Sikap Orang-Orang Salih Pada Bulan Ramadhan
Orang-orang salih sentiasa mengambil contoh daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam setiap hal sama ada dalam pertuturan atau tingkah laku. Mereka inilah orang-orang yang tidak sama sekali mensia-siakan apa yang dianjurkan oleh Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah Al-Ahzâb: 21)
Bercontoh kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini ialah dengan mengikut segala apa yang terkandung di dalam Al-Qur’an kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah model atau gambaran jelas bagi Al-Qur’an dan akhlak Baginda adalah Al-Qur’an sebagaimana yang dinyatakan oleh Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha.
Sementara itu bulan Ramadhan adalah semulia-mulia bulan untuk mendampingkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menguatkan serta mengukuhkan iman hamba-hambaNya yang salih. Langkah pertama pada menuju matlamat ini dan asas bagi membina takwa adalah dengan melakukan taubat.
Taubat adalah langkah awal dalam menuju ke jalan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Justeru kerana itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menyeru kita agar bertaubat dengan menggunakan ushlûb atau gaya bahasa yang berbeza-beza yang kadang-kadang dengan secara halus dan lembut sebagaimana yang tersebut di dalam sebuah hadis Qudsi:
Maksudnya: Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu berbuat salah pada waktu malam dan siang, sedang Aku mengampunkan dosa-dosa itu semuanya, maka memohon ampunlah kamu kepadaKu nescaya Aku akan mengampuni kamu. (Hadis riwayat Muslim)
Selain daripada itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengungkap tentang pendirian dan sambutan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap orang-orang yang bertaubat dengan perkataan al-farh yakni gembira. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala gembira dengan taubat hamba hambaNya yang beriman.
Kadang-kadang pula Allah menyeru kita untuk bertaubat dengan menggunakan gaya bahasa yang tegas dan menakutkan.
Allah telah menghimpunkan kedua-duanya itu yakni kelembutan dan ketegasanNya dalam menyeru kepada taubat dalam ayat 53 hingga ayat 61 daripada surah Al-Zumar.
Perbezaan gaya bahasa dalam menyeru kepada taubat adalah sebagai penyesuaian kepada tabiat dan fitrah manusia. Orang-orang salih meskipun mereka sentiasa bertaubat kepada Allah dan kembali kepadaNya dalam setiap urusan mereka, yang mudah mahupun yang susah, namun mereka memulakan bulan Ramadhan dengan memperbaharui perjanjian dengan Allah melalui taubat nashûha iaitu taubat yang menjadi hakim pemutus dalam kehidupan manusia. Pembaharuan perjanjian yang sungguh-sungguh dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan permulaan kehidupan yang kesemuanya berteraskan takwa. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. (Surah Al-Thalâq: 2-3)
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengurniakan kepada orang-orang yang bertakwa kelapangan daripada segala kesusahan dan kesempitan. Perkataan “ جيعللهخمرجا ” adalah umum, tidak dibatasi dengan suatu batasan. Cuma satu-satunya syarat untuk memperolehinya ialah takwa.
Sesungguhnya Allah dengan sikap takwa orang-orang yang beriman, akan memudahkan urusan mereka dan memberikan rezeki kepada mereka dengan tiada batasan, sama ada yang berupa material mahupun yang berupa spiritual dan sama ada mereka sedari ataupun tidak.
Orang-orang salih pada permulaan Ramadhan memperbaharui perjanjian mereka dengan Allah, selain dengan bertaubat, juga dengan beriltizamkan takwa. Ketakwaan mereka bersinar dengan mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam dua perkara: Pertama, dengan memperbanyakkan membaca Al- Qur’an dan kedua, dengan memperbanyak sedekah.
Imam Bukhari dan Muslim Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang bermaksud:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah manusia paling pemurah dan dermawan, dan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam paling pemurah pada bulan Ramadhan pada ketika Jibril datang menemui Baginda, dan Jibril datang menemui Baginda pada setiap malam bulan Ramadhan dengan mengajarkan Baginda Al- Qur’an. Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada ketika ditemui oleh Jibril itu adalah lebih pemurah daripada angin yang bertiup dalam berbuat kebaikan.”
