Pemberian Antara Sedekah Dan Hadiah
Pendahuluan
Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tangan yang di atas (yang memberi) itu lebih baik dari tangan yang di bawah (yang menerima).
Maksud hadits ini adalah jelas dan tidaklah sukar untuk difahami, mudah-mudahan sikap suka memberi itu bukan sahaja sebagai salah satu cara mengeratkan silaturahim, bahkan dapat meringankan beban mana-mana anggota masyarakat yang berhajat dan memerlukan bantuan. Dengan yang demikian jurang di antara orang yang berada dan orang yang tidak berada dapat dirapatkan, di samping banyak kelebihan-kelebihan yang tersirat dari tujuan pemberian itu.
Tujuan pemberian ini mempunyai persamaan yang banyak dengan peranan zakat dari berbagai-bagai sudut kemasyarakatan dan kejiwaan. Cuma zakat itu wajib dengan syarat-syaratnya yang tertentu, sementara pemberian pula adalah sunat dan ruangnya juga amat luas, tidak terbatas pada kadar dan waktu.
Definisi Pemberian
Pemberian itu merangkumi sedekah dan hadiah, kerana pemberian, sedekah, hadiah dan ‘athiyyah mempunyai definisi yang hampir sama, cuma yang dapat membezakannya ialah tujuan dan maksud kita semasa menyampaikannya. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka ia adalah sedekah, jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, sanjungan dan tanda kasih, maka ia dinamakan hadiah, dan jika sebaliknya maka ia hanyalah satu pemberian biasa. Sementara yang dikatakan sebagai ‘athiyyah itu pula ialah pemberian orang yang dalam keadaan maradh al-maut ataupun nazak.
Di dalam istilah syara‘ pula, pemberian itu bolehlah diertikan sebagai suatu perjanjian (akad) yang memberikan kuasa memiliki kepada orang lain tanpa mengharapkan sebarang balasan, pada ketika orang yang memberi itu masih hidup.
Hukum Pemberian
Hukum pemberian itu adalah sunat. Dasar kepada hukum ini adalah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. (Surah Al-Nisâ’: 4)
Dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya kepada kaum kerabat, dan anak- anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan. (Surah Al-Baqarah: 177)
Hukum ini juga berdasarkan kepada hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, di antaranya:
Maksudnya: Beri memberilah antara kamu, nescaya kamu akan cinta mencintai antara sesama kamu.
Begitu juga sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing. (Hadits riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
Dalam hadits yang lain pula Baginda bersabda:
Maksudnya: Orang yang mengambil balik pemberiannya, samalah seperti anjing yang muntah lalu ia menjilat balik muntahnya. (Hadits dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasâ’i dan Ibnu Majah)
Dari nash-nash yang di atas, jelaslah bahawa Islam menggalakkan umatnya supaya sentiasa berkasih sayang di antara sesama mereka. Di antara cara melahirkan kasih sayang itu ialah melalui sikap saling beri memberi, walau bagaimana kecil sekali pun pemberian itu, namun ia tetap dianggap suatu pemberian, kerana pemberian yang sedikit bukanlah suatu kehinaan di sisi Allah, bahkan akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripadaNya. Yang penting pemberian itu dengan ikhlas. Ikhlas adalah roh pemberian, sementara mengambil kembali pemberian merupakan satu sifat buruk lagi keji.
Rukun Pemberian Menurut jumhur ulama, rukun pemberian itu ada empat perkara:
(i) Orang yang memberi (pemberi). (ii) Orang yang diberi (penerima). (iii) Sesuatu yang diberikan (berian). (iv) Lafaz pemberian (îjâb dan qabûl).
Adapun yang dimaksudkan dengan pemberi itu ialah orang yang memiliki sesuatu yang diberikan.
Manakala yang dimaksudkan dengan penerima itu pula ialah sesiapa sahaja di kalangan manusia.
Yang dimaksudkan dengan sesuatu yang diberikan itu ialah sesuatu yang dimiliki oleh pemberi.
Lafaz pemberian itu pula ialah setiap perkataan atau ucapan yang membawa erti memberi atau menerima, sama ada berupa perkataan atau perbuatan, umpamanya si pemberi berkata: “Aku berikan buku ini kepadamu”, lalu si penerima berkata: “Aku terima pemberianmu”.
Syarat-Syarat Pemberian
Terdapat syarat-syarat tertentu bagi orang yang memberi, orang yang menerima dan sesuatu yang diberikan itu.
Syarat-syarat bagi pemberi itu ialah:
(i) Baligh. (ii) Berakal. (iii) Tidak ditegah mempergunakan hartanya. (iv) Dengan kehendaknya sendiri. (v) Memiliki sesuatu yang diberikan itu.
