Irsyad Hukum 2013
MENCINTAI RASULULLAH SHALLALLÂHU ‘ALAIHI WASALLAM: Satu Tuntutan Wajib!
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam merupakan seorang yang amat agung dan mulia, dianggap oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagai kekasihNya dan menjadi kesayangan umat Islam sejagat. Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan tentang diri Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu, hanya kita berpandukan dengan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia. (Surah al-Qalam: 4)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lagi:
Tafsirnya: Dan Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Surah al-Anbiyâ’: 107)
Terdapat lagi ayat-ayat lain dan hadits yang banyak memperkatakan tentang kemuliaan dan keagungan diri Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Kedatangan Baginda dengan membawa syariat Islam telah memberi sinar hidayah kepada manusia, menyuluh kehidupan manusia yang dahulunya berada dalam kegelapan kepada cahaya kehidupan yang penuh keimanan serta mengangkat wanita daripada serendah-rendah martabat kepada kedudukan yang tinggi, bahkan mengangkat manusia seluruhnya kepada kedudukan yang mulia.
Hukum Mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam
Mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam merupakan satu tuntutan agama dan mentaati perintah Baginda adalah satu perintah daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Perintah ini jelas disebut dalam firmanNya:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Jika kamu berpaling (derhaka terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya), maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir.” (Surah Âli ‘Imran:32)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, maka jika kamu berpaling (daripada mentaati Rasul Kami, kamulah yang akan menderita, bukan Rasul Kami) kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata. (Surah at-Taghâbun: 12)
Bagaimana Mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam?
Memang tidak dinafikan bahawa kasih sayang umat Islam terhadap junjungan besar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam amat besar. Baginda dipuja, disanjungi dan dihormati bukan sahaja kerana Baginda adalah kekasih Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, malahan juga kerana kukuhnya nama Baginda dalam hati setiap umat Islam. Sebarang cacian yang dilemparkan kepada Baginda oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab amat mengusik hati umat Islam sehingga ada yang bangkit menyatakan rasa marah bahkan rela berkorban demi mempertahankan kehormatan dan kesucian Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Antara cara menyatakan kecintaan kepada Baginda yang jelas disebutkan dalam ajaran Islam:
1. Mentaati segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Di dalam al-Qur’an al-Karim, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan umat manusia untuk mentaati suruhan dan meninggalkan larangan RasulNya. FirmanNya:
Tafsirnya: Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasul Allah kepada kamu maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. (Surah al-Hasyr: 7)
2. Meneladani akhlak Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan semulia-mulia akhlak. (Hadits riwayat Ahmad)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memuji akhlak Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia. (Surah al-Qalam: 4)
Justeru, sewajarnyalah kita mencontohi atau meneladani akhlak Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat. (Surah al-Ahzâb: 21)
3. Menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan berpegang teguh kepada ajaran al-Qur’an dan sunnah Baginda.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara; kamu tidak akan tersesat selama mana kamu berpegang teguh pada kedua-duanya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah nabiNya. (Hadits riwayat Malik)
4. Mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Rasa cinta kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga dapat direalisasikan dengan sentiasa memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang dituntut oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi; wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzâb: 56)
Fadhilat Mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam
Selain daripada memenuhi tuntutan agama, mencintai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan keikhlasan hati juga mengandungi fadhilat yang menguntungkan. Antaranya:
1. Memperolehi kasih dan cinta Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di samping mendapat keampunan dosa-dosa kecil.
Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sendiri:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad!): “Jika kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (Surah Âli ‘Imran: 31)
2. Merupakan sebahagian daripada kesempurnaan iman.
Daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehingga diriku menjadi orang yang paling dicintai melebihi ibu bapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
3. Memperolehi kemanisan iman sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Tiga perkara apabila seseorang itu miliki dalam dirinya, nescaya dia akan merasakan manisnya iman, iaitu: Allah dan RasulNya lebih dia cintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam api neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
4. Mendapat kedudukan di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Maksudnya: Selawat umatku dipersembahkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak berselawat kepadaku, dialah yang mempunyai kedudukan yang paling dekat denganku. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Selawat dari segi bahasa bererti do‘a serta permohonan rahmat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Pada kebiasaannya perkataan selawat digunakan untuk memuji Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Fadhilat berselawat kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam amat banyak dan antaranya ialah mendapat kedudukan yang dekat dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Fadhilat ini disebut kerana orang yang sering berselawat ke atas Baginda adalah orang-orang yang mencintai Baginda.
Mencintai dan mengasihi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bukan semata-mata hanya di mulut sahaja, malahan juga diiringi dengan mencontohi akhlak Baginda yang mulia kerana dengan kecintaan kita yang mendalam terhadap Baginda akan membawa kita dekat di sisi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Dalam sebuah hadits riwayat Anas Radhiallâhu ‘anhu, beliau menceritakan:
Maksudnya: Seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang Hari Kiamat, katanya: “Bilakah berlaku Hari Kiamat?” Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya semula kepada lelaki tersebut: “Apa yang
engkau sediakan untuk menghadapinya?” Lelaki itu menjawab: “Tiada apa-apa kecuali kecintaanku kepada Allah dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Engkau akan bersama orang yang engkau cintai.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
BAGAIMANA MEMBERSIHKAN AIR KENCING MENURUT SYARA‘
Menurut syara‘, air kencing merupakan najis, sama ada air kencing kanak-kanak atau orang dewasa. Air kencing kanak-kanak lelaki yang belum mencapai umur dua tahun dan belum memakan makanan atau minuman selain daripada susu ibu adalah dikategorikan sebagai najis mukhaffafah (ringan).
Manakala air kencing kanak-kanak perempuan, kanak-kanak khuntsâ, kanak-kanak lelaki yang sudah mencapai umur dua tahun atau sudah memakan makanan selain susu ibu dan orang dewasa adalah dikategorikan sebagai najis mutawassithah (pertengahan).
Dalil kenajisan air kencing antaranya ialah perintah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam supaya menuangkan air ke atas kawasan dalam masjid yang telah tercemar dengan kencing seorang Arab sebagai cara membersihkan kawasan yang terkena najis (air kencing) itu.
Cara Membersihkan Air Kencing
Oleh kerana air kencing itu adakalanya dikategorikan sebagai najis mukhaffafah dan adakalanya dikategorikan sebagai najis mutawassithah, maka cara membersihkannya juga berbeza mengikut jenis najis tersebut. Selain daripada itu, pembahagian najis air kencing tersebut dibahagikan lagi kepada dua jenis, iaitu najis ‘aini dan najis hukmi. Adapun najis ‘aini itu secara ringkas adalah najis yang disedari atau dapat dilihat dan dikesan zat atau sifatnya daripada rasa, warna atau bau najis.
Namun adakalanya, setelah masa berlalu atau keadaan berubah, zat najis atau kesannya itu langsung tidak lagi kelihatan dan tidak berbekas. Bentuk najis seperti ini dinamakan najis hukmi (secara hukum). Najis hukmi adalah najis yang diyakini kewujudannya akan tetapi tidak dapat dilihat dengan pancaindera bendanya (zat najis) mahupun sifatnya sama ada dari segi rasa, warna atau baunya. Najis itu, mahupun sifat-sifatnya, tidak dapat dikesan sama ada disebabkan kesan atau bekas najis telah kering, umpamanya air kencing yang sudah kering, ataupun disebabkan sesuatu tempat itu berkilat atau licin seperti cermin dan najis tidak dapat melekat padanya.
Penjelasan cara membersihkan najis air kencing, sama ada mukhaffafah atau mutawassithah, adalah seperti berikut:
1. Cara membersihkan najis mukhaffafah, iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang belum mencapai umur dua tahun dan belum memakan makanan atau minuman selain daripada susu ibu, jika dalam bentuk ‘aini, memadai dengan merenjiskan air ke atas tempat tersebut sebanyak sekali. Demikian juga air kencing kanak-kanak lelaki yang belum mencapai umur dua tahun yang diberi makan sesuatu seperti kurma dan seumpamanya semasa mentahniknya atau ubat dan seumpamanya bagi tujuan penyembuhan, maka masih dikira sebagai najis mukhaffafah.
Dalil dalam perkara ini, daripada Ummu Qais Radhiallâhu ‘anhâ menceritakan bahawa dia pernah datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan membawa bersamanya anak lelakinya yang masih kecil dan belum diberi makan makanan selain susu ibu, lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mendudukkan anak lelaki tadi di atas riba Baginda. Seketika kemudian anak lelaki itu membasahi pakaian Baginda dengan air kencingnya. Baginda lalu meminta air dan merenjis tempat yang terkena kencing dan Baginda tidak pula membasuhnya.
Disyaratkan juga ketika merenjiskan air hendaklah renjisan air itu rata terkena ke seluruh tempat yang bernajis, walau bagaimanapun tidak disyaratkan sehingga air mengalir, menitik atau menitis.
Jika air kencing mukhaffafah itu berbentuk hukmi, maka cara membersihkannya juga adalah memadai dengan merenjisnya sebagaimana yang dijelaskan di atas.
2. Cara membersihkan air kencing najis mutawassithah dalam bentuk ‘aini pula, wajib dibasuh tempat yang terkena najis, iaitu setelah menghilangkan terlebih dahulu zat dan sifat-sifat najis sepertimana cara membersihkan najis yang lain. Perbuatan membasuh itu disyaratkan hendaklah dengan mengalirkan atau menjiruskan air ke atas tempat bernajis sehingga sebahagian air itu mengalir, menitis atau menitik. Disunatkan juga untuk membasuhnya sebanyak tiga kali. Dalil dalam perkara ini perintah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam untuk menuangkan air pada kawasan masjid yang telah tercemar oleh air kencing seorang Arab.
Menyentuh mengenai syarat menghilangkan terlebih dahulu zat dan sifat-sifat najis, jika najis itu boleh dihilangkan hanya dengan menjiruskan air sahaja ke atasnya, seperti air kencing yang sangat sedikit, maka dalam hal ini, adalah memadai dengan menjiruskan air sahaja dengan syarat apabila seseorang menjiruskan air ke atas najis itu, maka sifat-sifat najis juga turut hilang.
Jika air kencing mutawassithah itu berbentuk hukmi, maka cara membersihkannya memadai dengan menjiruskan air sebanyak sekali di atas tempat najis tersebut berada dan kawasan sekitarnya, namun disunatkan juga untuk melakukannya sebanyak tiga kali.
Hukum Memerah Air Setelah Menyucikan Tempat Terkena Najis
Menurut pendapat yang ashah (yang lebih shahîh), suatu tempat atau pakaian yang basah setelah disucikan dengan dijirus atau dituang air ke atasnya, maka tidaklah disyaratkan untuk diperah atau dikeringkan, sama ada tempat atau pakaian tersebut boleh diperah ataupun tidak. Walau bagaimanapun hukum memerahnya adalah sunat, dan sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat (khilâf), kerana terdapat sebahagian ulama yang mewajibkan untuk diperah. Oleh yang demikian, kelembapan yang masih ada setelah pakaian diperah adalah dikira suci tanpa sebarang percanggahan ulama.
Air Kencing Terkena Pada Tanah
Jika suatu kawasan atau bahagian daripada tanah terkena najis berbentuk cecair seperti air kencing, darah, arak dan seumpamanya, lalu air kencing itu kering, larut atau diserap oleh tanah, maka cara menyucikan kawasan atau bahagian tanah itu ialah dengan mencurahkan air sebanyak sekali ke atasnya dengan rata sehingga meliputi kawasan atau bahagian berkenaan.
Dengan melakukan langkah di atas, maka kawasan atau bahagian tanah itu adalah suci, sama ada tanah tersebut keras atau lembut, sekalipun air bersih yang dicurahkan untuk membersihkan najis tidak diserap sepenuhnya ke dalam tanah, dengan syarat hendaklah dipastikan terlebih dahulu bahawa tidak ada tertinggal atau berbekas zat air kencing yang tidak diserap oleh tanah. Jika masih didapati zat air kencing yang masih tertinggal di atas tanah, maka hendaklah dihilangkan terlebih dahulu zat najis tersebut sebelum mencurahkan air.
Selain daripada itu, adalah dikira memadai tanah tersebut menjadi suci sekalipun tanpa perbuatan seseorang seperti tanah yang bernajis itu terkena atau disirami air hujan.
Sehubungan ini, jika suatu tempat itu tidak menyerap cecair umpama lantai simen, maka cara membersihkannya ialah hendaklah dikeringkan (dihilangkan) terlebih dahulu air kencing itu, setelah itu hendaklah dituangkan atau dijiruskan air ke atasnya.
Beberapa Persoalan Sekitar Cara Membersihkan Air Kencing
Berikut dibawakan penjelasan secara ringkas mengenai beberapa persoalan berkaitan cara membersihkan air kencing mutawassithah berbentuk ‘aini.
1. Memadaikah dengan direndam atau dicelup-celupkan sahaja?
Jika seseorang menggunakan air yang sedikit (kurang daripada dua qullah seperti air dalam baldi atau bekas kecil) untuk menyucikan umpama baju atau benda yang terkena air kencing, maka adalah disyaratkan air yang sedikit itu dijiruskan ke kawasan yang terkena air kencing itu dan bukan baju atau benda yang terkena najis itu dicelup-celupkan atau direndam ke dalam air yang sedikit tadi. Ini kerana apabila sesuatu yang bernajis itu mengenai atau terjatuh kepada air yang sedikit, maka air itu menjadi najis kesemuanya. Hasilnya baju yang dicelup-celup atau direndam itu masih lagi dianggap bernajis.
Berbeza pula keadaannya jika sekiranya seseorang itu menggunakan air yang banyak (dua qullah atau lebih), umpamanya menggunakan paip air dan air sungai, maka adalah memadai dan dihukumkan bersih benda atau baju itu dengan menggunakan apa cara sekalipun, sama ada menyampaikan atau menjiruskan air yang banyak itu ke atas baju tersebut ataupun baju itu dicelup-celupkan atau direndam ke dalam air yang banyak tadi.
2. Memadaikah jika terkena air hujan?
Perbuatan membasuh tempat atau benda yang terkena najis itu adalah dianggap memadai sama ada dengan perbuatan seseorang atau tanpa perbuatan sesiapa, seperti dijirus oleh air hujan.
3. Memadaikah dengan hanya dijemur tanpa dibasuh?
Pakaian yang bernajis disebabkan terkena air kencing dan seumpamanya, jika kesan najis telah hilang daripada pakaian tersebut disebabkan kering dengan sejatan matahari atau dengan tiupan angin, maka pakaian tersebut masih belum dianggap suci sehinggalah dibasuh dengan air.
Perbuatan menghilangkan air kencing pada permaidani atau tilam, adalah tidak memadai dengan hanya mengeringkan air kencing tersebut di bawah matahari, dengan tiupan angin ataupun dengan menggunakan alat seperti vakum dan pengering. Begitu juga tidak memadai perbuatan menggosok benda atau tempat yang bernajis dengan kain yang basah jika tidak ada perbuatan membasuh atau menjirus dengan air bersih.
Oleh yang demikian, cara yang betul ialah dengan menghilangkan zat najis air kencing yang terdapat pada permaidani atau tilam itu terlebih dahulu, kemudian barulah dijiruskan air ke tempat yang terkena najis. Selepas itu, sunat diperah atau dikeringkan air daripada tempat yang dijirus tadi dengan menggunakan alat atau benda yang boleh mengeringkan air seperti mesin vakum, tuala pengering dan sebagainya. Perbuatan menjirus air dan mengeringkannya itu boleh dibuat sebanyak tiga kali.
4. Memadaikah hanya membersihkan bahagian luaran sahaja?
Benih atau biji yang terendam atau tercelup ke dalam air kencing umpamanya, adalah memadai dan dikira telah bersih bahagian dalamannya dengan menuangkan air pada bahagian luarnya.
5. Adakah batu kecil yang keluar semasa membuang air kecil dikira najis?
Batu kecil yang keluar semasa membuang air kecil atau selepasnya, jika dikhabarkan oleh ahli perubatan yang ‘âdil bahawa ia terbentuk daripada air kencing, maka batu itu adalah najis. Jika dikhabarkan sebaliknya bahawa batu tersebut tidak terbentuk daripada air kencing, maka dianggap ia suatu benda yang terkena najis (mutanajjis).
Sebagai kesimpulan, air kencing adalah najis dan wajib dibersihkan. Cara membersihkan najis, termasuk air kencing, ialah dengan menggunakan air dan mengikut cara yang dijelaskan di atas. Penekanan dalam membersihkan air kencing dan tempat yang terkena najis perlu diambil berat dan diberi perhatian, khususnya pakaian yang digunakan untuk mengerjakan sembahyang dan ibadat ibadat lain yang menuntut seseorang itu berada dalam keadaan suci daripada najis.
PEREMPUAN BERKHATAN: Tuntutan Syara‘ Atau Adat?
Berkhatan atau biasa juga disebut dalam masyarakat kita “basunat” adalah amalan yang lazim dan telah sebati di dalam masyarakat kita. Pada kebiasaannya, perempuan akan dikhatankan semasa kecil lagi iaitu kira-kira usianya di antara empat puluh ke enam puluh hari. Manakala bagi anak lelaki pula akan dikhatankan sejak dari usia kanak-kanak lagi sebelum anak tersebut mencapai umur bâligh.
Dalam masyarakat Islam di negara kita, amalan berkhatan bagi perempuan adalah atas asas tuntutan syariat Islam. Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini kedengaran kepada kita pendapat dan dakwaan yang mengatakan ia adalah semata-mata adat dan tradisi lama yang tiada kaitannya dengan agama Islam. Menurut pendapat ini, tiada dalil daripada al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menyuruh perempuan berkhatan.
Perkara ini telahpun ditimbulkan di dalam sebuah artikel bertajuk “Female Circumcision Is Cultural Practice” yang dimuatkan di dalam sebuah akhbar tempatan, Brunei Times yang bertarikh 16hb Jun 2012, hari Sabtu. Dipetik daripada akhbar tersebut menyatakan:
“…seorang perunding Badan Penyelidikan Kesihatan Wanita di Arab Saudi dan professor perubatan dan keluarga di Universiti King Saud, berkata bahawa tidak ada disebut dalam al-Qur’an atau hadits yang membenarkan khatan perempuan.
“Tidak sama sekali…Ianya tidak bersifat Islamik sama sekali,” ujarnya di sidang Forum Antarabangsa Kesihatan Global di Universiti Brunei Darussalam (UBD).
“Amalan ini adalah bersifat tradisi, bukannya berkaitan dengan agama.” (Terjemahan artikel bertajuk: “Female Circumcision Is Cultural Practice”, Brunei Times, (16hb Jun 2012)
Perkara ini perlu kita beri perhatian yang serius kerana ia boleh menggugat kepercayaan masyarakat kita terhadap amalan besunat bagi perempuan bahawa ia bukanlah suatu kewajipan. Adalah dikhuatiri akan ada di kalangan masyarakat kita yang akan meninggalkannya kerana terpengaruh dengan dakwaan tersebut. Pendapat dan dakwaan demikian adalah sama sekali tidak benar kerana tuntutan supaya perempuan berkhatan ada disebutkan di dalam syariat Islam. Hukum Berkhatan Bagi Perempuan Menurut istilah syara‘ berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki. Bagi perempuan pula, berkhatan ialah memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj. Menurut mazhab asy-Syafi‘e hukum berkhatan adalah wajib sama ada bagi lelaki mahupun perempuan yang dilahirkan tanpa berkhatan. Nash-nash ulama banyak menyebutkan perihal kewajipan berkhatan bagi perempuan, antaranya: Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:
Ertinya: Wajib bagi perempuan berkhatan dengan memotong sebahagian daripada daging yang ada di sebelah atas kemaluan. Katanya lagi:
Ertinya: Pendapat mazhab asy-Syafi‘e yang shahîh lagi masyhûr yang dinashkan oleh asy-Syafi‘e Rahimahullâh dan diputuskan ia oleh jumhûr, sesungguhnya ia (berkhatan itu) wajib ke atas lelaki dan perempuan. Asy-Syeikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh pula berkata:
Ertinya: (Dan wajib berkhatan) bagi perempuan dan lelaki ketika mana kedua-duanya tidak dilahirkan dalam keadaan berkhatan.
Dalil Kewajipan Berkhatan
Kewajipan berkhatan sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama adalah sabit berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qu’ran dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Dalil daripada al-Qur’an yang menyatakan berkhatan bagi perempuan itu adalah wajib, antaranya ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): “Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.” (Surah an-Nahl: 123) Ayat ini menunjukkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam supaya mengikut ajaran-ajaran yang terdapat di dalam agama Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm. Salah satu daripada ajaran-ajaran agama Baginda (Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm) itu ialah berkhatan.
Ayat al-Qur’an di atas jelas memerintahkan supaya mengikut apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm. Ini menunjukkan pada setiap perbuatan yang baginda lakukan itu adalah wajib melainkan ada dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan itu sunat bagi umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam seperti bersiwak. Al-Khaththabi Rahimahullâh menukil bahawa perkara-perkara fitrah itu adalah wajib dalam ajaran agama Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm. Oleh itu, berkhatan adalah wajib dalam ajaran agama Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm.
Manakala dalil daripada hadits yang menjadi sandaran kepada pensyariatan berkhatan ini pula, antaranya ialah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm berkhatan ketika Baginda berumur lapan puluh tahun dengan alat qadûm. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits lain yang menunjukkan berkhatan itu wajib sebagaimana Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepada lelaki yang memeluk agama Islam:
Maksudnya: Buang rambutmu yang ada ketika kamu kafir dan berkhatanlah. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits ini menjelaskan bahawa orang kafir yang memeluk agama Islam diwajibkan untuk berkhatan. Suruhan dalam hadits tersebut menunjukkan kepada wajib kecuali pada perkara membuang rambut kerana terdapat dalil lain yang tidak mewajibkannya.
Selain dalil-dalil al-Qur’an dan hadits yang menjadi sandaran kepada hukum berkhatan itu wajib, para ulama asy-Syafi‘e Rahimahumullâh menyatakan bahawa jika berkhatan itu sunat sahaja nescaya tidaklah harus dilihatkan aurat kepada tukang khatan, kerana melihat dan mendedahkan aurat kepada orang lain adalah haram. Maka apabila melihatkan aurat itu diharuskan bagi tujuan berkhatan, ini menunjukkan bahawa berkhatan itu hukumnya adalah wajib.
Demikian juga, berkhatan itu ialah memotong anggota yang sejahtera. Jika berkhatan itu bukan perkara yang diwajibkan, nescaya tidak diharuskan memotong anggota yang sejahtera itu. Ini menunjukkan bahawa berkhatan itu hukumnya adalah wajib.
Cara Berkhatan Yang Disyariatkan Bagi Perempuan
Cara berkhatan yang wajib bagi perempuan adalah dengan memotong sebahagian daripada daging yang ada di sebelah atas kemaluan yang seakan-akan bonggolan atau jambul ayam jantan. Yang lebih afdhal ialah dengan memotong sedikit sahaja daripada daging itu dan dilarang berlebih-lebihan iaitu dengan memotong kesemua daging yang ada di sebelah atas kemaluan itu.
Perkara ini berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan daripada Ummu ‘Athiyyah al-Anshariyyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa seorang perempuan sedang mengerjakan kerja-kerja khatan di Madinah, lalu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:
Maksudnya: Jangan engkau berlebih-lebihan (dalam memotong) kerana yang demikian itu (tidak berlebih-lebihan) menjernihkan air muka perempuan dan mendatangkan kesukaan kepada suami (boleh menambah kelazatan bersetubuh). (Hadits riwayat Abu Daud)
Kesimpulan
Daripada penjelasan di atas, berkhatan bagi perempuan merupakan salah satu tuntutan syara‘ dan ia wajib dilaksanakan dengan nash. Apa yang jelas kepada kita bahawa umat Islam khususnya masyarakat Islam di negara kita, melakukan amalan berkhatan bagi perempuan ini bukanlah kerana tuntutan adat dan warisan budaya Melayu yang diwarisi dari generasi terdahulu tetapi kerana ia adalah suatu kewajipan. Hukum wajib berkhatan bagi perempuan menurut ulama khususnya ulama mazhab asy-Syafi‘e adalah berdasarkan dan bersumberkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, di samping dalil qiyâs yang juga merupakan sumber perundangan Islam yang disepakati.
Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa adalah tidak tepat jika dikatakan berkhatan bagi perempuan itu hanyalah tuntutan adat semata-mata kerana tiada dalil sama ada daripada al-Qur’an mahupun hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam yang menuntut ia dilaksanakan. Bahkan al-Qur’an dan hadits telahpun dengan jelas menyatakan tuntutan berkhatan tersebut.
Justeru, kita menolak dengan kerasnya artikel “Female Circumcision Is Cultural Practice” yang dimuatkan di dalam akhbar Brunei Times, bertarikh 16 Jun, 2012 yang menyebut tidak ada di dalam al-Qur’an atau hadits yang membenarkan khatan untuk perempuan. Ternyata pendapat ini adalah tidak betul dan penulisnya tidak memahami nash-nash al-Qur’an, hadits dan aqwâl ulama mengenainya.
PENGGUNAAN MINYAK GOSOK ATAU KRIM DAN KESANNYA TERHADAP WUDHU’ DAN SEMBAHYANG
Penggunaan minyak gosok atau krim pada anggota badan seperti muka, tangan dan kaki sama ada bertujuan untuk berubat atau berhias adalah perkara yang biasa dilakukan oleh orang Islam.
Isu yang timbul, apabila penggunaan minyak gosok atau krim tersebut dikaitkan dengan ibadat wudhu’ dan sembahyang, apakah perkara tersebut boleh menjejaskan kesahan wudhu’ dan sembahyang seseorang?
Syarat Wudhu’
Salah satu daripada syarat wudhu’ ialah menggunakan air suci lagi menyucikan yang dikenali dalam istilah fiqh sebagai air muthlaq seperti air laut, air hujan, air sungai, air perigi, air embun, air salji, air mata air dan termasuk juga di dalamnya air yang disalurkan melalui paip ke rumah-rumah.
Berdasarkan syarat tersebut, maka perlu dipastikan bahawa tidak ada pada anggota wudhu’ itu benda yang boleh merubah sifat air (rasa, warna dan bau) seperti dakwat yang banyak melekat di jari dan sebagainya.
Jika minyak gosok atau krim yang digunakan pada anggota wudhu’ itu boleh merubah sifat air (rasa, warna dan bau), maka wudhu’ seseorang itu tidak sah kerana air yang digunakan itu telah berubah sifatnya yang menafikannya sebagai air yang muthlaq.
Antara syarat wudhu’ itu lagi ialah tidak ada benda yang menghalang air sampai kepada kulit anggota wudhu’ seperti getah yang melekat di tapak tangan.
Jika minyak gosok atau krim yang digunakan pada anggota wudhu’ itu boleh menghalang air sampai kepada kulit anggota wudhu’, maka wudhu’ seseorang itu tidak sah kerana air tidak sampai kepada kulit anggota wudhu’.
Oleh yang demikian, sebelum mengambil wudhu’ hendaklah dibersihkan terutama anggota-anggota wudhu’ daripada sebarang kekotoran yang boleh mengubah sifat air dan daripada sebarang benda yang boleh menghalang air sampai kepada kulit anggota wudhu’.
Apatah lagi jika terdapat pada anggota wudhu’ itu benda najis atau minyak gosok atau krim yang bernajis, maka najis tersebut hendaklah dibersihkan terlebih dahulu sebelum mengambil wudhu’ bagi mengelakkan air yang digunakan semasa berwudhu’ menjadi air mutanajjis (air yang terkena najis)
Bahkan disunatkan membilas-bilas anggota wudhu’ selepas meratakan air ke atas anggota tersebut semasa mengambil wudhu’.
Syarat Sah Sembahyang
Salah satu daripada syarat-syarat sah sembahyang ialah suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat sembahyang.
Jadi untuk memastikan sembahyang yang dilakukan itu sah, hendaklah dipastikan bahawa badan, pakaian dan tempat orang yang bersembahyang itu suci daripada najis. Jika minyak gosok atau krim yang digunakan itu suci maka sembahyang seseorang itu dihukumkan sah. Manakala jika minyak gosok atau krim yang digunakan itu tidak suci umpamanya mengandungi bahan najis seperti alkohol yang bersumber daripada arak, maka sembahyangnya dihukumkan tidak sah.
Jelaslah bahawa penggunaan minyak gosok atau krim pada anggota badan seperti muka, tangan dan kaki boleh menjejaskan kesahan wudhu’ dan sembahyang seseorang.
Oleh yang demikian, bagi orang yang hendak berwudhu’ hendaklah dia mengambil langkah membersihkan terlebih dahulu anggota-angotoa wudhu’nya daripada sebarang kekotoran yang boleh mengubah sifat air dan daripada sebarang benda yang boleh menghalang air sampai kepada kulit anggota wudhu’. Jika terdapat pada anggota wudhu’nya benda najis atau minyak gosok atau krim yang bernajis, maka najis tersebut hendaklah dibersihkan terlebih dahulu sebelum mengambil wudhu’ bagi mengelakkan air yang digunakan semasa berwudhu’ menjadi air mutanajjis (air yang terkena najis).
Manakala bagi orang yang hendak menunaikan sembahyang pula hendaklah memastikan bahawa minyak gosok atau krim yang digunakan itu adalah suci.
TERTINGGAL ATAU MENINGGALKAN QUNUT: Kedudukan Imam, Makmum Dan Munfarid
Hukum Qunut Dalam Sembahyang
Qunut adalah salah satu daripada sunat-sunat ab‘adh dalam sembahyang yang tuntutannya termasuk dalam kategori sunnah mu‘akkadah (yang sangat dituntut). Jika tertinggal atau sengaja ditinggalkan qunut ini, sungguhpun ia tidak membatalkan sembahyang, akan tetapi ia merupakan suatu kekurangan dan kerugian. Dari itu, bagi menampal kekurangan tersebut, disunatkan bagi orang yang tertinggal atau sengaja meninggalkan qunut untuk mengerjakan sujud sahwi.
Jika dia syak atau ragu-ragu sama ada dia telah mengerjakan qunut atau tidak, maka dalam hal ini dia disunatkan untuk mengerjakan sujud sahwi kerana pada dasarnya dia dikira belum mengerjakannya.
Walau bagaimanapun, hanya qunut sembahyang fardhu Shubuh serta qunut sembahyang sunat Witir pada separuh kedua bulan Ramadhan sahaja yang jika tertinggal ataupun ditinggalkan maka disyariatkan sujud sahwi. Adapun bagi qunut nâzilah pula, jika ia tertinggal atau ditinggalkan, maka tidak disyariatkan sujud sahwi.
Bagi orang yang tidak pandai membaca qunut pula, disunatkan ke atasnya untuk berdiri dalam kadar bacaan qunut. Sekiranya dia meninggalkan pensyariatan berdiri dalam kadar bacaan qunut ini, sama ada kerana tertinggal ataupun disengajakan, maka disunatkan juga sujud sahwi ke atasnya. Perkara tertinggal atau meninggalkan qunut ini sering sahaja menimbulkan kekeliruan serta persoalan terutama sekali ketika sembahyang berjemaah. Adakah seorang imam atau munfarid (orang yang sembahyang bersendirian) itu boleh berdiri semula untuk mengerjakan qunut yang tertinggal atau ditinggalkannya? Bagi seorang makmum pula, bolehkah dia berdiri semula untuk mengerjakan qunut yang tertinggal atau ditinggalkannya sedangkan imam mengerjakan qunut? Apakah pula yang perlu dilakukan oleh makmum jika imamnya tidak mengerjakan qunut?
Hukum Imam Atau Munfarid Berdiri Semula Setelah Meninggalkan Qunut
1. Imam atau munfarid berdiri semula setelah sempurna mengerjakan sujud.
Seorang imam atau munfarid yang tertinggal qunut kerana terlalai atau terlupa kemudian dia tersedar atau teringat kembali bahawa dia telah tertinggal qunut sedangkan dia sudahpun sempurna mengerjakan sujud dengan meletakkan ketujuh-tujuh anggota sujudnya, iaitu dahi, dua tangan, dua lutut serta jari-jari daripada dua telapak kaki, maka dia tidak boleh lagi berdiri semula untuk mengerjakan qunut kerana dia sudahpun dikira masuk mengerjakan suatu perbuatan fardhu yang lain dalam sembahyang. Jika dia kembali juga untuk berdiri mengerjakan qunut sedangkan dia sudahpun sempurna mengerjakan sujud, maka batallah sembahyangnya sekiranya dia tahu akan keharamannya. Menurut ulama, dalam hal ini, apabila seseorang itu telahpun meletakkan ketujuh-tujuh anggota sujudnya, maka dia tidak boleh lagi berdiri semula untuk mengerjakan qunut walaupun dia belum sempat thuma‘ninah dalam sujudnya itu.
