Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Produk Golden Churn – Pure Creamery Butter

Soalan: Dipohonkan fatwa Pehin mengenai dengan produk Golden Churn - Pure Creamery Butter yang beredar di Negara Brunei Darussalam pada masa ini.

Berdasarkan siaran akhbar dari negara jiran bahawa penggunaan produk Golden Churn - Pure Creamery Butter telah diharamkan negara tersebut kerana terdapatnya DNA khinzîr hasil kajian yang telah dibuat oleh Jabatan Kimia Malaysia.

Manakala Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam telah menganalisa sebanyak 17 sampel yang diambil di pelbagai tempat di keempat-empat daerah di negara ini, termasuk juga sampel yang diambil dari negara jiran dan hasil penganalisaan terhadap kesemua sampel itu telah menunjukkan bahawa produk Golden Churn - Pure Creamery Butter adalah bebas daripada DNA babi/khinzîr.

Berdasarkan pada kenyataan di para 2 dan 3, bagaimanakah menurut hukum syara‘ terhadap satu benda yang sama dari syarikat pengeluar yang sama, di mana satu pihak mendapatinya ada DNA babi manakala satu pihak lagi tidak mendapatinya. Adakah pihak yang tidak mendapati DNA babi boleh memakannya, dan apakah hukumnya?

Jawapan: Jika satu jenis benda yang asalnya halal didakwa oleh satu pihak telah bercampur dengan yang haram, manakala satu pihak yang lain menafikannya, ia boleh dirujukkan kepada pendapat ulama-ulama fiqh yang berikut:

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata di dalam Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Jikalau dia diberitahu oleh orang yang diterima riwayatnya bahawa air itu telah bernajis, orang itu pula menerangkan sebab-sebab mengapa bernajis, ataupun oleh orang yang faqîh lagi sejalan dengan mazhabnya, maka dia boleh mempercayainya. (An-Nawawi, Minhâj ath-Thâlibîn: 10)

Perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh itu telah disyarahkan oleh Imam as-Syarbini Rahimahullâh, katanya:

Ertinya dengan ringkasan: Sekiranya dia diberitahu oleh orang yang adil yang diterima riwayatnya, bahawa air atau lain daripada air telah bernajis dan orang itu menerangkan sebab-sebabnya mengapa bernajis, seperti sebab dijilat anjing, ataupun oleh orang yang faham (faqîh) dengan apa ia menjadi najis lagi sejalan dengan mazhabnya dan jikapun (orang faqîh) itu tidak menerangkan sebab-sebabnya, diterima (dipakai) perkhabaran orang itu. (Mughni al-Muhtâj: 1/119)

Manakala ar-Ramli Rahimahullâh pula berkata:

Ertinya: Sekiranya berbeza maklumat yang diterima dari dua orang yang ‘âdil atau lebih, misalnya salah seorang berkata: “Tempayan ini telah dijilat anjing, tetapi tempayan yang itu tidak”. Manakala yang lain berkata sebaliknya: “Itu sudah dijilat anjing, tetapi yang ini tidak”. Kedua-dua orang ‘âdil itu sama-sama dapat dibenarkan, maka air di dalam kedua-kedua tempayan itu dihukumkan bernajis kerana jilatan boleh jadi pada dua masa yang berlainan. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/297)

Nash-nash pendapat ulama yang di atas menerangkan bahawa maklumat atau pemberitahuan atau dakwaan oleh pihak yang ‘âdil (dipercayai) tentang sesuatu benda yang asalnya halal, seperti air dan susu telah bercampur dengan najis, boleh dipercayai apabila mereka menerangkan sebab-sebab mengapa ia bernajis, misalnya sebab di dalam kandungan benda itu ada unsur najis, seperti babi.

Dalam masa yang sama pula, pihak lain juga yang ‘âdil (dipercayai) mendakwa tidak bercampur dengan najis dengan sebab tidak mendapati ada najis itu di dalam kandungannya.

