Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Menghadiri Majlis Pengebumian Keluarga Bukan Islam

Soalan: Apa hukum seorang saudara baru berbangsa Dusun menghadiri majlis pengebumian keluarganya yang tidak beragama Islam? Di tanah perkuburan satu upacara menjampi makanan dilakukan sebelum dimakan beramai-ramai, dan selebihnya akan diberi kepada si mati. Menurut kepercayaan mereka si mati pun sama-sama makan.

Jawapan: Agama Islam sangat menitik-beratkan tentang hubungan silaturrahim sesama saudara Islam dan kasih sayang sesama insan. Malahan ia merupakan salah satu amalan yang dijanjikan Allah syurga bagi mereka yang melakukannya. Perkara ini ada disebutkan di dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Daripada Musa bin Thalhah daripada Abu Ayyub, beliau berkata: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, dia berkata: “Tunjukkanlah kepadaku amal yang bila aku kerjakan boleh mendekatkanku kepada syurga dan menjauhkanku daripada neraka”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu, mengerjakan sembahyang dan membayar zakat dan menyambung silaturrahim”. Ketika dia berpaling pergi, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika dia memegang apa yang telah diperintahkan kepadanya, dia masuk syurga.” (Hadits riwayat Muslim)

Agama Islam merupakan agama yang syumûl (menyeluruh). Ia menggalakkan penganutnya supaya sentiasa berbuat baik, bermuamalat dengan baik dan berlaku adil kepada semua orang termasuklah orang-orang yang bukan beragama Islam selama mana mereka tidak mengganggu dan menghina Islam. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirannya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah Mumtahanah: 8)

Menurut Islam, apabila seseorang telah memeluk agama Islam, bukan bererti dia akan memutuskan hubungannya dengan keluarga, sanak saudara serta rakan-rakan yang beragama lain. Agama Islam tidak melarang mereka daripada terus berhubungan antara satu sama lain dalam batas-batas yang diizinkan. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata: “Telah datang ibuku kepadaku dan (ketika itu) dia masih musyrik (belum Islam) pada masa orang-orang Quraisy ketika mereka mengadakan perjanjian dengan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersama ayahnya, maka aku meminta fatwa daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, lalu aku berkata: “Dia (ibuku) menginginkan sesuatu daripadaku, adakah aku menghubungkan silaturrahim dengannya?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya. Hubungkanlah silaturrahim dengannya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Agama Islam tidak melarang kita daripada bermuamalat dengan mereka yang berlainan agama, asalkan mengikut batas-batas syariat Islam dan tidak ada perkara-perkara yang bertentangan dengan agama. Bahkan dianjurkan menguruskan jenazah orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam.

Mengiringi Mayat Orang Kafir ke Kubur

Adapun hukum mengenai keharusan ta‘ziah, ziarah dan mengiringi atau menghadiri upacara pengebumian mayat orang kafir tertakluk kepada hubungan di antara si hidup yang Muslim dengan si mati yang kafir.

Jika si mati yang kafir merupakan kaum keluarga seperti ibu, bapa atau suami, isteri, jiran dan sahabat, mereka adalah diharuskan mengiringi atau menghadiri mayatnya ke tanah perkuburan. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/23 dan Kitab al-Majmû‘: 5/242)

Pengarang kitab Mughnî al-Muhtâj menyatakan mengenai keharusan ini:

Ertinya: Tidak mengapa orang Islam mengiringi mayat keluarganya yang kafir. (Mughnî al- Muhtâj: 2/48)

Perkataan “keluarga” di sini diperjelaskan lagi dalam kitab Fath al-‘Allâm sepertimana katanya:

Ertinya: Dibolehkan bagi orang Islam mengiringi mayat keluarganya yang kafir, dan yang seperti keluarga itu ialah isteri, jiran, teman, maulâ dan hamba. (Fath al-‘Allam: 3/280)

Adapun dalil bagi pengharusan itu adalah bersandarkan kepada sebuah hadits daripada Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah, katanya:

Maksudnya: Aku telah berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya bapa saudaramu (Abu Thalib) si tua yang sesat itu telah mati”. Baginda bersabda: “Pergilah kamu dan kuburkanlah ayahmu itu. Setelah itu jangan kamu melakukan sesuatu, sampai kamu datang kepadaku lagi”. Maka aku pun pergi. Setelah aku menguburkannya, aku pergi menghadap Baginda dan Baginda memerintahkanku, lalu aku pun mandi, kemudian Baginda mendo‘akanku. (Hadits riwayat Abu Daud)

Akan tetapi jika si mati yang kafir adalah orang lain, iaitu bukan terdiri daripada “keluarga”, hukumnya adalah haram. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/23)

Adab Menghadiri Majlis Pengebumian Keluarga Kafir

Walaupun menghadiri upacara pengebumian keluarga yang kafir adalah diharuskan, namun orang Islam yang hadir itu tidak boleh sama sekali mengikut atau meniru gaya dan tatacara yang dilakukan oleh orang kafir, lebih-lebih lagi menyertai apa jua acara khusus keagamaan yang menyalahi batas-batas syara‘.

