Nasihat Bagi Menangani Kesedihan Anak-Anak Atas Kematian Ayah Mereka
Soalan: Suami saya telah meninggal setahun yang lalu. Hidup terasa tiada arah dan tujuan sebab suami telah menjaga saya dan anak-anak dengan cukup baik. Sehinggalah suatu pagi kira-kira jam 7.30, saya dinasihati oleh seorang sahabat untuk mendengar ceramah ‘Bersama Mufti’ yang bertajuk ‘Musibah’.
Alhamdulillâh, apa yang disampaikan oleh Pehin Mufti, dengan izin Allah jua telah memberi kesedaran kepada saya, sehinggalah sekarang saya merasa ‘redha’ dan mula bersemangat untuk bangun membesarkan anak-anak dan sedaya upaya memuliakan mereka dengan ilmu pengetahuan dunia dan akhirat.
Namun, ada kalanya hati sedikit tersentuh melihat dan mendengar anak-anak rindukan arwah ayah mereka. Sedikit nasihat amat diperlukan daripada Pehin Mufti yang tidak ternilai harganya. Semoga dapat menjadi sumber kekuatan dan motivasi bagi menangani kesedihan anak-anak.
Jawapan: Pada satu-satu keadaan tertentu, kesedihan memang tidak dapat dihindari dan pasti akan dilalui oleh seseorang. Oleh kerana itu, para ahli syurga ketika akan masuk syurga berkata:
Tafsirnya: Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita daripada kami. (Surah Fâthir: 34)
Ini menunjukkan para ahli syurga pernah mengalami kesedihan dalam hidup di dunia. Apabila kesedihan menimpa dan tidak ada kemampuan untuk menghindarinya, maka ia akan mendatangkan pahala. Ini kerana kesedihan merupakan sebahagian daripada musibah. Oleh itu, ketika seseorang hamba ditimpa kesedihan, dia hendaklah menanganinya dengan do‘a-do‘a dan usaha-usaha yang dapat menghilangkan kesedihan tersebut. (La Tahzan: 52)
Amalan Apabila Ditimpa Musibah Bagi menangani kesedihan, ada tiga perkara yang harus dilakukan ketika menghadapi musibah, iaitu:
1. Bersabar. 2. Berdo‘a. 3. Mengharap hilangnya dukacita. (La Tahzan: 111)
1. Bersabar di atas setiap musibah.
Bersabar di atas setiap musibah yang menimpa hukumnya adalah sunat. (Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/229)
Daripada Usamah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Ketika kami berada di samping Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, tiba-tiba seseorang yang diutus oleh salah seorang puteri Baginda datang menghadap. Beliau (puteri Nabi) memanggil Baginda untuk menemui anak lelaki beliau yang berada di ambang kematian. Lalu Baginda bersabda (kepada orang yang diutus itu): “Pulanglah, serta khabarkan kepadanya (puteri Nabi) bahawa apa yang Allah ambil dan beri itu adalah kepunyaan Allah jua. Setiap sesuatu di sisiNya ada ajal (batas waktu) yang tertentu. Oleh itu, suruhlah dia (puteri Nabi) agar bersabar dan berharap pahala dan balasan yang baik daripada Allah.”
Ganjaran besar dijanjikan ke atas orang yang bersabar di atas setiap musibah yang menimpa. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan (kerana Kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu). Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Surah al-Baqarah: 155)
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Allah Ta‘ala berfirman: “Tidak ada bagi hambaKu yang beriman di sisiKu satu ganjaran pun, apabila Aku telah mencabut nyawa kekasihnya daripada kalangan ahli dunia, kemudian dia (bersabar dan) mengharap pahala, melainkan (Aku peruntukkan untuknya) syurga.”
