Persoalan Membinkan Anak Tidak Sah Taraf
Soalan: Pusat Da’wah Islamiah melalui Unit Kajian dan Penyelidikan telah dipertanggungjawabkan memberi cadangan nama dalam Islam bagi individu atau syarikat dan juga dipertanggungjawabkan dalam memberi pengesahan nama yang baik, betul, sesuai dan elok digunakan menurut pandangan Islam bagi kegunaan pihak Jabatan Imigresen.
Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, Unit Kajian dan Penyelidikan telah mendapati ada beberapa perkara yang menjadi kemusykilan:
i. Pemohon meminta untuk menambah nama kedua mereka dengan membubuh nama ‘Abdullah’ pada pangkal nama asal mereka. Sebagai contoh nama asal pemohon ‘Fakhri’ menjadi ‘Abdullah Fakhri’ pada nama kedua. Apa yang menjadi kebimbangan dan keraguan ialah jika pemohon mempunyai anak yang tidak sah taraf dan telah dibinkan dengan nama Abdullah Fakhri, maka ini akan mendatangkan kesamaran nasab si anak tadi dengan adik-beradiknya yang lain selepasnya. Jelasnya lagi dikhuatiri si pemohon menggugurkan nama asalnya ‘Fakhri’ kemudian mengekalkan nama kedua ‘Abdullah Fakhri’ dalam membinkan anak-anaknya yang lain (anak kedua dan seterusnya) bagi tujuan mengelakkan anak pertama diketahui anak tidak sah taraf.
ii. Dalam hal lain pula, jika seseorang itu membinkan anak tidak sah taraf dengan salah satu nama al-Asmâ’ al-Husnâ seperti ‘Abdul Qadir’ kemudian dirinya sendiri setelah itu menambah nama kedua ‘Abdul Qadir’ dan menggunakan nama tersebut dalam kebanyakan urusan serta membinkan dengan nama ‘Abdul Qadir’ kepada anak-anak yang lain setelah itu (anak kedua dan seterusnya), ini sudah setentunya mendatangkan kesamaran kepada banyak pihak di kemudian hari.
Sehubungan itu, Pusat Da‘wah Islamiah ingin mendapatkan fatwa mengenai dengan perkara berikut:
1. Apakah boleh menghadkan penasaban anak yang tidak sah taraf ini kepada ‘Abdullah dan ‘Abdur Rahman’ sahaja bagi tujuan menjaga kemashlahatan dan mengelakkan berlakunya kekeliruan nasab?
2. Apakah hukumnya menambah nama kedua dengan nama ‘Abdullah dan sebagainya yang sama dengan nama yang dibinkan kepada anak tidak sah taraf tadi?
Jawapan: Persoalan yang dikemukakan oleh pihak Pusat Da‘wah Islamiah dapat disimpulkan mengandungi tiga butir berikut:
1. Hukum pemohon menambah nama kedua yang sama dengan nama yang telah dibinkan kepada anak tidak sah taraf atau anak zinanya. 2. Hukum pemohon menambah namanya pada nasab anak tidak sah taraf, iaitu setelah nama ‘Abdullah. 3. Hukum menghadkan penasaban anak tidak sah taraf kepada ‘Abdullah dan ‘Abdul Rahman’.
Pengertian Anak Tidak Sah Taraf Terlebih dahulu diterangkan pengertian anak tidak sah taraf. Anak tidak sah taraf atau anak zina ialah orang yang tidak mempunyai bapa pada pengertian syara‘. (Mughni al-Muhtâj: 3/121)
Nasab Anak Tidak Sah Taraf Islam mengharamkan penasaban anak zina kepada seseorang yang tidak bersambung nasab dengan anak tersebut. (Nihâyah al-Muhtâj: 5/107-8) Maka, anak zina hanya dinasabkan kepada ibunya. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/201) Oleh itu, anak tidak sah taraf atau anak zina hanya dibinkan atau dibintikan kepada ibunya. Sebagai contoh: Nama anak tidak sah taraf ialah: ZAID atau ZAINAB. Nama ibu ialah: JARIYAH. Menjadi: ▪ ZAID BIN JARIYAH, atau ▪ ZAINAB BINTI JARIYAH. Anak tidak sah taraf atau anak zina harus juga dibinkan atau dibintikan kepada nama-nama seperti ‘Abdullah atau nama-nama lain daripada al-Asmâ’ al-Husna yang dibubuh dengan ‘Abdul di pangkalnya. Ini kerana harus menasabkan sesiapa yang tidak diketahui ibu bapanya iaitu anak laqîth atau anak pungut, termasuklah juga anak tidak sah taraf, kepada nama-nama saudara seagama seperti nama ‘Abdullah, ‘Abdul Rahman, ‘Abdul Rahim atau nama-nama lain daripada al- Asmâ’ al-Husna yang tidak membawa kekeliruan atau kesamaran pada nasabnya. (Tafsîr al- Mawardi: 4/372) Sebagai contoh: Nama anak tidak sah taraf ialah: ZAID atau ZAINAB, Menjadi:
▪ ZAID BIN ‘ABDULLAH, atau ▪ ZAINAB BINTI ‘ABDULLAH.
