Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Irsyad Hukum 2012

PUASA ENAM DISATUKAN DENGAN PUASA QADHA

Matlamat puasa jika dikerjakan dengan penuh penghayatan akan dapat membentuk manusia menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana perkara ini dijelaskan oleh Al- Qur’an

Di samping itu puasa juga merupakan ibadat yang istimewa disisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana setiap ganjaran atau balasan kepada orang yang berpuasa diberikan dan dinilai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sendiri sebagaimana yang disebut oleh Nabi sallallalahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untukKu (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.” (Hadis riwayat Bukhari)

Puasa Ramadhan adalah diwajibkan kepada umat Islam pada setiap tahun berdasarkan ayat Al-Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Begitu juga disunatkan ke atas orang Islam berpuasa sunat atau tathawwu‘ di hari atau bulan yang lain seperti melakukan puasa ‘ Âsyûrâ, hari ‘Arafah, puasa di bulan Sya‘ban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis dan puasa selama enam hari pada bulan Syawal yang biasanya disebut sebagai puasa enam dan lain-lain.

Puasa enam ialah puasa yang dikerjakan dengan berturut-turut atau berselang-selang sebanyak enam hari pada bulan Syawal selepas Hari Raya Fithrah.

Puasa enam itu sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh dan juga sunat dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti haidh dan nifas, musafir atau orang sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja adalah haram melakukan puasa enam kecuali setelah selesai mengqadha puasanya. Namun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadhan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakannya selepas mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh.

Hukum sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda:

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. (Hadis riwayat Muslim)

Para ulama berselisih pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan puasa enam ini. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam itu dilakukan dengan berturut-turut selepas Hari Raya mulai Hari Raya kedua dan seterusnya. Manakala ulama muta’akhirîn pula berpendapat puasa enam itu harus dilakukan secara tidak berturut-turut seperti berselang- seli dan sebagainya selama dalam bulan Syawal. Walau bagaimanapun mengerjakannya dengan berturut-turut selepas Hari Raya adalah lebih afdhal.

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadhan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadhan itu menyamai puasa sepuluh bulan, dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda:

Maksudnya: Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun. (Hadis riwayat Al-Darimi)

Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadhan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan: “Membaca surah Al- Ikhlâsh itu sama dengan membaca sepertiga Al-Qur’an”.

Kewajipan Mengqadha Puasa

Puasa Ramadhan yang ditinggalkan adalah wajib diqadha sebanyak hari yang ditinggalkan itu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Maka wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Surah Al-Baqarah: 184)

Kewajipan mengqadha puasa itu tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran kecuali orang-orang yang benar-benar tidak terdaya mengerjakannya seperti orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Mereka tidak diwajibkan mengqadha puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. (Surah Al-Baqarah: 184)

Dalam mengerjakan qadha puasa ini, para ulama berpendapat bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa uzur adalah wajib menyegerakan qadha puasa tersebut. Dan mereka tidak diharuskan bahkan haram melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam hari di bulan Syawal.

Puasa qadha boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa seperti Hari Raya Fithrah, Hari Raya Haji atau pada hari-hari Tasyrîq dan sebagainya dan ia wajib disegerakan sebelum masuk Ramadhan yang baru.

Jika qadha puasa hendak dikerjakan pada bulan Syawal ia boleh dilakukan bermula pada Hari Raya kedua (2hb. Syawal). Bagi mereka yang diharuskan meninggalkan puasa kerana keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘ seperti orang perempuan yang haidh atau nifas, orang sakit atau orang musafir (dalam perjalanan) dan lain-lain, sunat bagi mereka mengerjakan puasa enam sekalipun mereka masih mempunyai qadha. Walau bagaimanapun menurut para ulama, ganjaran yang bakal diterimanya tidaklah sama dengan ganjaran pahala yang diterima oleh mereka yang berpuasa enam setelah berpuasa penuh satu bulan Ramadhan.

Berbanding dengan orang-orang yang meninggalkan puasa Ramadhan tanpa keuzuran atau dengan sengaja, diharamkan ke atas mereka mengerjakan puasa enam pada bulan Syawal itu kerana mereka diwajibkan menyegerakan qadha tersebut.

Manakala bagi orang yang luput keseluruhan puasa Ramadhan (selama satu bulan) kerana keuzuran yang diharuskan oleh syara‘, jika dia mengerjakan puasa qadhanya pada bulan Syawal, disunatkan (mustahabb) ke atasnya mengqadha puasa enam itu dalam bulan Zulkaedah. Walau bagaimanapun, menurut ulama, dia hanya mendapat ganjaran kerana melakukan ibadat sunat tersebut dan tidak mendapat ganjaran sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu orang yang berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal diibaratkan berpuasa selama satu tahun.

Menyatukan Puasa Qadha Dengan Puasa Enam Bagi orang yang hendak melakukan qadha puasa Ramadhan (meninggalkannya kerana keuzuran yang dibolehkan oleh syara‘), ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa enam dalam bulan Syawal. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qadha dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali (iaitu ganjaran puasa qadha dan ganjaran puasa sunat).

Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qadha atau puasa nazar atau puasa kaffârah, pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari ‘Arafah atau pada hari Isnin dan khamis atau pada hari ‘آsyûrâ’ dan puasa-puasa sunat yang lain seumpamanya.

Dalam menunaikan puasa tersebut, jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qadha dan puasa sunat seperti puasa hari ‘Arafah atau puasa-puasa sunat yang lain, maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan puasa wajib tersebut. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat ganjaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.

Ibn Hajar Al-Haitami dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib seperti di atas dengan katanya:

Maksudnya: Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya. (Al-Fatâwâ Al-Kubrâ: 2/75)

Walaupun menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya, namun ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seperti yang disebut dalam hadis di atas. Walau bagaimanapun sikap menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syara‘ kerana ganjaran dan pahala ibadat puasa itu hanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala sahaja yang menilai dan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.

HIKMAH DAN KEWAJIPAN HAJI

Haji merupakan salah satu daripada rukun Islam. Ia diwajibkan ke atas setiap orang Islam sebagaimana yang telah difardhukan melalui Al-Qur’an, As-Sunnah dan ijmâ‘ ulama.

Di dalam Al-Qur’an Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya:: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk. (Surah Âli ‘Imrân: 97)

Mengenai kewajipan ibadat haji ini Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Agama Islam itu dibina atas lima perkara; bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan dan mengerjakan haji. (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan Al-Qur’an dan sunnah tersebut maka ulama sepakat mengenai kewajipan ibadat haji ditunaikan sekali dalam seumur hidup bagi orang-orang yang mampu. Ulama juga sepakat mengenai kufurnya orang-orang yang ingkar akan kewajipannya.

Setiap ibadat yang dituntut untuk dikerjakan setentunya mempunyai hikmah yang tersendiri, begitulah juga ibadat haji. Menurut ulama, menghidupkan atau meng‘imârah Ka‘bah pada setiap tahun dengan menunaikan haji atau umrah adalah fardhu kifâyah. Banyak ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis yang menyebut mengenai hikmah ibadat tersebut, di antaranya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke Baitullah) dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka, serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang ternak (untuk dijadikan korban). (Surah Al-Hajj: 27-28)

Terdapat juga penjelasan hadis-hadis mengenai hikmah ibadat haji di antaranya sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa yang mengerjalan haji kerana Allah semata-mata (iaitu), dia tidak melakukan perkara-perkara keji dan buruk, maka dia suci (daripada dosanya) seolah-olah pada hari dia dilahirkan oleh ibunya. (Hadis riwayat Bukhari)

Ibadat haji juga mempunyai keistimewaan tertentu bagi orang-orang yang mengerjakannya sama ada bagi dirinya sendiri atau umat Islam secara keseluruhannya.

Bagi orang yang mengerjakan ibadat haji, ibadat tersebut akan menghapuskan segala kesalahan dan dosa serta membersihkan dirinya daripada maksiat yang telah dilakukan, sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Suatu umrah kepada umrah yang lain adalah Kaffarah (menghapuskan segala dosa) di antara keduanya, dan haji yang mabrur (diterima) itu tiada balasan baginya selain syurga. (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis yang lain pula:

Maksudnya: Diampunkan dosa bagi orang yang mengerjakan haji, dan bagi mereka yang dimintakan ampun oleh orang yang berhaji. (Hadis riwayat Thabarani dan Hakim)

Ibadat haji juga mengukuhkan iman seseorang dan dapat membantu menyempurnakan taubat dengan ikhlas dan betul. Ibadat tersebut juga membawa seseorang itu bersyukur kepada Tuhannya iaitu berterima kasih dengan nikmat harta dan kesihatan yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kerana ibadat haji tidak wajib dikerjakan jika tidak mempunyai harta yang cukup dan badan yang sihat.

Manakala keistimewaan ibadat haji kepada umat manusia, membawa mereka saling kenal mengenal di antara satu sama lain walaupun berbeza warna kulit, bahasa dan bangsa. Di samping itu dapat bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal umat Islam di tempat masing-masing dan saling bantu membantu menangani masalah umat seperti penyelewengan akidah dan sebagainya serta apa-apa juga perkara yang terkandung sepertimana yang dijelaskan oleh Al-Qur’an iaitu:

Tafsirnya: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka. (Surah Al-Hajj: 28)

Ibadat haji juga membawa ikatan mahabbah persaudaraan yang kukuh di kalangan umat Islam sama ada dia seorang yang berbangsa Arab atau sebaliknya, dan tidak mengira warna kulit sama ada hitam atau putih, yang lebih penting ialah ketaqwaan.

Pada hakikatnya ibadat haji dijadikan sebagai muktamar atau perhimpunan umat Islam yang terbesar di dunia. Di dalamnya umat Islam saling berusaha menyebarkan dakwah Islamiyah dan aktiviti-aktiviti yang dibuat di kalangan mereka. Inilah hikmahnya persaudaraan yang dipupuk oleh umat Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Qur’an bahawa orang-orang Islam itu adalah bersaudara.

Haji Wajib Sekali Seumur Hidup

Ibadat haji boleh dikerjakan berulang kali bagi mereka yang mempunyai kemampuan dan cukup syarat-syaratnya. Walau bagaimanapun menurut ulama, ibadat haji itu wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Telah berkata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam khutbah Baginda: “Wahai sekalian manusia, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mewajibkan kepada kamu ibadat haji, oleh kerana itu kamu kerjakanlah haji.” Seorang lelaki bertanya: “Adakah (dikerjakan haji) pada setiap tahun?” Baginda diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang-ulang pertanyaannya sebanyak tiga kali, selepas itu baru Baginda menjawab dan bersabda: “Jika Aku katakan “ya”, nescaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berdaya melakukannya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, ulama sepakat mengatakan bahawa ibadat haji itu wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup dan jika dikerjakan berulang kali maka haji yang kedua dan seterusnya itu dikira sebagai sunat.

Ulama juga sepakat bahawa ibadat haji itu tidak wajib dikerjakan dengan bersegera. Walau bagaimanapun sunat tidak melambatkan ibadat tersebut bagi orang-orang yang mempunyai kemampuan dan telah cukup syarat-syarat yang diwajibkan kepada mereka. Bersegera dalam membuat amal kebajikan itu suatu perkara yang dituntut sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Oleh itu berlumba-lumbalah (bersegera) kamu membuat amal kebajikan (beriman dan beramal salih). (Surah Al-Mâ’idah: 48)

Mengetahui Syarat-Syarat Wajib Haji

Ibadat haji wajib dikerjakan oleh orang Islam yang cukup syarat dan berkemampuan sebagaimana yang dituntut oleh Al-Qur’an dan sunnah.

Bagi mereka yang berhajat menunaikan ibadat haji, persediaan yang harus dibuat ialah memastikan sama ada mereka telah mempunyai syarat-syarat yang cukup dan berkemampuan atau sebaliknya. Dengan memenuhi syarat-syarat tersebut, seseorang itu diwajibkan dan dituntut menunaikan ibadat haji, tetapi tanpa salah satu daripada syarat-syarat itu, maka dia tidak wajib menunaikannya. Di antara syarat-syarat yang wajib menunaikan haji itu ialah hendaklah dia seorang Islam, baligh dan berakal, merdeka dan berkemampuan dari segi kesihatan badan dan mempunyai harta dan keselamatan dalam perjalanan menuju ke Makkah.

Menurut ulama, orang kafir tidak wajib dan tidak sah mengerjakan ibadat haji. Tetapi wajib pula haji itu ke atas orang murtad sekalipun tidak sah kecuali dia masuk Islam. Ibadat haji juga tidak wajib ke atas kanak-kanak dan orang gila kerana mereka tidak dituntut mengerjakannya. Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang mumayyiz tetapi belum baligh, jika dia mengerjakan ibadat haji, hajinya tetap sah dan dikira sebagai haji sunat. Hal ini berdasarkan riwayat Ibn Abbas, Rasulullah Shallallalhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila kanak-kanak itu mengerjakan haji, maka baginya (dia mendapat) haji itu sehingga dia berakal, dan apabila dia telah berakal maka ke atasnya (wajib) haji yang lain. (Hadis riwayat Hakim)

Haji kanak-kanak yang mumayyiz atau yang belum mumayyiz hendaklah diniatkan hajinya oleh wali sama ada bapa atau datuknya, sekalipun bapa atau datuknya itu belum berihram atau belum pernah melakukan haji, dengan niat: “Aku berihram bagi si Polan”. Bagi kanak-kanak yang mumayyiz tidak harus berihram kecuali dengan izin walinya.

Begitu juga kanak-kanak yang belum mumayyiz segala perbuatan hajinya hendaklah dibuat bersama walinya iaitu dia melakukan thawâf dan sa‘ie dengan walinya dan wajib ke atas kanak-kanak tersebut bersih dan menutup aurat sekalipun tidak disyaratkan suci daripada hadas (berwudhu‘).

Kesimpulannya, kanak-kanak tersebut hendaklah dibawa hadir ke setiap tempat ibadat haji seperti dibawa kanak-kanak itu melakukan thawâf dan sa‘ie dan sebagainya, iaitu sesudah walinya itu melakukan tawaf dan sa‘ie bagi dirinya sendiri.

Begitu juga jika kanak-kanak itu tidak boleh melakukan lontaran jamrah, maka wali akan melakukannya sebagai wakil seperti melontar jamrah al-‘aqabah. Jika kanak-kanak itu tidak berdaya, adalah sunat (mustahab) wali itu meletakkan batu pada tangan kanak-kanak tersebut dan melontar bersamanya, iaitu setelah si wali melontar jamrah tersebut bagi dirinya sendiri.

Dalam keadaan tersebut harus bagi wali itu memberi izin kepada orang lain membawa kanak-kanak itu dan menunaikan ibadat haji bersama kanak-kanak tersebut.

Menurut ulama, menunaikan haji setelah mempunyai kemampuan harta, kesihatan tubuh badan dan keselamatan merupakan syarat yang wajib bagi mereka yang menunaikan haji, berdasarkan ayat Al-Qur‘àn:

Tafsirnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. (Surah Âli ‘Imran: 97)

Ulama Syafi‘eyah mensyaratkan istithâ‘ah yang disebutkan itu adalah bagi orang-orang yang berada di luar dari kota Mekkah, yang jauhnya kira-kira 89 kilometer. Di antara pengertian istithâ‘ah itu termasuklah:

1. Mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk dirinya semasa dalam perjalanan pergi dan balik dan semasa menunaikan fardhu haji, dan cukup untuk sara hidup dan nafkah bagi orang-orang di bawah tanggungannya yang ditinggalkan.

2. Mempunyai bekalan seperti air di tempat-tempat perhentian dengan harga yang berpatutan menurut keadaan tempat dan masa.

3. Mempunyai kenderaan, sama ada dengan dibeli atau disewa jika jauh perjalanan ke Makkah itu melebihi dua marhalah (89 kilometer).

4. Hendaklah aman dan selamat dalam perjalanan daripada bahaya ke atas dirinya, hartanya dan kehormatannya serta orang-orang yang bersama-samanya.

5. Sihat tubuh badan dan tidak menghadapi kepayahan ketika dalam perjalanan iaitu berkuasa menghadapi sebarang kesukaran dalam perjalanan, seperti orang buta dikehendaki membawa pembantunya ketika dalam perjalanan.

6. Mempunyai masa dan kesempatan bagi menunaikan fardhu haji.

7. Bagi orang perempuan, hendaklah ditemani sama ada oleh suaminya, mahramnya atau perempuan-perempuan lain yang dipercayainya.

Berdasarkan syarat-syarat di atas, adalah wajib bagi mereka yang mempunyai kemampuan seperti harta, kesihatan dan keselamatan menunaikan ibadat haji ke Makkah. Bagi mereka yang telah mempunyai kemampuan dan kecukupan untuk berhaji adalah lebih utama dilaksanakan ibadat tersebut sebelum datang perkara yang akan menghalanginya, kerana Islam sangat menggalakkan umatnya bersegera dalam membuat sebarang amal kebajikan, lebih-lebih lagi ibadat yang dituntut dan diwajibkan. Hal tersebut dijelaskan oleh Nabi Shallalllahu ‘alaihi wasallam melalui sabdanya:

Maksudnya: Allah Azza wa Jalla berfirman: “Sesungguhnya Aku memberikan kesihatan badan kepada seseorang hamba, dan Aku memberikan keluasan (rezeki) dalam kehidupannya sehingga berlalu lima tahun, dia tidak akan kembali kepadaKu dalam keadaan dia telah berihram (telah menunaikan hajinya).” (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Baihaqi)

WAJIB HAJI BUKAN KERANA LAMBAIAN

Dalam masyarakat kita sering didengar ungkapan “lambaian haji”. Ketika jemaah haji hendak berangkat ke tanah suci, kita akan mendengar perkataan atau pesanan: “Apabila sampai di Makkah nanti lambai-lambailah kami di sini”. Sebahagian orang pula apabila ditanya bilakah akan menunaikan fardhu haji, di antaranya ada yang mengatakan bahawa belum ada lambaian lagi.

Berbagai tafsiran yang boleh dimaksud dengan ungkapan tersebut. Jika yang dimaksudkan dengan ungkapan lambaian itu ialah doa agar orang yang berpesan itu mudah atau diberi kemudahan di masa akan datang untuk mengerjakan haji, maka ia adalah pesanan yang baik kerana doa orang yang mengerjakan haji pada saat dan tempat-tempat seperti ketika bertawaf, Multazam, Maqâm Ibrahim, Safa dan Marwah, ‘Arafah, Muzdalifah, Mina dan sebagainya mudah dikabulkan. Bahkan menurut Hassan Al-Bashri tempat-tempat tersebut adalah tempat yang doa sangat dikabulkan.

Menurut Islam, haji merupakan salah satu rukun yang dituntut ke atas setiap orang Islam yang berkuasa mengerjakannya berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. (Surah Âli ‘Imran: 97)

Hukum mengerjakan haji itu terbahagi kepada empat bahagian iaitu;

1. Fardhu ‘Ain: Ibadah haji itu merupakan perkara fardhu ‘ain ke atas orang-orang yang belum mengerjakannya jika dia mampu dan sudah memenuhi syarat-syaratnya.

2. Fardhu Kifâyah: Haji itu menjadi fardhu kifâyah jika ia dikerjakan dengan tujuan menghidupkan dan memakmurkan Baitullah Al-Haram (Ka‘bah) pada setiap tahun. Hukum ini tertanggung ke atas orang-orang yang telah mengerjakan haji.

3. Sunat (tathawwu‘): Haji itu sunat dilakukan oleh kanak-kanak dan hamba kerana haji tidak wajib ke atas mereka.

4. Wajib lebih daripada sekali seumur hidup: Tuntutan wajib mengerjakan haji itu hanya sekali seumur hidup, namun haji itu akan menjadi wajib dikerjakan lebih daripada sekali kerana sebab-sebab yang mendatang (‘aridh), seperti haji nazar dan haji qadha’.

Di negara kita, dakwah untuk mengerjakan ibadah haji dan penerangan hukum-hukum yang berkaitan dengannya telah banyak dijelaskan melalui ceramah, kursus-kursus haji, pengajian di sekolah-sekolah mahupun melalui media cetak dan elektronik. Dengan adanya sebaran tersebut, maka kefahaman atau maklumat tentang ibadah haji mendorong orang-orang Islam mengerjakan dengan bersegera tanpa bertangguh-tangguh bahkan ada yang melakukannya lebih daripada sekali.

Jika istilah lambaian haji itu dimaksudkan sebagai dakwah (seruan untuk mengerjakan haji), maka ungkapan lambailah kami itu janganlah dimaksudkan “serulah kami”. Jika ia bermaksud demikian seolah-olah seruan haji itu hanya datang daripada lambaian orang yang telah mengerjakan haji. Pada hakikatnya, kewajipan menunaikan haji itu telahpun ditetapkan di dalam syariat Islam seperti yang terkandung di dalam ayat Al-Qur’an di atas dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Wahai sekalian manusia, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mewajibkan ke atas kamu ibadat haji, maka kerjakanlah haji itu. (Hadis riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain menyebutkan bahawa ibadah haji itu merupakan rukun dalam Islam, sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah Shallallalahu ‘alaihi wasallam bahawa lima perkara asas dalam Islam itu ialah mengucap dua kalimah syahadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji bagi yang berkemampuan.

Oleh kerana itu ungkapan “belum ada lambaian” itu pula, sekiranya lambaian itu dimaksudkan dakwah (seruan) seperti di atas, juga tidak menepati kehendak hukum syara‘ kerana seruan untuk mengerjakan haji itu telahpun disyariatkan sejak Nabi Ibrahim ‘Alaihisalam lagi. Ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang memerintahkan Nabi Ibrahim melakukannya:

Tafsirnya: Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke Baitullah dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya daripada berbagai jalan (daripada ceruk rantau) yang jauh. (Surah Al-Hajj: 27)

Menurut kebanyakan ahli tafsir, ayat di atas adalah seruan mengenai kewajipan haji. Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas juga diceritakan bagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam menyeru manusia supaya mengerjakan haji ke Baitullah Al-Haram:

Maksudnya: Apabila Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam selesai mendirikan bangunan Ka‘bah, Baginda berkata: “Ya Tuhanku! Aku telah menyiapkannya”. Maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan: “Serulah kepada sekalian manusia supaya mengerjakan haji”. Baginda berkata: “Ya Tuhanku! Bagaimana suaraku akan sampai (kepada manusia)?”. Allah berkata: “Serulah, dan Aku yang akan menyampaikan”. Baginda bertanya: “Ya Tuhanku! bagaimana aku akan katakan?”. Allah memerintahkan Baginda: “Katakanlah (kepada manusia): “Wahai sekalian manusia, telah diwajibkan ke atas kamu ibadat haji ke Baitullah, Allah berkata: “Maka mendengarlah (seruan Nabi Ibrahim) itu oleh sekalian makhluk di langit dan di bumi, (ternyata) apakah tidak engkau lihat (sekarang) manusia datang ke Ka‘bah dari segenap pelusuk dunia?” (Hadis riwayat Baihaqi)

Dengan perintah Allah Subahanhu wa Ta‘ala itu, ibadat haji yang diserukan oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam ternyata disahut oleh sekalian umat Islam di seluruh dunia hingga ke hari ini.

Menurut Ath-Thabari, ayat di atas pada hakikatnya merupakan perintah Allah Subhanhu wa Ta‘ala kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam untuk menyeru sekalian manusia mengerjakan haji ke Baitullah Al-Haram, bukannya “lambaian” daripada para jemaah haji yang berada di Makkah sebagaimana yang mungkin difahami oleh sebahagian kecil daripada masyarakat Islam. Maka tidaklah patut istilah “belum ada lambaian itu” dijadikan alasan untuk melambat-lambat atau menangguhkan ibadat haji itu.

Akan tetapi jika seseorang itu berkeyakinan bahawa kewajipan haji itu bergantung kepada lambaian berkenaan, perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan kehendak hukum Islam.

Jika istilah “lambaian” itu dimaksudkan dengan berkuasa (istithâ‘ah), maka ungkapan “belum ada lambaian” itu ada juga kebenarannya, kerana kemungkinan ketika ditanya itu dia belum mampu untuk mengerjakannya. Walau bagaimanapun para ulama telah menghuraikan di dalam kitab-kitab fiqh mengenai istithâ‘ah tersebut.

Berdasarkan ijmâ‘ ulama, orang-orang yang mempunyai kemampuan dan cukup syarat-syarat wajib untuk mengerjakan haji adalah wajib ke atasnya mengerjakan haji tersebut. Jika tidak berhimpun ke atasnya kesemua syarat-syarat itu, maka gugur tuntutan wajib tersebut.

Istithâ‘ah

Istithâ‘ah (berkuasa) mengerjakan haji itu ada dua bahagian iaitu, berkuasa pergi melaksanakan haji dengan dirinya sendiri dan berkuasa menunaikan haji dengan perantaraan orang lain.

Menurut ulama Syafi‘iyyah, berkuasa mengerjakan haji dengan dirinya sendiri itu mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu:

i. Mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk dirinya semasa dalam perjalanan pergi dan balik serta semasa melaksanakan fardhu haji, dan juga sara hidup bagi orang yang wajib dibelanjainya semasa dalam pelayarannya, serta perbelanjaannya itu melebihi daripada hutangnya.

ii. Ada kenderaan seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya sama ada miliknya sendiri atau dia mampu menyewanya dengan sewaan biasa menurut tempat dan masa. Syarat ada kenderaan bagi yang hendak mengerjakan haji itu hanya dikenakan kepada orang yang jauh tempat tinggalnya dengan Makkah dua marhalah atau lebih iaitu kadar yang membolehkan diqashar sembahyang. Kedua-dua syarat iaitu bekalan dan kenderaan itu disebut dalam hadis riwayat Ibnu Umar dengan katanya:

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka lelaki itu berkata (bertanya): “Ya Rasulullah, apakah yang mewajibkan haji itu?” Baginda menjawab: “Bekalan dan kenderaan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Berdasarkan hadis di atas, bagi orang yang tidak mempunyai bekalan dan kenderaan tidak wajib ke atasnya mengerjakan haji. Menurut Ibnu Hajar tidak wajib bagi orang Islam mencari bekalan dan kenderaan untuk pergi haji dengan cara meminta-minta kepada orang lain atau menerima pemberian daripada orang lain atau dengan cara berhutang, kecuali dia mendapat bekalan dan seumpamanya itu daripada harta yang sedia ada di tangannya.

Bagi orang yang memiliki belanja yang melebihi daripada keperluan dirinya dan tanggunggannya sepanjang pemergiannya untuk mengerjakan haji, maka haji adalah wajib ke atas orang tersebut. Demikianlah sebaliknya sekiranya belanja tersebut tidak melebihi keperluan diri dan tanggunggannya maka tiadalah wajib haji ke atasnya.

Adapun orang yang memiliki harta yang memberi hasil kepadanya dan hasil tersebut tidak melebihi kadar keperluan diri dan tanggunggannya, seperti tanah atau rumah sewa dan seumpamanya, tetapi apabila dijual harta berkenaan, hasil jualan tersebut akan membolehkan dia mengerjakan haji dan melebihi keperluan tanggunggannya sepanjang pemergian haji, maka menurut qaul yang ashah dalam mazhab Syafi‘e haji adalah wajib ke atas orang tersebut.

Walau bagaimanapun tidak wajib menjual rumah tempat kediamannya dan perkakas rumah untuk mengerjakan haji kerana semua perkara itu adalah keperluan yang sangat dihajati (dharûri) dan Islam tidak membebankan umatnya untuk menunaikan haji jika belum berkemampuan dan cukup syarat-syaratnya.

Orang Berhutang Untuk Mengerjakan Haji

Oleh kerana terlalu ghairah untuk menunaikan haji, sebahagian orang memaksa dirinya berhutang untuk tujuan tersebut. Berhutang itu mengandungi risiko yang boleh menyusahkan di dunia dan di akhirat.

Antara hadis yang memperkatakan masalah hutang dan orang yang berhutang ialah hadis yang diriwayatkan oleh Malik:

Maksudnya: Dan jauhkanlah diri kamu daripada hutang, kerana sesungguhnya (hutang itu) awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula mengambil harta orang dengan tiada mengembalikannya. (Hadis riwayat Malik)

Dalam hadis yang lain Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung dengan hutangnya sehinggalah hutangnya itu dibayar. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah ditanya mengenai orang yang tidak berupaya pergi menunaikan haji. Adakah dia perlu berhutang kepada orang lain supaya dapat pergi berhaji? Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak membenarkannya. Perkara ini disebutkan dalam hadis Baginda:

Maksudnya: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkenaan dengan seorang lelaki yang tidak (dapat) pergi berhaji: “Adakah dia boleh berhutang untuk pergi berhaji?” Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Tidak.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa sekalipun orang yang memberi hutang itu rela supaya hutang itu dibayar semula selepas menunaikan haji, maka tidak wajib ke atas orang yang berhutang itu menunaikan haji. Oleh yang demikian apabila sudah tidak wajib ke atas orang yang sudah sedia ada hutang dengan sebab hutangnya itu, maka lebih utama lagi tidak wajib berhutang untuk pergi berhaji. (Al-Majmû‘: 7/56)

Agama Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Dalam hal mengerjakan haji, para ulama telah menjelaskan syarat-syarat tertentu yang amat padat, kemas dan ringkas berdasarkan Al-Qur’an, hadis dan ijmâ‘. Jika syarat-syarat itu tidak dapat dipenuhi oleh seseorang, maka haji tidak wajib baginya, walaupun haji itu salah satu daripada rukun Islam. Ini membuktikan bahawa agama Islam itu agama rahmat dan tidak menyusahkan umatnya.

Oleh yang demikian, bagi orang yang ingin mengerjakan haji yang wajib ke atasnya, tidaklah perlu menyusahkan dirinya dengan berhutang. Lebih-lebih lagi bagi haji yang dikerjakan itu kali kedua atau seterusnya. Berhutang kerana tujuan ini adalah dilarang oleh agama kerana hutang itu akan menjadi bebanan dan menyusahkannya sebagaimana yang disebut oleh hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Agama Islam juga tidak memberatkan umatnya melakukan sebarang ibadat kepada mereka yang tidak berdaya melakukan haji seperti orang tua atau orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh.

Bagi mereka yang lemah daripada menunaikan haji dengan sendiri seperti orang yang sangat tua atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh sedang dia mempunyai harta yang melebihi daripada keperluan dirinya dan tanggunggannya, maka wajib dia mencari seseorang untuk mengerjakan haji bagi pihak dirinya iaitu dengan izin atau kebenarannya atau dengan membayar belanja kepada orang yang menggantikannya itu. Disyaratkan juga bagi orang yang menggantikan itu telah melakukan haji bagi dirinya sendiri.