2. Do‘a orang yang ditimpa musibah.
Dianjurkan bagi sesiapa yang diuji dengan musibah; seperti kematian, musibah yang menimpa diri sendiri, keluarga atau harta, sekalipun musibah itu ringan, agar memperbanyakkan membaca:
Tafsirnya: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali. (Surah al-Baqarah: 156)
Ertinya: Wahai Allah! Kurniakanlah kepadaku ganjaran pahala kesabaran di atas musibahku (yang menimpa) dan gantikanlah untukku daripadanya kebaikan dan rahmat.
Allah Ta‘ala telah berjanji akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang membaca ayat yang telah disarankan apabila ditimpa musibah:
Tafsirnya: Mereka itulah orang-orang yang mendapat keampunan daripada Tuhan mereka dan mendapat rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat hidayat. (Surah al-Baqarah: 157)
Ini adalah berdasarkan hadits daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ, isteri Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiada daripada hamba yang ditimpa musibah lalu dia berkata: َ. melainkan dia dikurniakan ganjaran oleh Allah pada musibah yang menimpanya dan (Allah) menggantikan baginya kebaikan daripadanya (musibah itu). Beliau (Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ) berkata: “Maka ketika Abu Salamah wafat, aku membaca sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kepadaku, lalu Allah menggantikan untukku kebaikan daripadanya (kewafatan Abu Salamah) iaitu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.” (Hadits riwayat Muslim)
Selain itu, do‘a-do‘a lain yang boleh dibaca bagi menghilangkan kesedihan ialah seperti (Lâ Tahzan: 56-57):
i. Do‘a Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam agar dijauhkan daripada kesedihan:
Maksudnya: Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon perlindunganMu daripada kecemasan dan kesedihan, dan daripada kelemahan dan kemalasan, dan daripada ketakutan dan kekikiran, dan daripada bebanan hutang, dan daripada tekanan orang-orang (jahat).
ii. Daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak pernah seorang hamba berkata apabila dia ditimpa kecemasan atau kesedihan: “Wahai Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hamba lelakiMu, anak hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu (kekuasaanMu), telah berlalu hukumMu padaku, adil keputusanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan segala nama yang Engkau miliki, yang dengannya (nama itu) Engkau namakan diriMu sendiri, atau Engkau turunkannya (nama itu) dalam kitabMu, atau yang Engkau telah ajarkannya (nama itu) kepada seseorang daripada makhlukMu (nabiMu), atau Engkau simpannya (nama itu) di dalam pengetahuan ghaib di sisiMu, kiranya Engkau berkenan menjadikan al-Qur’an sebagai rimbunan hatiku, cahaya penglihatanku, penglipur kesedihanku dan pengusir kecemasanku, melainkan Allah hilangkan kecemasannya dan menggantikan tempat kesedihannya dengan kesenangan.” Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, patutkah bagi kami untuk mempelajari kalimat ini?” Rasulullah bersabda: “Betul, patut bagi siapa yang mendengarnya (kalimat itu) untuk mempelajarinya.” (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
iii. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia adalah sebaik-baik pelindung. (Surah Âli ‘Imran: 173)
3. Usaha meringankan bebanan perasaan ketika musibah menimpa.
Antaranya ialah:
i. Mengharap ganjaran pahala daripada Allah Ta‘ala.
ii. Melihat kepada orang lain yang mendapat musibah.
iii. Yakin bahawa musibah yang menimpa diri jauh lebih ringan berbanding yang menimpa orang lain.
iv. Yakin penghambaan diri kepada Allah yang dilaksanakan dengan khusyû‘ ketika sedang mengalami musibah ada kalanya lebih besar nilainya berbanding ketika mengalami kebahagiaan.
v. Tidak melakukan tipu muslihat.
vi. Sedar bahawa pilihan Allah adalah yang terbaik. (Lâ Tahzan: 112-113)
Jangan menyerah kepada kesedihan dengan tidak melakukan sebarang amalan. Bersembahyanglah, bertasbîhlah, membacalah, menulislah, berkerjalah, terimalah tetamu, hubungkan tali persaudaraan dengan berziarah dan berfikirlah. (Lâ Tahzan: 118)
Oleh yang demikian, Dayang adalah dianjurkan agar sentiasa bersabar dan memperbanyakkan membaca ayat-ayat yang telah disarankan. Dayang teruslah berusaha menghindari kesedihan kerana kita ada al-Qur’an, zikir, do‘a, sembahyang, sedekah, perbuatan baik, dan amalan yang memberikan manfaat. (Lâ Tahzan: 118) Di samping itu, Dayang boleh mengajarkannya juga kepada anak-anak Dayang bagi menangani kesedihan mereka.
