Menamakan Anak Dengan Nama Surah-Surah Al-Qur’an
Soalan: Bolehkah menggunakan nama surah daripada al-Qur’an untuk dijadikan nama anak umpamanya ar-Rahman, digabungkan menjadi Muhammad Nur ar-Rahman?
Jawapan: Nama mempunyai nilai yang tinggi di sisi agama dan kehidupan seorang insan. Dengan nama itulah dia akan dikenali. Dengan nama itu jugalah dia akan dipanggil pada Hari Akhirat. Kerana itu nama bukan perkara kecil. Malahan ia boleh melibatkan hukum larangan jika nama yang diberikan itu tidak menepati ajaran Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Nama juga merupakan simbol khusus yang dapat membezakan diri seseorang itu daripada orang lain. Bahkan dengan nama juga seseorang itu boleh dikenali agamanya, sama ada Islam ataupun bukan. Nama juga boleh mempengaruhi atau mencerminkan sifat dan keperibadian orang yang empunya nama.
Oleh sebab itu, nama merupakan antara perkara yang terawal sekali diberi perhatian bagi anak yang baru lahir. Sejak anak damit (kecil) masih dalam kandungan lagi para ibu bapa sudah mencari dan merancang dengan teliti nama yang akan diberikan kepada anak mereka yang akan lahir.
Sebagaimana yang tersebut dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan juga pendapat para ulama adalah dituntut terutama sekali kepada ibu bapa supaya memilih nama-nama yang baik ketika memberi nama kepada anak yang baru lahir, dan menghindarkan daripada meletakkan nama-nama yang dimakruhkan lebih-lebih lagi yang diharamkan kerana antara hak anak ke atas ibu bapanya ialah memberikannya nama yang baik dan menghindarkan daripada memberikannya nama yang tidak elok.
Tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya di antara hak anak ke atas bapa ialah mengelokkan namanya dan mengelokkan tingkah lakunya. (Hadits riwayat al-Bazzar)
Di dalam hadits yang lain pula disebutkan, juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Hak seorang anak ke atas bapa ialah mengelokkan namanya, mengahwinkannya apabila sampai umur dan mengajarkannya al-Kitab (al-Qur’an).” (Hadits riwayat ad-Dailami)
Oleh itu, Islam telah menyediakan panduan yang khusus dan hukum-hakam yang berkaitan dengan pemberian nama ini.
Memilih Nama Yang Baik
Sunat menamakan anak dengan nama yang baik. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad Rahimahullâh daripada Abu ad-Darda‘ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Nama Yang Paling Disukai Oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ Sebaik-baik nama dan yang paling disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ialah ‘Abdullah (عبدَللاَ) dan ‘Abdul Rahman (َعبدَالرمحنَ) sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, bahwasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Nama-nama yang paling disukai di sisi Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman. (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Sebaik-baik nama selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman ini pula ialah nama-nama ‘Abd ( عبد - hamba ) yang disandarkan kepada nama-nama Allah yang sembilan puluh sembilan (al-Asmâ ‘al-Husnâ) seperti ‘Abdul Rahim (الرحيمَ عبد), ‘Abdul Malik (اللكَ عبد), ‘Abdul Salam (َالسالم َ عبد) dan yang seumpamanya. (Hâsyiah asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘alâ Syarh al-‘Allâmah Ibnu Qasim al-Ghazzi: 2/457)
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, nama-nama sebegini (Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim, Abdul Malik dan yang seumpamanya) sangat disukai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan memiliki kelebihan, kerana ia menggabungkan sifat-sifat yang wajib bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan sifat yang wajib bagi manusia iaitu ‘ubûdiyyah (penghambaan). (Tuhfah al-‘Ahwadzî: 8/104)
Manakala nama Muhammad (ُممد ) dan kemudian nama Ahmad (َأمحد ) pula adalah nama yang paling afdhal selepas nama-nama tersebut. (Hâsyiah asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘alâ Syarh al-‘Allâmah Ibnu Qasim al-Ghazzi: 2/457)
Menggunakan Nama-Nama Para Nabi Dan Para Malaikat
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata bahawa menurut mazhab as-Syafi‘e dan jumhûr ulama, harus menamakan anak dengan nama-nama para nabi, begitu juga nama-nama para malaikat.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menyarankan untuk menamakan anak dengan nama para nabi. Ini jelas sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Bernamalah kamu dengan nama-nama para nabi. (Hadits riwayat Abu Daud)
Bahkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri telah menamakan putera Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm. Diceritakan juga dalam kitab al-Adab al-Mufrad bahawa Baginda menamakan seorang sahabat Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Yusuf ‘Alaihissalâm.