Bagaimanapun, jika kembalinya untuk berdiri mengerjakan qunut setelah sempurna mengerjakan sujud itu kerana terlupa atau jahil akan hukumnya, maka tidaklah batal sembahyangnya, akan tetapi wajib ke atasnya mengerjakan sujud semula serta-merta setelah teringat atau tahu akan hukumnya. Jika hal ini berlaku, maka sunat atasnya mengerjakan sujud sahwi kerana perbuatan tersebut dikira sebagai menambah atau menukar susunan perbuatan dalam sembahyang secara tidak sengaja. Ini kerana tempat qunut itu ialah sebelum sujud, jadi ia dikira luput apabila seseorang itu mengerjakan sujud.
2. Imam atau munfarid berdiri semula sebelum sempurna mengerjakan sujud.
Berbeza pula halnya jika seorang imam atau munfarid itu tertinggal qunut kerana terlalai atau terlupa kemudian dia tersedar atau teringat semula yang dia telah tertinggal qunut sebelum dia sempurna meletakkan ketujuh-tujuh anggota sujudnya, kerana dalam hal ini harus baginya untuk berdiri semula mengerjakan qunut dan bukannya haram seperti permasalahan sebelum ini. Ini kerana dalam hal ini, dia belum dikira masuk mengerjakan suatu perbuatan fardhu yang lain dalam sembahyang.
Dalam hal ini disunatkan ke atasnya untuk mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi salam sekiranya turunnya meninggalkan qunut sebelum itu sampai kepada had sekurang-kurang ruku‘, iaitu dalam had kira-kira dua tapak tangannya (bukan anak jari) dapat mencapai lututnya. Ini kerana, jika dia telah sampai kepada had tersebut, maka dia dikira sudah menambah satu ruku‘ secara tidak sengaja. Adapun jika turunnya itu belum sampai kepada had tersebut, maka tidaklah disunatkan ke atasnya untuk mengerjakan sujud sahwi.
Berbeza pula halnya dengan imam atau munfarid yang sengaja meninggalkan qunut. Ini kerana jika imam atau munfarid itu sengaja turun daripada qiyâm (berdiri betul) dengan niat untuk meninggalkan qunut, lalu turunnya itu telah sampai kepada had sekurang-kurang ruku‘, sekiranya dia dengan sengaja bangkit semula selepas itu sedangkan dia tahu akan keharamannya, maka batallah sembahyangnya.
Kedudukan Makmum Apabila Imam Tertinggal Atau Meninggalkan Qunut
Apabila seorang imam meninggalkan qunut sama ada kerana sengaja ataupun tidak, maka makmum hendaklah mengikut imamnya meninggalkan qunut itu. Bagaimanapun, harus bagi makmum untuk mengerjakan qunut yang ditinggalkan oleh imamnya itu secara bersendirian dengan syarat dia masih sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam.
Jika makmum tersebut khuatir dia tidak akan sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam sekiranya dia mengerjakan qunut yang ditinggalkan oleh imamnya itu, maka dalam hal ini makmum itu tidak diharuskan untuk mengerjakan qunut tersebut. Jika dikerjakannya juga, maka sembahyang makmum itu belum dikira batal kecuali setelah dia ketinggalan dua rukun fi‘li daripada imam, iaitu dengan turunnya imam untuk mengerjakan sujud yang kedua sedangkan makmum masih mengerjakan qunut.
Kedudukan Makmum Apabila Imam Bangkit Semula Untuk Mengerjakan Qunut Setelah Dia Sempurna Mengerjakan Sujud
Sekiranya imam itu berdiri semula untuk mengerjakan qunut setelah imam tersebut sempurna meletakkan anggota-anggota sujudnya, maka makmum haram mengikut imamnya untuk berdiri semula mengerjakan qunut. Bahkan sembahyang makmum itu menjadi batal jika dia sengaja mengerjakannya sedangkan dia mengetahui akan keharamannya.
Sebaliknya, hendaklah makmum itu berniat mufâraqah (berpisah daripada imam) ataupun menunggu imam itu dalam sujudnya. Bagaimanapun, berniat mufâraqah dalam hal seumpama ini adalah lebih baik. Ini kerana dalam situasi imam bangkit semula untuk mengerjakan qunut setelah dia sempurna mengerjakan sujud itu, ia berlaku kerana salah satu daripada dua kemungkinan berikut:
1. Imam itu melakukannya dengan sengaja sedangkan dia tahu akan keharamannya. Maka dalam hal ini batallah sembahyang imamnya itu sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.
2. Imam melakukannya kerana terlupa ataupun jahil akan keharamannya. Maka dalam hal ini sungguhpun sembahyang imam itu tidak batal, akan tetapi tidak harus bagi makmum untuk mengikut perbuatan imam tersebut.
Atas dasar dua kemungkinan ini, maka para ulama berpendapat bahawa dalam hal ini berniat mufâraqah itu adalah lebih baik bagi makmum.
Kedudukan Makmum Yang Tertinggal Atau Meninggalkan Qunut
Sekiranya seorang makmum meninggalkan qunut, lalu dia mengerjakan sujud, sedangkan imam mengerjakan qunut, maka dalam hal ini diperhatikan dua keadaan berikut:
1. Jika makmum meninggalkan qunut kerana terlalai atau terlupa, maka sujud yang dikerjakannya itu tidak dikira, bahkan wajib atasnya berdiri semula mengikut imam mengerjakan qunut kerana mengikut imam itu hukumnya wajib. Jika makmum itu dengan sengaja tidak bangkit semula mengikut imam mengerjakan qunut sedangkan dia tahu akan hukumnya, maka batallah sembahyangnya.
2. Jika makmum itu meninggalkan qunut dengan sengaja, maka sujud yang dikerjakannya itu dikira. Ini kerana dia melakukan perbuatannya itu dengan tujuan yang shahîh untuk berpindah dari satu perbuatan yang wajib ke satu perbuatan wajib yang lain. Oleh kerana itu, maka tidaklah wajib atasnya untuk bangkit semula berdiri mengikut imam mengerjakan qunut, bahkan hanyalah sunat sahaja.
Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa hukum makmum mendahului perbuatan imam dengan sengaja adalah haram. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apakah tidak takut makmum yang mengangkat kepalanya sebelum imam, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan menukarkan kepalanya dengan kepala keldai? (Hadits riwayat Muslim)
Makmum Bermazhab Syafi‘e Mengerjakan Sembahyang Shubuh Mengikut Imam Bermazhab Hanafi Atau Hanbali
Menurut ulama, seorang yang bermazhab Syafi‘e, jika dia mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh di belakang imam yang berpegang dengan mazhab yang berpendapat bahawa tidak disyariatkan qunut dalam sembahyang fardhu Shubuh, maka jika makmum bermazhab Syafi‘e itu ada kesempatan untuk mengerjakan qunut, maka dia dibolehkan untuk mengerjakannya secara bersendirian jika dia yakin bahawa dia sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam.
Sepertimana permasalahan makmum yang mengerjakan qunut secara bersendirian kerana imamnya meninggalkan atau tertinggal qunut, sembahyang makmum itu belum dikira batal walaupun dia tidak sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam. Sembahyang makmum itu hanya terbatal setelah dia tertinggal dua rukun fi‘li daripada imam, iaitu dengan turunnya imam untuk mengerjakan sujud yang kedua sedangkan makmum masih mengerjakan qunut.
Selepas imam memberi salam, makmum tersebut dituntut untuk mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi salam, tidak kira sama ada makmum tersebut sempat mengerjakan qunut ataupun tidak. Ini kerana terdapat kekurangan dalam sembahyang imamnya, iaitu tidak mengerjakan qunut.
Makmum Mengerjakan Sembahyang Fardhu Shubuh Berimamkan Imam Yang Mengerjakan Sembahyang Lain
Sekiranya seorang makmum yang mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh bersembahyang di belakang imam yang mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ misalnya, dan makmum itu sudahpun berada pada rakaat kedua, maka jika dia berkesempatan untuk mengerjakan qunut kira-kira dia masih sempat untuk mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam, maka sunat ke atasnya untuk mengerjakan qunut dengan syarat yang disebutkan tadi iaitu dia masih sempat untuk mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam.
Sekiranya makmum tersebut yakin bahawa dia tidak akan sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam jika dia mengerjakan qunut, maka dalam hal ini sunat pula baginya untuk meninggalkannya. Walau bagaimanapun, harus diingat di sini bahawa makmum yang takhalluf (tertinggal) daripada imam untuk mengerjakan qunut lalu dia tidak sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam, ini tidaklah haram atau membatalkan sembahyangnya bahkan hanyalah makruh sahaja. Ini kerana sembahyang makmum itu belum dikira batal kecuali setelah dia tertinggal dua rukun fi‘li daripada imam, iaitu dengan turunnya imam untuk mengerjakan sujud yang kedua sedangkan makmum masih mengerjakan qunut sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Dalam hal ini, sekiranya makmum yang mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh itu tidak berkesempatan untuk mengerjakan qunut, maka dia tidak perlu mengerjakan sujud sahwi. Ini kerana qunut yang dituntut daripada makmum yang mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh itu pada asalnya memang tidak ada dalam sembahyang fardhu ‘Isya’ yang dikerjakan oleh imam, jadi tidak ada apa-apa kekurangan dalam sembahyang imam tersebut. Oleh itu, dengan sendirinya kekurangan pada sembahyang makmum itu, iaitu tidak mengerjakan qunut, ditanggung oleh imam.
Dalam perkara sempat atau tidak mengerjakan qunut ketika bersembahyang di belakang imam yang mengerjakan sembahyang yang lain ini, makmum yang khuatir tidak sempat mengerjakan qunut dibolehkan untuk mufâraqah daripada imam untuk membolehkannya mengerjakan qunut. Bagaimanapun dalam hal ini, mengikut imam dengan meninggalkan qunut itu adalah lebih afdhal daripada mufâraqah.
Setelah makmum tersebut sudah sempurna mengerjakan dua rakaat, sedangkan imam yang mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ itu baru hendak memasuki rakaat yang ketiga, maka apabila imam bangkit untuk mengerjakan rakaat yang seterusnya, makmum itu dalam hal ini mempunyai dua pilihan; sama ada berniat mufâraqah lalu memberi salam atau menunggu dalam duduk tasyahhudnya sehingga imam menyempurnakan sembahyangnya untuk memberi salam bersama-sama imam.
Dalam hal ini, makmum yang mufâraqah selepas sempurna mengerjakan dua rakaat itu tetap akan memperolehi kelebihan sembahyang berjemaah. Walau bagaimanapun, menunggu imam menyempurnakan sembahyangnya untuk memberi salam bersama-sama imam itu adalah lebih afdhal.
Ketika makmum duduk menunggu dalam tasyahhudnya itu, setelah selesai membaca tasyahhud, sunat bagi makmum tersebut membaca do‘a dalam tasyahhudnya sementara menunggu imam menghabiskan sembahyangnya. Jika dia tidak hafal kecuali do‘a yang pendek, maka diulang-ulangnya do‘a itu. Menurut ulama, makmum itu sebaiknya tidak mengulang bacaan tasyahhudnya sebagai langkah berjaga-jaga kerana terdapat pendapat yang mengatakan bahawa mengulang rukun qauli itu membatalkan sembahyang.
Demikian beberapa penerangan mengenai permasalahan tertinggal atau meninggalkan qunut bagi imam, makmum dan munfarid. Sebagai seorang Muslim, segala maklumat serta ilmu mengenai ibadat sembahyang tidak boleh diabaikan atau dipandang ringan. Mendalami, mempelajari dan memahami teori serta menghalusi amalinya bukan tanggungjawab para ulama sahaja, akan tetapi ia adalah kewajiban setiap individu muslim. Mudah-mudahan penjelasan ini meningkatkan lagi kesempurnaan serta kefahaman kita mengenai ibadat paling utama dan paling awal dihisab kelak iaitu ibadat sembahyang.
ADAKAH DISUNATKAN AZAN DAN IQÂMAH BAGI SEMBAHYANG QADHA’ DAN JAMA‘?
Azan kerana sembahyang disyariatkan hanya untuk sembahyang fardhu Jumaat dan sembahyang-sembahyang fardhu lima waktu sahaja. Azan tidak disyariatkan pada sembahyang-sembahyang sunat sama ada yang disunatkan berjemaah seperti sembahyang ‘Idul Fithri, ‘Idul Adha, sembahyang Gerhana Matahari atau Bulan, sembahyang Meminta Hujan dan sembahyang Tarawih, ataupun yang tidak disunatkan pada sembahyang itu berjemaah seperti sembahyang Dhuha atau sebagainya. Selain daripada itu azan juga tidak disunatkan bagi sembahyang nazar dan jenazah.
Hukum azan kerana hendak sembahyang fardhu adalah sunat, sunat ‘ain bagi sembahyang bersendirian dan sunat kifâyah bagi sembahyang jemaah.
Pada dasarnya azan merupakan pemberitahuan masuk waktu sembahyang fardhu. Oleh kerana itu azan hanya akan dilaungkan setelah masuknya waktu sembahyang.
Namun berlaku juga azan sembahyang dilaungkan di luar daripada waktu asal sembahyang yang diwajibkan seperti azan bagi sembahyang qadha’ dan sembahyang jama‘, walaupun pada dasarnya disyariatkan azan itu sebaik sahaja masuknya waktu sembahyang kecuali bagi azan Shubuh.
Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitab al-Buwaithi ada menyebutkan bahawa pensyariatan azan sebagai pemberitahuan masuknya waktu sembahyang itu gugur dengan adanya perbuatan sembahyang. Ini bererti pensyariatan azan itu adalah kerana sembahyang, bukan kerana waktu dan pendapat ini adalah yang mu‘tamad.
Berdasarkan kenyataan tersebut maka azan bagi sembahyang qadha’ itu adalah kerana sembahyang yang hendak didirikan dan ia tidak terhalang disebabkan waktunya yang telah luput.
Azan Bagi Sembahyang Qadha’
Disunatkan azan bagi sembahyang qadha’ adalah pendapat yang ashah di sisi para ulama. Sunat azan dan iqâmah bagi sembahyang qadha’ kerana kefardhuan sembahyang itu dengan beberapa ketetapan seperti berikut:
i. Qadha’ tidak lebih daripada satu sembahyang fardhu.
Menurut pendapat ashah, disunatkan azan sebagaimana juga disunatkan iqâmah bagi sembahyang qadha’.
ii. Qadha’ lebih daripada satu sembahyang fardhu.
• Bagi qadha’ sembahyang fardhu yang luput beberapa waktu yang dilakukan secara berturut-turut, adalah disunatkan azan pada sembahyang yang pertama sahaja sebagaimana pendapat ashah jumhûr sahabat dan tidak perlu azan pada sembahyang-sembahyang seterusnya tanpa khilâf (percanggahan pendapat).
Namun disunatkan iqâmah bagi setiap sembahyang qadha’ yang dilakukan secara berturut-turut tanpa khilâf.
• Disunatkan azan dan iqâmah pada setiap sembahyang bagi sembahyang-sembahyang qadha’ yang dilakukan secara berasingan iaitu tidak berturut-turut atau terdapat jarak waktu sekurang-kurangnya dua rakaat sembahyang di antara sembahyang-sembahyang yang hendak dilakukan itu.
• Disunatkan azan hanya pada permulaan sembahyang dan iqâmah bagi setiap sembahyang qadha’ dan tunai yang dilakukan secara berturut-turut tidak kira sama ada dimulakan dengan sembahyang qadha’ atau sebaliknya asalkan azan itu dilaungkan setelah masuknya waktu sembahyang tunai tersebut.
Akan tetapi jika dimulakan dengan sembahyang qadha’ dan azan itu dilaungkan sebelum lagi masuk waktu sembahyang tunai, maka sunat baginya azan sekali lagi untuk sembahyang tunai tersebut kerana kefardhuan waktunya tanpa khilâf.
Dalil bagi disyariatkan azan pada sembahyang yang luput dan iqâmah pada setiap sembahyang yang didirikan ialah hadits daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang musyrik telah melalai-lalaikan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam daripada mendirikan empat sembahyang fardhu di hari peperangan Khandaq. Maka Baginda memerintahkan Bilal untuk azan, lalu beliau pun azan, kemudian iqâmah lalu mendirikan sembahyang Zhuhur, kemudian iqâmah lagi lalu mendirikan sembahyang ‘Ashar, kemudian iqâmah lagi lalu mendirikan sembahyang Maghrib, kemudian iqâmah lagi lalu mendirikan sembahyang ‘Isya’. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Selain bagi sembahyang qadha’, azan juga disunatkan bagi sembahyang jama‘, sama ada jama‘ taqdîm mahupun jama‘ ta’khîr.
Azan Bagi Sembahyang Jama‘
Bagi sembahyang jama‘ (dua sembahyang fardhu yang dihimpunkan), jika dihimpunkan secara taqdîm (sembahyang ‘Ashar yang dilakukan di dalam waktu sembahyang Zhuhur atau sembahyang ‘Isya’ yang dilakukan di dalam waktu sembahyang Maghrib) maka disunatkan azan tanpa khilâf bagi sembahyang yang pertama dan iqâmah bagi setiap keduanya.
Jika dua sembahyang fardhu itu pula dihimpunkan secara ta’khîr (sembahyang Zhuhur dilakukan dalam waktu sembahyang ‘Ashar atau sembahyang Maghrib dilakukan dalam waktu sembahyang ‘Isya’) maka hukumnya adalah seperti sembahyang-sembahyang yang luput disebabkan luputnya waktu sembahyang yang pertama yang diikuti dengan waktu sembahyang yang kedua, iaitu disunatkan azan dan iqâmah pada sembahyang yang pertama sama ada yang empunya waktu ataupun bukan, kemudian disunatkan iqâmah sahaja pada sembahyang yang kedua.
Perbuatan ini adalah bersandarkan kepada hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bertolak (dari ‘Arafah) sehingga sampai ke Muzdalifah. Lalu di tempat itu, Baginda menjama‘ sembahyang Maghrib dan ‘Isya’ dengan sekali azan dan dua kali iqâmah, dan tidak didirikan sembahyang apapun di antara kedua-duanya. (Hadits riwayat an-Nasa’i) Demikian beberapa penjelasan mengenai azan bagi sembahyang qadha’ dan jama‘. Sebagai kesimpulan, azan tetap disunatkan bagi sembahyang qadha’ dan jama‘ dengan ketetapan tertentu iaitu:
1. Sunat azan dan iqâmah bagi sembahyang yang luput satu waktu.
2. Sunat azan pada sembahyang pertama dan sunat iqâmah pada setiap sembahyang bagi sembahyang jama‘ taqdîm dan ta’khîr serta sembahyang yang luput beberapa waktu yang dilakukan secara berturut-turut.
3. Sunat azan dan iqâmah pada setiap sembahyang bagi sembahyang-sembahyang qadha’ yang dilakukan secara berasingan (tidak berturut-turut).
4. Memadai azan pada sembahyang pertama dan iqâmah pada setiap sembahyang bagi sembahyang qadha’ berserta sembahyang tunai yang dilakukan secara berturut-turut.
Akan tetapi disunatkan azan sekali lagi jika azan pada sembahyang qadha’ yang dilakukan sebelum masuk waktu sembahyang tunai walaupun dilakukan secara berturut-turut.
Jelasnya di sini tuntutan azan itu tidak gugur disebabkan luputnya waktu wajib sembahyang atau disebabkan terkeluar dari waktu asal. Ini menunjukkan bahawa azan itu mempunyai kelebihan dan kedudukan yang tinggi di dalam Islam. Oleh yang demikian, peliharalah kehormatannya dan kautlah ganjaran pahala yang lebih dengan tidak meninggalkannya. PERSOALAN RUKU‘ DAN I‘TIDÂL SERTA ZIKIR-ZIKIRNYA Ruku‘ dan i‘tidâl merupakan rukun fi‘li (rukun dalam bentuk perbuatan) dalam sembahyang, sebagaimana disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam membetulkan sembahyang seorang lelaki, Baginda bersabda:
Maksudnya: Jika engkau mendirikan sembahyang maka bertakbîrlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu (surah al-Fâtihah). Kemudian ruku‘lah sehingga ruku‘ dengan thuma‘ninah. Kemudian bangkitlah sehingga berdiri dengan i‘tidâl. Kemudian sujudlah sehingga sujud dengan thuma‘ninah. Kemudian bangkitlah sehingga duduk dengan thuma‘ninah. Kemudian lakukanlah yang demikian itu kesemuanya dalam sembahyangmu. (Hadits riwayat Muslim)
Ruku‘ adalah rukun fi‘li yang panjang sementara i‘tidâl pula adalah rukun fi‘li yang pendek. Jika ruku‘ dan i‘tidâl ini ditinggalkan dan tidak diulangi semula nescaya sembahyang itu menjadi tidak sah.
Cara Melakukan Ruku‘
Cara melakukan ruku‘ bagi orang yang sembahyang berdiri ialah sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sekadar mencapai telapak tangan ke lutut. Sementara cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sehingga belakang dan tengkuk sejajar seumpama sekeping papan serta meluruskan betis dan peha. Sementara telapak tangan memegang lutut dan merenggangkan jemari dengan renggangan yang sederhana serta menghadapkannya ke qiblat iaitu tidak meletakkan jemari ke kiri atau ke kanan. Adapun cara melakukan ruku‘ bagi orang yang sembahyang duduk ialah sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut.
Sementara cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.
Jika seseorang itu tidak mampu membongkokkan badannya sepertimana yang dituntut kerana sakit umpamanya maka bongkokkanlah sekadar yang termampu olehnya ataupun jika dia langsung tidak dapat membongkokkannya maka berilah isyarat dengan kepala. Jika dia tidak mampu memberi isyarat dengan kepala maka berilah isyarat dengan mata.
Cara Melakukan I‘tidâl
Cara melakukan i‘tidâl pula ialah kembali kepada keadaan sebelum ruku‘ iaitu berdiri dengan betul jika sebelumnya orang itu sembahyang berdiri dan dia mampu untuk kembali dengan berdiri betul. Adapun jika sebelumnya orang itu sembahyang dengan cara duduk, maka dia kembali dengan duduk betul. Jika dia tidak mampu untuk kembali dengan berdiri betul atau duduk betul, maka kembalilah sekadar yang termampu olehnya.
Jika seseorang sembahyang sunat dengan cara berbaring atas rusuknya kemudian dia duduk ketika hendak melakukan ruku‘, maka menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh dia bangkit melakukan i‘tidâl dengan kembali kepada perbuatan sebelum ruku‘ iaitu duduk, kerana ia lebih sempurna daripada berbaring atas rusuk. Adapun menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, orang tersebut tidak dilarang untuk melakukan i‘tidâl dengan kembali kepada berbaring atas rusuknya kerana perbuatan tersebut harus dalam sembahyang sunat walaupun dia mampu untuk berdiri atau duduk. Demikian juga orang tersebut tidak dilarang untuk melakukan i‘tidâl dengan kembali kepada duduk malah tidak dilarang dia kembali kepada berdiri betul kerana ia lebih sempurna daripada duduk.
Berbeza halnya jika seseorang melakukan sembahyang fardhu dengan cara berbaring atas rusuknya kerana sakit kemudian dia mampu duduk ketika hendak melakukan ruku‘, maka hendaklah dia bangkit melakukan i‘tidâl dengan kembali kepada duduk dan tidak memadai i‘tidâlnya jika dia kembali kepada berbaring atas rusuknya.
Thuma’ninah Dalam Ruku‘ Dan I‘tidâl
Thuma’ninah ketika ruku‘ sekurang-kurangnya ialah tetap sekalian anggotanya semasa melakukan ruku‘ sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara bangkit daripada ruku‘ dengan melakukan ruku‘ iaitu dengan kadar bacaan zikir: “ سبحان هللا
Demikian juga thuma’ninah ketika i‘tidâl iaitu tetap sekalian anggotanya seperti keadaannya sebelum ruku‘ sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara bangkit daripada ruku‘ dengan berdiri melakukan i‘tidâl.
Jika seseorang itu tidak melakukan thuma’ninah ketika ruku‘ atau i‘tidâl maka wajib dia kembali semula melakukannya. Sebagai contoh, seseorang mendirikan sembahyang dengan cara berdiri, lalu dia melakukan ruku‘ akan tetapi ketika ruku‘ dia terjatuh sebelum dia sempat melakukan thuma’ninah, kemudian dia terus bangkit melakukan i‘tidâl. Dalam hal ini, hendaklah dia kembali semula melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah, kemudian baharulah dia bangkit melakukan i‘tidâl.
Jangan Bermaksud Melakukan Selain Daripada Ruku‘ Dan I‘tidâl
Ketika seseorang itu membongkokkan badan untuk melakukan ruku‘, janganlah dia bermaksud untuk melakukan selain daripada ruku‘. Jika dia bermaksud untuk melakukan selain daripada ruku‘ maka perbuatan ruku‘nya itu tidak dikira dan hendaklah dia bangkit semula untuk berdiri tegak kemudian melakukan ruku‘.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu bermaksud hendak melakukan sujud tilâwah lalu dia bergerak turun untuk melakukan perbuatan tersebut, sebaik sahaja dia sampai ke had ruku‘ ataupun sekurang-kurang ruku‘ dia menukar maksudnya itu daripada melakukan sujud tilâwah kepada melakukan ruku‘ maka dalam hal ini tidak dikira ruku‘nya itu.
Demikian juga ketika bangkit melakukan i‘tidâl, janganlah dia bermaksud untuk melakukan selain daripada i‘tidâl. Jika dia bermaksud untuk melakukan selain daripada i‘tidâl maka perbuatan i‘tidâlnya itu tidak dikira dan hendaklah dia ruku‘ semula kemudian bangkit melakukan i‘tidâl.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu bangkit daripada ruku‘ disebabkan takut pada serangga umpamanya maka perbuatan bangkitnya itu tidak dikira sebagai i‘tidâl. Oleh itu hendaklah dia ruku‘ semula kemudian bangkit melakukan i‘tidâl.
Mengangkat Kedua-dua Tangan Ketika Hendak Melakukan Ruku‘ Dan I‘tidâl
Sunat mengangkat kedua-dua tangan apabila hendak melakukan ruku‘ sebagaimana melakukan takbîratul-ihrâm. Bermula mengangkat kedua-dua tangan itu sebelum membongkokkan badan untuk melakukan ruku‘ iaitu ketika dalam berdiri sambil melafazkan takbîr ( َُاَهلل ُ أَكْب). Kemudian setelah sempurna mengangkat kedua-dua tangan iaitu hingga pergelangan tangan sejajar dengan bahu, lalu membongkokkan badan untuk melakukan ruku‘ dan kedua-dua tangan diturunkan sedang ucapan takbîr masih dipanjangkan sehingga sampai pada perbuatan ruku‘ agar tidak sunyi daripada bahagian sembahyang itu akan zikir. Bacaan yang dipanjangkan itu ialah mad yang terletak dalam kalimah ( ُ اَهلل) iaitu alif yang berada di antara huruf lâm dan hâ’ dengan tidak melebihi tujuh harakat.
Demikian juga sunat mengangkat kedua tangan apabila hendak melakukan i‘tidâl. Bermula mengangkat kedua tangan itu ketika mengangkat kepala untuk bangkit daripada ruku‘ sambil melafazkan tasmî‘ ( ُ َسَِع َ هللا ُ لِمَن ْ محَِدَه ).
Zikir Ketika Hendak Melakukan Ruku‘ Dan I‘tidâl Dibaca Secara Isrâr Atau Jahr?
Isrâr ialah suara perlahan yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri dengan pendengaran yang baik tanpa didengar oleh orang lain. Sementara jahr pula ialah suara yang nyaring atau tinggi sehingga dapat didengar oleh orang lain.
Dalam hal melafazkan zikir ketika hendak melakukan ruku‘ dan i‘tidâl dengan isrâr atau jahr ini adalah seperti berikut:
1. Imam.
Sunat bagi imam melafazkan takbîr ketika hendak melakukan ruku‘ dan tasmî‘ ketika bangkit melakukan i‘tidâl dengan suara yang jahr.
2. Makmum dan munfarid.
Adapun bagi makmum dan munfarid (orang yang sembahyang seorang diri) hendaklah melafazkan takbîr dan tasmî‘ tersebut dengan suara isrâr. Jika dilafazkannya dengan suara jahr maka makruh hukumnya.
3. Muballigh.
Muballigh ialah orang yang menyampaikan seruan imam kepada makmum yang tidak terdengar suara imam.
Sunat bagi muballigh melafazkan takbîr dan tasmî‘ dengan suara yang jahr. Muballigh yang disunatkan untuk menjahrkan suara itu ialah apabila dia diperlukan disebabkan makmum tidak mendengar suara imam. Hendaklah muballigh itu berniat zikir semasa melafazkan takbîr dan tasmî‘ atau berniat zikir berserta niat memperdengarkan takbîr dan tasmî‘ tersebut kepada makmum. Jika muballigh itu tidak berniat zikir atau hanya berniat untuk memperdengarkan takbîr dan tasmî‘ kepada makmum sahaja, maka batal sembahyang muballigh itu. Adapun muballigh yang tidak diperlukan adalah makruh baginya menjahrkan suara.
Zikir Ketika Ruku‘
Zikir yang sunat dibaca apabila sampai pada perbuatan ruku‘, ialah tasbîh
Bacaan sebanyak tiga kali itu adalah sekurang-kurang sempurna. Kemudian diikuti dengan lima kali, kemudian tujuh kali, kemudian sembilan kali dan paling sempurna ialah sebanyak sebelas kali. Sekurang-kurang mendapat pahala sunat bertasbîh itu ialah dibaca sebanyak sekali sahaja.
Adapun bagi imam makruh membaca tasbîh tersebut melebihi daripada tiga kali melainkan makmum redha dengan berbuat demikian.
Munfarid dan imam yang makmumnya redha dengan bacaan yang panjang, sunat menambah tasbîh itu dengan zikir berikut:
Ertinya: Ya Allah ya Tuhanku, kepadaMu aku ruku‘, dan denganMu aku beriman, dan kepadaMu aku menyerah. KepadaMu khusyû‘ pendengaranku, penglihatanku, otakku, tulangku, urat sarafku, rambutku dan kulitku, dan apa yang dibawa oleh kakiku (seluruh jasadku) adalah kerana Allah Tuhan sekalian alam.
Begitu juga makmum yang mengikut imam yang panjang bacaannya, sunat dia menambah tasbîh ruku‘ itu dengan zikir tersebut.
Adapun imam yang makmumnya tidak redha dengan bacaan yang panjang, makruh dia menambah tasbîh ruku‘ itu dengan zikir tersebut.
Zikir Ketika I‘tidâl
Zikir yang sunat dibaca oleh makmum, munfarid dan imam (sama ada makmumnya redha atau tidak dengan bacaan panjang) ketika i‘tidâl iaitu setelah berdiri tegak dan kedua-dua tangan lurus di bawah, ialah membaca tahmîd seperti berikut:
Ertinya: Ya Allah ya Tuhan kami, bagiMu segala pujian, sepenuh seluruh langit, sepenuh bumi dan sepenuh apa yang di antara kedua-duanya (seluruh langit dan bumi, dan sepenuh apa yang Engkau mahukan daripada sesuatu selepas (langit dan bumi) itu.
Munfarid, makmum yang bacaan imamnya panjang dan imam yang makmumnya redha dengan bacaan yang panjang, sunat menambah lagi tahmîd tersebut dengan zikir seperti berikut:
Ertinya: Wahai Pemilik Pujian dan Keagungan, yang paling berhak diucapkan oleh seorang hamba, dan kami semua adalah hambaMu. Ya Allah, tidak ada penghalang yang dapat menghalangi apa yang Engkau beri, dan tidak ada pemberi yang dapat memberikan apa yang Engkau halangi dan tidak bermanfaat orang kaya, berketurunan atau orang senang di sisiMu melainkan yang Engkau redhai daripadanya.
Adapun imam yang makmumnya tidak redha dengan bacaan yang panjang, makruh baginya menambah tahmîd itu dengan zikir tersebut.
Zikir Ketika Ruku‘ Dan I‘tidâl Dibaca Secara Isrâr Atau Jahr?
Sunat bagi imam, makmum dan munfarid mengisrârkan suara ketika membaca tasbîh dalam ruku‘ iaitu ( ِ َِ الْعَظِيم ِ و َِبَِمْدِهَّبمسُبْحَان َ ر) dan tahmîd dalam i‘tidâl iaitu
Demikian juga, sunat dibaca dengan isrâr zikir-zikir yang ditambah selepas tasbîh dalam ruku‘ dan tahmîd dalam i‘tidâl.
Demikianlah beberapa penjelasan mengenai hukum dan cara-cara melakukan ruku‘ dalam sembahyang yang perlu kita ketahui agar mencapai kesempurnaan melakukan ruku‘ bahkan kesempurnaan sembahyang keseluruhannya.
