Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Lelaki Memakai Gelang Dan Rantai Ketika Bersanding

Soalan: Memakai perhiasan adalah haram bagi lelaki, tetapi sewaktu bersanding, pengantin lelaki ada yang memakai gelang dan rantai (aksesori baju pengantin). Bagaimana kedudukannya?

Jawapan: Rantai, subang dan gelang adalah pakaian atau perhiasan yang khusus bagi kaum perempuan. Kaum lelaki haram memakai perhiasan-perhiasan tersebut sekalipun bukan diperbuat daripada emas atau perak, sama ada dipakai ketika bersanding ataupun di luar bersanding, kerana perbuatan sedemikian menyerupai kaum perempuan. Larangan supaya lelaki tidak menyerupai perempuan dan perempuan tidak menyerupai lelaki jelas disebutkan dalam hadits Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadits tersebut, Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Sesungguhnya haram (orang lelaki) menyerupai mereka (orang perempuan antaranya ialah) dengan memakai perhiasan yang khusus untuk mereka lagi yang lazim menjadi hak mereka seperti memakai gelang tangan, gelang kaki dan seumpama keduanya. (Al-Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 1/261)

Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari Rahimahullâh pula berkata:

Ertinya: Dan bagi kaum lelaki (dibolehkan) memakai cincin perak kerana mengikut sunnah dan ijmâ‘ (keharusannya), bahkan disunatkan bagi kaum lelaki (memakai cincin perak), bukan memakai gelang dan yang seumpamannya seperti dumluj (gelang yang dipakai di antara siku dengan bahu) dan kalung (rantai). Tidak halal bagi kaum lelaki (memakainya) sekalipun daripada perak, kerana padanya cirri-ciri kewanitaan yang tidak layak dengan keperkasaan (kelelakian) orang-orang lelaki. (Asnâ al-Mathâlib Syarh Raudh ath-Thâlib: 1/379)

Keterangan ulama ini cukup tegas dan terang melarang kaum lelaki daripada memakai gelang dan rantai, tidak kira sama ada dalam masa bersanding ataupun bukan. Memakainya oleh lelaki, menurut maksud hadits, adalah dianggap menyerupai perempuan dan perbuatan menyerupai itu berisiko sangat berat: Mendapat laknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11288