Ini bermakna hukum benda itu dipertikai. Kedua-dua hukum yang berbeza itu adalah sama-sama kuat kerana dakwaan datang daripada pihak yang dipercayai. Untuk memilih hukum yang dipertikaikan hendaklah ada sebab-sebab atau bukti mengapa hukum itu dipilih, ertinya ada sebab-sebab yang menjadi alasan pilihan itu lebih arjah (kuat).

Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Begitulah juga halnya jikalau hukum yang diberikan dipertikai dan berbeza tarjîhnya, maka yang arjah (lebih kuat) mestilah dengan menerangkan sebab-sebabnya. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/297)

Dalam hal pemilihan hukum yang arjah (lebih kuat) ini, isyarat tanda bersetuju atau penafian daripada pihak pemilik atau pembuat benda itu sendiri dapat dijadikan antara sebab kepada memilih pendapat mana yang paling arjah.

Contohnya, pihak yang mendakwa benda itu telah bercampur dengan najis meminta pihak pemilik benda itu membuangnya atau menariknya dari pasaran, lalu pihak pemilik tidak membantah dan malah bersetuju untuk membuang atau menariknya dari pasaran. Dan malah tidak membuat sebarang penafian atau bantahan terhadap dakwaan penemuan najis itu.

Manakala dakwaan pihak yang mendakwa tidak bercampur dengan najis tidak mendapat apa-apa respons daripada pihak pemilik atau pembuat benda itu, misalnya sama ada bersetuju ataupun menafikannya.

Dari sudut kefaqîhan, inilah barangkali seperti yang disebutkan oleh Imam ar-Ramli sebagai antara sebab-sebab mengapa satu-satu hukum itu dipilih dan lebih arjah.

Dari sudut kaedah pentsabitan hukum pula, sekiranya dakwaan terhadap satu-satu benda yang halal itu sudah bercampur dengan najis dengan ada pula sebab-sebab lain yang menyokongnya, maka dakwaan seperti ini boleh dimasukkan dalam konsep pentsabitan dan penafian, seperti yang ditunjukkan oleh kaedah ini:

Ertinya: Yang mentsabitkan didahulukan ke atas yang menafikan. (Sayyid al-Bakri, I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/313)

Kaedah mentsabitkan (dalam hal seperti benda itu telah bercampur dengan najis) adalah didahulukan berbanding menafikannya. Alasan mendahulukan tsabit adalah kerana pihak yang mentsabitkan dianggap mempunyai kelebihan pengetahuan, iaitu alasan sebab pentsabitan yang tidak ada pada yang menafikannya. Inilah cara yang diamalkan asy-Syafi‘e, Ahmad dan ulama-ulama lain. (Ibnu Rajab, Fath al-Bârî: 3/145)

Dan sekiranya sebab atau bukti yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak masing-masing dianggap selari dengan rûh dan maksud dalil zhanni, maka ini dapat pula dimasukkan di bawah kaedah:

Ertinya: Apabila terdapat dua dalil yang saling bertentangan; salah satunya menunjukkan pengharaman dan yang satu lagi mengharuskan, maka dalil yang menunjukkan kepada pengharaman itu didahulukan menurut pendapat yang ashah. (As-Subki, al Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/252)

Yang lebih ashah mengikut kaedah ini ialah pengharaman itu adalah didahulukan berbanding menghalalkannya. Apa yang dituju oleh kaedah ini ialah berkait dengan dua dalil syara‘ yang saling bertentangan. Manakala perkara (Golden Churn) yang ditanyakan juga adalah berkait dengan dua dakwaan daripada sumber yang juga saling bertentangan. Maka adalah wajar untuk menerapkan konsep atau pendekatan kaedah tersebut dalam persoalan yang ditanyakan, kerana dilihat dari sudut kewajaran dan keutamaan, jika kaedah ini diaplikasikan kepada dua dalil syara‘ yang saling bertentangan, maka mengaplikasikannya kepada dua dakwaan yang juga saling bertentangan adalah lebih diperlukan dan utama lagi atas dasar mengambil sikap berhati-hati, kerana jika ia tidak gugur kepada hukum haram sekalipun, paling kurang unsur keraguan atau syubhah tetap juga berbangkit.

