Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Tanda Salib Pada Logo “Monster Energy”

Soalan: Dengan penuh hormat disertakan lampiran gambar satu contoh baju T (T-Shirt) yang mempamerkan logo perkataan “MONSTER ENERGY” yang diragui mengandungi tanda salib/cross pada huruf ‘O’ dalam ejaan “MONSTER”. Sehubungan dengan itu, sukacita dipohonkan fatwa dan ulasan mengenai baju berkenaan.

Jawapan: Tanda Salib Pada Logo Monster Energy Lambang salib itu ada bermacam-macam rupa. Berdasarkan pengamatan, logo perkataan “MONSTER ENERGY” pada baju T (T Shirt) yang dilampirkan gambarnya oleh Pusat Da‘wah Islamiah itu, mengandungi tanda salib/cross pada huruf ‘O’ dalam ejaan “MONSTER”. Berikut adalah gambar logo perkataan “MONSTER ENERGY” tersebut:

Orang Bukan Islam Ditegah Memperlihatkan Syi‘ar Kufur

Merujuk kepada pendapat ulama fiqh khususnya dalam mazhab asy-Syafi‘e berhubung dengan syarat dan juga peraturan yang mesti ditaati oleh orang-orang dzimmi atau orang-orang bukan Islam yang berada di negara Islam, antara perkara yang wajib ditegah ke atas mereka ialah memperlihatkan perkara-perkara mungkar di kalangan orang Islam, iaitu:

1. Mereka wajib dilarang memperdengarkan kepada orang-orang Islam tentang kesyirikan mereka, umpamanya dengan mengatakan Allah itu salah satu daripada tiga unsur (fahaman Nashrani tentang triniti yang mengatakan tuhan itu ada tiga unsur; tuhan bapa, tuhan anak dan ruh al-quddus), Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu.

2. Mereka dilarang memperdengarkan kepada orang-orang Islam tentang perkara yang membawa kepada syirik, seperti kepercayaan mereka yang salah mengenai Nabi ‘Isa dan al-‘Uzair ‘Alaihimashshalâtu wassalâm.

3. Mereka dilarang memperlihatkan atau memberi minum arak, atau memberi makan khinzîr kepada orang-orang Islam.

4. Mereka dilarang menzahirkan perayaan mereka, memperdengarkan nâqûs (benda yang digendang oleh orang-orang Nashrani untuk memaklumkan waktu-waktu sembahyang mereka), memperlihat dan memperdengarkan bacaan Injil serta Taurat mereka, sekalipun di gereja-gereja mereka kerana terdapat padanya kerosakan-kerosakan dan menzahirkan syi‘ar kekufuran.

Jika mereka menampakkan juga, maka mereka boleh dita‘zîr (hukuman yang tiada dihadkan dalam syara‘) dan boleh disekat, tetapi dengan tindakan itu tidak merosak perjanjian (memberikan mereka kedamaian), meskipun sudah disyaratkan kepada mereka untuk menahan diri daripada menyebut hal-hal serupa itu. Lain halnya jika mereka memerangi kita, tidak mahu membayar jizyah dan tidak mahu melaksanakan hukum Islam, maka ketika itu batal perjanjian kita dengan mereka. (Asnâ al-Mathâlib: 4/222, Mughni al-Muhtâj: 4/323 dan Kifâyah al-Akhyâr: 512)

Imam asy-Syirazi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan mereka (orang-orang dzimmi) dilarang daripada memperlihatkan arak, khinzîr, menggendang loceng-loceng, menyaringkan (bacaan) Taurat dan Injil, memperlihatkan salib, memperlihatkan perayaan-perayaan mereka dan melaungkan suara bagi (meratapi) mayat mereka. (Al-Muhadzdzab: 5/330)

Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh ‘Abdul Rahman bin Ghanm bahawa orang-orang Nashrani penduduk Syam mensyaratkan sedemikian ke atas diri mereka sendiri ketika membuat perjanjian damai dengan Amirul-Mu’minin Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu:

