Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Menyertai Peraduan Melalui SMS Atau MMS

Soalan: Apakah hukum menyertai peraduan melalui SMS atau MMS?

Jawapan: Pada masa ini, ada syarikat atau organisasi yang menganjurkan peraduan yang berbentuk kuiz melalui perkhidmatan pesanan ringkas atau Short Messaging Service (SMS) dan sistem pesanan multi-media atau Multi-media Messaging Service (MMS) yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan dan suatu masa yang lalu di televisyen Brunei. Peraduan ini popular kerana ia menjanjikan keuntungan dan menyertainya mudah serta bayarannya pun tidak seberapa.

Bentuk Peraduan

Kebiasaannya, melalui peraduan ini pihak penganjur akan menawarkan hadiah yang menarik kepada orang ramai supaya mereka menggunakan telefon bimbit (mobile phone) untuk menyertai kuiz tersebut. Lazimnya, setiap peserta yang ingin menyertainya akan dikenakan bayaran oleh penganjur, lebih tinggi daripada bayaran caj biasa. Persoalannya, adakah menyertai peraduan ini bertentangan dengan hukum syara‘? Berikut ini contoh-contoh peraduan tersebut:

i. Peraduan Kuiz SMS

Untuk menyertai peraduan kuiz SMS ini, setiap peserta diminta menjawab soalan kuiz yang disediakan melalui pesanan SMS dengan kadar bayaran lebih tinggi daripada bayaran SMS biasa. Sesiapa yang banyak menghantar atau meneka jawapan itu dengan tepat serta cepat akan mendapat hadiah yang dijanjikan oleh pihak penganjur.

ii. Permainan Teka-Teki

Antara soalan yang sering diperadukan ialah peserta diminta meneka gambar wajah seseorang yang terkenal dan sesiapa yang banyak menghantar jawapan dengan tepat akan diisytiharkan sebagai pemenang dan mendapat hadiah yang ditawarkan.

iii. Jualan Lelong (3G Bid/Time To Bid)

Selain itu ada juga permainan yang disebut sebagai jualan lelong (3G Bid/Time To Bid). Caranya, penganjur akan menyediakan beberapa barang untuk dilelong melalui SMS. Setiap kali pelanggan mengirim taruhan harga, dia akan dikenakan bayaran yang lebih mahal daripada bayaran SMS biasa. Pelanggan yang paling banyak menghantarkan tekaan atau taruhan harga yang tinggi, dialah yang akan menerima barangan tersebut.

Inilah antara contoh-contoh peraduan melalui SMS atau MMS. Setiap pelanggan kuiz terpaksa membayar caj telefon yang lebih tinggi daripada caj biasa bagi menyertai peraduan tersebut. Perbuatan ini tidak syak lagi mempunyai unsur perjudian, kerana orang (peserta) yang menghantar SMS berebut hendak mendapatkan hadiah dengan mempertaruhkan nasibnya dengan membayar walaupun bayaran (caj) biasa, apatah lagi kalau membayar lebih tinggi. Jika dia menang dia akan beruntung kerana mendapat hadiah. Manakala pelanggan yang kalah, tidak menerima sebarang hadiah, melainkan kerugian sahaja.

Contoh-contoh peraduan melalui SMS yang disebutkan di atas adalah menyamai dengan al-yânashîb (loteri) atau yang seumpamanya kerana ia adalah permainan yang berunsurkan pertaruhan. Sementara penganjur pula akan mendapat untung daripada bayaran SMS orang-orang yang tidak berjaya. Peserta yang tidak berjaya pula akan menanggung kerugian kerana membayar caj SMS sekalipun bukan mengikut kadar biasa. Kedua-dua pihak ini saling mengharapkan keuntungan. Peserta berharap mendapat habuan atau keuntungan daripada penganjur, sementara penganjur pula mengharapkan bayaran daripada peserta-peserta. Permainan tersebut adalah dilarang dalam Islam kerana ia adalah salah satu bentuk judi.

Pengertian Judi

Judi itu dalam bahasa Arabnya disebut al-maisir atau al-qimâr. Judi itu berlaku apabila seseorang mengambil sesuatu daripada sahabatnya (yang diajak bermain) di dalam suatu permainan. Di zaman kita (740H-816H) permainan itu ialah permainan yang disyaratkan di dalamnya bahawa orang yang menang daripada dua pihak yang bertanding mendapat habuan daripada yang kalah. (Al-Jurjani: 229)

Pengarang kitab al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah pula menyebutkan bahawa maksud al-maisir ialah memberikan sesuatu yang boleh dipindah milik kepada salah satu daripada dua pihak berdasarkan nasib semata-mata walaupun bagi tujuan kebajikan. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengharamkan setiap pencarian yang diperolehi oleh manusia berdasarkan nasib walaupun matlamatnya itu kepada orang-orang fakir dan miskin atau bagi tujuan kebajikan.

Menurut al-Qâmûs al-Fiqhiy pula al-qimâr ialah:

Ertinya: Setiap permainan yang berbentuk harta (dua pihak yang mengeluarkan harta) diambil olehnya seseorang yang menang apa saja bentuk barang pun daripada pihak yang kalah.

Hukum Bermain Judi

Bermain judi itu bukan hanya haram, malah satu dosa besar. Ia merupakan perbuatan syaitan yang wajib dijauhi sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)

Menurut al-Mahalli Rahimahullâh, peraduan yang dilarang itu ialah peraduan yang kedua belah pihak (di dalam suatu permainan) ragu-ragu sama ada dia akan mendapat habuan (menang) atau dia akan menanggung kerugian, begitu juga jika disyaratkan di dalam suatu permainan itu ada harta yang dipertaruhkan oleh kedua belah pihak. Sesiapa yang menang daripada mereka, harta yang dipertaruhkan itu menjadi miliknya, maka itulah judi yang diharamkan. (Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah: 4/267 dan 320)

Judi itu juga digunakan oleh syaitan untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian sesama manusia serta menghalang pelakunya daripada mengingati Allah dan menunaikan sembahyang. Ini dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?). (Surah al-Mâ’idah: 91)

Dari segi psikologi pula, orang yang kalah judi akan dirundung malang, duka nestapa dan lain-lain perasaan dukacita, tidak kurang pula boleh menjejaskan kesihatannya.

Penganjur yang berniaga untuk mendorong orang ramai merebut hadiah yang dijanjikan itu pula adalah jelas melakukan dosa kerana memakan harta orang lain secara bâthil. Mereka mengumpul keuntungan berlipat ganda melalui bayaran SMS pelanggannya berbanding hadiah yang ditawarkan tidaklah seberapa. Memakan harta secara bâthil itu adalah amat dilarang oleh Islam sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah: 188)

Larangan ini juga jelas disebutkan oleh hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang membelanjakan harta Allah tidak dengan (pembahagian) benar, maka bagi mereka adalah api neraka pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Pendeknya sesiapa jua yang bersekongkol dalam perkara perjudian dalam bentuk peraduan melalui SMS atau MMS, sama ada yang terdiri daripada penganjur, peserta atau mereka yang memberikan laluan kemudahan atau kerjasama, sama-sama akan menanggung dosa berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)

Berdasarkan penjelasan di atas, maka menyertai peraduan melalui SMS atau MMS seperti contoh-contoh disebutkan adalah termasuk judi yang diharamkan, kerana terdapat sebilangan besar peserta tidak akan menang dan malah pasti menanggung kerugian daripada peraduan itu, sementara penganjur pula akan mengaut keuntungan yang besar bersumber daripada para pesertanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10546