Maka tidak sah pemberian dari seorang kanak-kanak, orang gila, muflis, orang yang dipaksa dan dari orang yang bukan pemilik sesuatu yang diberikan itu.
Syarat bagi penerima pula ialah hendaklah dia boleh memiliki sesuatu yang diberikan kepadanya itu. Kanak-kanak kecil adalah sah menjadi penerima, tetapi yang menerima bagi pihaknya ialah bapanya atau penjaganya. Oleh itu pemberian adalah tidak sah jika penerima itu anak (janin) yang di dalam kandungan ibunya atau penerimanya haiwan kerana keduanya tidak boleh memiliki sesuatu.
Manakala syarat-syarat bagi sesuatu yang diberikan itu ialah:
(i) Hendaklah pemberian itu dari sesuatu yang suci, maka tidak sah pemberian seumpama darah, bangkai, arak dan sebagainya.
(ii) Hendaklah sesuatu yang diberikan itu ada manfaat, maka adalah tidak sah sesuatu yang diberikan itu benda atau barang yang tidak berharga atau sesuatu yang tidak ada manfaat dari segi syara‘.
(iii) Hendaklah sesuatu yang diberikan itu dapat diserahkan, maka adalah tidak sah jika sesuatu yang diberikan itu merupakan barang kepunyaannya yang kena rampas. (iv) Hendaklah barang pemberian itu ada dalam milik dan kekuasaan pemberi, maka tidak sah pemberian seumpama burung yang terbang, rusa di dalam hutan dan sebagainya.
(v) Sesuatu yang diberikan itu hendaklah diketahui oleh pemberi dan penerima, maka adalah tidak sah jika sesuatu yang diberikan itu tidak diketahui seperti kata pemberi kepada penerima: “Aku berikan kepadamu salah satu daripada buku-buku itu”.
Hukum Sedekah
Bersedekah itu dianjurkan dan digalakkan oleh agama untuk diamalkan pada bila-bila masa sahaja dan ia adalah di antara amalan-amalan sunat berdasarkan kepada dalil-dalil dari Al-Quran dan hadits.
Di antaranya, firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? (Surah Al-Baqarah: 245)
Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Barangsiapa yang bersedekah dengan sesuatu yang sebanding dengan harga sebiji kurma yang diperolehinya dari pekerjaan yang baik (halal), sedangkan Allah itu memang tidak suka menerima sesuatu melainkan yang diperolehi dari yang baik (halal), maka sedekah orang tersebut akan diterima oleh Allah dengan tangan kananNya (diterima dengan rasa gembira dan penuh perhatian), kemudian Allah akan menambah pahala sedekah itu untuk orang yang mempunyai sedekah itu, sebagaimana seseorang dari kamu memelihara anak kuda yang dimilikinya, sehingga apa yang disedekahkan itu menjadi banyak sekali bagaikan gunung (pahalanya semakin dilipat gandakan).
Sungguhpun hukum bersedekah itu adalah sunat, namun adakalanya ia menjadi haram, umpamanya jika kita mengetahui bahawa orang yang menerima sedekah itu akan membelanjakannya pada jalan maksiat. Adakalanya juga ia menjadi wajib, umpamanya terdapat sesuatu yang mewajibkan seseorang untuk bersedekah sedang dia mempunyai harta yang melebihi keperluannya.
Keutamaan Sedekah
Di antara keutamaan sedekah itu sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan. (Surah Al-Baqarah: 272)
Di dalam firmanNya yang lain:
Tafsirnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (Surah Al-Baqarah: 261)
Cuba kita bayangkan segala pahala yang disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam ayat-ayat tadi, di antaranya ada yang pahalanya besar dan ada yang berlipat kali ganda, sudah tentu tidak terbatas banyaknya, sebab apabila Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyebut ‘banyak’, maka tidak ditentukan kadarnya sampai ke mana. Allah akan menambah seberapa banyak yang disukaiNya.
Sementara nash-nash dari hadits yang menyebut tentang keutamaan bersedekah itu di antaranya:
Maksudnya: Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan. (Hadits riwayat Muslim)
Juga terkandung di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: Bahawa di kalangan sebahagian para isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada yang bertanya kepada Baginda: “Siapakah di antara kami yang lebih cepat (lebih dulu) menyusuli Tuan hamba? (sesudah wafatnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam).” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Orang yang lebih panjang tangannya di antara kamu.” Lalu para isteri Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil sebatang kayu untuk mengukur tangan masing-masing. Maka Saudah Radhiallahu ‘anha adalah yang terpanjang tangannya. Kemudian semua para isteri Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam akhirnya sama-sama mengetahui bahawa yang dimaksudkan dengan yang terpanjang tangannya itu ialah yang terbanyak sedekahnya, dan Saudah Radhiallahu ‘anha memang isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang paling cepat bertemu dengan Baginda (di kalangan para isteri Baginda, sesudah wafatnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) dan Saudah Radhiallahu ‘anha memang isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang paling gemar bersedekah.