Golden Churn - Pure Creamery Butter

Berkenaan benda yang disebut dalam soalan iaitu Golden Churn - Pure Creamery Butter ialah jenama produk mentega yang mengandungi energy, protein, fat, total-saturated, carbohydrate-sugars dan sodium. Ia diproses daripada cream (81% butterfat), air dan garam. Produk jenama ini dikilangkan oleh Ballantyne Foods PTY (NZ) Limited, Allen Street Morrinsville, New Zealand. Inilah antara yang tercatat pada pembalut bahagian luar yang mengandungi mentega yang pernah dipasarkan di Brunei ini.

Berdasarkan maklumat ringkas itu, ia adalah daripada jenis makanan kerana yang dikatakan (mentega) ialah pepejal lemak berwarna kuning pucat yg diperbuat daripada krim, boleh dimakan dengan roti, digunakan dalam masakan, dan sebagainya. (Kamus Dewan) manakala antara asal usul yang disebut krim pula ialah daripada cecair pekat atau kental berlemak yang berwarna kekuning-kuningan yang timbul di atas permukaan susu dan dijadikan sebagai makanan. (Kamus Dewan).

Tetapi tidak boleh diabaikan apa yang tercatat pada bahagian luar tin benda ini. Ia turut mengandungi “fat”. Kalau dikatakan ia dibuat daripada susu, mengapakah tidak disebut susu? Yang ada pula ialah fat. Kalau susu mengapa tidak ditulis milk? Dan fat itu fat apa? Kalau ia diandaikan fat (lemak) binatang, maka dengan sendirinya mentega Golden Churn itu sudah menjadi syubhah juga.

Halal, Haram dan Syubhah

Hadits telah menjelaskan bahawa perkara yang halal itu adalah jelas, begitu juga yang haram adalah jelas. Jika tidak jelas halalnya atau haramnya, maka perkara itu dinamakan syubhah. Perkara yang syubhah wajar dijauhi kerana manalah tahu ia sebenarnya haram. Hukum halal, haram dan syubhah ini turut mengenai perkara makanan, seperti mentega.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan daripada Nu‘man bin Bashir Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Perkara yang halal itu jelas dan (begitu juga) perkara yang haram itu jelas. Antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara yang musyabbahât (tidak jelas status halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang menjaga perkara-perkara musyabbahât itu, maka dia telah menjaga kesucian kehormatannya dan agamanya. Sesiapa yang terjerumus dalam syubhah adalah seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir dia terjatuh ke dalamnya. Ketahuilah setiap raja mempunyai kawasan larangannya. Maka sesungguhnya larangan Allah di bumiNya adalah perkara-perkara yang diharamkanNya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketika mengulas hadits ini, an-Nawawi Rahimahullâh antara lain berkata bahawa sesuatu itu dikelompokkan kepada tiga bahagian, iaitu yang halalnya jelas, yang haramnya jelas dan yang syubhah.

Halalnya jelas, seperti roti, buah-buahan, zait (minyak), madu, susu binatang yang halal dimakan, telur dan lain-lain daripada jenis makanan. Juga seperti bercakap, melihat, berjalan dan lain-lain dari jenis perbuatan. Ini semua jelas halalnya.

Adapun yang haramnya, seperti arak, khinzîr, bangkai, air kencing dan darah yang mengalir. Juga seperti zina, berdusta, mengata dan mengadu domba dan lain-lain.

Manakala musyabbahât ialah yang tidak jelas kehalalannya dan tidak juga jelas keharamannya. Ia berada di antara yang halal dan yang haram. (Syarh Shahîh Muslim: 5/469)

Suci dan Halal

Berdasarkan hadits itu, benda atau zat mentega, kalau benar ia dibuat dari bahan krim iaitu cecair yang timbul di atas susu, maka dalam kedudukan ini mentega itu masih dalam lingkungan “ ٌَ ا ْلَالَل بَني” (yang halal itu jelas). Pada ghâlibnya susu yang diminum dan dipasarkan ialah susu lembu atau kambing. Susu lembu dan kambing adalah halal kerana kedua-duanya binatang halal dimakan.

