Beberapa Masalah Hukum Mengenai Haji Dan Umrah
Perintah mengerjakan ibadat haji dan umrah adalah kewajipan yang mesti dilaksanakan sekali dalam seumur hidup bagi mereka yang berkuasa. Namun begitu, ia sunat dikerjakan berulang-ulang. Fadhilatnya sangatlah besar sebagaimana disebutkan di dalam hadits-hadits Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang antara lain menyebutkan bahawa haji yang mabrûr itu tiada balasannya melainkan syurga dan bahawa orang yang beroleh haji yang mabrûr itu keadaannya seperti anak kecil yang baru dilahirkan dari perut ibunya yang suci daripada dosa serta lain-lain kelebihannya yang banyak.
Untuk mencapai kelebihan-kelebihan itu, seorang itu setentunya, hendaklah melaksanakan rukun-rukun, wajib-wajib, syarat-syarat dan juga menjaga adab-adab haji dan umrah dalam bentuk yang sempurna. Irsyad hukum kali ini akan menyentuh beberapa persoalan mengenai haji dan umrah yang dirasakan penting sahaja sebagai panduan dan ingatan.
1. Mîqât
Berniat haji atau umrah adalah salah satu daripada rukun haji, manakala melakukan niat ihram haji atau umrah di mîqât adalah salah satu daripada wajib haji atau umrah. Maka tidak boleh bagi seseorang yang hendak melakukan ibadat haji atau umrah melewati mîqât tanpa berniat ihram haji atau umrah, jika dia melewatinya sama ada dengan sengaja atau lupa atau jahil, maka diwajibkan ke atasnya dam, kecuali dia kembali semula ke tempat mîqâtnya dengan syarat dia belum melakukan sebarang amalan haji atau umrah sama ada rukun seperti wuquf atau thawaf Qudûm. Hanya perbezaan di antara orang yang sengaja tidak berniat ihram di mîqât dengan orang yang jahil atau orang yang lupa berniat ihram di mîqât ialah bagi orang yang sengaja, dia berdosa dan bagi orang yang jahil atau lupa dan yang seumpamanya, dia tidak berdosa.
Dalam pada itu sebagai langkah berjaga-jaga, seseorang itu boleh berniat ihram haji atau umrah sebelum dia sampai ke mîqât, kerana yang demikian itu adalah harus hukumnya, namun begitu yang lebih afdhal ialah berniat ihram di mîqât.
2. Berihram
i. Sebelum berniat ihram adalah disunatkan mencukur misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari dan memotong kuku dan setelah itu disunatkan mandi sunat ihram walaupun seorang itu masih di dalam haidh atau nifas.
ii. Selepas mandi ihram (sebelum berniat ihram) disunatkan memakai wangi-wangian pada badan dan juga pada pakaian ihram, tetapi yang lebih utama memakai wangi-wangian pada tubuh badan sahaja kerana bila seseorang itu sudah berniat ihram dan dia tanggalkan pakaian ihramnya yang masih ada padanya bau wangi itu, kemudian dipakainya semula, maka wajib ke atasnya dam, tetapi jika pakaian ihramnya itu tidak ada lagi bau wangian yang tinggal, tidaklah menjadi apa-apa. Begitu juga kalau diambil wangi-wangian yang sedia ada pada pakaian atau tubuhnya kemudian disapu dan dilekatkan ke bahagian yang lain lagi pada pakaian yang ada di tubuhnya setelah dia berniat ihram, maka wajib ke atasnya dam, tetapi kalau wangi-wangian itu berpindah kerana dibawa peluh tidaklah mengapa kerana bukan disengaja. Kemudian selepas itu disunatkan lagi baginya menunaikan sembahyang sunat ihram di dalam waktu yang tidak diharamkan mengerjakan sembahyang sunat.