Amalan Kebajikan Untuk Ibu Bapa Yang Meninggal Dunia
Bagi mengubati rindu anak-anak Dayang kepada Allahyarham ayah mereka, Dayang boleh berpesan kepada mereka agar terus berbakti kepada beliau sekalipun beliau telah meninggal dunia.
Kebajikan yang paling afdhal dilakukan ialah berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan melakukan perkara yang menyukakan hati mereka daripada perkara-perkara taat kepada Allah dan perkara-perkara kebajikan lain, selagi ia bukan perkara yang ditegah oleh syara‘. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/249)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. (Surah al-Isrâ’: 23)
Antara kebajikan yang boleh dilakukan sekalipun orang tua telah meninggal dunia ialah sembahyang jenazah ke atas mereka, mendo‘akan mereka dengan memohon rahmat dan keampunan, melaksanakan wasiat atau pesanan mereka, menyambung tali persaudaraan dengan kaum kerabat dan sahabat mereka iaitu dengan berbuat baik, memuliakan, menunaikan hajat, menziarahi, mengutus surat atau berkirim salam kepada mereka dan seumpamanya daripada perbuatan-perbuatan yang mengeratkan tali persaudaraan dengan mereka. (‘Aun al-Ma‘bûd Syarh Sunan Abi Daud: 14/42 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/249)
Ini berdasarkan hadits daripada Abu Usaid Malik bin Rabi‘ah as-Sa‘idi Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Ketika kami berada di samping Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, tiba-tiba seorang lelaki daripada Bani Salamah menghadap Baginda lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah masih ada perkara daripada perkara kebajikan kepada kedua ibu bapa saya yang boleh saya lakukan setelah mereka meninggal dunia?” Baginda bersabda: “Ya, sembahyang (sembahyang jenazah dan berdo‘a) ke atas mereka, permohonan keampunan untuk mereka, melaksanakan janji (wasiat) mereka, menghubungkan tali persaudaraan yang tidak dapat dihubung melainkan melalui mereka dan memuliakan teman-teman mereka.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila mati seorang manusia, terputus daripadanya amalannya kecuali daripada tiga iaitu: Kecuali daripada sedekah jâriah (yang berterusan), atau ilmu yang dimanfaatkan, atau anak salih yang berdo‘a untuknya. (Hadits riwayat Muslim)
Selain itu, Dayang boleh menggalakkan anak-anak untuk bersedekah bagi pihak Allahyarham ayah mereka jika mampu, kerana sedekah juga bermanfaat untuk orang yang telah meninggal dunia. (Mughnî al-Muhtâj: 3/88)
Disebutkan dalam hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa seorang lelaki yang telah kematian ibunya bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Adakah bermanfaat jika aku bersedekah bagi pihaknya? Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ya.” Maka lelaki itu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai sebuah kebun berbuah, dan aku bersaksi dengan Tuan, sesungguhnya aku telah mensedekahkannya bagi pihak ibuku.”