Ertinya: Kami (orang-orang Nashrani penduduk Syam) telah mensyaratkan bahawa kami tidak akan menjual arak, kami tidak akan memperlihatkan salib-salib kami dan tidak juga kitab-kitab kami di mana-mana tempat yang dilalui oleh orang-orang Islam, dan tidak juga di pasar-pasar mereka. Kami tidak akan menggendang loceng-loceng kami kecuali dengan bunyi pukulan yang rendah (terhindar daripada pendengaran orang-orang Islam) dan kami tidak akan meninggikan suara kami bagi apa-apa bacaan dalam gereja-gereja kami yang berada di khalayak orang-orang Islam. Kami tidak akan keluar untuk sya‘ânin kami (perayaan orang-orang Nashrani mengeluarkan salib-salib mereka) dan tidak juga bâ‘ûs kami (orang-orang Nashrani mengeluarkan salib-salib mereka ke padang-padang pasir untuk meminta hujan). Kami juga tidak akan melaungkan suara terhadap mayat-mayat kami. (Al-Muhadzdzab: 5/330-1)

Orang-orang Nashrani penduduk Syam juga menyebutkan dalam syarat perjanjian damai mereka itu bahawa jika mereka mengingkari sesuatu daripada apa yang mereka syaratkan, maka mereka memberi jaminan bahawa tiada lagi perlindungan ke atas mereka dan halal ke atas pemerintah Islam bertindak ke atas mereka dengan tindakan yang halal dilakukan ke atas golongan yang membantah dan menentang orang-orang Islam. (Asnâ al-Mathâlib: 4/219)

Menurut pendapat shahîh, syarat-syarat orang bukan Islam di negara Islam pada zaman Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu ini adalah mencukupi dan ia berterusan untuk diguna pakai sampai bila-bila sekalipun setelah berkurun lamanya. (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/149)

Hukum Orang Islam Memakai Pakaian Yang Ada Lambang Salib Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, melakukan perbuatan yang telah disepakati oleh orang Islam bahawa perbuatan tersebut tidak dilakukan melainkan oleh orang-orang kafir seperti sujud kepada salib atau api, berjalan menuju gereja bersama penganut-penganutnya dengan memakai pakaian mereka seperti tali pinggang zinar (khas bagi orang kafir) dan seumpamanya, merupakan satu perbuatan yang kufur dan syirik, sekalipun orang Islam yang melakukan perbuatan tersebut menyatakan secara berterang-terangan bahawa dia orang Islam. (Raudhah ath-Thâlibîn: 8/394)

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh menyebutkan dalam fatwa beliau hukum melakukan perbuatan yang menyerupai perbuatan orang kafir, iaitu:

1. Jika seseorang melakukan perbuatan orang kafir dengan tujuan menyerupai mereka pada syi‘ar kekufuran (syi‘ar agama mereka), maka dihukumkan kafir.

2. Jika seseorang melakukan perbuatan orang kafir dengan tujuan menyerupai mereka pada syi‘ar perayaan tanpa niat untuk melakukan kekufuran, maka tidak dihukumkan kafir tetapi berdosa (haram).

3. Jika seseorang melakukan perbuatan orang kafir tanpa bertujuan menyerupai mereka pada asalnya, maka tidak mengapa. (Al-Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 4/239)

As-Sayyid ‘Abdul Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar yang dikenali sebagi Ba ‘Alawi Rahimahullâh, Mufti al-Hadhramaut, juga ada menerangkan hasil atau keputusan hukum para ulama pada perkara berpakaian seperti orang-orang kafir:

1. Jika berpakaian seperti pakaian orang-orang kafir dengan hati yang cenderung kepada agama mereka dan bertujuan menyerupai mereka pada syi‘ar-syi‘ar kekufuran, atau berjalan bersama mereka ke tempat-tempat ibadat mereka, maka dihukumkan kafir pada kedua-dua perkara tersebut.

2. Jika tidak bertujuan seperti pada perkara 1 di atas, tetapi bertujuan menyerupai mereka pada syi‘ar-syi‘ar perayaan atau menyerupai mereka untuk berhubungan bagi melakukan muamalat yang harus dengan mereka, maka hukumnya adalah berdosa (haram).

