Menggunakan Kitab Al-Qur’an Ketika Mengimamkan Sembahyang
Soalan: Apa hukumnya seorang imam bertauliah yang mengimamkan sembahyang fardhu Shubuh, Maghrib dan ‘Isya’ pada setiap hari membaca surah selepas al-Fâtihah pada rakaat pertama dan kedua dengan menggunakan kitab al-Qur’an yang diletakkan di hadapannya?
Jawapan: Membaca al-Qur’an daripada Mushhaf adalah afdhal daripada membacanya dengan hafalan, kerana membaca al-Qur’an daripada Mushhaf menghimpunkan perbuatan membaca dan melihat Mushhaf, dan perbuatan melihat Mushhaf itu adalah satu ibadat yang lain. Walau bagaimanapun keafdhalan itu adalah tertakluk juga kepada individu, kerana barang siapa yang bertambah khusyû‘, hadir hatinya dan bertambah-tambah perhatian dan pengamatannya dengan salah satu daripada kedua-duanya itu, maka itulah yang afdhal baginya.
Dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Membaca al-Qur’an daripada Mushhaf lebih afdhal daripada membaca melalui hafalan, kerana membaca al-Qur’an daripada Mushhaf menghimpunkan (perbuatan) membaca dan melihat Mushhaf, dan ia (melihat Mushhaf) adalah satu ibadat yang lain. Begitulah yang dikatakan oleh al-Qadhi Husain dan ulama yang lainnya daripada kalangan sahabat-sahabat kami dan dinashkan juga oleh jemaah-jemaah daripada ulama salaf dan aku tidak melihat padanya sebarang khilâf, mudah-mudahan mereka menghendaki (pendapat) yang sedemikian itu bagi hak orang yang kekhusyû‘annya dan kehadiran hatinya di dua situasi itu (membaca daripada Mushhaf dan membaca daripada hafalan) adalah sama kedudukannya. Maka adapun siapa yang bertambah kekhusyu‘an, kehadiran hati dan perhatiannya dengan membaca al-Qur’an daripada hafalan maka itulah yang lebih afdhal menurut kesesuaiannya. (Al-Majmû‘: 2/189)
Adapun perihal membaca al-Qur’an daripada Mushhaf ketika bersembahyang, Imam an- Nawawi Rahimahullâh ada berkata:
Ertinya: Jika seseorang membaca al-Qur’an daripada Mushhaf (ketika bersembahyang), sembahyangnya tidaklah batal sama ada ayat al-Qur’an yang dibacanya itu telah dihafalnya ataupun tidak. Bahkan sedemikian itu (membaca daripda Mushhaf) adalah wajib ke atasnya, jika dia belum hafal surah al-Fâtihah sebagaimana yang terdahulu keterangannya. Dan tidak juga batal sembahyangnya jika dia membalik kertas Mushhaf sekali-sekala di dalam sembahyang. (Al-Majmû‘: 4/105)
Sehubungan dengan itu, membaca ayat al-Qur’an dengan melihat Mushhaf ketika bersembahyang adalah harus hukumnya dan ia tidak membatalkan sembahyang. Begitu juga perbuatan membalik kertas Mushhaf ketika bersembahyang adalah harus hukumnya dan ia juga tidak membatalkan sembahyang dengan syarat ia dilakukan sekali-sekala (tidak berturut-turut sebanyak tiga kali), kerana pergerakan yang berturut-turut sebanyak tiga kali adalah salah satu di antara perkara-perkara yang membatalkan sembahyang. Maksud berturut-turut itu adalah apabila dikira setiap satu pergerakan terpisah dengan yang lain seperti tiga kali melangkah dengan berturut-turut.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan bahawa perbuatan yang tidak termasuk dalam pekerjaan sembahyang jika ia menimbulkan banyak pergerakan akan membatalkan sembahyang, tetapi jika hanya menimbulkan sedikit pergerakan, maka tidaklah membatalkan sembahyang. Kemudian para sahabat sepakat bahawa bergerak banyak yang membatalkan sembahyang itu ialah jika dilakukan berturut-turut. Jika gerakannya itu berselang-seling, maka tidaklah membatalkan sembahyang, seperti melangkah sekali kemudian berhenti sekejap, lalu melangkah lagi selangkah atau dua langkah, yakni secara terpisah-pisah. Seandainya ia dilakukan dengan berulang-ulang sampai seratus langkah atau lebih tidaklah menjadi apa-apa.” (Al-Majmû‘: 4/104)
Walau bagaimanapun keharusan perbuatan membaca ayat al-Qur’an dengan melihat Mushhaf dan juga membalik kertas Mushhaf ketika bersembahyang adalah dengan syarat ia dilakukan tidak berturut-turut sebanyak tiga kali dan ianya dilakukan kerana ada keperluan. Jika ia dilakukan dengan sengaja tanpa keperluan, maka ia dihukumkan makruh. (Mughni al-Muhtâj: 1/419)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11797