3. Talbiyah
i. Sunat mengucap talbiyah sebanyak-banyaknya sesudah berniat ihram haji atau umrah selama masih dalam keadaan berihram sekalipun bagi wanita yang dalam keadaan haidh dan nifas, kecuali ketika thawaf, sa‘i dan melontar, kerana ia mempunyai zikir-zikir tertentu yang disunatkan membacanya. Manakala berakhirnya waktu bertalbiyah itu bagi ibadat umrah ialah apabila hendak memulakan thawaf, dan bagi ibadat haji ialah apabila hendak memulakan lontaran Jamrah Al- ‘Aqabah pada hari kesepuluh Zulhijjah.
ii. Tidak disunatkan bagi perempuan menyaringkan suaranya ketika membaca talbiyah, memadai dengan bacaan yang sekira-kira didengarnya sendiri. Bagi lelaki adalah disunatkan menyaringkan suaranya, tetapi jika talbiyahnya itu mengganggu orang yang sedang bersembahyang, berzikir, membaca Al-Qur’an atau orang tidur maka adalah makruh dia menyaringkannya. Maka disunatkan sahaja dengan suara perlahan sekira-kira hanya didengarnya sendiri, begitu juga talbiyah yang dibaca sebaik sahaja berniat ihram disunatkan dengan suara yang perlahan.
iii. Sunat mengulangi talbiyah sebanyak tiga kali dan disertakan setelah membacanya tiga kali, berselawat dan salam ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan suara yang lebih perlahan dari ucapan talbiyah agar berbeza antara selawat dan talbiyah. Yang afdhalnya hendaklah lafaz selawat itu sama seperti selawat yang ada di dalam tahiyyah al-akhîr ketika sembahyang. Sesudah membaca selawat disunatkan lagi membaca doa, terutama yang mengandungi permohonan menuntut keredhaan dan syurga serta terhindar dari api neraka di samping doa lain yang ada kaitannya dengan kebajikan dunia dan akhirat.
iv. Makruh berkata-kata ketika membaca talbiyah dan makruh juga memberi salam kepada orang yang sedang bertalbiyah, dan adalah sunat hukumnya menjawabnya ketika itu, walau bagaimanapun menangguhkan jawapan salam itu sehingga selesai membaca talbiyah adalah lebih afdhal sekiranya orang yang memberi salam itu masih berada di dekatnya.
Sekiranya orang yang sedang berihram melihat sesuatu yang menarik perhatiannya atau sesuatu yang dibencinya maka sunat membaca:
Ertinya: Aku junjung perintahMu sesungguhnya hidup yang sebenarnya adalah kehidupan akhirat.
4. Thawaf
i. Thawaf itu hendaklah dilakukan di dalam masjid dan di luar Ka‘bah (tidak di bingkai kaki Ka‘bah (Syazarwan) dan tidak di dalam Hijr Isma‘il) yang dimulakan daripada Hajar Al-Aswad dengan menjadikan Ka‘bah di sebelah kirinya di setiap tujuh pusingan dengan menutup aurat, suci daripada hadats dan najis serta tidak berpaling niat daripada mengerjakan thawaf.
ii. Thawaf tujuh kali pusingan itu hendaklah dengan yakin. Kalau kurang dari tujuh pusingan, maka thawafnya tidak sah. Jika dia ragu-ragu tentang bilangan pusingan, apakah sudah tujuh pusingan atau kurang, jika keraguan itu berlaku ketika dia masih di dalam thawaf maka diambil bilangan yang sedikit untuk meyakinkan tujuh pusingan itu. Manakala jika keraguan itu datang setelah dia selesai mengerjakan thawaf, keraguan itu tidak memberi kesan apa-apa.