Daripada apa yang telah dijelaskan di atas, kewajipan mengerjakan haji itu bukan hanya semata-mata tertakluk kepada istilah “lambaian” tetapi haji itu wajib apabila seseorang itu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh hukum syara‘.

VALENTINE’S DAY: APA PANDANGAN ISLAM?

Valentine’s Day atau ‘Hari Kekasih’ sebagaimana yang difahami ialah hari di mana dua orang yang berkasih sayang atau sepasang kekasih yang bercinta meraikan percintaan dan kasih sayang. Budaya ini disambut setiap tahun pada 14 Februari.

Tidak dinafikan manusia suka dikasihi dan mengasihi di antara satu sama lain. Golongan remaja adalah golongan yang sering kali dikaitkan dengan soal percintaan. Cuma lumrahnya mereka mudah terikut-ikut serta fanatik dengan cara hidup yang dibawa oleh orang-orang barat.

Ruangan Irsyad hukum kali ini akan membicarakan sama ada Valentine’s Day munasabah disambut sebagai hari kekasih atau tidak.

Mengikut beberapa sumber, Valentine adalah nama bagi seorang paderi Kristian yang giat menyebarkan agama tersebut di Rome ketika pemerintahan Raja Rome yang bernama Claudius II. Pada masa pemerintahannya, Claudius II telah memenjarakan orang-orang Kristian kerana mengamalkan agama yang bertentangan dengan agamanya. Oleh kerana Valentine seorang penyebar agama Kristian, beliau juga telah ditangkap dan diseksa di dalam penjara.

Walaupun berada dalam penjara, Valentine tetap berusaha mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara melepaskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Raja Rome dan beliau diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.

Orang-orang Kristian menganggap bahawa Valentine merupakan seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Beliau disamakan dengan Jesus yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.

Valentine bagi penganut agama Kristian adalah lambang kasih sayang sejati di antara seorang hamba dengan tuhannya dan dengan sesama manusia. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan “From your Valentine” (Daripada Valentinemu).

Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka Valentine.

Berdasarkan penerangan di atas, adalah jelas bahawa tidak ada istilah ‘Hari Kekasih’ atau Valentine’s Day dalam Islam. Hakikatnya, adalah tidak boleh orang-orang Islam menyertainya kerana hari tersebut adalah hari perayaan bagi orang-orang Kristian.

Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang di antara satu sama lain, akan tetapi untuk meluahkan kasih sayang di antara seorang lelaki dan perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara‘, bukan yang menggalakkan kepada perkara-perkara yang mendorong atau merangsang kepada yang dilarang dan maksiat.

Realitinya, Islam adalah agama yang praktikal, bukan mengongkong. Islam agama yang mengatur kehidupan dengan lebih sempurna. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang di antara umatnya.

Dalam Islam ada tiga kategori kasih; pertama, kasih Pencipta (Allah Subhanahu wa Ta‘ala) kepada hambaNya, kedua, kasih hamba kepada Pencipta dan ketiga, kasih makhluk sesama makhluk.

Banyak ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan mengenai nikmat dan besarnya faedah berkasih sayang.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan tentang keagungan nikmatNya kepada makhlukNya melalui nikmat kasih sayang:

Tafsirnya: Dan (Dialah) yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di muka bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. (Surah Al-Anfâl: 63)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Lalu Allah menyatukan di antara hati (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. (Surah Âli ‘Imran: 103)

Melalui penjelasan ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala sangat mencela dan memberi amaran keras tentang perpecahan sesama makhluk. Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga memerintahkan umat Islam supaya sentiasa berpegang teguh dengan agama Allah dan dilarang berpecah belah dan bermusuhan.

Kasih sesama makhluk pada sifatnya adalah tidak kekal, ia bergantung kepada keadaan, tetapi kasih hamba kepada Penciptanya dengan iman dan taqwa, manakala kasih Pencipta kepada hambaNya berkekalan. Hal ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui.” (Surah Âli ‘Imrân: 31)

Oleh itu sebaik-baiknya hendaklah setiap orang Islam khasnya golongan remaja tidak terikut-ikut dengan budaya “Hari Kekasih” yang dicipta oleh orang-orang Kristian, sebaliknya hendaklah menumpukan masa dan waktu kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan melakukan apa jua perkara yang mendatangkan manfaat yang matlamat akhirnya menghidupkan cinta kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

‘Hari Kekasih’ yang dibawa oleh orang-orang Barat tanpa disedari bertujuan untuk meleka dan merosakkan akhlak masyarakat Islam, kerana senario menyambut “Hari Kekasih” berlaku di kalangan remaja Islam. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun apa yang lebih membimbangkan bukanlah setakat berutus-utus kad ucapan dan hadiah, atau meraikannya di kelab-kelab disko, tetapi kemungkinan adanya segelintir remaja yang sanggup menghadiahkan kehormatan diri demi membuktikan kesetiaan.

Bagi menjelaskan masalah sebilangan remaja yang begitu mudah terpengaruh dengan budaya asing, Al-Qur’an memberi pengajaran dan ingatan kepada umat Islam bahawa orang Yahudi dan Kristian akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperdaya umat Islam supaya mengikut kehendak mereka. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu. Orang-orang yang kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarbelit maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (Surah Al-Baqarah: 120-121)

Ayat ini memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa orang-orang Yahudi dan Nashrani itu akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperdaya orang-orang Islam supaya mengikut telunjuk dan kehendak mereka.

Berbagai-bagai cara dan jalan yang mereka lakukan untuk merosakkan kepercayaan dan keperibadian orang-orang Islam. Oleh kerana ramai yang tidak menyedari hakikat ini, maka bukan sedikit daripada kalangan umat Islam yang terikut-ikut dengan adat dan budaya serta cara hidup mereka, semata-mata dengan alasan menurut peredaran zaman, sekalipun yang diikuti itu bersalahan dengan ajaran Islam dan bertentangan dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Hakikat ini wajib diketadan; mana-mana yang terlanjur, wajib kembali ke jalan yang benar.

Oleh itu, sebagai orang Islam kita hendaklah membuat sesuatu perkara itu dengan mengikut landasan Islam yang sebenar. Mengamalkan adat dan budaya Melayu yang sopan lagi tertib tidaklah salah asalkan tidak bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam.

Islam sangat menitikberatkan soal remaja, di antaranya bagaimana mengarah hala tuju tentang percintaan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan bahawa tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan atau lembayung Allah antaranya: Pemuda atau remaja yang sentiasa beribadat kepada Allah tidak kira pagi, petang, siang atau malam; seorang lelaki apabila diajak oleh perempuan yang cantik jelita dan kaya raya untuk melakukan maksiat, dia menolak kerana takutkan Allah, sebagaimana Baginda bersabda:

Maksudnya: Tujuh orang yang dilindungi oleh Allah dalam naunganNya pada hari tidak ada naungan kecuali naunganNya iaitu: Imam yang adil, pemuda yang selalu beribadat kepada Allah, orang yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh perempuan yang kaya dan cantik melakukan maksiat, lalu dia berkata: “Sesunguhnya aku takut kepada Allah”, seorang lelaki yang sentiasa bersedekah dengan sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang telah dinafkahkan oleh tangan kanannya, dan seseorang yang sentiasa ingat kepada Allah (berzikir) di tempat yang sunyi sehingga matanya mengalirkan air mata. (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa pemuda atau remaja yang hebat itu ialah pemuda yang tahan ujian dan mempunyai jati diri serta tidak mudah terpengaruh semata-mata kerana cinta dan takut kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Selain itu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberikan ganjaran dan petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan takut kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan membuat perkara yang disuruh dan menjauhi segala perkara yang dilarangNya. Perkara ini jelas sebagaimana kisah ashhâb Al-Kahf yang disebutkan dalam Al- Qur’an sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar: Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (Surah Al-Kahf: 13)

Harus diingat bahawa mengikut dan mengamalkan budaya asing, terutamanya di dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan tersebut, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran kerana perkara-perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang-orang Islam bahkan juga boleh menjejaskan keimanan dan aqidah mereka.

MENGALIBABAKAN LESEN

Menurut Kamus Dewan perkataan lesen bererti sijil atau dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang memberikan kebenaran kepada seseorang atau sesuatu pihak melakukan atau menggunakan sesuatu.

Tujuan lesen itu dikeluarkan ialah untuk memberi kebenaran kepada sesuatu projek atau aktiviti seperti berniaga, mendirikan bangunan, mendapatkan kawasan perindustrian dan sebagainya. Tanpa lesen projek atau aktiviti yang dilaksanakan akan bersalahan dengan kehendak undang-undang dan boleh diambil tindakan seperti didenda dan lain-lain.

Manakala istilah Ali Baba pula diertikan sebagai cara perusahaan yang memakai nama Melayu atau kelihatan sahaja dimiliki atau diuruskan oleh orang Melayu tetapi sebenarnya kepunyaan atau diselanggarakan oleh bangsa asing.

Daripada istilah ini timbullah ungkapan “orang Melayu yang mengalibabakan perniagaannya”. Maka ruangan Irsyad Hukum kali ini akan membicarakan tentang pandangan syara‘ terhadap orang-orang yang mengalibabakan lesennya.

Pada kebiasaannya mana-mana orang atau syarikat yang akan menjalankan sesuatu urusan seperti perniagaan, perindusterian, membina bangunan dan seumpamanya, hendaklah memohon kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mendapatkan kebenaran atau lesen bagi menjalankan urusan tersebut.

Pengeluaran lesen berkenaan terhad bagi satu tempoh tertentu seperti satu tahun, dua tahun atau lebih. Setelah tempoh kebenarannya mansuh, pemegang lesen berkenaan dikehendaki membaharuinya bagi membolehkan pemegang meneruskan perniagaannya atau urusan-urusan yang tercatat dalam lesen itu.

Menurut undang-undang atau peraturan, hanya pemilik atau penama yang tercatat di dalam lesen berkenaan sahaja yang diboleh dan dibenarkan menjalankan perniagaan atau aktiviti atas nama lesen tersebut, manakala orang atau pihak lain yang tidak ada kaitan dengan lesen itu tidak berhak berbuat demikian. Jika berlaku sedemikian bererti dia telah menyalahi undang-undang atau peraturan itu.

Pemilik lesen wajib mematuhi persyaratan yang berkaitan dengan hak pemilikan lesen itu, termasuk tidak menyalahgunakannya seperti menyewakan kepada orang lain. Ini bererti pengeluaran atau pemberian lesen kepada seseorang di atas nama sendiri adalah berdasarkan persetujuan pihak pemberi/pengeluar lesen dan pemilik. Dengan itu lesen hanya boleh dijalankan menerusi syarat-syarat tertentu, seperti lesen tersebut hanya sah digunakan dalam tempoh satu tahun, hanya sah dan berfungsi bagi penama yang tercatat sahaja dan bagi kegunaan menjalankan urusan-urusan yang ditentukan sama ada perniagaan, perindustrian dan sebagainya.

Pada hukum syara‘, setiap syarat yang dipersetujui seperti ini wajib dipatuhi dan tidak boleh melanggarnya selama mana tidak terdapat dalam syarat tersebut perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak hukum syara‘, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis:

Maksudnya: Dan semua orang Islam di atas syarat mereka, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Berdasarkan prinsip Islam, melanggar syarat-syarat yang telah dipersetujui itu adalah dilarang dan haram. Selain daripada itu, mematuhi undang-undang atau peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa adalah wajib ditaati selagi ia tidak bertentangan dengan syara‘. Hal ini dijelaskan oleh Al-Qur’an:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. (Surah An-Nisâ’: 59)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memerintahkan supaya mentaati pemimpin atau pemerintah sekalipun yang memimpin itu seorang hamba. Baginda bersabda:

Maksudnya: Saya berpesan kepada kamu supaya kamu bertaqwa kepada Allah, dan supaya kamu dengar dan taat kepada pemerintah kamu, sekalipun yang memerintah itu seorang hamba Habsyi. (Hadis riwayat Ad-Darimi)

Dengan demikian, perbuatan menyewakan lesen kepada orang lain sama ada lesen berniaga dan seumpamanya adalah salah menurut undang-undang atau peraturan kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pada pandangan syara‘ pula perbuatan tersebut adalah berdosa kerana sengaja khianat dan menyalahi syarat yang telah dipersetujui di antara pemilik lesen dengan pihak berkuasa semasa mula mendapatkan lesen tersebut, sedangkan agama Islam mewajibkan supaya mematuhi perjanjian dan syarat yang telah dipersetujui itu.

Menyewakan Lesen Kepada Orang Bukan Islam

Zaman sekarang kita dapati bidang perniagaan semakin berkembang dan setentunya pemilik lesen juga kian bertambah. Dengan perkembangan tersebut ada orang yang ingin mendapatkan untung dengan mudah atau cepat tanpa banyak usaha dengan menyewakan lesen atau seumpamanya.

Pada syara‘ orang Islam yang mempunyai lesen dan telah membuat persetujuan dengan pihak berkuasa mengenai syarat-syarat yang dikehendaki oleh lesen tersebut, tidak boleh menyewakan lesen tersebut kepada orang lain lebih-lebih lagi kepada orang bukan Islam. Apatah lagi lesen itu disewakan bagi tujuan membuka sebuah restoran atau kedai makan.

Untuk menarik dan memikat pelanggan Islam, restoran atau kedai makan tersebut dilabelkan dengan label halal dan diberi nama dengan nama-nama yang berbentuk Islam, padahal pengendali sebenar restoran itu bukan orang Islam, sedang pemilik sebenar lesen itu menjadi kongsi niaga yang tidur (sleeping partner). Mereka mengambil keuntungan hanya dengan menyewakan lesen tersebut tanpa melakukan apa-apa usaha. Maka di sini bukan sahaja wujud penipuan, bahkan ada unsur penghinaan terhadap Islam dengan penggunaan label-label halal tersebut.

Orang-orang sedemikian boleh dilabelkan sebagai orang yang menjual agamanya kerana menukarkan label-label tersebut dengan harga yang sangat murah.

Perbuatan menghina agama seperti di atas adalah suatu dosa. Bahkan ianya boleh menjejaskan keislaman seseorang itu kerana perbuatan mengalibabakan lesennya itu menyebabkan orang Islam memakan makanan yang haram atau syubhah yang disediakan oleh restoran atau kedai makan itu kerana tertipu dengan label-label tersebut. Selain itu tanpa disedari perbuatan tersebut adalah termasuk dalam usaha menghalalkan yang haram.

Menjaga amanah sangat dititikberatkan oleh Islam, kerana mengkhianati amanah Allah dan RasulNya ialah dengan meninggalkan suruhanNya dan melanggar laranganNya. Manakala mengkhianati suatu amanah yang diberikan pula ialah mengkhianati amanah orang atau mana-mana pihak sama ada berupa harta benda atau rahsia, atau apa sahaja termasuk lesen yang diberikan kepada seseorang bagi menjalankan suatu urusan perniagaan, projek atau seumpamanya. Dengan itu tidak menyewakan apa jua lesen kepada orang lain bererti menjaga amanah.

Al-Qur’an dengan jelas melarang orang Islam melanggar amanah yang diberikan ke atas mereka. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedang kamu mengetahui (salahnya). (Surah Al-Anfâl: 27)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: (Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman iaitu;) dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (Surah Al-Mu’minûn: 8)

Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan dalam ayat di atas bahawa orang-orang yang berjaya itu ialah orang-orang yang beriman dan apabila mereka memegang amanah, mereka tidak mengkhianatinya, bahkan mereka akan menjaganya serta menyerahkannya kepada yang empunya amanah tersebut; dan apabila mereka berjanji, mereka tidak mencabulinya, bahkan mereka akan menepatinya. Perbuatan khianat dan mencabul janji itu ialah sifat orang-orang munâfiq, sebagaimana yang disebut di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya sabda Baginda:

Maksudnya: Tanda orang munâfiq itu ada tiga iaitu apabila bercakap dia bohong, apabila diberi amanah dia khianat dan apabila berjanji dia memungkiri (janjinya). (Hadis riwayat Bukhari)

Ini bererti setiap orang Islam dikehendaki berlaku jujur dan amanah dalam semua pekerjaan, perniagaan dan perusahaannya. Syara‘ melarang sama sekali bercakap dusta, menipu dan mungkir janji, atau menangguh-nangguhkan masa tanpa alasan yang munasabah.

Islam memerintahkan supaya umatnya menunaikan dan menyempurnakan hak orang lain di dalam perkara-perkara mu‘âmalah seperti jual beli, sebagaimana etika yang dibuat dan ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, di antara sabda Baginda:

Maksudnya: Allah menurunkan rahmatNya ke atas hamba yang murah hati ketika menjual, murah hati apabila membeli, dan lunak hati apabila menagih hutang. (Hadis riwayat Ibn Majah)

Khalifah Umar ibnu Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu pernah berpesan kepada sekalian peniaga Muslim, beliau berkata: “Tidak boleh menjual atau membeli di pasar, melainkan orang itu terlebih dahulu mengetahui hukum jual beli yang telah ditentukan oleh ilmu fiqh. Siapa yang tidak memenuhi syarat ini, dikhuatiri dia akan makan riba sedangkan dia tiada mengetahuinya.”

Pesanan ini ada kebenarannya, kerana telah biasa berlaku perkara-perkara yang menyalahi syara‘ dilakukan oleh peniaga- peniaga Muslim seperti menipu dan lain-lain, termasuklah perkara makan riba, sama ada ianya disedari atau tidak.

Larangan Menipu Dan Mengelirukan

Dalam perkara mu‘âmalah jual beli kadang-kadang terjadi tipu menipu, bersumpah dan cakap bohong semata-mata untuk mendapatkan keuntungan daripada barang jualan. Ingatlah, bahawa perbuatan seperti ini boleh menghalang dan menghakis berkat. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi peringatan kepada peniaga-peniaga dengan sabda Baginda:

Maksudnya: Sesungguhnya para peniaga adalah orang- orang yang melakukan dosa. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, tidakkah Allah telah menghalalkan jual beli?” Rasulullah menjawab: “Ya betul! Akan tetapi mereka bercakap namun mereka juga berbohong, dan mereka bersumpah akibatnya mereka juga berdosa”. (Hadis riwayat Ahmad)

Sabda Baginda Lagi:

Maksudnya: Awas, jangan banyak bersumpah dalam berjual beli, sesungguhnya ia memang melariskan tetapi kemudian menghilangkan berkat. (Hadis riwayat Muslim)

Salah satu contoh penipuan dalam perniagaan itu ialah apabila seorang Islam yang menjadi pemegang lesen restoran atau kedai makan, menyewakan lesennya itu kepada orang lain lebih-lebih lagi kepada orang bukan Islam bagi menjalankan perniagaan di restoran berkenaan. Ini bererti dia telah menyeleweng dan tidak amanah terhadap suatu perkara yang diberikan kepadanya oleh pihak pelesen.

Apabila lesen itu diserah atau disewakan kepada orang bukan Islam, lalu orang bukan Islam itupun bebas untuk menanda atau melabel restoran atau kedai makan itu dengan nama yang menunjukkan ianya seolah-olah dipunyai dan diurus oleh orang Islam, maka sekali lagi orang Islam itu tiada terlepas daripada dosa, iaitu dosa menipu dan memperdaya orang-orang Islam sendiri.

Satu lagi contoh penipuan di dalam jual beli ialah menyembunyikan hakikat sebenar bagi sesuatu benda dengan tujuan untuk memperdaya. Misalnya penjual menyembunyikan keretakan dinding rumah dengan dicat atau disapu kapur, menyembunyikan kerosakan pada enjin kereta, menjual binatang sakit, menjual ikan dengan menunjuk yang di atasnya jenis besar dan segar, sedang yang di bawahnya ialah ikan yang kecil atau tidak segar dan sebagainya. Hukum penipuan seperti ini juga adalah haram di sisi syara‘ kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Seorang Islam adalah saudara kepada seorang Islam yang lain. Tidak harus bagi seorang Islam menjual sesuatu kepada saudaranya, sedangkan barang itu cacat kecualilah dia menjelaskan kepada saudaranya itu tentang kecacatannya. (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Berdasarkan penerangan di atas, adalah jelas bahawa Islam melarang berbuat khianat terhadap amanah yang diberikan. Islam juga melarang menipu, bercakap bohong dan menyembunyikan kecacatan dalam perkara jual beli lebih-lebih lagi menghina agama Islam kerana perbuatan tersebut boleh merosakkan akidah.

MEMBERI ATAU MENJUAL DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Hari Raya Adha atau Hari Raya Korban adalah di antara syiar agama Islam. Pada hari tersebut umat Islam disunatkan menyembelih binatang korban bagi membesarkannya. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. ajj: 36)H-(Surah Al

Menurut hukum syara‘ binatang korban yang disembelih itu hendaklah terdiri daripada binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau atau kambing dengan tujuan menghampirkan diri dan taat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Selain itu menyembelih korban juga merupakan amalan yang disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sebagai bukti serta keikhlasan kita dalam menghidupkan syiar agama Islam. Ini jelas difahami daripada firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Daging dan darah binatang korban atau hadyi itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kamu. ajj: 37)H-(Surah Al

Menurut mazhab Syafi‘e menyembelih binatang korban adalah sunat yang dituntut (mu’akkadah). Ibadat korban ini hanya sah dilakukan untuk diri sendiri. Dengan demikian adalah tidak sah menyembelih korban untuk orang lain yang masih hidup kecuali dengan ada izinnya. Begitu juga tidak sah menyembelih korban untuk orang yang telah meninggal dunia kecuali ada wasiatnya. Walau bagaimanapun pahala menyembelih korban itu boleh diniatkan untuk dikongsi oleh orang lain seperti keluarganya.

Hukum Daging Korban

Hukum menyembelih binatang korban itu ada dua, iaitu korban wajib dan korban sunat. Adapun korban wajib itu seperti korban yang dinazar atau diwasiatkan.

Terdapat beberapa hukum yang perlu diambil perhatian berhubung dengan daging korban itu. Jika sembelihan binatang korban itu sebagai korban wajib, maka daging tersebut wajib disedekahkan kesemuanya. Haram bagi orang yang berkorban itu dan orang-orang yang di bawah tanggungannya memakan daging tersebut. Jika dimakannya daging itu, wajib dia mengganti kadar daging yang dimakannya dan kemudian disedekahkannya, tetapi tidak wajib dia menyembelih semula binatang yang lain sebagai ganti.

Manakala daging korban sunat pula, sunat bagi orang yang empunya korban itu memakan sebahagian daripadanya, sebagaimana dijelaskan oleh Al-Qur’an;

Tafsirnya: Dengan demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. ajj: 28)H-(Surah Al Walau bagaimanapun lebih baik (afdhal) disedekahkan semuanya, melainkan dimakannya sedikit kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya, kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan jauh daripada mementingkan diri sendiri. Tetapi makan di sini bukanlah bererti dia wajib memakannya.

Bahagian daging yang dimakan oleh yang empunya korban itu, afdhalnya ialah hatinya kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memakan sebahagian daripada hati binatang korbannya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al- Baihaqi:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam memakan daripada hati binatang korbannya. (Hadis riwayat Baihaqi)

Sekalipun daging korban sunat itu boleh dimakan oleh orang yang berkorban namun haram baginya memakan kesemua daging tersebut. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. (Surah Al-Hajj: 36)

Sebahagian daripada daging korban sunat itu, wajib disedekahkan dalam keadaan mentah lagi basah kepada fakir miskin sekalipun ia hanya disedekahkan kepada seorang miskin sahaja. Jika dimakan kesemua daging korban sunat itu dan tiada sedikitpun yang disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, korban tersebut tetap sah, tetapi wajib didapatkan atau dibeli daging yang lain kadar yang wajib disedekahkan sebagai gantinya. Namun dari segi pahalanya orang tersebut tidak mendapat pahala korban sepenuhnya.

Selain daripada disedekahkan, daging-daging korban sunat itu harus dihadiahkan kepada orang kaya untuk dimakan sahaja, bukan sebagai milik kepada mereka. Ini bererti mereka tiada hak untuk menjual atau menghadiahkannya kepada orang lain dan seumpamanya. Berlainan halnya dengan orang fakir dan miskin, yang mana daging itu adalah menjadi milik mereka dan harus bagi mereka menjual atau memberikan daging tersebut kepada orang lain.

Begitu juga haram atas orang yang berkorban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada korban itu, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Siapa yang menjual kulit korban (udhhiyah) itu maka tiada dikira baginya korban. (Hadis riwayat Al-Hakim)

Kulit atau daging binatang korban itu juga haram dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.

Daging korban yang disedekahkan kepada orang fakir miskin itu mestilah dalam keadaan mentah. Berbeza halnya dengan daging korban yang dihadiahkan kepada orang kaya, di mana daging tersebut boleh dihadiahkan dalam keadaan mentah ataupun sudah dimasak. (I‘ânah Ath-Thâlibîn: 2/333-334)

Tidak memadai jika yang diberikan kepada orang fakir miskin itu hanya kulitnya, bulunya, tanduknya, kukunya dan sebagainya.

Daging-daging korban atau mana-mana bahagian daripadanya sama ada korban wajib atau sunat yang disedekahkan kepada orang fakir miskin atau yang dihadiahkan kepada orang kaya itu adalah terhad kepada mereka yang beragama Islam sahaja. Haram memberi, menghadiahkan atau menjual daging korban tersebut kepada orang bukan Islam, sekalipun fakir miskin itu terdiri daripada kafir dzimmi (Mathla‘ Al-Badrain: 81). Ini adalah disebabkan menyembelih binatang korban itu adalah merupakan ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh sebab itu, sekiranya ada bahagian daging tersebut yang diberikan, dihadiahkan atau dijual kepada orang bukan Islam, maka wajib diganti dengan daging yang lain sekira-kira menyamai kadar berkenaan.

Demikianlah penentuan hukum syara‘ berkenaan dengan daging korban yang perlu kita ambil perhatian sepenuhnya semoga dengan demikian ibadat korban yang kita lakukan itu diterima oleh Allah Subhanhu wa Ta‘ala.

KELEBIHAN HADIR AWAL KE MASJID PADA HARI JUMAAT

Matlamat hidup manusia adalah untuk mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kebahagiaan itu pula akan dijamin datang apabila manusia mahu melaksanakan perintah dan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Antara perintah dan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang wajib ditunaikan ialah sembahyang. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya; dan mereka yang mejauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (Surah Al-Mu’minûn: 1-3)

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa kebahagiaan dan kemenangan hidup itu hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang beriman, orang-orang yang menjaga sembahyangnya dan orang-orang yang menjauhkan dirinya daripada perbuatan sia-sia.

Sembahyang adalah salah satu daripada rukun Islam dan merupakan suatu ibadat yang sangat penting dalam Islam. Malah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegaskannya dalam sabda Baginda:

Maksudnya: “Mahukah kamu aku memberitahukan bahawa dasar (punca) segala urusan, tiangnya dan puncaknya?” Aku menjawab: “Ya! Wahai Rasulullah”, lalu Baginda bersabda: “Dasar (punca) segala urusan adalah Islam (dua kalimah syahadat) dan tiangnya ialah sembahyang dan puncaknya ialah jihad.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Dengan demikian sembahyang merupakan suatu suruhan yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Orang yang menunaikan sembahyang ini akan diberi ganjaran pahala kerana mematuhi suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Hidupnya sentiasa mendapat nikmat dan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan di akhirat nanti akan dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama dengan orang-orang salih.

Kewajipan Sembahyang Jumaat

Sembahyang Jumaat adalah salah satu daripada kewajipan yang termaklum berdasarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Orang-orang yang mengingkarinya dihukumkan kufur.

Al-Qur’an menjelaskan mengenai kewajipan sembahyang Jumaat sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan bang (azan) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah Al-Jumu‘ah: 9)

Berdasarkan ayat ini dan ayat-ayat berikutnya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan umat Islam bersegera ke masjid sebaik-baik sahaja mendengar seruan azan serta meninggalkan kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja-kerja lain, untuk mendengar khutbah dan mengerjakan sembahyang Jumaat.

Setelah selesai sembahyang, mereka digalakkan meneruskan usahanya mencari rezeki sambil banyak mengingati Allah dalam segala keadaan. Mereka yang mematuhi ajaran Allah akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan mengenai kewajipan sembahyang Jumaat tersebut berdasarkan sabda Baginda:

Maksudnya: Sembahyang Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap orang Islam dengan (mengadakannya) secara berjemaah kecuali empat iaitu seorang hamba, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit. (Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)

Oleh itu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menetapkan hari Jumaat sebagai hari besar mingguan bagi umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta memerintahkan mengadakan satu sembahyang yang khas menandakan kebesaran hari Jumaat, bagi menggantikan sembahyang Zuhur.

Kelebihan Hari Jumaat

Di antara kebesaran dan kelebihan hari Jumaat itu ialah penghulu segala hari. Pada hari Jumaat telah dijadikan bapa segala manusia iaitu Adam ‘Alaihissalam. Pada hari itu juga diberikan satu saat di mana segala doa dan permintaan akan dikabulkan kecuali perkara-perkara maksiat sebagaimana Rasulullah bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada Hari Raya Adhha dan Hari Raya Fithrah, pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘Alaihissalam dan baginda diturunkan dari syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘Alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jumaat juga akan terjadinya Hari Kiamat. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hari Jumaat juga adalah hari pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat Islam baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan kelebihan orang yang berwudhu di rumahnya kemudian pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat melalui sabda Baginda:

Maksudnya: Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah) telah berbuat sia-sia. (Hadis riwayat Muslim)

Orang-orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat juga akan mendapat rahmat dan aman daripada segala azab kubur. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat, dia akan dicap dengan cap iman dan terpelihara daripada seksa kubur. (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengkhabarkan bahawa ganjaran pahala yang besar diberikan kepada orang-orang yang pergi berjemaah ke masjid termasuk untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Sabda Baginda:

Maksudnya: Apabila seseorang berwudhu lalu dia memperelokkan wudhunya kemudian dia keluar (pergi) ke masjid, dia tidak keluar kecuali untuk menunaikan sembahyang, tidak dia melangkah satu langkah kecuali ditinggikan satu darjat baginya dan dihapuskan baginya satu kesalahan, apabila dia bersembahyang malaikat sentiasa memohonkan rahmat ke atasnya selama mana dia masih di tempat sembahyang dan belum berhadas, malaikat memohonkan: “Wahai Allah berilah rahmat ke atasnya, wahai Allah sayangilah dia!” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis ini terkandung beberapa perkara yang penting. Pertama, ganjaran pahala yang besar akan diperolehi oleh orang-orang yang sedia berwudhu lalu pergi ke masjid untuk bersembahyang jemaah. Maka setiap langkahnya akan dikira sebagai penghapus dosa-dosanya dan menaikkan darjatnya. Para malaikat juga sentiasa memohonkan keampunan dan rahmat kepada orang-orang sedemikian. Kedua, orang yang berwudhu di rumah itu menggambarkan bahawa mereka sentiasa menjaga ketepatan waktu sembahyang kerana telah bersedia lebih awal lagi.