THUMA’NINAH DALAM SEMBAHYANG DAN AKIBAT MENCUAIKANNYA
Sembahyang fardhu lima waktu sememangnya mempunyai kedudukan yang sangat penting di dalam Islam. Perkara pertama yang akan dihisab bagi setiap orang Islam pada Hari Kiamat ialah sembahyangnya. Orang yang sempurna sembahyangnya, nescaya akan berjaya dan bahagia di akhirat kelak. Akan tetapi jika sebaliknya, nescaya dia akan kecewa dan rugi sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Perkara yang pertama sekali dihisab atau dihitung ke atas seorang hamba pada Hari Kiamat ialah sembahyangnya. Jika (sembahyangnya itu) baik, maka dia termasuk orang yang bahagia dan berjaya. Namun jika (sembahyangnya itu) rosak, maka dia termasuk orang kecewa dan rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit daripada sembahyang fardhunya, Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Lihatlah (wahai malaikat) adakah hambaKu ini mengerjakan sembahyang sunat, maka sembahyang sunatnya itulah yang menyempurnakan kekurangan yang ada pada sembahyang fardhu. Kemudian demikian juga (perkara fardhu jika ada kekurangan) pada semua amalnya (akan sempurna dengan perkara sunat). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam meraih kesempurnaan itu, perkara utama yang perlu diberi perhatian dan dipelihara ialah rukun-rukun sembahyang. Ini termasuklah menitikberatkan perkara-perkara yang diwajibkan bagi setiap rukun tersebut. Antaranya adalah thuma’ninah.
Thuma’ninah merupakan perkataan yang cukup sinonim dengan ibadat sembahyang. Namun sejauh manakah kita mengetahui maksud dan mempraktikkan thuma’ninah itu dengan betul di dalam sembahyang?
Apa Yang Dimaksudkan Dengan Thuma’ninah?
Thuma’ninah dari segi bahasa ialah ketenangan. Dikatakan hati itu tenang ialah apabila hati itu di dalam keadaan redha, tidak bimbang dan tidak resah mahupun gusar.
Manakala dari segi istilah fiqh pula thuma’ninah bererti kestabilan atau penetapan sejenak anggota badan pada satu masa.
Hukum Thuma’ninah
Menurut pendapat jumhûr ulama termasuk ulama mazhab asy-Syafi‘e, thuma’ninah itu wajib dilakukan di dalam sembahyang sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat.
Terdapat empat rukun sembahyang yang diwajibkan padanya thuma’ninah iaitu ruku‘, i‘tidâl, sujud dan duduk di antara dua sujud.
Ketetapan hukum ini adalah bersandarkan kepada hadits shahîh yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam membetulkan sembahyang seorang lelaki, Baginda bersabda:
Maksudnya: Jika engkau mendirikan sembahyang maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu (surah al-Fâtihah). Kemudian ruku‘lah sehingga ruku‘ dengan thuma‘ninah, kemudian bangkitlah sehingga berdiri dengan i‘tidâl, kemudian sujudlah sehingga sujud dengan thuma‘ninah, kemudian bangkitlah sehingga duduk dengan thuma‘ninah. Kemudian lakukanlah yang demikian itu kesemuanya dalam sembahyangmu. (Hadits riwayat Muslim Thuma’ninah Dalam Ruku‘
Maksud thuma’ninah ketika ruku‘ adalah tenang atau tetap sekalian anggota semasa melakukan ruku‘ sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara pergerakan tunduk untuk melakukan ruku‘ dengan pergerakan bangkit daripada ruku‘ sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan tasbîh “ سبحان هللا ”.
Bermula thuma‘ninah dalam ruku‘ itu adalah sebaik sahaja tetap dan berhenti sekalian anggota daripada pergerakan ketika hendak melakukan ruku‘.
Thuma’ninah Dalam I‘tidâl
Thuma’ninah ketika i‘tidâl ialah tenang atau tetap sekalian anggota seperti keadaannya sebelum ruku‘ sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara perbuatan bangkit dari ruku‘ dengan berdiri untuk melakukan i‘tidâl.
Bermula thuma‘ninah dalam i‘tidâl itu adalah apabila sahaja badan kembali kepada keadaan asalnya sebelum ruku‘ dan tetap sekalian anggota setelah bangkit dari ruku‘.
Thuma’ninah Dalam Sujud
Thuma’ninah ketika sujud ialah tenang atau tetap sekalian anggota sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara pergerakan tunduk untuk sujud dengan bangkit dari sujud sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan tasbîh “سبحان هللا”.
Bermula thuma‘ninah dalam sujud itu adalah apabila sahaja tetap sekalian anggota setelah melakukan pergerakan tunduk untuk sujud.
Yang dikatakan sujud yang tetap itu adalah dengan memberatkan bahagian hadapan kepala iaitu dahi dengan tenang di tempat sujud sehingga dapat menetap. Seandainya tempat sujud tersebut terdapat kapas, pasir, rumput atau selainnya, maka ia akan kemek atau kempis serta akan nampak kesan sujud tersebut pada tangan seandainya diletakkan di atas tangan itu.
Thuma’ninah Dalam Duduk Antara Dua Sujud
Thuma’ninah ketika duduk antara dua sujud adalah tenang atau tetap sekalian anggota, sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara setiap pergerakan sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan tasbîh “سبحان هللا” tanpa terlalu lama.
Bermula thuma‘ninah dalam duduk antara dua sujud itu adalah apabila sahaja tetap sekalian anggota setelah bangkit dari melakukan sujud.
Kadar Dan Permasalahan Mengenai Thuma’ninah
Jumhûr ulama termasuk ulama mazhab asy-Syafi‘e mengatakan bahawa sekurang-kurang thuma’ninah itu adalah dengan tetap atau berhenti sekalian anggota. Ulama mazhab asy-Syafi‘e menjelaskan dengan lebih lanjut lagi bahawa sekurang-kurang thuma’ninah itu hendaklah sekalian anggota seseorang yang sedang sembahyang itu berada dalam keadaan diam dan pergerakannya untuk tunduk atau membongkok terpisah daripada pergerakan bangkit.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, tidak berlaku thuma’ninah dan tidak memadai thuma’ninah itu dilakukan hanya dengan memanjangkan tempoh pada pergerakan tunduk atau bongkok, walaupun melebihi daripada kadar sekurang-kurang ruku‘ atau sujud, kemudian terus sahaja bangkit dengan pergerakan yang bersambung dan tidak tetap. Maka dalam hal yang demikian ini, tidak berlaku thuma’ninah padanya dan thuma’ninah tidak akan dikira dengan perbuatan memanjangkan pergerakan tersebut.
Dalam hal i‘tidâl pula, hendaklah ia dilakukan dengan tidak terlalu lama. Jika seseorang berdiri i‘tidâl sehingga sama dengan atau melebihi kadar dia membaca surah al-Fâtihah, maka batal sembahyangnya kecuali pada i‘tidâl yang terakhir daripada sembahyang Shubuh kerana pada saat itu disunatkan membaca do‘a qunut.
Demikian juga halnya dengan duduk di antara dua sujud, hendaklah ia dilakukan dengan tidak terlalu lama. Jika seseorang duduk sehingga sama atau melebihi zikir yang dituntut di dalamnya iaitu kadar sekurang-kurang tasyahhud, maka batal sembahyangnya jika dia tahu dan sengaja melakukannya.
Jika seseorang itu melakukan sembahyang dengan cara berdiri, lalu dia melakukan ruku‘ akan tetapi ketika ruku‘ dia terjatuh sebelum dia sempat melakukan thuma’ninah, maka dalam hal ini wajib dia kembali semula melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah, kemudian barulah dia bangkit melakukan i‘tidâl.
Setelah itu hendaklah dia bangkit untuk melakukan i‘tidâl jika dia terjatuh setelah melakukan ruku‘ yang disertai dengan thuma’ninah setelah i‘tidâl barulah dia melakukan sujud.
Demikian juga wajib kembali bangkit melakukan i‘tidâl jika seseorang itu terjatuh ketika melakukan i‘tidâl sebelum lagi dia sempat melakukan thuma’ninah.
Jika seseorang melakukan ruku‘ dan terjatuh setelah sempat melakukan thuma’ninah, maka dalam hal ini hendaklah dia kembali bangkit melakukan i‘tidâl dan tidak perlu bangkit melakukan ruku‘.
Zikir-Zikir Yang Sunat Dibaca Ketika Melakukan Rukun-Rukun Yang Diwajibkan Thuma’ninah Padanya
Dalam setiap rukun dan perbuatan di dalam sembahyang pasti tidak sunyi daripada zikir. Disyariatkan zikir-zikir tertentu yang sunat dibaca ketika ruku‘, i‘tidâl, sujud dan duduk di antara dua sujud, iaitu semasa dalam tempoh melakukan thuma’ninah:
1. Zikir ketika ruku‘.
Antara zikir-zikir yang sunat dibaca ketika ruku‘ iaitu apabila sahaja tetap
Bacaan sebanyak tiga kali itu adalah sekurang-kurang kadar yang sempurna (أدىن الكمال). Kemudian diikuti dengan lima kali, kemudian tujuh kali, kemudian sembilan kali dan paling sempurna ialah sebanyak sebelas kali. Sekurang-kurang bacaan untuk mendapat pahala sunat bertasbîh itu adalah dibaca sebanyak sekali sahaja.
2. Zikir ketika i‘tidâl.
Antara zikir-zikir yang sunat dibaca ketika i‘tidâl iaitu setelah berdiri tegak, kedua tangan lurus di bawah serta tetap sekalian anggota ialah membaca tahmîd seperti berikut:
Ertinya: Ya Allah ya Tuhan kami, bagiMu segala pujian sepenuh langit, sepenuh bumi, sepenuh apa yang di antara kedua-duanya (langit dan bumi) dan sepenuh apa yang Engkau mahukan daripada sesuatu selepas (langit dan bumi) itu.
3. Zikir ketika sujud.
Antara zikir-zikir yang sunat dibaca ketika sujud iaitu setelah tetap sekalian anggota ialah membaca tasbîh ( َ َِ األَّبمسُبْحَان َ رٰ عْلِ ىو َِبَِمْدِه) sebanyak tiga kali sebagaimana juga disunatkan dalam ruku‘.
4. Zikir ketika duduk di antara dua sujud.
Antara zikir-zikir yang sunat dibaca ketika duduk di antara dua sujud iaitu setelah tetap sekalian anggota ialah membaca tasbîh ِ ِ اغْفِر ْ ل ِ وَارْمحَْن ِ وَاجْبُْنمرَ ب(
Meninggalkan zikir atau tasbîh yang telah disebutkan tidaklah membatalkan sembahyang, sebaliknya meninggalkan thuma’ninah itu pula boleh membawa kepada batalnya sembahyang seseorang.
Akibat Meninggalkan Atau Mencuaikan Thuma’ninah
Antara akibat-akibat yang paling besar dan amat merugikan daripada perbuatan meninggalkan atau mencuaikan thuma’ninah itu adalah sembahyang menjadi tidak sempurna.
Thuma’ninah wajib disertakan di dalam empat rukun sembahyang iaitu ruku‘, i‘tidâl sujud dan duduk di antara dua sujud. Sebahagian ulama mengira thuma’ninah itu sebagai rukun sembahyang. Berdasarkan ketetapan ini, adalah jelas bahawa kedudukan thuma’ninah itu sangat penting dalam sembahyang kerana ia merupakan sifat yang mengikut rukun sembahyang atau komponen yang terkandung di dalamnya. Sembahyang yang tidak ada thuma’ninah adalah umpama badan tanpa kepala.
Oleh kerana itu, orang yang meninggalkan thuma’ninah dalam sembahyangnya hendaklah dia mengulang sembahyang tersebut. Ini berdasarkan hadits shahîh yang menyatakan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menolak salam seorang lelaki yang baru sahaja selesai mendirikan sembahyang dan menyuruhnya sembahyang semula. Baginda bersabda:
Maksudnya: Kembali dan sembahyanglah, sesunggguhnya engkau belum sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Suruhan untuk kembali bersembahyang itu berulang sebanyak tiga kali sehinggalah lelaki berkenaan meminta agar Rasulullah mengajar dan membetulkannya. Maka setelah itu Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika engkau mendirikan sembahyang maka bertakbîrlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu (surah al-Fâtihah). Kemudian ruku‘lah sehingga ruku‘ dengan thuma’ninah. Kemudian bangkitlah sehingga berdiri dengan i‘tidâl. Kemudian sujudlah sehingga sujud dengan thuma’ninah. Kemudian bangkitlah sehingga duduk dengan thuma’ninah. Kemudian lakukanlah yang demikian itu kesemuanya dalam sembahyangmu. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jelas berdasarkan hadits ini, sembahyang yang dilakukan dengan tidak sempurna thuma’ninahnya adalah tidak memadai dan tidak dikatakan sembahyang dan hendaklah diulang semula.
Ketetapan ini disokong lagi dengan sebuah hadits bahawa tidak dikira sembahyang seseorang yang tidak i‘tidâl dengan betul setelah dia bangkit daripada ruku‘. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak dikira sembahyang seseorang sehinggalah tegak atau lurus belakangnya daripada (bongkok) ruku‘ dan sujud. (Hadits riwayat Abu Daud)
Perbuatan tidak sempurna i‘tidâl dan thuma’ninah ini adakalanya kelihatan berlaku di kalangan segelintir orang sama ada kerana sengaja ataupun tidak sengaja kerana jahil tentangnya. Sebagai contoh, perbuatan bangkit dari melakukan ruku‘ tanpa berhenti atau tetap seketika terlebih dahulu ataupun bangkit dengan tidak sampai had badan yang seimbang untuk melakukan i‘tidâl atau hanya sehingga paras tiga suku berdiri sahaja, kemudian terus bergerak tunduk untuk melakukan sujud.
Selain daripada sembahyang tidak sempurna, sembahyang yang dilakukan tanpa thuma’ninah juga menyalahi cara yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Tunaikanlah sembahyang sebagaimana kamu melihat aku sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Suruhan di dalam hadits tersebut juga dinisbahkan kepada umat Islam yang kemudian walaupun tidak pernah melihat Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam, tetapi mereka hendaklah mengikutnya dengan mengikut panduan para ulama dan kitab-kitab mu‘tabar.
Hudzaifah Radhiallâhu ‘anhu pernah melihat seorang lelaki yang tidak menyempurnakan ruku‘ dan sujud ketika sembahyang, lantas dia berkata kepada lelaki itu:
Maksudnya: Kamu belum sembahyang, seandainya kamu mati (dengan amalan menjejaskan thuma’ninah), nescaya kamu mati di luar fitrah dan jalan yang difitrahkan Allah kepada Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam (sunnah). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Oleh yang demikian, perkara thuma’ninah dalam menunaikan rukun sembahyang ini perlu diambil perhatian berat. Walaupun nampak kecil dan remeh, tetapi peranan dan akibatnya terhadap sembahyang adalah sangat besar.
HUKUM MEMBACA SURAH AL-FÂTIHAH BAGI MAKMUM
Bacaan surah al-Fâtihah adalah salah satu daripada rukun-rukun sembahyang. Jika bacaan surah al-Fâtihah dalam sembahyang ini ditinggalkan dan tidak kembali semula untuk membacanya maka sembahyang seseorang itu tidak sah.
Namun dalam perkara ini, mungkin ada yang beranggapan bahawa makmum yang tertinggal bacaan surah al-Fâtihah dalam sembahyang berjemaah tidak membatalkan sembahyang. Ini kerana pada anggapan mereka bacaan surah al- Fâtihah yang tertinggal itu ditanggung oleh bacaan imam sedangkan makmum tersebut wajib membaca surah al-Fâtihah itu. Jika anggapannya bacaan surah al-Fâtihah ditanggung oleh imam ini berlaku kepada makmum yang wajib membaca surah al-Fâtihah sehingga meninggalkan bacaan surah al-Fâtihah itu untuk mengikut perbuatan imam, maka bukan sahaja anggapan itu salah malah membuatkan sembahyangnya itu tidak sah kerana dia meninggalkan rukun sembahyang iaitu membaca surah al-Fâtihah.
Dalam menentukan kedudukan hukum bacaan surah al-Fâtihah bagi makmum yang sembahyang berjemaah itu adalah dilihat kepada bagaimana keadaan makmum itu. Ini amat penting diketahui untuk memastikan sama ada makmum perlu membaca surah al-Fâtihah atau menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah ataupun tidak.
Keadaan makmum dalam sembahyang berjemaah terbahagi kepada dua, iaitu makmum muwâfiq dan makmum masbûq. Makmum muwâfiq itu ialah makmum yang sempat bersama imam masa yang cukup untuk membaca surah al-Fâtihah dalam kadar bacaan yang sederhana. Sementara makmum masbûq itu pula ialah makmum yang tidak sempat bersama imam masa yang cukup untuk membaca surah al-Fâtihah dalam kadar bacaan yang sederhana.
Membaca surah al-Fâtihah bagi kedua-dua keadaan makmum ini mempunyai hukum yang berbeza mengikut keadaan masing-masing. Ada yang wajib menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah walaupun makmum itu tertinggal daripada imam dan ada juga yang tidak diwajibkan membaca surah al-Fâtihah dan terus mengikut pergerakan imam.
Bacaan Surah Al-Fâtihah Bagi Makmum Muwâfiq
Makmum muwâfiq wajib menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah walaupun dia tertinggal oleh imam sama ada disebabkan keuzuran ataupun tidak. Untuk jelasnya dihuraikan seperti berikut:
• Makmum muwâfiq tertinggal daripada imam bukan kerana keuzuran.
Jika makmum muwâfiq yang tertinggal daripada imam bukan kerana keuzuran seperti makmum sengaja melambat-lambatkan bacaan surah al- Fâtihah maka wajib dia menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah asalkan dia tidak tertinggal daripada imam dua rukun fi‘li, sama ada rukun fi‘li yang panjang (berdiri [qiyâm], ruku‘, sujud dan duduk tasyahhud akhir) atau rukun fi‘li yang pendek (i‘tidâl dan duduk di antara dua sujud). Jika makmum tertinggal daripada imam dua rukun fi‘li dengan sengaja maka batallah sembahyang makmum itu.
Sebagai contoh makmum lambat pada satu rukun fi‘li yang panjang dan satu rukun fi‘li yang pendek:
Makmum masih berdiri membaca surah al-Fâtihah sedang imam sudah mula melakukan sujud pertama. Maka dalam hal ini makmum tertinggal mengikut imam pada ruku‘ dan i‘tidâl.
• Makmum muwâfiq yang tertinggal oleh imam disebabkan keuzuran
Jika makmum muwâfiq yang tertinggal oleh imam disebabkan keuzuran seperti lambat membaca surah al-Fâtihah kerana kurang lancar, atau imam terlalu cepat membacanya, maka dia hendaklah menyempurnakan juga bacaan surah al-Fâtihah asalkan dia tidak tertinggal oleh imam tiga rukun fi‘li yang panjang.
Jika makmum muwâfiq itu terlambat mengikut imam sehingga tiga rukun fi‘li yang panjang maka hendaklah dia terus mengikut perbuatan sembahyang imam dan setelah imam selesai memberi salam hendaklah dia berdiri lagi bagi mengganti rakaat yang dia terlambat itu.
Sebagai contoh makmum masih berdiri pada rakaat pertama membaca surah al-Fâtihah kerana bacaannya kurang lancar sedang imam sudah mula berdiri pada rakaat kedua, makmum terlambat pada rukun yang panjang iaitu ruku‘, sujud pertama dan sujud kedua.
Maka dalam hal ini, tidaklah perlu makmum menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah dan rukun yang tertinggal itu bahkan hendaklah dia terus mengikut imam yang sedang berdiri pada rakaat kedua. Setelah imam selesai memberi salam, makmum hendaklah bangkit semula bagi menggantikan rakaat yang dia terlambat itu.
Bacaan Surah Al-Fâtihah Bagi Makmum Masbûq
Makmum masbûq dikira menyempati rakaat imam apabila makmum tersebut sempat melakukan ruku‘ serta thuma’ninah bersama imam. Jika makmum masbûq tidak sempat ruku‘ serta thuma’ninah bersama imam, maka dia tidak dikira menyempati rakaat imam dan hendaklah makmum itu berdiri untuk mengganti rakaat yang tidak dikira itu setelah imam memberi salam.
Dalam perkara ini adakah makmum masbûq tersebut perlu menyempurnakan bacaan surah al-Fâtihah ataupun tidak? Oleh itu dihuraikan beberapa keadaan makmum masbûq seperti berikut:
1. Makmum masbûq baru memulakan sembahyang sedang imam hampir melakukan ruku‘.
Dalam keadaan ini, makmum tersebut disunatkan tidak membaca perkara-perkara sunat selepas takbîratul-ihrâm iaitu do‘a al-iftitâh dan at-ta‘awwudz bahkan dia terus sahaja membaca surah al-Fâtihah selepas takbîratul-ihrâm melainkan jika dia menyangka dapat menyempati imam apabila dia membaca perkara sunat itu.
Jika imam itu mula melakukan ruku‘, maka hendaklah makmum masbûq itu memutuskan bacaan surah al-Fâtihah dan terus mengikut imam melakukan ruku‘.
Adapun jika makmum itu meneruskan juga bacaan surah al-Fâtihah sehingga imam mula bangkit melakukan i‘tidâl maka tidaklah dikira dia menyempati rakaat imam malah menjadi batal sembahyangnya jika imam mula melakukan sujud kerana terlambat mengikut imam pada dua rukun fi‘li.
Jika makmum masbûq itu tidak sempat membaca surah al-Fâtihah kerana membaca do‘a al-iftitâh atau at-ta‘awwudz selepas takbîratul-ihrâm sedang imam mula melakukan ruku‘ maka hendaklah dia membaca surah al-Fâtihah sekadar banyak huruf do‘a al- iftitâh atau at-ta‘awwudz yang telah dibacanya. Setelah dia membaca kadar surah al-Fâtihah yang wajib itu baharulah dia melakukan ruku‘ bersama imam.
Jika makmum tersebut tidak membaca surah al-Fâtihah sekadar banyak huruf do‘a al- iftitâh atau at-ta‘awwudz yang telah dibacanya dan dia terus sahaja melakukan ruku‘ bersama imam, maka tidaklah sah sembahyang makmum itu kerana tertinggal kadar bacaan surah al-Fâtihah yang wajib.
2. Imam mula melakukan ruku‘ sedangkan makmum baru hendak memulakan sembahyang
Dalam keadaan ini, makmum hendaklah mengangkat takbîratul-ihrâm tanpa membaca surah al-Fâtihah. Kemudian bertakbîr sekali lagi untuk melakukan ruku‘ bersama imam. Jika makmum tersebut sempat melakukan ruku‘ dan thuma’ninah bersama imam maka dikiralah dia menyempati rakaat imam. Jika dia tidak sempat melakukan ruku‘ dan thuma’ninah bersama imam maka dia tidak dikira menyempati rakaat imam dan hendaklah dia berdiri selepas imam memberi salam untuk mengganti rakaat yang tidak dikira itu.
3. Imam melakukan sujud sedang makmum baru memulakan sembahyang
Dalam hal ini, makmum hendaklah mengangkat takbîratul-ihrâm tanpa membaca surah al-Fâtihah. Kemudian bertakbîr sekali lagi untuk melakukan sujud bersama imam. Oleh kerana makmum tersebut tidak dikira menyempati rakaat imam maka hendaklah dia berdiri selepas imam memberi salam untuk mengganti rakaat yang tidak dikira itu.
Demikianlah beberapa persoalan mengenai kewajipan makmum membaca surah al-Fâtihah. Perkara ini amat penting diketahui supaya tidak berlaku kesalahan dalam ibadat sembahyang yang kadang-kadang dianggap selama ini betul tetapi salah dan boleh menyebabkan sembahyang tidak sah atau menjadi batal.
SEMBAHYANG SUNAT TARAWIH 8 RAKAAT: Adakah Mendapat Pahala Tarawih?
Dalam mazhab Syafi‘e, bilangan rakaat sembahyang sunat Tarawih itu ialah 20 rakaat. Bilangan 20 rakaat ini juga disepakati oleh para ulama di kalangan mazhab Hanafi, merupakan pendapat yang masyhûr dalam mazhab Maliki dan juga mazhab Hanbali.
Di sini dijelaskan beberapa pendapat ulama mu‘tabar dalam mazhab Syafi‘e mengenai bilangan 20 rakaat tersebut.
Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan ia (sembahyang sunat Tarawih) mengikut pendapat kami selain penduduk Madinah ialah 20 rakaat sebagaimana yang mereka praktikkannya pada zaman ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Tarawih itu dua 20 dengan sepuluh salam.
Sementara Imam al-Malibari Rahimahullâh menyatakan dalam kitab Fath al- Mu‘în:
Ertinya: Dan ia (sembahyang sunat Tarawih) ada 20 rakaat dengan sepuluh salam pada setiap malam bulan Ramadhan.
Ini berdasarkan daripada riwayat as-Sa’ib bin Yazid Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Mereka (sahabat-sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam) pada zaman ‘Umar bin al-Khaththab mendirikan sembahyang sunat Tarawih dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Diriwayatkan daripada Yazid bin Ruman, dia berkata:
Maksudnya: Orang ramai pada zaman ‘Umar bin al-Khaththab mendirikan sembahyang sunat Tarawih pada bulan Ramadhan sebanyak 23 rakaat. (Hadits riwayat al-Baihaqi dan Malik)
Dua riwayat di atas digabungkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullâh sebagai penjelasan bahawa bilangan rakaat sembahyang sunat Tarawih yang dilakukan oleh para sahabat di zaman Saiyidina ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallâhu ‘anhu adalah sebanyak 20 rakaat, sementara tambahan 3 rakaat dalam riwayat yang kedua itu pula ialah sembahyang sunat Witir.
Keterangan riwayat-riwayat di atas menunjukkan para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah sepakat (ijmâ‘) bahawa bilangan rakaat sembahyang sunat Tarawih yang dilakukan pada zaman Saiyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu adalah sebanyak 20 rakaat. Ijmâ‘ sahabat menurut usul fiqh adalah “hujjah” iaitu dalil syar‘i.
Sementara bilangan 8 rakaat sembahyang sunat Tarawih yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Kami mengerjakan sembahyang sunat Tarawih bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam di bulan Ramadhan sebanyak 8 rakaat selepas itu mengerjakan sembahyang sunat Witir. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)
Hadits ini menunjukkan bahawa bilangan rakaat sembahyang sunat Tarawih itu adalah 8 rakaat. Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh menjelaskan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang sunat Tarawih bersama para sahabat sebanyak 8 rakaat, walau bagaimanapun Baginda menyempurnakan baki sembahyang sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat itu di rumah Baginda. Begitu juga para sahabat menyempurnakan baki sembahyang sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat di rumah-rumah mereka. Baginda tidak menyempurnakan sembahyang sunat Tarawih di masjid bersama mereka sebanyak 20 rakaat itu kerana belas kasihan Baginda kepada mereka.
Mengerjakan Sebahagian Daripada 20 Rakaat Sembahyang Sunat Tarawih
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, bahawa bilangan sembahyang sunat Tarawih itu adalah 20 rakaat. Persoalannya bagaimanakah pula sekiranya seseorang itu hanya mengerjakan sebahagian daripada 20 rakaat sembahyang sunat Tarawih itu seperti 8 rakaat?
Disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn mengenai perkara tersebut:
Ertinya: Barang siapa mengerjakan sebahagian Tarawih, maka dia mendapat pahala Tarawih itu sebagaimana disebutkan dalam kitab at-Tuhfah. Ar-Rasyidi pula menambah, sekalipun orang itu bermaksud untuk memendekkannya.
Imam asy-Syarwani Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Hawâsyi asy- Syarwani wa al-‘Ubadi dalam mensyarah kata-kata Imam Ibnu Hajar:
Ertinya: (Katanya yakni Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh: Dan begitu juga sesiapa yang mengerjakan sebahagian sembahyang sunat Tarawih) iaitu seperti memendekkan sembahyang sunat Tarawih menjadi 8 rakaat maka mereka mendapat pahala sebahagian daripada pahala sembahyang sunat Tarawih, sekalipun pada permulaanya dia bermaksud untuk memendekkannya kepada 8 rakaat sebagaimana kebiasaannya dilakukan oleh sebahagian tempat.
Oleh itu, sekiranya seseorang itu hanya mengerjakan sebahagian daripada 20 rakaat sembahyang sunat Tarawih seperti 8 rakaat sahaja, maka dia tetap mendapat pahala sebahagian daripada pahala sembahyang sunat Tarawih itu.
Walau bagaimanapun, khususnya di bulan Ramadhan ini kita dituntut untuk memperbanyakkan amal ibadat bagi mendapatkan rahmat dan keampunan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Oleh itu, rebutlah peluang yang ada, tingkatkanlah amal ibadat sebanyak yang mungkin seperti mengerjakan sembahyang sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat sebagaimana yang telah disepakati oleh ulama mu‘tabar di samping mengerjakan amal-amal yang lain di bulan Ramadhan ini. Bagi mereka yang berupaya khasnya, ia adalah amat baik dilakukan dan mendapat kelebihan sunat.
KANAK-KANAK MENJADI MAKMUM ATAU IMAM SEMBAHYANG
Mendidik kanak-kanak melakukan ibadat sembahyang adalah wajib. Kewajipan mendidik kanak-kanak melakukan ibadat sembahyang ketika mereka mencapai umur tujuh tahun dan dibolehkan memukul dengan pukulan yang tidak mencederakan mereka jika enggan mengerjakan sembahyang apabila mencapai umur sepuluh tahun disebutkan dalam sebuah hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang berbunyi:
Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang sewaktu mereka itu berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya sewaktu mereka itu berumur sepuluh tahun. (Hadits riwayat Abu Daud)
Rahsia mendidik kanak-kanak mengerjakan sembahyang di peringkat awal ini adalah supaya kanak-kanak itu mengetahui hukum-hukum ibadat tersebut dan terbiasa melaksana dan mendirikannya sejak dari awal-awal lagi walaupun pada dasarnya kanak-kanak yang belum bâligh sama ada lelaki ataupun perempuan tidak diwajibkan untuk menunaikan sembahyang sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Diangkat qalam (dilepaskan tanggungjawab perintah Allah) daripada tiga golongan; orang yang sedang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia bâligh dan orang gila sehingga dia berakal (sedar). (Hadits riwayat Abu Daud)
Didikan awal sebegini amat penting kerana ia akan membiasakan anak-anak melakukan sembahyang sama ada secara bersendirian atau berjemaah. Cara ini juga dapat melatih mereka menjadi imam terutama anak lelaki kerana mereka ini bakal menjadi ketua keluarga di kemudian hari.
Melakukan sembahyang berjemaah lebih besar fadhilat atau ganjarannya daripada sembahyang berseorangan sepertimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat Muslim)
Mumayyiz Dan Belum Mumayyiz
Pertumbuhan diri yang dialami oleh kanak-kanak mempunyai dua peringkat iaitu peringkat belum memaiyiz dan peringkat mumayyiz. Kedua-dua peringkat ini akan membezakan keahlian atau tanggungjawab kanak-kanak dalam melaksanakan kewajipan agama.
1. Peringkat belum mumayyiz.
Peringkat ini bermula dari sejak kecil sehinggalah kanak-kanak itu mampu membezakan di antara yang bermanfaat dan yang mudharat bagi dirinya.
Anak kecil yang belum sampai peringkat mumayyiz ini belum dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tuntutan agama seperti sembahyang dan puasa. Namun, bagi para ibu bapa atau penjaga adalah menjadi tanggungjawab berusaha menjinak-jinakkan anak-anak dengan hal-hal agama sebagai langkah melatih mereka sebelum mereka mencapai umur mumayyiz.
2. Peringkat mumayyiz.
Peringkat ini bermula apabila kanak-kanak itu sudah mampu membezakan di antara sesuatu yang baik dengan sesuatu yang buruk. Dalam erti kata lain bahawa kanak-kanak yang mumayyiz itu baginya akal, yang dengannya dia mampu secara sederhana membezakan mana yang bermanfaat dan mana yang mudharat.
Tidak ada had umur yang tertentu sebagai sukat-sukat dalam menentukan permulaan kanak-kanak mencapai tahap mumayyiz kerana pertumbuhan kejiwaan kanak-kanak itu tidak sama di antara satu dengan yang lain walaupun pada kebiasaannya masa mumayyiz itu bermula pada umur tujuh tahun.
Para ulama ushûl al-fiqh membahagikan orang yang berkemampuan untuk melaksanakan hukum (أهلية األداء) itu kepada dua:
a. Orang yang berkemampuan untuk melaksanakan hukum tetapi masih
b. Orang yang berkemampuan untuk melaksanakan hukum secara
Hukum Kanak-Kanak Menjadi Imam
Kanak-kanak yang belum mumayyiz sama sekali belum mempunyai ahliyyah al-adâ’ sehingga segala tindakannya belum diperhitung secara hukum. Manakala kanak-kanak yang sudah mumayyiz tergolong dalam ahliyyah al-adâ’ an-nâqishah kerana mereka sudah berakal yang menyebabkan mereka termasuk dalam golongan orang yang mampu melaksanakan hukum-hukum syar‘i walaupun tidak secara sempurna.
