Hukum Mengaqiqahkan Anak Luar Nikah Secara Bermajlis
Soalan: Apakah hukum mengaqiqahkan anak luar nikah secara bermajlis?
Jawapan: Definisi Aqiqah
Aqiqah (ىقيقة) dari segi bahasa, adalah rambut yang terdapat di kepala anak kecil sewaktu dilahirkan. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/145)
Dari segi syara‘, aqiqah bererti binatang yang disembelih ketika mencukur rambut anak yang dilahirkan; (Hawâsyî Tuhfah al-Muhtâj: 9/369) atau binatang yang disembelih untuk anak yang dilahirkan sebagai tanda syukur kepada Allah dengan niat dan syarat-syarat tertentu. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 30/276)
Hukum Melaksanakan Aqiqah
Hukum melaksanakan aqiqah adalah sunnah mu’akkadah, berdasarkan kepada beberapa -hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam seperti hadits hasan shahîh yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi daripada Samrah:
Maksudnya: Anak itu tergadai dengan aqiqah yang disembelih pada hari ketujuh (selepas dia dilahirkan) dan (pada hari itu) rambutnya dicukur dan dia diberi nama.
Ada yang berpendapat, ‘tergadai dengan aqiqah’ bermaksud anak itu tidak akan membesar sepertimana selayaknya selagi belum diaqiqah. Menurut al-Khatthâbi, ulama telah berselisih pendapat dalam perkara ini, dan pendapat yang lebih baik diterima ialah pendapat Ahmad bin Hanbal iaitu jika anak itu belum diaqiqahkan kemudian mati anak kecil itu, maka dia tidak akan memberi syafaat (pertolongan) kepada ibu bapanya pada Hari Kiamat. (Tuhfah al-Ahwadzî: 5/77), (Nihâyah al-Muhtâj: 8/145), (Hawâsyî Tuhfah al-Muhtâj: 9/369), (Mughnî al-Muhtâj: 4/369), (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/525)
Hikmah Pensyariatan Aqiqah
Hikmah pensyariatan aqiqah antaranya adalah untuk menzahirkan perasaan gembira, perasaan syukur di atas ni‘mat dikurniakan zuriat dan bagi tujuan mengumumkan keturunan atau nasab anak yang dilahirkan di samping mengeratkan tali silaturahim di kalangan ahli keluarga, sahabat-handai dan orang-orang fakir dan miskin melalui masakan yang dikirimkan atau melalui jamuan yang diadakan. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/145), (Hawâsyî Tuhfah al-Muhtâj: 9/369), (Mughnî al-Muhtâj: 4/369)
Siapa Yang Dituntut Melakukan Aqiqah
Orang yang disunatkan melakukan aqiqah untuk anak yang dilahirkan itu ialah orang yang wajib menanggung nafkah anak tersebut.
Bagi anak yang sah tarafnya, orang yang wajib menanggung nafkahnya ialah bapanya. Walau bagaimanapun, dibolehkan orang lain melakukan aqiqah anak itu jika bapanya kurang berkemampuan dengan syarat ada izin bapanya atau walinya.
Apabila anak itu sudah bâligh dan dia belum diaqiqahkan, maka sunat bagi anak itu untuk beraqiqah bagi dirinya sendiri.
Bagi aqiqah anak yang terhasil daripada perbuatan zina (anak luar nikah) pula, orang yang wajib menanggung nafkah anak itu adalah ibu yang melahirkannya. Jadi, sunat bagi ibu kepada anak luar nikah itu melaksanakan aqiqah untuk anak tersebut. Namun, hendaklah dengan cara bersembunyi dan tidak berterang-terangan kerana ditakuti akan terbuka keaiban atau boleh menambah aib dan malu. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/146), (Hawâsyî Tuhfah al- Muhtâj: 9/371), (Mughnî al-Muhtâj: 4/369-370), (I‘ânah ath-Thalibin: 2/525)
Oleh itu, menurut ulama, melaksanakan aqiqah anak yang tidak sah taraf itu (anak luar nikah) ialah ibunya, dengan cara bersembunyi-sembunyi, bukan berterang-terangan, lebih-lebih lagi bukan secara bermajlis. Tujuannya supaya rahsia keaibaannya tidak diketahui orang atau tidak menambahkan keaibannya, jika ada.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10542
