Mengadakan Majlis Pernikahan Di Rumah Orang Bukan Islam
Soalan: Kawan saya adalah seorang mu’allaf dan merupakan anak tunggal kepada keluarganya yang belum lagi masuk Islam kecuali dirinya sahaja. Dia akan mendirikan rumahtangga tidak lama lagi tapi ibunya mahu majlis akad nikah, berbedak dan bersanding diadakan di rumahnya sedangkan di rumah tersebut terdapat anjing dan babi.
Bolehkah kawan saya mengadakan majlis berkenaan di rumah ibunya memandangkan mereka bukan orang Islam?
Jawapan: Majlis Pernikahan Yang Diberkati
Setiap pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga pastinya mengharapkan majlis di hari pernikahannya itu diberkati dan dirahmati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan do‘a-do‘a, dijauhkan dari perkara-perkara yang tidak sesuai dengan syara‘ seperti mengadakan tarian-tarian, nyanyi-nyanyian, perjudian dan lain-lain seumpamanya.
Begitu juga dengan tempat berlangsungnya akad nikah tersebut, adalah lebih elok jika ia diadakan di sebuah tempat yang banyak diturunkan rahmat dan Malaikat Rahmat tidak terhalang daripada memasukinya seperti masjid dan seumpamanya. Melangsungkan pernikahan di masjid ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Kamu umumkanlah pernikahan ini dan kamu jadikanlah ia (lakukanlah pernikahan ini) di masjid-masjid dan kamu pukullah dengan gendang di atas pernikahan itu.
Akan tetapi, bagaimana mungkin majlis tersebut dirahmati jika terdapat di tempat atau rumah tersebut sesuatu yang boleh menghalang Malaikat Rahmat daripada memasukinya seperti anjing kerana Malaikat Rahmat enggan memasuki rumah yang terdapat di dalamnya anjing, patung-patung dan seumpamanya
Diriwayatkan daripada Abu Thalhah Radhiallâhu ‘anhu, daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan gambar (patung). ( Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Aku telah didatangi Jibril lalu dia berkata: “Sesungguhnya saya telah datang kepadamu pada malam yang lalu, maka tidak ada satupun yang menghalangiku untuk masuk ke rumah yang engkau ada di dalamnya, kecuali di pintu rumah ada patung manusia dan di dalam rumah ada kain langsir (langsir nipis daripada bulu kambing) yang ada berukir patung dan di dalam rumah itu pula ada anjing, maka perintahkanlah supaya kepala patung yang berada di pintu itu dipotong serta jadikanlah ia seperti sebatang pohon dan perintahkanlah supaya langsir itu dipotong-potong dan dijadikan daripadanya dua bantal yang dihamparkan sebagai tempat duduk dan perintahkanlah untuk anjing itu supaya dikeluarkan (dari rumah).”
Mengadakan Majlis Pernikahan Di rumah Orang Bukan Islam
Mengadakan pernikahan di mana sahaja adalah sah termasuklah di rumah orang bukan Islam sekalipun terdapat anjing di rumah berkenaan.
Tetapi sungguhpun begitu, keberkatan dan rahmat dalam sesebuah majlis itu merupakan suatu yang diharap-harapkan, namun jika terdapat anjing atau babi di tempat berkenaan akan menyebabkan Malaikat Rahmat enggan memasuki dan menghadiri majlis tersebut sepertimana yang telah dijelaskan oleh hadits di atas. Bukan itu sahaja, bahkan keselesaan para jemputan yang beragama Islam mungkin akan terjejas dan ia akan menjadi sebab bagi mereka untuk tidak menghadiri majlis tersebut. Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah tidak mahu memasuki perkampungan yang terdapat anjing di dalamnya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah datang ke sebuah rumah orang-orang Anshar sedang sebuah rumah lagi Baginda tidak mendatanginya. Ini menimbulkan tanda tanya di kalangan mereka. Lalu mereka bertanyakan kepada Nabi: “Wahai Rasulullah! Tuan telah datang ke rumah si polan dan Tuan tidak pula datang ke rumah kami?” Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya dalam rumah itu ada anjing”. Mereka berkata: “Dalam rumah mereka pula ada kucing liar”. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Kucing liar itu (hanyalah) binatang buas (iaitu bukan dalam kategori anjing).” (Hadits riwayat al-Hakim)
Ini bererti, sekalipun mengadakan pernikahan di rumah orang bukan Islam dan di dalamnya terdapat anjing itu adalah sah, akan tetapi bagi mereka yang ingin mendapatkan rahmat yang lebih dalam majlis mereka, maka adalah lebih elok ia dilakukan di tempat-tempat yang tidak terhalang turunnya rahmat.
Walau bagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan mengadakan majlis pernikahan di rumah ibu bapa yang bukan Islam, lebih-lebih lagi bagi menghormati dan menjaga hati mereka, atau dengan tujuan dan harapan berda‘wah untuk menarik hati ibu bapa itu kepada Islam. Pernikahan adalah sah, cuma menyangkut perkara keberkatan kerana di dalam rumah itu ada anjing, babi atau lain-lain benda najis seperti arak, bangkai, patung dan seumpamanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11793
