Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Daging Sosej Bersalut Usus Khinzîr

Soalan: Baru-baru ini umat Islam telah digemparkan dengan berita tentang daging sosej bersalutkan usus khinzîr (babi). Menurut sumber berita yang disampaikan, pihak media menjelaskan syarikat-syarikat yang bertanggungjawab menjual sosej-sosej tersebut telah menyalahgunakan logo halal yang dikeluarkan oleh badan-badan berkenaan.

Persoalannya:

1. Bagaimanakah kedudukan orang Islam yang telah memakan makanan yang mengandungi campuran tidak halal tanpa pengetahuannya?

2. Adakah makanan-makanan yang tidak diketahui status halal haramnya perlu ditinggalkan sama sekali?

Jawapan: Orang Islam Termakan Makanan Tidak Halal

Jika dilihat maksud ‘tanpa pengetahuan’ melalui konteks pertanyaan yang diajukan, ia sama juga ertinya dengan tidak senghaja, tersilap atau terlanjur melakukan sesuatu di luar kesedaran diri atau akal fikiran.

Manusia memang dijadikan dengan serba kekurangan. Melakukan kesilapan itu adalah antara tabi‘i semula jadi manusia. Islam sememangnya mengakui hakikat ini. Oleh sebab itu, dalam keadaan tidak senghaja meninggalkan suatu kewajipan atau terlanjur melakukan larangan agama, hukum taklîf diangkat dari bahu seorang yang mukallaf. Kesan daripada kelonggaran tersebut maka dengan rahmat dan izin Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ jua kesilapan sedemikian tidak menyebabkan pelakunya mendapat dosa ataupun hukuman. Ini bersandar kepada hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma:

Maksudnya: Digugurkan daripada umatku dosa kesilapan, lupa dan perkara-perkara yang mereka dipaksa melakukannya. (Hadits riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibban, ad-Daraquthni, ath-Thabarani, al-Baihaqi dan al-Hakim)

Selain itu juga, setiap amal perbuatan adalah dihitung berdasarkan niat pelakunya. Orang yang tersilap biasanya tidak mempunyai elemen niat tersebut ketika mereka melakukan kesilapan. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah berfirman:

Tafsirnya: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disenghajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzâb: 5)

Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Setiap amal perbuatan itu adalah bergantung pada niat. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Jangan Permudahkan Tuntutan Agama

Melihat kepada dalil-dalil yang disebutkan di atas, memang jelas ada konsep tasâmuh (toleransi) dan rahmah (kasih-sayang) dalam Islam. Walau bagaimanapun, konsep ini tidak wajar menjadi alasan sehingga tuntutan-tuntutan agama itu dicuaikan atau dipermudah-mudahkan dengan sewenang-wenangnya. Dalam keadaan seperti yang digambarkan oleh penyoal di atas, isu utamanya ialah berkisar tentang perkara pemakanan. Bukankah perkara tersebut sangat mendapat perhatian agama kerana hubungannya yang rapat dengan amal ibadat seseorang? Bagaimana pula ia boleh dipandang ringan atau remeh sehingga ada lagi ruang untuk tersilap atau tersalah langkah ketika menentukan apa yang baik dimakan dan apa yang patut ditinggalkan?

Hubungan Makanan Dan Amal Ibadat

Dalam hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada Sa‘ad bin Abu Waqas Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Perbaikilah makananmu nescaya do‘amu dikabulkan. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Asy-Syeikh al-Islam al-Hujjah al-Imam as-Sayyid Abdullah bin ‘Alwi al-Haddad al- Hadhrami asy-Syafi‘e telah menasihatkan bahawa antara kesan memakan makanan yang halal itu ialah ia akan menimbulkan kegentaran dan kekhusyû‘kan terhadap kebesaran Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dengan memakan makanan yang baik-baik itu juga akan membuatkan seluruh anggota tubuh badan menjadi cergas untuk beribadat dan melakukan perkara ketaatan serta zuhud terhadap dunia dan suka kepada hari-hari akhirat. (An-Nashâ’ih ad-Dîniyyah wa al-Washâyâ al-Îmâniyyah: 274)