Antara adab yang diajarkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika menghadiri majlis pengebumian orang kafir itu ada disebutkan dalam hadits:

Maksudnya: Daripada ‘Abdullah bin Ka‘ab bin Malik, daripada bapanya, berkata: “Tsabit bin Qais bin Syammas datang menemui Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, katanya: “Sesungguhnya ibunya mati sebagai seorang Nashrani, dan dia ingin menghadiri mayatnya. Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya: “Naiki kenderaanmu dan berjalanlah di hadapannya, maka jika engkau berada di hadapannya, engkau tidak dikira bersamanya.” (Hadits riwayat ad-Daraquthni)

Dicatatkan dalam kitab Ahkâm Ahl adz-Dzimmah dalam riwayatnya:

Ertinya: Muhammad bin al-Hassan bin Harun berkata: “Abu Abdullah ditanya: “Dan adakah dia boleh menyaksikan (menghadiri majlis pengebumian) mayatnya?” Beliau menjawab: “Ya, boleh, sebagaimana yang dilakukan oleh Harits bin Abu Rubai‘ah di mana dia menyaksikan mayat ibunya, dan dia hanya berada di sudut dan tidak berada di dekat mayat, kerana mayat itu dilaknat.” (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 1/159)

Berdasarkan riwayat tersebut, bersimpati terhadap mayat tersebut dengan menghadiri majlis pengebumiannya adalah diharuskan. Namun begitu haruslah diingat bahawa menghadiri majlis seumpama ini hanyalah bertujuan menunjukkan simpati kepada keluarga si mati semata-mata dengan tidak terikut-ikut dengan adab-adab dan tatacara yang bertentangan dengan syara‘ semasa majlis tersebut dijalankan.

Ketika menghadirinya hendaklah berada di sudut yang berjauhan dengan mayat dan bukannya berdekatan dengan mayat tersebut. Manakala ketika menghantarnya ke tempat perkuburan, hendaklah berada di hadapan mayat dan bukannya berada di belakangnya sepertimana diharuskan menghantar mayat orang Islam.

Ta‘ziah Ke Atas Keluarga Mayat Orang Kafir

Dalam Islam, bersimpati atau memberikan ucapan ta‘ziah serta menyabarkan keluarga si mati dengan menceritakan hal-hal yang dapat menghibur dan meringankan kesedihan mereka adalah disunatkan. Ia dilakukan sebelum atau selepas pengebumian dalam masa tempoh tiga hari dan diberi ganjaran pahala kerana berbuat demikian, sepertimana yang diriwayatkan Ummu al-Aswad daripada Munyah binti ‘Ubai Ibnu Abu Barzah, daripada neneknya, Abu Barzah berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa memberi ta‘ziah seorang perempuan yang ditinggal mati anaknya, maka akan dipakaikan pakaian (kemuliaan) di syurga. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Namun demikian, adalah makruh bagi lelaki berta‘ziah kepada wanita muda melainkan suaminya atau mahramnya agar tidak menimbulkan fitnah dan dihukumkan haram bagi wanita muda berta‘ziah kepada lelaki lain yang bukan mahramnya. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/13)

Adapun jika orang yang meninggal itu seorang Muslim atau kafir daripada keluarga kafir yang dihormati, maka berta‘ziah kepada mereka adalah harus dan menjadi sunat jika mengharapkan pengislaman mereka.

Adapun ucapan ta‘ziah kepada keluarga kafir, jika orang yang meninggal itu seorang Muslim adalah seperti:

Ertinya: Semoga Allah mengampuni mayat keluargamuَ dan membaikkan kesabaranmu.

Jika yang meninggal itu seorang kafir, ucapan ta‘ziah adalah seperti:

Ertinya: Semoga Allah memberikanmu penggantinya.

Ziarah Kubur Orang Kafir

Menziarahi kubur orang-orang Islam adalah sunat bagi kaum lelaki Muslim, lebih-lebih lagi menziarahi kubur kaum kerabat khususnya ibu bapa walaupun di negara lain bagi tujuan mengambil pengajaran dan mengingati akhirat. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/236)

Diriwayatkan daripada Ibnu Buraidah daripada bapanya, dia berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Dulu aku melarang kamu untuk berziarah kubur, sedangkan diizinkan kepada Muhammad untuk ziarah kubur ibunya, maka ziarahilah ia (kubur), kerana ia dapat mengingatkan kamu kepada akhirat. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Adapun menziarahi kubur orang kafir hukumnya adalah makruh jika mayat tersebut adalah kaum keluarga dan sahabat dan haram jika orang lain. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/23 dan Mughnî al-Muhtâj: 2/48)

Hal ini ada disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menziarahi kubur ibu Baginda, maka Baginda menangis, lalu orang di sekelilingnya turut menangis. Baginda bersabda: “Aku memohon keizinan daripada Tuhanku ‘Azza wa Jalla supaya aku dapat memohonkan ampun baginya (ibuku), tetapi aku tidak dibenarkan. Dan aku memohon keizinan untuk menziarahi kuburnya (ibuku), maka Dia membenarkanku…” (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Kesimpulan

Menghadiri majlis pengebumianََ orang bukan Islam adalah diharuskan oleh syara‘ jika mereka mempunyai hubungan keluarga dengan si mati seperti bapa, ibu dan teman. Namun begitu, ketika menghadirinya hendaklah berada jauh daripada mayat dan ketika menghantarnya ke tempat perkuburan hendaklah berada di hadapan mayat.

Haruslah juga diingat bahawa apa jua adab, tatacara serta gaya yang dilakukan oleh orang bukan Islam ketika majlis pengebumian itu berlangsung tidaklah boleh diikut lebih-lebih lagi menyertai apa jua acara khusus keagamaan mereka.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11340