Mengembiri Binatang
Soalan: Merujuk keratan akhbar Pelita Brunei, Aneka, Keluaran 3 Oktober 2007 dan buku Irsyad Hukum 2007 muka surat 422-423 berkenaan dengan perkara “Awas Menyeksa Binatang Menempah Neraka”.
Sehubungan dengan perkara tersebut, Pihak Jabatan Pertanian ingin memohon pandangan dan nasihat daripada Pehin Mufti mengenai dengan “Mengembiri Binatang”, yang mana seperti dalam kenyataan akhbar Pelita Brunei tersebut bahawa hukumnya adalah haram. Memandangkan isu ini sering dipersoalkan oleh orang ramai terutamanya pelanggan yang beragama Islam.
Pada masa ini Klinik Haiwan, Jabatan Pertanian merupakan agensi kerajaan yang memberi perkhidmatan berkenaan. Dari sehari ke sehari permintaan khidmat mengembiri semakin banyak daripada pemelihara-pemelihara haiwan kesayangan khususnya kucing.
Jawapan: Binatang merupakan makhluk Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang merasa kesakitan seperti manusia sekiranya mana-mana anggota badannya dicederakan sama ada dipukul atau sebagainya. Menyakiti binatang merupakan tindakan yang zalim. Islam melarang umatnya melakukan kezaliman terhadap binatang.
Larangan dan balasan orang yang berbuat zalim terhadap binatang ada dijelaskan dalam hadits yang menceritakan tentang seorang perempuan yang diazab di dalam neraka hanya kerana menyeksa seekor kucing. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Diseksa seorang perempuan disebabkan seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati. Maka dia masuk neraka disebabkan perbuatannya itu. Dia tidak memberi kucing itu makan dan minum ketika dia mengurungnya dan dia tidak pula membiarkannya makan tumbuh-tumbuhan tanah. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam hadits yang lain pula, Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ berkata:
Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang menyeksa makhluk yang bernyawa (binatang) lalu dia tidak bertaubat, nescaya Allah akan menyeksanya seperti yang dilakukannya (terhadap binatang tersebut) pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat Ahmad)
Dalam hal ini, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Dan pembunuhan tidaklah menjadi satu syarat (pengharaman penyeksaan binatang) bahkan demikian juga (diharamkan) penyeksaan yang bersangatan seperti memukul dengan pukulan yang menyakiti. Kemudian saya melihat ada sesetengah ulama yang menyatakan (dengan terang) bahawa menyeksa binatang tanpa keperluan (tiada sebab) dan mengembiri hamba dan menyeksanya dengan zalim atau aniaya adalah terdiri daripada dosa-dosa besar dan diqiyâskan kepada hamba itu yang selainnya juga. (Az-Zawâjir: 2/172)
Hukum Mengembiri Binatang
Mengembiri disebut dalam bahasa arab sebagai “ اءحخِص ” yang bermaksud memotong kedua-dua biji buah zakar. Menurut Kamus Dewan, mengembiri bererti menghilangkan jantannya atau sifat kejantanannya.
Hukum mengembiri binatang boleh dibahagikan kepada dua: 1. Mengembiri Binatang Yang Haram Dimakan. Mengembiri binatang yang haram dimakan seperti kucing, anjing dan sebagainya adalah haram sama ada binatang itu masih kecil atau pun sudah dewasa. Dalam hal ini, Imam al-Baghawi dan Imam ar-Rafi‘e Rahimahumallâh berkata:
Ertinya: Tidak harus mengembiri binatang yang haram dimakan sama ada binatang itu masih kecil ataupun sudah dewasa. (Al-Majmû‘: 6/163) 2. Mengembiri Binatang Yang Halal Dimakan. Adapun mengembiri binatang yang halal dimakan seperti kambing, lembu dan seumpamanya adalah harus dengan syarat binatang tersebut masih kecil (belum dewasa) dan ia bertujuan untuk menggemukkan binatang dan mendapatkan daging yang lebih enak. Keharusan pada mengembiri binatang yang halal dimakan ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu yang berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila hendak melakukan korban (udhhiyyah), Baginda membeli dua ekor kambing kibasy yang besar, gemuk, bertanduk, memutih bulunya dan yang telah dikembiri. (Hadits riwayat Ibnu Majah) Imam an-Nawawi Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: Harus mengembiri binatang yang boleh (halal) dimakan dagingnya semasanya kecil kerana untuk mendapatkan daging yang lebih baik, dan tidak harus mengembiri binatang semasa ia dewasa. (Raudhah at-Thâlibîn: 2/226)
Maka berdasarkan hadits dan penjelasan ulama di atas, mengembiri hanya diharuskan terhadap binatang yang halal dimakan yang masih kecil (belum dewasa). Binatang yang halal dimakan yang telah dewasa tidak boleh dikembiri. Adapun binatang yang tidak halal dimakan, sama sekali tidak boleh dikembiri sama ada semasa ia kecil ataupun dewasa.
Oleh itu, perkhidmatan yang diberikan oleh klinik haiwan, untuk mengembiri binatang peliharaan bagi binatang-binatang yang haram dimakan seperti kucing dan sebagainya atau binatang-binatang yang halal dimakan yang telahpun dewasa (jika ada) adalah termasuk dalam perbuatan menzalimi atau menyeksa binatang yang dilarang keras oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu.
Oleh yang demikian, perkhidmatan bagi mengembiri binatang yang haram dimakan atau binatang yang halal dimakan yang telahpun dewasa (jika ada) itu hendaklah ditiadakan supaya kita tidak melakukan perkara yang dimurkai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan terselamat daripada azabNya kerana menyeksa makhlukNya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11332