Hukum Menambah Nama Kedua Yang Sama Dengan Nama Yang Telah Dibinkan Kepada Anak Tidak Sah Taraf
Pada dasarnya, seseorang menukar nama atau menambah nama kedua bagi tujuan mengelokkan namanya, hukumnya adalah sunat, dan sebaik-baik nama itu ialah ‘Abdullah kemudian ‘Abdul Rahman. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/148)
Namun, jika seseorang memohon untuk menambah nama kedua bagi tujuan menyamakan dengan nama yang telah dibinkan kepada anak zinanya, sebagai contoh sepertimana yang telah dikemukakan oleh pihak Pusat Da‘wah Islamiah:
Nama asal pemohon ialah: FAKHRI.
Nama anak tidak sah taraf atau anak zinanya ialah:
▪ ZAID BIN ‘ABDUL QADIR, atau ▪ ZAINAB BINTI ‘ABDUL QADIR.
Kemudian, Fakhri memohon menambah nama kedua yang sama dengan nama yang telah dibinkan kepada anak zinanya, menjadi: FAKHRI @ ‘ABDUL QADIR.
Perbuatan menambah nama kedua seperti dalam contoh di atas boleh menimbulkan kekeliruan dan kesamaran nasab anak tidak sah taraf atau anak zina tersebut. Ia bukan sahaja perbuatan sebagai menipu keturunan tetapi juga manusia sekaliannya jika digunakan dalam pelbagai urusan. Perbuatan ini adalah sama sahaja seperti menasabkan anak yang tidak sah taraf atau anak zinanya itu kepada dirinya.
Menasabkan seseorang yang bukan daripada keturunannya kepada dirinya, hukumnya adalah haram berdasarkan hadits daripada Sa‘ad bin Abu Waqash Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesiapa mendakwa (mengaku) dalam Islam orang lain sebagai bapanya (sedangkan) dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram baginya. (Hadits riwayat Muslim)
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Mana-mana perempuan memasukkan (menasabkan seseorang anak) kepada sesuatu kaum padahal dia (anak itu) bukan daripada kaum itu, maka perempuan itu (tidak akan mendapat) daripada Allah sesuatu pun (daripada rahmatNya). Dan Allah tidak akan memasukkannya (perempuan itu) ke dalam syurgaNya. (Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadits-hadits tersebut, adalah jelas bahawa menyambung nasab kanak-kanak kepada orang yang tidak bersambung nasab kepadanya adalah haram, dan ia adalah suatu perbuatan dusta terhadap nasab kanak-kanak itu.
Perbuatan mendustakan nasab seseorang itu dengan cara merahsiakan nasabnya yang sebenar hukumnya adalah haram. Sesiapa juga yang bersetuju atau turut bersetuju melakukannya akan berdosa, dan boleh rosak aqidah kiranya dia menghalalkan perubahan nasab kanak-kanak berkenaan. Oleh itu, menasabkan anak dengan betul adalah perkara wajib yang dituntut oleh hukum syara‘. (Nihâyah al-Muhtâj: 5/107)
Dilarang menasabkan seseorang kepada orang yang tidak bersambung nasab dengannya adalah kerana ini boleh membabitkan hukum-hakam seperti pembatasan aurat, khalwat, batal wudhu’, perwarisan, nafkah dan wali dalam pernikahan atau wilâyah (penjagaan) ke atas harta. (Asnâ al-Mathâlib: 3/415 dan al-Majmû‘: 19/313)
Menambah Nama Pada Nasab Anak Tidak Sah Taraf Setelah ‘Abdullah atau lain-lain Al-Asmâ’ Al-Husnâ
Hukum pemohon menambah namanya pada nasab anak tidak sah taraf atau anak zinanya setelah nama ‘Abdullah atau lain-lain al-Asmâ’ al-Husnâ, adalah juga sama seperti menasabkan anak yang bukan daripada keturunannya kepada dirinya. Sebagai contoh:
Nama pemohon (bapa zina) ialah: FAKHRI.