Selama zat dan sifat benda yang halal itu dalam bentuk asalnya, ia tetaplah halal dan suci. Selama tidak berbangkit perkara-perkara yang boleh membawa syubhah (keraguan) tentang kehalalannya, ia tetap dianggap halal dan suci.

Menjadi Syubhah atau Haram Ibnu Hajar Rahimahullâh berkata, syubhah ialah setiap sesuatu yang tidak jelas halal dan haramnya disebabkan dalilnya saling bercanggah atau bertentangan. Sesetengahnya berdasarkan dalil yang menghalalkan dan sesetengah yang lain pula berdasarkan dalil yang mengharamkan. (Ibnu Hajar, Fath al-Mu‘în Syarh al-Arba‘în: 112)

Asy-Syathibi Rahimahullâh pula menerangkan bahawa perkara-perkara yang syubhah itu terdiri daripada perkara-perkara yang bertentangan padanya nafiy dan isbât. Jika kedua-duanya tidak bertentangan, perkara itu akan tergolong dalam bahagian yang jelas nyata. (Al- Muwafaqât: 3/104)

Antara perkara yang boleh membawa syubhah (keraguan atau kesamaran) tentang kehalalannya ialah adanya petunjuk zhanni bahawa zatnya telah berubah atau bercampur dengan yang haram, dalam masa yang sama ada juga petunjuk bahawa zatnya tidak berubah atau tidak bercampur dengan yang haram. Antara petunjuk seperti ini ada yang berpunca daripada dakwaan atau kenyataan oleh pihak-pihak yang berautoriti (boleh dipercayai) berdasarkan analisis makmal masing-masing.

Dakwaan Bercampur Dengan Yang Haram

Dengan merujuk kenyataan media Ketua Pengarah JAKIM bertarikh 12hb. Ogos 2011, PRODUK GOLDEN CHURN - PURE CREAMERY BUTTER KELUARAN SYARIKAT BALLANTYNE FOOD PTY NEW ZEALAND yang dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.

Berikut antara kenyataan itu:

JAKIM ingin menjelaskan kekeliruan tersebut dan ingin memaklumkan hasil perbincangan dengan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Kimia Malaysia (JKM), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (BKKM, KKM), Jabatan Agama Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) pada 8 Ogos 2011 telah memutuskan bahawa produk Golden Churn - Pure Creamery Butter keluaran Syarikat Ballantyne Food PTY (NZ) beralamat Allen Street Morrinsville 3340 New Zealand yang dipasarkan di Malaysia, adalah tidak halal.

Ini berikutan laporan analisis yang telah diterima oleh Jabatan Agama Islam Sarawak pada 19 Julai 2011 menunjukkan bahawa asid deoksiribonukleik (deoxyribonucleic acid - DNA) babi telah disahkan oleh JKM dikesan dalam produk berkenaan. Keputusan ini diambil setelah mendapati produk yang terlibat berpunca dari kilang yang sama walaupun diimport oleh pihak yang berbeza dan juga diedarkan di pasaran yang berbeza. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh wakil syarikat. Sehubungan dengan itu, umat Islam diminta untuk tidak menggunakan produk ini. Keputusan ini telah dimaklumkan kepada syarikat berkenaan pada pertemuan pada 9 Ogos 2011, dan syarikat Ballantyne Foods PTY Ltd yang berkenaan bersetuju menarik balik produk yang terbabit dari pasaran.

Dakwaan Tidak Bercampur Dengan Yang Haram Dalam masa yang sama, beberapa hari sebelum kenyataan yang dikeluarkan oleh JAKIM tersebut di atas, Majlis Ugama Islam Brunei telah mendakwa bahawa mentega jenama dan keluaran yang sama yang dipasarkan di Brunei adalah boleh digunakan oleh orang ramai khususnya umat Islam kerana berdasarkan analisis makmal yang diterimanya tidak mengandungi asid deoksiribonukleik (deoxyribonucleic acid - DNA) babi. (Rujuk Media Permata, 11hb. Ramadhan 1432).