Adapun memakan benda-benda yang haram dengan senghaja akan mengakibatkan balasan yang buruk, baik di dunia mahupun di akhirat. Dalam hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Setiap daging manusia yang tumbuh daripada benda-benda yang haram dan perkara-perkara riba, maka neraka adalah lebih utama baginya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Orang-orang yang memakan makanan tidak halal adalah orang-orang yang melanggar suruhan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana perbuatan maksiat yang lain seperti meninggalkan ibadat-ibadat fardhu, berjudi, berzina dan seumpamanya. Mereka yang ingkar daripada mentaati Allah itu dikategorikan sebagai orang-orang fâsiq. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan diharamkan juga kamu menengok nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fâsiq. (Surah al-Mâ’idah: 3)

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh mengatakan bahawa sifat fâsiq dalam ayat di atas adalah meliputi semua golongan yang memakan jenis-jenis makanan seperti disebutkan dalam ayat tersebut. (Az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir: 1/364)

Sifat fâsiq mempunyai implikasi yang besar terhadap diri seseorang seperti melucutkan kewibawaannya daripada menjawat sebahagian tanggungjawab agama. Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz menyebutkan dalam fatwanya:

“Menurut Islam, orang fâsiq tiada sah menjadi saksi nikah dan seumpamanya, dan makruh ia menjadi imam sembahyang jemaah. Adapun mengangkat ia memegang jawatan imam dan seumpamanya adalah haram.

Hendaklah dijauhkan orang-orang fâsiq daripada menjadi saksi nikah supaya nikah itu betul sah dan tiada ragu-ragu padanya.

Masuk Islam tiada payah dengan memakai saksi, dan sayugia dipakai saksi yang tiada fâsiq dalam masuk Islam itu bila dikehendakkan saksinya itu dalam sesuatu perkara berbangkit dengannya.” (Siri fatwa 9/1979)

Wara‘ Dalam Memilih Makanan

Kerana akrabnya hubungan pemakanan dan amal ibadat, maka setiap orang Islam dituntut agar sentiasa berwara‘ dalam perkara-perkara yang berhubung dengan makanan dan minuman mereka. Orang Islam hendaklah berhati-hati, waspada, cerewet dan teliti apabila memilih bahan makanan dan minuman mereka.

Soalnya, apakah tuntutan berwara‘ itu sudah ditunaikan sebelum memakan makanan yang tidak diketahui atau belum diyakini kehalalannya? Adakah dengan sekadar berpegang kepada logo-logo yang memperagakan tanda halal itu sudah memenuhi erti penghayatan wara‘ yang sebenar? Adakah sesudah puas memakan juadah yang tidak dipastikan asal-usulnya, kita masih layak berdalih atau memberi alasan bahawa ia dilakukan dengan tidak senghaja setelah mendapati makanan-makanan itu ternyata tidak halal?

Seorang Muslim yang salih bukan sahaja sentiasa menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang jelas haram bahkan turut meninggalkan perkara-perkara yang syubhah. Isu daging sosej bersalut khinzîr tetapi berlogo halal telah menunjukkan betapa mudah dan luasnya ruang syubhah itu untuk dimasuki oleh perkara-perkara yang tidak disedari. Apatah lagi bagi orang-orang yang kurang berawas. Kejadian ini sepatutnya dijadikan i‘tibâr. Di sinilah tempatnya untuk berwara‘. Jangan terhantuk dahulu baru tengadah. Elakkan daripada beralasan tidak senghaja sedangkan ia disenghajakan.

