Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Majlis Dedikasi Brunei/Australia Memorial

Soalan: Satu majlis Dedikasi Brunei/Australia Memorial akan diadakan sempena memperingati pihak Australia pernah membantu Brunei semasa Perang Dunia Kedua. Antara rancangan yang disediakan untuk majlis berkenaan ialah:

1. Satu Tugu Peringatan telah dibina (bukan berbent manusia atau haiwan).

2. Pihak atasan Kementerian Pertahanan dihasratkan oleh pihak Australia untuk meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan yang telah dibina sebagai penghormatan kepada yang telah terkorban.

3. Tugu Peringatan berkenaan ditutup dengan kain dan akan ditarik atau dibuka kain berkenaan oleh pihak Brunei dan Australia.

Bersangkutan dengan 3 perkara di atas, dipohonkan fatwa dan nasihat Pehin Mufti bagi penyesuaian dan penyelesaian rancangan majlis yang akan diadakan supaya tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawapan: Syariat Islam telah mengajarkan kepada umatnya bagaimana memuliakan orang-orang Islam yang telah meninggal dunia, iaitu dengan menyempurnakan jenazah mereka dengan cara memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan kemudian mengebumikan mayat. Selain itu juga dijelaskan perkara-perkara yang sunat dilakukan kepada orang Islam yang telah meninggal dunia seperti menziarahi kuburnya, mendo‘akan supaya diampunkan dosa-dosanya, menghadiahkan pahala kepada si mati dan lain-lain, agar si mati akan mendapat rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Manakala melakukan perkara-perkara yang ada unsur aqidah atau ibadat yang tidak disyariatkan dan apatah lagi yang jelas ditegah atau bercanggah dengan ajaran Islam hendaklah ditinggalkan sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. (Surah al-Hasyr: 7)

Adapun upacara yang dikaitkan dengan kematian yang melibatkan perkara-perkara lain seperti disebutkan oleh penanya adalah ternyata tidak terdapat dalam Islam sekalipun perkara-perkara itu dikatakan khusus untuk memperingati orang-orang Islam yang terkorban. Begitu juga pembinaan tugu peringatan walaupun bukan berbentuk manusia.

Perkara yang sedemikian adalah ditegah oleh Islam kerana mengandungi unsur-unsur keagamaan lain yang bertentangan dengan aqidah Islam.

Walaupun perkara sedemikian itu hanya adat resam orang-orang yang bukan beragama Islam, namun kita orang Islam tetap dilarang melakukannya kerana mengikut adat resam dan perbuatan orang-orang bukan Islam yang bertentangan dengan syariat Islam adalah dilarang sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah salah seorang daripada mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam hal yang berkaitan, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam ketika ditanya mengenai persoalan mengadakan suatu kenangan bagi askar-askar Australia yang terbunuh dalam peperangan dunia kedua di kawasan Utara Borneo, Allahyarham Pehin memfatwakan:

“Mempamerkan suatu kenangan dibuat daripada gangsa atau lain bagi mengenang orang-orang kafir mati dalam peperangan atau operasi di Borneo Utara itu adalah ditegah kerana memuliakan perkara berhubung dengan kufur dan agama kufur dan menampakkan perkara kufur kepada orang ramai.” (Fatwa Mufti Kerajaan, siri 53/90)

Oleh yang demikian, berdasarkan nash-nash dan fatwa di atas, nyatalah menghadiri majlis yang diisi dengan perkara yang ditegah oleh syara‘ itu adalah dilarang oleh Islam. Apatah lagi jika orang Islam yang hadir itu juga akan ikut serta melakukan perkara yang ditegah itu.

Walau bagaimanapun sebagai nasihat dan pandangan jua (bukan fatwa), sekiranya ketidakhadiran pihak Kementerian Pertahanan Brunei Darussalam dalam upacara yang dimaksudkan itu boleh mendatangkan mudharat dalam perkara hubungan dua hala dan seumpamanya, maka boleh pihak Kementerian Pertahanan Brunei Darussalam yang telah dijemput itu hadir pada upacara tersebut, semata-mata menghadirkan diri sahaja tanpa ikut serta meletakkan kalungan bunga, bertafakkur dan lain-lain dengan niat untuk menjaga mashlahat negara dan bukan sebagai meniru, menyertai dan membenarkan perbuatan mereka itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11296