Tetapi jika ghâlib pada zhannnya (sangkaan yang berat) bahawa dia telah melakukan tujuh pusingan, kemudian dikhabarkan kepadanya bahawa dia hanya melakukan enam pusingan, lazim dia menurut khabar itu jika khabar itu datang dari bilangan orang yang banyak dan boleh dipercayai. Manakala jika ghâlib pada zhannnya bahawa dia belum menyempurnakan tujuh pusingan dan dikhabarkan kepadanya bahawa dia telah menyempurnakan tujuh pusingan, maka jangan dia beramal dengan perkhabaran itu kecuali perkhabaran itu datang dari bilangan orang yang ramai dan boleh dipercayai.
iii. Disunatkan beridhthibâ‘ iaitu menjadikan kain ihram di bawah ketiak kanan dengan bahu kanan terbuka dan kedua hujungnya di atas bahu kiri di setiap pusingan thawaf. begitu juga disunatkan raml iaitu berlari-lari anak pada tiga pusingan thawaf yang pertama dan selepas itu sunat berjalan seperti biasa pada empat pusingan yang bakinya. Idhthibâ‘ dan raml ini hanya disunatkan kepada lelaki sahaja di dalam thawaf yang diiringi selepasnya sa‘i.
iv. Bagi lelaki disunatkan melakukan thawaf berdekatan dengan Baitullah, manakala bagi perempuan disunatkan menjauhi Baitullah jika ramai kaum lelaki yang masih thawaf berdekatan Baitullah.
v. Disunatkan juga istilâm iaitu menyapu atau mengusap Hajar Al- Aswad dengan tapak tangan kanan, mengucupnya (Hajar Al-Aswad) dan meletakkan dahi ke atasnya setiap kali pusingan thawaf, manakala pada Rukun Yamani adalah disunatkan istilâm sahaja tanpa mengucupnya dan meletakkan dahi ke atasnya.
Sekiranya tidak dapat istilâm, mengucup Hajar Al-Aswad dan istilâm Rukun Yamani disebabkan oleh terlalu ramai orang, maka disunatkan mengisyarat dengan tangan sahaja dari jauh, kemudian dikucup tapak tangan itu. Orang perempuan tidak disunatkan istilâm dan mengucup kecuali ketika sunyi (tidak ramai jemaah lelaki di tempat tersebut).
vi. Begitu juga disunatkan di dalam thawaf itu membaca doa-doa atau zikir-zikir yang ma’tsûr, melakukan thawaf dengan khusyû‘ dan tawâdhu‘, hadir hati ingatkan Allah serta kebesaranNya dan berturut-turut antara satu pusingan dengan pusingan yang lain. Adalah makruh hukumnya melakukan thawaf dalam keadaan menahan diri dari hendak membuang air, dalam keadaan sangat lapar, makan, minum, bercakap-cakap kecuali jika perlu seperti menunjuk ajar. Makruh juga hukumnya memutuskan thawaf dengan tiada sebab, tetapi jika ada sebab seperti mengambil wudhu‘ atau didirikan sembahyang fardhu berjemaah, setelah selesai yang sedemikian itu, harus dia menyambung semula baki pusingan thawafnya tetapi yang lebih afdhal diperbaharui thawafnya itu semula.
5. Sa‘i
i. Sa‘i dilakukan dengan tujuh kali pusingan yang dimulakan dari Shafa dan diakhiri di Marwah selepas melakukan thawaf rukun, atau thawaf Qudum bagi orang yang melakukan haji Qirân atau haji Ifrâd. Perjalanan dari Shafa ke Marwah adalah dikira satu pusingan dan dari Marwah ke Shafa adalah satu pusingan yang lain hinggalah seterusnya.
ii. Disunatkan sa‘i itu dikerjakan di dalam keadaan suci daripada hadats kecil dan besar, beridhthibâ‘, berturut-turut pusingannya, berlari-lari anak (raml) di setiap kali melewati tempat yang bertanda hijau, menaiki bukit Shafa dan Marwah hingga sampai ke batu-batu bukit dan membaca doa-doa atau zikir-zikir yang ma’tsûr. Adapun berlari-lari anak dan menaiki bukit Shafa dan Marwah hingga sampai ke batu-batu bukit adalah disunatkan bagi orang lelaki sahaja.