Nama anak tidak sah taraf atau anak zinanya ialah: ZAID atau ZAINAB. o Hendaklah dibinkan kepada ‘Abdullah sahaja, iaitu:
▪ ZAID BIN ‘ABDULLAH sahaja, atau ▪ ZAINAB BINTI ‘ABDULLAH sahaja.
o Tanpa membubuh nama Fakhri setelah ‘Abdullah, seumpama ‘ABDULLAH FAKHRI.
Ini kerana membinkan anak tidak sah taraf kepada ‘Abdullah, kemudian membubuh nama Fakhri setelah nama ‘Abdullah (seperti ZAID BIN ‘ABDULLAH FAKHRI), sebagaimana contoh yang telah dikemukakan oleh pihak Pusat Da’wah Islamiah sendiri, adalah sama sahaja seperti menasabkan anak tidak sah taraf tersebut kepada orang yang tidak bersambung nasab dengannya iaitu kepada FAKHRI.
Menasabkan anak tidak sah taraf kepada orang yang tidak bersambung nasab dengannya telah dijelaskan hukumnya, iaitu haram kerana boleh menimbulkan kekeliruan nasab.
Oleh itu, perlu diambil ingatan, anak tidak sah taraf itu hanyalah dinasabkan kepada:
1. Ibunya, atau
2. Saudara-saudara yang seagama; seperti nama ‘Abdullah atau ‘Abdul Rahman atau nama-nama lain daripada al-Asmâ’ al-Husnâ, dengan syarat:
i. Nama daripada al-Asmâ’ al-Husnâ itu tidak membawa kekeliruan atau kesamaran pada nasab anak tersebut.
ii. Tidak menambah nama pemohon pada nasab anak tidak sah taraf setelah nama daripada al-Asmâ’ al-Husnâ itu (seperti ‘Abdullah Fakhri, sebagaimana contoh yang dikemukakan oleh Pusat Da’wah Islamiah).
Ini kerana ia tetap merupakan helah bagi menyambung nasab atau keturunan anak tersebut kepada dirinya. Sedangkan menasabkan seseorang kepada orang yang tidak bersambung nasab dengannya, hukumnya adalah haram.
Dalam masalah ini, jika anak tidak sah taraf dibinkan sebagaimana yang bertepatan dengan kehendak syara‘ seperti yang telah diterangkan, maka tidak akan timbul masalah sekiranya Fakhri (sebagaimana nama contoh di atas) menambah nama kedua dengan nama ‘Abdullah Fakhri (sebagaimana masalah yang diadukan dalam soalan), kerana ini tidak akan sama dengan nama yang dibinkan kepada anak tidak sah taraf itu.
Menghadkan Penasaban Anak Tidak Sah Taraf Kepada ‘Abdullah Dan ‘Abdul Rahman
Sebagaimana yang telah diterangkan, adalah harus membinkan atau membintikan anak tidak sah taraf atau anak zina kepada ibunya atau saudara-saudara yang seagama; seperti nama ‘Abdullah atau ‘Abdul Rahman atau nama-nama lain daripada al-Asmâ’ al-Husnâ, yang tidak membawa kekeliruan atau kesamaran pada nasabnya.
Manakala, haram hukumnya membinkan anak tidak sah taraf atau anak zina kepada seseorang yang tidak bersambung nasab dengannya, sekalipun kepada nama kedua orang tersebut. Demikian juga sebaliknya, dilarang seseorang menambah nama kedua yang sama dengan nama yang telah dibinkan kepada anak tidak sah taraf atau anak zinanya. Ini kerana perbuatan-perbuatan itu membawa kekeliruan atau kesamaran pada nasab anak tersebut.