Syubhah

Makanan-makanan yang tidak diketahui status halal ataupun haramnya adalah makanan yang dikategorikan sebagai syubhah. Dalam bahasa Arab, syubhah disebut juga sebagai musyabbahât, musytabihât dan mutasyâbihât. (Fath al-Bâri: 1/173)

Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh mendefinisikan syubhah itu sebagai:

Ertinya: Ia (syubhah) itu adalah perkara-perkara yang tidak jelas hukum halal ataupun haramnya. (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 7/4333)

Menjauhi Syubhah

Larangan mengambil bahan-bahan atau perkara-perkara syubhah itu telah diterangkan dalam sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Nu‘man bin Bashir Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Perkara yang halal itu adalah jelas dan (begitu juga) perkara yang haram adalah jelas. Antara keduanya terdapat perkara-perkara yang musyabbahât (tidak jelas status halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang menjaga perkara-perkara musyabbahât itu, maka dia telah menjaga kesucian kehormatannya dan agamanya. Sesiapa yang terjerumus dalam syubhah adalah seperti pengembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir dia terjatuh ke dalamnya. Ketahuilah setiap raja mempunyai kawasan larangannya. Maka sesungguhnya larangan Allah di bumiNya adalah perkara-perkara yang diharamkanNya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam di atas menunjukkan bahawa menjauhi perkara syubhah itu merupakan satu tuntutan ke atas setiap orang yang beragama Islam. Imam Habib Abdullah al-Haddad telah menjelaskan: “Berhubung perkara syubhah, maka menjauhkan diri daripadanya merupakan satu tuntutan yang sangat utama bahkan ada kalanya hukumnya adalah wajib.” (An-Nashâ’ih ad-Dîniyyah wa al-Washâyâ al-Îmâniyyah: 268)

Sesuai dengan kepentingannya, syubhah telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh para ulama. Oleh itu, untuk menghayatinya memerlukan pemahaman yang mapan dan teliti akan pembahasan ulama dalam perkara ini. Antara ulama yang terkemuka dan paling menonjol mengupas dan membincangkan perkara ini ialah Imam al-Ghazali Rahimahullâh. Ini telah diakui oleh Imam Habib Abdullah al-Haddad sebagaimana dinukil kata-kata beliau di bawah ini:

“Manakala Imam al-Ghazali Rahimahullâh sebenarnya telah membicarakan tentang perkara ini dengan panjang lebar, lengkap dengan bahagian-bahagiannya dalam kitabnya yang bernama Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn di bawah tajuk “Halal dan Haram”. Sesiapa yang ingin memuaskan hati, hendaklah dia membaca buku tersebut. Sesungguhnya sebahagian ulama Rahimahullâh telah berkata bahawa tidak pernah dikarang satu karya dalam Islam yang sama seperti kitab tersebut.” (An-Nashâ’ih ad-Dîniyyah wa al-Washâyâ al-Îmâniyyah: 268)

Saranan Imam Habib ini memang satu nasihat yang wajar. Untuk mendapatkan kefahaman yang benar, perlu ada usaha untuk menelaah dan mengkaji karya-karya seperti kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn yang telah membincangkan perkara ini secara terperinci dan mendalam. Inilah jalan terbaik. Untuk memuat dan menyalin semula karya Imam al-Ghazali itu di sini pula bukanlah sesuatu yang praktikal. Bagaimanapun, bagi mengaitkan isu soalan daripada penyoal di atas, di sini dinyatakan sebahagian inti pati hasil tulisan Imam al-Ghazali tersebut untuk dijadikan ‘sukat-sukat’ (kayu ukur) dan juga panduan. Terdapat beberapa isu penting yang perlu diketahui terutama pengajaran-pengajaran dalam mempersiapkan diri apabila berhadapan dengan senario-senario tertentu.

Bahagian-bahagian Syubhah

Imam al-Ghazali Rahimahullâh menyebutkan syubhah itu dicetuskan melalui beberapa sumber. Antara sumber-sumber tersebut ialah:

1. Ragu terhadap sebab yang menjadikan sesuatu perkara itu adalah halal ataupun haram.

Jika terjadi dua kemungkinan sama ada sesuatu itu halal ataupun haram, maka hukum yang perlu ditetapkan ialah hukum asal yang diketahui sebelumnya. Hukum asal tersebut akan terus diguna pakai walaupun timbul keraguan untuk menolaknya. Dengan kata lain, sekadar adanya keraguan belumlah memadai untuk mengubah kedudukan hukum asal tersebut. (Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn: 2/125-127)

Dasar ini diperjelas melalui pembahagian di bawah ini:

i. Sesuatu yang asalnya haram, kemudian timbul keraguan terhadap perkara-perkara yang boleh menyebabkan kehalalannya.

Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh, syubhah daripada kategori ini adalah syubhah yang wajib dijauhi.

Contohnya: Apabila seekor binatang yang halal dimakan ditemui mati tanpa diketahui bagaimana ia mati, maka binatang tersebut tetap haram dimakan kerana ia dianggap bangkai. Hukum ini adalah bersandar kepada kedudukan asal binatang itu. Ilmu fiqh telah menggariskan bahawa:

Ertinya: Asal pada perempuan-perempuan itu adalah haram (untuk digauli) dan asal pada bangkai-bangkai binatang itu adalah haram (untuk dimakan). (Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj: 4/216)

Hukum haram tersebut akan kekal walaupun pada binatang itu terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia mati kerana disembelih. Kemungkinan tersebut boleh sahaja membawa andaian bahawa sembelihan itu dilakukan menurut cara yang dituntut oleh syara‘. Bagaimanapun, kemungkinan dan andaian sebegini tidak lebih daripada syak atau sangkaan semata-mata. Apa yang diketahui dengan yakin hanyalah hukum asal binatang itu. Oleh itu, untuk menghalalkannya perlu ada keyakinan yang setanding dengan hukum asal tersebut misalnya dengan menyaksikan sendiri atau pengakuan daripada dua orang saksi bahawa binatang itu disembelih menurut segala tuntutan hukum syara‘. Kaedah al-fiqhiyyah telah memperuntukkan bahawa keyakinan itu tidak boleh dihilangkan atau digugat oleh keraguan. Dalam hal ini keyakinan hanya ada pada hukum yang asal iaitu haram dimakan kerana mati dan keraguan ada pada perkara yang menghalalkan ia dimakan iaitu sembelihan mengikut syara‘.

ii. Sesuatu yang asalnya halal, kemudian timbul keraguan terhadap perkara-perkara yang boleh menyebabkan ia dihukumkan haram.

Keraguan sedemikian pada dasarnya tetap tidak mengubah kedudukannya sebagai sesuatu yang halal. Bagaimanapun, kesan yang ditimbulkan oleh keraguan itu paling tidak telah menyebabkan perkara tersebut menjadi syubhah. Dalam hal ini, berpegang kepada hukum yang asal adalah tidak mengapa, akan tetapi berwara‘ daripada perkara-perkara tersebut adalah sangat dituntut.

Contohnya: Tepung, roti, kek dan yang seumpamanya. Benda-benda tersebut asalnya adalah halal untuk dimakan selama ia tidak mengandungi elemen-elemen yang bersumber daripada sesuatu yang haram dimakan. Kaedah yang diguna pakai dalam perkara ini ialah:

Ertinya: Asal pada sesuatu perkara itu adalah harus sehinggalah ada dalil yang menunjukkan ia haram. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir fî Qawâ‘id wa Furû‘: 1/166)

Walau bagaimanapun, makanan-makanan itu akan menjadi syubhah jika ada perkara-perkara yang boleh menimbulkan keraguan tentang kehalalannya. Contohnya jika diketahui atau ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa makanan-makanan tersebut telah dihasilkan oleh orang-orang bukan Islam. Dalam hal ini, tidak pula bererti dengan semata-mata mengetahui roti berkenaan dibuat oleh orang bukan Islam, maka ia dihukumkan haram dengan sendirinya. Tetapi di samping elemen ‘bukan Islam’ itu, adalah juga kerana wujudnya kejahilan dan kurang penghayatan orang bukan Islam itu tentang perkara halal dan haram dalam Islam, serta mereka memiliki kuasa untuk menukar atau mencampurkan sesuatu yang asalnya halal dengan perkara-perkara yang haram dimakan oleh orang Islam. Maka roti atau kek tadi sudah diragui taraf kehalalannya (jadi syubhah). Di sinilah tempatnya berwara‘ itu lebih utama. Wara‘ bermaksud meninggalkan perkara yang syubhah kerana takut terjatuh ke dalam perkara yang haram.