6. Bercukur atau bergunting i. Bercukur atau bergunting itu ialah menghilangkan sekurang-kurang tiga helai rambut kepala sama ada dicukur atau digunting atau dibakar atau dicabut. Semua perbuatan ini adalah memadai.
ii. Bagi orang yang tidak mempunyai rambut, maka tiada perlu baginya bercukur atau bergunting tetapi disunatkan dia menjalankan mata pisau cukur di atas kepalanya.
iii. Disunatkan bagi lelaki bercukur seluruh rambut kepala dan bagi perempuan bergunting sahaja, dan makruh bagi perempuan mencukur seluruh rambut kepala, bahkan haram jika tidak diizinkan oleh suaminya.
iv. Masuk waktu bercukur atau bergunting bagi ibadat umrah ialah setelah mengerjakan thawaf dan sa‘i, manakala bagi ibadat haji apabila masuk separuh malam Hari Raya (10 Zulhijjah), tetapi yang afdhal ianya dilakukan pada siang hari raya setelah terbit matahari selepas melontar Jamrah Al-‘Aqabah sebelum thawaf.
v. Tempat bercukur atau bergunting itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja, tetapi yang afdhalnya bagi orang yang mengerjakan haji ialah di Mina manakala bagi orang yang mengerjakan umrah ialah di Marwah.
7. Wuquf di ‘Arafah
i. Masuk waktu wuquf di ‘Arafah itu ialah daripada tergelincir matahari pada hari kesembilan Zulhijjah dan berakhir apabila terbit fajar pada hari kesepuluh Zulhijjah. Sesiapa yang wuquf di dalam waktu ini walaupun hanya sekejap adalah sah wuqufnya. Tidak sah wuquf jika dia tidak berada di bumi ‘Arafah ketika waktu tersebut seperti wuquf di ‘Arafah sebelum masuk waktunya atau selepas luput waktunya.
ii. Disunatkan wuquf itu hingga tenggelam matahari bagi mengumpulkan siang dan malam. Begitu juga disunatkan pada waktu wuquf itu suci daripada hadats kecil dan besar, membaca doa-doa atau zikir-zikir yang ma’tsûr, bertasbih, bertahlil, bertahmîd, bertakbir, beristighfâr, bertalbiyah, membaca Al-Qur’an dan juga berselawat.
8. Bermalam di Muzdalifah
i. Bermalam di Muzdalifah itu memadai dengan berada atau lalu sahaja di mana-mana bahagian Muzdalifah walau hanya sebentar setelah masuk separuh malam hari raya (sepuluh Zulhijjah) dan sebelum terbit fajar pada hari tersebut. Sesiapa yang tidak hadir di Muzdalifah atau hadir tetapi dia meninggalkannya sebelum masuk separuh malam dan dia tidak kembali ke Muzdalifah, maka wajib ke atasnya dam kecuali bagi orang-orang yang uzur, maka tidak dikenakan ke atasnya apa-apa.
ii. Disunatkan ketika berada di Muzdalifah mengutip batu untuk melontar Jamrah Al-‘Aqabah, adapun batu untuk melontar pada hari-hari Tasyrîq sunat diambil dari Mina atau Wadi Muhassir iaitu satu tempat lembah yang memisahkan di antara Muzdalifah dan Mina. Makruh hukumnya jika diambil batu-batu itu dari Tanah Halal, masjid, tempat yang najis atau menggunakan batu yang sudah dilontarkan.