Oleh yang demikian hari Jumaat adalah hari yang mengandungi banyak kelebihan dan kebesaran yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Hadir Jumaat Lebih Awal

Kita dituntut agar menepati waktu sembahyang dan dilarang melengahkannya. Menepati waktu sembahyang itu merupakan bukan sahaja tuntutan agama, malahan orang yang menepatinya itu akan mendapat ganjaran yang besar. Hal ini disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Orang-orang yang bersembahyang pada waktunya dan menyempurnakan wudhunya, menyempurnakan (tegak) berdirinya, menyempurnakan khusyû‘nya, rukû‘nya dan sujûdnya, maka sembahyang itupun naik (ke langit) dalam keadaan putih dan cemerlang. Sembahyang itupun berkata: “Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (memperelokkan kelakuan sembahyang itu).” Tetapi sesiapa yang bersembahyang tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula memperelokkan wudhunya, khusyû‘nya, rukû‘nya dan sujûdnya, maka sembahyang itupun naik (ke langit) dalam keadaan hitam legam sambil berkata: “Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku.” Sehinggakan setelah sembahyang itu berada di suatu tempat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, lalu iapun dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak-koyak kemudian dipukulkanlah ke mukanya. (Hadis riwayat Ath-Thabarani)

Ulama Syafi‘e juga sepakat mengatakan bahawa sunat (mustahabb) menghadirkan diri lebih awal ke masjid pada hari Jumaat. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan tentang kelebihan orang-orang yang menghadirkan diri lebih awal ke masjid pada hari Jumaat, Baginda bersabda:

Maksudnya: Apabila datang hari Jumaat, maka setiap pintu masjid ada malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutannya. Apabila imam telah duduk (di atas mimbar), para malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah). Perumpamaan orang yang hadir ke masjid lebih awal adalah bagaikan orang yang menyembelih hadyi (korban) seekor unta, kemudian seperti menyembelih seekor sapi, kemudian seperti menyembelih seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam, kemudian seperti orang yang memberikan sedekah sebiji telur. (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelas kepada kita bahawa meghadirkan diri ke masjid lebih awal pada hari Jumaat adalah sangat dituntut dan mempunyai ganjaran dan balasan yang besar. Sembahyang tepat pada waktunya juga dianggap sebagai memelihara sembahyang kerana jika dilengahkan waktu sembahyang tersebut, kemungkinan akan tertinggal atau terlepas waktu yang ditentukan itu.

Malah Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah menjelaskan bahawa antara sifat-sifat orang yang mendapat kebahagiaan itu ialah mereka yang tetap mengerjakan sembahyang pada waktunya dengan cara yang sempurna. FirmanNya:

Tafsirnya: Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. (Surah Al-Mu’minûn: 9)

Kesimpulannya, sembahyang dengan khusyû‘ dan tawâdhû‘ serta menjaga dan memelihara waktu adalah satu kewajipan. Maka adalah disunatkan kepada orang yang diwajibkan sembahyang Jumaat supaya menghadirkan diri lebih awal ke masjid bagi mengelak daripada terlepas pahala atau fadhilat datang awal ke masjid seperti mana maksud hadis di atas.

Lambat hadir yang mendatangkan kerugian itu termasuklah hadir setelah imam naik ke atas mimbar untuk membaca khutbah. Hal ini telah diceritakan dalam hadis di atas yang menyebutkan:

Maksudnya: Apabila imam telah duduk (di atas mimbar) para malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah).

Ini bererti para malaikat yang khusus bertugas mencatat kelebihan hadir awal ke masjid pada hari Jumaat itu menghentikan catatannya kerana hendak sama-sama mendengar khutbah. Orang yang sedemikian hanya akan tersenarai dalam orang-orang yang hadir Jumaat sahaja, tetapi tidak tersenarai sebagai orang-orang yang mendapat kelebihan yang seolah-olah berkorban seekor unta atau sapi seperti yang disebut dalam hadis di atas.

Dari itu sayugialah kita datang awal ke masjid pada hari Jumaat dan ketika dalam perjalanan menuju ke masjid hendaklah dengan khusyû‘ dan merendah diri. Apabila sampai di masjid jangan lupa berniat i‘tikâf ketika hendak masuk ke masjid. Dengan datang awal itu juga kita berkesempatan melakukan perkara-perkara sunat yang lain seperti sembahyang sunat Tahiyyat Al-Masjid, membaca Al-Qur’an, beristighfâr, berzikir dan berdoa, kerana pada hari Jumaat itu mempunyai kelebihan dan kebesaran yang banyak dan ganjaran yang berlipat ganda.

WILÂDAH, NIFAS DAN MENGURUS TEMBUNI

Anak adalah anugerah Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada pasangan suami isteri. Ia juga merupakan satu amanah dan ujian daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada mereka yang dikurniakan harta benda atau anak pinak. Dan Allah Subahanhu wa Ta‘ala akan menyediakan pahala yang besar bagi orang-orang yang mematuhi perintahNya dan mengutamakan lebih daripada harta benda dan anak pinak yang dikasihi itu, sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Qur’an:

Tafsirnya: Kekayaan harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia. (Surah Al-Kahf: 46)

Dalam firmanNya yang lain:

Tafsirnya: Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengah yang lain beberapa darjat, kerana Allah hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. (Surah Al-An‘âm: 165)

Walau bagaimanapun, janganlah dijadikan harta kekayaan dan anak pinak itu untuk kesenangan dan perhiasan dunia semata-mata, bahkan hendaklah kita berjaga-jaga menjadikannya sebagai jalan bagi menerbitkan amal-amal salih yang kekal faedahnya untuk kesenangan dan kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.

Amalan Sunat Semasa Mengandung

Masa mengandung merupakan masa yang banyak mengalami perubahan emosi dan fizikal. Di samping itu, mengandung juga merupakan suatu harapan dan cita-cita sebuah perkahwinan. Oleh itu banyak amalan-amalan yang sunat dilakukan semasa mengandung agar zuriat yang bakal lahir itu nanti menjadi generasi yang cemerlang, baik di dunia mahupun di akhirat.

Dalam mencapai matlamat tersebut, anak itu mestilah ditarbiyah sejak dia masih janin atau semasa di dalam kandungan lagi. Tingkah laku ibu bapa yang baik semasa ibu itu sedang hamil merupakan satu pendidikan awal. Di antara amalan-amalan yang sunat dilakukan ketika sedang hamil ialah memperbanyakkan membaca ayat-ayat Al-Qur’an dan berdoa, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Sunni daripada Fatimah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila (Fatimah) hampir melahirkan, Baginda memerintahkan Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsy menghampiri Fatimah, maka Baginda membaca ayat Al-Kursi dan surah Al-A‘râf (ayat 54) di sisi Fatimah dan memohon perlindungan kepada Allah dengan membaca surah Al-Falaq dan An-Nâs.

Doa yang sunat dibaca ketika hamil itu termasuklah doa Nabi Yunus ‘Alaihissalam:

Tafsirnya: Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah!) Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah aku!) Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiayai diri sendiri. (Surah Al-Anbiyâ’: 87)

Begitu juga bagi ibu-ibu yang sukar bersalin, Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seorang perempuan itu sukar bersalin, tuliskan di dalam bejana surah Al-Ahqâf (ayat 35) dan surah An-Nâzi‘ât (ayat 46), kemudian air itu disapukan dan diminum serta disapukan di perut dan kemaluannya. (Hadis riwayat Ibnu Sunni)

Pada kebiasaannya selepas melahirkan anak, Islam telah menggariskan cara yang sebaik-baiknya menyambut kelahiran anak tersebut. Antaranya ialah memberikan ucapan tahniah dan merasa gembira di atas kelahiran anak tersebut, menyerukan azan dan iqâmah, mentahnîq, mencukur rambut, memberi nama, melakukan aqiqah dan sebagainya.

Mandi Kerana Wilâdah Dan Nifas

Seorang perempuan yang telah selesai melahirkan anak mempunyai kewajipan tertentu iaitu mandi kerana beranak (wilâdah) dan mandi kerana nifas.

Para ulama telah ijmâ‘ mengatakan bahawa wajib mandi dengan sebab keluar darah nifas. Termasuk di dalam perkara yang mewajibkan mandi ialah wilâdah iaitu mandi kerana beranak, sekalipun melahirkan tanpa basah (darah). Begitu juga bagi perempuan yang mengalami keguguran anak, tidak terkecuali daripada kewajipan mandi, sama ada keguguran itu hanya berupa darah beku (‘alaqah) ataupun hanya berbentuk seketul daging (mudhghah).

Bagi sebilangan perempuan yang terpaksa menjalani pembedahan perut untuk mengeluarkan anak yang dikategorikan hal sedemikian itu sebagai wilâdah, maka wajib ke atas perempuan tersebut melakukan mandi.

Perlu diingat, mandi kerana beranak dan mandi kerana nifas mempunyai perbezaan. Bagi mengelak kekeliruan, maka darah nifas ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak sekalipun hanya setitik. Maka dalam hal ini perempuan tersebut diwajibkan mandi kerana nifas. Bermulanya darah nifas itu keluar sebelum berlalu lima belas hari setelah seseorang perempuan melahirkan anak. Andaikata darah itu tidak keluar melainkan setelah berlalu masa selama lima belas hari atau lebih, maka darah yang keluar itu tidak dikatakan sebagai nifas tetapi ia merupakan darah haidh.

Manakala mandi kerana wilâdah ialah apabila seorang perempuan itu melahirkan anak atau mengalami keguguran anak sekalipun hanya berupa darah beku (‘alaqah) atau hanya berbentuk seketul daging (mudhghah). Maka wajib bagi perempuan itu mandi kerana beranak (wilâdah) setelah berlakunya kelahiran atau keguguran sebagaimana disebutkan.

Maka apabila seorang perempuan telah melahirkan anak, dia wajib mandi kerana beranak (wilâdah) dan wajib juga ke atasnya mandi nifas setelah berhenti darahnya atau habis tempoh masa yang sederhana iaitu empat puluh hari empat puluh malam atau masa paling maksima selama enam puluh hari enam puluh malam.

Sayugia diingatkan bahawa adalah wajib bagi seorang perempuan itu mengetahui hukum-hukum berkaitan dengan mandi wilâdah dan mandi kerana nifas, dan wajarlah bagi suami yang mengetahuinya mengajarkan hukum-hukum tersebut kepada isteri masing-masing.

Mengurus Tembuni

Mengikut Kamus Dewan tembuni atau uri ialah sampul tian atau uri yang bersambung dengan tali pusat yang keluar sesudah bayi dilahirkan. Ia juga disebut tebuni oleh sebilangan orang tempatan.

Bagi mereka yang melahirkan anak di rumah sakit, pada kebiasaannya, tembuni diserahkan kepada pihak keluarga perempuan yang telah bersalin. Berbagai cara pengendalian tembuni yang dilakukan oleh masyarakat kita. Pada kebiasaannya, tembuni tersebut terlebih dahulu dibersihkan. Selepas itu tembuni akan disimpan dalam bayung atau dibungkus dalam suatu bekas untuk ditanam. Ada sebahagian orang menggantungkannya di tiang atau pohon pokok dan didapati juga menyimpannya. Selain itu ada juga orang membuangkannya ke dalam tong sampah atau menghanyutkannya di sungai-sungai.

Menurut ulama Syafi‘e, anggota-anggota badan yang haram dilihat sama ada daripada anggota lelaki seperti bulu ari-ari atau daripada anggota perempuan seperti rambut dan kuku, apabila benda-benda tersebut bercerai daripada badan maka wajib benda-benda tersebut ditanam.

Maka tembuni atau uri selepas bersalin itu tidak wajib ditanam kerana ia bukan daripada anggota badan. Walau bagaimanapun cara yang elok (sunat) dalam mengurus tembuni itu ialah dengan menanamnya. Sepertimana juga kuku atau rambut lelaki sunat ditanam kerana ia merupakan anggota badan yang tidak haram dilihat. Berlainan halnya dengan rambut atau kuku perempuan, ia merupakan anggota badan yang haram dilihat oleh lelaki yang bukan mahram, maka anggota-anggota tersebut wajib ditanam.

Oleh yang demikian sewajarnya orang Islam mengetahui adab-adab Islam dan tidak mengabaikannya kerana Islam mengajarkan umatnya tentang semua sudut kehidupan termasuk menjaga kebersihan diri dan anggota tubuh badan hinggalah kebersihan rumah dan halaman. Hal ini telah disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda: “Bersihkanlah halaman (rumah) kamu. (Hadis riwayat Tirmidzi)

LINDUNGI DIRI DI JALAN RAYA DENGAN AMALAN-AMALAN RASULULLAH

Islam adalah agama yang menganjurkan umatnya agar sentiasa menjaga dan menjamin keselamatan diri dan nyawa, harta dan agama, demikian juga dalam perkara-perkara yang lain. Islam menyuruh umatnya supaya berikhtiar sedaya upaya menjauhkan diri daripada segala perkara yang boleh merosakkan dan membawa kebinasaan. Hal ini dijelaskan oleh Al-Qur’an:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. (Surah Al-Baqarah: 195)

Antara tragedi yang mendatangkan kebinasaan dan kemusnahan harta serta jiwa itu ialah kemalangan jalan raya.

Kemalangan jalan raya merupakan salah satu faktor yang banyak membunuh manusia selain penyakit-penyakit yang kronik. Memandangkan bilangannya yang meningkat dari setahun ke setahun, berbagai usaha telah dibuat oleh pihak berkuasa bagi menyelamatkan nyawa manusia daripada sebarang kemalangan. Antaranya, mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan bagi memastikan tiada berlaku sebarang pengubahsuaian yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang. Mengingatkan para pemandu agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya termasuk melalui kempen-kempen dan iklan-iklan. Menasihatkan supaya sentiasa mencari langkah dan memastikan keselamatan seperti memakai tali pinggang keledar, memeriksa kenderaan sebelum menggunakannya dan lain-lain lagi supaya pengguna jalan raya benar-benar selamat.

Selain itu, ada juga kita dapati papan-papan tanda yang bertulis kalimah “Allahu Akbar” dan “Subhanallah” terutama di jalan dan kawasan yang dikenalpasti sering terjadi kemalangan yang mengakibatkan kematian dan cedera parah. Papan tanda ini dibuat dengan tujuan mengingatkan pemandu-pemandu supaya sentiasa mengingati Allah dan memohon perlindunganNya serta berwaspada ketika memandu. Menurut maklumat yang diterima daripada pihak-pihak yang berkenaan, usaha seperti ini telah memberi kesan yang positif ke arah mengurangkan kemalangan di jalan raya.

Ini bermakna pemasangan kalimah-kalimah suci tersebut merupakan satu usaha yang berkebajikan. Bahkan daripada natîjah yang baik itu, pemasangan papan-papan tanda seperti itu perlu diperluaskan lagi untuk mengingatkan pemandu agar sentiasa berzikir (mengingati Allah) serta berwaspada ketika memandu. Sikap ingat mengingati dan nasihat menasihati itu adalah dituntut oleh Islam sebagaimana yang dianjurkan oleh Al-Qur’an:

Tafsirnya: Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman. (Surah Adz-Dzâriyât: 55)

Menurut Islam sememangnya kalimah-kalimah suci seperti yang dinyatakan di atas mempunyai fadhilat dan berkat dengan mambacanya. Selain berperanan mengingatkan pemandu, ia juga merupakan doa dan zikir kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Orang-orang yang membacanya akan beruntung kerana mententeramkan jiwa dan sentiasa mendapat ganjaran dan keampunan daripada Allah Subhanhu wa Ta‘ala. Berzikir dalam semua keadaan dan tempat itu adalah perkara yang sangat digalakkan oleh Islam, firman Allah:

Tafsirnya: Maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. (Surah An-Nisâ’: 103)

Kalimah-kalimah suci yang dibuat di papan tanda tersebut tidaklah menjadi kesalahan dan harus dibuat sedemikian untuk mengambil berkat daripadanya.

Keharusan ini boleh dikaitkan dengan amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda dilantik sebagai Rasul, di mana Baginda memperkenalkan Islam kepada orang-orang Arab atau bukan Arab serta mengajak mereka menganutnya, dengan cara mengirim surat kepada raja-raja. Surat-surat tersebut mengandungi kalimah-kalimah dan ayat Al-Qur’an seperti kalimah Basmalah dan ayat 64, surah Âli Imran.

Keharusan ini juga mestilah mengambil kira tentang kehormatan kalimah-kalimah suci itu daripada tercemar atau apa juga perkara yang boleh menjejaskan kehormatannya, seperti ia terdedah kepada najis-najis burung atau terbiar dengan debu-debu. Kalimah-kalimah suci tersebut hendaknya tidak dipasang pada kayu atau tiang yang tidak kukuh sehingga mudah tumbang, jatuh dan sebagainya. Kalimah-kalimah suci itu juga memerlukan pengawasan dan pemeliharaan supaya tidak tercemar.

Bagi memenuhi fadhilat dan berkat dan mengelakkan lidah daripada sebarang kesilapan sebutan atau bacaan, kalimah-kalimah suci itu hendaklah ditulis dengan jelas beserta dengan baris-barisnya sekali.

Selain daripada langkah-langkah fizikal yang dibuat bagi mengelakkan terjadinya kemalangan jalan raya itu, Islam lebih menggantungkan keselamatan diri dan semua perkara kepada kehendak dan kudrat Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui doa-doa dan zikir-zikir.

Kita perlu memohon perlindungan Allah Subahanhu wa Ta‘ala daripada sebarang bahaya, dan kejahatan sama ada daripada manusia, jin dan syaitan pada setiap keadaan. Antara amalan-amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkara ini ialah membaca:

- Surah Al-Fâtihah - Surah Al-Ikhlâsh (3 kali) - Surah Al-Falaq (3 kali) - Surah An-Nâs (3 kali) - Surah Ghâfir, ayat 1 hingga 3 - Surah Al-Mu’minûn, ayat 97 hingga 98

Sebelum keluar rumah hendaklah dibiasakan membaca:

- Surah Al-Fâtihah - Ayat Al-Kursiy - Surah Al-Quraisy - Doa ketika keluar rumah:

Maksudnya: Dengan nama Allah aku bertawakkal kepadaNya dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan (daya upaya dan kekuatan) Allah, aku berlindung denganMu daripada perbuatan sesat atau disesatkan, atau daripada binasa atau dibinasakan, atau daripada zalim atau dizalimi atau daripada jahil (bodoh) atau diperbodohkan.

Ketika menaiki kenderaan hendaklah dibiasakan membaca doa berikut iaitu:

Tafsirnya: Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Allah kami akan kembali. (Surah Az-Zukhruf: 13-14)

Jika di dalam perjalanan berlaku hujan, guruh, angin dan kilat, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan kita supaya membaca:

a. Ketika hujan turun:

Maksudnya: Ya, Allah jadikanlah ia (hujan) sebagai hujan yang menyenangkan.

b. Ketika mendengar guruh dan petir, membaca;

Maksudnya: Ya Allah janganlah engkau matikan kami dengan kemurkaanMu dan janganlah engkau binasakan kami dengan azabMu dan ampunkanlah kami sebelum itu.

c. Semasa angin bertiup kencang, membaca;

Maksudnya: Ya Allah aku memohon kepadaMu kebaikan (angin ini) dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang Engkau utuskan bersertanya, aku memohon perlindunganMu daripada keburukannya dan keburukan yang ada padanya serta keburukan yang Engkau utuskan bersertanya.

Mudah-mudahan dengan membaca ayat-ayat, doa-doa dan mengamalkan zikir-zikir tersebut, kita semua mendapat berkat dan terhindar daripada sebarang malapetaka ketika berada dalam perjalanan.

BAGAIMANA MENCARI KETENANGAN JIWA

Berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, bersiar-siar, bersukan, melukis dan sebagainya.

Ada pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa itu dengan beribadat seperti membaca Al-Qur’an, berzikir, bersembahyang dan sebagainya.

Tanpa ketenangan jiwa manusia akan menghadapi banyak risiko bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti runsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat pertimbangan.

Dalam mencari ketenangan jiwa seseorang itu hendaklah berpandukan syara‘ supaya dia tidak terbabas. Ketenangan jiwa yang diperolehi melalui permainan, bersuka ria, dengan lagu-lagu, muzik, tari menari, berpesta karaoke atau seumpamanya hanyalah bersifat sementara, bahkan akibatnya akan mendatangkan kesan yang bertambah parah. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya.

Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, bermain, makan minum, pakai dan sebagainya. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan. (Surah Al-An‘âm: 32)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. (Surah Ar-Rûm: 21)

Dengan adanya ketenangan jiwa akan memudahkan seseorang itu mengingati Allah dan melakukan ibadat kepadaNya kerana tujuan asal manusia itu diciptakan ialah untuk sentiasa menyembah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Hal ini ditegaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam Al-Qur’an:

Tafsirnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah Adz-Dzâriât: 56)

Sebagai orang Islam kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti ketika mencari hiburan. Al-Qur’an telah mengingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang hina, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan. (Surah Luqman: 6)

Sifat suka kepada hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara paradigma orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: (Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). (Surah Al-A‘râf: 51)

Orang bukan Islam itu lebih menyukai hiburan dunia yang bertapak semata-mata pada nafsu kerana dunia adalah matlamat hidup mereka seperti juga yang digambarkan oleh Al-Qur’an:

Tafsirnya: Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tidaklah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati.” (Surah Al-An‘âm: 29)

Sifat hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempesonakan, bahkan lebih banyak membawa kepada perkara-perkara maksiat dan mungkar yang terang-terang menentang kehendak hukum syara‘. Apa yang lebih menyedihkan hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala unsur-unsur mungkar dan maksiat itu. Mereka turut terkeliru dengan pujuk rayu orang-orang bukan Islam yang mempamerkan hiburan-hiburan palsu sebagai jalan untuk menenangkan jiwa. Namun ketenangan itu cuma seketika, selepas itu kesusahan akan datang kerana ia bertunjangkan fantasi, angan-angan dan khayalan semata.

Inilah persepsi yang difahami oleh sebahagian masyarakat sekarang. Sedangkan maksud hiburan itu sendiri lebih luas daripada itu. Hiburan bermaksud mencari ketenangan jiwa. Dari itu, hanya hiburan sejati yang mampu mencapai maksud tersebut.

Hiburan Yang Dianjurkan Islam

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa kepada hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah mengisi keperluan asasinya iman. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam Al-Qur’an:

Tafsirnya: Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Ra‘d: 28)

Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah dan menerima segala ketentuan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala;

Tafsirnya: (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat. (Surah Al-Baqarah: 138)

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa. (Surah Yunus: 6)

Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu indah, dia suka pada keindahan. (Hadis riwayat Muslim)

Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalam hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Qur’an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Allah, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al- Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. (Surah Az-Zumar: 23)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Surah Al-Anfâl: 2)

Dan firmanNya lagi:

Tafsirnya: Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepadanya. (Surah Al-Hajj: 35)

Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa. Lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa seolah-olah sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda:

Maksudnya: Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang. (Hadis riwayat Nasa’i)

Daripada apa yang telah dibincangkan di atas, jelas kepada kita bahawa Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur asalkan tidak menjejaskan kewajipan dan jauh daripada segala perkara maksiat dan mungkar. Hiburan yang dilarang oleh agama Islam itu ialah segala bentuk hiburan yang melalaikan atau merugikan, apa lagi hiburan yang menjejaskan kewajipan seorang Islam. Nyanyian, karaoke, tari-menari, lebih-lebih lagi tari-menari yang bercampur di antara lelaki dan perempuan, dan konsert-konsert nyanyian sekalipun atas nama “amal” tidak akan menghalang hakikatnya sebagai kegiatan yang bertentangan dengan syara‘. Konsert nyanyian yang ada sekarang adalah lebih banyak menjurus kepada perkara yang tidak diredhai oleh Allah. Tujuan amal adalah kata-kata berselindung, seperti berselindung racun di sebalik makanan yang enak, akhirnya akan membunuh orang yang memakannya. Hal sedemikian telah digambarkan oleh Al-Qur’an:

Tafsirnya: Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya?) Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. (Surah Fâthir: 8)

Apabila di dalamnya bercampur perkara-perkara mungkar atau maksiat, maka sesuatu yang haram itu tidak akan menjadi halal hanya sekadar diselubungi dengan tujuan yang baik atau kerana cita-cita itu murni. Dalam kaedah fiqh juga menjelaskan:

Maksudnya: Apabila berkumpul antara yang halal dan haram, dimenangkan yang haram.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memperingatkan kepada umatnya bahawa apabila berleluasa perkara mungkar dan maksiat seperti munculnya penyanyi-penyanyi perempuan, muzik dan arak akan terjadilah balasan Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti peristiwa gempa bumi dan sebagainya. Dalam hadis Baginda:

Maksudnya: Di dalam umat ini akan terjadi peristiwa ditelan bumi, berubah rupa bentuk dan dilempar dengan batu. Seorang lelaki daripada kalangan kaum muslimin bertanya: “Wahai Rasulullah, bilakah terjadi peristiwa itu?” Baginda bersabda menjawab: “Apabila telah muncul penyanyi-penyanyi perempuan dan alat-alat muzik yang ditiup dan berbagai jenis minuman arak.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Ibnu Hajar dalam kitabnya Az-Zawajir telah menjelaskan bahawa orang-orang yang duduk bersama-sama orang minum arak, orang fâsiq dan duduk dengan ahli hiburan yang haram (seperti majlis tari-menari walaupun dengan isteri sendiri), sedangkan dia berkuasa untuk menegah perkara-perkara tersebut atau berkuasa meninggalkan majlis itu, adalah suatu dosa besar.

Menurut Imam Al-Qurthubi pula, sentiasa mendengar nyanyian juga boleh menyebabkan sifat bodoh dan tertolak persaksiannya (syahâdah), dan yang lebih ditakuti lagi ialah menyebabkan nifâq, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Nyanyian itu menumbuhkan sifat nifâq (munâfiq) dalam hati sebagaimana air menumbuhkan sayuran. (Hadis riwayat Baihaqi)

Dari itu ingatlah bahawa kehidupan dunia itu hanyalah sementara dan sebagai jalan untuk menuju kebahagiaan di akhirat. Kita perlu sentiasa waspada dan ingat bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyediakan azab bagi orang-orang yang mengutamakan kehidupan dunia semata-mata tanpa menghiraukan larangan-larangan Allah dan RasulNya bahkan lalai dan leka oleh perkara-perkara mungkar dan maksiat. Ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan, juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur berkecai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia), dan (ada pula) keampunan besar serta keredhaan Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Surah Al-Hadîd: 20)

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga mengkhabarkan, apabila umat Islam menjalankan segala urusan dunia dan akhirat dengan tidak berpandukan syara‘, kadang-kadang mereka menyangka bahawa amal yang mereka lakukan itu baik padahal adalah sebaliknya. Jika ada suatu amalan itu mengandungi perkara-perkara yang tidak selaras dengan syara‘, maka rosak binasalah segala amal usaha yang mereka sangka baik itu, dan tidak akan mendapat sebarang harga pada Hari Kiamat kelak, bahkan mereka akan menerima kehinaan dan azab seksa yang seburuk-buruknya. Hal ini telah diceritakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi serugi-rugi amal perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah orang-orang yang kufur, ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada Hari Kiamat nanti.” (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka pula kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan rasul-rasulKu sebagai ejekan. (Surah Al-Kahf: 103-106)

HARI NAHAS: PANDANGAN ISLAM MENGENAINYA

Semua kejadian makhluk di langit dan muka bumi yang diciptakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala termasuk menjadikan matahari dan bulan adalah bagi keselesaan makhluk-makhluk yang lain. Lihatlah, Allah menjadikan matahari dengan cahayanya yang menyebabkan adanya siang. Begitu juga dijadikan bulan membawa cahaya pada waktu malam bagi menerangi permukaan bumi daripada kegelapan malam sebagai manfaat dan faedah kepada manusia, haiwan dan tumbuhan dan kepada makhluk-makhluk yang lain.

Selain itu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan sesuatu itu dengan tujuan dan hikmatnya yang tertentu supaya makhluk-makhluk yang lain dapat memanfaatkannya. Sebagai contoh, Allah menjadikan bulan dan matahari bagi faedah manusia mengetahui perjalanan dan perkiraan waktu, mengetahui peredaran bulan dan hari, siang dan malam. Perkiraan itu dituntut bagi mengetahui waktu dan masa untuk beribadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti mengetahui waktu sembahyang, puasa, haji, zakat dan lain-lain. Hal ini digambarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang benderang supaya kamu mudah mencari rezeki daripada limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Qur’an) dengan sejelas-jelasnya. (Surah Al-Isrâ’: 12)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya). (Surah Yunus: 5)

Hari dan bulan mempunyai fadhilat dan kelebihan tertentu di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Islam menetapkan dua belas bulan pada setiap tahun sebagai ketetapan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Hal ini telah dijelaskan oleh Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (Surah At-Taubah: 36)

Dalam memperkatakan tentang bulan dan hari ini, terdapat sebahagian orang yang mempercayai tentang adanya bulan, hari atau waktu yang tidak baik, sial dan nahas. Kepercayaan sedemikian besar kemungkinan masih dipegang oleh sebilangan orang dalam masyarakat sekarang. Antara kepercayaan tersebut ialah mempercayai bahawa bulan Muharam adalah bulan yang tidak baik, kerana dikaitkan Muharam itu sebagai “haram”. Bulan Safar pula dikatakan bulan nahas, maka kerja-kerja besar seperti majlis perkahwinan, membangun rumah atau berpindah ke rumah baru tidak dilakukan pada bulan-bulan tersebut bagi tujuan mengelak daripada bencana atau kecelakaan.

Begitu juga ada sebahagian orang mempercayai jika telah keluar rumah dan tertinggal sesuatu atau barang yang hendak dibawa, maka dia tidak akan kembali mengambil barang tersebut kerana perbuatan sedemikian itu dipercayai akan membawa padah dan sebagainya. Sebahagian orang pula mempercayai nombor-nombor tertentu membawa tuah dan ada pula yang membawa bencana.