Maka kanak-kanak mumayyiz itu adalah sah menjadi imam dalam sembahyang tetapi hukumnya adalah makruh berimamkan kanak-kanak yang mumayyiz sama ada dalam sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat. Ini adalah berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari: “Sesungguhnya ‘Amr ibnu Salimah pernah menjadi imam kepada kaumnya dalam sembahyang pada zaman Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam semasa beliau berumur enam atau tujuh tahun.”
Berimamkan orang yang bâligh adalah lebih baik daripada kanak-kanak yang mumayyiz walaupun kanak-kanak yang mumayyiz itu lebih pandai membaca dan lebih tahu ilmu fiqh.
Isu Kanak-Kanak Dalam Sembahyang Berjemaah Dan Menjadi Imam
• Hukum menjadi makmum kepada imam kanak-kanak yang masih kulup (belum berkhatan).
Antara persoalan mengenai kanak-kanak menjadi imam yang membimbangkan sebahagian orang dewasa ialah tentang kesuciannya. Ini adalah kerana kanak-kanak yang belum berkhatan dianggap menanggung najis.
Menjadi makmum atau berniat makmum kepada imam yang diragui tentang kebersihannya daripada najis seperti masih kulup adalah sah, tetapi makruh. Dalam perkara ini Imam al-Malibari Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata dalam kitab Fath al-Mu‘în bahawa makruh berimam kepada orang yang masih kulup.
Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâhu Ta‘âlâ menjelaskan perkataan Imam al-Malibari Rahimahullâhu Ta‘âlâ di atas dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn dengan berkata: “Yakni makruh mengikut (berimam) kepada orang yang kulup iaitu yang tidak berkhatan sama ada sebelum bâligh atau selepasnya, kerana boleh jadi dia tidak memelihara apa yang menjadi syarat sah sembahyangnya, apalagi syarat sahnya menjadi imam, iaitu membersihkan (membasuh) kulupnya yang terkena air kencingnya, kerana apabila ia (kulup itu) wajib dibersihkan atau wajib dibuang, maka apa yang di bawahnya dikira sebagai anggota zahir.” (I’ânah ath-Thâlibîn: 2/47)
Tetapi mengikut Imam as-Subki Rahimahullâh dan pengikutnya jika tidak ada imam yang lain, maka tidaklah makruh, bahkan lebih afdal berimam kepadanya berbanding jika sembahyang bersendirian.
Maka adalah boleh berniat menjadi makmum kepada kanak-kanak yang layak dan sah melakukan sembahyang, tetapi masih berkulup yang boleh jadi telah membersihkan kulupnya atau belum. Namun jika pasti dan diyakini kulupnya atau mana-mana anggotanya tidak bersih daripada bekas air kencingnya atau najis lain, maka tidak boleh berimam dengannya kerana sembahyangnya tidak sah dengan sebab dia bernajis.
• Adakah luput fadhilat sembahyang jemaah jika ada kanak-kanak lelaki belum berkhatan yang tidak diketahui adakah dia membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau tidak berada dalam shaf jemaah lelaki dewasa dan adakah boleh kanak-kanak ini dikeluarkan dari shaf mereka itu?
Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn al-Imam as-Sayyid ‘Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakar bin Yahya Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada berkata bahawa:
“Jika ada di dalam shaf sesiapa yang tidak sah sembahyangnya seperti ada najis padanya atau ada lahn (seperti tidak betul bacaan al-Fâtihahnya) atau ada pada shaf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian, maka tidaklah luput fadhilat (tidak hilang kelebihan pahala) berjemaah ke atas orang-orang yang berdiri di belakang mereka, sekalipun lebih jauh shaf mereka dari shaf orang yang sah sembahyangnya, sekadar boleh muat seorang berdiri pada masalah yang pertama (iaitu ada najis padanya atau ada lahn) dan lebih jauh dari tiga hasta pada masalah yang kedua (iaitu ada pada shaf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian). Kecuali jika orang-orang yang berada pada shaf-shaf di belakang itu mengetahui akan batal sembahyang orang yang tersebut itu dan sembahyangnya itu tidak sah pada pendapat ulama yang sah bertaqlîd padanya dan mereka berkuasa mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka itu dari shaf-shaf mereka dengan tidak takut (apa-apa kemudharatan) ke atas diri, harta atau nama (apabila mereka mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka dari shaf-shaf mereka itu). Ini kerana fadhilat pahala berjemaah boleh diperolehi dengan mengikut seorang imam yang makmumnya tidak mengetahui imam itu berhadas (padahal dia berhadas). Maka lebih utama tidak mengetahui akan batal sembahyang orang-orang yang dia tidak ada sangkut paut di antaranya dan di antara orang yang batal sembahyangnya itu, dan kerana berjauh-jauh (dari satu shaf kepada satu shaf) dengan ada suatu keuzuran seperti panas (seperti di Masjid al-Haram ada shaf jauh-jauh dan putus kerana panas terik matahari pada tempat-tempat lapang), tidak meluputkan fadhilat berjemaah.
Maka begitu juga di sini (makmum yang batal sembahyangnya berada dalam shaf-shaf sembahyang) dan kerana dia berhak di tempat itu dengan sebab dia telah datang dahulu serta taqlîdnya yang mengatakan sah sembahyang. Begitu juga jika dia tidak bertaqlîd (kepada mana-mana ulama) atas asas bahawa orang awam itu tidak mempunyai mazhab.”
Maka jika didapati kanak-kanak yang dibawa oleh bapanya duduk dalam mana-mana shaf sembahyang dan tidak diketahui kanak-kanak itu sudah berkhatan atau belum dan tidak diketahui dia telah membersihkan qulfahnya (kulupnya), maka menurut pendapat atau fatwa al-‘Allâmah as-Sayyid ‘Abdullah bin Yahya yang di atas ini tidaklah perkara itu meluputkan fadhilat sembahyang berjemaah dan adalah sah sembahyang orang yang berada dekat dengan kanak-kanak itu di dalam shaf itu.
Mengenai perkara tidak boleh mengeluarkan kanak-kanak dari shaf orang-orang dewasa ini juga telah disebutkan oleh al-Imam Ibnu Hajar Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kumpulan fatwanya:
“Qaul yang mu‘tamad bahawa kanak-kanak lelaki itu bila mereka mendahului orang-orang bâligh dalam shaf yang pertama, maka tidaklah harus (tidak boleh) orang-orang bâligh itu mengeluarkan kanak-kanak lelaki itu dari shaf yang pertama, bersalahan dengan orang-orang khuntsâ (orang-orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan perempuan-perempuan hendaklah dikeluarkan mereka dari shaf yang pertama sebagaimana saya (al-Imam Ibnu Hajar) telah jazamkan dengan yang demikian itu dalam kitab saya Syarh al-Irsyâd ibadatnya.”
Berdasarkan penjelasan di atas, dapatlah difahami bahawa sembahyang kanak-kanak yang sudah mumayyiz adalah sah kerana kanak-kanak itu dikira sudah berakal dan berkelayakan melakukan sembahyang, sama ada sembahyang itu dilakukan secara bersendirian, menjadi makmum atau menjadi imam walaupun kanak-kanak itu masih belum berkhatan asalkan mereka dalam keadaan suci.
MENGQADHA’ SEMBAHYANG YANG TIDAK DAPAT DIPASTIKAN JUMLAHNYA
Sembahyang fardhu lima waktu diwajibkan ke atas setiap orang Islam, lelaki dan perempuan yang bâligh, berakal, suci daripada haidh dan nifâs. Sembahyang lima waktu tersebut wajib dikerjakan pada waktu-waktunya yang telah ditetapkan. Antara firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam al-Qur’an mengenai perintah pelaksanaan sembahyang ialah sepertimana berikut:
Tafsirnya: Dan dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat dan ruku‘lah kamu bersama orang-orang yang ruku‘. (Surah al-Baqarah: 43)
Dalam Surah an-Nisâ’ firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu kewajipan ke atas orang-orang beriman yang ditentukan waktunya. (Surah an-Nisâ’: 103)
Selain itu, dalam sebuah hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Mu‘adz bin Jabal Radhiallâhu ‘anhu ketika beliau diutus oleh Baginda ke negeri Yaman (kepada satu kaum atau golongan daripada penduduknya):
Maksudnya: Khabarkan kepada mereka, sesungguhnya Allah Ta‘ala telah memfardhukan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada tiap-tiap hari, siang dan malam. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Amaran Kepada Orang Yang Meninggalkan Sembahyang
Apabila seseorang Islam itu telah mencapai umur bâligh, maka telah bermula kewajipan sembahyang ke atasnya. Oleh itu, menjadi kewajipan seorang Muslim untuk menjaga dan melaksanakan sembahyang fardhu serta mengerjakannya pada waktunya. Demikian juga, menjadi kewajipannya untuk tidak mencuaikan sembahyang, apalagi meninggalkannya dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran.
Terdapat banyak ayat al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan akibat orang yang meninggalkan sembahyang, antaranya firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata:) “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami
tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Muddatstsir: 42-43)
Dalam surah Maryam, Allah Ta‘ala telah memberi amaran kepada mereka yang tidak mendirikan sembahyang dengan azab di akhirat:
Tafsirnya: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). (Surah Maryam: 59)
Menurut ulama tafsir, maksud mencuaikan sembahyang dalam ayat di atas antaranya ialah:
1. Meninggalkan sembahyang dalam erti kata sebenar, iaitu tidak melaksanakan sembahyang.
2. Mencuaikan sembahyang dari segi pelaksanaannya, iaitu sembahyang yang dilaksanakan tetapi tidak disempurnakan segala hak-haknya dan inilah pendapat yang shahîh. Tidak menyempurnakan hak-hak sembahyang ialah seperti seorang yang sembahyang tanpa menghiraukan dan memenuhi rukun dan syaratnya, maka sembahyangnya yang sedemikian itu tidak memadai dan tidak sah.
Kerana itu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sampai bersabda kepada seorang yang mengerjakan sembahyang seumpama ini:
Maksudnya: Kembali dan (ulang) sembahyang! Sesungguhnya tadi engkau belum sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menegurnya sebanyak tiga kali dan pada setiap teguran itu juga dia diperintahkan untuk mengulang sembahyangnya sehinggalah mencapai tiga kali dia melakukan sembahyang tersebut.
Dalam Tafsir al-Qurthubi, dinyatakan bahawa mencuaikan sembahyang dari segi pelaksanaannya, termasuklah sesiapa yang tidak memelihara kesempurnaan wudhu’ (sembahyang), ruku‘ dan sujud dalam sembahyang. Sesiapa yang tidak memelihara perkara-perkara ini bererti dia tidak memelihara sembahyang dan orang yang tidak memelihara sembahyangnya, bererti dia telah mensia-siakan sembahyang. Bukankah ini yang dinamakan mencuaikan sembahyang? Pastinya sesiapa yang memelihara sembahyangnya, maka Allah Ta‘ala memelihara akan agamanya.
3. Tidak melaksanakannya dalam waktunya yang telah ditetapkan, seperti sembahyang yang dilaksanakan di luar dari waktunya.
4. Melalai-lalaikan atau melewat-lewatkan sembahyang daripada waktunya seperti orang yang selalu sembahyang ketika waktu telah hampir habis. Ini kerana menurut pendapat ini, sekiranya dia meninggalkan sembahyang (tidak melaksanakannya), maka dia telah (menjadi) kufur.
Manakala menurut hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallâhu ‘anhu, sesetengah ulama berpendapat bahawa perbuatan meninggalkan sembahyang dengan sengaja boleh menjadikan seseorang itu dihukumkan kafir berdasarkan zahir sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya perjanjian (aman) antara kami (orang Islam) dan mereka (orang kafir) adalah sembahyang. Siapa yang meninggalkan sembahyang, maka sesungguhnya dia telah menjadi kafir. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Manakala dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada suatu hari telah menyebut tentang sembahyang:
Maksudnya: Sesiapa memeliharanya (sembahyang), maka adalah sembahyang itu menjadi nûr kepadanya, dalil (dan hujjah) dan keselamatan baginya daripada api neraka pada Hari Kiamat. Dan sesiapa yang tidak memeliharanya (sembahyang), maka tidaklah (sembahyang itu) menjadi nûr, keselamatan dan hujjah baginya dan adalah dia pada Hari Kiamat bersama-sama Qarun, Fir‘aun, Haman (menteri Fir‘aun) dan Ubai bin Khalaf.” (Hadits riwayat Ibnu Hibban)
Kewajipan Mengqadha’ Sembahyang
Seseorang yang meninggalkan sembahyang fardhu tanpa sebarang keuzuran syara‘, wajib ke atasnya untuk mengqadha’ sembahyang yang luput itu. Hendaklah diketahui bahawa tidak ada sesuatu keuzuran pun yang membolehkan seseorang Islam meninggalkan sembahyang melainkan keuzuran disebabkan tidur dan disebabkan lupa akan waktu sembahyang dan sembahyang itu.
Diriwayatkan daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang lupa akan sembahyang atau tidur (tanpa mengerjakan sembahyang), maka hendaklah dia sembahyang (mengqadha’nya) apabila dia teringatkannya. (Hadits riwayat ad-Darimi)
Sembahyang yang luput disebabkan keuzuran syara‘, seperti lupa ataupun tidur yang bukan disengajakan, tetap wajib diqadha’ dan sunat menqadha’nya dengan segera apabila sedar atau teringat. Malahan mengqadha’nya dengan segera merupakan perbuatan yang disukai.
Manakala menurut pendapat yang al-ashah (lebih terpilih), sembahyang yang luput bukan disebabkan keuzuran syara‘ seperti sembahyang fardhu yang ditinggalkan dengan sengaja, kerana malas, leka dan lalai dengan hiburan atau permainan, maka wajib diqadha’ dengan serta-merta.
Bagaimanapun, seorang kafir setelah menjadi Muslim, tidak wajib ke atasnya mengqadha’ sembahyang yang luput semasa dia dalam keadaan kafir. Demikian juga sembahyang yang ditinggalkan oleh kanak-kanak sebelum mencapai bâligh. Begitu juga perempuan yang haidh dan nifâs tidak wajib mengqadha’ sembahyang mereka menurut kesepakatan (ijmâ‘) ulama, kerana perempuan haidh dan nifâs tidak diwajibkan sembahyang. Bagaimanapun mereka wajib mengqadha’ puasa Ramadhan yang luput kerana keuzuran yang dimaksudkan. Adapun bagi orang yang gila, pengsan atau hilang akal setelah dia sedar, maka tidak wajib mengqadha’ sembahyang yang luput itu. Bagaimanapun disyaratkan hilang akalnya itu bukan disebabkan oleh perkara yang diharamkan. Seseorang yang menjadi gila, jatuh pengsan atau hilang akal disebabkan penyakit, meminum ubat disebabkan hajat (keperluan) atau dipaksa meminum minuman yang memabukkan lalu hilang akalnya, maka tidak diwajibkan sembahyang ke atas mereka ini. Oleh kerana itu, tidak ada (kewajipan) qadha’ ke atas mereka setelah mereka sedar tanpa sebarang perselisihan ulama.
Tidak Pasti Jumlah Sembahyang Yang Ditinggalkan
Kadang-kadang terdapat juga keadaan seseorang itu sedar atau insaf bahawa semenjak dia ditaklîfkan (diwajibkan) untuk melaksanakan sembahyang, dia tidak melazimi sembahyang. Malah, pada suatu ketika dahulu, dia pernah luput sembahyang bukan disebabkan keuzuran syara‘ seperti sengaja, malas ataupun terlalai dalam melaksanakan ibadat utama ini. Apabila timbul kesedaran dan keinsafan mengenai kewajipan mengqadha’ sembahyang yang luput bukan disebabkan keuzuran syara‘ itu, bagaimanapun dia tidak pasti berapakah jumlah sebenar sembahyang fardhu yang luput itu. Oleh yang demikian, bagaimanakah cara yang paling tepat atau yang diyakini untuk mengira jumlah qadha’ sembahyang tersebut?
Dalam permasalahan sebegini, menurut pendapat Ibnu Hajar Rahimahullâh, sembahyang yang diragui apakah telah dikerjakan ataupun tidak, maka sembahyang (yang diragui) tersebut wajib diqadha’ dan bukan hanya setakat mengqadha’ sembahyang yang secara pasti telah ditinggalkannya atau tidak dikerjakannya. Demikianlah juga menurut pendapat yang al-ashah (lebih terpilih), iaitu pendapat al-Qadhi Husain Rahimahullâh.
Cara seseorang itu mengqadha’ sembahyang yang luput dan tidak diketahui secara pasti jumlahnya yang sebenar ialah terlebih dahulu hendaklah dia memastikan berapakah jumlah sembahyang yang secara pasti telah dikerjakannya. Sekiranya dia mengatakan bahawa sekian adalah jumlah sembahyang yang dikerjakannya secara pasti, maka dengan jawapan itu dapat pula diketahui bahawa sekian pula adalah jumlah sembahyang yang ditinggalkannya. Kemudian setelah diketahui jumlah sembahyang yang telah ditinggalkannya itu, maka wajib ke atasnya mengqadha’ jumlah yang luput itu dan dilebihkan lagi daripada jumlah tersebut.
Beginilah juga cara mengqadha’ puasa yang luput yang tidak diketahui bilangan harinya.
Timbul Syak Sembahyang Yang Ditinggalkan Itu Ketika Bâligh Atau Belum?
Kanak-kanak lelaki dan perempuan yang mumayyiz, berumur tujuh tahun qamariyyah, hendaklah diarahkan atau diperintahkan untuk melaksanakan sembahyang. Manakala pada umur sepuluh tahun qamariyyah, kanak-kanak ini dipukul, dengan pukulan yang tidak memudharatkan pada bahagian anggota yang tertentu, sekiranya meninggalkan sembahyang ataupun lalai daripada mengerjakannya. Manakala sembahyang yang ditinggalkan setelah mencapai bâligh, maka sembahyang yang luput itu wajib diqadha’.
Bagaimanapun sekiranya seseorang merasa syak apakah sembahyang yang luput atau ditinggalkan itu berlaku sebelum dia bâligh ataupun setelah bâligh, maka dalam keadaan ini tidak wajib ke atasnya mengqadha’ sembahyang tersebut. Sukat-sukat dalam perkara ini ialah apabila dia telah diwajibkan mendirikan sembahyang, lalu dia ragu adakah dia telah melaksanakannya ataupun tidak, maka wajib baginya mengqadha’nya kerana telah yakin (pasti) diwajibkan (dan tertanggung) ke atasnya.
Bagaimanapun sekiranya dia ragu apakah sembahyang telah diwajibkan ke atasnya ataupun belum, maka tidak wajib ke atasnya mengqadha’nya kerana pada asalnya dia tidak diwajibkan melaksanakannya (tidak ditanggungkan ke atasnya).
Pendapat ini bertepatan dengan jawapan sebahagian ulama kepada seseorang yang berkata: “Aku mempunyai sembahyang-sembahyang yang luput yang aku tidak ingat jumlahnya.” Lalu kami (ulama tadi) mengembalikanmu ke zaman bâlighmu. Maka apa (sembahyang) yang kamu pasti mengerjakannya dari waktu bâlighmu, maka (dihukumkan) engkau telah (pasti) mengerjakannya. Dan apa (sembahyang) yang engkau ragui mengerjakannya, maka wajib ke atasmu mengqadha’nya.
Sebagai kesimpulan, sembahyang merupakan kewajipan ke atas setiap individu Muslim, lelaki dan perempuan, dilaksanakan pada waktu-waktunya yang telah ditetapkan. Mencuaikan sembahyang sehingga sembahyang itu terkeluar dari waktunya adalah suatu dosa yang besar, sekalipun seseorang itu bersegera untuk mengqadha’nya. Selain itu, hendaklah dia bertaubat dan mengakui kesalahan tersebut dan berhenti daripada membuat kesalahan sedemikian.
Cara mengira jumlah qadha’ sembahyang yang tidak diketahui secara pasti jumlahnya, hendaklah terlebih dahulu diketahui secara pasti berapakah jumlah sembahyang yang telah dikerjakan. Dengan jumlah tersebut dapat pula diketahui berapa jumlah sembahyang yang tidak dikerjakan. Jumlah sembahyang yang tidak dikerjakan itu wajib diqadha’ dan dilebihkan lagi daripada jumlah tersebut. Manakala sembahyang yang diragui sama ada telah dikerjakan atau tidak, maka kedudukannya adalah wajib diqadha’.
Di sini ingin disarankan, sebagai sebahagian daripada usaha seseorang dalam mengqadha’ sembahyang yang luput, adalah elok dia menyediakan seumpama buku catatan untuk tujuan merekod. Tujuannya ialah agar dalam buku catatan tersebut bukan sahaja menyatakan jumlah yang wajib diqadha’, malahan perkara yang tidak kurang pentingnya ialah catatan atau rekod jumlah yang sudah diqadha’. Catatan jumlah yang sudah diqadha’ adalah perlu dibuat bertujuan supaya jangan sampai seseorang terlupa dan keliru mengenai jumlah yang sudah diqadha’ yang seterusnya boleh membawa semula kepada kesamaran dan keraguan. Mudah-mudahan dengan adanya buku catatan tersebut akan memberi manfaat berupa kepastian dan keyakinan dalam mengqadha’ baki jumlah sembahyang yang luput.
TAKUTLAH JANGAN SAMPAI PUASA SEKADAR LAPAR DAN DAHAGA
Ketika mengerjakan ibadat puasa, banyak perkara yang perlu dijaga bagi memastikan ibadat puasa kita menepati tuntutan syara‘ dan mengelakkannya daripada terkurang pahala ataupun terbatal.
Hakikat yang perlu kita fahami ialah ibadat puasa bukan sekadar mengawal kehendak perut dan syahwat semata-mata. Bahkan Allah Ta‘ala serta RasulNya juga memerintahkan kita supaya menjaga anggota-anggota kita yang lain daripada melakukan sesuatu yang madzmûmah (tercela) dan sia-sia. Inilah sebenarnya puasa yang sempurna dan yang dituntut daripada seorang Muslim.
Menjaga Daripada Perkara Madzmûmah Dan Sia-Sia
Puasa merupakan perisai seorang Muslim daripada azab api neraka. Ia juga benteng yang menghalang tuannya daripada melakukan perkara keji dan mungkar dengan menutup pintu-pintu syahwat yang merupakan jalan masuk syaitan menggoda manusia, sekaligus mendidiknya menjadi seorang Muslim yang sejati dan sempurna.
Bagi menghayati roh serta hikmah ibadat puasa, seorang Muslim itu selain dituntut supaya menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum, bersetubuh dan sebagainya, dia juga dituntut supaya menahan diri daripada melakukan perkara madzmûmah kerana perkara madzmûmah ini akan merosakkan dan mengurangkan pahala ibadat puasa serta menghilangkan hikmah pensyariatannya.
Begitu juga sunat hukumnya orang yang berpuasa menahan diri daripada segala bentuk tuntutan syahwat atau keinginan yang tidak sesuai dan tidak selari dengan roh dan hikmah ibadat puasa sungguhpun perbuatan itu pada asalnya diharuskan pada waktu-waktu lain. Sebagai contoh, berlazat-lazat dengan menghidu dan menikmati harum-haruman serta lain-lain perbuatan yang mendatangkan keasyikan pada anggota tubuh badan atau yang mendatangkan keasyikan pada deria-deria sentuhan, penglihatan, pendengaran dan hiduan. Perbuatan seumpama itu, sungguhpun ia diharuskan pada waktu-waktu yang lain, akan tetapi ia makruh dilakukan ketika berpuasa kerana ia tidak sesuai dan tidak selari dengan hikmah pensyariatan ibadat puasa. Ini kerana antara rahsia dan maksud utama pensyariatan ibadat puasa ialah supaya orang yang berpuasa itu mempertingkatkan ketaqwaan serta melatih diri untuk tidak tewas dengan kemahuan hawa nafsu dan naluri berlazat-lazat yang melekakan. Dengan mengetepikan segala tuntutan-tuntutan yang melalaikan seumpama ini, dia boleh menumpukan waktu serta perhatiannya untuk mengerjakan amal ibadat sebanyak dan sesempurna mungkin.
Bagaimana Menjaga Anggota-Anggota Tubuh Badan Ketika Berpuasa?
Bagi meraih kesempurnaan ibadat puasa, Imam al-Ghazali Rahimahullâh telah memberikan beberapa garis pandu etika mengawal anggota tubuh badan daripada melakukan perkara-perkara yang tertegah ketika berpuasa seperti berikut:
1. Mengawal pandangan mata daripada melihat perkara-perkara yang keji, mungkar dan dibenci oleh syara‘. Begitu juga memeliharanya daripada memandang sesuatu yang sia-sia, seperti rancangan-rancangan hiburan yang melalaikan dan penuh dengan unsur-unsur maksiat yang akan menggelapkan dan memalingkan hati daripada mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
2. Memelihara lidah daripada mengeluarkan kata-kata keji dan kotor seperti berdusta, mengumpat, mengadu domba, menghina dan merendah-rendahkan orang lain, bertengkar, berbalah-balah dan sebagainya. Bahkan adalah lebih baik seseorang yang berpuasa itu lidahnya juga turut berpuasa jika tidak ada sesuatu yang baik untuk diucapkannya; iaitu dengan diam atau memperbanyakkan berzikir, membaca al-Qur’an dan yang seumpamanya.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Puasa itu adalah perisai, maka janganlah dia (orang yang berpuasa itu) mengeluarkan kata-kata keji dan janganlah dia berbuat perlakuan (orang-orang) jahil. Dan sekiranya seseorang mengajaknya bertengkar atau memaki hamun dan mencelanya, maka hendaklah dia mengatakan: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”, (katakanlah) sebanyak dua kali.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut ulama, puasa itu adalah perisai kerana ia bertindak sebagai penangkis atau benteng yang akan menyelamatkan tuannya daripada api neraka, menghalangnya daripada berbuat dosa dan menahannya daripada tunduk terhadap tuntutan syahwat dan hawa nafsu. Sementara maksud perlakuan orang-orang jahil dalam hadits ini pula ialah melakukan perkara bodoh, tidak elok dan tertegah.
Hadits ini bukanlah bermaksud bahawa perkara-perkara tersebut hanya ditegah ketika berpuasa sahaja, bahkan perkara-perkara tersebut juga haram dan dilarang pada waktu-waktu yang lain. Walau bagaimana pun tegahan daripada melakukannya ketika mengerjakan ibadat puasa adalah lebih diberatkan lagi manakala meninggalkannya pula adalah lebih dianjurkan kerana ia adalah salah satu daripada adab-adab puasa.
Ini menunjukkan bahawa celaan melakukan perkara madzmûmah ketika mengerjakan ibadat puasa adalah lebih besar di samping ia turut mengakibatkan kurang ataupun hilangnya pahala puasa. Mereka yang meninggalkannya pula, selain mendapat pahala kerana menunaikan tuntutan wajib meninggalkan perkara madzmûmah itu secara mutlak, dia juga akan turut mendapat pahala sunat kerana menjaga adab puasa.
3. Menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang dibenci dan ditegah oleh syara‘ seperti mendengar umpatan, kata-kata dusta, lucah, bentuk-bentuk nyanyian yang diharamkan dan melalaikan atau yang seumpamanya.
4. Menahan anggota-anggota yang lain daripada membuat dosa, seperti mengawal tangan dan kaki daripada melakukan perkara yang ditegah, menahan perut daripada memakan makanan dan minuman syubhah apatah lagi yang haram ketika berbuka, sahur dan lainnya.
5. Tidak memperbanyakkan makan sehingga terlalu kenyang ketika berbuka. Ini kerana memperbanyakkan makan ketika berbuka dengan pelbagai hidangan atau juadah setelah sepanjang hari berpuasa dan berjuang sehingga berjaya menakluki dan menewaskan hawa nafsu, akan menghilangkan roh ibadat puasa dan menyebabkan dia gagal mengambil pengajaran dan hikmah daripada pelaksanaan ibadat puasa itu. Ini juga menyukarkannya untuk memperbanyakkan amal ibadat di malam hari akibat perasaan malas dan rasa mengantuk kerana terlalu kenyang.
Imam al-Ghazali Rahimahullâh seterusnya menambah bahawa selepas berbuka, hendaklah hatinya gementar dengan perasaan penuh gerun bimbang seandainya puasanya tidak diterima atau hanya sekadar beroleh lapar dan dahaga. Begitu juga dia sepatutnya dengan penuh rasa kehambaan hendaklah sentiasa berharap agar puasanya itu diterima di samping mendapat segala ganjaran, hikmah dan rahsianya. Perasaan seumpama ini tidak seharusnya ada khusus ketika mengerjakan puasa Ramadhan sahaja, bahkan hendaklah ia wujud setiap kali selesai mengerjakan semua amal ibadat.
Adakah Melakukan Perbuatan Madzmûmah Membatalkan Puasa?
Kegagalan untuk mengawal diri daripada melakukan perkara maksiat dan madzmûmah yang haram ketika mengerjakan puasa, seperti berdusta, mengumpat, memandang yang haram dan sebagainya, sungguhpun hukumnya haram, akan tetapi ia tidaklah membatalkan puasa. Bagaimanapun, dia mendapat kerugian yang sangat besar kerana pahala puasanya menjadi kurang atau langsung tidak diberikan ganjaran apa-apa. Inilah yang dinamakan puasa orang yang tidak beroleh apa-apa selain daripada rasa lapar dan dahaga semata-mata. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berapa ramai orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa bahagian daripada puasanya selain daripada lapar. (Hadits riwayat Ibnu Majah) Sesungguhnya Allah Ta‘ala memberi amaran bahawa Dia tidak berkehendak atas seseorang itu untuk meninggalkan makan minumnya dan tidak akan memberikan ganjaran atas puasanya sekiranya dia tidak meninggalkan perbuatan keji dan mungkar. Jadi untuk mencapai matlamat memperolehi kesempurnaan ibadat puasa serta menikmati hikmah dan rahsianya, segala perkara madzmûmah mestilah dihindari.
Menurut Imam as-Subki Rahimahullâh, sekiranya orang itu melakukan perkara madzmûmah yang haram ketika berpuasa seperti mengumpat, lalu dia bertaubat selepas itu, taubatnya itu hanya dapat mengangkat dosa umpatan yang dilakukannya. Bagaimanapun, pahala puasa yang hilang atau terkurang kerananya tidak akan dapat diperolehi kembali.
Sesungguhnya tidak dinafikan bahawa untuk melaksanakan tuntutan mengawal diri daripada melakukan perkara madzmûmah mahupun sia-sia semasa mengerjakan ibadat puasa itu memerlukan usaha, kesungguhan dan nilai kesabaran yang tinggi apatah lagi sekiranya perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan baginya sebelum ini. Akan tetapi dengan berkat kesabaran, keikhlasan serta kesungguhan dalam melakukan ibadat puasa, dengan izin Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dia akan berjaya dan mampu melaksanakan tuntutan tersebut kerana inginkan ganjaran yang lebih dan berlipat ganda serta mengharap keredhaan Allah semata-mata.
JAGALAH TUNTUTAN AGAMA KETIKA BERSUNGKAI (BERBUKA PUASA)
Waktu bersungkai (berbuka puasa) merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh orang yang sedang berpuasa setelah hampir sehari menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Tercapai kepuasan dalam diri kerana dapat melaksanakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan tekun di samping sudah tiba waktu untuk membasahkan tekak dan mengisi perut yang kosong dengan makanan yang terhidang.
Biasanya apabila bersungkai di rumah, juadah yang dihidang dimasak sendiri atau dibeli dari kedai. Namun terdapat pula sesetengah orang yang bersungkai di luar umpamanya bersungkai di kedai-kedai makan atau restoran-restoran mewah. Trend ini dilihat semakin meluas apalagi dengan adanya promosi-promosi sungkai (berbuka puasa) dan dengan harga yang dikatakan berpatutan diiklankan oleh para peniaga restoran.
Dengan adanya promosi-promosi buffet di bulan Ramadhan membuka peluang kepada para peniaga restoran untuk meraih keuntungan. Ini juga memberi ruang waktu bagi orang Islam untuk beribadat di siang dan malam hari tanpa perlu bersusah payah menyediakan persungkaian atau menu berbuka puasa.