Abu Hurairah dan Jabir Radhiallâhu ‘anhumâ pula telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Namakan (anak) kamu dengan namaku dan janganlah kamu menggelarnya dengan gelaranku. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menamakan anak dengan nama Muhammad mempunyai banyak kelebihan. Dalam kitab al- Khashâ’ish telah diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau bekata: “Apabila pada Hari Kiamat kelak malaikat memanggil: “Hai dengar! Hendaklah orang yang namanya Muhammad bangun dan masuk syurga kerana memuliakan Nabi kita Shallallâhu ‘alaihi wasallam (kerana nama orang itu Muhammad yang memakai sempena nama Nabi kita Shallallâhu ‘alaihi wasallam)”. (Subul as-Salâm Syarh Bulûgh al-Marâm: 4/1876)
Bahkan dikatakan bahawa setiap satu keluarga sayugia tidak kosong daripada nama Muhammad kerana ia mempunyai fadhilat yang tinggi. Telah disebutkan dalam kitab Subul as-Salâm: “Dalam Musnad al-Harst bin Abu ‘Usamah, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa yang mempunyai tiga anak lelaki dan tidak dinamakan salah seorang daripada mereka dengan nama Muhammad maka dia adalah orang yang jahil”. (Subul as-Salâm Syarh Bulûgh al-Marâm: 4/1876)
Perlu diingat, nama Muhammad itu nama yang baik lagi mulia, oleh itu jangan dipotong-potong atau diringkaskan ejaannya, sebagaimana yang difatwakan oleh bekas Mufti Kerajaan, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Datu Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz:
“Nama Muhammad itu jangan dipotong-potong seperti Md. atau Mohd., kerana perbuatan itu tiada berkat dan kurang adab kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam.” (Fatwa Siri 66/91)
Nama-Nama Yang Makruh Digunakan
Makruh menamakan anak atau menggunakan nama yang tidak elok maknanya dan nama yang dianggap buruk pada adat kebiasaan seperti Harb (حرب - perang), Murrah (مرة - pahit), ‘Ashiyah (عاصية - yang membuat maksiat), Kalb (كلب - anjing) dan sebagainya. Menamakan anak dengan nama-nama seperti ini tidak syak lagi akan memberikan impak yang negatif terhadap diri mereka yang mempunyai nama tersebut kerana ia akan membuatkan mereka merasa malu, terhina, rendah diri dan sebagainya. Tidak mustahil juga ia boleh menjejaskan kedudukan orang itu di mata masyarakat.
Nama-Nama Yang Haram Digunakan
Menggunakan nama-nama yang menunjukkan penghambaan kepada selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti ‘Abdul Syams (عبد َالشمس - hamba matahari), ‘Abdul Husain (عبد َالسني -hamba Husain), ‘Abdul Ka‘bah ( عبدَالكعبة - hamba Ka‘bah) dan yang seumpamanya hukumnya adalah haram.
Begitu juga haram menggunakan nama-nama yang khusus bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti Allah (للا), Ar-Rahman (الرمحن), Al-Ilah (اإلله) dan Ar-Rabbََ (الرَّب), kecuali jika ditambah dengan perkataan ‘Abd (عبد) sebelum nama-nama tersebut seperti ‘Abdullah ( عبدَللا ), ‘Abdul
Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang hanya layak dimiliki oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sahaja seperti Malik al-Amlak (ملكَاألمالك - raja segala raja), Khaliq al-Khalq (َ خالق اْللق - pencipta seluruh makhluk) dan nama-nama lain yang menyerupai makna nama-nama tersebut. (Mughnî al-Muhtâj: 4/393 dan Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibnu Qasim al-‘Abbadi: 9/462)
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Lelaki yang paling dimurkai di sisi Allah pada Hari Kiamat dan yang paling buruk dan paling Allah murka ke atasnya ialah lelaki yang diberi nama Malik al-Amlak. Padahal tiada raja yang maha memiliki kekuasaan melainkan Allah (sahaja). (Hadits riwayat Muslim)
Larangan daripada menggunakan nama-nama seumpama ini tidak hanya terbatas dalam bahasa Arab sahaja, ini termasuk juga bagi nama-nama dalam bahasa lain yang sama maknanya dengan nama-nama yang diharamkan itu.