Asal Usul Sempena Buruk Atau Hari Nahas

Kepercayaan tentang sempena baik atau buruk itu telah wujud sejak zaman Arab Jahiliyah lagi. Sebagai contoh, apabila seseorang itu hendak keluar rumah dan didapati ada burung terbang atau lalu di sebelah kanan, dipercayai bahawa seseorang itu tidak akan mendapat bencana dan boleh melakukan atau meneruskan hajatnya untuk keluar rumah. Sebaliknya jika burung itu terbang atau melintas di sebelah kiri, seseorang itu tidak akan keluar rumah atau jika dia telah keluar rumah, dia akan kembali ke rumahnya dan tidak meneruskan hajatnya. Oleh yang demikian, menurut mereka, kedudukan di mana burung itu terbang sebagai petanda dan petunjuk untuk mengetahui tentang baik buruknya melakukan sesuatu pekerjaan.

Di dalam Al-Qur’an Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menceritakan peristiwa kaum ‘Add. Allah Subhanahu wa Ta‘ala membinasakan mereka kerana mendustakan RasulNya dengan menurunkan angin ribut yang kencang yang berlanjutan sehingga manusia gugur bergelimpangan seperti batang-batang pohon kurma yang terbongkar.

Peristiwa ini telah digambarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: (Demikian juga) kaum ‘Add telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan); maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu! Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang, pada hari nahas yang berterusan; yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang terbongkar. (Surah Al-Qamar: 18-20)

Imam Qurthubi menceritakan bahawa menurut Ibnu Abbas, peristiwa tersebut berlaku pada hari Rabu yang terakhir bagi bulan itu. Yang dimaksudkan hari nahas di dalam ayat tersebut ialahAllah Subhanahu wa Ta‘ala membinasakan kaum ‘Add yang kafir dan orang-orang yang mendustakan rasul mereka sahaja. Dengan kata lain Allah tidak membinasakan rasulNya dan orang-orang yang beriman dengan rasul mereka. Maka peristiwa tersebut tidak ada kena mengena dengan hari yang membawa bencana, sial dan nahas. (Al-Qurthubi: 17/135)

Daripada peristiwa tersebut, sebahagian orang mempercayai bahawa pada hari Rabu yang terakhir bagi setiap bulan adalah hari bala diturunkan. Maka tidak ada sebarang pekerjaan atau kerja-kerja amal yang dilakukan pada hari tersebut.

Menurut Sayyid Alwi bin Thahir Al-Haddad, Mufti Kerajaan Johor tidak terdapat satupun hadis yang shahîh mengenai turunnya bala pada hari Rabu atau pada hari Rabu yang terakhir bagi setiap bulan. Sebahagian ulama mengatakan bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan berkaitan dengan perkara tersebut adalah hadis-hadis rekaan (maudhû‘) semata-mata. Salah satu hadis maudhû‘ tersebut ialah:

Maksudnya: Akhir hari Rabu tiap-tiap bulan itu nahas yang berkekalan.

Ulama berpendapat bahawa beberapa orang perâwi hadis ini adalah pendusta dan tidak dipakai riwayatnya. Di antara mereka itu ialah Maslamah bin Ash-Shilat, Al- Abrazi, Ibrahim bin Abu Hibbah dan Isa bin Abdullah. (Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor: 2/210-211)

Anggapan tersebut juga jelas meleset daripada kebenaran kerana jika hari Rabu yang terakhir bagi setiap bulan itu adalah hari nahas atau bencana, bagaimana pula doa pada hari itu dikabulkan? Menurut sahabat Jabir bin Abdullah Radhiallahu ‘anhuma mengatakan bahawa doa pada hari Rabu di antara Zohor dan ‘Asar itu adalah doa yang dikabul dan diangkat. (Al-Qurthubi: 2/313) Beliau menceritakan dan berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah berdoa di Masjid Fath sebanyak tiga kali pada hari Isnin dan hari Selasa, maka dikabulkan juga doa Baginda pada hari Rabu antara waktu Zohor dan ‘Ashar. (Kerana) aku mengetahui (doa Baginda dikabulkan) daripada wajahnya, Baginda merasa gembira. Jabir berkata lagi: “Tidak ada bagiku suatu perkara yang lebih penting dan payah/kusut melainkan aku bermohon (berdoa) pada masa atau saat (doa dikabulkan), lalu aku bermohon pada waktu (tersebut) dan aku mengetahui permohonanku dikabulkan.”

Keterangan-keterangan di atas dengan sendirinya menolak dan menangkis berbagai pendapat yang mengatakan bahawa hari Rabu yang terakhir pada setiap bulan adalah hari bala, sehingga tidak perlu kita membuat apa-apa upacara tertentu semata-mata untuk menolak bala hari Rabu. Pendapat ini tidak mempunyai asas.

Selain daripada itu ada juga sebahagian orang yang mempercayai nahas bulan Safar sehingga mereka meminum air wafaq. Pada beberapa dekad yang lalu ada di antara orang Melayu mengadakan upacara mandi Safar bagi menolak bala bulan tersebut.

Maka dalam hal ini, kita umat Islam wajib mengetahui bahawa Islam adalah agama yang menolak kepercayaan tentang khurafat, tahyul dan tentang adanya bulan atau hari-hari tertentu yang membawa malapetaka ataupun sial atau menyangka buruk terhadap sesuatu. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Tidak ada jangkitan, tidak ada sempena baik pada burung, tidak ada sempena buruk dengan sebab burung hantu dan tidak ada sempena jahat pada bulan Safar. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan hadis ini tidak ada hari sial atau hari nahas di dalam Islam. Al- ‘Allamah Ibnu Hajar Al-Haitami pernah ditanya tentang hari nahas, hari bahagia serta hari-hari dan malam-malam yang baik untuk melakukan sesuatu seperti belayar dan berpindah. Beliau menjawab dalam fatwanya dengan berkata:

Ertinya: Sesiapa yang bertanya tentang hari nahas dan perkara yang selanjutnya sayugia tidak dijawab bahkan hendaklah ditolak dan apa yang dilakukannya itu adalah kerja bodoh serta jelaskan kepadanya (si penanya) tentang keburukan hal tersebut. Dan sesungguhnya perkara sedemikian itu adalah daripada budaya dan kelakuan orang-orang Yahudi, bukan daripada amalan orang-orang Islam yang bertawakkal kepada (Allah) yang mencipta dan menjadikan mereka, yang mereka sendiri tidak mengharapkan pemeliharaan lain selain Allah dan kepadaNya mereka berserah diri. Adapun apa yang dinukil daripada Ali Karramallahu Wajhah tentang hari-hari yang buruk dan seumpamanya adalah tidak benar (bâthil), lagi dusta yang tidak berasas. Maka hendaklah sentiasa berwaspada tentang perkara sedemikian. Wallahu ‘alam. (Al-Fatâwâ Al-Hadîtsiyyah m.s 28)

Pada hakikatnya yang ada hanyalah hari yang lebih utama daripada hari-hari yang lain atau bulan-bulan yang lain contohnya hari Jumaat adalah ‘penghulu’ bagi hari-hari dalam satu minggu. Hari Isnin, hari Khamis, hari ‘Arafah dan hari ‘Âsyûrâ’ mempunyai keistimewaannya tersendiri sehingga disunatkan umat Islam melebihkan ibadat atau amal pada hari-hari tersebut dengan berpuasa. Begitu juga dengan kelebihan bulan Ramadhan daripada bulan-bulan yang lain. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada Hari Raya Adhha dan Hari Raya Fithrah, pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘Alaihissalam dan Baginda diturunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘Alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jumaat juga akan terjadinya Hari Kiamat. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Ibnu Abbas menceritakan dalam sebuah hadis, katanya:

Maksudnya: Aku (Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma) tidak pernah melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bermaksud untuk mengerjakan puasa pada suatu hari yang Baginda lebih mengutamakannya daripada hari-hari yang lain, kecuali hari ini iaitu hari ‘ Âsyûrâ’ dan berpuasa dalam bulan ini yakni bulan Ramadhan. (Hadis riwayat Bukhari)

Bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan. Di antara kelebihannya diturunkan Al-Qur’an. Adanya Lailatul Qadar iaitu satu hari yang lebih baik daripada seribu bulan. Perkara ini dijelaskan oleh Al-Qur’an:

Tafsirnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Surah Al-Baqarah: 185)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur’an ini pada malam Al- Qadr. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (Surah Al-Qadr: 1-5)

Bulan Muharam pula merupakan salah satu di antara empat bulan yang dihormati dan ditegah mengadakan peperangan. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam juga dihormati kerana bulan-bulan tersebut dikhususkan untuk mengerjakan haji ke Baitullah. Manakala pada bulan Rejab dijadikan bulan yang dihormati supaya dapat pula mengerjakan umrah di bulan tersebut.

Menyentuh tentang bulan Safar, umat Islam sekarang mungkin telah meninggalkan amalan-amalan karut yang diamalkan oleh generasi lalu dalam bulan tersebut seperti mandi Safar. Kesedaran ini mungkin timbul daripada dakwah dan maklumat tentang Islam yang diterima dari semasa ke semasa.

Walau bagaimanapun, perkara-perkara khurafat lain yang mungkin masih dibuat dan diamalkan oleh sebahagian masyarakat Islam di bulan Safar ialah meminum air wafaq. Amalan meminum air wafaq di bulan Safar ini bukanlah tradisi Islam dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyuruh umatnya meminum air wafaq untuk menolak bala. Sebaliknya umat Islam digalakkan berdoa dan memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuk menjauhkan diri daripada bala bencana.

Mungkin ramai umat Islam terkeliru dengan istilah hari utama atau hari yang lebih mulia daripada hari-hari lain, dengan itu mereka beranggapan bahawa hari yang selain daripada hari-hari yang mulia itu adalah hari-hari nahas atau hari-hari yang kurang baik. Bukanlah begitu hakikatnya, kerana apabila disebut hari yang lebih mulia, tidaklah bermaksud hari-hari yang selainnya adalah hari-hari nahas.

Kita hendaknya jangan keliru dalam memahami hakikat kandungan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan berbagai kejadian pada hari-hari yang tertentu, contohnya sabda Baginda:

Maksudnya: Allah ‘Azza wa Jalla menciptakan bumi pada hari Sabtu, menjadikan gunung-gunung di dalamnya (bumi) pada hari Ahad, menjadikan tumbuh-tumbuhan pada hari Isnin, menciptakan perkara-perkara yang tidak digemari pada hari Selasa, menjadikan cahaya pada hari Rabu, menyebarkan berbagai jenis binatang di dalam bumi pada hari Khamis dan menciptakan Adam ‘Alaihissalam pada hari Jumaat selepas Ashar iaitu di akhir penciptaan dan di penghujung waktu hari Jumaat yakni di antara waktu Ashar hingga ke malam. (Hadis riwayat Muslim)

Hadis di atas bukan menunjukkan adanya hari atau waktu yang nahas bahkan ia merupakan penjelasan tentang waktu atau hari- hari kejadian segala makhluk yang ada di langit dan di muka bumi ini termasuklah menjadikan bapa segala manusia iaitu Adam ‘Alaihissalam.

Selain perkara di atas, ada juga sebahagian orang yang percaya kepada tuah atau sial nombor-nombor. Sebilangan orang mempercayai bahawa nombor 13 (tiga belas) itu membawa kepada mala petaka sehingga nombor tersebut tidak disukai. Kepercayaan ini tidak masuk akal, kerana fahaman atau kepercayaan ini jelas bertentangan dengan konsep ajaran agama Islam.

Orang yang mempercayai fahaman sedemikian boleh menjejaskan aqidah kerana menolak qadha dan qadar Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mempercayai qadha dan qadar Allah itu adalah salah satu daripada rukun iman.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengingatkan kita bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu, bukan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah syirik, sebagaimana Baginda bersabda:

Maksudnya: Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan (orang-orang yang beriman) sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakal. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Oleh itu kita hendaklah waspada dalam memahami kejadian-kejadian baik dan buruk dalam kehidupan agar aqidah dan iman kita selamat daripada perkara-perkara kufur dan syirik. Begitu juga kita wajib waspada terhadap buku-buku yang dikarang oleh sebahagian orang yang sukar untuk dinisbahkan sebagai kitab yang mu‘tamad atau mu‘tabar. Menurut Sayyid Alwi bin Thahir Al-Haddad, Mufti Kerajaan Johor dalam fatwanya, bahawa kitab-kitab yang tidak mu‘tamad dan tidak boleh dipercayai seperti Syam Al-Ma‘ârif Al-Kubrâ yang di dalamnya mengandungi beberapa perkara yang haram, menjadikan kufur siapa yang memperbuatnya seperti menyeru nama-nama syaitan, kencing atas surat yang terkandung nama Allah dan lain-lain hal yang diperbuat oleh tukang sihir. (Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor: Jilid 2/211)

Selain itu, Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menyuruh umatnya agar sentiasa menyangka baik (al-fa’lu) terhadap sesuatu kejadian itu kerana sangka baik terhadap sesuatu itu suatu cita-cita dan harapan untuk mendapat kebaikan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebaliknya sangka buruk terhadap sesuatu (tasyâ’um) ialah sangka buruk terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Hal ini telah dijelaskan oleh Baginda dalam sabdanya:

Maksudnya: Tidak ada jangkitan yang menular dan tidak ada sangkaan (ramalan baik) pada burung dan Aku merasa kagum terhadap sangkaan baik (kalimat yang baik). (Hadis riwayat Bukhari)

Daripada penjelasan-penjelasan di atas diharapkan tidak timbul lagi di kalangan masyarakat kita yang menganggap dan mempercayai bahawa kejadian-kejadian yang tidak diingini itu adalah sebagai bencana atau nahas sesuatu hari, bulan ataupun nombor-nombor. Bahkan wajib ke atas setiap orang Islam meyakini bahawa apa-apa juga kejadian baik atau buruk itu adalah atas kehendak Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

PERIHAL KEMATIAN DAN KENDURI ARWAH

Mati ialah terputusnya perhubungan di antara roh dan jasad. Sebenarnya mati merupakan perpindahan pertama bagi manusia dari alam dunia menuju ke alam akhirat. Bermula dari sini manusia akan berpindah ke alam barzakh atau alam kubur. Mati itu adalah perkara yang pasti terjadi bagi semua yang hidup. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan pasti merasai mati, dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. (Surah Âli ‘Imran: 185)

Alam barzakh merupakan alam tempat roh orang mati berada, sementara menunggu hari dibangkitkan semula di Padang Mahsyar. Ketika berada di alam barzakh manusia akan disoal dengan berbagai perkara termasuk mengenai ketuhanan dan kerasulan oleh malaikat Munkar dan Nakir. Bagi mereka yang dapat menjawabnya, maka mereka akan bahagia dan selamat. Keupayaan seseorang sama ada boleh menjawab atau tidak soalan-soalan itu, sebenarnya akan bergantung kepada amalan manusia semasa hidupnya di dunia.

Di dalam Al-Qur’an, hidup mempunyai dua pengertian iaitu hidup di dunia dan hidup di alam akhirat. Hidup di dunia ialah bersatu jasad dengan roh atau jiwa. Sementara hidup di akhirat (mati) adalah apabila roh atau jiwa berpisah daripada jasad. Pengertian ini diambil daripada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Allah (Yang Menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya). (Surah Az-Zumar: 42)

Berdasarkan ayat di atas menurut Imam Ar-Razi bahawa mati dan tidur itu adalah daripada jenis yang sama, cuma mati itu terputus nyawa secara zahir dan batin daripada badan manusia, manakala tidur pula terputus nyawa secara zahir badan manusia sahaja. Oleh itu tidur adalah mati kecil kepada manusia. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika hendak tidur dan bangun daripada tidur membaca doa sebagaimana yang diriwayatkan oleh sahabat Huzaifah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak tidur Baginda membaca doa: “Ya Allah dengan namaMu aku mati dan hidup”, dan apabila Baginda terjaga membaca doa: “Syukur kepada Allah yang menghidupkan diriku selepas mematikannya dan kepadaNyalah tempat kembali.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Takziah

Sebagai agama yang lengkap lagi sempurna, Islam telah mengaturkan adab-adab yang perlu diikuti apabila ada kematian, antaranya ialah disunatkan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati. Takziah ialah menyuruh dan menyatakan kepada orang yang ditimpa musibah tersebut agar bersabar, menyebutkan janji pahala kepada orang yang bersabar dan dosa bagi orang yang tidak bersabar serta memohonkan keampunan bagi si mati kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Bagi keluarganya pula dipohonkan supaya dikurniakan pahala yang berlipat ganda di atas kesabaran mereka.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya bersabar ketika seseorang itu ditimpa kesusahan atau musibah. Di antara orang-orang yang bersabar itu ialah mereka yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka tidak hilang semangat bahkan mereka segera mengucapkan:

Tafsirnya: Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali. (Surah Al-Baqarah: 156)

Hal ini juga telah dijelaskan dalam firman Allah:

Tafsirnya: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayatNya. (Surah Al-Baqarah: 156-157)

Para fuqahâ’ tidak berselisih pendapat tentang sunatnya (mustahabb) mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah atau kesusahan. Dilakukan takziah itu bagi menenangkan atau menghiburkan hati orang-orang yang berdukacita kerana kehilangan orang yang dikasihi. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:

Maksudnya: Puteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengirimkan utusan kepada Baginda bahawa seorang anak saya (Usamah) meninggal dunia, maka silalah datang kepada kami.” Bagindapun mengirimkan utusan dengan berkirim salam dan sabdanya: “Sesungguhnya bagi Allah apa yang diambilNya dan bagiNya apa yang diberikanNya, dan segala yang wujud ini di sisi Allah ada batas waktu yang telah ditentukanNya! Perintahkan kepadanya supaya dia bersabar dan mencari pahala Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Baginda yang lain:

Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan takziah (pernyataan turut bersedih (berdukacita)) orang yang ditimpa musibah, maka dia memperolehi pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Tiadalah seorang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya yang ditimpa musibah, melainkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberinya pakaian daripada pakaian yang mulia pada Hari Kiamat. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Menurut ulama Syafi‘iyyah, sunat mengucapkan takziah kepada keluarga si mati sebelum mayat tersebut dikuburkan kerana ketika itu keluarga si mati dalam keadaan sedih dan gelisah. Walau bagaimanapun yang lebih baik ucapan takziah tersebut dilakukan setelah mayat dikuburkan kerana sebelum menanam mayat itu ahli keluarga si mati dalam keadaan sibuk membuat segala urusan pengkebumian. (Mughni Al-Muhtâj: 1/428)

Menurut para ulama, sunat mengucapkan takziah itu dalam lingkungan tiga hari, sebab menurut kebiasaannya kesusahan itu tidak lebih daripada tiga hari. Maka makruh hukumnya jika ucapan takziah itu dilakukan lebih daripada tiga hari, kerana ditakuti selepas tiga hari itu akan memperbaharui kesedihan seseorang itu. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjadikan puncak daripada kesusahan selama tiga hari, sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Bagi wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat tidak diharuskan berkabung atas si mati lebih daripada tiga hari, kecuali atas suaminya iaitu selama empat bulan sepuluh hari. (Hadis riwayat Bukhari)

Cara Mengucapkan Takziah

Sunat mengucapkan takziah kepada orang Islam yang ditimpa musibah kematian keluarganya dengan ucapan:

Maksudnya: Mudah-mudahan Allah Ta‘ala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita (dengan sebaik-baik hiburan) serta diampuni akan si mati daripada keluarga kamu.

Cara Membalas Ucapan Takziah

Maka elok bagi keluarga yang diucapkan takziah membalas dengan ucapan:

Maksudnya: Moga-moga Allah Ta‘ala akan mengurniakan kepadamu sebaik-baik ganjaran.

Menangisi Dan Meratapi Mayat

Menangis kerana perasaan sedih yang tidak tertahan di atas kehilangan orang yang dikasihi, seperti kematian seseorang adalah diharuskan berdasarkan riwayat Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Kami masuk bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menemui Abu Saif Al-Qain, suami wanita yang menyusui Ibrahim. Rasulullah mengambil Ibrahim dan menciumnya, sesudah itu kami masuk kepada Baginda dan (ketika itu) Ibrahim menghembuskan nafas (terakhir) dengan tenang, lalu mata Rasulullah mulai mencucurkan air mata.” Kemudian Abdul Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: “Engkau wahai Rasulullah!”, Baginda bersabda: “Wahai putera ‘Auf, sesungguhnya air mata itu rahmat (kasih sayang), kemudian air mata (Baginda) terus bercucuran lagi, seraya Baginda bersabda: “Sesungguhnya mata mencucurkan air mata dan hatipun sedih dan kami hanya mengatakan apa yang diredhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim.” (Hadis riwayat Bukhari)

Walaupun menangis itu diharuskan tetapi menangis dengan meratap atau menjerit-jerit, menarik rambut, memukul-mukul pipi dan dada atau mengoyak-ngoyak baju dan lain-lain adalah haram. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa orang sedemikian diancam dengan seksaan yang berat, sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-goyak baju dan berteriak- teriak seperti berteriaknya orang jahiliah. (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Wanita yang menangis menjerit-jerit, apabila tidak bertaubat, akan dibangkitkan di Hari Kiamat nanti dengan memakai pakaian (tembaga) daripada percikan api neraka dan baju besi daripada kurap. (Hadis riwayat Muslim)

Menangisi mayat dengan meratapinya dan memanggil-manggil dengan ucapan: “Wahai sandaranku! Wahai kemuliaanku! Wahai orang yang baik pekertinya! Wahai kesayanganku!” dan seumpamanya akan menjadi sebab mayat tersebut terseksa. Perkara ini juga digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Apabila ada seseorang yang meninggal, kemudian ada orang yang menangisinya mengatakan: “Duhai pujaanku! Duhai kemuliaanku!” atau sebagainya, nescaya ada dua malaikat yang ditugaskan kepada mayat itu, menusuk-nusuk badan mayat tersebut dengan mengatakan: “Apakah benar engkau adalah gunung? Apakah benar engkau adalah yang mulia?” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Dan dalam hadis yang lain, Baginda bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya mayat itu diseksa dengan sebab tangisan (ratapan) ahli keluarganya ke atasnya. (Hadis riwayat Bukhari)

Majlis Kenduri Arwah

Pada kebiasaannya, apabila ada kematian, majlis tahlîl atau kenduri arwah akan diadakan oleh keluarga orang yang telah meninggal dunia. Keluarga tersebut menjemput orang-orang hadir yang terdiri daripada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai ke rumah si mati bagi membacakan ayat-ayat Al-Qur’an seperti surah Yasin, bertahlîl dan sebagainya untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Selepas acara tersebut semua tetamu yang hadir dijemput untuk menikmati jamuan yang telah disediakan oleh tuan rumah. Apakah amalan sedemikian sesuai dengan kehendak hukum syara‘?

Sebagaimana yang kita ketahui, agama Islam sangat menggalakkan berbuat kebajikan seperti bersedekah, memberi makan dengan mengundang orang ke rumah dengan tujuan silaturahim, membaca ayat-ayat Al-Qur’an dan berdoa beramai-ramai memohon rahmat bagi si mati dan sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. (Surah Al-Muzzammil: 20)

Menurut Ibnu Hajar, adalah sunat bagi jiran si mati sekalipun bukan berasal dari negerinya atau bukan ahli keluarga menyediakan makanan yang boleh mengenyangkan ahli keluarga si mati pada hari tersebut hingga ke malamnya. Begitu juga sunat bagi keluarga si mati yang jauh berbuat demikian kerana ahli si mati ketika itu diselubungi oleh kesedihan di atas kematian tersebut. (Hawâsyi Al- Syarwani dan Ibnu Qasim (Al-Tuhfah): 3/207)

Jika dilihat kepada kebiasaan kenapa majlis kenduri arwah itu diadakan, ialah bertujuan untuk memohon rahmat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi si mati dengan mengajak dan membawa orang ramai khususnya sanak saudara agar berdoa untuk si mati supaya si mati mendapat rahmat daripada doa tersebut; selain itu ia mengeratkan lagi hubungan persaudaraan (silaturahim) di kalangan sanak saudara dan kerabat serta jiran. Maka dari sudut ini mengadakan majlis kenduri arwah itu adalah suatu perbuatan yang baik dan digalakkan oleh Islam.

Walau bagaimanapun, supaya tujuan kenduri tersebut selaras dengan kehendak agama, janganlah dianggap bahawa ia dibuat sebagai suatu perkara hak bagi si mati yang mesti ditunaikan oleh keluarganya. Begitu juga jamuan itu jangan dianggap sebagai suatu perkara agama yang di syariatkan.

Jelasnya, mengadakan kenduri arwah dan membuat jamuan itu jika tujuannya untuk membalas budi baik kepada orang dan jiran kepada si mati serta menghubungkan silaturahim tidaklah menjadi kesalahan dalam agama. Yang lebih elok dan sunat pula, ialah kaum kerabat dan jiran menghantar makanan kepada ahli si mati sebagai tanda simpati untuk meringankan beban mereka kerana ahli si mati ketika itu dalam keadaan sibuk menguruskan perkara-perkara si mati. Inilah yang sebenarnya wajar dilakukan oleh orang Islam dalam usaha meringankan bebanan keluarga si mati dan di antara cara menghiburkan mereka. Inilah juga perkara yang disuruh oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika sampai kepada Baginda berita kematian Jaafar bin Abu Thalib, Baginda bersabda:

Maksudnya: Buatkanlah makanan oleh kamu untuk ahli keluarga Jaafar yang telah meninggal, (kerana) telah datang kepada mereka perkara yang membuat mereka sibuk (disebabkan ditimpa kematian itu). (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan hadis di atas adalah jelas bahawa menyediakan makanan oleh jiran atau keluarga sama ada yang dekat atau yang jauh kepada ahli keluarga si mati adalah perbuatan yang terpuji kerana berbuat begitu menzahirkan perasaan simpati, kasih sayang, silaturahim dan mengambil perhatian terhadap keluarga si mati. Di samping itu juga ia dianggap sebagai meringankan beban dan menghiburkan keluarga yang ditimpa kesedihan.

Di negara kita, timbul pula budaya baru dalam usaha meringankan beban dan menghiburkan keluarga yang ditimpa kematian itu. Namun caranya bukan dengan menghantarkan makanan, tetapi dalam bentuk yang lain iaitu memberikan sampul-sampul surat sambil menziarahi keluarga dan mayat. Sampul-sampul itu berisi wang yang berbeza-beza jumlahnya untuk diberikan kepada keluarga si mati, sebagai tanda simpati. Yang lebih menarik lagi, ianya bukanlah terhad dilakukan oleh kaum kerabat dan jiran-jiran sahaja, malahan juga rakan taulan dan siapa sahaja, dengan tidak mengira jauh ataupun dekat. Budaya seumpama ini sesuai dengan kehendak sunnah seperti di atas yang wajar kita amalkan dan kekalkan.

Sebahagian orang mengadakan kenduri arwah sehingga empat puluh hari. Amalan sedemikian tidaklah bertentangan dengan apa yang diriwayatkan oleh Mujahid, apabila seseorang itu mati maka langit dan bumi akan menangis di atas kematiannya selama empat puluh pagi, kerana bumi dan langit kehilangan seorang hamba Allah yang sentiasa meng‘imârahkan bumi dengan rukû‘ dan sujud. Manakala langit pula kehilangan ucapan tasbîh dan takbîr. Menurut Ali dan Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhum bahawa apabila seorang mukmin meninggal dunia dia ditangisi oleh tempat ibadatnya di bumi dan tempat naik amalnya yang baik di langit. (Al-Qurthubi: 16/130)

Islam sangat menggalakkan orang hidup terutama kepada anak-anak dan keluarga terdekat yang lain supaya sentiasa membaca Al-Qur’an, doa dan zikir dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang telah meninggal dunia. Pada hakikatnya pembacaan Al-Qur’an, bertahlil dan seumpamanya itu tidak hanya terhad atau terikat dengan tujuh hari, empat puluh hari atau disebut sebagai makan haul, bahkan bacaan-bacaan tersebut sepatutnya sentiasa diamalkan sepanjang masa supaya ibu bapa dan keluarga yang telah meninggal itu mendapat rahmat, ketenangan dan kebahagiaan sebagaimana yang dinanti-nantikan oleh mereka. Hal ini telah digambarkan dalam sebuah hadis:

Maksudnya: Umpama orang mati itu dalam kuburnya seperti orang karam yang berpaut dengan apa sahaja, dia menanti doa daripada anak, atau bapa atau saudara atau kerabat, dan sesungguhnya doa itu masuk ke dalam kubur si mati (iaitu) doa daripada orang yang hidup yang berupa cahaya seperti gunung besarnya. (Al-‘Iraqi dalam kitab: Al-Mughni ‘an Haml Al-Asfâr: 2/184)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menyatakan bahawa tiap-tiap seorang hamba Allah mempunyai dua pintu di langit, sebuah pintu tempat amalnya naik dan sebuah lagi tempat rezekinya turun; maka apabila seseorang mukmin itu mati, ternyata kehilangannya oleh kedua-dua pintu itu, lalu mereka menangisinya. Perkara ini telah diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu, sebagaimana Baginda bersabda:

Maksudnya: Orang mukmin itu mempunyai dua pintu, satu pintu bagi amal kebajikannya naik ke langit dan satu pintu tempat turun rezekinya daripada langit. Maka apabila seseorang itu mati kedua-dua pintu itu menangis. Oleh kerana itu Allah Ta‘ala berfirman: “Mereka itu (Firaun dan orang-orang yang tidak melakukan amal kebaikan di muka bumi ini, ketika dibinasakan) tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Manfaat Doa Sampai Kepada Orang Mati

Abu Al-‘Ijji Al-Dimasqiyi menyebutkan dalam Syarh Al-‘Aqîdah Ath- Thahawiyah, menurut Ahli Sunnah wal Jama‘ah, puasa, sembahyang atau sedekah untuk dijadikan pahalanya kepada orang lain sama ada yang telah mati dan yang hidup adalah harus. Pahala tersebut juga sampai kepada mereka. Begitu juga pendapat ulama Syafi‘eyah bahawa doa yang dihadiahkan kepada orang mati dan orang hidup akan sampai kepada mereka sama ada keluarga yang dekat atau jauh, dengan wasiat atau sebaliknya. Perkara ini dijelaskan oleh hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Syarh Al-‘Aqîdah Ath-Thahawiyah: 664/Hukm Al- Syarî‘ah Al-Islâmîyah fî Ma’tam Lailah Al-Arba‘în: 19 & 37)

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menjelaskan di dalam Al-Qur’an bahawa doa orang yang hidup kepada orang yang telah mati itu memberi manfaat kepada si mati. Dalam hal ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya beristighfâr (memohonkan keampunan) untuk para sahabat, tabi‘în, orang-orang alim, termasuk keluarga, sanak saudara, rakan dan taulan dan orang-orang Islam yang lain yang telah meninggalkan kita terlebih awal, sebagaimana Allah berfirman:

Tafsirnya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah ada dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Hasyr: 10)

Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memerintahkan para sahabat memohon keampunan bagi Raja Najasyi yang telah meninggal. Begitu juga Baginda memerintahkan umat Islam memohon keampunan bagi si mati ketika dikuburkan, sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengkhabarkan kepada kami bahawa Najasyi, Raja Habsyah meninggal pada hari itu, lalu Baginda bersabda: “Pohonkanlah keampunan bagi saudara kamu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam riwayat yang lain, Utsman bin ‘Affan Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai menguburkan mayat, Baginda berdiri di atasnya seraya bersabda: “Pohonkanlah keampunan bagi saudara kamu, pohonkanlah baginya ketetapan menjawab kerana ketika ini dia sedang disoal.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Begitu juga dengan bersedekah, pahala sedekah tersebut akan memberi manfaat kepada si mati jika diniatkan sedemikian, sebagaimana Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam apabila ditanya: “Adakah sesuatu yang bermanfaat bagi seseorang yang meninggal apabila disedekahkan sesuatu untuknya?” Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Sa‘ad bin Ubadah saudara Bani Sa‘idah, pada masa kematian ibunya, dia tidak berada di sisinya, lalu beliau datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal sedang aku tidak berada di sisinya, oleh kerana itu adakah sesuatu boleh memberi manfaat kepadanya jika aku menyedekahkan sesuatu itu untuknya?” Baginda bersabda: “Ya”, Sa‘ad berkata: “Maka sesungguhnya aku bersaksi kepada engkau bahawa kebunku yang berbuah itu adalah sedekah untuk ibuku.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis yang lain juga ada menyatakan:

Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya ibuku telah meninggal secara tiba-tiba dan aku menyangka apabila dia (dapat) berkata-kata maka pasti dia akan bersedekah, apakah aku (dapat) bersedekah untuknya?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya, bersedekahlah untuknya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis di atas, amal kebajikan yang dilakukan sama ada amalan mengadakan kenduri arwah atau bersedekah, memberikan wang kepada orang yang menyembahyangkan mayat, membaca Al- Qur’an hingga khatam, berdoa dan sebagainya dengan niat pahalanya untuk si mati lebih diyakini bahawa pahalanya akan sampai kepada si mati.

