Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Majlis Khatam Al-Qur’an

Soalan: Apakah hukum mengadakan majlis sambutan khatam al-Qur’an? Ada sesetengah pihak yang berpendapat ia tidak relevan kerana kita sebagai seorang Islam tidak akan pernah khatam al-Qur’an selagi kita hidup di muka bumi ini.

Jawapan: Khatam al-Qur’an itu bermaksud menamatkan bacaan 30 juz al-Qur’an yang dimulai dari surah al-Fâtihah dan diakhiri dengan surah an-Nâs. Ketika hendak khatam, kita disunatkan untuk mengadakan perhimpunan, perkumpulan atau majlis khatam al-Qur’an kerana ia adalah merupakan majlis yang dimakbulkan do‘a dan diturunkan rahmat di dalamnya.

Kelebihan Majlis Khatam Al-Qur’an

Terdapat beberapa riwayat yang menerangkan tentang kelebihan majlis khatam al-Qur’an:

1. Mujahid Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: Telah sampai kepadaku (utusan) yang berkata: Sesungguhnya kami menjemputmu kerana kami hendak mengkhatamkan al-Qur’an. Sesungguhnya telah sampai kepada kami bahawa do‘a diperkenankan ketika khatam al -Qur’an. Dia (Mujahid) berkata: “Maka mereka pun berdo‘a (pada majlis khatam) dengan berbagai do‘a.” (Riwayat ad-Darimi)

2. Tsabit Radhiallâhu ‘anhu pula meriwayatkan:

Maksudnya: Anas Radhiallâhu ‘anhu jika mengkhatamkan al-Qur’an, dia mengumpulkan anak dan ahli keluarganya lalu dia pun berdo‘a untuk mereka (dalam majlis itu). (Riwayat ad-Darimi)

3. Humaid al-A‘raj Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan dengan berkata:

Maksudnya: Barang siapa membaca al-Qur’an (sampai khatam), kemudian dia berdo‘a (selepas itu), nescaya do‘anya akan diaminkan oleh empat ribu (4,000) malaikat. (Riwayat ad-Darimi)

Mengadakan Dan Menghadiri Majlis Khatam Al-Qur’an

Daripada riwayat-riwayat yang tersebut, boleh difahami bahawa para ulama menggemari mengadakan majlis khatam al-Qur’an kerana kelebihan yang terkandung di dalamnya. Bahkan adalah sunat menghadiri majlis khatam al-Qur’an sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Adalah disunatkan menghadiri majlis khatam al-Qur’an bagi orang yang boleh membaca al-Qur’an dan bagi orang yang kurang baik bacaannya. (Al-Adzkâr: 177)

Demikian juga kata asy-Syeikh asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh:

Ertinya: Adalah sunat untuk mengkhatam al-Qur’an pada awal siang atau malam, berdo‘a selepasnya, menghadirinya. (Mughnî al-Muhtâj: 1/153)

Menurut al-Bujairimi Rahimahullâh, ‘menghadirinya’ yang dimaksudkan oleh asy-Syeikh asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh dalam ungkapan di atas adalah menghadiri majlis khatam al-Qur’an.

Kata al-Bujairimi Rahimahullâh:

Ertinya: (Dan sunat menghadirinya) yakni menghadiri khatam yakni menghadiri majlis khatam. (Bujairimi ‘ala al-Khathîb: 1/490)

Dalam hal ini juga, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz ada menyebutkan di dalam fatwanya mengenai mengadakan majlis khatam al-Qur’an: “Mengadakan majlis khatam sesudah membaca atau mengaji 30 juz al-Qur’an itu, kemudian berdo‘a setelah khatam itu, adalah sunat dan maksud majlis khatam itu kerana menzahirkan syukur kepada Allah Ta‘ala di atas ni‘mat pandai mengaji al-Qur’an dan kerana berdo‘a pada majlis khatam al-Qur’an itu adalah mustajâb dan lekas diterima oleh Allah Ta‘ala akan do‘a orang yang berdo‘a itu”. (Fatwa Mufti Kerajaan siri16/85)

Mengulangi Memulakan Bacaan Al-Qur’an Selepas Khatam

Mengulangi atau memulakan bacaan al-Qur’an selepas khatam untuk mengkhatamkannya sekali lagi atau seterusnya adalah sunat hukumnya sebagaimana yang dikatakan oleh asy- Syeikh asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullah:

Ertinya: Dan sunat memulakan bacaan lagi selepas khatam untuk khatam yang lain serta memperbanyakkan membaca al-Qur’an. (Mughnî al-Muhtâj: 1/153)

Berdasarkan penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa majlis sambutan khatam al- Qur’an hukumnya adalah sunat serta khatam al-Qur’an itu tidak bermaksud berhenti daripada membaca al-Qur’an setelah selesai membaca keseluruhannya. Oleh yang demikian, adalah salah pendapat yang mengatakan: “Majlis sambutan khatam al-Qur’an tidak relevan kerana kita sebagai seorang Islam tidak akan pernah khatam al-Qur’an selagi mana kita hidup di muka bumi.” Khatam al-Qur’an itu bukan bermaksud berhenti daripada membaca al-Qur’an setelah selesai membaca keseluruhannya.

Oleh itu janganlah kita meninggalkan pembacaan al-Qur’an walaupun kita sudah khatam membacanya, kerana fadhilat membaca al-Qur’an itu sangat banyak, antaranya; akan memberi syafa‘at kepada orang yang membacanya pada Hari Kiamat, mendatangkan rahmat, kebajikan, menerangkan hati dan juga merupakan amalan dan ibadat yang sangat mulia serta mendapat pahala yang berlipat kali ganda.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11300