Dalam hadis ini ada menyebutkan hubungan di antara Ramadhan dengan Al- Qur’an dan banyak bersedekah.
Memperbanyak Membaca Al-Qur’an
Al-Qur’an adalah undang-undang dasar bagi umat Islam. Membacanya adalah suatu ibadat, memikir dan mempelajarinya juga adalah ibadat dan mengikutnya adalah wajib. Bilamana manusia itu mendekati akhlak yang dianjurkan oleh Al- Qur’an, nescaya dia menjadi orang yang paling dekat kepada Allah dan RasulNya dan orang yang paling dicintai Allah dan RasulNya.
Orang-orang salih menjadikan Al-Qur’an sebagai syiar dan wirid mereka. Ia umpama musim bunga bagi hati-hati mereka yang kelam dan umpama taman-taman yang bunganya berkembangan untuk santapan indera mata mereka, taman-taman subur menghijau yang sentiasa mekar untuk mereka, lalu mereka menikmati semerbak harumnya, keindahannya yang mempersona dan kecantikannya yang menawan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyifat dan menggambarkan keadaan ini, di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas‘ud, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Al-Qur’an ini adalah hidangan (anugerah) Allah, maka belajarlah kamu daripada anugerah itu semampu yang boleh. Sesungguhnya Al-Qur’an ini juga adalah tali Allah, ia adalah cahaya penerang, pengubat yang berguna, pemelihara bagi orang yang berpegang dengannya dan penyelamat bagi orang yang mengikutnya. Ia tidak bengkok bahkan ia tegak, ia tidak menyimpang bahkan ia lurus dan ia tidak pupus keajaibannya. Ia tidak menjadi usang dengan sebab selalu diulang-ulang (bacaannya). Bahawasanya Allah memberi ganjaran kepada kamu kerana membacanya, bagi setiap huruf dengan sepuluh kebaikan. Saya tidak mengatakan bahawa ( الم) satu huruf, tetapi saya mengatakan bahawa alif satu huruf, lâm satu huruf dan mîm satu huruf. Janganlah sekali-kali didapati seorang yang meletakkan salah satu kakinya ke atas kakinya yang lain meninggalkan daripada membaca surah Al-Baqarah kerana syaitan lari bertempiaran daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah Al-Baqarah. Sesungguhnya sekosong-kosong rumah daripada kebaikan adalah rumah yang kosong daripada kitab suci Allah.” (Hadis riwayat Al-Darimi)
Dalam satu hadis lain yang menggambarkan keadaan ini juga ialah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anhu yang bermaksud:
“Saya mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ingat! Sesungguhnya itu akan menyebabkan fitnah”. Saya bertanya: “Bagaimana jalan keluar daripadanya wahai Rasulullah?” Rasulullah bersabda: “(Berpegang) kepada kitab Allah yang telah menceritakan orang-orang sebelummu dan berita orang-orang sesudahmu, dan sebagai penghukum apa yang terjadi antara sesamamu. Kitab Allah adalah firman yang memisahkan antara yang hak dan yang batil dan ia adalah bukan sebagai senda gurau. Orang yang meninggalkan kitab Allah daripada kalangan orang yang sombong, Allah akan membinasakannya. Orang yang mencari petunjuk daripada selain kitab Allah, maka Allah akan menyesatkannya. Kitab Allah adalah hukum Allah yang kuat, ia adalah yang penuh hikmah, ia adalah jalan yang lurus, ia adalah yang tidak condong pada hawa nafsu, ia tidak berat pada setiap lisan, para ulama tidak akan kenyang padanya, ia tidak usang daripada banyaknya diulang-ulang (bacaannya), ia tidak habis-habis keajaibannya. Jin tatkala mendengarnya, mereka tidak henti-henti berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al-Qur’an yang menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya.” Barangsiapa berkata dengan Al-Qur’an maka benarlah dia, barangsiapa mengamalkannya, dia diberi pahala, orang yang memutuskan hukum dengannya maka dia adil dan barangsiapa mengajak kepada Al-Qur’an, dia mandapat petunjuk pada jalan yang lurus.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Orang-orang salih sudah sedia maklum dan mengetahui hadis-hadis yang disebutkan di atas dan mereka sudah mengetahui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:
“Sebaik-baik kamu adalah orang-orang yang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya.”