9. Melontar Jamrah Al-‘Aqabah pada hari kesepuluh Zulhijjah dan jamrah-jamrah yang tiga pada hari-hari Tasyrîq
i. Melontar jamrah hendaklah yakin tujuh kali lontaran bagi tiap-tiap jamrah dengan menggunakan batu. Lontaran juga hendaklah menggunakan tangan dengan gaya melontar dan yakin batu itu masuk ke dalam jamrah.
ii. Bermula waktu melontar Jamrah Al-‘Aqabah itu setelah masuk separuh malam hari raya dan berakhir setelah matahari terbenam pada hari 13 Zulhijjah, dan yang afdhalnya dilakukan setelah terbit matahari pada 10 Zulhijjah. Adapun melontar jamrah-jamrah yang tiga pada hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) masuk waktunya pada hari-hari tersebut setelah tergelincir matahari dan berakhir setelah terbenam matahari pada hari 13 Zulhijjah.
iii. Tidak disyaratkan batu lontaran itu kekal di dalam jamrah yang mana jika batu lontaran itu telah masuk ke dalam jamrah kemudian terkeluar semula dari jamrah sama ada ia bergolek atau memantul keluar, tidaklah menjadi apa-apa dan ia tetap dikira sebagai satu lontaran.
iv. Melontar pada hari-hari Tasyriq itu hendaklah dengan tertib iaitu tidak dilontar jamrah yang kedua (Jamrah Al-Wusthâ) melainkan setelah dilontar jamrah yang pertama (Jamrah Al-Ûlâ/Al-Shughrâ) dan tidak dilontar Jamrah Al-Kubrâ (Al-‘Aqabah) melainkan setelah dilontar Jamrah Al-Shughrâ dan Al-Wusthâ. Tertib itu juga bermaksud tidak dilontar jamrah yang tiga pada hari-hari Tasyriq melainkan sesudah dilontar Jamrah Al-‘Aqabah pada hari Nahar (10 Zulhijjah), dan tidak dilontar jamrah yang tiga pada hari 12 Zulhijjah melainkan setelah dilontar tiga jamrah pada hari 11 Zulhijjah dan seterusnya. Jika seseorang itu tidak melakukan lontaran pada hari 11 Zulhijjah dan dia hendak melontar pada hari 12 Zulhijjah, hendaklah dia terlebih dahulu membuat lontaran bagi hari 11 Zulhijjah itu sebelum dia melontar untuk hari 12 Zulhijjah. Begitu juga tertib itu bermaksud tidak dilontarkan untuk orang lain kecuali sesudah dia melontar untuk dirinya sendiri.
v. Disunatkan melontar dari satu jamrah ke satu jamrah yang lain dan juga tujuh kali lontaran di setiap jamrah itu secara berturut-turut, melontar dengan tangan kanan dan mengangkatnya sehingga nampak ketiak bagi lelaki, menggunakan batu-batu kecil yang berukuran seperti kacang fûl dengan menghadap kiblat ketika melontar kecuali ketika melontar Jamrah Al-‘Aqabah pada hari Nahar (10 Zulhijjah) kerana disunatkan pada hari itu melontar menghadap Jamrah Al- ‘Aqabah dengan menjadikan Makkah di sebelah kirinya dan Mina (Jamrah Al-Ûlâ dan Wusthâ) di sebelah kanannya.
vi. Bagi orang yang lemah untuk melontar disebabkan oleh sesuatu uzur yang tidak ada harapan akan hilang uzurnya itu sebelum luput waktu melontar (terbenam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah) seperti sakit, maka wajib dia meminta ganti untuk dilontarkan bagi dirinya. Jika dia sembuh selepas dilontarkan dan masih ada lagi waktu untuk melontar, tidak wajib baginya mengulanginya.
10. Tahallul Awwal dan Tsâni Apabila orang yang mengerjakan haji itu telah selesai mengerjakan dua daripada tiga perkara iaitu melontar Jamrah Al-‘Aqabah, bercukur atau bergunting, thawaf serta sa‘i, umpamanya jika dikerjakan melontar dan bercukur (bergunting), atau melontar dan thawaf, atau thawaf dan bercukur, maka halal baginya melakukan perkara-perkara yang diharamkan ketika di dalam ihram selain bersetubuh dan akad nikah, dan ini dinamakan Tahallul Awwal. Apabila dia telah sempurna mengerjakan ketiga-tiga perkara tersebut, maka halal baginya semua perkara-perkara yang diharamkan ketika di dalam ihram dan ini dinamakan Tahallul Tsani.
