Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Sejauh Mana Harusnya Thalaq 1

Hikmat Dan Tujuan Thalaq

Pensyariatan thalaq itu merupakan sebagai rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas hamba-hambaNya. Tujuannya ialah menjadi jalan penyelesaian terakhir kepada masalah yang tidak boleh diselesaikan oleh suami isteri, ahli pendamai dan keluarga kedua belah pihak, disebabkan ketidakserasian, ketidaksefahaman, perasaan dingin yang ditunjukkan oleh salah satu atau kedua belah pihak, yang boleh mengurangkan perasaan mahabbah dan kemesraan dan menimbulkan kebencian, menyebabkan keretakan rumah tangga berlaku. Bilamana perkara ini berlaku dan jalan penyelesaian sudah tiada maka thalaq atau cerai adalah jalan yang boleh menyelamatkan keadaan supaya tidak berlaku perkara buruk yang lebih besar seperti berlakunya kezaliman, penganiayaan dan pelanggaran hukum-hukum Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Jadi, pensyariatan thalaq atau perceraian adalah sebagai keperluan ataupun hajat bagi menyelesaikan krisis rumah tangga yang sudah menemui jalan buntu. Ada beberapa ayat Al-Qur’an serta hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menceritakan tentang pensyariatan thalaq, di antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Thalaq (yang boleh dirujû‘ kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujû‘ dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. (Surah Al-Baqarah: 229)

Daripada ‘Umar bin Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menceraikan Hafshah kemudian merujû‘nya semula. (Hadits riwayat Abu Daud, Nasâ’i dan Ibnu Majah)

Daripada dalil-dalil di atas, dapat difahami bahawa thalaq adalah perkara yang diharuskan atau dibolehkan dalam Islam. Tetapi apakah thalaq itu selamanya diharuskan?

Menurut pendapat jumhur ulama termasuk mazhab Syafi‘e, bahawa hukum asal thalaq itu ialah khilâf al-awlâ, iaitu menyalahi yang utama. Maksudnya, adalah lebih utama dan lebih baik jika thalaq tidak dilakukan, tetapi jika ia dilakukan maka ia adalah menyalahi perkara yang lebih utama atau lebih baik. Apakah perkara utama itu? Perkara yang utama itu ialah tidak melakukan thalaq atau perceraian.

Beberapa Hukum Mengenai Thalaq

Sungguhpun thalaq itu diharuskan atau dibolehkan, namun ketetapan tersebut boleh berubah mengikut sesuatu keadaan seperti haram, makruh, wajib dan sunat.

1. Haram: Seorang suami haram dan berdosa menthalaq isterinya ketika isterinya sedang haidh atau nifas, atau di waktu suci dan sudah dicampurinya tetapi tidak diketahui sama ada isterinya hamil ataupun tidak. Dalam hal ini, sunat bagi suami rujû‘ semula kepada isterinya. Perlu diingat, walaupun hukum menthalaq isteri dalam keadaan yang demikian adalah haram tetapi thalaq tersebut tetap jatuh dan sah. Sebab itu disunatkan bagi suami merujû‘ semula isterinya. Ulama menyifatkan thalaq seperti ini sebagai thalaq bid‘i, iaitu thalaq yang dijatuhkan tidak mengikut peraturan syara‘.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma beliau menceritakan bahawa beliau menceraikan isterinya ketika isterinya sedang haidh, maka Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu memberitahu perkara tersebut kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda:

Maksudnya: Suruhlah beliau merujû‘ isterinya, kemudian menceraikannya bila telah suci atau telah hamil. (Hadits riwayat Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah, Nasâ’i dan Ahmad bin Hanbal kecuali Bukhari)

Di antara hikmahnya diharamkan ialah isteri itu bila diceraikan pada masa-masa tersebut, dia tidak terus memasuki ‘iddahnya, kerana baki masa haidh dan nifasnya itu tidak dikira sebagai ‘iddahnya. Ini akan menyebabkan ‘iddahnya bertambah lama dan ini merugikan pihak isteri.

Begitu juga bila isteri itu diceraikan oleh suaminya di masa suci selepas dicampuri, suami tadi tidak tahu adakah isterinya hamil disebabkan percampurannya itu atau tidak. Jika isterinya hamil mungkin suami akan berubah menjadi sayang semula kepada isterinya setelah mengetahui bahawa isterinya mengandung anaknya yang bakal lahir, lalu berubah hati tidak mahu menceraikannya.

Selain itu juga, jika isteri diceraikan pada masa tersebut (pada masa suci selepas dicampuri) dia tidak tahu ‘iddahnya mana yang harus dipakai; ‘iddah suci atau ‘iddah hamil.

Begitu juga haram suami menthalaq isterinya jika dia merasa yakin bahawa jika dia mencerai isterinya dia akan terjebak dalam perzinaan.

2. Makruh: Adalah makruh hukumnya suami yang menceraikan isteri yang baik perangai dan tingkah lakunya, taat kepada ajaran agama, baik dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan tidak melakukan perkara-perkara yang menyebabkan nusyûz.

Biasanya perceraian yang semacam ini berlaku adalah disebabkan oleh dorongan hawa nafsu, bukan berasaskan akal dan iman. Adalah tidak wajar bagi seorang suami menceraikan isterinya yang baik dan taat kerana setelah puas menikmati kemanisan daripada isterinya. Manusia seperti ini tidak sedar atau sememangnya tidak tahu akan erti perkahwinan, tidak tahu akan tuntutan syara‘ dalam perkahwinan, lalu menganggap atau berfikiran bahawa perkahwinan itu hanya untuk berseronok-seronok memuaskan nafsu syahwat. Umpama orang yang menginginkan makanan yang lazat-lazat, bilamana dia sudah merasa kelazatannya dan kenyang, seleranya sudah tidak ada lagi pada makanan itu, malahan mencium baunya pun dia sudah merasa mual. Begitulah halnya keadaan orang yang berkahwin hanya untuk tujuan berseronok-seronok. Inilah antara penyebab mengapa perceraian sering berlaku. Padahal perkahwinan itu memberi makna yang lebih besar daripada itu. Ikatan perkahwinan itu mempunyai kesucian dan kehormatan lebih daripada apa yang disangka.

3. Wajib: Adakalanya wajib bagi suami menthalaq isterinya, seperti suami yang melakukan îlâ’ (bersumpah tidak akan mencampuri isterinya dalam masa empat bulan atau lebih dan tidak menyebut masanya).

Apabila seorang suami bersumpah dengan sumpah yang tersebut, hendaklah dia menunggu sampai empat bulan. Selepas itu, suami mestilah memilih antara dua perkara; sama ada dia kembali menyetubuhi isterinya lagi dengan membayar kaffârah sumpah atau menthalaqkan isterinya. Kalau suami enggan melakukan salah satu dari dua perkara ini hakim berhak menceraikan isterinya dengan paksa.

4. Sunat: Sunat pula suami menthalaq isterinya yang mempunyai kelakuan yang tidak baik, tidak taat kepada perintah-perintah agama serta melanggar larangannya dan tidak pula mahu dibimbing untuk mentaati perintah agama dan menjauhi larangannya. Begitu juga, sunat bagi suami mencerai isterinya yang tidak menjaga kesopanan dirinya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-2867