Menziarahi kubur Allahyarham ayah mereka juga boleh menjadi pengubat rindu anak-anak Dayang. Ini kerana sunat menziarahi kaum kerabat, lebih-lebih lagi ibu bapa dan sahabat ketika mereka telah meninggal dunia sebagaimana hukum menziarahi mereka ketika masih hidup. Hukum menziarahi kubur adalah sunat bagi lelaki, manakala bagi perempuan pula, hukumnya adalah makruh kerana ditakuti boleh menimbulkan fitnah dan nyaring suara mereka menangisi orang yang telah meninggal dunia. Malah ia boleh menjadi haram jika sampai terjadi fitnah atau tujuannya untuk meratapi orang yang telah meninggal dunia. Sungguhpun demikian, tidak dilarang perempuan menziarahi kubur jika dia menjaga adab dan syarat perempuan menziarahi kubur; seperti aman daripada fitnah, menutup aurat, tidak memakai wangi-wangian, alat perhiasan dan pakaian berhias. (Hawâsyi Tuhfah al-Muhtâj: 3/238-240)
Orang yang hidup juga masih boleh menyenangkan hati orang yang telah meninggal dunia dengan berkelakuan baik dan menghindari perbuatan buruk. Daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya amalan-amalan kamu diperlihatkan kepada kaum kerabat dan keluarga kamu yang telah meninggal dunia. Jika amal-amal itu baik, mereka akan bergembira dengannya. Jika sebaliknya, mereka akan berdo‘a: “Wahai Allah! Janganlah Engkau matikan mereka sehingga Engkau berikan kepada mereka petunjuk sebagaimana Engkau telah berikan kepada kami petunjuk.” (Hadits riwayat Ahmad)
Oleh itu dalam mendidik anak-anak dan menangani kesedihan mereka atas kematian Allahyarham ayah mereka, Dayang boleh menasihati dan berpesan kepada mereka agar terus berbakti kepada beliau dengan sentiasa:
i. Menjaga hubungan baik dengan keluarga dan kawan-kawan Allahyarham ayah mereka.
ii. Mendo‘akan kerahmatan bagi Allahyarham ayah mereka.
iii. Memohon keampunan baginya.
iv. Menunaikan pesanannya.
v. Bersedekah bagi pihaknya jika mampu.
vi. Menziarahi kuburnya.
vii. Melakukan amal salih dan menjauhi kemungkaran.
Semoga dengan itu, anak-anak tergolong di dalam golongan orang-orang yang mencari keredhaan Allah dengan berbuat ihsân (kebaikan) kepada ibu bapa. Disebutkan dalam hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Amru Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Keredhaan Allah itu ada pada keredhaan kedua ibu bapa, dan kemurkaan Allah itu ada pada kemurkaan kedua ibu bapa. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Semoga Dayang tetap tabah dan cekal dalam mendidik anak-anak.
Ganjaran Mendidik Anak Yatim
Islam sangat menitik-beratkan hal ehwal anak-anak yatim (anak yang tiada bapa kerana meninggal dunia dan sebagainya). Islam berpesan kepada orang-orang yang mempunyai hubungan dengan anak-anak yatim agar terus berusaha mengurus, memperlakukan secara baik, bertanggung jawab atas segala urusan dan mengawasi pendidikan mereka agar mereka terdidik dan membesar dengan kebaikan, berakhlak mulia dan keutamaan diri, serta mendapat kasih sayang. (Tarbiyyah al-Aulâd fi al-Islâm: 1/107-9)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Nabi Muhammad) mengenai anak-anak yatim. Katakanlah (kepada mereka): “Memperbaiki keadaan mereka amatlah baik.” (Surah al-Baqarah: 220)
Memelihara, menjaga dan mendidik anak yatim sehingga mereka mendapat kecukupan, ganjarannya adalah sangat besar sebagaimana disebutkan dalam hadits daripada Sahl Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Saya dan penjaga anak yatim di syurga seperti ini. Baginda terus menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah serta merenggangkan antara kedua-duanya (bagi menggambarkan dekatnya kedudukan penjaga anak yatim dengan Baginda).
Semoga azam dan usaha Dayang untuk terus membesarkan dan membekalkan anak-anak Dayang dengan ilmu yang bermanfaat akan menjadikan mereka anak-anak yang salih dan berguna di dunia dan akhirat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11810