Menjadi Haram

Berdasarkan apa yang difahami daripada ibarat-ibarat ulama fiqh dan kaedah-kaedah fiqhiyyah tersebut di atas, maka dengan adanya dua dakwaan kuat yang bertentangan oleh dua badan yang dipercayai itu; yang satu mentsabitkan ada najis (DNA) babi dan yang satu menafikannya, maka produk Golden Churn - Pure Creamery Butter keluaran Syarikat Ballantyne Food PTY (NZ) di alamat Allen Street Morrinsville 3340 New Zealand, pada peringkat ini, contoh yang disebutkan di dalam soalan telah menjadi makanan yang telah bercampur dengan najis dan ia menjadi haram.

Keterangannya sebagai berikut:

Kenyataan Media Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, bertarikh 12 Ogos, 2011 yang berbunyi:

“Syarikat Ballantyne Foods PTY Ltd juga telah bersetuju menarik balik produk yang terbabit dari pasaran.”

Kenyataan ini merupakan satu petunjuk dan isyarat yang kuat daripada pengakuan oleh pihak syarikat pengeluar sendiri bahawa hasil analisis asid deoksiribonukleik (deoxyribonucleic acid - DNA) babi yang telah disahkan oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM) yang dikesan dalam produk berkenaan adalah memang betul. Bukankah pembuat atau pengeluar lebih tahu apa kandungan benda yang dibuat dan dikeluarkannya? Oleh sebab itulah mereka bersetuju menarik balik Golden Churn – Pure Creamery Butter mereka daripada pasaran tanpa membuat sebarang bantahan dan penafian ketika itu, walaupun itu disedari mengundang kepada kerugian.

Kaitan dengan sebab pemilihan yang arjah (pendapat ia telah bercampur najis) di sini, turut mengambil kira persetujuan pihak syarikat yang juga bererti sebagai ikrarnya (pengakuannya) bahawa Golden Churn - Pure Creamery Butter memang mengandungi DNA babi.

Maka berdasarkan sebab-sebab yang disebutkan dalam “contoh” ini, (iaitu pihak pemilik tidak membantah malah bersetuju membuang atau menariknya dari pasaran, bahkan tidak membuat penafian atau bantahan ketika itu terhadap dakwaan penemuan najis tersebut), dan juga bersandarkan kaedah di atas, maka hukum yang paling arjah daripada dua pendapat bertentangan di atas, setakat ini, ialah benda itu telah bercampur dengan najis. Ertinya benda yang asalnya dianggap halal telah ditsabitkan bercampur dengan najis, maka dengan sebab itu menjadikannya najis atau haram.

Menjadi Syubhah

Sekiranya hukum haram ini dipertikai oleh sesetengah pihak, saya berpendapat hukum paling rendah menggantikannya ialah syubhah, bukan halal atau makruh.

Hukum syubhah ini dikuatkan lagi oleh 6 faktor berikut:

1. Kenyataan media JAKIM menyebutkan:

.......produk yang terlibat berpunca dari kilang yang sama walaupun diimport oleh pihak yang berbeza dan juga diedarkan di pasaran yang berbeza. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh wakil Syarikat Ballantyne Food PTY (NZ)beralamat Allen Street Morrinsville 3340 New Zealand.

Pengesahan ini boleh menjadi hujjah bahawa kandungan produk yang di pasarkan di Brunei juga adalah tidak terkecuali, kerana apa yang dipasarkan di Malaysia, itulah juga (sama) dengan apa yang dipasarkan di Brunei, dari syarikat dan kilang pengeluar yang sama. Tidakkah ini menimbulkan keraguan?

2. Golden Churn - Pure Creamery Butter New Zealand, yang diedarkan di Malaysia (yang mendakwa tidak halal) dan (bahan yang sama) juga diedarkan di Brunei (yang mendakwa halal) adalah terdedah kepada percampuran atau bermasuk-masukan kerana pada pembalut luarnya tidak dicatat penanda, seperti “UNTUK BRUNEI” atau “KHAS UNTUK MALAYSIA”. Percampuran atau bermasuk-masukan itu boleh saja terjadi, seperti semasa dalam proses pengiriman, pembuatan atau dalam pemasaran dalam negeri. Tidakkah ini juga mengundang kepada keraguan?

