Terpijak Kesan Tapak Anjing Yang Terdapat Di Simen
Soalan: Saya pernah terpijak kesan bekas tapak anjing yang terdapat di simen (terlekat di lantai simen seperti sudah lama dan sudah kering dan sebati dengan simen). Ketika saya terpijak kemungkinan kasut saya dalam keadaan basah, tetapi tapak kasut saya tidak mempunyai kesan bekas pijakan.
Saya tidak menyamak kasut saya. Adakah tapak kasut saya itu boleh menjangkitkan atau mengalihkan najis kepada benda-benda lain jika tersentuh dengannya?
Jawapan: Sebelum menjawab soalan yang dikemukakan, terlebih dahulu diterangkan perbezaan penggunaan istilah ‘samak’ dan ‘sertu’. Ini kerana isitilah ‘menyamak kasut’ telah digunakan dalam soalan.
Menurut Kamus Dewan, perkataan ‘samak’ bererti tumbuhan (pokok yang kulitnya digunakan untuk menyamak kulit) dan zat yang digunakan untuk memasak dan mewarnai kulit binatang (untuk dibuat kasut dan lain-lain). Demikian juga perkataan ‘menyamak’ membawa beberapa maksud; antaranya ialah memasak kulit (supaya berwarna dan lembut dan lain-lain). ‘Menyamak’ juga membawa maksud yang serupa dengan menyertu; iaitu menyucikan anggota badan, tempat dan sebagainya yang terkena najis mughallazhah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali. (Kamus Dewan Edisi Keempat: 1377 & 1475)
Oleh yang demikian, istilah ‘menyamak’ dalam bahasa Melayu bermaksud lebih umum; ia bukan sahaja merujuk kepada cara menyucikan benda atau tempat yang terkena najis mughallazhah, bahkan ia juga merujuk kepada cara membersihkan dan menyucikan kulit binatang, iaitu dalam istilah syara‘ disebut dibâgh. Manakala istilah ‘menyertu’ lebih khusus kepada maksud membersihkan sesuatu daripada najis mughallazhah. Maka, adalah lebih sesuai digunakan di sini istilah ‘sertu’ berbanding ‘samak’, khusus bagi maksud penyucian daripada najis mughallazhah.
Berhubung dengan persoalan yang dikemukakan, disebutkan di sini fatwa asy-Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh:
Ertinya: Dan beliau (asy-Syeikh Ibnu Hajar Rahimahullâh) ditanya lagi tentang jalan yang tidak ada padanya lumpur, dan ada padanya tahi dan kotoran manusia serta tahi anjing, adakah dimaafkan jika berlaku hujan yang mengenai pakaian dan kaki daripadanya (najis tersebut)? Beliau menjawab dengan katanya: “Adalah dimaafkan tentang apa yang telah disebutkan pada jalan yang susah untuk dielakkan daripadanya (najis tersebut), kerana keadaannya yang meratai keseluruhan jalan, dan tuannya (tuan pakaian atau kaki) itu pula tidak dianggap sebagai terjatuh (ke atas najis), juga tidak tersungkur (ke atas najis) dan tidak juga dianggap kurang berjaga-jaga.” (Al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 1/163)
Berdasarkan fatwa asy-Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh di atas, sesiapa yang terpijak sama ada dengan kaki atau kasut dalam keadaan basah pada lantai simen yang terdapat bekas tapak kaki anjing yang telah kering, tidak perlu disertu (tidak perlu dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali; enam kali basuhan dengan air mutlak dan sekali dengan air bercampur tanah) kaki atau kasutnya itu. Ini kerana sebagaimana yang disebut dalam fatwa di atas, najis atau kotoran anjing yang terdapat pada jalan yang tidak berlumpur lalu terkena air hujan dan susah untuk dielakkan adalah termasuk dalam kategori najis yang dimaafkan.
Maka adalah utama atau lebih layak bekas tapak kaki anjing yang terdapat di lantai simen itu dimaafkan, kerana ia hanya berupa kesan daripada pijakan anjing, dan tidak terdapat apa-apa kesan daripada bahagian tubuh anjing atau kotorannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-11859