Memberi Wang Kerana Menyembahyangkan Mayat

Kadang-kadang menguruskan mayat itu menggunakan perbelanjaan yang banyak kerana keluarga si mati akan memberi wang kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat, membaca Al-Qur’an dan tahlîl. Berhubung dengan perbelanjaan ini jika orang yang memberi itu bukan ahli waris seperti kaum kerabat yang terdiri daripada zawilarhâm, anak menantu atau sahabat-sahabat si mati dan harta yang diberikan itu pula bukan daripada harta si mati, maka adalah harus diberikan dengan maksud pahalanya untuk si mati.

Jika yang memberi wang itu terdiri daripada ahli waris dan wang yang diberikan itu pula ialah harta atau wang pusaka (warisan), maka hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada semua ahli waris yang berkenaan. Sekiranya hal ini terjadi, perlu juga diingat bahawa hendaklah penggunaan wang atau harta pusaka itu tidak menjejaskan perkara-perkara wajib bagi si mati seperti menunaikan wasiat, zakat, hutang dan lain-lain.

Maka dalam hal ini sama ada pemberian berupa wang atau seumpamanya kepada orang yang menyembahyangkan, membaca Al-Qur’an atau kepada jemputan yang hadir yang turut mendoakan si mati, pemberian wang tersebut boleh sahaja diterima sebagai sedekah kerana si mati, bukannya upah sembahyang. Si penerima juga boleh membuat pilihan sama ada menerima sedekah tersebut atau menerimanya kemudian menyedekahkannya semula kepada keluarga si mati. Ini yang elok, kiranya keluarga si mati itu lebih memerlukannya atau sangat berhajat kepada wang berkenaan.

Di sini perlu diperjelaskan bahawa pemberian sedekah seperti wang kepada orang-orang yang menyembahyangkan mayat, membaca Al-Qur’an, tahlîl dan kepada jemputan yang hadir tidaklah termasuk perkara yang dituntut di dalam penyelenggaraan mayat dan ia bukanlah suatu perkara yang wajib atau sunat yang disyariatkan oleh agama.

Maka sewajarnya perbuatan pemberian sedekah seperti itu hendaklah mengambil kira bahawa ia tidak memberat atau membebankan keluarga atau ahli waris si mati. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah Baqarah: 286)

Hal ini juga sesuai dengan ajaran dan pimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Kami berada di sisi Umar lalu beliau berkata: “Kami dilarang daripada sebarang perbuatan yang memberatkan. (Hadis riwayat Bukhari)

Saat kedatangan ajal maut itu mustahak sentiasa dalam ingatan supaya setiap orang akan bersiap sedia dengan amalan yang membawanya ke syurga. Kenduri arwah atau seumpamanya selepas kematian seseorang itu hanyalah satu usaha daripada orang-orang yang hidup. Namun usaha seseorang itu sendiri di samping rahmat Allah adalah penentu kepada nasibnya yang sebenar.

BEBERAPA PERSOALAN MENGENAI HADIAH

Amalan memberi hadiah menjadi sunnah hidup dan terjadi di mana-mana sejak zaman dahulu hingga sekarang. Kita maksudkan hadiah di sini termasuklah sedekah, pemberian (‘athiyyah) dan seumpamanya. Amalan ini boleh memberi sumbangan yang positif dalam hubungan di antara individu dengan individu dan seterusnya antara masyarakat. Ia merupakan salah satu cara yang bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, bahkan dapat meringankan beban mana-mana individu dan anggota masyarakat yang berhajat dan memerlukan bantuan. Dengan demikian hubungan dan jurang di antara orang yang berada dan orang yang tidak berada dapat dirapatkan. Banyak lagi kelebihan dan fadhilat yang tersirat daripada tujuan pemberian itu.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga sangat menggalakkan sikap suka memberi, sama ada atas nama sedekah, hadiah, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan. Hal ini disebutkan dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang Hari Raya, lalu Baginda bersembahyang dua rakaat. Dan Baginda tidak pernah melakukan sembahyang (Hari Raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian Baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya (untuk disedekahkan). (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Baginda lagi ketika di atas mimbar:

Maksudnya: Dan Baginda menyebutkan tentang sedekah, menjaga kehormatan diri, dan tentang meminta-minta. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Maka tangan di atas itu adalah yang memberikan nafkah sedang tangan yang di bawah adalah yang meminta. (Hadis riwayat Bukhari)

Perbezaan Di antara Sedekah, Hadiah Dan ‘Athiyyah

Pemberian itu merangkumi sedekah, hadiah dan ‘athiyyah yang mempunyai definisi atau maksud yang hampir sama, cuma yang membezakannya ialah tujuan si pemberi ketika menyampaikan pemberiannya itu. Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka ia adalah sedekah. Jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, tanda kasih sayang atau pujian, maka ia disebut sebagai hadiah dan jika sebaliknya maka ia hanyalah satu pemberian biasa. (Al-Mausû‘ah Al-Fiqhiyyah: 26/324)

Sementara yang dikatakan sebagai ‘athiyyah itu ada dua macam iaitu pemberian seseorang yang dalam keadaan maradh al-maut atau sakit yang membawa kematian disebut sebagai wasiat, dan ‘athiyyah ketika masih hidup sama ada bentuk wakaf, hibah atau hadiah. (At-Tahdzîb: 4/509)

Di dalam istilah syara‘ pula, pemberian itu bolehlah diertikan sebagai suatu perjanjian (‘aqd) yang memberikan kuasa pemilikan kepada orang lain tanpa mengharapkan sebarang gantian atau pertukaran (‘iwadh), pada ketika orang yang memberi itu masih hidup.

Hukum Pemberian

Menurut ijmâ‘ ulama hukum segala jenis pemberian itu adalah sunat kerana pemberian itu suatu kebajikan, ketaatan dan belas kasihan. Di samping itu ia juga dapat menzahirkan sikap kasih sayang, mengeratkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama manusia. Hal ini ada dijelaskan dalam Al- Qur’an, (Mughnî Al-Muhtâj: 2/537) sebagaimana firman Allah:

Maksudnya: Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa. (Surah Al-Mâ’idah: 2)

Galakan Sikap Suka Memberi

Galakan suka memberi itu juga ada disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis-hadis Baginda supaya umatnya sentiasa berkasih sayang sesama mereka. Hal ini digambarkan oleh Baginda dalam sabdanya:

Maksudnya: Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan. (Hadis riwayat Malik)

Sikap saling memberi juga melahirkan kasih sayang sekalipun pemberian itu kecil, kerana pemberian yang kecil atau sedikit bukanlah suatu kehinaan di sisi Allah, bahkan ia akan tetap mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripadaNya. Perkara yang penting ialah, pemberian itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas kerana ikhlas itu roh pemberian. Pemberian yang tidak ikhlas dalam makna berpura-pura atau ria adalah tidak berguna. Perkara pemberian walau kecil ada disebutkan dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing. (Hadis riwayat Muslim)

Rukun Pemberian

Menurut ulama Syafi‘iyyah, pemberian itu mempunyai beberapa rukun iaitu pemberi, penerima, barang atau benda (sesuatu) yang diberi dan lafaz pemberian (îjâb dan qabûl). Terdapat beberapa syarat tertentu bagi orang yang memberi, orang yang menerima dan barang atau benda (sesuatu) yang diberikan. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

(i) Syarat bagi pemberi hendaklah orang itu baligh, berakal, tidak ditegah membelanja dan mempergunakan hartanya, dia memberikan dengan kehendaknya sendiri dan memiliki sesuatu yang akan diberikan. Maka tidak sah pemberian daripada seorang kanak-kanak, orang gila, muflis, orang yang dipaksa dan daripada orang yang bukan pemilik sesuatu yang diberikan itu.

(ii) Syarat bagi penerima pula ialah hendaklah dia boleh memiliki sesuatu yang diberikan kepadanya. Maka kanak-kanak kecil adalah sah menjadi penerima, tetapi yang menerima bagi pihak dirinya ialah bapa atau penjaganya. Oleh itu tidak sah sesuatu pemberian itu jika penerimanya masih janîn (anak yang masih di dalam kandungan ibunya) atau haiwan kerana keduanya tidak boleh memiliki sesuatu.

(iii) Syarat bagi sesuatu yang diberikan itu hendaklah suci, bukan darah, bangkai, arak dan seumpamanya. Hendaklah sesuatu yang diberikan itu boleh memberi manfaat dan boleh diserahkan (bukan barang kepunyaan yang kena rampas). Barang pemberian itu hendaklah ada dalam milik dan kekuasaan pemberi dan hendaklah diketahui oleh pemberi dan penerimanya.

(iv) Lafaz pemberian pula ialah setiap perkataan atau ucapan yang membawa erti memberi atau menerima, sama ada berupa perkataan atau perbuatan, umpamanya si pemberi berkata: “Aku berikan buku ini kepadamu”, lalu si penerima berkata: “Aku terima pemberianmu.”

Menurut mazhab Syafi‘e perkara hibah dan pemberian (‘athiyyah) tidak sah melainkan dengan îjâb dan qabûl. Ini kerana akad pemilikan itu sendiri memerlukan adanya îjâb dan qabûl seperti akad nikah. Walau bagaimanapun menurut Ibnu ‘Uqail (ulama mazhab Hanbali) muamalah cara mu‘âthâh (meletakkan harga barang dan mengambil (membeli) barang itu tanpa îjâb dan qabûl) dan perbuatan-perbuatan yang menunjukkan kepada ijâb dan qabûl sekalipun tanpa lafaz adalah memadai dan mencukupi. Hal ini telah dijelaskan oleh Ibnu Qudamah:

Ertinya: Menurut qaul ash-shahih mu‘amalah secara mu‘âthâh dan perbuatan-perbuatan yang menunjukkan kepada îjâb dan qabûl itu adalah memadai atau mencukupi, tidak memerlukan lafaz. Inilah qaul (pendapat) yang dipilih oleh Ibnu ‘Uqail, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah memberi hadiah dan diberi hadiah, dan Baginda pernah memberi dan diberi. Baginda juga membahagi dan mengagihkan sedekah (zakat) dan memerintahkan para sa‘ie (pekerja atau petugas dalam perkara zakat) supaya membahagi dan mengagih-agihkannya. Baginda ada menerima zakat, para sahabat juga berbuat demikian. Tidak ada riwayat daripada mereka tentang wajib îjâb dan qabûl. Nabi tidak pernah memerintahkan sahabat Baginda dan mengajarkannya tentang wajib îjâb dan qabûl. Jika ini (îjâb dan qabûl) merupakan syarat, tentu ada riwayat secara periwayatan yang masyhur daripada mereka. Ketika Ibnu Umar (Abdullah bin Umar) menunggang unta kepunyaan Umar, lalu Baginda bersabda kepada Umar: “Juallah unta itu kepadaku?” Umar menjawab: “Dia (unta itu) untukmu wahai Rasulullah.” Rasulullah bersabda: “Dia (unta itu) untukmu wahai Abdullah bin Umar. Buatlah dengannya sebagaimana yang engkau suka”. Tidak ada riwayat bahawa Nabi mengucapkan lafaz qabûl daripada Umar, demikian juga tidak ada lafaz qabûl daripada Ibnu Umar (Abdullah bin Umar) yang dia menerima daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kalaulah ini (îjâb dan qabûl)

menjadi syarat sudah pasti Nabi akan melakukannya dan Baginda akan mengajarkannya kepada Ibnu Umar, di samping itu Nabi tidak akan memerintahkannya (Abdullah bin Umar) untuk membuat apa sahaja terhadap unta itu sebelum ada lafaz qabûl (penerimanya) oleh Ibnu Umar. (Al-Mughnî li Ibnu Qudamah: 6/238)

Oleh yang demikian demi menghormati pendapat semua ulama fiqh, jika hendak menyumbang atau memberikan sesuatu kepada seseorang hendaklah îjâb dan qabûl itu dilakukan dengan ada ucapan (lafaz) memberi dan ucapan menerima terhadap barang yang disumbangkan atau diberikan itu.

Mengambil Kembali Pemberian

Adapun mengambil kembali pemberian merupakan satu sifat buruk lagi keji. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Orang yang mengambil balik pemberiannya, samalah seperti anjing yang muntah lalu ia menjilat balik muntahnya. (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam hal ini kita juga sering mendengar di kalangan masyarakat perumpamaan orang tua-tua iaitu “buruk siku”, perumpamaan ini bukan sahaja menggambarkan keji dan buruknya mengambil balik suatu pemberian tetapi realitinya perbuatan mengambil balik pemberian itu suatu tegahan agama.

Pelbagai Bentuk Pemberian

Pada dasarnya sesuatu pemberian harus diterima melainkan pemberian yang haram atau berasal daripada yang haram atau tujuan pemberian itu berunsur rasuah. Oleh kerana itu pemberian itu ada berbagai bentuk;

(a) Pemberian yang halal bagi pemberi dan penerima. (b) Pemberian yang haram bagi kedua-dua pihak. (c) Pemberian yang halal bagi pemberi dan haram bagi penerima.

Pemberian yang halal bagi penerima ialah pemberian seseorang kepada seseorang yang lain seperti kepada isteri, anak, sahabat, kawan karib dan lain-lain dengan tujuan supaya tercipta perasaan kasih sayang, mahabbah, keakraban dan silaturahim sesama mereka. Perkara inilah yang sangat digalakkan oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas. (Maksudnya: “Beri memberilah antara kamu, nescaya kamu saling cinta mencintai antara sesama kamu.”)

Manakala pemberian haram bagi si pemberi dan penerima ialah apabila pemberian yang diberikan kepada seseorang itu dengan tujuan atau harapan hajatnya akan tercapai, dipenuhi dan diluluskan. Bentuk pemberian seumpama ini disebut juga sebagai rasuah. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi amaran:

Maksudnya: Sesiapa yang memberi syafaat (bantuan) kepada saudaranya, kemudian dia mendapat hadiah di atas pertolongan tersebut, lalu dia menerimanya, maka dia (si penerima hadiah) telah mendatangi satu pintu besar dari pintu-pintu riba. (Hadis riwayat Abu Daud)

Ibnu Taimiyah juga ada menyatakan:

Maksudnya: Sesiapa yang memberikan hadiah kepada wali al-amr untuk melakukan perbuatan yang tidak diharuskan (haram) maka hadiah tersebut haram bagi pemberi dan penerima. Inilah hadiah berbentuk rasuah yang disabdakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya.” (Fatâwâ: 5/244)

Pemberian yang harus bagi pemberi dan haram pula bagi yang menerimanya ialah seperti orang yang memberi merasa takut atau bimbang terhadap kezaliman si penerima dengan harapan pemberiannya itu mampu menghentikan perbuatan zalim si penerima tersebut. Menurut jumhûr ulama bahawa harus memberikan sesuatu pemberian untuk memberikan hak si pemberi yang wajib ditunaikan oleh si penerima dengan tujuan untuk mencegah kezalimannya dan perkara sedemikian tidak menjadi dosa kepada pemberi sedangkan yang berdosa adalah penerimanya. (Al-Mausû‘ah Al-Fiqhiyyah: 22/222)

Menurut riwayat daripada Ibnu Mas‘ud bahawa ketika beliau berada di Habsyah beliau pernah memberikan dua dinar (sehingga urusannya selesai), lalu menyatakan bahawa dosanya hanyalah ke atas orang yang menerimanya bukan ke atas orang yang memberi. (Al-Qurthubi: 6/184)

Dalam perkara ini juga Imam Ibnu Taimiyah ada mengatakan:

Maksudnya: Jika seseorang memberi hadiah kepada seseorang untuk mencegah kezalimannya atau untuk memberikan haknya (pemberi) yang mesti ditunaikan oleh penerima hadiah maka hadiah itu haram bagi penerima dan harus bagi pemberi. (Al-Fatâwâ: 5/244)

Pemberian Rasuah

Kadang-kadang menjadi amalan oleh sesetengah orang dengan memberikan buah tangan, ole-ole atau wang tambahan kepada seseorang yang pernah memberikan bantuan kepadanya sebagai bukti rasa terima kasihnya atas pertolongan yang diterima. Walau bagaimanapun pemberian itu bertujuan supaya hajatnya tercapai dan diluluskan, maka pemberian yang sedemikian yang berbajukan hadiah itu sudah menyimpang kepada pemberian berbentuk rasuah.

Menurut Lisân Al-‘Arab rasuah ialah suatu pemberian untuk melaksanakan mashlahat (tugas atau kewajipan untuk mendapatkan sesuatu). Manakala Mu‘jam Lughât Al-Fuqahâ’ mendefinisikan rasuah sebagai memberikan harta atau seumpamanya bagi tujuan menutup perkara yang hak dan benar atau untuk membenarkan yang batil. Dengan maksud yang lain suatu yang diberikan kepada seseorang untuk menghidupkan kebâthilan atau untuk menghancurkan kebenaran.

Rasuah dalam kehidupan masyarakat masa kini bukan suatu hal yang baru. Ia merupakan fenomena penyakit sosial yang sudah mewarnai kehidupan masyarakat sejak dahulu sebelum kerasulan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebab itu Baginda memberi peringatan bahawa orang-orang yang memberi rasuah dan penerimanya akan masuk ke dalam neraka.

Kesan daripada perbuatan ini mampu meruntuhkan umat. Peribadi orang yang melakukannya jelas menunjukkan tamak dan mementingkan diri sendiri, hipokrit dan kadang-kadang sampai kepada peringkat pengkhianatan bangsa. Oleh kerana itu Islam menentang habis-habisan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini dengan mengharamkannya serta mengancamnya dengan laknat. Hidup yang tidak diracuni dengan rasuah akan dapat memberi sumbangan kepada sistem sosial yang bersih, berwibawa, aman, damai dan sentosa. Pengharaman tersebut telah dijelaskan oleh Al-Qur’an sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di kalangan kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah Al-Baqarah: 188)

Dalam fimanNya yang lain:

Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah daripada mereka; dan kalau engkau berpaling daripada mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah Al-Mâ’idah: 42)

Berdasarkan ayat-ayat Al-Qur’an di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang umatNya memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang bâthil. Memakan harta dengan jalan yang salah itu termasuk rasuah dan perbuatan sedemikian adalah berdosa. Ayat berikutnya pula menjelaskan sifat atau karekter orang-orang Yahudi itu sentiasa mengagungkan kebâthilan, pembohongan serta memakan rasuah. Tabiat orang Yahudi suka memakan rasuah ini diperkuatkan lagi dengan kisah Abdullah bin Rawahah yang telah diutus oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus Abdullah bin Rawahah, bagi tujuan mengira/menghitung harta milik di kalangan orang Yahudi. Beliau berkata: “Kumpulkanlah perhiasan-perhiasan yang ada pada isteri-isteri kamu”. Lalu mereka berkata: “Ini untukmu, dan tolonglah kami serta berilah kami bahagian yang lebih banyak”. Ibnu Rawahah menjawab: “Wahai orang Yahudi! Demi Allah sesungguhnya kamu golongan yang dibenci oleh Allah, dan apa maksud suapan/sogokan yang kamu berikan kepadaku? Ketahuilah sesungguhnya suapan/sogokan yang kamu berikan itu adalah haram dan kami tidak memakan yang haram”. Mereka berkata: “Dengan (perbuatan engkau) ini menyebabkan tegaknya langit dan bumi.” (Hadis riwayat Malik)

Banyak hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan tentang perbuatan rasuah itu sangat dilarang dan dilaknat serta mereka yang terlibat akan dimasukkan ke dalam api neraka. Hal ini digambarkan oleh Baginda dalam sabdanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam mahkamah. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan dimasukkan ke dalam api neraka. (Hadis riwayat Thabarani)

Baginda juga mengingatkan dan melarang para petugas mengambil atau menerima rasuah sebagaimana sabdanya:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melantik seorang lelaki daripada suku Azad bernama Ibnu Lutbiyah, Ibnu Sarah bercerita: “(Dia) ialah Ibnu Utbiyah”, (bertugas sebagai) pemungut zakat. Lalu Ibnu Utbiyah (ketika menghadap Nabi) berkata: “Ini untuk kamu dan yang ini dihadiahkan untuk saya”. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bangun berdiri di atas mimbar, Baginda memuji-muji Allah dan menyanjungNya lalu bersabda: “Bagaimanakah seorang petugas yang diutus, kemudian dia datang sambil berkata: “Ini untuk kamu dan yang ini dihadiahkan untuk aku, tidakkah dia duduk di rumah ibunya atau ayahnya saja, lalu dia menunggu-nunggu; apakah dia diberi hadiah atau tidak? Tidaklah seseorang daripada kamu yang membawa sesuatu daripada harta yang didapatinya itu (rasuah) melainkan di Hari Kiamat harta itu datang, jika (harta itu) seekor unta, unta itu akan melengguh, atau seekor lembu, lembu itu akan menguak, atau seekor kambing, kambing itu akan mengembik. Kemudian Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami nampak ketiaknya lalu bersabda: “Wahai Tuhan, bukankah saya telah menyampaikan?” (Hadis riwayat Abu Daud)

Pemberian Daripada Harta Yang Bercampur-campur

Dalam hal ini mungkin timbul persoalan tentang hukum menerima pemberian seseorang yang mempunyai harta yang bercampur, dalam erti kata tidak jelas halalnya. Memang persoalan hukum menerima harta yang bercampur dengan yang haram itu telah lama dihuraikan oleh para ulama. Dari sudut hukum, keadaan pemberian seperti ini boleh memberi kesan positif dan negatif kepada orang yang menerimanya. Pemberian orang yang dianggap hartanya sebagai halal, harus diterima. Manakala pemberian harta yang bercampur dengan yang haram, ulama berpendapat bahawa ia harus diterima dengan syarat apa yang diberikannya itu tidak jelas kepada si penerima tentang haramnya atau asalnya, walaupun pada hakikatnya ia adalah haram. Adapun pemberian oleh seorang yang mana semua hartanya adalah yang haram seperti usahanya hanya berjudi atau merompak atau menjual yang haram sahaja, tidak sekali-kali harus diterima.

Berdasarkan kepada pendapat para sahabat, para tabi‘în dan imam-imam besar bahawa adalah harus mengambil atau menerima pemberian daripada para pembesar atau penguasa sama ada hartanya itu yang halal atau haram yang tidak pula jelas haramnya. Imam Syafi‘e juga pernah menerima pemberian satu ribu dinar daripada Khalifah Harun Al-Rasyid, begitu juga Imam Malik menerima harta yang banyak sewaktu pemerintahan Al-Mansur dan Al-Mahdi. Walau bagaimanapun ulama salaf menegah daripada menerima harta tersebut karana mengambil sikap wara‘. (Maqâshid Al-Islâm: 268)

Maka dalam hal ini jika seseorang mengambil atau menerima sesuatu yang dianggap halal daripada seseorang sedangkan hakikatnya sesuatu itu haram, seperti hasil rompakan atau curian sedang orang yang menjual atau memberi itu pada zahirnya adalah orang baik-baik, maka penerima tersebut tidak dianggap berdosa di akhirat. Tetapi jika pada zahirnya penjual atau pemberi itu adalah orang yang tidak baik (seperti pencuri atau perompak), maka penerima dipersalahkan di akhirat. Adapun di dunia dia tidak dipersalahkan kerana dia mengambil (menerimanya) dengan cara yang diharuskan syara‘. (I‘ânah Ath-Thâlibîn: 3/9)

Ibnu Hajar Al-Haitsami menyatakan ketika beliau ditanya tentang hukum pemberian para pembesar, bahawa harus menerima mana-mana hadiah atau pemberian daripada para pembesar selama mana pemberian itu tidak nyata (terbukti) haramnya. Dalam hal ini beliau memberikan contoh pada makanan dan minuman. Sekiranya seseorang memakan sesuatu makanan, kemudian ternyata yang dimakannya itu milik orang lain sedang orang yang memberi makan itu adalah orang baik-baik (pada pandangan atau anggapan penerima), maka penerima tersebut tidak dianggap berdosa di akhirat. (Al-Fatâwâ Al-Kubrâ: 2/153)

Berdasarkan keterangan di atas dapatlah diambil kesimpulan bahawa harus menerima pemberian orang yang diandaikan hartanya bercampur di antara yang halal dan yang haram selama tidak jelas pemberiannya itu adalah daripada hartanya yang haram.

Islam sangat menggalakkan semua bentuk pemberian tahawwu‘ (suka rela) sama ada hadiah, hibah, sedekah atau waqaf kerana setiap satu mempunyai peranannya yang tersendiri. Universiti Al-Azhar umpamanya telah dapat menunaikan peranannya terhadap dunia Islam sejak berabad-abad yang lalu hingga sekarang kerana adanya harta wakaf yang dimilikinya. Demikian itulah juga yang terjadi kepada zakat sebagai pemberian wajib, jika pengagihannya tersusun rapi dapat menjadi penyumbang terhadap kehidupan masyarakat Islam yang lebih baik. Khas dalam perkara hadiah, Islam mengingatkan supaya umatnya tidak terjebak dengan penerimaan hadiah yang berbentuk rasuah sebagaimana yang disebutkan oleh Al- Qur’an dan As-Sunnah mengenai larangan dan pengharamannnya.

MEMPERCAYAI KUBUR SEBAGAI KERAMAT

Pemujaan, penyembahan, permintaan bagi menentukan sesuatu perkara, perlindungan, taat setia dan patuh adalah khusus kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala semata-mata. Jika perkara tersebut dilakukan kepada benda-benda lain sama seperti yang dilakukan untuk Allah, maka berlakulah syirik, kerana yang demikian itu bererti adanya kepercayaan, anggapan persamaan atau penyerupaan antara Allah dengan benda-benda lain, atau meletakkan Allah sejajar dengan makhluk ciptaanNya.

Keadaan yang disebutkan di atas sama dengan perbuatan seseorang yang memuja sesuatu benda seperti kubur, pungsu, keris, cincin dan seumpamanya dengan memakaikan kain kuning pada benda-benda tersebut dan membakar kemenyan pada suatu hari yang ditentukan. Perkara-perkara tersebut dilakukan dengan kepercayaan bahawa benda-benda itu mempunyai ‘keramat’ atau kuasa yang boleh membawa tuah, menambah rezeki dan lain-lain. Maka pemujaan atau kepercayaan seperti ini sudah dianggap menyamai dengan kepercayaan terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Sayugia diingatkan bahawa perkara akidah itu adalah perkara yang sangat sensitif, yang apabila tersilap, ia boleh menjejaskan akidah seseorang dan boleh membawa kepada kekufuran sama ada yang menyalahi itu dengan sebab perbuatan, perkataan atau dengan niat.