3. Jika kebetulan menyerupai mereka tanpa apa-apa tujuan, maka hukumnya adalah makruh, seperti mengikat kain selendang ketika sembahyang. (Bughyah al- Mustarsyidîn: 248)

Dipetik secara ringkas fatwa Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Umar Abd. Aziz, bekas Mufti Kerajaan mengenai pemakaian lambang salib oleh orang Islam:

“Cross-cross itu perkara-perkara atau benda-benda yang dipakai khas bagi orang Nashrani atau Kristian, maka menurut pendapat al-Imam as-Sayyid ‘Abdullah bin Yahya, bahawa orang Islam yang memakai cross, dengan cenderung hatinya pada agama Kristian, atau ia qashadkan menyerupai orang Kristian pada cogan-cogan atau adat-adat kufur Kristian, maka ia dihukumkan kafir, dan jika ia tiada cenderung hatinya pada agama Kristian dan tiada pula ia qashadkan menyerupai orang Kristian pada cogan-cogan atau adat-adat kufur bagi orang Kristian, maka ia telah membuat perkara haram dan dosa, dan jika ia menyerupai orang Kristian, dalam perkara yang tersebut dengan serempak atau tiada semena-mena, dan tiada qashad sesuatu dari perkara-perkara tersebut, maka ia tiada berdosa, tetapi ia telah membuat makruh…”

“Pada pendapat kaola cross adalah syi‘ar dan cogan dan simbol Kristian atau Nashrani, iaitu bahawa Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm pada i‘tiqâd dan kepercayaan mereka, adalah telah disula dan dibunuh oleh musuh Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam, padahal dalam al-Qur’an dan hadits dan ijmâ‘ umat Islam menyatakan bahawa Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm tiada dapat dibunuh dan tiada disula oleh musuh-musuh Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm, dan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm diselamat dan diangkat oleh Allah Ta‘ala akannya hidup-hidup ke langit, dan sekarang Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm tetap hidup sehingga akhir zaman ketika zaman keluar al-Imam al-Mahdi, dan zaman keluar Dajjal besar yang buta mata sebelahnya, dari keturunan bangsa Yahudi maka Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm turun ke dunia hidup-hidup memerangi Dajjal besar yang membuat kacau dan huru-hara besar ke atas umat Islam pada masa itu...”

“...maka menyiarkan perkara yang terang-terang salah dan batil pada pandangan agama Islam, bagaimana disebutkan dalam Bab as-Siyar dari kitab-kitab fiqh, adalah suatu dosa besar dan ditegah betul-betul oleh syara‘ Islam, seperti cross dipakai menjadi simbol rumah-rumah sakit dan alat-alat rumah-rumah sakit, yang boleh membawa orang Islam yang melihat simbol-simbol cross yang terdedah itu, salah i‘tiqâd dan percayakan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm betul dicross dan dibunuh oleh musuh-musuhnya, jika orang Islam berpendapat bagaimana pendapat dan kepercayaan Kristian itu, dan bagaimana pendapatnya yang di atas ini, maka ia telah keluar dari agama Islam dan menjadi murtad dan terfasakh nikahnya daripada isterinya dan jika ia bersatu dengan isterinya dalam masa ia murtad dan masa terfasakh nikahnya daripada isterinya maka anaknya itu anak zina

Maka dari itu wajiblah orang-orang Islam menjaga i‘tiqâd dan kepercayaannya dan agamanya dan dasar-dasar Islam seperti Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm tiada dibunuh dan tiada disula bagaimana dalam al-Qur’an, dan membiarkan cross terdedah di tempat-tempat dibanjiri oleh umat Islam adalah suatu mungkar.” (Fatwa Mufti Kerajaan: 22/1979)

Berdasarkan keterangan yang telah disebutkan, orang-orang bukan Islam di negara Islam adalah dilarang mempamerkan salib-salib mereka di tempat-tempat yang dilalui oleh orang-orang Islam dan pasar-pasar mereka. Jika mereka mempamerkan juga, maka pemerintah Islam wajib menghalang, menahan dan melakukan tindakan yang sewajarnya ke atas mereka.

Sehubungan itu, apa sahaja benda yang ada padanya lambang cross atau salib yang mempunyai unsur untuk pendiayahan Kristian, seperti baju T (T-Shirt) yang mempamerkan logo perkataan “MONSTER ENERGY” yang mengandungi tanda salib/cross pada huruf ‘O’ dalam ejaan “MONSTER” itu, wajib dihalang pendedahan dan pengedarannya di negara ini. Ini adalah bagi memelihara aqidah umat Islam jua.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11855