Antara tuntutan-tuntutan yang perlu dijaga ketika bersungkai sama ada di rumah mahupun di luar ialah:
1. Wajib mendirikan sembahyang fardhu pada waktunya.
Sembahyang fardhu lima waktu wajib dikerjakan pada waktunya secara tunai. Meninggalkannya dengan sengaja seperti malas atau melalai-lalaikannya sehingga luput waktunya hukumnya berdosa tanpa diragukan lagi.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menjelaskan tentang balasan neraka bagi orang-orang yang sengaja tidak mengerjakan sembahyang, antaranya sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, golongan ahli syurga berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang”. (Surah al-Muddatstsir: 42-43)
Oleh yang demikian, berhati-hatilah ketika menjamu selera berbuka puasa, jangan sampai waktu sembahyang fardhu Maghrib terlepas sehinggakan masuk waktu sembahyang fardhu ‘Isya’. Maka untuk mengelak tertinggal waktu sembahyang, adalah lebih baik mendahulukan berbuka puasa dengan kurma, air atau yang seumpamanya dan kemudian melaksanakan sembahyang fardhu Maghrib dan melaksanakan amalan-amalan sunat yang lain dan selepas itu bolehlah meneruskan menjamu selera semula.
2. Laksanakan perkara-perkara sunat dengan istiqâmah, antaranya:
a. Menyegerakan berbuka puasa.
Menyegerakan berbuka puasa merupakan salah satu perkara yang disunatkan bagi orang-orang yang berpuasa. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa‘ad Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sentiasalah seseorang itu berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Adapun ‘berada dalam kebaikan’ kerana menyegerakan berbuka adalah mencontohi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang mengakhirkan sahur dan menyegerakan berbuka. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berbuka puasa dengan kurma basah sebelum Baginda bersembahyang. Jika tidak ada kurma basah, Baginda berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada kurma kering, Baginda meneguk beberapa teguk air. (Hadits riwayat Abu Daud)
Perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang mendahulukan berbuka kemudian menunaikan
sembahyang menunjukkan bahawa menyegerakan berbuka adalah diutamakan.
Adapun hikmah menyegerakan berbuka puasa itu adalah:
i. Tidak melanjutkan atau memanjangkan tempoh waktu puasa siang hari ke waktu malam.
ii. Sebagai belas kasihan kepada orang-orang yang berpuasa dan sebagai menambah kekuatannya untuk beribadat.
b. Melaksanakan sembahyang pada awal waktu.
Antara ciri-ciri orang yang memelihara sembahyang itu ialah mereka menyegerakan menunaikan sembahyang di awal waktu. Sembahyang pada awal waktunya adalah satu anjuran daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan tujuan untuk memperolehi fadhilatnya di samping mengelak daripada terlalai sehingga berlalunya waktu sembahyang.
Dalam sebuah hadits daripada Ummu Farwah Radhiallâhu ‘anhâ beliau meriwayatkan:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah ditanyakan: “Apakah perbuatan-perbuatan yang lebih utama?” Baginda bersabda: “Sembahyang pada awal waktunya.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Walau bagaimanapun jika seseorang itu mengakhirkan sembahyang kerana sesuatu sebab, maka hendaklah dia sentiasa berniat serta berazam akan menunaikannya dalam waktunya.
c. Melaksanakan sunat Tarawih.
Sembahyang Tarawih ialah sembahyang sunat yang sangat dituntut (mu’akkad) melakukannya bagi oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan sama ada dilakukan secara berseorangan atau secara berjemaah. Namun sembahyang secara berjemaah adalah lebih afdhal.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mendirikan (sembahyang malam) di bulan Ramadhan dengan keimanan mengharapkan keredhaanNya, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. (Hadits riwayat al-Bukhari) ‘Dosa-dosa lalu’ di dalam hadits di atas bermaksud dosa-dosa kecil.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan bahawa mendirikan sembahyang di bulan Ramadhan itu ialah melakukan sembahyang Tarawih.
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh berkata: “Mereka bersepakat bahawa yang dimaksudkan dalam hadits di atas adalah sembahyang Tarawih.
Jumlah rakaat sembahyang Tarawih pula adalah 20 rakaat sebagaimana yang disepakati oleh para ulama mazhab asy-Syafi‘e dan para ulama mazhab Ahli Sunnah wal Jama‘ah yang lain iaitu mazhab Hanafi, merupakan pendapat yang masyhûr dalam mazhab Maliki dan Hanbali.
3. Menjauhi perkara-perkara makruh.
a. Makan banyak sehingga kenyang.
Pada kebiasaannya apabila sudah terlalu lapar, antaranya orang yang berpuasa, selera untuk makan akan meningkat menyebabkan sesetengah orang menjamu selera sehingga perut menjadi terlalu kenyang. Apabila terlalu kenyang pula menyebabkan seseorang itu boleh menjadi malas untuk melakukan sebarang pekerjaan termasuklah ibadat sembahyang. Bahkan makan yang terlalu banyak boleh memberi kesan sampingan kepada kesihatan.
Imam al-Ghazali Rahimahullâh mengingatkan umat Islam tentang beberapa etika sebelum, ketika dan sesudah makan, antaranya hendaklah:
i. Diniatkan dengan perbuatan makan itu akan memberikan tenaga untuk lebih kuat mentaati Allah.
ii. Redha dan bersyukur dengan rezeki atau makanan yang terhidang walaupun seadanya.
iii. Berhenti makan sebelum terlalu kenyang.
b. Pembaziran dalam penyediaan makanan.
Hendaklah penyediaan makanan dan minuman itu dalam kadar yang sederhana tanpa pembaziran, lebih-lebih lagi jangan sampai berlaku pembuangan. Jika terdapat pembaziran sehingga berlaku pembuangan, perbuatan seperti ini sangat dilarang kerana orang-orang yang membazir adalah tergolong dalam kalangan kawan-kawan syaitan sebagaimana yang disebut dalam al- Qur’an.
Perlu diingat, walaupun berbelanja adalah hak mutlak setiap orang yang merasakan dirinya berkemampuan, namun Islam menggalakkan untuk berbelanja sekadar untuk keperluan sahaja dan melihat berbelanja berlebihan itu sebagai satu pembaziran yang perlu dielakkan.
Dalam konteks berbuka puasa di restoran-restoran mewah, tidak syak, ia boleh berlaku pembaziran. Pembaziran kerana makan di restoran-restoran mewah itu dibayar dengan harga yang mahal. Adalah lebih baik jika wang untuk perbelanjaan berbuka puasa yang berlebihan itu disedekahkan kepada orang-orang yang tidak berkemampuan agar mereka dapat menikmati berbuka puasa dengan selayaknya.
RAWATAN DAN PEMERIKSAAN GIGI: Adakah Membatalkan Puasa?
Mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan gigi atau rawatan kerana kesakitan yang disebabkan gigi rosak atau berlubang tidak terkecuali turut berlaku semasa seseorang sedang menjalani ibadat puasa.
Rawatan tersebut setentunya akan melibatkan mulut dan kawasan sekitarnya seperti rongga mulut dan kerongkong. Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada ia menjejaskan atau membatalkan puasa seseorang memandangkan salah satu daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga melalui lubang yang terbuka dengan sengaja.
Rongga Mulut
Rongga mulut itu terbahagi kepada had zahir dan had batin. Had zahir mulut itu ialah dari tempat keluar (makhraj) sebutan huruf ‘ح’ (ha’ muhmalah) hingga ke atas mulut termasuk makhraj huruf ‘خ’ (ha’ mu‘jamah). Manakala had batin mulut itu ialah dari tempat keluar (makhraj) sebutan huruf ‘ء’ (hamzah) atau ‘ه’ (ha’ marbûthah) hingga ke bawah (kerongkong).
Perkara yang dikatakan membatalkan puasa itu ialah apabila sampai sesuatu yang dimasukkan ke dalam mulut sehingga ke had batin iaitu tempat keluar (makhraj) sebutan huruf ‘ء’ dan ‘ه’.
Rawatan Dan Pemeriksaan Pergigian Semasa Berpuasa
Hukum sah atau tidak sahnya puasa orang yang menjalani rawatan pergigian itu dilihat kepada beberapa keadaan seperti berikut:
1. Jika rawatan dan pemeriksaan gigi itu hanya melibatkan had zahir atau tidak sampai kepada had batin seperti yang telah dijelaskan, maka puasa seseorang itu adalah sah dan tidak batal.
Sebagai contoh, darah atau air yang dimasukkan ke dalam had zahir mulut itu dikeluarkan atau disedut dengan sesuatu seperti suction (penyedut cecair iaitu alat untuk memindahkan cecair melalui satu tiub untuk dibuang).
2. Jika rawatan dan pemeriksaan gigi itu melibatkan sampai kepada had batin, maka puasa seseorang itu menjadi batal.
Sebagai contoh, darah atau air yang dimasukkan ke dalam mulut itu ditelan (dengan sengaja) sehingga masuk ke had batin mulut adalah membatalkan puasa.
3. Rawatan dan pemeriksaan gigi yang memerlukan suntikan pada gusi tidak membatalkan puasa kerana suntikan itu tidak melalui dan tidak sampai kepada rongga yang terbuka walaupun terasa kesan suntikan itu pada kerongkong disebabkan ia menyerap masuk melalui liang pori atau isi gusi.
4. Menelan air liur yang bersih dan tidak bercampur dengan najis atau benda asing tidak membatalkan puasa. Tetapi jika air liur itu bercampur dengan najis seperti darah atau benda asing yang suci, maka puasa menjadi batal.
Sebagai contoh, menelan air liur yang bercampur dengan darah daripada gusi dan mulut yang belum lagi dibersihkan tetap membatalkan puasa sekalipun air liur itu kembali memutih atau bersih seperti sebelumnya. Begitu juga batal puasa jika menelan air liur yang berubah sifatnya disebabkan benda asing yang suci. Umpamanya, menelan air liur yang bercampur dengan logam yang digunakan untuk menampal gigi sekiranya logam tersebut menyebabkan air liur tersebut berubah sifat seperti berubah warna.
5. Jika seseorang berkumur-kumur kerana ada tujuan yang dibenarkan oleh syara‘, umpamanya berkumur-kumur kerana hendak menghilangkan najis seperti darah yang ada di dalam mulut kesan daripada rawatan yang dijalani dan secara tidak sengaja air sampai ke dalam rongga had batin mulut, maka perkara itu tidaklah membatalkan puasanya.
6. Tidak batal puasa sekiranya semasa rawatan, terdapat kesan darah atau lebihan logam yang digunakan untuk menampal gigi bercampur bersama air liur lalu masuk ke batin mulut tanpa disengajakan dan sukar untuk diasingkan serta diludahkan kerana ia bukan dikira sebagai kecuaian.
Jika seseorang itu menelannya dengan sengaja sedang dia mampu untuk memisahkannya daripada air liur maka puasanya menjadi batal.
Jelasnya, rawatan atau pemeriksaan gigi seperti mencabut, menampal dan membersih gigi apabila dilakukan dengan mengikut dan mengambil kira syarat dan ketentuan sebagaimana yang dinyatakan di atas tidak membatalkan puasa kerana ia hanya melibatkan bahagian zahir rongga mulut sahaja.
Resolusi Majlis Majma‘ Fiqh Islam yang dikeluarkan dalam persidangannya yang ke-10 di Jeddah mengenai “perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam bidang perubatan” menyebutkan bahawa tidak dianggap dalam perkara membatalkan puasa; mengorek, mencabut, membersihkan, memberus gigi atau bersiwak jika dapat dihindari daripada tertelan apa yang mengalir ke dalam kerongkong.
Dari sudut yang lain pula, sekiranya rawatan dan pemeriksaan pergigian itu menurut doktor boleh memudharatkan orang yang berpuasa, maka dia dikategorikan sebagai orang yang sakit dan harus berbuka puasa, akan tetapi wajib dia mengqadha’ puasanya pada hari lain. Jika orang yang berpuasa itu dapat menahan kesakitannya atau kesakitan yang ringan dan tidak membawa kepada kesusahan, maka dalam hal ini tidak harus baginya berbuka puasa.
Sebagai langkah berjaga-jaga adalah disarankan supaya benda-benda yang terkumpul ketika menjalani pemeriksaan dan rawatan pergigian seperti air liur, kahak atau darah hendaklah sentiasa dibuang atau disedut dengan alat perubatan yang disediakan seperti suction.
Menjaga rongga-rongga anggota badan yang dikategorikan sebagai rongga terbuka daripada dimasuki oleh benda-benda yang membatalkan puasa adalah wajib. Oleh kerana itu, mendedahkan rongga-rongga tersebut kepada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa adalah makruh dan perlu dielakkan.
BOLEHKAH TIDAK BERPUASA DEMI KESELAMATAN ORANG LAIN?
Puasa Ramadhan merupakan salah satu kewajipan yang dituntut untuk dikerjakan ke atas setiap Muslim yang mukallaf. Tidak menunaikan puasa yang difardhukan adalah berdosa, termasuk orang yang membatalkan puasanya tanpa sebarang keuzuran syara‘ atau dengan erti kata lain, membatalkannya dengan sengaja. Bagaimana pula hukum seseorang yang tidak berpuasa disebabkan untuk menjaga keselamatan orang lain atau untuk menjaga harta?
Tidak Berpuasa Disebabkan Keselamatan Orang Lain
Dalam keadaan tertentu, terdapat beberapa pengecualian di dalam hukum syara‘ yang mengharuskan, malahan juga mewajibkan seseorang untuk tidak berpuasa atau berbuka puasa kerana menjaga keselamatan orang lain atau menjaga harta. Antaranya sepertimana berikut:
1. Diharuskan untuk tidak berpuasa atau berbuka puasa bagi perempuan hamil sekiranya dia merasa takut berlaku sesuatu atas dirinya sendiri atau atas kandungannya.
Bagaimanapun, sekiranya perempuan hamil itu merasa takut akan berlaku mudharat ke atas janin atau kandungannya, umpamanya jika dia berpuasa dan dia takut akan mengalami keguguran, maka dalam keadaan ini diwajibkan ke atasnya untuk berbuka puasa atau tidak berpuasa. 2. Diharuskan untuk berbuka puasa atau tidak berpuasa bagi perempuan yang menyusukan anak sekiranya dia merasa takut berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini atas dirinya sendiri atau atas diri anak yang disusukan.
Bagi perempuan yang menyusukan anak, diharuskan baginya untuk berbuka puasa atau tidak berpuasa apabila dia merasa takut akan keselamatan diri anak yang disusukannya itu, tidak kira sama ada anak yang disusukan itu adalah anaknya sendiri ataupun bukan, sama ada dia dibayar upah untuk menyusukan anak ataupun tanpa bayaran (tanpa upah), sekalipun perempuan yang menyusukan tanpa bayaran itu tidak ditentukan untuk menyusukan anak tersebut, misalnya masih terdapat beberapa orang perempuan lain yang boleh menyusukan anak tersebut.
Bagaimanapun, sekiranya perempuan yang menyusukan anak itu merasa takut akan berlaku kemusnahan atau kebinasaan ke atas diri anak tersebut, umpamanya sekiranya dia berpuasa anak tersebut pasti kehausan kerana air susu akan kering, maka dalam keadaan ini diwajibkan ke atasnya untuk berbuka puasa.
3. Diwajibkan untuk berbuka puasa bagi sesiapa yang menyelamatkan nyawa manusia yang dilindungi nyawanya atau untuk menyelamatkan haiwan yang patut diselamatkan (muhtaram) daripada terkorban atau binasa seperti lemas, kehilangan anggota tubuh badan atau kehilangan manfaatnya dan selainnya, sekiranya dia tidak mampu melepaskannya atau menyelamatkannya kecuali dengan dia berbuka puasa. Khusus bagi mereka yang berada dalam situasi seumpama ini, hukum yang berjalan ke atasnya adalah serupa dengan perempuan hamil dan yang menyusukan dalam perkara keharusan berbuka, iaitu wajib dia mengqadha’ puasanya itu dan membayar fidyah.
4. Adalah harus berbuka puasa kerana menyelamatkan harta, seperti menyelamatkan hasil tuaian atau seumpamanya daripada hilang, rosak atau kerugian. Harus baginya berbuka puasa sekiranya dengan berpuasa atau meneruskan berpuasa, dia akan lemah untuk menuai tanamannya pada siang hari, dan dengan syarat berbuka puasa itu hanya sebagai jalan terakhir yang boleh menyelamatkan harta tersebut. Dalam masa yang sama, disyaratkan juga bahawa menuai tanaman tersebut pada waktu malam akan membebankannya.
Kewajipan Mengqadha’ Puasa Dan Fidyah Puasa
Oleh kerana perempuan hamil dan yang menyusukan anak diberikan rukhshah (keringanan) untuk berbuka puasa atau tidak berpuasa, khususnya ketika dia menghadapi beberapa masalah semasa berpuasa, sama ada masalah itu ditakuti menjejaskan keselamatan ibu sahaja atau janin dalam kandungan sahaja atau anak sahaja, ataupun kedua-duanya sekali, maka persoalan lain yang timbul ialah adakah wajib ke atasnya untuk mengqadha’ puasa tersebut?
Menurut ulama, kewajipan mengqadha’ puasa itu tetap tertanggung ke atas perempuan hamil dan menyusukan anak yang berbuka puasa, iaitu diwajibkan ke atas mereka untuk mengqadha’ puasa yang ditinggalkan. Akan tetapi berkenaan kewajipan membayar fidyah, penjelasan mengenainya seperti berikut:
1. Jika dia berbuka atau tidak berpuasa kerana takut berlaku kemudharatan ke atas dirinya sahaja, maka diwajibkan ke atasnya mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya dan tidak dikenakan fidyah.
2. Jika dia berbuka atau tidak berpuasa kerana takut berlaku kemudharatan ke atas dirinya dan juga anak tersebut, maka diwajibkan ke atasnya mengqadha’ puasanya dan tidak dikenakan fidyah.
Termasuk juga dalam hal ini mereka yang berbuka puasa kerana menyelamatkan harta, dia diwajibkan untuk mengqadha’ hari yang dia berbuka dan tidak dikenakan fidyah.
3. Jika dia berbuka atau tidak berpuasa kerana takut berlaku kemudharatan hanya ke atas anak tersebut sahaja, maka diwajibkan ke atasnya kedua-duanya sekali, iaitu qadha’ dan juga fidyah.
Bagi perempuan yang menyusukan anak, sekiranya dia berbuka puasa disebabkan oleh beberapa orang anak yang disusukannya, maka dia dikenakan satu fidyah untuk satu hari yang dia berbuka sahaja dan fidyah itu pula tidak berganda.
Bagi perempuan yang menyusukan anak dengan mengambil upah dan yang menyusukan tanpa upah, fidyah yang dikeluarkan adalah daripada hartanya sendiri.
Dalam situasi ini, menurut pendapat al-ashah (pendapat yang lebih shahîh), sesiapa yang berbuka kerana menyelamatkan nyawa manusia yang dilindungi nyawanya (ma‘shûm), maka dari segi mengqadha’ puasa dan juga membayar fidyah, dia adalah serupa dengan perempuan yang menyusukan anak.
Sekiranya dia berbuka puasa atau tidak berpuasa kerana takut berlaku kemudharatan ke atas dirinya sahaja, maka diwajibkan ke atasnya mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya dan tidak dikenakan fidyah. Sekiranya dia berbuka puasa atau tidak berpuasa kerana takut berlaku kemudharatan ke atas dirinya dan juga orang yang diselamatkannya itu, maka diwajibkan ke atasnya mengqadha’ puasa tersebut. Sekiranya dia berbuka atau tidak berpuasa kerana takut berlaku kemudharatan hanya ke atas orang yang diselamatkannya itu sahaja, maka diwajibkan ke atasnya kedua-duanya sekali, iaitu qadha’ dan juga fidyah.
Dalam keadaan tertentu, dia juga dikenakan fidyah, disebabkan dia berbuka puasa bukan kerana takut berlaku kemudharatan ke atas dirinya, akan tetapi kerana perkara lain selain dirinya, iaitu kerana menjaga keselamatan orang lain.
Sebagai kesimpulan, terdapat keadaan-keadaan yang mengharuskan seseorang untuk tidak berpuasa atau berbuka puasa disebabkan sesuatu perkara atau disebabkan untuk menjaga keselamatan orang lain. Malahan dalam keadaan tertentu, seseorang diwajibkan untuk berbuka puasa, seperti perempuan hamil dan menyusukan anak sekiranya mereka takut berlaku kemudharatan terhadap anak tersebut atau seperti berbuka puasa agar tidak kehilangan upaya dan tenaga demi menyelamatkan orang yang lemas. Akan tetapi mereka yang diharuskan ataupun diwajibkan untuk berbuka puasa adalah diwajibkan pula untuk mengqadha’nya dan menurut keadaan tertentu juga diwajibkan untuk membayar fidyah.
SEGERALAH MENGQADHA’ PUASA RAMADHAN YANG TERLUPUT
Berlalu bulan Ramadhan bukan bermakna patahnya harapan dan semangat bagi para pencari redha Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Segala amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan boleh sahaja dilanjutkan hingga pada bulan-bulan selepasnya. Amalan membaca al-Qur’an, bersedekah, membantu keperluan anak yatim dan sebagainya janganlah terhenti dengan berakhirnya bulan Ramadhan. Ganjaran pahalanya tetap ada, walau gandaan pahala atau ganjarannya tidaklah menyamai seperti di bulan Ramadhan.
Namun antara semua perkara yang tidak boleh diabaikan apabila berlalunya bulan Ramadhan adalah untuk melunaskan sejumlah puasa Ramadhan yang terluput jangan sampai datang pula bulan Ramadhan tahun yang seterusnya sehingga menyebabkan seseorang itu terpaksa mengeluarkan fidyah kerana kelalaiannya dalam mengqadha’ puasa Ramadhan yang ditinggalkannya.
Mengqadha’ Puasa Ramadhan Satu Kewajipan
Puasa Ramadhan yang ditinggalkan adalah wajib diqadha’ sebanyak hari yang ditinggalkan tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran syara‘.
Puasa yang ditinggalkan disebabkan keuzuran syara‘ seperti perempuan yang didatangi haidh atau disebabkan sakit tidaklah wajib diqadha’ dengan segera. Walau bagaimanapun sunat baginya mengqadha’ dengan segera kerana perkara ini lebih baik sebagai tujuan berjaga-jaga dan berhati-hati.
Perlulah diingat adalah berdosa hukumnya bagi orang yang melengah-lengahkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga masuk ke bulan Ramadhan yang baru tanpa keuzuran yang menyebabkan dia tidak dapat mengqadha’nya seperti sakit yang berpanjangan. Selain itu adalah harus baginya melakukan qadha’ puasa itu dengan berselang-seli harinya. Namun begitu sunat baginya mengqadha’ hari puasa yang ditinggalkannya secara berturut-turut.
Manakala bagi orang yang berbuka puasa dengan sengaja tanpa keuzuran syara‘ adalah diwajibkan mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya itu dengan segera kerana sesiapa yang berbuka puasa dengan sengaja adalah fâsiq dan wajib ke atasnya bertaubat dengan segera untuk melepaskan dirinya daripada kefâsiqan itu. Tidaklah sah taubatnya itu melainkan jika dia mengqadha’ kesemua puasa yang ditinggalkannya dengan sengaja itu. Jika dia melengah-lengahkan qadha’ puasa itu tanpa keuzuran, nescaya dia berterusan dalam kefâsiqan. Berterusan dalam kefâsiqan itu merupakan suatu dosa.
Hari-Hari Yang Dibolehkan Mengqadha’ Puasa Ramadhan
Puasa qadha’ bulan Ramadhan harus dikerjakan pada bila-bila masa sahaja dan tiada hari yang menjadikannya makruh untuk dikerjakan. Waktu yang ditegah untuk mengerjakan puasa qadha’ hanyalah pada hari-hari yang diharamkan berpuasa. Hari-hari yang disebutkan makruh berpuasa di dalam kitab-kitab fiqh hanyalah untuk puasa sunat sahaja seperti melakukan puasa sunat pada hari Sabtu semata-mata atau pada hari Ahad semata-mata.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh adalah harus mengqadha’ puasa Ramadhan pada sepanjang tahun kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu pada bulan Ramadhan, pada dua Hari Raya iaitu hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha dan pada hari-hari tasyrîq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Adapun bagi sebilangan orang yang keliru mengenai mengqadha’ puasa pada hari Syak; tidaklah ada halangan melakukan puasa qadha’ pada hari tersebut, begitu juga dengan puasa wajib yang lain seperti puasa kaffârah dan puasa nazar.
Bolehkah Melakukan Puasa Sunat Jika Puasa Qadha’ Belum Dilunaskan?
Menurut para ulama Syafi‘iyyah, tidak harus bahkan haram bagi orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran syar‘i mengerjakan puasa-puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha’ puasa yang tertinggal itu.
Puasa-puasa sunat hanya boleh dilakukan oleh orang yang mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh dan juga dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti perempuan haidh dan nifâs, musafir yang diharuskan berbuka atau orang sakit.
Bolehkah Puasa Qadha’ Disatukan Dengan Puasa Sunat?
Bagi orang yang tidak berpuasa disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ sebagaimana di atas, maka diberikan peluang bagi mereka untuk mengqadha’ puasa seterusnya mendapatkan pahala sunat dengan melakukan kedua-dua puasa (puasa qadha’ dan puasa sunat) sekaligus seperti melakukan puasa qadha’ di samping puasa sunat enam di bulan Syawal.
Cara melakukan kedua-dua puasa itu sekaligus ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qadha’ dan puasa sunat berkenaan dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali iaitu ganjaran puasa qadha’ dan ganjaran puasa sunat.
Ibnu Hajar al-Haitami Radhiallâhu ‘anhu dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib dengan katanya:
Ertinya: Jika diniatkan kedua-duanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau dia berniat salah satunya maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.
Oleh yang demikian orang yang berniat puasa wajib hendaklah dia berniat juga puasa sunat jika dia ingin mendapat ganjaran pahala kedua-duanya. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat ganjaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.
Sebagai kesimpulan, segeralah lunaskan puasa Ramadhan yang terluput sama ada ditinggalkan secara sengaja atau kerana keuzuran syar‘i kerana menyegerakan mengqadha’ puasa akan mengelakkan kita daripada melalaikan qadha’ puasa. Jangan sampai terjadi kita tidak sempat mengqadha’nya. Akibatnya, bukan sahaja kerugian harta kerana mengeluarkan fidyah, bahkan dosa juga ditimpakan kerana mengabaikan suruhan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
MENGAGIHKAN ZAKAT KEPADA KELUARGA SENDIRI
Zakat harta wajib dikeluarkan apabila mencukupi syarat-syarat wajib zakat. Ia wajib dilaksanakan dengan segera apabila harta tersebut sudah sedia untuk diagihkan iaitu ada harta yang dikeluarkan dan ada ashnâf yang berhak menerima bahagian zakat. Jika ia dilambat-lambatkan untuk dikeluarkan hukumnya adalah berdosa, melainkan jika kelambatan itu kerana menanti orang yang lebih afdhal menerima agihan zakat tersebut.
Orang yang mengeluarkan zakat harta hendaklah menyerahkan zakatnya itu sendiri kepada orang yang berhak menerima zakat. Harus juga baginya berwakil kepada seseorang untuk menyerahkan zakatnya itu. Walau bagaimanapun, adalah lebih afdhal baginya menyerahkan zakatnya itu kepada pemerintah umpamanya institusi zakat atau Baitul-Mal yang mengendalikan zakat untuk diagih-agihkan kepada orang yang berhak menerima zakat berbanding dia menyerahkannya sendiri atau berwakil kepada seseorang. Ini kerana pemerintah itu lebih tahu siapa yang berhak menerima zakat dan boleh menyerahkannya secara menyeluruh serta zakat itu selamat diagih-agihkan dengan penuh yakin.
Dalam perkara mengagih-agihkan zakat ini, bolehkah jika orang yang mengeluarkan zakat itu mengagih-agihkan zakatnya sendiri kepada ahli keluarganya yang berstatus fakir dan miskin seperti isteri, suami, anak, ibu bapa, adik-beradik dan sebagainya?
Sehubungan dengan persoalan ini, perlu diketahui bahawa antara syarat-syarat penerima agihan zakat daripada ashnâf fakir dan miskin itu ialah dia bukan terdiri daripada orang yang diberi nafkah wajib, sama ada atas nama kerabat ataupun suami. Ini bererti orang yang mengeluarkan zakat itu tidak harus mengagihkan zakatnya kepada orang yang wajib dinafkahinya walaupun berstatus fakir dan miskin. Ini kerana mereka itu telah pun mendapat nafkah yang diberi oleh kerabat tersebut.
Siapakah Yang Dimaksudkan Dengan Orang Yang Diberi Nafkah Wajib Oleh Kerabat Atau Suami Itu?
Orang yang diberi nafkah wajib oleh kerabat itu ialah seperti berikut:
1. Ibu bapa hingga ke atas.
Ibu bapa yang berstatus fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada zakat anaknya sendiri. Demikian juga nenek yang berstatus fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat daripada cucunya sendiri. Ini kerana ibu bapa dan nenek tersebut mendapat nafkah wajib daripada anak dan cucu mereka.
2. Anak hingga ke bawah.
Anak yang berstatus fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada zakat bapanya sendiri. Demikian juga cucu yang berstatus fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat tersebut daripada neneknya sendiri. Ini kerana anak dan cucu tersebut mendapat nafkah wajib daripada bapa dan nenek mereka.
3. Isteri.
Isteri yang berstatus fakir dan miskin tidak harus menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada zakat suaminya sendiri. Ini kerana isteri tersebut mendapat nafkah wajib daripada suaminya.
Menerima Agihan Zakat Fakir Dan Miskin Daripada Kerabat Yang Tidak Wajib Memberi Nafkah
Adapun orang yang menerima nafkah daripada kerabat yang tidak wajib memberinya nafkah adalah harus dia menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada kerabatnya yang tidak wajib memberinya nafkah itu seperti adik-beradik dan bapa saudara.
Adik perempuan yang berstatus fakir dan miskin yang menerima nafkah daripada abangnya adalah harus dia menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada zakat abangnya sendiri. Demikian juga anak saudara yang berstatus fakir dan miskin yang menerima nafkah daripada bapa saudaranya adalah harus dia menerima agihan zakat fakir dan miskin daripada zakat bapa saudaranya sendiri. Ini kerana nafkah yang diberi oleh abang dan bapa saudaranya itu adalah berupa nafkah yang tidak wajib, dalam makna yang lain abang dan bapa saudara tidak wajib memberi mereka nafkah.
Isteri Mengagihkan Zakatnya Kepada Suami Yang Berstatus Fakir Dan Miskin
Sunat bagi isteri mengagihkan zakatnya sendiri kepada suaminya yang berstatus fakir dan miskin. Hal ini disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Zainab, isteri kepada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersedekahlah kamu wahai kaum wanita walaupun daripada perhiasan kamu”. Zainab berkata: “Aku kembali kepada ‘Abdullah (suami Zainab), lalu aku berkata: “Engkau adalah seorang lelaki yang tidak mempunyai banyak harta, sedangkan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan kami supaya bersedekah. Oleh itu pergilah engkau menghadap Baginda dan tanyakanlah (kepada Baginda) adakah memadai aku bersedekah kepadamu. Sekiranya tidak, aku akan memberikannya pula kepada orang lain”. Zainab berkata: “‘Abdullah berkata kepadaku: “Engkau sahajalah yang pergi menghadap Baginda!” Zainab berkata: “Lalu aku pun pergi. Ternyata di hadapan pintu rumah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sudah ada seorang wanita daripada golongan Anshar yang sama tujuannya denganku”. Zainab berkata: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dianugerahkan kemuliaan (kami segan untuk menghadap Baginda)”. Zainab berkata: “Lalu Bilal keluar menemui kami. Kami pun berkata kepadanya: “Menghadaplah kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan sampaikan kepada Baginda bahawa ada dua orang wanita di hadapan pintu yang ingin bertanya, adakah memadai sedekah mereka berdua diberikan kepada suami mereka berdua dan kepada anak-anak yatim yang berada dalam tanggungan mereka berdua? Dan janganlah beritahu siapa kami”. Zainab berkata: “Bilal masuk menghadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanyakan hal itu. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya kepada Bilal: “Siapakah mereka berdua itu?” Bilal menjawab: “Seorang wanita daripada golongan Anshar dan Zainab”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya: “Zainab yang mana satu?” Bilal menjawab: “Isteri ‘Abdullah”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya (Bilal): “Mereka berdua mendapat dua ganjaran iaitu ganjaran kerana kaum kerabat dan ganjaran kerana sedekah (zakat).” (Hadits riwayat Muslim)
Hadits ini menunjukkan bahawa isteri boleh mengagihkan zakatnya sendiri kepada suaminya, jika suami berkenaan adalah daripada ashnâf zakat. Malahan isteri tersebut mendapat dua ganjaran pahala iaitu ganjaran kerana membantu kerabat dan ganjaran kerana mengeluarkan zakat.
Mengagihkan Zakat Selain Ashnâf Zakat Fakir Dan Miskin Kepada Kerabat Yang Wajib Diberi Nafkah Dan Isteri
Selain bahagian zakat fakir dan miskin, adalah harus zakat itu diagihkan kepada kerabat yang berstatus ‘âmil, orang yang berhutang (ghârimîn), pejuang pada jalan Allah, mu’allaf dan ibnus- sabîl sekalipun mereka adalah daripada kerabat yang wajib ditanggung nafkahnya.