Syirik itu adalah dosa paling besar sehingga orang-orang yang melakukannya tidak ada harapan untuk mendapat keampunan daripada Allah Subahanhu wa Ta‘ala. Hal ini digambarkan oleh Allah dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain) maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. (Surah An-Nisâ’: 48)

Dalam firmanNya yang lain:

Tafsirnya: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar” (Surah Luqman: 13)

Semua dosa mempunyai harapan untuk diampunkan oleh Allah, melainkan dosa menyekutukanNya. Perkara ini dijelaskan dalam firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan siapa yang menyekutukan Allah dengan sesuatu maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. (Surah An-Nisâ’: 48)

Selain daripada tidak diampuni dosa orang-orang yang berlaku syirik itu, Allah juga mengharamkannya untuk memasuki syurga. Perkara ini telah dijelaskan oleh firmanNya:

Tafsirnya: Bahawasanya sesiapa yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah mengharamkan kepadanya syurga. (Surah Al-Mâ’idah: 72)

Syirik bermaksud menyekutukan Allah pada zatNya, sifatNya atau perbuatanNya. Allah itu bersifat Maha Esa (tunggal) tiada sekutu bagiNya pada zat, sifat dan perbuatan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Tiada suatupun yang sebanding dengan (zatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya), Dialah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Surah Asy-Syûra: 11)

Berdasarkan ayat ini dengan tegas Allah menjelaskan bahawa tiada bandingan bagi Allah, baik pada zat, sifat atau perbuatanNya. Dari itu tidak ada sesuatu yang mempengaruhi atau menyamai apatah lagi untuk menandingi kekuasaan Allah. Hal ini juga disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Daripada Abu Abdullah bin Abbas Radiallahu ‘anhuma katanya: “Pada suatu hari adalah aku di belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Wahai anak! Aku akan mengajar engkau beberapa perkara: Peliharalah Allah, nescaya Allah memelihara engkau. Peliharalah Allah nescaya engkau mendapatiNya di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada Allah dan apabila engkau memohon pertolongan, maka pohonlah pertolongan itu dengan Allah. Dan ketahuilah sesungguhnya umat itu kalaupun mereka berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memberikannya kepada engkau kecuali dengan sesuatu yang sudah dituliskan oleh Allah atas engkau. Dan jika mereka berkumpul untuk membahayakanmu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memudaratkanmu kecuali dengan sesuatu yang telah dituliskan oleh Allah atas engkau. Dan telah diangkatkan segala pena dan juga telah kering segala buku.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Demikian juga halnya dalam urusan memberi rezeki. Tidak ada satu kuasapun yang dapat memberikan rezeki kecuali kuasa Allah. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan tiadalah sesuatupun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersebut dalam kitab (lauh Mahfûzh) yang nyata (kepada Malaikat yang berkenaan). (Surah Hud: 6)

Berdasarkan ayat dan hadis di atas, memelihara atau memuja kubur, pungsu dan seumpamanya dengan kepercayaan ia mempunyai keramat atau kuasa yang boleh membawa tuah dan memberi rezeki, maka adalah ia suatu perbuatan syirik dan hukum syirik itu adalah dosa yang paling besar.

Kita hanya dituntut supaya bermohon kepada Allah bukan kepada yang lain-lain sepertimana yang disebut oleh hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada Allah. Dan apabila engkau memohon pertolongan, maka pohonlah pertolongan itu dengan Allah. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Meminta atau memohon kepada Allah merupakan doa, dan doa itu pula suatu ibadat. Ibadat tidak boleh dilakukan melainkan kepada Allah semata-mata, bukan kepada yang lain yang terdiri daripada makhluk-makhluk Allah, lebih-lebih lagi jika benda-benda itu tidak bernyawa seperti batu, kayu, kubur, ‘pungsu’ dan lain-lain yang tidak dapat memberi manfaat atau mudarat, sebagaimana patung-patung tidak dapat memberi manfaat atau mudarat. Kepercayaan kepada benda-benda seperti ini adalah karut dan wajib ditolak.

Wajib pula diketahui bahawa meminta atau memohon pertolongan dan berdoa kepada Allah itu mestilah dengan cara langsung, bukan melalui sesiapa seperti melalui manusia, ‘pungsu’, kubur, batu atau kayu. Maka sesiapa yang berbuat demikian adalah dia berbuat bid‘ah dalam agama dan tidak mengikut jalan orang-orang yang beriman, bahkan ditakuti dia mati dalam keadaan syirik jika tidak bertaubat.

Oleh yang demikian memuja kubur, ‘pungsu’ dan seumpamanya dengan meletakkan barang di atasnya seperti wang, lilin dan kain kuning, dengan kepercayaan bahawa benda-benda tersebut mempunyai kuasa yang boleh membawa tuah, menambah rezeki atau mempunyai keramat adalah perbuatan sesat. Ia boleh membawa kepada syirik kerana seseorang itu seolah-olah menafikan kuasa Allah yang Maha Pengurnia, sebaliknya mempercayai kepada benda-benda tersebut sebagai mempunyai kuasa.

Satu perkara penting yang wajib dijaga serta dipelihara dalam mencari kesenangan hidup di dunia ialah segala usaha kita ke arah itu mestilah tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Kita hendaklah menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan syirik atau melafazkan perkataan yang boleh membawa kepada syirik. Perlumbaan mencari kesenangan kadang-kadang menjadi fitnah jika ianya tidak disertai dengan iman yang kuat, kerana iman yang lemah akan mudah dipengaruhi walaupun dengan hanya sedikit kesenangan yang diperolehi itu. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal (yang berkebajikan) sebelum muncul pelbagai fitnah yang bagaikan bahagian-bahagian malam yang gelap gelita, di mana pada waktu pagi seseorang itu beriman tetapi pada waktu petangnya dia menjadi kafir, atau pada waktu petang dia beriman tetapi pada waktu paginya dia menjadi kafir, dia menjual agamanya dengan harta benda dunia. (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengingatkan kepada umatnya supaya sentiasa berlindung daripada perbuatan atau perkataan yang boleh membawa kepada syirik. Hal ini disebutkan dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan khutbah kepada kami: “Wahai manusia takutlah kamu daripada terkena syirik, kerana syirik itu lebih tersembunyi daripada rayapan perjalanan semut”.(Abu Musa) berkata kepada Baginda: “Sesiapa dengan kehendak Allah, dengan berkata bagaimana kita menjauhi syirik dalam keadaan ia lebih tersembunyi daripada rayapan perjalanan semut? Baginda bersabda: “Kamu ucapkan:

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dengan engkau daripada sesuatu yang boleh menyekutukanMu sedangkan ianya kami tidak mengetahui. (Hadis riwayat Ahmad)

Maka adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu Muslim supaya berhati-hati terhadap perkara yang boleh membawa syirik, dengan apa jua sebabnya lebih-lebih lagi untuk mengaut keuntungan harta atau dunia jika dibandingkan dengan akibat yang ditanggung kemudian hari.

SUNAT DIUTAMAKAN, WAJIB DIABAIKAN?

Manusia dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak lain hanya untuk menyembah dan beribadat kepada Allah semata-mata. Perkara ini juga sebagai bukti bahawa manusia itu sentiasa berhajat kepadaNya dan berada di dalam kekuasaanNya. Hal tersebut dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah Adz-Dzâriyât: 56)

Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai hamba kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, terdapat tuntutan-tuntutan yang dikenali dengan beberapa istilah hukum. Istilah itu ialah wajib, sunat, makruh, haram dan harus.

Fardhu dan wajib mempunyai maksud yang sama kecuali beberapa perkara di dalam bab haji. Sebenarnya perkara yang fardhu dan wajib dalam Islam yang mesti ditunaikan oleh semua orang Islam itu bukanlah bermaksud sehingga membebankan seseorang Muslim untuk melakukannya. Bahkan ia merupakan tugas, tanggungjawab dan syariat yang di dalamnya terkandung berbagai hikmat dan fadhilat bagi mencapai kebahagiaan dan kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Contohnya sembahyang yang wajib dilakukan sehari semalam. Masa yang diambil untuk menunaikan sembahyang tersebut hanyalah sedikit. Jika dijumlahkan kelima-lima waktu itu tidak pun sampai satu jam. Masa tersebut jauh berbeza jika dibandingkan dengan masa dua puluh empat jam yang ada dalam sehari semalam.

Walaupun demikian, dalam menunaikan tanggungjawab yang diwajibkan itu, orang-orang yang lemah iman dan taqwanya tetap sahaja merasakan perkara tersebut sebagai satu bebanan. Ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Surah Al-Baqarah: 45)

Adapun perkara-perkara sunat boleh menampung kecacatan-kecacatan atau kekurangan yang tidak disedari berlaku semasa menunaikan amalan fardhu. Kemungkinan dalam menunaikan amalan fardhu itu tanpa, disedari wujud kecacatan atau kurang kesempurnaannya. Hal sedemikian dijelaskan oleh Rasulullah Shallalhu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Jika didapati sembahyang fardhunya sempurna, maka ia akan ditulis sempurna, jika sembahyang fardhunya tidak sempurna, maka Allah memerintahkan (kepada para Malaikat) memeriksa tentang sembahyang sunatnya. (Hadis riwayat Nasa’i)

Sekiranya amalan fardhu itu sempurna dikerjakan maka mengerjakan amalan sunat merupakan satu kelebihan besar. Amalan fardhu itu diibaratkan sebagai modal dan amalan sunat itu merupakan keuntungan dan laba. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat menggalakkan membuat amalan sunat tersebut sebagaimana riwayat Thalhah bin Ubaidillah bahawa seorang lelaki daripada penduduk Najd telah bertanya kepada Nabi mengenai kewajipan sembahyang, puasa dan zakat, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sembahyang itu lima kali dalam sehari semalam”, lalu lelaki tersebut berkata: “Apakah ada kewajipan atasku selain daripada sembahyang?” Baginda menjawab: “Tidak, kecuali yang sunat”, Baginda menyambung lagi: “Dan puasa dalam bulan Ramadhan.” Lelaki itu bertanya: “Apakah ada kewajipan atasku selain daripada itu?” Baginda menjawab: “Tidak, kecuali yang sunat.” Thalhah berkata: “Dan Rasulullah menyebutkan kepadanya (lelaki itu) mengenai zakat, seraya lelaki itu bertanya: “Apakah ada kewajipan atasku selain daripadanya?” Nabi menjawab: “Tidak, kecuali yang sunat.” Lalu Thalhah berkata: “Lelaki itu berpaling dan berkata: “Demi Allah saya tidak menambah perkara ini dan tidak menguranginya.” Rasulullah bersabda: “Berbahagialah engkau jika benar.” (Hadis riwayat Bukhari)

Galakan amalan sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan balasan serta ganjaran yang diberikan kepada orang yang melakukannya sangat besar. Antara hadis-hadis yang menyebutkan tentang ganjaran amalan dalam ibadat sunat sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah berfirman: “Barang siapa yang memusuhi waliKu, maka sesungguhnya Aku telah mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada hambaKu berdamping kepada Aku dengan sesuatu, yang lebih Aku sukai daripada dia menunaikan perkara yang Aku fardhukan ke atasnya, dan sentiasalah hambaKu berdamping kepada Aku dengan membuat perkara-perkara yang sunat sehingga Aku kasihkan dia, maka dengan pendengaranKu dia mendengar akannya, dan dengan penglihatanKu, dia akan melihat akannya, dan dengan qudratKu tangannya membuat akannya, dan dengan qudratKu, dia berjalan dengan kakinya dan jika dia memohon kepadaKu, nescaya Aku berikan dia, dan jika dia memohon perlindunganKu, nescaya Aku lindungi dia, dan tiadalah Aku teragak-agak akan membuat sesuatu, sebagaimana yang Aku sendiri membuatnya, Aku teragak-agak dari jiwa hambaKu yang mukmin yang bencikan mati, dan Aku benci akan menyakiti akannya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Al-Qur’an juga ada menyebutkan mengenai wajibnya melaksanakan hukum dan peraturan yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada RasulNya. Hal ini digambarkan dalam firman Allah:

Tafsirnya: Ini ialah satu ‘surah’ yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya (menjalankannya), dan Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya). (Surah An-Nûr: 1)

Berdasarkan ayat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan kepada hambaNya supaya melaksanakan segala hukum dan peraturan yang ditetapkanNya. Peraturan dan hukum itu wajib dijalankan oleh orang Islam tanpa ragu-ragu serta dengan penuh ketaqwaan kerana peraturan dan hukum yang ditetapkan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala itu benar-benar boleh menjaga mashlahat manusia tanpa pilih kasih. Ia juga benar-benar mampu menyelesaikan segala permasalahan dengan baik tanpa perlu kepada pindaan-pindaan kerana ia dicipta oleh Allah Yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu. Selain itu hukum-hukum tersebut berperanan sebagai pemberi ingatan dan nasihat kepada orang Islam, mendidik jiwa supaya bertaqwa dan membawa umat kepada jalan yang sempurna dalam kehidupan bermasyarakat dan keluarga.

Mengutamakan Perkara Sunat, Mengenepikan Perkara Wajib

Memang menjadi fitrah manusia suka berlumba-lumba dalam mencari sesuatu yang terbaik. Khusus dalam perkara ibadat, setiap orang Islam dituntut mencari kelebihan (fadhilat) dan amal kebajikan sebagai pertaruhan dan bekalan di akhirat nanti. Perbuatan sedemikian adalah sifat orang-orang yang salih sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Qur’an:

Tafsirnya: “Dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya) adalah daripada orang-orang yang salih.” (Surah Âli ‘Imran: 114)

Terdapat segolongan manusia yang tersilap fahaman dan tindakan kerana terlalu mementingkan amalan sunat sehingga perkara yang wajib dan fardhu terabai. Kemungkinan perkara ini berlaku kerana orang berkenaan terkeliru oleh pahala besar yang dijanjikan sebagai ganjaran bagi amalan-amalan sunat. Keadaan inilah yang menjadikan mereka ghairah melakukan amalan-amalan sunat dan menyebabkan mereka tidak memberi perhatian yang lebih kepada perkara-perkara yang wajib. Sedangkan perkara wajib itu lebih utama dilaksanakan. Contohnya mengutamakan sembahyang sunat dengan sembahyang qadha.

Sembahyang itu wajib dilakukan oleh setiap orang Islam sebagai pengabdian dan tanda syukur kepada Allah Yang Maha Agong. Sembahyang itu diwajibkan ke atas orang Islam kerana ia merupakan salah satu daripada rukun Islam. Sembahyang juga adalah cahaya yang menerangkan jalan hidup yang sebenarnya dan cahaya bagi orang yang mengerjakannya di dunia dan akhirat. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Sesiapa yang memelihara sembahyang adalah baginya cahaya, petunjuk dan pertolongan di Hari Kiamat. Dan sesiapa yang tidak memeliharanya tidaklah ada cahaya baginya, petunjuk dan pertolongan dan dia pada Hari Kiamat nanti bersama dengan Firaun, Hamman, Qarun dan Ubai bin Khalaf. (Hadis riwayat Ahmad)

Hukuman bagi orang yang meninggalkan sembahyang akan bergantung kepada keadaan sama ada yang ditinggalkan itu sengaja atau tidak sengaja. Jika sembahyang itu ditinggalkan dengan sengaja kerana ingkar tentang kewajipannya (tidak mengaku akan wajibnya hukum sembahyang), dalam keadaan ini orang yang ingkar itu dihukumkan kafir murtad dengan ijmâ‘ ulama. Mengenai hukum orang yang meninggalkan sembahyang dengan sebab malas padahal dengan i‘tiqâd dia tahu akan wajibnya sembahyang itu, pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi‘e ialah dia dihukum bunuh secara hadd (setelah disuruh bertaubat ketika itu) dan tidak dihukumkan kafir.

Pendapat mengenai kekufuran orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sebab malas sehingga habis waktunya adalah berdasarkan ayat-ayat Al- Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antara ayat Al- Qur’an yang menyifatkan mereka di Hari Kiamat nanti daripada golongan orang-orang kafir dan munâfiq, sekalipun mereka hidup bersama dengan orang-orang Islam di mana mereka diperintahkan sujud (bersembahyang) tetapi tidak dikerjakan atau ditunaikan, adalah sebagaimana gambaran yang diberikan oleh Allah Subahanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: (Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (Hari Kiamat), dan mereka diseru supaya sujud, maka mereka tidak dapat melakukannya. Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan), sedang mereka dalam keadaan sihat. (Surah Al-Qalam: 42-43)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menyifatkan orang-orang yang meninggalkan sembahyang itu sebagai tanda tidak bersyukur terhadap keluarga dan harta yang diperolehinya, Baginda bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa yang meluputkan satu sembahyang, maka seolah-olah dia mengecilkan (menyempitkan) ahli keluarga dan hartanya. (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan ayat Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas, apapun sebabnya, kecuali kerana terlupa atau tertidur, maka meninggalkan sembahyang itu hukumnya berdosa dan wajib diqadhakan dengan segera.

Menurut Imam An-Nawawi, bahawa sembahyang fardhu yang luput dengan tiada uzur, ditinggalkan sembahyang dengan sengaja, mencuaikan sembahyang tersebut ketika dalam pelayaran atau lalai kerana menonton hiburan, maka wajib ke atasnya mengqadhakan sembahyang yang ditinggalkan atau dicuaikan itu dengan bersegera dan tidak boleh dilengah-lengahkan.

Dalam keadaan ini, menurut Ibnu Hajar Rahimahullah bahawa tidak harus bahkan haram bagi orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja atau dengan tiada uzur menghabiskan masa dan waktunya dengan perkara-perkara lain sekalipun yang sunat sebelum mengqadhakan sembahyang fardhu yang ditinggalkannya itu, melainkan masanya itu digunakan bagi menunaikan perkara-perkara yang wajib seperti mencari nafkah untuk tanggungannya.

Begitu juga dengan zakat, ia merupakan salah satu rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam apabila cukup syarat-syaratnya. Zakat bertujuan membersih golongan kaya daripada perasaan kedekut. Ibadat ini juga dapat membersihkan perasaan dendam dan hasad dengki golongan miskin terhadap mereka yang hidup mewah. Jelasnya tujuan amalan zakat ialah untuk membentuk masyarakat yang penyayang dan adil.

Selain Al-Qur’an, kewajipan mengeluarkan zakat itu disepakati oleh ijmâ‘ ulama. Perintah wajib ibadat tersebut telah dijelaskan di dalam beberapa ayat Al-Qur’an dan hadis. Ibnu Hajar dalam Az-Zawâjir banyak menyebutkan hadis-hadis berkenaan dengan orang yang meninggalkan dan melengah-lengahkan zakat, di antaranya sabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas‘ud:

Maksudnya: Kami diperintah menunaikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, barangsiapa yang tidak mengeluarkan zakat tidaklah ada sembahyang baginya.

Dan dalam riwayat yang lain:

Maksudnya: Barangsiapa yang menunaikan sembahyang dan tidak mengeluarkan zakat maka dia bukan tergolong daripada orang Islam yang memberi manfaat terhadap amal kebajikannya. (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis-hadis di atas, kewajipan zakat itu seiring dengan kewajipan sembahyang. Oleh itu, ibadat tersebut hendaklah ditunaikan kerana lebihan harta yang ada adalah hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui ashnâf-ashnâf yang ditentukan oleh syara‘.

Dalam usaha mengukuhkan hidup bermasyarakat, umat Islam digalakkan bantu membantu melalui sumbangan atau derma kebajikan kepada pihak-pihak yang memerlukannya seperti orang miskin, anak yatim dan sebagainya. Sekalipun amalan sedemikian menjadi tuntutan agama Islam, namun ibadat zakat tidak seharusnya diabaikan atau dilengahkan kerana ia adalah satu kewajipan yang mesti didahulukan. Orang yang mempunyai harta (telah wajib ke atasnya zakat) sedang dia ingkar mengeluarkan zakat, disifatkan sebagai sama seperti keadaan orang kafir. Hal ini disebutkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya: Barangsiapa baginya harta (untuk dia) menunaikan haji ke Baitullah atau (harta itu) wajib dikeluarkan zakat daripadanya tetapi dia tidak menunaikan haji dan mengeluarkan zakat daripada harta, dia memohon (kepada Allah) supaya dikembalikan semula (ke dunia untuk mengerjakan haji dan menunaikan zakat) ketika dia hendak mati.” Lalu berkata seorang lelaki: “Bertaqwalah wahai Ibnu Abbas, sesungguhnya yang memohon dikembalikan semula (ke dunia) hanyalah orang kafir.” Maka berkata Ibnu Abbas sambil membacakan sepotong ayat Al- Qur’an yang tafsirnya: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang salih.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Menurut Al-Qurtubi bahawa menyegerakan ibadat zakat adalah wajib dan tidak harus melambat-lambatkannya. Begitulah juga dengan ibadat-ibadat lain yang telah ditentukan waktunya. (Al-Qurthubi: 18/130) Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang salih.” (Surah Al-Munâfiqûn: 10)

Berdasarkan ayat di atas bahawa perkara-perkara wajib adalah wajib diutamakan dan tidak boleh dilengah-lengahkan atau dilambat-lambatkan. Maka dalam hal ini melakukan umrah, melancong ke tempat lain yang memerlukan perbelanjaan yang banyak sehingga ibadat zakat tertangguh adalah bercanggah dengan kehendak Islam yang sebenar. Dalam perkara zakat, mana-mana harta yang wajib dikeluarkan zakat seperti harta wang simpanan, perniagaan, pertanian, binatang ternakan seperti kerbau dan kambing, emas dan perak yang cukup syarat-syaratnya hendaklah ditunaikan dengan segera ditakuti dengan melambatkannya akan luput. Walau bagaimanapun, zakat-zakat yang terluput wajib diqadhakan sepertimana juga dalam perkara sembahyang.

Puasa merupakan ibadat yang istimewa di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana setiap ganjaran atau balasan kepada orang yang berpuasa diberikan dan dinilai oleh Allah Ta‘ala sendiri sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “ Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untukKu (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.” (Hadis riwayat Bukhari)

Puasa Ramadhan diwajibkan kepada umat Islam pada setiap tahun berdasarkan Al- Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Begitu juga disunatkan ke atas orang Islam berpuasa sunat atau tathawwu‘ di hari atau bulan yang lain seperti melakukan puasa ‘Asyura, hari Arafah, puasa Sya‘ban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal dan lain-lain. Di antara hadis-hadis yang menyebut mengenai ganjaran melakukan puasa sunat itu, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai puasa enam hari di bulan Syawal:

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas tidak dinafikan bahawa ganjaran yang diberikan kepada orang yang berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal itu adalah besar. Memandangkan kelebihan berpuasa sunat itu besar, maka sebahagian orang tersilap anggap sehingga meninggalkan puasa qadha. Sedangkan, menurut hukum syara‘, puasa-puasa sunat tersebut hanya boleh dilakukan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh dan disunatkan juga dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti perempuan haid dan nifas, musafir yang diharuskan atau orang sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja adalah haram baginya melakukan apa jua puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha puasanya yang luput itu, kerana puasa Ramadhan yang ditinggalkan adalah wajib diqadha sebanyak hari yang ditinggalkan itu sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Maka wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Surah Al-Baqarah: 148)

Berdasarkan ayat ini kewajipan mengqadha puasa itu tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran. Bagi orang-orang yang benar-benar tidak berdaya mengerjakannya seperti orang sakit yang tidak ada harapan sembuh, mereka tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah (memberi makan orang miskin) sebagai ganti puasa tersebut.

Dalam mengerjakan qadha puasa, para ulama berpendapat bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa uzur adalah wajib menyegerakan qadha puasa tersebut. Dan mereka tidak diharuskan bahkan haram melakukan puasa-puasa sunat sebelum mengqadhanya. (Fath Al-‘Allâm: 4/161)

Menurut ulama Syafi‘iyyah tidak harus bahkan haram orang-orang sedemikian mengerjakan puasa-puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha puasa yang tertinggal itu. Sehubungan dengan ini, sayugia diingatkan bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa Ramadhan hendaklah menyegerakan qadha puasa tersebut sebelum datang Ramadhan yang baru.

Walau bagaimanapun sebagai agama yang penuh hikmat, Islam juga menyediakan jalan atau cara yang baik bagi mendapatkan pahala sunat sekalipun mempunyai qadha puasa, umpamanya bagi orang yang hendak melakukan qadha puasa Ramadhan (meninggalkannya kerana keuzuran yang diharuskan oleh syara‘) ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa-puasa sunat. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qadha dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali (iaitu ganjaran puasa qadha dan ganjaran puasa sunat). Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qadha, puasa nazar atau puasa kaffârah, pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari ‘Asyura, hari Arafah dan puasa-puasa sunat yang lain seumpamanya.

Begitu juga dalam perkara seseorang yang mampu mengerjakan yang wajib seperti menunaikan haji tetapi ghairah dan asyik melakukan umrah. Setiap tahun dia mengerjakan umrah lebih daripada sekali tetapi dia tidak ada usaha langsung untuk menunaikan fardhu haji, lebih-lebih lagi berazam untuk mengerjakannya di masa akan datang. Padahal ibadat haji itu adalah rukun Islam yang wajib dikerjakan oleh setiap orang mukallaf sekali seumur hidup iaitu bagi orang yang telah cukup syarat-syaratnya seperti berkuasa melakukannya.

Ibnu Hajar dalam Az-Zawâjir ada menyebutkan bahawa dosa besar keseratus empat puluh lapan adalah orang-orang yang meninggalkan haji setelah dia berkuasa dan mampu mengerjakannya sehingga dia mati. Banyak hadis-hadis yang menerangkan kesalahan orang yang enggan pergi haji setelah dia berkuasa mengerjakannya, di antaranya hadis daripada Abdullah bin Sabit daripada sahabat Abu Umamah daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa tidak dikurung atau dihalang oleh sesuatu hajat yang nyata atau sakit yang menghalang atau sultan yang zalim dan dia tidak pergi menunaikan haji, maka biarlah dia mati jika dia suka mati Yahudi atau dia suka mati Nashrani. (Hadis riwayat Baihaqi)

Berdasarkan hadis di atas, haji itu harus ditangguhkan jika berlaku ke atasnya seperti sakit atau adanya perkara-perkara yang menghalang dirinya daripada mengerjakan haji itu dengan syarat mestilah ada azam yang berterusan untuk menunaikan haji tersebut di masa akan datang.

Untuk lebih memahami maksud perbincangan tajuk di atas, kita bawakan lagi contoh yang lain, seperti adanya sebahagian orang yang ghairah pergi berdakwah. Perbuatan ini adalah baik, tetapi kadangkala mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga, seperti kebajikan dan nafkah anak isterinya. Sedangkan kebajikan dan nafkah anak isteri dan keselamatannya itu adalah wajib ke atas suami.

Sekalipun berdakwah mempunyai fadhilat kerana ia adalah antara kerja-kerja amal kebajikan tetapi perlu juga difahami antara fardhu dengan sunat. Hanya orang yang tidak tahu membezakan antara fardhu dan sunat sahaja yang lebih mengutamakan perkara yang sunat.

Daripada apa yang telah diperjelaskan di atas, orang yang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan amalan yang fardhu dan sunat adalah orang yang mengerjakannya dengan penuh ikhlas yang akan dapat membawa dirinya hampir dengan Allah dan akhirnya dia dicintai oleh Allah Ta‘ala.

Amalan fardhu ialah segala perkara yang wajib ditunaikan yang ditetapkan oleh Islam. Dilaksanakan amalan itu dengan rasa tanggungjawab daripada seorang hamba kepada Tuhannya dan ia merupakan sebagai asas, sedang segala perkara yang sunat adalah sebagai binaan dan binaan terletak di atas asas. Seorang mukmin dikehendaki menyediakan asas amalannya sebelum mendirikan binaan. Ertinya dia wajib menunaikan segala perkara yang wajib kemudian menambahnya dengan mengerjakan segala yang sunat supaya amalannya lebih teratur dan sempurna.

Melakukan amalan-amalan sunat pula menjadikan seseorang itu lebih dicintai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebab yang menjadi amalannya ada dua macam iaitu yang fardhu dan yang bukan fardhu. Maka tarafnya tentu melebihi daripada orang yang hanya mengerjakan segala yang fardhu sahaja.

Berdasarkan penerangan-penerangan di atas perkara yang wajib itu hendaklah diutamakan. Harus bagi seseorang meninggalkan ibadat yang sunat iaitu yang diminta supaya ia dikerjakan secara suka rela bagi menunaikan tanggungjawabnya melaksanakan yang wajib. Memang diakui bahawa yang sunat adalah sebagai penampung atau penyempurna bagi kekurangan yang mungkin terdapat dalam perkara yang wajib atau yang fardhu dan juga untuk merapatkan hubungan atau mendampingkan diri seseorang kepada Tuhannya, sebagaimana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Yang pertama sekali akan diperhitungkan daripada amalan seseorang di Hari Kiamat nanti ialah sembahyang fardhu. Jika didapati sembahyang fardhunya sempurna, maka ia akan ditulis sempurna, jika sembahyang fardhunya tidak sempurna, maka Allah memerintahkan (kepada para malaikat) memeriksa tentang sembahyang sunatnya. Kalau didapati dia melakukan sembahyang sunat, maka sembahyang sunat tadi akan menyempurnakan segala kekurangan yang terdapat di dalam sembahyang fardhu, demikian pula cara memperhitungkan amalan-amalan yang lain. (Hadis riwayat Nasa’i)

BERKABUNG

Kematian seseorang yang dikasihi setentunya mengundang rasa sedih dan duka apatah lagi orang yang meninggal itu adalah terdiri daripada kaum keluarga. Berbagai cara dan keadaan yang dilakukan untuk menzahirkan rasa sedih atau dukacita di atas kematian itu. Umpamanya, apa yang dapat kita saksikan di sesetengah upacara pengkebumian bagi masyarakat tertentu, kita mendapati kebanyakan mereka yang ditimpa musibah sebegini akan memakai pakaian dengan warna yang mereka anggap sebagai tanda melahirkan rasa sedih mereka. Sebahagian besar masyarakat ini menganggap warna hitamlah yang sesuai dipakai dalam situasi sedemikian. Inilah antaranya yang dikatakan berkabung menurut mafhûm adat dan budaya sebahagian tempat.

Menurut Kamus Dewan berkabung itu maksudnya memperlihatkan tanda-tanda sedang berdukacita kerana kematian seseorang dan lain-lain.

Maka dalam keluaran Irsyad Hukum kali ini kita akan menyentuh beberapa perkara mengenai pengertian berkabung dan cara melaksanakannya serta hukum dan hikmatnya.

Berkabung Menurut Hukum Syara’

Berkabung ataupun ihdâd menurut Imam An-Nawawi Rahimahullah ialah: Meninggalkan berhias-hias sama ada dengan pakaian, barang kemas dan bau-bauan yang harum. (Raudhah Ath-Thâlibîn 8/405)

Ini bermaksud perempuan yang berihdâd ialah perempuan yang meninggalkan perkara yang berkaitan dangan berhias dan apa- apa yang boleh merangsang umpamanya memakai minyak wangi serta bersolek.

Tuntutan berkabung ini pada lazimnya hanyalah ditujukan kepada perempuan yang kematian suami selama ‘iddahnya. Sementara lelaki pula tidak dikaitkan dengan tuntutan berkabung ini.