Keistimewaan dan fadhilat Al-Qur’an tidak terhitung banyaknya, sebab itu orang-orang salih membiasakan diri mereka dalam menambah dan meningkatkan pergantungan mereka kepada Al-Qur’an pada bulan Ramadhan.
Al-Qur’an adalah zikir, doa dan juga permohonan kepada Allah agar mengurniakan kebaikan, rahmat dan keampunan kepada orang-orang yang membacanya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tuhan yang Maha Berkah dan Luhur berfirman: “Barangsiapa sibuk membaca Al-Qur’an untuk selalu mengingatiKu, maka Aku beri dia lebih utama daripada apa yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta-minta. Dan keutamaan kalam Allah dan kalam-kalam yang lainnya adalah seperti keutamaan Allah pada makhlukNya. (Hadis riwayat Tirmidzi)
Memperbanyak Bersedekah
Dalam hadis terdahulu ada dinyatakan hubungan di antara bulan Ramadhan dengan Al-Qur’an dan banyak bersedekah. Pada hakikatnya banyak bersedekah pada bulan Ramadhan adalah bukti yang jelas bahawa puasa dan membaca Al-Qur’an yang dilakukan telah menghasilkan buah yang dicita-citakan.
Adapun orang yang berpuasa Ramadhan dan membaca Al-Qur’an yang merupakan rahmat dan cahaya, akan tetapi tidak terbit di hatinya cahaya rahmat, tidak bersinar dirinya dengan sinar kemuliaan dan tidak terpelihara dirinya dari kekikiran, maka yang demikian itu menunjukkan bahawa laluan cahaya itu tidak menerjah masuk ke dalam dirinya.
Bulan Ramadhan adalah di antara musim di mana iman menjadi terang bercahaya, yang terbit di dalam jiwa, lalu mengingatkan janji dirinya dengan Allah iaitu perjanjian iman. Melalui jalan demikian, akan memudah dan memurahkan hati dan dirinya pada menuju jalan iman. Bersikap pemurah dengan harta pada jalan iman adalah yang dituntut oleh penunaian janji itu menurut gambaran yang mudah.
Adapun sifat kedekut adalah di antara tiga perkara yang membinasakan diri manusia. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Surah Al-Hasyr: 9)
Dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka daripada kurniaNya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di Hari Kiamat. Dan kepunyaan Allahlah segala waris (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah Âli ‘Imran: 180)
Sebaliknya, seorang yang bersedekah dengan sesuatu, akan tetapi tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya, nescaya dia termasuk di dalam tujuh golongan yang dilindungi Allah pada hari tiada perlindungan selain daripada perlindungan Allah.
Terlalu banyak hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan tentang keutamaan bersedekah itu, di antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang bersedekah dengan sesuatu yang sebanding dengan harga sebiji kurma yang diperolehinya daripada pekerjaan yang baik (halal), sedangkan Allah itu memang tidak suka menerima sesuatu melainkan yang diperolehi daripada yang baik (halal), maka sedekah orang tersebut akan diterima oleh Allah dengan tangan kananNya (diterima dengan rasa gembira dan penuh perhatian), kemudian Allah akan menambah pahala sedekah itu untuk orang yang mempunyai sedekah itu, sebagaimana seseorang daripada kamu memelihara anak kuda yang dimilikinya, sehingga apa yang disedekahkan itu menjadi banyak sekali bagaikan gunung (pahalanya semakin dilipat gandakan). (Hadis yang disepakati oleh Bukhari dan Muslim)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6020