Adapun menghadkan bin atau binti anak yang tidak sah taraf kepada nama ‘Abdullah atau ‘Abdul Rahman sahaja, sekalipun bagi tujuan menjaga kemashlahatan dan mengelakkan berlakunya kekeliruan nasab, perlu difikirkan perkara-perkara yang timbul daripada tindakan menghadkan itu, iaitu:
1. Adakah dengan menghadkan itu ia akan boleh mengelak masalah sepertimana yang diadukan dalam soalan; iaitu seseorang itu menambah nama kedua yang sama dengan nama yang telah dibinkan kepada anak tidak sah taraf?
Sebagai contoh, pemohon membinkan anak tidak sah taraf atau anak zinanya dengan nama ‘Abdullah atau ‘Abdul Rahman, kemudian pemohon sendiri setelah itu berkemungkinan juga akan menambah nama kedua dengan nama ‘Abdullah atau ‘Abdul Rahman, dan menggunakan nama tersebut dalam kebanyakan urusan. Seperti:
Nama asal pemohon ialah: FAKHRI.
Nama anak tidak sah taraf atau anak zinanya ialah: ZAID BIN ‘ABDUL RAHMAN.
Kemudian, Fakhri memohon menambah nama kedua yang sama dengan nama yang telah dibinkan kepada anak tidak sah taraf atau anak zinanya, menjadi: FAKHRI @ ‘ABDUL RAHMAN.
Contoh di atas menunjukkan, menghadkan membinkan anak tidak sah taraf dengan nama ‘Abdullah atau ‘Abdul Rahman, tetap tidak dapat menyelesaikan masalah. Pintu untuk orang membuat helah tetap terbuka.
2. Bagaimana pula jika seseorang yang memang nama asalnya ‘Abdullah atau ‘Abdul Rahman membinkan anak tidak sah taraf atau anak zinanya? Kalau dia lebih mementingkan untuk menutup keaibannya kerana memiliki anak tidak sah taraf atau anak zina berbanding daripada memikirkan masalah kekeliruan nasab, maka setentunya dengan lebih mudah lagi dia akan memilih nama yang sama seperti namanya untuk dibinkan kepada anak yang tidak sah taraf atau anak zina tadi. Seperti:
Nama asal pemohon ialah: ‘ABDUL RAHMAN.
Nama anak tidak sah taraf atau anak zinanya ialah: ZAID BIN ‘ABDUL RAHMAN.
Dalam masalah ini, menghadkan bin anak tidak sah taraf kepada nama ‘Abdullah atau ‘Abdul Rahman bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan dan kesamaran nasab tetapi juga telah menyempitkan sesuatu keharusan yang luas.
Bagi mengelak masalah menambah nama kedua yang sama dengan nama yang telah dibinkan kepada anak tidak sah taraf, adalah disarankan seperti berikut:
1. Pihak-pihak berautoriti khasnya Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan atau mana-mana pihak berkenaan, disarankan menjalankan penyiasatan sebelum kebenaran menambah nama kedua diberikan; seperti pemohon hendaklah menyatakan di dalam borang permohonan apakah alasan pemohon menambah nama kedua, bilangan anak (termasuk anak yang di bawah jagaannya seumpama anak angkat) dan nama-nama penuh mereka berserta bin atau binti, juga tarikh lahir mereka dan tarikh pernikahan pemohon.
Seandainya didapati nama kedua yang dipohonkan itu menyamai dengan nama yang telah dibinkan kepada anak tidak sah taraf, maka permohonan seumpama itu mesti ditolak kerana ia akan membawa kekeliruan atau kesamaran pada nasab anak tidak sah taraf itu.
2. Perlu juga ditekankan dalam peraturan bahawa nama kedua yang dipohonkan tidak boleh digunakan sebagai pengganti nama asal dalam apa-apa urusan; termasuk dalam membinkan anak-anaknya yang sah taraf.
Sekiranya hendak disebut nama kedua pun, hendaklah disebut setelah nama asal disebutkan dahulu. Sebagai contoh:
Nama asal ialah: FAKHRI.
Nama kedua Fakhri ialah: ‘ABDUL KARIM.
Maka, hendaklah disebut dalam pelbagai urusan, seperti: FAKHRI @ ‘ABDUL KARIM.
Jika Fakhri mempunyai anak yang sah taraf bernama KASIM umpamanya, maka Kasim hendaklah dibinkan kepada: KASIM BIN FAKHRI @ ‘ABDUL KARIM (dengan mengekalkan nama asal Fakhri).
Ini adalah bagi menjauhi sebarang penipuan dan menjaga kemashlahatan jua.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11843