Kerabat yang berstatus mu’allaf harus menerima agihan zakat tersebut daripada kerabat yang wajib menafkahinya. Akan tetapi jika kerabat yang mu’allaf itu berstatus fakir, maka tidak harus baginya menerima agihan zakat mu’allaf daripada kerabat yang wajib memberinya nafkah.
Sementara kerabat yang berstatus ibnus-sabîl harus menerima agihan zakat ashnâf ibnus-sabîl itu daripada kerabat yang wajib memberinya nafkah setakat kadar yang perlu untuk menampung kos pelayaran sahaja. Mereka tidak berhak menerima bahagian zakat ibnus-sabîl sepenuhnya bagi menampung keperluan-keperluan yang lain seperti makan, minum dan seumpamanya kerana perkara tersebut sudah termasuk dalam nafkah yang wajib ditanggung oleh pengeluar zakat.
Selain itu, seorang suami harus mengagihkan zakatnya daripada bahagian zakat orang yang berhutang dan mu’allaf kepada isterinya, jika isterinya itu berstatus orang yang berhutang atau mu’allaf.
Sekiranya isteri terebut berstatus ibnus-sabîl, keharusan menerima agihan zakat daripada suaminya adalah tertakluk kepada keadaan berikut:
1. Isteri yang belayar bersama suaminya dengan mendapat keizinan suami. Tidak harus menerima bahagian zakat ibnus-sabîl kerana nafkah ditanggung oleh suaminya.
2. Isteri yang belayar bersama suaminya tetapi dengan tidak mendapat keizinan suami seperti isteri berdegil juga untuk pergi bersama suami. Tidak harus menerima bahagian zakat ibnus-sabîl kerana isteri melakukan dosa.
3. Isteri yang belayar seorang diri dengan tidak mendapat keizinan suami. Tidak harus menerima bahagian zakat ibnus-sabîl kerana isteri melakukan dosa.
4. Isteri yang belayar seorang diri dengan mendapat keizinan suami, dan nafkah wajib diberikan kepada isteri seperti isteri belayar kerana keperluan suami, maka isteri harus menerima bahagian zakat ibnus-sabîl iaitu kadar untuk menampung kos pelayaran sahaja. Tetapi tidak berhak menerima bahagian zakat ibnus-sabîl sepenuhnya bagi menampung keperluan-keperluan lain seperti makan dan minum kerana perkara tersebut sudah termasuk dalam nafkah yang wajib ditanggung oleh suami.
5. Isteri yang belayar seorang diri dengan mendapat keizinan suami, dan nafkah tidak wajib diberikan kepada isteri seperti isteri belayar kerana keperluannya sendiri, maka isteri harus menerima bahagian zakat ibnus-sabîl bagi segala kos pelayaran termasuk keperluan-keperluan yang lain seperti makan dan minum.
6. Isteri yang belayar dengan tidak mendapat keizinan suami tetapi dia ingin berpatah balik daripada belayar untuk mematuhi suaminya, maka isteri harus menerima bahagian zakat ibnus-sabîl untuk perbelanjaannya pulang.
Demikianlah beberapa penjelasan mengenai hukum mengagihkan bahagian-bahagian zakat kepada keluarga sendiri.
PAKAIAN YANG DILARANG BAGI LELAKI KETIKA DALAM IHRAM HAJI DAN UMRAH
Lelaki yang hendak melakukan ihram haji atau umrah, adalah sunat baginya memakai pakaian yang terdiri daripada izâr (sehelai kain yang dipakai di bahagian bawah bagi menutup aurat) dan ridâ’ (sehelai kain yang dipakai di bahagian atas sebagai selendang) yang berwarna putih serta baharu dan sunat memakai selipar.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengenai pakaian ketika ihram, Baginda bersabda:
Maksudnya: Hendaklah kamu berihram dengan memakai izâr, ridâ’ dan sepasang selipar. Jika kamu tidak mempunyai sepasang selipar maka pakailah sepasang khuff dan potonglah kedua-duanya sehingga ia menjadi di bawah tumit. (Hadits riwayat Ahmad)
Adapun hukum sunat memakai pakaian ihram yang berwarna putih adalah berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Kamu pakailah daripada pakaian-pakaian kamu yang berwarna putih. Sesungguhnya ia daripada sebaik-baik pakaian kamu dan kamu jadikanlah ia kafan untuk mayat-mayat kamu. (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Sementara perempuan yang hendak melakukan ihram haji atau umrah hendaklah memakai pakaian yang menutup seluruh badan melainkan muka dan dua pergelangan tangan.
Pakaian Yang Dilarang Ketika Dalam Ihram
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah ditanya mengenai pakaian yang perlu dipakai oleh orang yang berihram sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Janganlah kamu memakai baju, seluar, serban dan jubah yang bertudung kepala. Manakala seseorang yang tidak mempunyai selipar, maka pakailah sepatu (khuff) dan potonglah (khuff itu) sampai di bawah buku lali (sehingga nampak buku lali), dan janganlah kamu memakai sesuatu yang disentuhi minyak za‘faran dan waras (sejenis tumbuhan yang berbau wangi), dan janganlah perempuan yang berihram memakai penutup muka (niqab) dan sarung tangan. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan jenis-jenis pakaian yang disebut dalam hadits di atas, maka para ulama telah menetapkan bahawa lelaki yang dalam ihram haji atau umrah, adalah haram memakai pakaian yang berjahit, bertenun atau yang diikat. Jika seseorang lelaki yang dalam ihram memakai pakaian tersebut dengan tidak ada keuzuran, maka memakainya adalah berdosa dan wajib ke atasnya membayar fidyah.
Namun bagi perempuan dalam ihram haji atau umrah, mereka tidak dilarang memakai pakaian yang berjahit, bertenun atau yang diikat. Mereka hanya dilarang memakai penutup muka dan sarung tangan.
Larangan Memakai Pakaian Yang Berjahit, Bertenun Atau Yang Diikat
Larangan yang dimaksudkan dengan memakai pakaian yang berjahit, bertenun atau yang diikat itu ialah memakai pakaian yang khusus dibuat untuk menutupi keseluruhan badan atau sebahagian anggota badan sama ada dengan berjahit, bertenun atau diikat, dan sama ada pakaian itu diperbuat daripada kulit, kapas, linen atau sebagainya seperti baju, seluar, serban, jubah, khuff dan seumpamanya.
Perkara yang diambil kira dalam larangan memakai pakaian itu ialah memakai pakaian tersebut mengikut cara kebiasaan ia dipakai seperti baju dipakai dengan menyarungkannya ke badan dan seluar dengan menyarungkannya ke bahagian kaki hingga ke pinggang. Sekiranya baju dijadikan selimut atau ia hanya dijadikan seperti ridâ’ iaitu seperti kain selendang atau baju itu diletakkan di atas badan dan apabila berdiri nescaya baju itu akan terlucut dari badan, maka ia diharuskan kerana pemakaian yang sedemikian itu tidak mengikut cara kebiasaan ia dipakai. Demikian juga harus menjadikan seluar sebagai izâr iaitu seluar tersebut dijadikan seperti kain yang menutupi pinggang dengan tidak menyarungkannya sepertimana kebiasaan ia dipakai.
Berbangkit daripada isu di atas, maka memakai cincin, menyangkutkan pedang atau Mushhaf, melilitkan serban dengan tidak mengikatnya, memasukkan tangan ke lengan baju yang tidak dipakai dan memasukkan hujung ridâ’ ke dalam izâr adalah juga diharuskan.
Walau bagaimanapun adalah harus memakai izâr yang diikat kedua-dua hujung kainnya antara satu sama lain atau dibuat pada izâr itu hujzah (tempat memasukkan tali seperti lubang untuk memasukkan tali pinggang) lalu dimasukkan tali atau seumpamanya di dalam hujzah untuk mengikat izâr tersebut kerana ada mashlahat dan keperluan memakainya iaitu dengan cara sedemikian supaya izâr tersebut tidak terlucut.
Hukum mengikat izâr agak berbeza dengan mengikat ridâ’. Adalah haram mengikat kedua-dua hujung kain ridâ’ antara satu sama lain atau diikat di antara kedua-dua hujung kainnya dengan sesuatu yang lain seperti benang atau disemat dengan sesuatu seperti jarum atau dikancing dengan sesuatu seperti butang dan sebagainya agar ia tidak terlucut. Larangan tersebut disebabkan tidak ada mashlahat dan keperluan memakainya dengan cara sedemikian.
Beberapa Permasalahan Hukum Memakai Pakaian Yang Dilarang Ketika Dalam Ihram
1. Jika lelaki yang dalam ihram haji atau umrah memakai pakaian yang dilarang seperti baju, stokin dan seumpamanya kerana ada hajat atau keuzuran seperti kepanasan, kesejukan atau perubatan maka harus dia memakai pakaian tersebut. Walau bagaimanapun pemakainya dikenakan membayar fidyah.
Ini berdasarkan kepada ayat al-Qur’an yang menjelaskan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak membebankan hambaNya dalam perkara agama. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu bebanan dan susah payah dalam perkara agama. ajj: 78)H-(Surah al
2. Jika lelaki yang dalam ihram haji atau umrah memakai pakaian yang dilarang kerana tidak mempunyai pakaian yang diharuskan sama ada tidak memilikinya, tidak mampu membelinya, menyewanya atau meminjamnya, maka ia tertakluk kepada keadaan seperti berikut:
i. Jika dia tidak mempunyai ridâ’ tetapi dia mempunyai baju maka adalah tidak harus baginya memakai baju tersebut melainkan jika baju itu dijadikan ridâ’ iaitu dijadikan seperti selendang (tidak dipakai secara kebiasaan ia dipakai).
ii. Jika tidak mempunyai izâr melainkan seluar maka akan tertakluk pula kepada dua keadaan berikut:
a. Jika seluar itu tidak boleh dijadikan izâr (dijadikan seperti kain yang menutupi pinggang) kerana ukurannya kecil sehingga tidak dapat menutup aurat atau menyebabkan harga seluar itu berkurangan apabila diubah suai menjadi kain atau tidak berkurangan harga seluar itu apabila diubah suai akan tetapi tidak mencukupi waktu untuk menghasilkan daripadanya izâr yang boleh menutup aurat, maka harus dipakai seluar tersebut sepertimana kebiasaan ia dipakai dan tidak diwajibkan fidyah.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang tidak mempunyai sepasang selipar maka pakailah sepasang khuff dan sesiapa yang tidak mempunyai izâr maka pakailah seluar. (Hadits riwayat Muslim)
b. Jika seluar itu boleh dijadikan izâr kerana ukurannya yang cukup besar sehingga dapat menutup aurat atau tidak menyebabkan harga seluar itu berkurangan apabila diubah suai menjadi kain atau mencukupi waktu untuk menghasilkan izâr daripada seluar yang diubah suai itu, maka wajib seluar itu dijadikan izâr iaitu dijadikan seperti kain yang menutupi pinggang dengan tidak menyarungkannya sepertimana kebiasaan ia dipakai.
iii. Jika lelaki yang dalam ihram haji atau umrah itu tidak mempunyai selipar maka harus baginya memakai khuff dengan syarat kedua-dua khuff tersebut dipotong terlebih dahulu sehingga sampai bawah buku lali walaupun boleh menyebabkan kurang harganya. Dalam keadaan tersebut pemakainya tidak diwajibkan membayar fidyah.
iv. Jika lelaki yang dalam ihram haji atau umrah memakai seluar kerana dia tidak memperolehi izâr kemudian setelah itu dia memperolehi izâr atau dia memakai khuff yang dipotong sampai bawah buku lalinya kerana dia tidak memperolehi selipar kemudian setelah itu dia memperolehi selipar, maka wajib dia menanggalkan seluar atau khuff tersebut dengan segera. Jika dia melambat-lambatkannya tanpa keuzuran maka dia berdosa dan wajib membayar fidyah.
Jika khuff itu dipotong sehingga menyerupai selipar iaitu dipotong bahagian jari kaki dan tumit, maka tidak perlu ditanggalkan khuff tersebut.
Fidyah Bagi Orang Yang Memakai Pakaian Yang Dilarang Ketika Dalam Ihram
Fidyah atau dam bagi mereka yang memakai pakaian dilarang ketika dalam ihram itu adalah dengan memilih salah satu daripada tiga jenis fidyah berikut:
1. Menyembelih seekor kambing.
2. Memberi enam orang miskin tiga gantang beras atau gandum atau seumpamanya dengan setiap seorang setengah gantang.
3. Berpuasa selama tiga hari.
Ini berdasarkan kepada firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Jika sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya semasa dalam ihram itu), maka wajiblah ke atasnya membayar fidyah iaitu dengan berpuasa atau memberi sedekah atau menyembelih binatang (sebagai dam). (Surah al-Baqarah: 196)
Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti kepalanya sehingga terpaksa mencukur rambutnya sedangkan dia dalam ihram adalah diwajibkan membayar fidyah. Menurut al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, fidyah bagi perbuatan mencukur rambut itu diqiyâskan juga dengan perbuatan menutup kepala, begitulah juga dengan perbuatan memakai pakaian yang dilarang ketika dalam ihram.
Demikianlah penjelasan mengenai hukum memakai pakaian yang dilarang bagi orang yang dalam ihram. Mudah-mudahan penjelasan ini akan menambah kefahaman mengenainya dan menjadi perhatian terutama kepada mereka yang ingin menunaikan ibadat haji atau umrah untuk meningkatkan ilmu tentang haji dan umrah sama ada pada perkara yang disuruh ataupun perkara yang dilarang melakukannya seperti larangan-larangan ketika berihram.
RAMBUT GUGUR KETIKA DALAM IHRAM HAJI DAN UMRAH
Antara perkara yang dituntut ke atas setiap orang yang menunaikan ibadat haji dan umrah ialah ihram. Ihram bermaksud berniat pada melakukan haji atau umrah atau kedua-duanya sekali.
Meninggalkan ihram sudah tentu mengakibatkan ibadat haji atau umrah sia-sia kerana ihram merupakan salah satu rukun haji dan umrah. Jika salah satu rukun tidak terpenuhi, ibadat haji atau umrah seseorang itu menjadi tidak sah.
Apabila seseorang itu dalam ihram haji atau umrah, terdapat beberapa perbuatan yang sebelumnya halal menjadi haram sebaik sahaja berniat ihram sehinggalah tahallul dilaksanakan.
Salah satu perkara yang dilarang ketika berihram ialah menghilangkan rambut dari kepala atau dari mana-mana juga bahagian anggota badan.
Maksud Menghilangkan Rambut
Maksud menghilangkan rambut ialah membuang rambut yang tumbuh di bahagian kepala manusia atau selainnya seperti janggut atau bulu yang tumbuh di muka, badan atau anggota badan yang lain walaupun sedikit sama ada dengan mencabut, menanggalkan, memendekkan, menggunting, membakar, memakan atau meminum ubat yang boleh menggugurkan rambut atau apa jua cara sekalipun perbuatan yang boleh menghilangkan rambut atau bulu daripada badan.
Hukum Menghilangkan Rambut Ketika Ihram
Hukum menghilangkan rambut ketika dalam ihram sama ada dengan mencukur atau yang seumpamanya adalah haram dan berdosa ke atas setiap lelaki dan yang selainnya. Larangan tersebut adalah jelas sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk tujuan bertahallul) sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. (Surah al-Baqarah: 196)
Di samping itu, wajib ke atas penjaga anak kecil yang sedang ihram menghalang rambut anak tersebut daripada dicukur, digunting atau yang seumpamanya. Haram ke atas penjaga itu membiarkan rambut anak tersebut dicukur atau yang seumpamanya.
Beberapa Permasalahan Dan Kedudukan Rambut Gugur Ketika Dalam Ihram
1. Membuang, mencukur rambut atau yang seumpamanya dengan sengaja.
Jika rambut gugur disebabkan oleh perbuatan yang disengajakan seperti mencukur, menggunting, mencabut dan seumpamanya ketika sedang berihram tanpa sebarang uzur syar‘i dan dia tahu akan keharaman perbuatan tersebut serta tidak pula dalam keadaan terpaksa, maka hukum melakukannya adalah haram dan berdosa serta diwajibkan fidyah.
Disebutkan di dalam kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa perkara yang disyaratkan dalam keharaman melakukan larangan-larangan semasa berihram itu ialah sengaja melakukannya, tahu akan keharamannya dan bukan di dalam keadaan terpaksa untuk melakukannya.
2. Membuang rambut disebabkan adanya keuzuran syara‘.
Harus mencukur mencabut rambut atau yang seumpamanya jika ia dilakukan kerana adanya keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘, umpamanya mencukur rambut disebabkan banyak kutu atau luka-luka yang menyakitkan. Perbuatan tersebut tidak berdosa tetapi tetap dikenakan fidyah sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Jika sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya semasa dalam ihram itu), maka wajiblah ke atasnya membayar fidyah iaitu dengan berpuasa atau memberi sedekah atau menyembelih binatang (sebagai dam). (Surah al-Baqarah: 196)
Di dalam hadits pula, diriwayatkan daripada Ka‘ab bin ‘Ujrah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Telah datang kepadaku Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika perjanjian Hudaibiyyah (kami dalam ihram), aku menyalakan api di bawah kawah sedang kutu-kutu berkeliaran di mukaku, lalu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya: “Adakah kutu-kutu itu mengganggumu?” Aku menjawab: “Ya”. Baginda kemudian bersabda: “Cukurlah rambutmu dan tunaikanlah puasa sebanyak tiga hari atau berilah makan enam orang miskin atau sembelihlah seekor kambing.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
3. Membuang rambut dan bulu yang ada di sekitar mata.
Harus dan tidak diharamkan mencabut bulu yang menyakitkan yang tumbuh di dalam atau di tengah-tengah kelopak mata dan harus memotong rambut atau bulu kening yang terlalu panjang sehingga menutup atau menghalang pandangan mata tanpa diwajibkan fidyah.
4. Rambut dan bulu yang gugur bersama kulit kepala atau jari.
Tidak diwajibkan fidyah bagi rambut yang gugur bersama kepingan kulit kepala yang terpotong akibat dari perbuatan menggaru kepala, sama ada dilakukan dengan sengaja ataupun tidak atas alasan ia hanya mengikut kulit kepala tersebut dan bukan dengan tujuan untuk membuang rambut. Perbuatan sengaja melakukannya itu tidak menghalang alasan tersebut.
5. Orang yang berihram mencukur rambut orang berihram yang lain.
Haram ke atas orang yang berihram mencukur rambut orang berihram yang lain sebelum dirinya sendiri bertahallul sekalipun dengan keizinan orang yang dicukur itu.
Ulama sepakat mengatakan bahawa tidak diharuskan bagi orang yang berihram mencukur rambut orang berihram yang lain. Jika berlaku yang demikian itu, maka kewajipan fidyah itu tertanggung ke atas orang yang dicukur dan orang yang mencukur diwajibkan ke atasnya memberi makan setengah gantang daripada makanan atau bijirin.
Adapun jika perbuatan mencukur rambut itu dilakukan tanpa keizinan orang yang dicukur, sedang orang yang dicukur itu mampu untuk menghalangnya, maka fidyah itu tertanggung ke atas orang yang dicukur itu. Ini kerana dia mampu untuk menghalangnya dan perlakuan membiarkan itu merupakan suatu kecuaian iaitu dengan mempermudah-mudahkan apa yang telah disyariatkan.
Sebaliknya jika dilakukan tanpa keizinan orang yang dicukur dan dia tidak mampu untuk menghalangnya daripada berlaku, umpamanya kerana tidur, dipaksa, terpaksa, pengsan atau tidak mukallaf seperti kanak-kanak belum mumayyiz, maka kewajipan fidyah tertanggung ke atas orang yang mencukur.
6. Orang yang berihram mencukur rambut orang yang tidak berihram.
Harus bagi orang sedang ihram mencukur rambut orang yang tidak berihram kerana manfaatnya diperolehi orang yang tidak berihram dan ia bukan suatu larangan. Tidak ada sebarang fidyah diwajibkan ke atas kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka.
Akan tetapi jika dilakukan juga tanpa keizinan orang yang tidak berihram itu, maka orang berihram itu menanggung dosa.
7. Orang lain mencukur rambut orang yang berihram.
Jika orang lain mencukur rambut orang yang berihram dengan keizinan orang yang berihram itu sebelum lagi waktu tahallul maka kewajipan fidyah tertanggung ke atas orang berihram yang dicukur rambutnya itu.
Demikian juga tertanggung ke atas diri orang yang berihram itu fidyah, walaupun tanpa keizinannya kerana seorang lain telah mencukur rambutnya sedang dia mampu untuk menghalang rambutnya itu daripada dicukur.
Berlainan pula, jika seseorang itu tidak mampu menghalang rambutnya daripada dicukur umpamanya kerana tidur, dipaksa, terpaksa, pengsan atau tidak mukallaf seperti kanak-kanak belum mumayyiz, maka kewajipan fidyah tertanggung ke atas orang yang mencukur.
Adapun dalam perkara jika seseorang (B), sama ada sedang berihram ataupun tidak, yang telah disuruh oleh seorang yang lain (A), sama ada sedang berihram ataupun tidak, untuk mencukur rambut orang yang sedang berihram (C) dan dia (C) hanya berdiam diri padahal dia mampu untuk menghalangnya, maka wajib ke atasnya (C) fidyah.
Jika dia (C) tidak mampu untuk menghalangnya, maka kewajipan fidyah itu tertanggung ke atas orang yang menyuruh (A) dengan syarat orang yang disuruh (B) itu melakukan perbuatan tersebut dalam keadaan dia (B) jahil, terpaksa atau dia (B) merupakan orang asing yang percaya kepada kewajipan mentaati pemerintah. Jika dia (B) melakukan perbuatan tersebut sedang dia tidak di dalam keadaan sedemikian, maka kewajipan fidyah itu tertanggung ke atasnya (B). 8. Menyikat rambut dan menggaru kepala.
Makruh menyikat rambut bagi orang yang sedang berihram kerana risiko rambut gugur atau tercabut disebabkan perbuatan tersebut amat besar dan haram pula hukumnya menyikat rambut jika dia yakin rambutnya akan gugur atau tercabut disebabkan perbuatan tersebut.
Adapun menggaru atau menggosok kepala dengan kuku semasa berihram hukumnya adalah makruh dan tidak pula dihukumkan makruh jika menggosoknya menggunakan bahagian dalam hujung jari tangan. Selain itu tidak makruh bagi orang yang berihram menggaru badannya.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, tidak ada percanggahan pendapat di kalangan ulama mengenai keharusan menggaru kepala ketika ihram akan tetapi perkara itu dibuat biarlah dengan cara yang elok dan lembut agar rambut tidak mudah tercabut.
Jika seseorang yakin rambutnya telah gugur atau tercabut disebabkan menyikat rambut atau menggaru kepala, maka diwajibkan ke atasnya fidyah.
Akan tetapi jika dia syak atau ragu sama ada rambutnya telah gugur sebelum menyikat rambut atau menggaru kepala ataupun gugur dan tercabut disebabkan perbuatan menyikat atau menggaru itu, maka menurut pendapat ashah (yang lebih shahîh), tidak diwajibkan fidyah ke atasnya kerana kebarangkalian yang tidak pasti.
9. Rambut gugur ketika berwudhu’.
Jika seseorang yang sedang atau selesai berwudhu’ mendapati ada rambut gugur dan yakin bahawa rambut itu adalah rambutnya yang gugur disebabkan dia menggosok kepalanya, maka dia tidak berdosa kerana perbuatan tersebut tidak disengajakan tetapi wajib ke atasnya fidyah. Jika dia mendapati ada rambut yang gugur atau tercabut dan dia tidak yakin bahawa rambut tersebut adalah gugur disebabkan perbuatannya menggosok kepalanya semasa berwudhu’, maka dia tidak berdosa dan tidak wajib ke atasnya fidyah.
10. Mendapati rambut melekat pada serkup kepala.
Sekiranya seorang perempuan yang sedang berihram mendapati ada rambut melekat pada serkup kepalanya, maka tidak diwajibkan ke atasnya fidyah kerana dia tidak sengaja dan tidak bertujuan untuk menggugurkan rambutnya.
Fidyah Yang Wajib Ditunaikan
Fidyah yang diwajibkan ke atas orang yang melanggar larangan membuang atau mencabut rambutnya atau yang seumpamanya adalah termasuk dalam bahagian dam takhyîr dan taqdîr.
Takhyîr bermaksud boleh memilih mana-mana fidyah yang ditetapkan oleh syara‘. Sementara taqdîr pula bermaksud kadar fidyah yang sudah ditentukan syara‘.
Fidyah penuh itu ialah seperti berikut:
1. Menyembelih seekor kambing.
2. Memberi makan enam orang miskin termasuk fakir tiga gantang gandum atau beras atau seumpamanya dengan setiap seorang setengah gantang.
3. Berpuasa tiga hari walaupun tidak berturut-turut.
Orang yang diwajibkan ke atasnya fidyah wajib membayarnya dengan memilih salah satu daripada tiga jenis fidyah di atas.
Diwajibkan fidyah penuh itu ke atas mereka yang gugur tiga helai rambut atau setengah daripada tiap satunya dalam satu masa atau satu tempat.
Yang dimaksudkan dalam satu masa itu ialah perihal rambut gugur secara serentak atau berlaku dalam satu kejadian atau dalam tempoh jarak waktu yang sangat singkat.
Manakala yang dimaksudkan dengan satu tempat itu pula ialah rambut yang gugur dari bahagian anggota badan yang sama. Tidak dikatakan satu tempat jika sehelai rambut gugur dari kepala, sehelai dari janggut dan sehelai dari tangan.
Jika lebih daripada tiga helai rambut atau seluruh rambut di kepala atau badan dicukur, dicabut atau yang seumpamanya dalam satu masa, memadai fidyah itu dengan kiraan fidyah bagi tiga helai rambut gugur iaitu tidak perlu mengasingkan setiap tiga helai rambut daripada seluruh rambut itu untuk satu fidyah kerana ia dikira satu perbuatan sahaja.
Adapun jika rambut gugur secara berasingan (tidak sekaligus iaitu pada tiga tempat atau pada tempat yang sama tetapi berlainan waktu), maka wajib dibayar fidyah itu mengikut ketetapan hukum setiap satu helai rambut itu satu mudd (cupak) makanan gandum atau yang seumpamanya.
Menurut pendapat al-azhhar iaitu pendapat yang râjih daripada pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, diwajibkan bagi setengah helai, sehelai atau satu setengah helai rambut itu satu mudd makanan dan dua mudd bagi dua helai atau dua setengah helai rambut yang gugur.
Dam atau fidyah itu hendaklah ditunaikan di Tanah Haram dan bagi mereka yang memilih untuk berpuasa, dibolehkan melakukan puasa itu secara berselang hari (tidak berturut-turut).
BOLEHKAH TIDUR MENGUNJUR KAKI KE ARAH QIBLAT?
Tuntutan menghormati arah qiblat itu dapat dilihat dalam berbagai perkara. Antaranya ialah dalam perkara qadha hajat. Apabila kita hendak qadha hajat haram hukumnya menghadap atau membelakangi qiblat jika dalam keadaan terbuka seperti di gurun sahara iaitu padang pasir. Namun harus jika qadha hajat itu dalam keadaan berdinding. Sekurang-kurang dinding itu ialah tiga hasta tinggi dan tidak kurang tiga hasta jaraknya. Jika dalam keadaan sedemikian hukumnya adalah harus. Lebih lagi harus jika qadha hajat itu dalam tandas kerana sememangnya dalam keadaan tertutup.
Bagaimana pula hukum tidur dengan mengunjurkan kaki ke arah qiblat? Adakah tidur seperti ini termasuk dalam perkara tidak menghormati arah qiblat? Untuk menjawab persoalan ini, elok kita rujuk pandangan ulama mengenainya.
Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ menerangkan bahawa salah satu cara tidur menghadap qiblat itu ialah seperti menghadapkan orang yang hampir mati ke arah qiblat iaitu dalam keadaan terlentang, muka dan dua tapak kakinya menghadap ke arah qiblat. Perkara ini jelas disebutkan dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm Ad-Dîn dengan katanya:
Ertinya: (Adab tidur yang) ketujuh ialah (sunat) tidur menghadap qiblat. Menghadap qiblat itu ada dua cara: Salah satunya (seperti cara) menghadapkan orang yang hampir mati iaitu terlentang atas belakang (badannya), muka dan dua tapak kakinya menghadap ke arah qiblat. Kedua (seperti cara) menghadap (qiblat di dalam) lubang kubur iaitu baring secara mengiring dengan mukanya serta bahagian hadapan badannya ke arahnya (qiblat) ketika berbaring pada posisi sebelah kanan. (Kitab Ihyâ’ ‘Ulûm Ad-Dîn: 1/448)
Selain tidur, dalam perkara sembahyang, di dalam keadaan tertentu, misalnya ketika sakit, seseorang itu dibenarkan bersembahyang secara menelentang dan kedua-dua kaki menghadap ke arah qiblat. Hal ini disebutkan oleh Imam Zakaria al-Anshari Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Asnâ al-Mathâlib:
Ertinya: Jika dengan duduk itu dia mendapat kesusahan, (iaitu kesusahan yang sama) dirasainya (ketika dia bersembahyang) dengan cara berdiri, maka wajib sembahyang (dengan cara) berbaring atas rusuknya dengan wajah dan (sebelah) hadapan badannya menghadap qiblat. Berbaring di atas rusuk sebelah kanan adalah lebih afdhal. Makruh jika berbaring di atas rusuk sebelah kiri tanpa sebarang keuzuran sebagaimana ditetapkan dalam kitab al-Majmû‘. Kemudian jika terdapat keuzuran untuk berbaring maka sembahyanglah dalam keadaan menelentang dan dua tapak kakinya mengarah ke qiblat, seperti halnya orang yang hampir mati apabila tidak dapat dibaringkan di atas rusuknya barulah dibaringkan secara menelentang. Dan (orang yang dibaringkan secara menelentang itu) kepalanya lebih tinggi dengan meninggikan bantalnya supaya menghadap wajahnya ke arah qiblat. (Kitab Asnâ al-Mathâlib: 1/148)
Sementara itu, menurut Syeikh Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin Rahimahullâhu Ta‘âlâ apabila ditanya mengenai hukum tidur dengan mengunjurkan kaki ke arah qiblat, beliau memfatwakan dengan berkata:
Ertinya: Tidak mengapa ke atas seseorang apabila dia tidur kedua-dua kakinya menghala ke arah Ka‘bah (qiblat). Bahkan ulama fiqh Rahimahumullâhu Ta‘âlâ berkata: “Sesungguhnya orang sakit yang tidak mampu berdiri dan tidak mampu duduk, (maka dia) bersembahyang dengan cara miring dan wajahnya menghadap ke arah qiblat, dan jika tidak mampu juga maka (hendaklah) bersembahyang dengan cara terlentang dan kedua-dua kakinya menghadap ke arah qiblat.” (Fatâwâ Ibnu al-‘Uthaimin: Soalan ke-1576)
Berdasarkan beberapa pandangan ulama di atas, dapatlah disimpulkan bahawa tidur menelentang dengan mengunjurkan kaki ke arah qiblat itu tidaklah mengapa bahkan tidak dikira berdosa. Sebab, tidur dalam keadaan mengunjur kaki ke arah qiblat itu sama dengan keadaan sembahyang orang sakit yang tidak mampu sembahyang dalam keadaan berdiri ataupun duduk. Diharuskan baginya sembahyang miring atas rusuknya yang kanan ataupun dalam keadaan menelentang dengan wajah dan kedua-dua kakinya menghadap ke arah qiblat.
PERSOALAN MENJAWAB AZAN: Bila Disuruh Dan Bila Dilarang?
Menjawab azan pada dasarnya disunatkan ke atas setiap Muslim yang mendengarnya. Ini dengan cara melafazkan kalimah-kalimah yang dilaungkan oleh
hendaklah dijawab dengan melafazkan kalimah hawqalah ( َّ ُوَّة َ إِال ِ ال َ حَوْل َ وَال َ قِبِهلل ), ertinya: “Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan melainkan dengan Allah”. Begitu juga pada kalimah tatswîb ( َّوْم َْيٌْ مِن َ الن اَلصَّالَة ُ خِ ) ketika azan Shubuh hendaklah dijawab dengan melafazkan ( َ َرَرْت صَدَقْت َ وَب), ertinya: “Benarlah engkau dan jadilah engkau mempunyai kebajikan yang banyak.”
Menjawab azan afdhal dilakukan sejurus sahaja setiap kalimah-kalimah azan itu selesai dilaungkan. Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu diam sepanjang azan dilaungkan, lalu setelah semua kalimah azan itu selesai dilaungkan barulah dia menjawab kesemua kalimah azan itu sekaligus maka orang itu masih mendapat pahala menjawabnya. Ini dengan syarat jawapannya itu tidak lama jaraknya dengan waktu azan itu selesai dilaungkan.
