Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menyentuh Anjing

Soalan: Adakah diwajibkan samak jika menyentuh anjing dengan sengaja atau tidak?

Jawapan: Dalam soalan di atas ada menyebutkan perkataan “samak”. Samak bererti merawat dan melembutkan kulit binatang dengan sejenis daun pohon yang digunakan untuk menyamak atau yang seumpamanya untuk menanggalkan sesuatu dari kulit tersebut daripada menjadi buruk, rosak dan lembab. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/250)

Walaupun demikian dilihat dari konteks soalan, perkataan yang sepatutnya digunakan ialah “sertu” yang bererti menyucikan mana-mana bahagian badan atau tempat yang terkena najis mughallazhah iaitu anjing dan babi atau mana-mana keturunan atau campuran daripada salah satu daripada binatang anjing atau babi dengan binatang lain, dengan tujuh kali cucian yang sekali daripadanya air yang bercampur tanah.

Kesalahan penggunaan istilah seperti ini sering terjadi, seperti juga perkataan “tayammum” yang digunakan bagi pembersihan tempat yang terkena najis anjing, umpamanya mentayammum masjid dan sebagainya. Ini tidak tepat.

Perkataan tayammum bererti perbuatan menyapukan debu tanah yang suci pada muka dan dua tangan sebagai ganti wudhu atau mandi wajib kerana ketiadaan air atau berlakunya halangan menggunakan air misalnya sakit. Dari itu kita perlu mempelajari dan memahami setiap perkataan (istilah) dengan betul supaya hukum yang sebenarnya itu betul dan bertepatan dengan maksud perkataan.

Menurut al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, semua binatang adalah suci kecuali anjing dan babi. Kedua-dua binatang ini termasuk dalam golongan najis mughallazhah iaitu najis berat. Dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sucinya bejana salah seorang di antara kamu, jika anjing menjilat di dalamnya, adalah dengan tujuh kali cucian, salah satunya yang bercampur dengan tanah. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, para ulama berpendapat bahawa anjing, khinzîr (babi) dan apa-apa jua yang lahir daripada keduanya seperti anak keturunan yang lahir daripada keduanya atau hasil daripada percantuman dengan binatang yang suci dan halal, mahupun peluh, air liur atau bekas kedua-duanya, semua ini dianggap sebagai najis mughallazhah. Apabila kita menyentuhnya wajiblah dibersihkan dengan tujuh kali cucian dan salah satunya dengan air bercampur tanah yang bersih.

Begitu juga apabila sesuatu menjadi najis disebabkan terkena anjing, wajib dibersihkan dengan tujuh kali cucian sepertimana yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh. (Mughnî al-Muhtâj: 1/226-227)

Ertinya: Dan apa yang menjadi najis kerana bersentuhan sesuatu daripada anjing hendaklah dicuci sebanyak tujuh kali cucian, salah satunya dengan tanah. (Minhaj ath- Thâlibîn: 1/117)

Adapun bekas gigitan anjing sama ada pada binatang buruan, ternakan atau pada badan seseorang, ulama berbeza pendapat dalam menyucikannya. Namun yang mu‘tamad adalah tempat bekas gigitan tersebut wajiblah dicuci sama seperti mencuci sesuatu yang terkena anjing. Ini kerana menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitab buruan dan sembelihan, tempat gigitan anjing itu dianggap najis namun tidaklah wajib mengorek dan membuang bekas gigitan tersebut dan cukuplah dengan hanya mencucinya dengan tujuh kali cucian yang dicampur salah satunya dengan tanah. (Hâsyiah al-‘Allâmah asy-Syeikh Sulaiman al-Jamal: 1/183)

Tuntuan dan kewajipan mencuci sebanyak tujuh kali itu adalah jika sesuatu itu terkena atau bersentuhan dengan anjing atau bahagian anggotanya, apabila salah satu daripada keduanya dalam keadaan basah. Contohnya tangan yang kering terkena anjing yang basah atau tangan yang basah terkena anggota anjing yang kering.

Perkara ini dijelaskan oleh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al- Muhtâj:

Ertinya: Dan apa jua yang terkena najis daripada pepejal (bukan cecair) walaupun pada tempat gigitan daripada binatang buruan atau yang selainnya, dengan persentuhan sesuatu daripada anjing sama ada air liurnya, air kencingnya dan semua cairan (yang dikeluarkannya) dan semua bahagian anggotanya yang kering, jika terkena sesuatu yang basah, hendaklah dicuci dengan tujuh kali cucian, salah satunya dengan tanah. (Mughnî al- Muhtâj: 1/239)

Berdasarkan penjelasan di atas, jika sesuatu menyentuh atau terkena pada mana-mana anggota atau bahagian anjing yang mana kedua-duanya dalam keadaan kering, tidaklah wajib dicuci dengan tujuh kali cucian yang salah satunya bercampur tanah, kecuali jika salah satu daripada keduanya dalam keadaan basah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11344