Menjual Gambar Pemandangan Dalam Ka‘bah
Soalan: Dengan hormat dipohonkan fatwa Pehin Mufti mengenai penjualan gambar pemandangan dalam Ka‘bah kepada orang ramai. Tujuannya selain untuk mendapatkan untung juga untuk berda‘wah.
Jawapan: Ka‘bah ialah Baitullâh al-Haram dan qiblat bagi seluruh umat Islam. Ia merupakan rumah pertama dibina di muka bumi sebagai tempat umat Islam beribadat.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya rumah pertama yang dibina (sebagai tempat beribadat) untuk manusia ialah (Baitullâh) yang ada di Makkah, yang berkat dan menjadi petunjuk bagi umat manusia. (Surah Âli ‘Imran: 96)
Ka‘bah dianugerahkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan berbagai keistimewaan. Antaranya selain daripada tempat umat Islam melakukan thawaf, ia merupakan tempat di mana do‘a dimustajâbkan sepertimana yang disebutkan dalam hadits daripada Abu Umamah Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Dibukakan pintu-pintu langit dan dikabulkan do‘a pada empat tempat, ketika bertemu perbarisan-perbarisan (jihad perang di jalan Allah), ketika turun hujan dan ketika mendirikan sembahyang dan ketika memandang Ka‘bah. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Dengan hanya memandang Ka‘bah sahaja akan diberi ganjaran pahala seolah-olah dia bersih daripada sebarang kesalahan umpama seorang anak kecil yang baru dilahirkan ibunya, apatah lagi berpeluang memasukinya, bersembahyang dan berdo‘a di dalamnya, setentunyalah akan mendapat ganjaran pahala yang lebih besar. (Mughni al-Mûhtâj: 2/282)
Adab Menghormati Ka‘bah
Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang Islam untuk menjaga kesucian dan kemuliaan Islam daripada dicemari dan dipersendakan. Ini termasuklah menghormati sesuatu yang dipandang mulia oleh Islam seperti para anbiyâ’, para ulama, masjid dan termasuklah Ka‘bah.
Apabila memasuki Ka‘bah terdapat adab-adabnya yang perlu dijaga bagi maksud meghormati dan memuliakannya. Antaranya ialah membersihkan badan dan menanggalkan kasut atau selipar apabila memasukinya, bahkan memakai kasut di dalam Ka‘bah dihukumkan makruh.
Antara adabnya lagi ialah memperbanyakkan do‘a dan bersembahyang di dalamnya dan tidak menyibukkan diri dengan memandang ke sekeliling Ka‘bah atau bercakap-cakap dengan orang lain. Bahkan dianjurkan agar tidak mengangkat pandangan ke bumbung Ka‘bah kerana dengan berbuat demikian boleh mengakibatkan timbulnya rasa lalai dan lupa akan maksud dan tujuan memasuki Ka‘bah. (Hâsyiah Ibnu Hajar ‘ala al-Îdhâh: 196-197)
Disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Salim bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu bahawa ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:
Maksudnya: Sungguh ajaib bagi seorang Muslim, apabila dia masuk ke dalam Ka‘bah dia mengangkat pandangannya ke arah bumbung hinggakan (perbuatannya) meninggalkan daripada memuliakan dan mengagungkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah masuk ke dalam Ka‘bah, Baginda tidak melepaskan pandangannya dari tempat sujudnya (tidak mengangkat pandangannya) sehinggalah Baginda keluar daripadanya (Ka‘bah). (Hadits riwayat al-Hakim)
Begitu juga apabila memasuki Ka‘bah hendaklah dalam keadaan yang tenang, khusyû‘, tawâdhu‘ dan tidak bersesak-sesak. Namun perkara ini mungkin amat payah untuk dicapai. Kekecohan dan kesesakan pasti berlaku memandangkan peluang memasuki Ka‘bah tidak datang berulang-ulang dan sudah setentunyalah orang ramai akan berebut-rebut mengambil peluang tersebut.
Mungkin inilah antara sebab pihak berkuasa di Arab Saudi menegah orang ramai daripada memasuki Ka‘bah adalah kerana ditakuti akan terjadi perkara yang tidak diingini berlaku seperti bersesak-sesak dan tolak-menolak sehingga mengakibatkan kecederaan. Malah apabila sudah bersesak-sesak, mungkin sahaja aurat akan terbuka dan sudah pasti akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan.
Perkara ini sudah setentunyalah tidak diingini berlaku oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, bahkan Baginda pernah menyatakan kebimbangannya terhadap umatnya apabila Baginda keluar dari Ka‘bah. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah keluar dari sisiku dan Baginda dalam keadaan gembira dan tenang jiwanya, kemudian Baginda kembali kepadaku dan Baginda kelihatan sedih, lalu aku berkata (bertanya) kepadanya, Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku telah masuk Ka‘bah dan aku suka (kalau) aku telah tidak melakukan (masuk Ka‘bah), sesungguhnya aku takut aku akan menyusahkan umatku yang selepasku.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Menjual gambar pemandangan dalam Ka‘bah bermakna gambar tersebut akan menjadi tontonan orang ramai. Orang ramai akan dapat melihat keadaan dan rupa pemandangan di dalamnya dari segenap sudut dalam Ka‘bah yang dirakamkan dalam gambar tersebut termasuk pemandangan sebelah atas.
Perkara ini tidak selari dengan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang dijelaskan terdahulu. Apa yang diamalkan ketika Baginda berada di dalam Ka‘bah, Baginda tidak memandang segenap sudut dalam Ka‘bah tetapi Baginda hanya tetap memandang tempat sujudnya sehinggalah Baginda keluar dari Ka‘bah.
Dari sudut yang lain, sensitiviti Kerajaan Arab Saudi dalam perkara ini perlu juga diambil kira. Kita tidak pasti adakah gambar tersebut dirakam atas kebenaran pihak Kerajaan Arab Saudi ataupun tidak? Adakah perkara menjual gambar pemandangan dalam Ka‘bah tidak bertentangan dengan peraturan Kerajaan Arab Saudi?
Berdasarkan pengalaman para jemaah haji ketika hendak memasuki Masjidil Haram, para pengawal masjid tidak membenarkan sesiapa sahaja membawa masuk alat perakam gambar iaitu kamera. Bermakna, mengambil gambar sesuka hati tanpa kebenaran di dalam mana-mana kawasan Masjidil Haram juga tidak dibenarkan. Ia adalah tempat yang terkawal.
Oleh itu, dilihat kepada keselarasannya dengan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika Baginda berada di dalam Ka‘bah dan juga mengambil kira akan sensitiviti Kerajaan Arab Saudi, kita mengambil kesimpulan supaya gambar pemandangan dalam Ka‘bah tersebut tidak dijual kepada orang ramai.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11805