Hukum sunat menjawab azan ini disyariatkan ke atas setiap Muslim yang mendengarnya tidak kira sama ada orang yang mendengar azan itu dalam keadaan suci mahupun dalam keadaan berhadas, sama ada hadas kecil mahupun hadas besar seperti orang yang dalam keadaan junub, haidh dan nifâs kerana ia adalah zikir dan bukanlah ayat-ayat al-Qur’an.
Pensyariatan menjawab azan ini hanya dikhususkan kepada orang yang mendengarnya sahaja. Oleh kerana itu, orang yang tidak mendengarnya sama ada kerana jarak yang jauh, pekak dan sebagainya tidak disunatkan untuk menjawabnya walaupun pada ketika itu dia melihat mu’adzdzin sedang melaungkan azan dan walaupun dia tahu bahawa ketika itu azan sedang dilaungkan.
Walau bagaimanapun, hukum sunat menjawab azan bagi orang yang mendengarnya ini tidaklah bersifat mutlak. Dalam keadaan-keadaan tertentu, adakalanya menjawab azan itu boleh menjadi makruh bahkan ada kalanya menjadi haram.
Hukum Menjawab Azan Dalam Sembahyang, Thawaf Dan Ketika Mendengar Khutbah
Ketika seseorang mengerjakan sembahyang, makruh hukumnya dia menjawab azan tidak kira sama ada sembahyang yang dikerjakan itu adalah sembahyang fardhu ataupun sunat.
Bagaimanapun, hukum makruh ini hanya khusus bagi kalimah-kalimah yang berbentuk zikir sahaja. Adapun kalimah hai‘alah, kalimah tatswîb serta jawapan tatswîb jika dilafazkan dalam sembahyang, ia bukan lagi makruh, bahkan haram dan boleh membatalkan sembahyang jika dia sengaja melakukannya dan mengetahui akan keharamannya. Ini kerana kalimah-kalimah hai‘alah, tatswîb serta jawapan tatswîb itu termasuk dalam kategori kalimah-kalimah biasa dan bukan daripada kategori kalimah-kalimah zikir.
Jika orang tersebut melafazkan kalimah-kalimah hai‘alah, tatswîb serta jawapan tatswîb dalam sembahyang kerana jahil, tidak sengaja, terlupa dan sebagainya, maka ini tidak membatalkan sembahyang, akan tetapi sunat atasnya mengerjakan sujud sahwi.
Manakala jawapan bagi kalimah-kalimah azan yang lain termasuk jawapan bagi hai‘alah iaitu hawqalah pula termasuk dalam kategori zikir. Jadi, kalimah-kalimah ini makruh dilafazkan ketika sembahyang dan tidak haram serta tidak pula menjejaskan sembahyang. Ini kerana melafazkan zikir dalam sembahyang menurut ulama tidak membatalkan sembahyang.
Perlu diketahui juga bahawa jika dia menjawab azan dalam sembahyang ketika dia sedang membaca surah al-Fâtihah, ini akan memutuskan muwâlah (bacaan secara berturut-turut) yang dituntut dalam bacaan surah al-Fâtihah itu dan akan membatalkan bacaan surah al-Fâtihah tersebut. Apabila ini berlaku, maka wajib bagi orang tersebut mengulangi semula bacaan surah al-Fâtihahnya dari awal.
Manakala jika seseorang mendengar azan ketika mengerjakan thawaf pula maka hukum menjawabnya adalah sunat. Jadi orang yang sedang mengerjakan thawaf sunat baginya menjawab azan pada masa itu juga dan tidak perlu melewatkan jawapannya sehingga thawafnya selesai kerana ketika mengerjakan thawaf kita tidak dilarang daripada berkata-kata.
Adapun bagi orang yang sedang mendengar khutbah pula, maka makruh baginya menjawab azan pada ketika itu, bahkan sunat melewatkan untuk menjawabnya sehingga selesai khutbah jika jaraknya masih belum lama. Jika jaraknya sudah lama, maka tidak lagi disunatkan untuk menjawabnya.
Hukum Menjawab Azan Ketika Bersetubuh Dan Qadha’ Hajat
Tidak disunatkan bahkan makruh menjawab azan ketika sedang bersetubuh atau qadha’ hajat (buang air kecil atau besar). Akan tetapi sunat melewatkan untuk menjawabnya sehingga selesai mengerjakan dua perkara tersebut jika tidak lama jaraknya. Jika jaraknya sudah lama, maka tidak disunatkan untuk menjawabnya.
Hukum Menjawab Azan Bagi Orang Yang Terdapat Najis Pada Tubuh Badannya
Orang yang terdapat najis pada tubuh badannya sunat menjawab azan pada ketika itu juga sekiranya najis itu bukan pada mulutnya. Sekiranya najis itu berada pada mulutnya, maka makruh baginya menjawab azan pada ketika itu, bahkan sunat melewatkan untuk menjawabnya sehingga dia sudah membersihkan mulutnya daripada najis tersebut sekiranya tidak lama jaraknya.
Hukum Menjawab Azan Yang Berbilang-bilang
Adapun jika dia terdengar azan yang dilaungkan oleh beberapa orang mu’adzdzin seperti dia terdengar azan di kampungnya kemudian dia terdengar lagi azan di kampung yang lain, maka sunat dia menjawab kedua-duanya.
Berlainan halnya jika azan itu dikumandangkan secara serentak, maka memadai menjawabnya dengan sekali jawab sahaja.
Jika dua azan yang didengarnya itu dilaungkan dalam satu masa yang sama akan tetapi tidak serentak lafaznya, maka sunat dijawab dengan sekali jawab sahaja bagi kedua-dua azan itu. Ini dengan cara menunggu kedua-dua azan tersebut selesai melaungkan suatu kalimah terlebih dahulu, kemudian setelah dia merasa bahawa suatu kalimah itu, contohnya kalimah ( ِ حَى َّ عَلَى الْفَالَح) sudah selesai dilaungkan oleh kedua-dua mu’adzdzin, barulah dia menjawabnya dengan membaca hawqalah ( َ ِ ال َّ ِبِهلل ُوَّة َ إِال حَوْل َ وَال َ ق). Begitulah juga halnya dengan kalimah-kalimah yang lain.
Bagi orang yang mengerjakan sembahyang sesudah mendengar azan, kemudian setelah selesai mengerjakan sembahyang dia terdengar lagi azan yang lain, maka sunat juga baginya untuk menjawab azan yang kedua itu.
Mendengar Azan Ketika Sedang Membaca al-Qur’an, Berzikir, Menuntut Ilmu Atau Berdo‘a
Jika seseorang itu mendengar azan ketika dia sedang membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu atau berdo‘a, sunat dia berhenti seketika daripada mengerjakan perkara-perkara tersebut untuk menjawab azan.
Jadi apa yang perlu diambil perhatian serta pengajaran di sini, bahawa sedangkan ketika mengerjakan perkara-perkara mulia dan berbentuk ibadat seperti membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu dan berdo‘a itu pun disunatkan untuk berhenti seketika bagi menjawab dan menghormati azan, maka apatah lagi jika mendengarnya ketika sedang mengerjakan perkara-perkara lain seperti bersukan, berbual-bual kosong dan seumpamanya selagi dengan berhenti seketika untuk menjawab dan menghormati azan itu tidak mendatangkan apa-apa kemudharatan atau kesulitan.
Hukum Menjawab Azan Di Televisyen Dan Radio
Dalam perkara ini, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz Rahimahullâh telah memfatwakan bahawa sekiranya azan itu disiarkan secara langsung melalui radio atau televisyen, maka sunat bagi orang yang mendengarnya untuk menjawabnya.
Mengenai azan yang berbentuk rakaman pula, beliau berkata: “Adapun jika azan bilal itu dirakamkan dengan tape recorder umpamanya, kemudian disiarkan rakaman itu melalui televisyen pada awal waktu sembahyang fardhu kerana menunjukkan masuk waktu sembahyang, maka tiadalah sunat dijawab atau berkata seperti kata rakaman itu, kerana syarat sunat menjawab azan itu ialah apabila yang membuat azan itu orang mukallaf yakni mumayyiz, dan rakaman yang menyiarkan azan itu sesuatu benda jumud (tidak bernyawa) yang tiada mempunyai perasaan dan tiada mempunyai tamyîz, hanya rakaman itu mengikut arahan orang yang mengendalikan rakaman itu.”
Jelasnya di sini, azan yang kita dengar daripada radio dan televisyen yang disiarkan sebagai petanda masuk waktu sembahyang yang hanya berbentuk rakaman tidak sunat dijawab. Manakala azan yang kita dengar daripada radio dan televisyen yang disiarkan secara langsung, iaitu azan yang dilaungkan pada masa itu juga oleh seorang lelaki Muslim yang mukallaf lagi mumayyiz dari masjid atau sebagainya, maka azan tersebut sunat dijawab.
Demikian beberapa penjelasan mengenai masa yang dianjurkan menjawab azan dan bila ia dilarang. Selain menunaikan tuntutan menjawab azan, apa yang perlu juga disemai dalam diri ialah rasa hormat terhadap azan itu. Azan merupakan salah satu daripada syi‘âr-syi‘âr Islam, jadi amat wajarlah ia dimuliakan selayaknya. Imam asy-Sya‘rani Rahimahullâh menyebutkan dalam kitabnya al-‘Uhud al- Muhammadiyyah sepertimana yang dinaqalkan oleh Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn, bahawa para salaf ash-shâlih apabila mendengar azan, mereka akan diam untuk menjawab azan dengan penuh kekhusyû‘an serta perasaan gerun terhadap keagungan dan kehebatan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Mereka tidak sekali-kali melalaikan diri daripada mendengar dan menghayatinya dengan percakapan, perbuatan serta segala yang sia-sia. Akhlak dan amalan seumpama ini perlu kita hidupkan dan suburkan supaya ia menjadi pakaian kepada diri kita.
PEMINUM ARAK: Dikenakan Hukuman Hadd 40 Kali Sebatan
Seluruh ulama bersepakat bahawa meminum arak itu hukumnya adalah haram. Pengharaman arak ini tsabit melalui al-Qur’an, sunnah dan ijmâ‘. Meminum arak, walaupun hanya setitik dan walaupun tidak mabuk, merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar, malah beberapa orang sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam seperti ‘Abdullah bin ‘Umar dan ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhum berpendapat bahawa meminum arak itu merupakan dosa besar yang paling besar.
Keharaman arak adalah sesuatu yang dimaklumi oleh setiap Muslim, apatah lagi bagi yang berada di sebuah negara Islam, seperti Negara Brunei Darussalam. Tidak ada alasan jahil ataupun tidak tahu tentang hukum haram meminum arak ini kerana keharamannya, kemudharatannya terhadap kesihatan dan kehidupan, serta balasan buruk yang dijanjikan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas peminumnya sudah pun berulang kali disampaikan dan disebarkan kepada umum melalui ceramah-ceramah agama, khutbah Jumaat, buku-buku dan sebagainya.
Hukuman Hadd Ke Atas Peminum Arak
Orang Islam mukallaf yang sengaja minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan seperti tuak, sama ada banyak ataupun sedikit dan sama ada dia mabuk dengan sebab meminumnya ataupun tidak, sedangkan dia tahu bahawa yang diminumnya itu adalah arak ataupun tuak, maka apabila tsabit dia minum arak atau tuak itu sama ada dengan iqrârnya (pengakuannya) sendiri atau ditsabitkan dengan sekurang-kurangnya dua saksi lelaki yang ‘âdil, maka menurut mazhab asy-Syafi‘e, orang itu wajib dikenakan hukuman hadd ke atasnya dengan sebatan sebanyak 40 kali sebat.
Hukuman hadd bagi peminum arak ini adalah berdasarkan riwayat hadits-hadits shahîh yang antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengenakan hukuman sebat (ke atas peminum arak) sebanyak 40 kali dan Abu Bakar juga mengenakan hukuman sebat 40 kali sementara ‘Umar pula mengenakan hukuman sebat 80 kali. Semuanya itu adalah sunnah belaka dan ini (40 kali sebatan) yang saya (Sayyidina ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu) paling sukai. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits di atas, Sayyidina ‘Ali Radhiallâhu ‘anhu menjelaskan bahawa sungguhpun hukuman hadd sebatan 40 kali itu lebih beliau sukai, beliau tidak menolak bahawa hukuman hadd sebatan 80 kali yang dijalankan oleh Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu itu juga merupakan sunnah dan ia juga boleh dilaksanakan.
Jadi walaupun hukuman sebatan 80 kali dalam hadits tersebut merupakan hukuman yang dijalankan oleh Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu, ia tetap merupakan satu hukuman yang diperakui dalam syariat Islam. Ini kerana segala perbuatan para sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah sunnah belaka, apatah lagi jika ia wârid daripada insan seperti Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu, iaitu seorang sahabat setia Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Khalifah ar-Râshidîn yang kedua serta pahlawan terbilang Islam yang dijanjikan syurga.
Jadi hal ini diserahkan kepada imam ataupun hakim sama ada hendak mengenakan hukuman hadd sebatan 40 kali sahaja ke atas peminum arak, iaitu sekurang-kurang kadar yang wajib dalam hukuman hadd peminum arak, ataupun menambah kadar sebatan tersebut sehingga 80 kali sebagai ta‘zîr sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu mengikut mashlahat jika dirasakan perlu oleh imam ataupun hakim.
Perkara hukuman hadd sebatan bagi peminum arak ini ada diperuntukkan dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah, 2013, bab: 104 (1) yang telah diwartakan pada 22 Oktober, 2013 bersamaan 16 Zulhijjah, 1434, seperti berikut: “Mana-mana orang Islam yang meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hukuman hadd dengan disebat 40 sebatan bagi kesalahan pertama, disebat 80 sebatan bagi kesalahan kedua dan disebat 80 sebatan serta dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 2 tahun bagi kesalahan ketiga dan berikutnya.”
Bagaimanapun, hukuman hadd ke atas peminum arak tidak akan dilaksanakan kecuali jika ia dibuktikan atau ditsabitkan sama ada dengan:
1. Iqrâr tertuduh iaitu pengakuan peminum itu sendiri bahawa dia telah melakukan kesalahan meminum arak.
2. Syahâdah iaitu dengan cara penyaksian oleh tidak kurang daripada dua orang syâhid atau saksi menurut hukum syara‘.
Adakah Semua Peminum Arak Dikenakan Hukuman Hadd?
Undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sangat adil lagi sempurna serta tidak ada cacat celanya kerana ia diatur dan dicipta sendiri oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, Tuhan Pentadbir seluruh alam. antara bukti keadilan dan kesempurnaan undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu ialah syara‘ tidak sekali-kali membenarkan mana-mana hukuman dijalankan dengan sewenang-wenangnya. Begitu juga halnya dalam perkara minum arak. Bukan setiap orang yang didakwa atau ditangkap minum arak sahaja dia akan terus dijatuhkan hukuman sebat. Undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bukanlah begitu tetapi ia adalah undang-undang yang sangat teliti dan kemas. Terdapat sukat-sukat yang digariskan terhadap peminum arak itu yang akan menjadi pengukur dan penentu sama ada hukuman hadd boleh dijatuhkan ke atasnya ataupun tidak.
Peminum arak yang akan dikenakan hukuman hadd setelah pentsabitan, mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Beragama Islam.
Jadi orang bukan Islam, kalau dia minum arak, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.
2. Bâligh.
Oleh itu, kanak-kanak yang belum bâligh, kalau dia minum arak, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.
3. Mempunyai akal yang sempurna.
Orang gila yang tidak sempurna akalnya, kalau dia minum arak, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukuman hadd ke atasnya.
4. Minum dengan rela hati tanpa dipaksa.
Orang yang terpaksa minum arak kerana takut dibunuh atau dicederakan dan sebagainya, kalau dia minum, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.
5. Bukan kerana terdesak untuk melepaskan benda yang terlekat atau tersekat di tekaknya.
Orang yang minum arak umpamanya kerana terdesak hendak melepaskan makanan yang tersangkut ditekaknya dan pada masa itu tidak ada yang lain selain daripada arak, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.
6. Tahu bahawa yang diminumnya itu adalah arak.
Jika peminum arak itu tidak tahu bahawa yang diminumnya itu adalah arak atau minuman yang memabukkan, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.
7. Tahu dan maklum bahawa hukum minum arak itu adalah haram.
Jika orang yang minum arak itu jahil akan keharaman arak, sama ada mabuk ataupun tidak, tidak akan dikenakan hukum hadd ke atasnya.
Kesemua syarat di atas mestilah ada pada peminum arak, barulah kes tersebut dapat diangkat kepada Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari‘ah. Jika satu sahaja syarat tersebut tidak ada, maka dengan sendirinya tidaklah dapat dilaksanakan hukuman hadd terhadap peminum arak itu.
Demikian beberapa penerangan tentang hukuman dan syarat-syarat yang perlu ada bagi peminum arak yang wajib dikenakan hukuman hadd sebatan ke atasnya. Nyata sekali bahawa undang-undang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu sangat adil, teliti lagi sempurna. Ini kerana ia adalah undang-undang yang dicipta dan digubal sendiri oleh Tuhan Pencipta dan Pentadbir seluruh alam. Siapakah lagi yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk manusia selain Dia?
Dengan berkat keikhlasan kita menjalankan perintahNya serta kepercayaan mutlak atas kebijaksanaanNya, kita sangat yakin bahawa dengan penguatkuasaan hukuman hadd ini, dengan izin Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, Negara Brunei Darussalam akan menjadi negara yang bebas arak selama-lamanya. Dengannya juga, mudah-mudahan turun dan terbuka berkat dan rahmat dari langit dan dari bumi.
BANGKAI SERANGGA KECIL: Adakah Menajiskan Cecair?
Islam telah memberikan panduan mengenai langkah yang perlu diambil oleh seseorang andaikata minuman ataupun cecair yang diguna pakai seperti takungan air bersih atau minyak, dihinggapi atau dimasuki oleh serangga lalu serangga itu mati dalam air atau cecair itu.
Dalam kehidupan seharian, kita biasa menemui serangga yang masih hidup mahupun yang sudah mati, seperti semut, pada makanan, minuman, takungan air bersih, minyak dan seumpamanya. Untuk mengawal dan menjaga makanan, minuman dan seumpamanya daripada dimasuki serangga, terutama sekali serangga kecil, merupakan perkara yang amat sukar, apalagi untuk mengelak dan menghalang sama sekali perkara ini daripada berlaku.
Oleh yang demikian, persoalan yang ingin dijelaskan di sini ialah apakah serangga kecil, seperti semut, apabila jatuh ke dalam cecair yang sedikit (kurang daripada dua qullah), lalu mati di dalamnya akan menajiskan cecair tersebut?
Jika benar ia menajiskan cecair, bagaimana pula hukum jika semut atau serangga lain jatuh ke dalam air yang sedikit yang akan digunakan untuk bersuci seperti wudhu’, mandi dan mengangkat hadas? Penjelasannya adalah seperti berikut.
Semut Adalah Serangga Yang Tidak Mengalir Darahnya
Semut termasuk dalam kumpulan serangga yang tidak mengalir darahnya. Maksud serangga yang tidak mengalir darahnya ialah termasuk setiap haiwan dan serangga yang tidak mengalir darahnya apabila dibelah anggotanya atau dibunuh pada ketika ia hidup, sama ada serangga itu pada asalnya tidak mempunyai darah ataupun mempunyai darah akan tetapi tidak mengalir. Serangga yang tidak mengalir darahnya antaranya ialah lalat, tebuan tanah, lebah, kumbang (hitam), semut, nyamuk, jenis lipas (besar dan kecil), kala jengking, pepijat, kutu kepala, kutu binatang, ulat, labah-labah dan yang seumpamanya.
Jika seseorang merasa syak sama ada serangga itu daripada jenis yang tidak mengalir darahnya atau sebaliknya, maka dihukumkan bahawa ia serangga yang tidak mengalir darahnya dan tidak perlu dibuat ujian terhadapnya seperti dibelah atau dibunuh semata-mata untuk mengetahui perkara ini. Ini kerana perbuatan membelah dan seumpamanya itu dilarang kerana ada unsur penyeksaan.
Bagaimanapun jika serangga atau haiwan itu daripada kumpulan yang mengalir darahnya, akan tetapi pada ketika itu tidak ada darahnya atau darahnya ada, akan tetapi tidak mengalir disebabkan ia kecil, maka dihukumkan sebagai serangga atau haiwan yang mengalir darahnya.
Semut Yang Mati Dalam Cecair Yang Sedikit
Hukum semut yang mati dan seumpamanya daripada serangga yang tidak mengalir darahnya yang jatuh dalam cecair atau air yang sedikit adalah dimaafkan dan tidak menajiskan air tersebut, melainkan dua perkara, iaitu jika semut yang mati itu merubah sifat-sifat air yang sedikit atau semut yang telah mati itu dilontar, dicampakkan atau dimasukkan oleh seseorang, termasuk kanak-kanak kecil, dengan sengaja ke dalam air yang sedikit.
Yang dimaksudkan dengan merubah sifat-sifat air adalah warna, rasa dan bau air. Manakala yang dimaksudkan dengan air yang sedikit ialah air yang kurang daripada dua qullah.
Dalil dalam perkara ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila lalat jatuh ke dalam minuman seseorang daripada kamu, maka hendaklah dia selamkan lalat itu kesemuanya ke dalam minuman itu, kemudian hendaklah dia keluarkan (bangkai) lalat itu daripada minuman itu. Sesungguhnya pada salah satu sayapnya (sayap kiri) itu ada membawa penyakit dan pada sayap yang satu lagi itu ada penyembuh (ubat). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadits di atas, telah diketahui bahawa apabila Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memerintahkan supaya lalat itu dibenamkan atau dicelupkan ke dalam cecair, lebih-lebih lagi cecair yang panas, pasti akan mengakibatkan lalat itu mati lalu menjadi bangkai. Ini bererti lalat yang telah mati (bangkai) apabila dibenamkan ke dalam cecair tidak menajiskan cecair tersebut. Sekiranya cecair tersebut berubah menjadi najis (mutanajjis) disebabkan bangkai lalat, nescaya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak memerintahkan berbuat sedemikian. Tetapi sebaliknya, air minuman itu masih boleh diminum setelah dilaksanakan langkah-langkah seperti yang dijelaskan dalam hadits di atas. Lalu diqiyâskan lalat itu dengan tiap-tiap bangkai serangga yang tidak mengalir darahnya.
Di bawah ini dibawakan contoh-contoh mengenai semut, bangkai semut atau gabungan beberapa jenis serangga yang tidak mengalir darahnya yang hukumnya tidak menajiskan cecair yang sedikit, iaitu:
1. Semut yang masuk ke dalam bekas cecair dengan sendirinya dalam keadaan masih hidup, setelah itu dikeluarkan sama ada dalam keadaan ia masih hidup ataupun telah mati.
2. Semut yang masih hidup dicampakkan atau dimasukkan oleh seseorang ke dalam bekas cecair, tidak kira sama ada selepas itu semut tersebut masih hidup ataupun mati.
3. Semut yang diterbangkan oleh angin atau disebabkan oleh binatang lalu jatuh ke dalam bekas air, sama ada ia dalam keadaan masih hidup ataupun sudah mati.
4. Semut yang didapati atau dijumpai sudah mati (tanpa perbuatan sesiapa) dalam suatu bekas cecair.
5. Semut yang disyaki adakah masih hidup ataupun sudah mati ketika dicampakkan ke dalam cecair. Dalam hal ini, diambil kira bahawa semut itu pada waktu ia jatuh atau masuk ke dalam cecair itu ia dalam keadaan masih hidup, maka ia tidak menajiskan cecair.
6. Semut mati yang dicampakkan, ditepis dan seumpamanya oleh seseorang tanpa disengajakan atau dia bertujuan untuk melemparkan semut yang mati itu ke suatu tempat lain, tiba-tiba ia terjatuh ke dalam bekas cecair, maka tidaklah menajiskan cecair itu.
7. Seseorang mengeluarkan semut yang mati dengan menggunakan sesuatu alat seperti hujung lidi atau ranting kayu, dan jika dalam percubaannya untuk mengeluarkan semut yang mati itu, semut itu terjatuh semula ke dalam bekas air tanpa kecuaian, atau tanpa disengajakan, atau di luar kemampuannya (untuk mengawal) atau bukan dengan tujuan mencampakkannya, maka perbuatan ini tidak dikira sebagai mencampakkan semut yang mati dan hukumnya tidak menajiskan cecair tersebut.
Dalam keadaan ini, lidi atau ranting kayu tersebut tidak dikira bernajis dan boleh digunakan lagi untuk mengeluarkan bangkai semut yang masih tinggal (jika ada) dalam bekas air. Lidi dan ranting kayu itu boleh juga diqiyâskan dengan garpu, sudu, jari dan selainnya.
8. Serangga yang tidak mengalir darahnya yang makan atau menghisap darah binatang lain seperti kutu yang menghisap darah unta, kemudian dengan sendirinya ia jatuh ke dalam air, tidaklah menajiskan air yang sedikit. Jika kutu itu berada dalam air untuk suatu tempoh lalu mati sehingga pecah perut kutu dan keluar darah unta tadi dari perutnya, maka ada kebarangkalian ia menajiskan air, akan tetapi ia masih dimaafkan. Dalam perkara ini, darah dalam perut kutu itu adalah dimaafkan sepertimana dimaafkan apa yang ada di dalam perutnya daripada tahi lalu hancur dan bercampur dengan air selama mana tidak merubahkan air.
9. Bangkai serangga yang berada dalam cecair minyak seperti minyak dalam lampu pelita, dan seseorang berhajat untuk menambah minyak ke dalamnya, maka menurut pendapat al-awjah (pendapat yang lebih râjih dan kuat) tidak mengapa ditambah atau diisi minyak ke dalam pelita itu, sekalipun diketahui ada bangkai serangga dalam pelita serta tidak dikehendaki untuk dikeluarkan terlebih dahulu bangkai serangga itu sebelum menambah atau mengisi minyak ke dalam pelita. Ini kerana perkara sedemikian adalah daripada perkara yang sukar bagi kita untuk berjaga-jaga daripadanya.
10. Apabila bangkai semut yang jatuh dalam cecair yang sedikit itu dimaafkan dan tidak menajiskannya seperti contoh-contoh di atas, maka air tapisan daripada air atau cecair yang dimasuki semut adalah suci. Sebagai contoh jika cecair dalam bekas yang ada di dalamnya semut yang mati itu ditapis seperti diletakkan satu perca kain di atas satu bekas seperti mangkuk, kemudian dituang cecair yang ada bangkai semut itu di atas tapisan kain perca tadi dan terasinglah semut daripada air, maka perbuatan sedemikian tidak menjejaskan kesucian air yang ditapis itu. Ini kerana air yang dituang ke atas kain perca adalah air yang bersambung dengan semut yang mati itu dan bukan diertikan sebagai semut yang mati itu dicampakkan ke dalam cecair.
Bangkai Semut
Penjelasan di atas adalah mengenai persoalan hukum bangkai serangga yang tidak mengalir darahnya apabila berada dalam air yang sedikit. Adapun bangkai serangga itu sendiri, maka menurut pendapat yang shahih, adalah tetap najis kerana ia adalah bangkai. Walau bagaimanapun ia tidak menajiskan air kerana kesukaran mengelak dan menjaga keadaan sedemikian daripada berlaku.
Dalam perkara ini, sungguhpun bangkai semut adalah dimaafkan dan tidak menajiskan cecair, namun tidak diharuskan untuk menelannya (memakan) atau meminumnya bersama-sama cecair tersebut. Perkara ini berdasarkan pandangan beberapa ulama dalam perkara memakan bangkai lalat dan seumpamanya daripada serangga yang tidak mengalir darahnya bersama-sama makanan. Menurut pendapat mereka, hukumnya adalah tidak halal, kerana selain bangkai ia juga menjijikkan.
Demikian antara gambaran dan cara penyelesaian kepada persoalan serangga yang mati dalam cecair yang sedikit. Pendapat para ulama yang telah dibawakan di atas dibuat berdasarkan kesukaran kita untuk berjaga-jaga atau mengelak daripada serangga yang tidak mengalir darahnya ini.
Ijtihâd ulama dengan memilih pendapat (qaul) yang râjîh (yang lebih kuat) bahawa air tersebut adalah suci juga memberi kemudahan kepada umat Islam dan adalah lebih sesuai dengan dasar Islam. Serangga atau haiwan yang tidak mengalir darahnya, termasuk bangkainya, tidak menajiskan cecair yang sedikit. Oleh yang demikian, dalam perkara wudhu’, mandi dan mengangkat hadas, takungan air bersih yang sedikit yang dimasuki semut dan seumpamnya adalah suci dengan syarat-syarat yang dijelaskan serta ia tidak mengubah sifat-sifat air. Oleh itu, air tersebut boleh digunakan untuk berwudhu’, mandi, mengangkat hadas dan seumpamanya.
TIDAK SEMUA UCAPAN SALAM WAJIB DIJAWAB
Salah satu ajaran Islam yang disyariatkan sebagai pengerat silaturrahim, pengukuh kasih sayang serta penjana kekukuhan umat ialah memberi dan menjawab salam.
Ulama telah bersepakat bahawa memberi salam itu hukumnya sunat Kifayah manakala menjawabnya pula adalah fardhu ‘Ain jika yang diberi salam itu seorang diri dan fardhu Kifayah jika yang diberi salam itu ramai.
Khusus mengenai hukum menjawab salam, tidak semua salam itu wajib dijawab. Sungguhpun hukum asal menjawab salam itu wajib, namun ada kalanya dalam keadaan-keadaan tertentu ia boleh bertukar menjadi sunat, makruh dan bahkan adakalanya haram.
Terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan salam itu tidak wajib dijawab. Keadaan-keadaan tersebut adalah seperti berikut:
Keadaan Pertama: Ucapan salam yang tidak diiktiraf atau tidak memenuhi syarat.
1. Ucapan salam yang tidak dapat didengar oleh orang yang diberi salam adalah tidak memadai dan tidak diiktiraf oleh syara‘ sebagai ucapan salam yang disunatkan. Oleh itu, orang yang diberi salam tidak wajib menjawab salam tersebut.
Begitu juga dalam hal menjawab salam. Jika jawapan salam itu belum dapat didengar oleh orang yang memberi salam, maka belum gugur kewajipan menjawab salam itu.
Jika orang yang dijawab salamnya itu orang yang kurang upaya pendengarannya, maka hendaklah diangkat suara supaya jawapan salam itu benar-benar dapat didengar oleh pemberi salam itu.
Adapun ucapan salam secara tulisan pula, umpamanya melalui surat, e-mail ataupun pesanan ringkas telefon bimbit (sms), juga wajib dijawab dengan segera sama ada jawapan salam itu diucapkan melalui tulisan ataupun dilafazkan. Ini dengan syarat ucapan salam itu diberikan dengan lafaz ucapan salam yang shahîh dan diiktiraf oleh syara‘.
2. Ucapan salam dengan lafaz ‘wa‘alaikumussalam’ ( وَعَلَيْكُمُالسَّالَم ) adalah tidak diiktiraf sebagai ucapan salam. Ini kerana ia hanya sesuai sebagai jawapan salam dan tidak sesuai sebagai lafaz ucapan salam kerana terdapat huruf athf (و) yang membawa makna ‘dan’ pada awal ucapan tersebut. Oleh itu, orang yang diberi salam tidak wajib menjawab salam tersebut.
3. Ucapan salam dengan isyarat semata-mata tanpa melafazkannya, sedangkan orang yang memberi salam itu bukan orang yang bisu adalah tidak memadai sebagai ucapan salam yang diiktiraf oleh syara‘. Oleh itu orang yang diberi salam tidak wajib menjawab salam tersebut.
Demikian juga dengan jawapan salam, tidak memadai jawapan salam itu hanya dengan isyarat semata-mata.
Jika disertakan lafaz salam atau jawapannya itu dengan isyarat, maka menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, yang demikian itu adalah lebih elok dan sunat.
4. Ucapan salam kepada orang yang pekak, adalah wajib dilafazkan berserta dengan isyarat tangan atau yang seumpamanya supaya orang yang pekak itu dapat memahaminya. Jika lafaz salam itu tidak disertakan dengan isyarat, maka tidak wajib bagi orang yang pekak itu menjawab salam tersebut.
Begitu juga dengan jawapan salam kepada orang yang pekak adalah wajib dilafazkan jawapan salam itu berserta dengan isyarat yang difahami oleh orang yang pekak itu.
Keadaan Kedua: Ucapan salam di antara lelaki dan perempuan yang tiada kaitan mahram atau perkahwinan.