Tradisi berkabung sememangnya sudah wujud sejak dahulu lagi dengan cara yang berbeza-beza mengikut adat dan kepercayaan. Ini jelas sebagaimana yang berlaku pada zaman jahiliah, perempuan yang kematian suami ada yang dikenakan berbagai pantang larang yang langsung tidak memberi keselesaan hidup di sepanjang tempoh ‘iddah mereka. Hal ini dijelaskan di dalam hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diceritakan oleh Zainab Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Aku telah mendengar ibuku, Ummu Salamah berkata: “Telah datang kepada Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam seorang perempuan lalu berkata kepada Baginda: “Wahai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sesungguhnya anak perempuanku telah kematian suaminya, matanya nampak membengkak (kerana banyak menangis) adakah boleh saya mencelak matanya?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menjawab: “Tidak” (sebanyak dua atau tiga kali kesemuanya dikatakan Baginda). Kemudian Baginda bersabda: “(Dia sepatutnya berkabung) selama empat bulan dan sepuluh hari, dan kamu tidak perlu meniru kebiasaan wanita jahiliah (yang suka memanjangkan masa ‘iddah dan tidak mahu celaka) dengan membuang kotoran haiwan pada awal tahun.” Humaid bertanyakan kepada Zainab: “Apakah yang dimaksudkan dengan membuang kotoran haiwan pada awal tahun itu?” Zainab berkata: “(Pada zaman jahiliah) apabila ada seorang wanita yang kematian suaminya, dia lalu masuk ke sebuah rumah kecil dengan mengenakan seburuk-buruk pakaiannya tanpa menyentuh wangian dan segala sesuatu yang lainnya. Ketika genap satu tahun, maka didatangkan padanya seekor binatang berupa keldai atau kambing ataupun burung, lalu dibunuhnya dengan cara memecah atau membantingnya, dan biasanya binatang itu langsung mati. Setelah itu kotoran binatang ternak tersebut diberikan padanya dan dia lalu membuangnya. Setelah itu, kalau dia mahu barulah dia boleh kembali memakai wangi- wangian dan sebagainya. (Hadis riwayat Muslim)

Di samping itu, ada juga perempuan yang kematian suami ini dipandang hina oleh kaum kerabat dan juga masyarakat sekelilingnya. Mereka boleh melakukan apa sahaja terhadapnya termasuklah memperisterikannya. Hal sedemikian akan mengakibatkan kehidupan perempuan berkenaan teraniaya. Hal ini terbukti sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: Mereka (masyarakat jahiliah) apabila terjadinya kematian suami bagi seseorang isteri maka wali- wali si suami itulah yang berhak ke atas diri perempuan tersebut, jika mereka ingin mengahwininya maka mereka akan memperisterikannya dan jika mereka mahu mengahwinkannya maka mereka akan mengahwinkan perempuan itu dan jika mereka enggan untuk menyuruhnya berkahwin maka mereka akan menghalangnya daripada berkahwin. Jadi mereka lebih berhak dengannya berbanding keluarganya sendiri. (Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i)

Sebahagian anggota masyarakat hari ini, khasnya para isteri, memandang ringan akan tuntutan berkabung ini. Kurangnya perhatian ini mungkin kerana ketiadaan maklumat atau kurang pengetahuan tentang adanya syariat ihdâd atau berkabung ini. Apa yang kita selalu saksikan hari ini, apabila kita menghadiri majlis penyempurnaan jenazah dan majlis bertahlîl (semasa masih dalam tempoh berkabung), isteri si mati tersebut tidak menampakkan dirinya sedang berkabung atas kematian tersebut. Bahkan masih juga memakai pakaian yang tidak melambangkan tanda berkabung, padahal syara‘ menuntutnya untuk menjauhkan diri daripada perkara yang menampakkannya dalam keadaan berhias.

Sebahagian masyarakat pula menganggap bahawa berkabung itu hanya dilakukan apabila pemimpin atau ketua pemerintah serta orang-orang ternama di sesebuah negara itu meninggal dunia. Pada ketika itulah penduduk di negara tersebut akan berkabung bagi tempoh masa yang tertentu dengan keadaan-keadaan tertentu. Antara cara berkabung itu pula ialah dengan memakai tanda-tanda khas pada pakaian atau menaikkan bendera setengah tiang sebagai menzahirkan rasa dukacita dan sedih terhadap kehilangan pemimpin berkenaan. Amalan sedemikian adalah tidak menepati pengertian berkabung menurut apa yang dijelaskan oleh syara‘, berdasarkan hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyentuh mengenainya.

Hukum Berkabung

Menurut ijmâ‘ para ulama, berkabung adalah wajib bagi wanita yang kematian suami. Di samping itu mereka berbeza pendapat tentang hukum ihdâd bagi sesetengah perempuan yang bukan kematian suami, seperti kerana sebab ditalak. Bagi perempuan yang ber‘iddah kerana kematian suami, yang ‘iddahnya ialah selama empat bulan sepuluh hari (kecuali bagi perempuan yang hamil, tempoh bagi ‘iddah mereka ialah sehingga melahirkan), maka jumhûr ulama telah bersepakat bahawa hukum ihdad atau berkabung di dalam tempoh ‘iddah bagi wanita ini adalah wajib. Ini bersandarkan kepada hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:

Maksudnya: Tidak halal (haram) bagi wanita yang beriman dengan Allah Subhanahu wata‘ala dan RasulNya untuk berkabung ke atas jenazah selama lebih daripada tiga hari kecuali bagi suaminya. (Hadis riwayat Muslim)

Manakala perempuan yang ber‘iddah kerana talak raj‘i, para ulama sepakat bahawa perempuan ini tidak diwajibkan berkabung, kerana dia masih boleh dirujuk oleh suami. Malah ada ulama yang mengatakan adalah lebih utama (awlâ) baginya berhias-hias untuk menarik perhatian muthalliq (bekas suaminya) supaya merujuknya kembali. Tetapi Abu Thaur pula meriwayatkan daripada salah satu pendapat Imam Asy-Syafi‘e Rahimahullah bahawa sunat (mustahabb) ke atasnya berkabung.

Perempuan yang di dalam tempoh ‘iddah talak bâ’in bainunah shughrâ (talak yang tidak boleh dirujuk oleh bekas suaminya kecuali dengan nikah dan mahar yang baharu) atau yang di dalam ‘iddah talak bâ’in bainunah kubrâ (talak yang tidak boleh dirujuk kecuali setelah bekas isterinya dinikahi dan diceraikan oleh suaminya yang baharu dengan syarat-syarat yang tertentu, juga dengan nikah dan mahar yang baharu), maka bagi perempuan ini menurut Imam Asy-Syafi‘e dalam qaul jadîd adalah tidak wajib ke atasnya berkabung kerana ianya ber‘iddah kerana talak, sedangkan berkabung yang wajib itu ialah kerana kematian suami. Walau bagaimanapun adalah sunat hukumnya jika mereka berkabung.

Begitu juga bagi perempuan selain mereka yang dalam ‘iddah kerana kematian suami atau ditalak adalah harus bagi mereka berkabung jika sekiranya terjadi kematian di antara kaum keluarganya seperti ayah atau abang dalam tempoh yang telah diharuskan oleh syara’ iaitu selama tiga hari atau kurang dan tidak boleh bahkan haram hukumnya jika melebihi tiga hari berdasarkan sabda Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam riwayat Muslim di atas.

Walau bagaimanapun suami berhak melarang si isteri yang ingin berkabung kerana kematian salah seorang daripada kaum keluarga si isteri, kerana berhias itu adalah hak suami yang mesti ditunaikan. Oleh yang demikian si isteri hendaklah terlebih dahulu meminta izin daripada suami sebelum melakukannya.

Daripada penjelasan ulama di atas, berkabung bukan sahaja disebabkan oleh kematian suami bahkan juga boleh berlaku kerana perceraian (talak) mengikut sesetengah pendapat ulama.

Hikmat pensyariatan ihdâd (berkabung)

Agama Islam melarang dan memerintahkan sesuatu itu dengan ada tujuan dan hikmatnya yang tertentu.

Adapun di antara hikmat Islam mensyariatkan berkabung (ihdâd) ini secara umumnya adalah sebagai menzahirkan rasa sedih terhadap kehilangan seseorang dengan cara yang terbatas dan terkawal. Tidak seperti kelakuan orang-orang jahiliah apabila berlakunya kematian, mereka akan menangis dengan menjerit-jerit, menampar-nampar pipi serta mengoyak-ngoyakkan baju dan berbagai-bagai lagi perkara yang dilarang oleh syara‘.

Perbuatan-perbuatan seperti di atas adalah perbuatan orang jahiliah yang tidak sepatutnya kita lakukan sebagaimana yang telah digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis Baginda:

Maksudnya: Tidak termasuk golongan kami mana-mana orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-hgoyak baju dan berteriak-teriak seperti teriakan orang jahiliah (Hadis riwayat Bukhari)

Perbuatan berhias atau bersolek boleh menarik perhatian lelaki bahkan boleh membuatkan lelaki tergoda. Oleh sebab itu perbuatan sedemikian ditegah oleh Islam bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang buruk demi menjaga kesucian syariat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Berkabung adalah sebagai ganti diri suami yang telah tiada untuk mengawal dan mengawas isteri yang ditinggalkannya dalam tempoh waktu yang tertentu.

Melaksanakan Tuntutan Berkabung

Daripada penjelasan ulama di atas, berkabung adalah wajib bagi isteri yang kematian suami. Manakala berkabung bagi perempuan yang telah diceraikan dengan talak ba’in bainunah shughrâ atau kubrâ adalah sunat. Adapun bagi perempuan-perempuan yang kematian ahli keluarganya seperti abang atau bapanya pula adalah harus.

Namun untuk memenuhi tuntutan berkabung itu, Islam telah menentukan cara melaksanakannya iaitu dengan meninggalkan apa jua perkara yang mempunyai unsur-unsur yang dianggap sebagai berhias di sepanjang tempoh ‘iddah mereka.

Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam menggariskan cara tuntutan berkabung itu ialah dengan memakai pakaian yang tidak menarik perhatian. Dengan erti kata lain tidak dibenarkan memakai pakaian yang berwarna terang dan berwarna-warni, pakaian ketat dan jarang yang boleh menampakkan bentuk badan dan seumpamanya. Selain haram pada umumnya, haram juga semasa dalam tempoh perkabungan. Hal ini digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Seorang perempuan tidak boleh berkabung ke atas kematian seseorang lebih daripada tiga hari kecuali ke atas kematian suaminya selama empat bulan sepuluh hari dan pada tempoh berkabung itu dia tidak boleh memakai pakaian yang dicelup (berwarna-warni). (Hadis riwayat Muslim)

Memakai wangi-wangian atau haruman sama ada pada pakaian atau tubuh badan adalah juga ditegah sama sekali selagi mereka di dalam ‘iddah. Hal ini disebut oleh Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Dan jangan memakai bau-bauan yang harum, kecuali selepas dia bersih, itupun hanyalah daripada wangi-wangian jenis qusth atau azhfar… (Hadis riwayat Muslim)

Larangan berhias itu termasuklah bercelak mata sama ada untuk tujuan berhias atau berubat kecualilah pada waktu malam jika ianya diperlukan. Ini termasuk juga mengenakan solekan pada muka dan gincu pada bibir serta memasang kanta berwarna yang bertujuan untuk berhias. Larangan ini berdasarkan hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam yang diriwayatkan oleh Ummu Athiah Radiallahu ‘anha:

Maksudnya: Kami telah ditegah untuk berkabung ke atas orang yang mati melebihi dari tiga hari kecuali ke atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari serta dilarang untuk bercelak mata dan memakai minyak wangi dan memakai pakaian yang berwarna warni. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berinai atau berpacar juga ditegah, sebagaimana yang tersebut dalam hadis Baginda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yang berbunyi:

Maksudnya: Tidak boleh bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung ke atas kematian seseorang lebih darpadai tiga hari kecuali terhadap suaminya dan pada ketika itu dia tidak boleh bercelak mata dan berinai (Hadis riwayat Nasa’i)

Daripada mafhûm hadis ini, larangan tersebut termasuklah pacar kuku (cutex) yang digunakan untuk mewarnakan kuku.

Berhias dengan memakai apa jua jenis barang kemas sama ada cincin atau gelang yang diperbuat daripada emas atau perak dan sebagainya adalah juga merupakan perbuatan yang ditegah. Larangan ini adalah jelas berpandukan hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Perempuan yang kematian suami tidak boleh memakai barang kemas, tidak boleh bercelak mata dan tidak boleh berinai. (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i)

Selain daripada perkara yang disebutkan, apa-apa jua yang dianggap sebagai perbuatan berhias-hias oleh masyarakat setempat walaupun pada pandangan masyarakat lain ianya dianggap perkara biasa, maka hendaklah dihindari dan dijauhi daripada melakukannya.

Walau bagaimanapun, Islam mengharuskan dan tidak melarang perempuan-perempuan yang berkabung melakukan perkara-perkara seperti mengurus rumah tangga, bersikat rambut tanpa menyapu minyak, memotong kuku, menghilangkan segala kotoran dan perkara-perkara yang bertujuan untuk kebersihan diri.

Dengan penjelasan di atas, dapatlah difahami bahawa perempuan yang kematian suami adalah wajib berkabung dengan menghindarkan diri daripada melakukan sebarang tegahan di sepanjang tempoh ‘iddahnya seperti berhias dengan pakaian yang menarik perhatian, berwangi-wangian, bercelak mata, berinai dan sebagainya menurut apa yang telah digariskan oleh syara‘. Inilah berkabung yang sebenarnya mengikut hukum syara‘. Dari itu sayugia diingatkan bagi perempuan yang diwajibkan berkabung ini supaya mengambil berat akan tuntutan ini kerana jika ia tidak ditunai dan dilaksanakan, perempuan berkenaan dihukumkan berdosa.

FAHAMAN YANG BOLEH MENYESATKAN

Islam adalah satu-satunya agama yang lengkap lagi komprehensif (syumûl) kerana ia diasaskan atas tiga komponen utama iaitu aqidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga komponen ini menjadi tonggak utama kepada kekuatan, kesempurnaan dan keindahan Islam.

Rahsia kejituan Islam adalah berdasarkan kepada dua sumber utama iaitu Al- Qur’an dan As-Sunnah. Oleh itu, keselamatan umat Islam di dunia dan di akhirat adalah ditentukan oleh ukuran sejauh mana seseorang itu berpegang teguh kepada kandungan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Hal ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik Radiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada keduanya iaitulah Kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnah RasulNya.” (Hadis riwayat Malik)

Sejak kebelakangan ini masyarakat Islam telah dilanda oleh pelbagai kecelaruan dalam memahami aqidah Islam yang sebenar. Kita merasa amat dukacita dalam suasana keghairahan umat Islam hendak mendekati dan menghayati ajaran Islam ini, ada di kalangan umat Islam yang masih teraba-raba mencari kebenaran tersebut. Natijahnya menyebabkan sebahagian umat Islam terjebak ke dalam fahaman dan ajaran sesat yang ditaja oleh golongan-golongan tertentu yang mempunyai kepentingan hawa nafsu dan kebendaan.

Di negara kita, berdasarkan kajian dan penyelidikan serta penyiasatan pihak-pihak berkenaan, terdapat beberapa kumpulan ajaran sesat yang pernah aktif dan mengancam aqidah umat Islam. Kebanyakan daripada mereka terlibat dengan amalan-amalan yang meragukan dan bertentangan dengan aqidah Islam yang sebenar. Walau bagaimanapun dengan usaha pemantauan yang gigih daripada pihak berwajib, kumpulan-kumpulan tersebut telah dapat ditumpaskan daripada terus berkembang.

Umat Islam sekarang terdedah dengan berbagai ancaman daripada anasir-anasir yang memesongkan aqidah umat Islam kepada perkara-perkara mungkar. Mereka memperdayakan umat Islam dengan ajaran-ajaran yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam. Mereka bertopengkan Islam tetapi hakikatnya mereka jauh tersasar dan menyeleweng daripada landasan dan aqidah Islam.

Penyelewengan tersebut kebiasaannya bermula dalam bentuk yang halus dan teliti supaya tidak mudah dikesan. Kemudian ia mula meningkat dan membesar dengan keahlian yang ramai sehingga ahli-ahli berkenaan tidak merasakan ajaran tersebut menyimpang dan tersasar daripada aqidah Islam yang sebenarnya.

Ciri-Ciri Ajaran Sesat

Sebilangan umat Islam begitu mudah terpengaruh dengan fahaman yang berselindung di sebalik label Islam yang mereka amalkan. Golongan yang terperangkap dengan ajaran-ajaran sesat akan tertarik dengan ajaran yang dibawa itu bersandarkan dakwaan-dakwaan kononnya para pengikut akan memperolehi keistimewaan, keajaiban, kekuatan luar biasa, kebahagiaan sejati, mengetahui persoalan-persoalan ghaib dan sebagainya sama ada melalui perbomohan atau lainnya.

Masyarakat Islam perlu mengetahui dan memahami kriteria-kriteria ajaran sesat itu supaya terhindar daripada penyelewengan dan sentiasa berada di atas jalan yang betul tanpa sebarang keraguan.

Ajaran sesat merupakan sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau bersandarkan kepada ajaran Islam, sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan Al-Qur’an dan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta bertentangan dengan ajaran, fahaman, keyakinan dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah. (Aneka, Pelita Brunei: Bilangan 14, 5 April 2000 m.s: 3)

Selain itu ciri-ciri lain ajaran sesat ialah amalan-amalan kebatinan yang menjurus kepada matlamat untuk mendapatkan kelebihan-kelebihan diri yang luar biasa yang menjadi kemegahan seperti kebal, ghaib dan sebagainya. Sedangkan sejarah telah membuktikan bahawa tidak terdapat sebarang dalil Al-Qur’an dan As-Sunnah yang menunjukkan bahawa amalan-amalan ini wujud dan dipraktikkan oleh para sahabat dan salaf salih. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri yang merupakan manusia utusan Allah yang teragung pernah tercedera dalam peperangan Uhud manakala ramai sahabat yang terkorban sebagai syahid.

Begitu juga dengan perkara-perkara yang berhubung kait dengan kuasa-kuasa ghaib seperti mendakwa mengetahui waktu-waktu pintu langit dibuka. Menurut Al-Qur’an, perkara ghaib seumpama ini, sebenarnya hanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala sahaja yang mengetahuinya dan Allah tidak mendedahkannya kepada sesiapa kecuali kepada hamba pilihanNya iaitu nabi-nabi dan rasul-rasul. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah melalui firmanNya:

Tafsirnya: Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, kecuali kepada mana-mana rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat- malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). (Surah Al-Jinn: 26-27)

Berdasarkan ayat di atas, Allah hanya akan memberitahu perkara-perkara ghaib itu kepada rasul-rasul yang merupakan orang-orang pilihanNya. Orang biasa tidak berhak untuk mempertikaikannya. Namun sebagai umat Islam, kita adalah dituntut supaya sentiasa beramal dan berdoa. Hal sedemikian sama seperti mencari Lailatulqadar atau saat doa dikabulkan pada setiap hari Jumaat yang tidak diketahui bila ianya terjadi. Perkara ini sengaja dirahsiakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar umat Islam bersungguh-sungguh dengan sedaya upaya mencarinya dan meningkatkan amal kebajikan.

Perbuatan memanggil roh atau menghadirkan roh juga berkaitan dengan perkara-perkara ghaib. Ia ditentukan oleh Allah Ta‘ala di dalam ilmuNya sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Katakanlah: “Tiada sesiapa di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah. Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).” (Surah An-Naml: 65)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. (Surah Al-Isrâ’: 85)

Berdasarkan ayat ini, dapatlah difahami bahawa roh itu adalah urusan Allah. Manusia tidak tahu menahu mengenainya kecuali sekadar apa yang diajarkan oleh Allah kepada mereka, kerana perkara roh adalah salah satu perkara yang dirahsiakan Allah dengan ilmuNya dan ianya tertutup daripada pengetahuan makhluk.

Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan bahawa roh-roh orang yang mati akan terus berkekalan selepas matinya jasad. Perkara ini digambarkan oleh Allah dalam firmanNya:

Tafsirnya: Allah (yang Menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa daripada badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati, dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir. (Surah Az-Zumar: 42)

Telah sabit dalam satu riwayat bahawa ketika dalam peperangan Badar, Umar bertanya kepada Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, adakah jasad- jasad yang tidak bernyawa boleh bercakap?” Rasulullah menjawab: “Demi Tuhan yang diri Muhammad di TanganNya bukan kamu sahaja yang paling mendengar apa yang aku ucapkan, mereka (mayat orang Quraisy yang dicampakkan ke dalam salah satu lembah Badar) juga dapat mendengarnya, akan tetapi mereka tidak berupaya menjawabnya”. (Al-Bidâyah Wa An-Nihâyah: 3/292)

Oleh yang demikian dakwaan memanggil atau menghadirkan roh adalah dakwaan bâthil yang tidak mempunyai asas sama ada dari nash atau logik, bahkan Allah Ta‘ala sahaja yang mengetahui dan menguasai roh-roh itu dan Dia sahaja yang berupaya mengendalikannya sebagaimana yang dikehendakiNya.

Termasuk dalam ajaran sesat itu ialah ajaran-ajaran yang mendakwa bahawa Allah Ta‘ala telah menzahirkan ZatNya dan menjelma masuk ke dalam jasad tubuh badan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka bersatulah dua jasad dengan roh yang satu.

Pendapat tentang penjelmaan Zat Allah di dalam jasad Nabi Muhammad Shallalhu ‘alaihi wasallam dan bersatu menjadi satu roh adalah dakwaan golongan Zindiq mengenai penjelmaan Allah di dalam diri Al-Masih Isa ‘Alaihissalam. Pendapat ini ditolak oleh Al-Qur’an di dalam firman Allah:

Tafsirnya: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawa Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan, padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa.” (Surah Al-Mâ’idah: 73)

Pendapat ini juga menjadi pegangan segolongan pelampau Syi‘ah yang mendewa-dewakan Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah. Sementara itu kaum Bahai pula mengi‘tiqâdkan bahawa rasul-rasul Allah adalah penjelmaan daripada Tuhan. Semua pendapat ini adalah kufur yang terang dan terkeluar daripada agama Islam.

Ahli Sunnah Wal Jama‘ah telah sepakat mengatakan bahawa Allah Ta‘ala Maha Suci daripada menyerupai segala yang baharu, dan Allah tidak berjisim, bukannya bayang-bayang dan gambar, bukannya daging, darah dan tulang. Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya:

Tafsirnya: Tidak ada sesuatu yang serupa dengan Dia dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah Asy-Syûrâ: 11)

Mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) juga sepakat bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam diciptakan oleh Allah daripada air mani yang memancar, sebagaimana Allah menciptakan manusia yang lain. Firman Allah:

Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu. (Surah Al-Kahf: 110)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Tiadalah Al-Masih bin Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana Kami jelaskan kepada mereka (Ahli Kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka daripada menerima kebenaran yang jelas nyata itu). (Surah Al-Mâ’idah: 75)

Oleh itu berdasarkan ayat di atas adalah mustahil Zat Allah yang tiada bandingannya itu masuk ke dalam jasad tubuh badan RasulNya (manusia biasa), kerana dua zat yang berbeza tidak boleh menjadi satu. Pendapat sedemikian adalah menyalahi aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, kerana kepercayaan tersebut adalah syirik yang nyata. Kepercayaan penyatuan zat Allah dengan makhlukNya itu adalah merupakan kepercayaan satu kumpulan sesat yang telah lama wujud dikenali dengan nama Wahdatul Wujud.

Ada pula sebahagian orang yang cuba berselindung dengan menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an Al-Karim bagi maksud dan tujuan yang salah dan bersifat maksiat yang bertentangan dengan kehendak ayat Al-Qur’an itu sendiri. Seperti amalan sebahagian bomoh yang mendakwa sebagai orang alim yang mengubat pesakit secara berkurung dalam bilik tanpa orang lain, walaupun pesakit itu isteri orang yang mungkin boleh membawa kepada kelakuan sumbang. Tindakan seperti ini hanya bertopengkan ayat Al-Qur’an bagi tujuan melindungi kesesatan yang berselaput di dalam gerakan atau amalan mereka, sedangkan kerja-kerja sebenarnya adalah mungkar dan maksiat. Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengutuk golongan seperti ini dalam firmanNya:

Tafsirnya: Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (agama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu. (Surah Al-Baqarah: 175)

Antara ciri-ciri yang boleh membawa kepada ajaran sesat itu juga ialah wujudnya budaya memuja dan mendewa-dewakan ketua kumpulan sehingga menganggapnya sebagai suci, wakil Tuhan dan wajib dipatuhi dalam segala perintah walaupun perintah itu bertentangan dengan akhlak, aqidah dan syariat Islam. Ciri seperti ini menurut keyakinan mereka jika tidak dipatuhi, akan mendatangkan malapetaka dan kesusahan.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam telah mengajar kepada umatnya bahawa ketaatan mutlak itu hanyalah untuk Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya sahaja manakala ketaatan kepada makhluk adalah terbatas sebagaimana Baginda bersabda:

Maksudnya: Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara-perkara maksiat terhadap Allah Azza wa Jalla. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Antara jalan yang membolehkan kita mengenali sesuatu ajaran atau amalan itu dianggap sesat atau meyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar ialah, apabila ianya mengandungi salah satu atau kesemua kriteria-kriteria, seperti guru atau muridnya membuat pengakuan menerima wahyu daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, gurunya membuat pengakuan bahawa dia memegang kunci syurga, muridnya pula mendakwa bahwa gurunya adalah nabi, malaikat atau setanding dengannya dan mempercayai bahawa roh orang yang telah mati menjelma semula ke dalam jasad orang yang masih hidup. Sekiranya roh itu baik maka ia menjelma ke dalam jasad orang yang baik dan begitulah sebaliknya. Termasuk juga di dalam kategori ajaran sesat jika seseorang itu mendakwa dirinya sebagai wali.

Kriteria yang lain, pembawa ajaran itu mendakwa bahawa amalan dan tindakannya seperti zikir yang diajarkan kepada muridnya boleh menggagalkan Kiamat, hanya pengikut tarekat yang diamalkan oleh golongan mereka sahaja dijamin masuk syurga, mempercayai bahawa semua agama adalah sama, mempercayai bahawa guru mereka boleh menebus dosa mereka dengan membayar wang atau harta kepadanya, mempercayai bahawa ada nabi lain selepas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan meminta pertolongan daripada orang yang telah mati.

Begitu juga halnya dengan amalan atau ajaran yang memohon pertolongan guru sebagai perantara (wasîlah) untuk sampai kepada Tuhan, mempercayai bahawa benda-benda tertentu seperti pungsu, batu, cincin dan sebagainya mempunyai hikmat tertentu, mempercayai bahawa benda-benda tertentu seperti batu, cincin dan sebagainya boleh menyampaikan kepada Tuhan, menggambarkan wajah guru semasa beribadat atau berzikir, penyerahan rohani atau jasmani kepada guru sama ada melalui cara nikah batin dan sebagainya, mengaku dirinya atau gurunya sebagai Nabi Isa ‘Alaihissalam dan Imam Mahdi, mengaku atau meyakini dirinya atau pengikutnya sahaja yang layak memperolehi ma‘ûnah iaitu pertolongan langsung daripada Allah sedangkan orang lain sama sekali tidak layak memperolehinya, mengaku bahawa Allah menjelma dalam dirinya, mendakwa atau mengaku dirinya sebagi wakil Nabi yang boleh memberi syafaat kepada murid atau pengikutnya, memepercayai bahawa wahyu masih turun selepas wafatnya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan lain-lain.

Sementara mempercayai bahawa orang yang telah mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya, mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan lahir semula menjadi manusia istimewa seperti Imam Mahdi dan sebagainya, mengaku dan mempercayai adanya kemasukan roh orang yang telah mati ke dalam diri seseorang lain (menurun) sebagaimana yang diamalkan oleh bomoh atau tukang sihir, mengaku dan mempercayai bahawa seseorang itu boleh berhubung dengan Allah melalui Nur Muhammad yang berada di dalam dirinya dan dengan demikian didakwa pasti masuk syurga, juga adalah menjadi kriteria ajaran atau amalan sesat.

Selain kriteria di atas termasuklah tindakan yang berupa perbuatan atau percakapan yang seolah-olah memansûkhkan syariat-syariat Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan membuat syariat yang lain, meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk (bertapa), mendakwa bahawa ibadat haji tidak semestinya ditunaikan di Mekah tetapi boleh dikerjakan di tempat-tempat lain, mempercayai bahawa bacaan seseorang guru ke atas suatu benda seperti batu, gunung, bukit dan kayu boleh memberi kesan baik dan buruk kepada mereka, mengagung-agungkan keturunan Yahudi sebagai kaum atau bangsa yang paling baik yang perlu dicontohi, menterjemah atau menafsirkan ayat-ayat Al-Qur’an dengan lambang yang direka sendiri tetapi tidak ada dalam nash Al-Qur’an atau hadis, umpamanya perkataan “هللا” diterjemahkan seperti berikut:

ا: Diterjemahkan sebagai tubuh Muhammad. ل: (Yang Pertama) – Diterjemahkan sebagai nyawa Muhammad ل: (Yang Kedua) – Diterjemahkan sebagai hati Muhammad هـ: Diterjemahkan sebagai rahsia Muhammad.

Berdasarkan ciri-ciri dan kriteria ajaran sesat yang dijelaskan di atas bahawa ajaran dan amalan yang diperlihatkan oleh gerakan atau pertubuhan tertentu itu membuktikan mereka tergolong dalam kumpulan ajaran yang salah dan sesat serta bertentangan dengan aqidah Islam yang sebenar.

Dari itu kita semestinya bersungguh-sungguh dan waspada dalam memelihara kesucian dan keutuhan aqidah dan syariat Islam dengan mengelakkan diri daripada terlibat dengan ajaran atau kumpulan yang dikaitkan dengan fahaman sesat. Janganlah terpengaruh dan terikut-ikut dengan sesuatu ajaran yang kita tidak ada ilmu mengenainya, ditakuti akan merugikan umat Islam dan dimurkai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (Surah Al-Isrâ’: 36)

Larangan Allah dalam ayat di atas adalah menjadi undang-undang yang meliputi segala soal dalam alam kehidupan ini. Kita tidak boleh memperkatakan atau melakukan sesuatu yang kita tidak mengetahuinya. Kita tidak boleh menjadi saksi melainkan terhadap perkara yang telah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan diketahui oleh hati. Dalam soal i‘tiqâd pula, kita tidak boleh mempercayainya melainkan dengan dalil yang membuktikan kebenarannya. Larangan Allah ini hendaklah dipatuhi kerana mata, hati dan telinga akan ditanya oleh Allah Ta‘ala pada Hari Kiamat nanti tentang apa yang telah dilakukannya.