Menamakan Anak Dengan Nama Surah Al-Qur’an
Dalam al-Qur’an terdapat surah yang dinamakan dengan nama yang khusus bagi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ iaitu ar-Rahman (الرمحن -Tuhan Yang Maha Pemurahََ ). Selain itu, ada juga surah-surah yang dinamakan dengan nama-nama para nabi seperti Muhammad (ُممد ), Thaha (طه),Yasin (يس) iaitu antara nama lain bagi Nabi Muhammad), Ibrahim (ابراهيم), Yusuf (يوسف), Nuh (نوح) dan selainnya dan nama-nama hamba-hamba Allah yang salih seperti Maryam (ْيمر ), Luqman (لقمان) dan lain-lain.
Terdapat juga surah-surah yang dinamakan dengan nama-nama binatang seperti al-Baqarah (البقرة - sapi atau lembu betina), an-Nahl (النحل - lebah), an-Naml (َالنمل – semut), al-‘Ankabût (العنكبوت - labah-labah), al-Fîl (الفيل - gajah), nama kaum yang dimurkai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti Saba’ (سبا - kaum Saba’ ), nama-nama Hari Kiamat seperti at-Taghâbun (َالتغابن - hari dinampakkan kesalahan), nama golongan-golongan yang bersifat dengan sifat-sifat yang dimurkai Allah seperti al-Humazah (المزة - pengumpat dan pencela), al-Muthaffifîn (الطففني - orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan) dan lain-lain lagi.
Oleh yang demikian, hukum menamakan anak dengan nama daripada surah-surah al-Qur’an itu tertakluk kepada nama surah apakah yang diambil sebagai nama anak tersebut.
Jika nama surah yang diberikan kepada anak itu merupakan nama yang khusus bagi Allah seperti ar-Rahman (الرمحن), maka wajib ditambah perkataan ‘Abd (عبد) di hadapannya menjadi ‘Abdul Rahman (عبدَالرمحن ) yang bermaksud hamba Tuhan Yang Maha Pemurah. Nama ‘Abdul Rahman adalah antara nama yang mulia di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Jika nama surah itu nama para nabi, maka hukumnya adalah sebagaimana hukum menamakan anak dengan nama-nama para nabi iaitu harus bahkan sangat-sangat digalakkan seperti nama Muhammad (ُممد ). Sementara itu, jika nama surah itu nama hamba-hamba Allah yang salih seperti Maryam (nama ibunda Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm) dan Luqman (nama seorang hamba Allah yang salih) juga diharuskan, bahkan ia termasuk dalam suruhan memperelokkan nama kerana nama-nama tersebut adalah antara nama-nama yang sesuai, baik lagi elok diberikan kepada anak. Tambahan lagi Maryam dan Luqman itu hamba-hamba Allah yang mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah.
Manakala menamakan anak dengan nama-nama binatang, nama-nama Hari Kiamat, kaum yang dimurkai Allah dan golongan-golongan yang bersifat dengan sifat-sifat yang dimurkai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka ia termasuk dalam hukum memberikan nama yang dilarang kerana nama-nama tersebut mengandungi makna yang tidak elok dan tidak sesuai diberikan kepada anak.
Maka dalam hal menamakan anak dengan nama yang diambil daripada nama surah-surah al- Qur’an itu sendiri pada dasarnya, hukumnya adalah harus. Akan tetapi ia terikat dengan panduan syara‘ dalam memberikan nama kepada anak. Jika nama surah itu baik dan elok, maka tiada halangan menamakan anak dengan nama itu. Tetapi jika nama itu memberi makna yang tidak baik, tidak elok dan tidak sesuai, maka ia termasuk dalam nama-nama yang kita dituntut menghindarinya. Apatah lagi jika nama itu merujuk kepada golongan kufur seperti al-Kâfirûn.
Berhubung dengan nama “ar-Rahman” yang ditanyakan oleh penanya itu, maka hendaklah ditambah atau dibubuh ‘Abdul sebelumnya, menjadikannya Muhammad Nur ‘Abdul Rahman. Walau bagaimanapun sebagai irsyâd jua kepada penanya, nama yang dicadangkan itu adalah agak panjang yang akan berbangkit soal teknikal seperti kesukaran ketika mengisi borang-borang tertentu yang hanya menyediakan petak-petak huruf bagi ruangan mengisikan nama yang begitu terhad. Oleh itu, adalah memadai jika anak tersebut dinamakan dengan nama Muhammad atau Muhammad Nur tanpa disambung dengan ‘Abdul Rahman atau memadai dengan dinamakan ‘Abdul Rahman sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11328