1. Dalam situasi yang dikhuatiri akan menimbulkan fitnah, umpamanya ucapan salam daripada lelaki ajnabiy (yang tiada kaitan mahram atau perkahwinan) kepada perempuan ajnabiyyah yang boleh mendatangkan keinginan atau ghairah kaum lelaki dan tidak ada bersama mereka orang lain seperti mahram atau jemaah yang ramai, adalah tidak wajib dijawab oleh perempuan ajnabiyyah itu. Bahkan haram perempuan tersebut menjawab salam lelaki ajnabiy itu. Demikian juga haram perempuan tersebut memberi salam kepada lelaki ajnabiy di dalam situasi seperti di atas kerana perbuatan tersebut dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.
Adapun perempuan ajnabiyyah yang boleh mendatangkan keinginan atau ghairah kaum lelaki dan tidak ada bersama mereka orang lain seperti mahram atau jemaah yang ramai, jika dalam situasi begini dia memberi salam kepada lelaki ajnabiy, maka makruh atas lelaki itu menjawab salam perempuan tersebut dan makruh juga ke atas lelaki itu memberi salam kepada perempuan tersebut kerana yang demikian itu boleh menimbulkan fitnah.
2. Dalam situasi yang tidak menimbulkan fitnah pula, umpamanya ucapan salam daripada seorang lelaki ajnabiy kepada sekumpulan perempuan, yang jumlahnya sekurang-kurangnya dua orang, maka wajib salah seorang daripada perempuan itu menjawab salamnya kerana hal sedemikian itu tidak akan mendatangkan fitnah sepertimana yang dinyatakan oleh Imam as- Syarbini, Imam Ibnu Hajar al-Haitami, Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahumullâh dan lainnya. Jika semua perempuan itu menjawab salam tersebut maka yang demikian itu adalah harus dan mereka mendapat pahala menjawab salam. Begitu juga sebaliknya, iaitu wajib lelaki itu menjawab salam daripada sekumpulan orang perempuan itu.
Termasuk juga dalam kategori tidak mendatangkan fitnah ini, perempuan ajnabiyyah yang tua yang keadaannya tidak mendatangkan keinginan atau ghairah kaum lelaki jika dia memberi salam kepada lelaki ajnabiy, maka wajib lelaki itu menjawab salamnya walaupun perempuan tua itu seorang diri ketika itu. Begitu juga wajib atas perempuan tua itu menjawab salam daripada lelaki ajnabiy tersebut.
Dalam situasi yang tidak menimbulkan fitnah seperti yang disebutkan di atas ini, selain wajib dijawab salam yang diucapkan oleh satu pihak, sunat juga hukumnya memberi salam di antara satu dengan yang lain.
Keadaan Ketiga: Ucapan salam kepada orang yang tidak disunatkan untuk diberikan salam.
Menurut ulama, orang yang tidak disunatkan untuk diberikan salam kepadanya kerana suatu sebab atau keadaan, maka orang itu pun tidak wajib menjawab salam yang diberikan kepadanya. Penjelasannya adalah seperti berikut:
1. Ucapan salam kepada orang yang sedang mengerjakan sujud tilâwah atau sedang mengerjakan sembahyang adalah tidak wajib dijawab. Begitu juga tidak wajib diakhirkan jawapan salam itu sehingga selesai mengerjakan sembahyang.
Bagaimanapun, menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, disunatkan ke atas orang yang sedang mengerjakan sembahyang untuk menjawab salam tersebut dengan menggunakan isyarat sahaja, tanpa melafazkan apa-apa. Iaitu dengan menggunakan isyarat yang dapat difahami sebagai penjawab salam, umpamanya dengan isyarat kepala ataupun tangan.
Jika dia hendak melambatkan jawapannya sehingga dia selesai mengerjakan sembahyang, maka tidak mengapa dia melafazkannya. Ini dengan syarat tidak jauh jaraknya di antara ucapan salam dengan jawapannya itu.
Adapun jika dia menjawab salam tersebut ketika sedang sembahyang dengan melafazkan ‘wa‘alaikumus-salâm’ )ُالسَّالَم وَعَلَيْ كُم( yang maknanya: “Dan selamat sejahtera juga ke atasmu”, maka batallah sembahyangnya jika dia mengetahui akan keharamannya kerana lafaz seumpama itu adalah berbentuk khithâb iaitu ada percakapan di antaranya dengan pemberi salam. Jika dia melakukannya kerana jahil akan keharamannya, maka tidak batal sembahyangnya.
Sekiranya dia menjawab salam dengan lafaz ‘wa‘alaihis-salâm’ ( ُوَعَلَيْ ه ِالسَّالَم) yang maknanya: “Dan selamat sejahtera juga ke atasnya”, maka menurut ulama, ini tidak membatalkan sembahyang kerana lafaz seumpama itu adalah do‘a yang tidak berbentuk khitâb iaitu tidak ada percakapan di antaranya dengan pemberi salam.
2. Menurut Imam asy-Syarbini Rahimahullâh, ucapan salam kepada seorang khatib yang sedang berkhutbah adalah tidak wajib dijawab kerana kesibukannya menyampaikan khutbah itu.
Adapun ucapan salam kepada orang yang sedang mendengar khutbah pula, menurut pendapat yang ashah (paling shahîh), wajib hukumnya dia menjawab salam tersebut.
3. Ucapan salam kepada orang yang sedang khusyû‘ atau tertumpu akal fikiran, hati ataupun jiwanya mengerjakan sesuatu perkara, yang kekhusyû‘annya itu menyebabkan dia sukar untuk menjawab salam pada ketika itu. Dalam hal ini, tidak kira sama ada perkara yang dikerjakannya itu adalah perkara ibadat, seperti orang yang sedang khusyû‘ membaca do‘a, mahupun perkara keduniaan, mereka ini tidak sunat diberikan salam dan mereka juga tidak wajib menjawab salam tersebut.
4. Ucapan salam kepada orang yang sedang qadha’ hajat adalah tidak wajib dijawab. Bahkan makruh bagi mereka untuk menjawab salam.
5. Ucapan salam kepada orang yang sedang minum, sedang mengunyah makanan atau ada makanan di dalam mulutnya adalah tidak wajib dijawab, tetapi hanyalah sunat sahaja baginya untuk menjawabnya.
6. Ucapan salam kepada orang yang sedang melaungkan azan ataupun iqâmah adalah tidak wajib dijawab. Akan tetapi jika dia hendak menjawabnya juga maka tidaklah makruh hukumnya dan tidak pula terjejas azan ataupun iqâmah yang dilaungkannya itu.
Menurut Syeikh al-Malibari Rahimahullâh, sunat menjawab salam ketika sedang melaungkan azan atau iqâmah itu dengan isyarat sahaja tanpa melafazkannya dan boleh juga melambatkan jawapannya sehingga dia selesai melaungkan azan atau iqâmah itu dengan syarat tidak jauh jaraknya di antara ucapan salam dengan jawapannya itu.
7. Ucapan salam kepada orang yang dalam keadaan sangat mengantuk adalah tidak wajib dijawab.
Keadaan Keempat: Kanak-kanak yang belum mukallaf.
Menurut ulama, ucapan salam kepada kanak-kanak yang belum mukallaf yakni belum bâligh adalah tidak wajib dijawab bahkan hanyalah sunat sahaja kanak-kanak itu menjawabnya dan sebagai menjaga adab.
Sekiranya seseorang memberi salam kepada sekumpulan orang bâligh yang bersama mereka itu terdapat kanak-kanak yang belum mukallaf, lalu kanak-kanak yang belum mukallaf itu sahaja yang menjawab salam tersebut, maka menurut al- Qadhi Hussain, Imam al-Mutawalli, Imam ar-Rafi‘e Rahimahumullâh dan lain-lainnya, tidak gugur tuntutan menjawab salam itu bagi orang-orang lain yang mukallaf dalam kumpulan tersebut.
Adapun ucapan salam daripada kanak-kanak yang belum bâligh kepada orang yang sudah bâligh pula, menurut pendapat yang shahîh sepertimana yang dinukilkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Adzkâr, al- Majmû‘ dan Raudhah ath-Thâlibîn, wajib bagi orang yang sudah bâligh itu menjawab salam yang diberikan oleh kanak-kanak itu.
Keadaan Kelima: Salam daripada ahli bid‘ah, orang yang dengan terang-terangan melakukan kefâsiqan dan pembuat dosa besar yang belum bertaubat.
Menurut pendapat yang paling shahîh sebagaimana yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh, ucapan salam daripada ahli bid‘ah, orang yang dengan terang-terangan melakukan kefâsiqan dan pembuat dosa besar yang belum bertaubat adalah tidak wajib dijawab.
Begitu juga tidak disunatkan memberi salam kepada mereka, sebaliknya adalah disunatkan untuk tidak memberi salam ke atas mereka sebagai satu simbol herdikan, kecaman, celaan dan menunjukkan perasaan tidak redha dengan perlakuan mereka. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata: “Ini adalah mazhab ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ dan Imam al-Bukhari Rahimahullâh pengarang kitab Shahîh (al-Bukhari).”
Keadaan Keenam: Salam daripada orang yang hilang akal atau hilang sifat mumayyiznya.
Menurut ulama, ucapan salam daripada orang yang hilang akalnya atau hilang sifat mumayyiznya kerana sesuatu penyakit atau sesuatu sebab seperti gila, mabuk dan sebagainya adalah tidak wajib dijawab.
Demikian beberapa penjelasan mengenai keadaan-keadaan yang tidak diwajibkan menjawab salam padanya. Mudah-mudahan penjelasan ini akan menambahkan lagi kefahaman kita tentang perkara-perkara agama khususnya tentang permasalahan menjawab salam.
BEBERAPA PERMASALAHAN CARA DAN HUKUM-HAKAM MENJAWAB SALAM
Para ulama mazhab asy-Syafi‘e bersepakat bahawa hukum memberi salam itu adalah sunat Kifayah manakala hukum menjawabnya pula adalah fardhu ‘Ain jika yang diberi salam itu seorang sahaja dan fardhu Kifayah jika yang diberi salam itu jumlah yang ramai.
Apabila seseorang itu enggan atau tidak menjawab salam sedangkan dari segi hukum dia wajib menjawabnya, maka adalah elok dan disunatkan supaya pemberi salam itu dengan secara lembut memperingatkan orang yang tidak menjawab salamnya itu supaya menjawab salamnya dan memperingatkannya bahawa menjawab salam itu adalah wajib dengan mengatakan: “Menjawab salam itu wajib, maka saudara mestilah menjawab salam saya supaya saudara terlepas daripada tanggungan hukum wajib tersebut” atau yang seumpamanya.
Sekiranya pemberi salam itu redha salamnya tidak dijawab, ini tidak sekali-kali akan menggugurkan tanggungan wajib menjawab salam itu daripada orang yang diberi salam ke atasnya itu, kerana ia merupakan hak Allah Ta‘ala sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Mutawalli Rahimahullâh.
Perbincangan tentang perkara menjawab salam ini tidak hanya terbatas kepada permasalahan hukum menjawab salam itu sahaja. Walaupun perkara menjawab salam ini seakan-akan mudah, kerana ia adalah amalan harian seorang Muslim, namun sebagai salah satu perkara yang berbentuk ibadat, banyak permasalahannya yang perlu diketahui agar amalan menjawab salam itu dimaklumi oleh orang Islam dan dapat dilaksanakan sesempurna mungkin. Berikut ini disebutkan beberapa permasalahan mengenai cara dan hukum-hakam menjawab salam.
1. Lafaz jawapan salam itu sekurang-kurangnya ialah: “Wa‘alaikassalâm”
salam yang paling afdhal dan paling sempurna ialah “wa‘alaikumussalâm
Namun harus diingat bahawa lafaz “wa‘alaikassalâm” ( ُوَعَلَيْك َ السَّالَم) yang ertinya: “Selamat sejahtera ke atasmu” itu hanya sah sebagai jawapan salam jika orang yang memberi salam itu seorang sahaja, kerana kata ganti diri ‘mu’ itu merupakan kata ganti diri tunggal yang hanya sesuai ditujukan kepada seorang sahaja. Adapun jika pemberi salam itu ramai maka ucapan tersebut tidak memadai bahkan hendaklah dijawab dengan lafaz “wa‘alaikumussalâm” ( ُ وَعَلَيْكُم ُ السَّالَم ) yang ertinya: “Selamat sejahtera ke atas kamu.”
2. Mengucapkan “wa‘alaikumussalâm” ( وَعَلَيْكُم ُ السَّالَم َُ ) itu lebih afdhal daripada “wa‘alaikassalâm” ( ُوَعَلَيْك َ السَّالَم) walaupun orang yang dijawab salamnya itu hanya seorang kerana kata ganti diri ‘kamu’ itu lebih menunjukkan sikap hormat dan agar ucapan selamat dan kesejahteraan itu akan turut sama merangkumi para malaikat yang mendampinginya.
3. Sekiranya diberi salam oleh sekumpulan orang ramai, maka menjawabnya dengan melafazkan sekali ucapan “wa‘alaikumussalâm” ( ُوَعَلَيْكُم ُ السَّالَم) adalah memadai jika diniatkan lafaz tersebut sebagai jawapan salam bagi semua orang yang memberikan salam dalam kumpulan tersebut tanpa perlu dijawab seorang demi seorang.
4. Jika diucapkan jawapan salam itu dengan lafaz “‘alaikumussalâm” ( ُُ عَلَيْكُم السَّالَم) tanpa menyebut “wa” yakni membuang huruf ‘athf (و), maka menurut ulama itupun sudah memadai sebagai jawapan salam. Bagaimanapun, menyebut “wa” pada permulaan jawapan salam itu adalah lebih afdhal dan lebih baik daripada meninggalkannya.
5. Adapun menjawab salam dengan lafaz “wa‘alaikum” ( ُوَعَلَيْكُم) sahaja adalah tidak memadai sebagai jawapan salam.
6. Menjawab salam dengan lafaz “assalâmu‘alaikum” ( ُالسَّالَم ْ عَلَيْكُم) adalah harus dan memadai.
Begitu juga dengan lafaz “salâmun ‘alaikum” ( ْسَالَم ٌ عَلَيْكُم), iaitu dengan membuang huruf ‘alif’ dan ‘lâm ma‘rifah’ pada perkataan ( ُ السَّالَم) juga dikira dan diiktiraf sebagai lafaz yang shahîh untuk menjawab salam. Bagaimanapun menyertakan ‘alif’ dan ‘lâm ma‘rifah’ itu adalah lebih sempurna dan lebih afdhal.
7. Menurut pendapat yang shahîh sepertimana yang dipilih oleh Imam an- Nawawi Rahimahullâh, ucapan salam dengan lafaz “‘alaikassalâm” ( َ عَلَيْك
عَلَيْكُم), adalah wajib dijawab kerana lafaz-lafaz tersebut dikira sebagai ucapan salam yang betul.
Walau bagaimanapun, memberi salam dengan lafaz terbalik, iaitu lafaz
السَّالَم) itu hukumnya adalah makruh.
8. Disyaratkan dalam menjawab salam supaya lafaz jawapan itu dapat didengar dengan jelas oleh orang yang memberi salam. Dari itu, selagi jawapan salamnya itu belum dapat didengar oleh orang yang memberi salam, maka selagi itulah belum gugur kewajipan menjawab salam itu daripada tanggungannya.
Jika orang yang dijawab salamnya itu orang yang kurang baik pendengarannya, maka hendaklah diangkat suara dalam kadar yang mampu didengar olehnya supaya jawapan salam itu benar-benar dapat didengar oleh pemberi salam itu.
9. Sekiranya orang yang diberi salam itu adalah orang pekak, maka diwajibkan ke atas orang yang hendak memberi salam kepadanya itu supaya melafazkan salam berserta dengan isyarat tangan atau yang seumpamanya supaya dia dapat memahaminya. Jika lafaz salam itu tidak disertakan dengan isyarat, maka tidak wajib bagi orang yang pekak itu untuk menjawab salamnya.
Begitu juga apabila menjawab salam yang diberikan oleh orang pekak, wajib ke atas orang yang hendak menjawab salamnya itu supaya mengiringi lafaz jawapan salam itu berserta isyarat. Bagaimanapun, jika penjawab salam itu mengetahui bahawa orang pekak itu dapat memahami daripada pergerakan mulutnya yang dia menjawab salamnya, maka tidaklah disyaratkan untuk menyertakan isyarat dalam hal ini.
Adapun salam orang bisu dengan isyarat semata-mata adalah dikira dan wajib dijawab. Begitu juga jawapan salamnya dengan isyarat semata-mata adalah memadai dan dikira sebagai jawapan salam yang sah.
10. Wajib jawapan salam itu tidak jauh jarak masa atau tempohnya daripada ucapan pemberi salam. Jika orang itu mengakhirkan atau melambat-lambatkan jawapan salam dan tidak menjawabnya dengan segera, maka ini tidak lagi dikira sebagai jawapan salam dan dia berdosa kerana dikira sebagai tidak menjawabnya.
11. Wajib menjawab dengan segera salam yang dikirimkan oleh seseorang yang disampaikan oleh orang lain yang dihantarkannya sebagai utusan dan sunat diiringi jawapan salam itu dengan jawapan untuk utusannya dengan menyebutkan lafaz seumpama “wa‘alaika wa‘alaihissalâm wa rahmatullâh wa barakâtuh”
atasmu dan selamat sejahtera juga ke atasnya (pemberi salam) serta (kurniaan) rahmat Allah dan keberkatanNya (ke atas kamu)”. Caranya adalah dengan mendahulukan jawapan salam kepada utusan yang menyampaikan salam terlebih dahulu kemudian barulah kepada orang yang mengirimkan salam.
12. Apabila salam itu ditujukan kepada satu kumpulan, maka hukum menjawabnya adalah fardhu Kifayah. Jadi jika salah seorang sahaja daripada mereka itu menjawab salam tersebut, maka yang demikian itu adalah memadai dan gugurlah kewajipan menjawab salam itu daripada orang lain dalam kumpulan tersebut. Dalam hal ini, pahala menjawab salam itu hanya diperolehi oleh orang yang menjawab salam itu sahaja.
Jika kesemua orang dalam kumpulan itu menjawab salam tersebut, maka yang demikian itu adalah suatu yang terbaik dan paling sempurna. Dengan perbuatan ini juga pahala menjawab salam itu akan diperolehi oleh semua walaupun jawapan salam mereka itu tidak serentak.
Jika tidak ada seorang pun daripada orang yang berada dalam kumpulan tersebut yang menjawab salam itu, maka semua mereka itu menanggung dosa.
13. Jika salam itu dijawab oleh orang lain yang bukan ditujukan salam itu untuknya, maka ini tidak melepaskan orang yang ditujukan salam kepadanya itu daripada tanggungan hukum wajib menjawab salam bahkan masih juga diwajibkan atasnya menjawab salam tersebut.
Demikian beberapa penjelasan tentang permasalahan cara dan hukum-hakam menjawab salam. Apa yang perlu diambil perhatian ialah ucapan salam serta jawapannya bukanlah satu perkara mudah yang boleh dibuat sambil lewa sahaja. Ia adalah satu ibadat yang mendatangkan ganjaran pahala dan memiliki cara dan hukum-hakamnya yang tersendiri. Rugilah sekiranya mana-mana amal ibadat yang kita kerjakan tidak diterima atau tidak dibuat sebaik mungkin kerana kejahilan kita sendiri.
MEROKOK: Berhenti Sekarang!
Islam adalah agama pembawa cahaya hidayah yang menyelamatkan manusia daripada segala bentuk kegelapan. Tidak ada jalan lain untuk meraih kebahagiaan dunia dan akhirat kecuali dengan mengikut segala perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan menjauhi segala laranganNya dengan penuh keimanan dan kepercayaan terhadap kebijaksanaanNya.
Islam juga adalah agama yang cintakan kesejahteraan dan menolak segala bentuk keburukan dan kemudharatan. Dari itu, Islam telah mengasaskan enam sendi sebagai dasar bagi memelihara mashlahat dan menolak bencana, iaitu: Memelihara agama, memelihara nyawa atau jiwa, memelihara akal, memelihara nasab, memelihara nama baik dan memelihara harta. Maka setiap perkara yang boleh merosakkan walau satu sahaja daripada enam sendi ini adalah haram di sisi Islam dan wajib dijauhi.
Rokok Tidak Diragukan Keharamannya
Kemudharatan rokok terhadap kesihatan memang tidak diragukan lagi. Ia juga menjejaskan nama dan kedudukan perokok di sisi masyarakat serta suatu pembaziran yang nyata. Para ulama pun sudah menghukumkannya sebagai haram. Tidak ada khilâf dalam perkara ini kecuali pada sebilangan kecil ulama sahaja.
Antara hujjah ulama tentang pengharaman rokok itu ialah atas dasar-dasar berikut:
1. Mendatangkan kemudharatan.
Islam memperakui bahawa kesihatan adalah ni‘mat yang tidak ternilai dan mesti dipelihara. Dari itu syariat Islam menegah umatnya daripada melakukan perkara-perkara yang boleh memudharatkan kesihatan.
Allah Ta‘ala melarang dengan tegas dan sekeras-kerasnya daripada menghampiri apa-apa yang memudharatkan, bahkan menyuruh membanterasnya, apatah lagi yang menjadi pemusnah kepada jiwa. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu. (Surah an-Nisâ’: 29)
Firman Allah Ta‘ala lagi dalam surah al-Baqarah 195:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam bahaya kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195)
Tidak diragukan lagi bahawa merokok sememangnya memudharatkan kesihatan. Ini diperakui sendiri bukan sahaja oleh pakar perubatan yang beragama Islam, malah pakar perubatan yang bukan Islam pun turut sama mengakuinya. Memudharatkan diri, sama ada secara serta merta mahupun secara perlahan-perlahan, kedua-duanya adalah haram.
Rokok bukan sahaja memudharatkan nyawa perokok, bahkan ia juga turut memudharatkan nyawa orang-orang yang berada di sekitar mereka.
2. Perbuatan zalim.
Memudharatkan nyawa orang lain adalah satu perbuatan zalim yang nyata haramnya dan wajib dihindarkan. Sedangkan perbuatan mengganggu keselesaan orang lain pun sudah ditegah, apatah lagi sehingga sampai ke tahap memudharatkan mereka.
Firman Allah Ta‘ala dalam surah asy-Syûrâ ayat 42:
Tafsirnya: Dan sesungguhnya dosa (yang dikira itu) hanyalah terhadap orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan melampaui batas di bumi tanpa sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab yang pedih. (Surah asy-Syûrâ: 42)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman dalam sebuah hadits qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Radhiallâhu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diriKu, dan Aku mengharamkannya pula atas kamu, maka janganlah kamu saling zalim menzalimi. (Hadits riwayat Muslim)
Abu Musa al-Asy‘ari dan ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhum meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Seorang Muslim (yang baik dan sempurna) itu ialah sesiapa yang orang-orang Islam (yang lainnya) selamat daripada (perbuatan buruk) lidah dan tangannya (segenap perbuatannya). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3. Keji, buruk dan menjijikkan.
Dalam kaedah pemakanan, al-Qur’an telah menetapkan dasar sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan Dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk. (Surah al-A‘râf:157) Menurut ulama tafsir, perkataan ‘‘ ’ (benda jijik, keji dan buruk) yang tersebut di dalam ayat di atas ialah apa jua perkara yang menjijikkan dan tidak disukai oleh tabiat suci atau pembawaan normal atau fitrah manusia, seperti bangkai dan darah, ataupun sesuatu yang menjadi sebab kerosakan dan mudharat kepada tubuh badan, seperti babi yang boleh memberi kesan buruk kepada orang yang memakannya atau daripada sumber-sumber yang memudharatkan. Tidak syak lagi bahawa rokok tergolong dalam kategori ‘ ’ ini kerana ia suatu yang jijik dan perbuatan merokok itu pula adalah satu tabiat yang buruk, mencalarkan martabat, maruah dan nama baik dan mudharatnya sangat besar terhadap diri serta orang lain.
4. Membazir dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat.
Membazir adalah perbuatan syaitan sebagaimana yang dijelaskan dalam al- Qur’an. Imam Abu Bakar ar-Razi Rahimahullâh berkata dalam Ahkâm al- Qur’ân bahawa setiap perbuatan yang tergolong dan dikaitkan dengan perbuatan syaitan wajib dijauhi.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Isrâ’:
Tafsirnya: …dan janganlah engkau membazir (membelanjakan hartamu pada jalan yang menyalahi syara‘). Sesungguhnya orang-orang yang membazir (membelanjakan harta pada jalan yang salah) itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya. (Surah al-Isrâ’: 26-27)
Seorang perokok sukar mengawal dirinya daripada membazirkan jumlah wang yang banyak untuk menampung ketagihannya terhadap rokok. Alangkah baiknya jika wangnya itu dipergunakan untuk menampung dan menambah keperluan nafkah serta keperluan anak isteri, ibu bapa, adik-beradik dan sebagainya seperti bersedekah daripada dibazirkan untuk sesuatu yang jijik dan memudharatkan diri sendiri serta orang lain.
Jika rokok itu hanya melibatkan walau satu sahaja pun daripada perkara di atas, nescaya ia sudah cukup sebagai asas kukuh pengharamannya. Ini kerana setiap yang mudharat itu haram dan setiap kezaliman itu juga haram. Setiap yang keji itu haram dan setiap pembaziran itu juga haram. Apatah lagi kesemuanya itu dihimpunkan dalam satu pakej. Ini sekaligus menolak pendapat lemah sebahagian golongan yang menyatakan bahawa merokok itu adalah makruh yang sering menjadi alasan dan sandaran perokok yang degil. Ini kerana perbuatan melakukan kemudharatan terhadap diri sendiri, memudharatkan orang lain, melakukan dan mengambil sesuatu yang jijik dan melakukan pembaziran itu setiap satunya adalah haram. Jadi di manakah dasar hukum makruh tersebut? Jangan kerana kepentingan peribadi dan tuntutan hawa nafsu, kita sesuka hati mengikut hukum dan pendapat yang sesuai dan menyokong perlakuan kita.
Setiap Perbuatan Haram Dan Terlarang Mesti Ditinggalkan Serta-Merta
Agama Islam selari dengan fitrah manusia. Manusia secara fitrah dan semula jadinya menyukai yang baik dan bermanfaat dan membenci semua yang buruk dan memudharatkan. Rokok terbukti dan diperakui penuh dengan keburukan dan mendatangkan mudharat yang besar bukan sahaja kepada perokok, bahkan juga kepada orang-orang lain. Jadi orang yang waras dan normal pertimbangan akalnya, apatah lagi seorang Muslim yang sentiasa dibimbing oleh syariat suci Islam, secara semula jadinya pasti menolak rokok. Dalam melaksanakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya, tidak ada istilah “tunggu dahulu sehingga dikuatkuasakan undang-undang” atau “tunggu dahulu sehingga fatwa digazetkan” atau selain daripada kedua-duanya.
Perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya sama ada yang berbentuk suruhan wajib ataupun larangan daripada melakukan yang haram, wajib dilaksanakan tanpa bertangguh. Dari itu, setiap bentuk maksiat wajib dihentikan serta-merta dan wajib bertaubat daripadanya tanpa bertangguh, tidak kira sama ada ia dalam lingkungan dosa kecil mahupun dosa besar.
Tidak ada pilihan lain bagi seorang yang mengaku sebagai orang Islam selain daripada mematuhi segala suruhan dan larangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya dengan penuh taat, ikhlas dan redha. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan tidak boleh sama sekali bagi seseorang lelaki dan perempuan yang beriman apabila Allah dan RasulNya menetapkan sesuatu (perintah) bahawa mereka mempunyai pilihan (yang lain) dalam urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata. b: 36)âzhA-(Surah al
Dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa tidak patut bagi orang-orang yang beriman apabila Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya telah menetapkan sesuatu hukum dan ketentuan, mereka memilih hukum dan ketentuan lain yang bertentangan dengan hukum dan ketentuan tersebut kerana ini bererti menderhakai perintah kedua-duanya dan tersesat daripada jalan yang benar.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman lagi:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut kepada Allah serta bertaqwa kepadaNya maka mereka itulah orang-orang yang mendapat kejayaan. (Surah an-Nûr: 52)
Ayat di atas ini pula menjelaskan bahawa sesiapa yang mentaati semua perintah dan menjauhi segala larangan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya kerana yakin bahawa ketaatan mereka itu akan membawa kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat, maka mereka itulah orang-orang yang mendapat keredhaan dan bebas daripada segala seksaanNya.
Jika menerima bulat-bulat segala syariat dan hukum Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya itu adalah salah satu sifat utama orang mu’min. Maka menolak, tidak menerima atau tidak mentaati walau satu sahaja daripada hukum Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya itu adalah satu perbuatan derhaka dan kesesatan yang nyata.
Seorang Muslim yang benar-benar beriman dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan risalah yang dibawakan oleh Rasul utusanNya iaitu Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam hatta dalam perkara makruh sekalipun dia akan berasa takut untuk melakukannya dan sedaya upaya mengelakkannya, apatah lagi dalam perkara yang tsabit keharamannya. Imam Ibnu Rajab Rahimahullâh berkata bahawa wajib ke atas setiap orang mu’min membenci segenap perbuatan yang tidak disukai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sehingga kebenciannya terhadap perbuatan itu menghalangnya daripada melakukan apa yang dilarang dan tidak disukai oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Dari itu taatilah perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan perintah RasulNya dengan penuh redha dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi, tanpa dolak-dalik dan tanpa rasa berat. Ingatlah bahawa setiap perkara yang disyariatkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya adalah untuk kebaikan dan penuh dengan hikmah yang tersendiri.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Bagi orang-orang yang mentaati perintah Tuhan mereka, ada pahala yang terbaik (syurga) dan orang-orang yang tidak mentaati perintahNya, kalau mereka mempunyai apa yang ada di bumi kesemuanya dan sebanyak itu lagi bersertanya (sebagai tambahan), tentulah mereka akan menebus diri mereka dengan kekayaan itu. Mereka itulah yang akan mendapat seburuk-buruk hitungan hisab dan tempat mereka ialah Neraka Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan. (Surah ar-Ra‘d: 18)
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam titah Baginda ketika Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran di Balai Singgahsana, Istana Nurul Iman, pada 15hb September 2013 Masehi bersamaan 9hb Zulkaedah 1434 Hijrah baru-baru ini, turut menyuarakan kehairanan dan kerungsingan Baginda tentang gejala rokok ini. Baginda bertitah:
“Di negara ini, 50% kaum bapa masih jadi perokok di dalam rumah. Mereka ini sebenarnya bertindak kejam terhadap diri sendiri dan juga keluarga. Malah menjadi penyebar racun yang merbahaya di dalam negara. Beta pada sekian lama telah memerhatikan perkara ini. Namun belum didapati langkah tegas mengenainya. Apakah lagi yang ditunggu itu? Hukum haram merokok sudahpun lama difatwakan, begitu juga, mudharat merokok sehingga membahayakan nyawa sudah dikenal pasti. Malah perkara ini sering diulang-ulang di dalam ucapan-ucapan, namun rokok masih saja terus beredar, boleh dijual, dibeli dan dihisap oleh rakyat, termasuk oleh orang-orang Islam sendiri. Sampai bilakah lagi untuk kita bertindak tegas menyelamatkan orang ramai dan negara daripada bahaya rokok itu? Agak menghairankan, kita asyik bercakap mengenai gaya hidup sihat, asyik bersenam, asyik berwalkaton dan berlarian, tetapi di dalam masa yang sama, kita juga masih membiarkan asap rokok meracuni rumah-rumah dan malah negara.” (Pelita Brunei, Tahun 58 / Bilangan 112, Tarikh: 18 September 2013/12 Zulqa‘dah 1434)
Titah bertanya: “Apakah lagi yang ditunggu itu?”. Ya, memang wajar dan malah tepat sekali titah tersebut kerana berlambat-lambat atau bertangguh-tangguh di dalam menangani isu rokok dan merokok akan membebankan kita mahupun kerajaan dengan risiko yang sangat berat. Lebih-lebih lagi fatwa pengharamannya telahpun lama difatwakan, dimana kecuaian, apatah lagi jika kita enggan mematuhinya, tidakkah ini mengundang kepada dosa? Lagi lama kita bertangguh lagi bertambahlah dosa itu. Kedua ialah risiko dari segi kesihatan dan nyawa, ia sudah amat jelas tidak perlu lagi diulang-ulang.
Jadi tidak ada lagi alasan untuk menunggu dalam hal menjauhi perkara haram. Jangan kerana tuntutan hawa nafsu, kecintaan terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya dibelakangkan. Tidak ada yang membuktikan kecintaan sejati terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta RasulNya selain daripada memelihara batasan syariat agama Islam. Dari itu kukuhkanlah iman, kuatkanlah azam serta iltizâm dan perbanyakkanlah do‘a supaya diberi hidayah dan kekuatan untuk berhenti merokok sekarang!
Ingatlah semasa di bulan Ramadhan seorang perokok boleh bertahan tidak merokok di siang hari, kenapa tidak diteruskan sahaja tidak merokok di malam hari dan seterusnya?
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-5878