11. Nafar Awwal dan Tsâni
i. Bermalam di Mina pada hari-hari Tasyriq itu ialah berada di Mina lebih daripada separuh malam walaupun lebihan daripada separuh malam itu hanya sebentar.
ii. Wajib bermalam pada ketiga-tiga hari Tasyriq itu (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah bagi orang yang mengerjakan Nafar Tsani, dan melakukan Nafar Tsani ini adalah lebih afdhal daripada Nafar Awwal kecuali bagi orang yang mempunyai keuzuran. Jika seseorang itu mengerjakan Nafar Awwal, maka gugur darinya kewajipan bermalam di Mina dan juga melontar jamrah-jamrah yang tiga pada hari ke 13 Zulhijjah.
iii. Orang yang mengerjakan Nafar Awwal itu hendaklah keluar dari Mina sebelum terbenam matahari pada hari yang ke 12 Zulhijjah setelah melakukan perkara-perkara yang wajib dilakukan pada hari ke 11 dan ke 12 Zulhijjah dengan berniat dan berazam tidak akan kembali ke Mina.
12. Thawaf Wadâ‘
i. Thawaf Wadâ‘ adalah wajib ke atas orang yang hendak meninggalkan Makkah kerana kembali ke negerinya atau kerana pergi ke satu tempat yang dibolehkan mengqashar sembahyang (dua marhalah) atau kerana pergi ke suatu tempat yang dia hendak tinggal di tempat itu selama empat hari atau lebih. Jika dia tidak melakukannya maka diwajibkan ke atasnya membayar dam, tetapi jika dia kembali ke Makkah sebelum perjalanannya mencapai dua marhalah dan dikerjakan Thawaf Wadâ‘, maka gugur daripadanya dam itu. Manakala jika perjalanannya itu telah mencapai dua marhalah atau lebih dari dua marhalah, maka tidak gugur wajib dam daripadanya sekalipun dia kembali ke Makkah dan mengerjakan Thawaf Wadâ‘.
ii. Perempuan yang kedatangan haidh atau nifas tidak diwajibkan ke atasnya mengerjakan Thawaf Wadâ‘ jika dia hendak meninggalkan Makkah. Dia hanya disunatkan berada dan berdoa di pintu Masjid Al- Haram sahaja. Tetapi jika dia suci daripada haidh atau nifas sebelum keluar dari bumi Makkah walaupun di dalam perjalanan, maka wajib dia kembali ke Makkah untuk mengerjakan Thawaf Wadâ‘. Manakala jika dia suci daripada haidh dan nifas ketika berada di luar bumi Makkah walaupun di dalam Tanah Haram, maka tidak wajib dia kembali ke Makkah untuk mengerjakan Thawaf Wadâ‘.
iii. Orang yang telah mengerjakan Thawaf Wadâ‘ hendaklah meninggalkan Makkah dengan segera tanpa melambat-lambatkan pemergiannya dari Makkah. Jika kelambatannya keluar dari Makkah itu disebabkan oleh sesuatu uzur atau kesibukan yang tidak bersangkut paut dengan keberangkatannya seperti membayar hutang, menziarahi teman, menziarahi orang sakit atau membeli belah, maka wajib ke atasnya mengulangi semula Thawaf Wadâ‘nya. Manakala jika kelambatan itu disebabkan oleh sesuatu perkara yang bersangkut paut dengan keberangkatannya seperti membeli bekalan untuk kegunaan di dalam perjalanan dan seumpamanya, maka tidak perlu dia mengulangi Thawaf Wadâ‘nya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-2869