Begitulah betapa besarnya kelebihan yang akan diperolehi oleh orang-orang yang bersedekah. Walau bagaimanapun sedekah yang tersembunyi itu adalah lebih baik dan lebih utama dari sedekah yang dilakukan secara terang-terangan. Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu. (Surah Al-Baqarah: 271)
Kenyataan ini dikuatkan lagi oleh hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Dan orang yang bersedekah lalu menyembunyikannya (tidak memperlihatkannya atau tidak memberitahukannya kepada orang lain), sehingga dapat diumpamakan bahawa tangan kirinya itu tidak dapat mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya.
Sebab kenapa sedekah yang dirahsiakan itu lebih diutamakan ialah kerana ia lebih dekat kepada keikhlasan yang merupakan roh segala amalan, dan kerana ia juga lebih jauh dari perasaan ria yang merosakkan amalan.
Dari segi masa pula, bersedekah pada bulan Ramadhan adalah lebih digalakkan lagi sebagaimana hadits daripada Anas Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Ditanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apakah sedekah yang lebih afdhal?” Nabi bersabda: “Sedekah pada bulan Ramadhan.” (Hadits riwayat Tirmidzi)
Di antara sebab kenapa kita digalakkan bersedekah pada bulan Ramadhan itu ialah kerana pada bulan itu pahala bagi setiap kebajikan akan dilipatgandakan. Tambahan pula, orang-orang fakir pada bulan Ramadhan itu berasa lemah untuk bekerja atau berusaha untuk mendapatkan rezeki disebabkan mereka berpuasa.
Selain dari bulan Ramadhan, disunatkan juga bersedekah pada hari-hari mulia seperti pada kedua-dua hari raya. Begitu juga disunatkan bersedekah sewaktu berada di tempat-tempat yang mulia seperti Makkah dan Madinah, semasa berjihad, semasa menunaikan fardhu haji, ketika berlakunya peristiwa-peristiwa penting seperti gerhana matahari dan gerhana bulan, ketika sakit dan ketika hendak memulakan sesuatu pelayaran.
Disunatkan juga kita memberi sedekah selepas melakukan sesuatu maksiat, dan disunatkan kita membaca ‘بسم هللا’ ketika bersedekah kerana sedekah adalah suatu ibadat.
Meskipun agama kita amat menitikberatkan amalan bersedekah, namun begitu terdapat garis sempadan atau sukat- sukat yang perlu diambil kira dan dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum bersedekah kerana dengan cara ini kita akan dapat bersedekah dengan cara yang terbaik agar sedekah yang dilakukan tidak membebani diri sendiri dan orang-orang yang berhak terhadap diri kita.
Sebaiknya sedekah yang diberikan itu hendaklah diambil dari baki atau lebihan belanja keperluan hidup dirinya dan orang- orang yang di bawah tanggungannya. Adalah berdosa jika dia bersedekah dengan sesuatu yang dapat mengurangkan perbelanjaan orang-orang yang di bawah tanggungannya.
Perkara ini ada dijelaskan di dalam hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sebaik-baik sedekah ialah yang diberikan lebih daripada keperluan, dan mulailah dari orang yang menjadi kewajipan kamu memberi nafkah (yang menjadi tanggunganmu).
Dalam hadits yang lain Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Cukup seseorang itu mendapat dosa dengan perbuatannya mengabaikan orang-orang yang di bawah tanggungannya. (Hadits riwayat Abu Daud dan Nasâ’i)
Bersedekah Dengan Apa Yang Termampu
Anjuran bersedekah itu tidaklah hanya ditujukan kepada orang-orang yang kaya sahaja, bahkan orang-orang yang berpendapatan rendah pun dianjurkan memberikan sedekah menurut kadar kemampuan masing-masing.
Bersedekah bukanlah suatu amalan yang boleh dipaksakan, cukuplah kalau kita bersedekah dengan sesuatu yang mudah untuk kita berikan biarpun nilai atau kadarnya sedikit, bahkan jangan sekali-kali barang yang sedikit itu menghalang kita darip bersedekah, biarpun sedikit asal bernilai di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). (Surah Al-Zalzalah: 7)
Di dalam Shahîh Bukhari dan Muslim ada menyebutkan hadits-hadits berikut:
Maksudnya: Takutlah kamu akan api neraka, meskipun dengan memberikan sedekah berupa belahan sebiji buah kurma. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Kepada Siapa Bersedekah?
Saudara mara yang terdekat adalah orang yang terlebih utama diberi sedekah berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Kepada anak yatim dari kaum kerabat. (Surah Al-Balad: 15)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Zainab, isteri Abdullah bin Mas‘ud:
Maksudnya: Suamimu dan anakmu, mereka adalah lebih berhak untuk engkau beri sedekah.
Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits yang lain pula:
Maksudnya: Bersedekah kepada orang miskin itu mendapat satu pahala sedekah, dan bersedekah kepada saudara mara itu mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim. (Hadits riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad)
Setelah itu barulah bersedekah kepada orang-orang yang salih, orang-orang yang berbuat kebajikan dan orang-orang yang mempunyai maruah yang baik.
Namun demikian, agama tidak menghalang kita menghulurkan sedekah kepada orang-orang yang berbuat maksiat seperti pencuri dan penzina, dan kepada orang-orang kaya. Perkara ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
Maksudnya: Mengenai sedekah yang kamu berikan kepada pencuri itu, mudah-mudahan ianya akan menjadikannya penghalang (menjauhkan) dari mencuri. Adapun perempuan pelacur, mudah-mudahan akan menjadikannya penghalang (menjauhkan) dari melacur, sedangkan orang kaya itu mungkin sekali akan dapat mengambil suri teladan, sehingga suka pula menafkahkan sebahagian hartanya yang dikurniakan oleh Allah.
Islam juga membenarkan kita bersedekah kepada orang fasik dan orang kafir, sama ada orang Yahudi, Nashrani atau Majusi berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. (Surah Al-Insan: 8)
Orang tawanan yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut ialah orang-orang kafir harbi (orang kafir yang wajib diperangi).
Sedekah Orang Yang Berhutang Dan Orang Yang Mempunyai Tanggungan Tidak digalakkan orang yang mempunyai hutang bersedekah, begitu juga orang yang mempunyai tanggungan sehinggalah dia dapat menyelesaikan hutangnya atau memberi perbelanjaan secukupnya kepada tanggungannya.
Para ulama Syafi‘e melarang bersedekah bagi orang yang berhutang yang tidak dapat melunaskan hutangnya dan bagi orang yang tertanggung ke atasnya nafkah dirinya dan nafkah orang-orang yang di bawah tanggungannya, kerana ia merupakan hak atau tanggungjawab yang wajib yang sama sekali tidak boleh ditinggalkan dengan membuat sesuatu yang sunat. Membayar hutang hendaklah diutamakan terlebih dahulu kerana ia adalah wajib, begitu juga memberi belanja kepada orang-orang yang di bawah tanggungan, tidaklah boleh diabai- abaikan.
Definisi Hadiah
Hadiah dari segi bahasa boleh diertikan sebagai sesuatu pemberian yang dihantar ke tempat penerima kerana memuliakan penerima itu.
Pengertiannya dari segi syara‘ pula tidaklah terkeluar dari maksud pengertian dari segi bahasa yang telah disebutkan.
Hukum Hadiah
Memberi sesuatu hadiah adalah sunat, lebih-lebih lagi jika diberikan kepada kaum kerabat kerana ia boleh mengeratkan hubungan persahabatan, mengikat tali persaudaraan dan boleh menjinakkan hati yang marah. Terdapat banyak hadits yang menyokong kenyataan ini, di antaranya hadits yang terdahulu yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang menyatakan bahawa sikap saling beri memberi itu akan melahirkan sikap saling cinta mencintai di antara sesama manusia.
Hadits lain yang dapat menguatkan kenyataan ini:
Maksudnya: Bersalam-salamanlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri memberilah kamu nescaya kamu akan saling cinta mencintai dan ia akan menghilangkan permusuhan. (Hadits riwayat Malik)
Sebagaimana disunatkan memberi hadiah, kita juga disunatkan menerima pemberian hadiah seseorang dengan syarat kita merasa yakin atau kuat pada sangkaan bahawa hadiahnya itu bukan kerana rasuah dan tidak mempunyai tujuan-tujuan yang buruk. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri menerima hadiah dan membalasnya, dan Baginda menyuruh umatnya menerima hadiah dan melarang memulangkannya bagi mengelakkan permusuhan dan kebencian.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika aku dijemput untuk dijamu dengan tangan binatang atau kaki binatang nescaya aku akan menghadirinya, dan jika aku dihadiahkan dengan tangan binatang atau kaki binatang nescaya aku akan menerimanya.
Perbezaan Di Antara Sedekah Dan Hadiah
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu, perbezaan di antara sedekah dan hadiah hanyalah pada maksud dan tujuan sahaja. Sedekah bermaksud untuk mendapat pahala kerana menolong orang yang berhajat, sedangkan hadiah pula bertujuan untuk memuliakan orang yang diberikan hadiah di samping mendapat pahala.
Syarat-syarat bagi hadiah itu juga sama dengan syarat-syarat sedekah, dan syarat kedua-duanya berbeza dengan syarat pemberian dari segi tiadanya îjâb dan qabûl pada sedekah dan hadiah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-4193