3. Golden Churn - Pure Creamery Butter New Zealand telah diisytiharkan oleh JAKIM sebagai tidak halal dengan alasan adanya asid deoksiribonukleik (deoxyribonucleic acid – DNA) khinzîr dalam kandungannya. Walaupun sekiranya mentega jenama itu diedarkan dan dipasarkan oleh syarikat yang berbeza, tetapi pada masa yang sama pihak syarikat juga telah mengesahkan semuanya adalah bersumber daripada satu kilang. Maka berdasarkan pengesahan ini, peralatan kilang yang memproses tidak terlepas daripada turut bergelumang dengan najis asid deoksiribonukleik (deoxyribonucleic acid – DNA) khinzîr. Ini menjadikan mentega lain yang didakwa tidak mengandungi asid deoksiribonukleik (deoxyribonucleic acid – DNA) khinzîr juga telah terkena dengan peralatan memprosesnya, kecuali selepas berlaku “sertu”. Tidakkah ini juga mengundang keraguan yang mendalam?

4. JAKIM mendakwa Golden Churn - Pure Creamery Butter New Zealand, tidak halal, manakala Brunei mendakwanya halal. Mana satu yang betul? Padahal semua bahan yang dianalisis berpunca atau bersumber daripada kilang yang sama dan yang berbeza hanya pengimport dan pembekal sebagaimana yang disahkan oleh wakil syarikat sendiri. Tidakkah ini juga satu teka-teki yang menimbulkan keraguan?

5. Mentega ialah bahan makanan. Memakan makanan yang disedia dan dibuat oleh orang bukan Islam adalah syubhah. Di dalam fatwa Allahyarham Mufti Kerajaan ada disebutkan: “Bahawa restoran-restoran atau kedai makan yang dipunyai oleh orang Islam atau pengurusnya orang Islam, sedang tukang masaknya orang bukan Islam, adalah dii‘tibârkan masakan bukan orang Islam dan masakan bukan orang Islam adalah syubhah, kerana orang bukan Islam itu tiada tahu tentang halal haram dan tiada tahu suci dan najis. Dari itu tiadalah sayugia bagi pihak yang berkuasa mendedahkan umat Islam makan yang syubhah dari halal bahkan wajib pihak yang berkuasa atau yang diberi kuasa menegah orang Islam dari makan yang syubhah halal atau haramnya.” (Fatwa Mufti Kerajaan, 54/82)

Jika mentega jenama tersebut dikilangkan oleh yang bukan Islam dan ditambah pula di negeri bukan Islam, ia boleh diqiyâskan dengan maksud fatwa ini, ertinya mentega jenama ini merupakan makanan syubhah.

6. Tidak dapat diabaikan juga fakta kandungan mentega ini, di antaranya ialah “fat”, sebagaimana tertera (tertulis) pada bahagian luar tin. Fat apakah ini? Tiada penjelasan mengenainya. Kalau ia fat binatang atau tidak diketahui apa jenis fat itu, maka pada ketika itu – paling rendah – ia jatuh kepada hukum syubhah juga.

Kesimpulan

Setakat peringkat ini, hukum benda yang ditanyakan adalah dianggap bernajis. Jika ada pihak yang tidak bersetuju dengan tsabitan ini, paling rendah mesti turut menerima hukum syubhah ke atasnya. Hukum (syubhah) ini berlaku selama mana faktor yang enam di atas tidak berubah atau menjadi ternafi dengan bukti-bukti kukuh yang menunjukkan sebaliknya.

Hukum syara‘ menyuruh menjauhi syubhah, dalam makna menghendaki kita supaya meninggalkan benda-benda yang diragukan kehalalannya. Sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Tinggalkan apa yang meragukanmu dan ambil apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi)

Hadits ini jelas menyuruh meninggalkan atau menjauhi syubhah, demi menjaga kesucian agama dan kehormatan diri, seperti maksud hadits awal-awal tadi telah disebut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11847