kecil sahaja dan seumpamanya. Semua ini memerlukan kebijaksanaan yang dipandu oleh kefahaman yang mantap tentang cara hidup beragama.
Apabila kursus-kursus dikendalikan dengan mengambil kira berbagai aspek sama ada sukat-sukat yang dibataskan oleh agama dan aturan hidup berkeluarga seperti kepentingan terhadap penyusuan susu ibu, tentulah para peserta yang sudah berkeluarga atau pun yang masih bujang tidak akan menghadapi sebarang masalah besar dengan keluarga masing-masing ketika meminta izin untuk menyertai apa jua kursus yang dianjurkan kerana mereka (keluarga) yakin bahawa program yang dijalankan itu hanyalah semata-mata untuk memperolehi pengetahuan dan pengalaman sahaja bukannya untuk berseronok-seronok melalui kegiatan atau permainan yang boleh mendatangkan maksiat atau yang boleh menjejaskan keharmonian kehidupan berkeluarga.
Tegahan Pada Aktiviti Yang Membawa Kepada Perkara Dosa
Dalam Islam ada digariskan satu kaedah di mana segala pintu dan jalan kepada kejahatan atau dosa-dosa yang terdapat pada perkara yang diharuskan itu hendaklah ditegah dan ditutup. Kaedah ini dinamakan sebagai sad adz-dzarâ’i‘ ( ِ سَد ُّ الذَّرَائِع) iaitu yang bermaksud tegahan pada perkara yang diharuskan.
Sad adz-dzarâ’i‘ adalah satu prinsip syariah yang pada hakikatnya ialah menegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada kerosakan atau larangan. Dalam erti lain, apa-apa jua perkara harus yang boleh membawa kepada perkara atau perbuatan yang haram hendaklah ditegah. (Resolusi Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang ke-9 1415/1995, no.92(9/9))
Dalam hal ini, selagi kursus ‘Keseronokan Bekerja’ yang dianjurkan membawa kepada perkara atau perbuatan yang haram, hendaklah ia ditegah atau dihentikan atau diubah suai metodologinya supaya selaras dengan kehendak syara‘.
Saranan
Apa jua bentuk kursus yang melibatkan peserta lelaki dan perempuan, perlu ada perancangan yang diatur dengan baik dan teliti berdasarkan adab-adab yang digariskan oleh agama Islam kerana itulah identiti pentadbiran negara kita.
Umpamanya, mengasingkan antara golongan lelaki dan perempuan dari segi penyusunan tempat duduk, tempat makan, tempat riadah, semasa aktiviti atau permainan dan sebagainya. Dengan cara demikian, perkara-perkara dosa dan kelakuan yang tidak sopan itu dapat dihindari dan segala ilmu yang bakal diperolehi daripada kursus berkenaan akan diberkati Allah Subhânahu wa Ta‘ala.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10534