2. Keraguan yang timbul disebabkan oleh percampuran antara perkara yang halal dengan yang haram.

Percampuran di atas boleh berlaku menerusi cara berikut:

i. Percampuran yang boleh dikenal pasti dengan bilangan antara perkara-perkara yang halal dengan yang haram.

Contohnya: Ayam yang matinya bukan kerana disembelih, bercampur-gaul dengan ayam yang disembelih. Menurut Imam al-Ghazali, syubhah yang terjadi akibat percampuran seperti ini adalah syubhah yang wajib dijauhi secara ijmâ‘. Tidak mengira bilangan mana yang lebih banyak sama ada yang halal, apatah lagi yang haram, hukum haram adalah lebih utama dalam hal ini. Kaedah ilmu fiqh menyebut:

Ertinya: Jika berhimpun sama perkara-perkara yang halal dengan yang haram, maka diambil hukum yang haram. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir fî Qawâ‘id wa Furu‘: 1/252)

ii. Percampuran perkara-perkara yang halal dengan yang haram dan tidak dapat diketahui berapa jumlah antara keduanya dengan pasti kerana terlalu banyak.

Contoh: Hasil pendapatan yang diperolehi oleh institusi-institusi kewangan seperti bank atau syarikat-syarikat insurans yang mengamalkan sistem konvensional. Bentuk perniagaan yang diamalkan oleh institusi-institusi ini biasanya mengandungi keuntungan atau wang-wang yang tidak halal. Pada masa yang sama, institusi-institusi ini juga ada menawarkan mu‘amalat atau perkhidmatan-perkhidmatan yang halal dan diharuskan. Apabila pendapatan-pendapatan tersebut digabungkan, ia akan menjadikan percampuran hasil yang syubhah di mana wang atau harta yang halal bercampur-baur dengan yang haram. Untuk membezakan di antara bahagian atau wang yang halal dengan yang haram adalah sukar.

Maka mengambil manfaat daripada sumber-sumber yang bercampur-baur ini, seperti berurus niaga atau bekerja menerima gaji daripada institusi-institusi kewangan ini, pada dasarnya adalah tidak haram. Tetapi berwara‘ daripadanya adalah lebih utama dan sangat dituntut kerana menjauhkan diri daripada sumber syubhah seperti ini adalah ciri-ciri unggul orang Islam yang salih.

Berkata Imam al-Ghazali Rahimahullâh: “Jika bercampur benda-benda halal yang tidak terbatas dengan benda-benda haram yang tidak terbatas, seperti mana harta-harta yang ada pada masa kini (di zaman al-Imam al-Ghazali), maka tidak haram mengambil sesuatu daripadanya, walaupun ia mengandungi benda-benda halal dan haram itu, melainkan ada bukti yang jelas menunjukkan benda-benda itu haram. Kalau tidak ada pada benda itu sesuatu tanda yang menunjukkan ia haram, meninggalkannya adalah wara‘ dan mengambilnya adalah halal yang tidak akan menjadi fâsiq memakannya.” (Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn: 2/131)

Kesimpulan

Islam mengajar penganut-penganutnya agar berlaku wara‘ dan sentiasa berwaspada apabila berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak jelas kedudukan halal ataupun haramnya. Berhati-hati serta berwara‘ daripada perkara syubhah merupakan tuntutan agama, bahkan dalam keadaan tertentu menjauhi syubhah itu adalah wajib.

Mengetahui dan mengamalkan ajaran-ajaran Islam yang berkaitan dengan menjaga pemakanan ini akan menjana ketaqwaan dan menjadi wadah untuk mencapai matlamat mendapatkan keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ

Di samping itu, ia juga mampu memperkasa diri dalam menangani situasi-situasi seperti isu daging yang disalut atau dicampur dengan benda-benda yang tidak halal. Dengan pengetahuan yang ada, insyâ’ Allah kita akan terhindar daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara yang haram seperti isu daging sosej bersalut usus khinzîr.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10529