Oleh yang demikian meningkatkan ilmu pengetahuan dan menyatupadukan umat Islam adalah menjadi suatu agenda yang sepatutnya diambil perhatian. Jika terdapat sebarang kekaburan tentang sesuatu perkara, adalah lebih selamat merujukkannya kepada pihak yang berautoriti khasnya pihak berkuasa agama yang sentiasa menunjukkan keprihatinan dalam memelihara kesucian aqidah, syariat dan maruah umat Islam.

FUN FAIR BOLEH MENYUMBANG KEPADA JUDI

Islam telah mengharamkan semua unsur perjudian sama ada melalui permainan, hiburan atau sebagainya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya mengharamkan judi dan menyuruh umat Islam menjauhinya kerana ia adalah perbuatan keji dan ia adalah perbuatan syaitan serta tergolong daripada dosa-dosa besar.

Judi adalah salah satu perbuatan yang boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia dalam sesebuah masyarakat. Ia juga mencacatkan hubungan dengan Tuhan. Mereka yang melakukannya (melanggar larangan Allah) tidak akan mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.

Judi disebut dalam bahasa Arab sebagai al-maisir. Al-Maisir merupakan suatu bentuk permainan yang memakai atau menggunakan wang dan lain-lain sebagai taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapatkan taruhan tersebut. (Kamus Dewan: 545)

Di dalam Al-Qur’an al-maisir (judi) disebutkan sebanyak tiga kali, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”. Dan mereka bertanya pula kepadamu: “Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?” Katakanlah: “(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir. (Surah Al-Baqarah: 219)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah Al-Mâ’idah: 90)

Dan firmanNya yang lain:

Tafsirnya: Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil? (Surah Al-Mâ’idah: 91)

Ketiga-tiga ayat di atas menyebutkan beberapa kebiasaan buruk yang berkembang pada masa jahiliyah iaitu al-khamr (arak), al-maisir (judi), al-anshâb (berkorban untuk berhala), dan al-azlâm (mengundi nasib dengan menggunakan panah). Berdasarkan ayat-ayat di atas juga Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan bahawa al-khamr dan al-maisir mengandungi dosa besar dan juga mempunyai beberapa manfaat, tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya. Dosa daripada al-maisir itu menggambarkan akibat-akibat buruk yang timbul daripadanya.

Di antara dosa dan risiko yang ditimbulkan oleh al-maisir telah dijelaskan dalam surah Al-Mâ’idah di atas bahawa al-maisir adalah perbuatan syaitan yang wajib dijauhi oleh orang-orang yang beriman. Di samping itu, al-maisir juga dipergunakan oleh syaitan sebagai alat untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia, serta menghalang pelakunya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menunaikan sembahyang.

Berdasarkan ketiga-tiga ayat di atas juga, ulama fiqh sependapat untuk menetapkan hukum al-maisir itu sebagai salah satu dosa besar.

Jumhûr ulama daripada empat mazhab berpendapat bahawa unsur penting daripada al-maisir itu adalah “taruhan”. Dalam pandangan mereka, adanya taruhan ini merupakan ‘illat (sebab) bagi haramnya al-maisir tersebut. Oleh yang demikian, setiap permainan yang mengandungi unsur taruhan adalah al-maisir dan hukum melakukannya adalah haram. (Ensiklopedia Hukum Islam: 3/1054)

Hikmat Di Sebalik Pengharaman Judi

Ayat yang telah disebutkan sebelum ini ada menyatakan bahawa judi atau al-maisir itu mengandungi dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya. Manfaat yang dimaksudkan oleh Al-Qur’an khususnya mengenai al-maisir adalah manfaat yang hanya dinikmati oleh pihak yang menang. Umpamanya dalam bentuk permainan al-mukhatharah di zaman jahiliyyah, dua orang laki-laki atau lebih, menjadikan harta dan isteri mereka masing-masing sebagai taruhan dalam permainan tersebut. Orang yang menang dalam permainan itu berhak mengambil harta dan isteri daripada pihak yang kalah. Ini bermakna harta dan isteri yang sudah menjadi milik pemenang itu boleh diperlakukan mengikut kehendak hawa nafsunya, sama ada dengan mengahwininya atau dijadikan sebagai hamba atau gundik.

Begitu juga dengan permainan at-tajzi’ah, yang biasanya melibatkan sepuluh orang lelaki sebagai pemain. Jika hendak dibandingkan dengan permainan yang ada masa kini ia adalah sama seperti permainan daun terup. Permainan tersebut menggunakan potongan-potongan kayu yang dipanggil al-azlâm atau al-aqlâm sebanyak sepuluh batang. Setiap potongan itu akan diberi jumlah markah atau bahagian. Tiga daripadanya berjumlah kosong markah dan tujuh potongan yang selebihnya itu mempunyai jumlah markah tertentu, daripada satu markah hinggalah yang ketujuh markah. Jumlah keseluruhan daripada sepuluh potongan kayu itu mempunyai 28 markah. Sebagai taruhannya ialah seekor unta yang dipotong menjadi 28 bahagian sesuai dengan jumlah markah tersebut.

Kesemua potongan kayu itu dimasukkan ke dalam karung atau peti lalu digoncang oleh seseorang yang dipercayai dan dia akan mengeluarkannya satu persatu kepada peserta. Maka peserta yang mendapat potongan yang tiada markah diiktiraf kalah dan tidak menerima bahagian daging unta, malahan dikehendaki membayar harga unta tersebut. Manakala peserta yang lain pula mengambil bahagian daging unta tersebut mengikut jumlah markah yang diperolehinya, lalu membahagikan kesemua daging itu kepada orang miskin. Mereka yang menang saling membanggakan diri dan mengejek-ejek peserta yang kalah hingga melibatkan kabilah masing-masing. Tindakan mereka itu selalunya berakhir dengan perselisihan dan perkelahian yang membawa kepada pembunuhan dan peperangan. (Al-Qurthubi: 3/58)

Sebab itu, Islam dengan tegas melarang perbuatan judi itu kerana menghalang manusia daripada permusuhan dan berbenci-bencian sesama sendiri. Perbuatan judi itu juga menghalang manusia daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Daripada penjelasan-penjelasan di atas dapat difahami bahawa antara keburukan dan kemudaratan perbuatan judi itu ialah mendorong dan menjadikan seseorang itu bersifat malas iaitu dengan hanya menanti kelebihan atau rezeki yang datang daripada hasil perjudian. Ia juga melalaikan, membuang masa dan mendorong seseorang meninggal dan mengabaikan kerja-kerja berkebajikan seperti berniaga, bertani dan sebagainya. Perbuatan judi itu juga boleh menjadikan seseorang itu miskin dan papa sehingga harta benda seperti rumah, tanah, barang kemas, isteri, anak-anak dan wang simpanan tergadai. Apa yang lebih mendukacitakan ialah hilangnya maruah isteri dan anak perempuan yang terpaksa menjadi penampal hutang-hutang mereka.

Permainan-Permainan Dalam Fun Fair

Fun fair berasal daripada perkataan Inggeris dan menurut Kamus Dewan fun fair adalah pesta ria.

Sebagaimana biasanya fun fair dibuat di suatu lokasi atau tempat untuk bersuka ria. Selain daripada menyediakan gerai jualan barang-barang, ada juga disediakan pelbagai jenis hiburan dan permainan yang menawarkan hadiah-hadiah istimewa seperti rantai emas, jam dan sebagainya. Ia disediakan mengikut syarat-syarat yang telah diaturkan.

Kebiasaannya, di antara permainan-permainan yang disediakan termasuklah membaling gelang besi ke sasarannya. Untuk menyertai permainan ini, pelanggan terlebih dahulu dikehendaki membeli gelang besi tersebut. Cara permainannya, gelang akan dibaling ke sasarannya, jika masuk pada sasarannya, maka si penjual akan memberikan hadiah. Antara hadiah-hadiah yang disediakan ialah berupa anak patung atau lain-lain. Manakala pelanggan yang tiada satupun daripada gelang besi yang dibeli itu menepati sasarannya maka tiadalah hadiah yang diberikan.

Antara jenis permainan yang diadakan lagi ialah seperti memancing kepingan papan di atas air. Kepingan papan berkenaan diukir menjadi berbagai bentuk. Di belakang kepingan papan tersebut tertulis jumlah markah seperti 100, 200 atau kosong. Sebelum itu pelanggan diberitahu agar memancing ukiran papan itu sebanyak mungkin untuk mengumpul jumlah markah daripada ukiran papan tersebut. Biasanya pelanggan akan dikenakan bayaran bagi setiap ukiran papan yang dipancingnya. Sesudah pelanggan memancing ukiran papan tersebut dan membayar setiap satu ukiran yang diperolehi baharulah penjual itu menjumlahkan markah yang diperolehi pelanggan, kemudian memberi hadiah yang ditentukan mengikut kadar jumlah markah tersebut. Jika markah pelanggan itu tinggi, maka mahal dan istimewalah hadiah yang diberikan.Tetapi jika tidak mencapai pada markah yang sudah ditentukan itu maka tiadalah hadiah yang diberikan kepadanya. Cara permainan ini adalah sama dengan permainan di zaman Jahiliah iaitu at-tazji‘ah.

Ada juga permainan dengan cara memasukkan duit syiling di dalam bekas yang dipenuhi dengan duit syiling yang lain. Apabila duit yang dimasukkan itu terkena pada sesuatu tempat yang menyebabkan terjatuhnya sebilangan kumpulan duit, maka berjayalah pelanggan itu untuk mendapatkan duit syiling yang banyak dari bekas tersebut.

Begitulah di antara jenis dan corak permainan yang terdapat di dalam fun fair tersebut mengikut syarat-syarat yang ditentukan. Walau bagaimanapun tidak dinafikan permainan-permainan yang lebih menarik dan canggih telah direka tanpa menyusahkan si pemain, hanya dengan membeli kupon akan diketahui sama ada dia menjadi pemenang atau sebaliknya setelah diadakah undian. Permainan seperti ini dinamakan al-yanasib (judi loteri). Walaupun tidak menimbulkan permusuhan dan tidak menghalang pelakunya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala, akan tetapi perlaksanaan undian loteri itu mempunyai akibat-akibat buruk seperti juga pada jenis judi yang lain. Akibat-akibat buruk yang dimaksudkan ialah kenyataannya ia merupakan salah satu cara untuk mendapatkan harta orang lain secara tidak sah. Cara-cara seperti ini diharamkan oleh syara‘. (Ensiklopedia Hukum Islam: 3/1055)

Berdasarkan kepada contoh-contoh permainan yang disebutkan di atas, adalah jelas ia merupakan permainan-permainan yang mempunyai unsur pertaruhan dan mengadu nasib.

Jika dibandingkan dengan pengertian judi dan unsur-unsur yang ada pada judi sepertimana yang disebutkan sebelum ini, maka permainan-permainan seperti di atas adalah termasuk dalam kategori judi kerana ia mempunyai unsur-unsur yang sama.

Dari itu, hendaklah diingat bahawa mana-mana permainan yang mempunyai unsur pertaruhan, mengadu nasib atau salah satu pihak akan menerima kerugian adalah judi.

Walau bagaimanapun tidak semua yang berbentuk permainan atau perlumbaan itu termasuk dalam kategori judi, seperti seseorang yang berkata kepada teman-temannya yang diajak bertanding dalam suatu perlumbaan: “Jika kamu boleh mengalahkan saya, saya akan memberimu hadiah. Sebaliknya jika kamu kalah tidak ada kewajipan apa pun atas kamu untuk saya”. Kriteria seumpama ini telah disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Harits bahawa Rukanah, salah seorang kafir Quraisy, pernah mengajak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengikuti permainan beradu tenaga seperti gusti. Dia menawarkan beberapa ekor kambing jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menang. Dalam perlawanan itu, ternyata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menang. (Bazl Al-Majhûd: 16/402)

Sayugia diingatkan bahawa permainan-permainan seumpama itu, sebenarnya sangat melalaikan bahkan tanpa disedari membawa kepada pembaziran wang.

Maka, jelas bahawa yang haram itu wajib dijauhi dalam segala hal dan keadaan, wajib memelihara diri daripadanya dengan apa cara sekalipun. Dalam keghairahan mencari harta dengan jalan berniaga atau lain-lain sumber pencarian, adalah wajib kita berhati-hati daripada terjebak kepada perkara-perkara yang tidak sah dalam jual beli, apa lagi jika ia membawa kepada yang haram.

JANJI DAN KEDUDUKAN LAFAZ ‘INSYA’ ALLAH’

Islam adalah agama yang cukup prihatin terhadap budi pekerti dan tingkah laku umatnya. Kebaikan dan kecantikan tingkah laku yang diamalkan oleh umat Islam, bukan sahaja boleh menyebabkan umat Islam berada dalam keadaan aman dan damai, malah menjadi model atau contoh yang baik kepada penganut agama lain. Keindahan yang wujud dalam Islam dari berbagai aspek itu, telah mendorong ramai orang bukan Islam memeluk Islam.

Dari aspek hubungan sesama manusia umpamanya, Allah menjelaskan di dalam Al-Qur’an bagaimana menjaga kesejahteraan masyarakat dan individu termasuk menjaga pertalian antara satu sama lain. Demi menjaga kesejahteraan, maka membuat sebarang janji hendaklah ditepati. Menepati janji itu adalah tuntutan syara‘, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (Surah Al-Isrâ’: 34)

Ayat ini memperingatkan bahawa hidup manusia di dunia ini selalu terikat dengan janji. Oleh kerana itu, janganlah kita mudah membuat janji, lebih-lebih lagi jika janji itu dijangka sukar untuk ditepati atau dipenuhi.

Pendidikan memenuhi janji itu boleh kita dapati daripada amalan-amalan berbagai ibadat yang kita lakukan, umpamanya sembahyang yang kita tunaikan dalam waktunya. Lebih-lebih lagi jika dilakukan di awal waktunya adalah suatu janji. Ini janji kita dengan Allah. Kalau kita telah biasa memenuhi janji dengan Allah, nescaya kita boleh mendisiplinkan diri meneguhi janji dengan sesama manusia, kerana setiap perjanjian itu akan ditanya dan dipertanggungjawabkan.

Kekuatan kita antara lain diasaskan dengan berpegang teguh dengan tali Allah dan tali manusia. Tali dengan sesama manusia itu janji. Oleh kerana itu melepaskan ikatan daripada kedua-dua tali ini, akibatnya akan ditimpakan kehinaan di mana saja kita berada. Inilah peringatan Allah di dalam firmanNya:

Tafsirnya: Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab daripada Allah dan adanya sebab daripada manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah). (Surah Âli ‘Imran: 112)

Bahkan antara sifat mengerjakan kebajikan itu ialah orang- orang yang menyempurnakan janjinya apabila berjanji dan mereka itu adalah orang-orang yang bertaqwa. Sifat ini adalah urutan daripada sifat al-birr (kebajikan) di mana sebelumnya disebut perkara kebajikan itu hanya menghadapkan muka kamu ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, Hari Akhirat, segala malaikat, segala kitab-kitab, sekalian nabi-nabi: dan mendermanya seseorang akan hartanya (sedang ia menyayanginya) kepada keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, kepada orang yang meminta (bantuan) dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjakan seseorang akan sembahyang dan mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabîl. Orang-orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa. (Surah Al-Baqarah: 177)

Ini bererti bahawa orang Islam mestilah menyempurnakan janji-janjinya. Sebaliknya mungkir janji atau sengaja tidak mahu menyempurnakan janjinya, orang sedemikian tergolong dalam golongan orang-orang munâfiq. Hal orang munâfiq ini telah ditegaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Dari tanda-tanda orang munâfiq itu ada tiga iaitu jika dia bercakap dia berbohong dan jika dia berjanji dia mengingkari janji dan jika diamanahkan dia khianat. (Hadis riwayat Muslim)

Munâfiq juga adalah satu sifat yang sangat keji dan balasannya pula amat berat. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subahnahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang munâfiq itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali daripada (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapapun yang boleh menolong mereka. (Surah An-Nisâ’: 145)

Demikian, keburukan orang-orang yang sengaja mungkir janji sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Walau bagaimanapun, orang yang berjanji dan dia berazam akan menyempurnakan janjinya, tetapi terhalang oleh suatu keuzuran yang menyebabkan janji tersebut tidak mampu disempurnakan, maka tidaklah dia termasuk dalam golongan munâfiq itu.

Adab-Adab Berjanji

Sebagai agama yang syumûl (menyeluruh), Islam telah mengaturkan bagi umatnya adab-adab dalam berjanji. Antara adab-adab yang perlu diikuti itu ialah mngucapkan lafaz ‘insyâ’ Allah” apabila berjanji. Suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, besok pagi” melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata) “Insya Allah” (jika dikehendaki Allah)”. (Surah Al-Kahf: 23-24)

Ayat yang disebutkan di atas turun ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya oleh orang Quraisy tentang roh, Ashhâb Al-Kahf dan Dzu Al-Qarnain. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berjanji akan menjawabnya pada keesokan harinya (dengan janji secara pasti) dan mengharapkan Malaikat Jibril akan datang membawa wahyu. Walau bagaimanapun, Jibril tidak datang sehingga lima belas hari lamanya. Kekesalan Baginda menantikan sehingga lima belas hari itu dapatlah difahami sebagai pengajaran supaya tidak mengikat janji secara pasti, tetapi hendaklah mengatakan ‘insyâ’ Allah’, kerana kekuasaan yang tertinggi adalah di tangan Allah. Hal tersebut memberatkan Rasulullah dan menyebabkan Baginda dituduh sebagai pembohong oleh orang-orang Quraisy. (Al-Qurthubi: 10/385, Ar-Râzi: 21/92)

Maka Allah Ta‘ala dengan jelas menurunkan ayat ini sebagai petunjuk kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan umatnya supaya menyerahkan segala perkara kepada Allah, terutama apabila hendak melakukan sesuatu pada masa yang akan datang, dengan disertakan perkataan ‘insyâ’ Allah’ (jika dikehendaki Allah). Kerana Allah jualah yang mengetahui apa yang akan berlaku selepas itu dan Dialah yang berkuasa mengizinkan atau menghalangnya.

Sehubungan dengan itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil dengan penuh perhatian mengenainya sehingga suruhan melakukan sesuatu dengan menyatakan pengakuan ‘insyâ’ Allah’ itu ditekankan oleh Baginda sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Nabi Sulaiman bin Daud ‘Alaihimassalam berkata: “Demi sesungguhnya, aku akan mendatangi pada malam ini semua isteri-isteriku seramai seratus orang di mana masing-masing daripada mereka itu akan melahirkan seorang anak laki-laki yang menyertai jihâd di jalan Allah”. Lalu malaikat berkata kepadanya: “Katakanlah: “Insyâ’ Allah”, namun Sulaiman tidak mengatakannya kerana lupa, lalu dia mendatangi isteri-isterinya dan tidaklah lahir daripada mereka kecuali salah seorang isterinya yang melahirkan separuh manusia. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Andainya dia berkata: “Insya Allah”, tentulah dia tidak melanggar sumpahnya dan itu akan lebih mendatangkan harapan bagi hajatnya. (Hadis riwayat Bukhari)

Hadis ini memberi pengajaran kepada kita bahawa dengan menyertakan perkataan ‘insyâ’ Allah’ ketika berjanji itu boleh menyelamatkan orang yang berjanji daripada termasuk ke dalam golongan orang-orang yang memungkiri atau mengingkari janji.

Soalnya apakah ucapan ‘insyâ’ Allah’ itu dii‘tibârkan sebagai janji yang mesti dipenuhi mengikut hukum syara‘?

Kebiasaan sebahagian orang didapati apabila membuat janji akan mengatakan ‘insyâ’ Allah’ dengan tujuan tidak memberati apa yang dijanjikan itu atau dengan kata lain lafaz ‘insyâ’ Allah’ itu diucapkan sebagai alasan untuk tidak memenuhi janji tersebut. Sifat sedemikian adalah bertentangan dengan kehendak sebenar hukum syara‘.

Perlu difahami bahawa janji adalah wajib ditepati, manakala ucapan ‘insyâ’ Allah’ itu adalah suruhan Allah dan RasulNya ketika berjanji, sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sahallallahu ‘alaihi wasallam. Maka di sini ada dua perkara yang berasingan dan saling berhubung kait di antara satu sama lain iaitu, kewajipan menunaikan janji dan suruhan ucapan dengan lafaz ‘insyâ’ Allah’ ketika melakukan janji.

Ini bererti ucapan ‘insyâ’ Allah’ itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji yang dibuat dengan berserah kepada kuasa Allah semata-mata. Bahkan perkataan ‘insyâ’ Allah’ itu hendaklah disertai dengan azam untuk menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang munâfiq.

Walau bagaimanapun menyebut perkataan ‘insyâ’ Allah’ dengan azam untuk melakukan sesuatu itu adalah lebih menepati kehendak agama Islam, kerana kita pasti bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu itu kecuali dengan izin Allah jua. Al-Qur’an juga mengajar umatnya apabila terlupa menyebut lafaz ‘insyâ’ Allah’ ketika itu hendaklah kita menyebutnya sebaik-baik sahaja teringat. Hal ini diperintahkan oleh Allah Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan ingatlah serta sebutkanlah akan Tuhanmu jika engkau lupa. (Surah Al-Kahf: 24)

Daripada apa yang telah dijelaskan di atas dapat diambil pengajaran bahawa menyebut lafaz ‘insyâ’ Allah’ di samping usaha menyempurnakan mana-mana janji itu adalah suatu tuntutan agama Islam. Dengan melakukannya kita terhindar daripada sifat-sifat orang munâfiq.

KELEBIHAN DAN CARA MENCAPAI KESEMPURNAAN PUASA RAMADHAN

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya. Ia juga menjadi penghulu segala bulan.

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan kitab suciNya (Al-Qur’an) yang menjadi petunjuk bagi manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Surah Al-Baqarah: 185)

Di malam Ramadhan dipilih di antara malam-malamnya suatu Lailatulqadar yang mana ia lebih baik dan lebih utama dari seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan khasnya malam-malam pelikurannya dengan perkara-perkara yang tidak memberi faedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham keuntungan di dunia dan akhirat.

Lain-lain keistimewaan bulan Ramadhan itu sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar. (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga. (Shahîh Ibnu Khuzaimah)

Sementara kesabaran itu pula ganjaran pahala tanpa perhitungan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (Surah Az-Zumar: 10)

Apabila bercakap mengenai bulan Ramadhan dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa di dalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan saja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dengan apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun ia berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup. (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Adapun kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar shadiq hingga terbenam matahari bahkan hendaklah juga menahan anggota badannya daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membawa dosa, kerana dosa itu boleh melupuskan matlamat puasa. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi peringatan sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga. (Ditakhrîjkan oleh Ibnu Majah)

Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan- kewajipan lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan-kewajipan kebatinannya. Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan kebatinan puasa itu antara lain seperti berikut:

i. Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati serta melalaikannya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

ii. Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria.

iii. Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya:

Tafsirnya: Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram. (Surah Al-Mâ’idah: 42)

iv. Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa dan daripada segala yang dibenci. Demikian juga menahan perut daripada makan makanan yang syubhah sewaktu berbuka puasa kerana apalah gunanya berpuasa daripada makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu).

v. Janganlah dia membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah dan melawan syahwat, kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya, sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkanlah pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya.

Sebagaimana yang termaklum, bahawa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan dan dihidangkan pula dengan berbagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibuang, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan, sebagai cara-cara untuk menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tiada dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hati dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka dia terlindung daripada kerajaan langit.

vi. Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana dia tidak mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sehingga tergolonglah dia ke dalam puak muqarrabîn (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Oleh kerana itu apabila puasa itu dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat-syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membawa dosa, jika ditambah lagi dengan hatinya yang berpuasa daripada perkara-perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang-orang yang taqwa sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang- orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Surah Al-Baqarah: 183)

Di antara huraian atau maksud “supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa” ialah: Orang-orang yang beriman dilarang makan dan minum dan dilarang bersetubuh ketika berpuasa, ialah kerana terdapat hikmah dan faedah yang besar dalam larangan itu. Yang pertama ialah latihan mengendalikan diri. Kalau di sepanjang waktu umat Islam dilarang memakan makanan yang haram, tetapi ketika berpuasa makanan yang halal pun dilarang. Orang yang beriman akan dapat menahan nafsunya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Walaupun dia hidup terpencil seorang diri, jauh daripada pandangan manusia atau tidak seorang pun manusia melihatnya, namun dia akan tetap berpuasa, sebab dia meyakini bahawa Allah sentiasa melihatnya. Sikap demikian dapat mendidik irâdah serta mengendalikan kemahuannya dan dapat juga mengekang nafsunya. Ada dua syahwat yang sangat mempengaruhi hidup, iaitu syahwat farj (kelamin) dan syahwat perut. Kalau kedua-duanya ini tidak terkendali, maka kemanusiaan manusia menjadi runtuh dan turun bertukar menjadi kebinatangan. Tetapi apabila dapat dikendalikan khususnya dengan berpuasa, kemanusiaan tadi akan naik tingkatnya ke tingkat ketaqwaan.

Mudah-mudahan kelebihan puasa sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi. Allah ‘Azza wa Jalla berkata: “Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumnya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri.” (Hadis riwayat Ahmad)

akan mendorong seseorang itu untuk menghidupkan Ramadhan supaya tercapai pula keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu. (Hadis riwayat Bukhari)

BEBERAPA PERMASALAHAN PUASA RAMADHAN

Puasa bulan Ramadhan adalah di antara ibadat-ibadat yang disyariatkan kepada umat Islam yang mempunyai berbagai hikmat dan kemashlahatan, baik dari segi rohani dan jasmani mahupun dari segi kemasyarakatan.

Bulan Ramadhan juga merupakan tetamu agung umat Islam, bulan yang membawa keampunan, rahmat, kebajikan dan berkat. Kita patut merebut peluang yang ada dan mendapatkan kelebihan setiap ibadat yang dilakukan di dalamnya. Di samping itu juga kita hendaklah mempersiapkan diri dengan hukum-hakam puasa Ramadhan yang dituntut di dalam syara‘, seperti memperdalami pengetahuan terhadap rukun-rukun dan perkara-perkara yang boleh merosak atau membatalkan puasa. Antara beberapa permasalahan penting yang kita perlu ketahui dengan lebih mantap ialah:

i. Bagaimana Melaksanakan Niat Puasa

Bila membincangkan soal ibadat, perkara yang penting diambil perhatian ialah niat. Tanpa niat ia tidak akan menjadi ibadat yang sah. Inilah yang dimakskudkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Sesungguhnya amal perbuatan itu hanyalah dengan niat. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Niat adalah salah satu daripada tiga rukun puasa. Ia diwajibkan sama ada puasa itu puasa wajib atau puasa sunat. Jika orang yang berpuasa itu meninggalkan niat puasa walaupun dia tidak mengetahui (jahil), maka puasa itu tidak sah.

Menurut Al-Imam As-Suyuthi di dalam kitabnya, niat itu tempatnya di hati (Al- Asybâh wa An-Nazhâ’ir: 23). Manakala menurut pengarang Hâsyiyah I‘ânah Ath- Thâlibîn, sunat dilafazkan niat itu dengan lidah bagi membantu hati seperti mana niat ibadat-ibadat yang lain.

Berdasarkan hadis di atas, kita dapat memahami bahawa puasa itu mesti ada niat yang khusus. Tidak memadai niat puasa itu dengan hanya makan sahur kerana mengelakkan lapar atau lemah ketika berpuasa. Niat puasa itu juga tidak memadai dengan hanya menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa kerana takut kedatangan fajar di mana orang berpuasa tidak dibenarkan melakukannya. Dari itu perbuatan seperti di atas hendaklah disertai dengan niat untuk mengerjakan puasa atau paling tidak ada lintasan di hati untuk berpuasa. (I‘ânah Ath-Thâlibîn: 2/248-249)

Menurut Ibnu Katsir keadaan puasa orang-orang yang terdahulu (ahli kitab), jika belum sampai waktu berbuka mereka boleh makan dan minum sehingga terbit fajar selama mana seseorang itu belum tidur. Ini berbeza dengan keadaan puasa orang Islam di mana mereka boleh makan dan minum termasuklah menggauli isteri sebelum terbit fajar sekalipun sesudah tidur. Puasa tidak batal dengan melakukan perkara-perkara tersebut. Begitu juga dengan niat puasa. Niat itu tidak akan terbatal dengan melakukan perkara-perkara di atas dan kita tidak perlu memperbaharui niat berkenaan.

Manakala perempuan haidh atau nifas yang berniat selepas terbenam matahari ketika belum kering darahnya untuk berpuasa keesokan harinya, lalu darahnya kering sebelum terbit fajar maka sah puasanya dengan niatnya itu dan tidak perlu memperbaharui niatnya, walaupun perempuan itu belum mandi hadas selepas terbit fajar.

Begitulah juga bagi seseorang yang melakukan persetubuhan di malam hari puasa, apabila dia berniat di malam itu dan belum mandi junub (hadas besar) di siang hari, adalah sah puasa dengan niatnya itu.

Waktu berniat puasa Ramadhan itu ialah setelah terbenam matahari dan sebelum terbit fajar shâdiq. Jika niat itu dilakukan setelah terbit fajar atau sebaya dengan terbit fajar puasa adalah tidak sah. Inilah yang dikatakan oleh para ulama bahawa niat itu mesti di waktu malam (tabyît), sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar shâdiq maka tidak ada puasa baginya. (Hadis riwayat Baihaqi dan Ad-Daraquthni)

Manakala bagi puasa-puasa sunat pula, masa berniat itu ialah ketika mulai terbenam matahari hingga sebelum tergelincir matahari pada hari berikutnya selagi dia belum melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar shâdiq pada hari tersebut, sebagaimana di dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Bersabda Rasullullah kepadaku pada satu hari: “Wahai ‘Aisyah, adakah di sisi kamu sesuatu (untuk dimakan)?” Maka aku (‘Aisyah) berkata: “Wahai Rasullullah tidak ada di sisi kita sesuatupun (untuk dimakan).” Berkata (Rasullullah): “Maka (kalau begitu) sesungguhnya aku seorang yang berpuasa.” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun sekurang-kurang lafaz niat puasa Ramadhan itu ialah:

Ertinya: Sahaja aku puasa Ramadhan.

Manakala niat yang lengkap pula ialah:

Ertinya: Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.

Niat puasa itu wajib dilakukan pada tiap-tiap malam di dalam hati dan sunat dilafazkan, kerana ibadat puasa itu adalah ibadat berasingan yang masuk waktunya dengan terbit fajar shâdiq dan keluar waktunya dengan terbenam matahari. Ia dikira sehari sehari. Apabila rosak satu hari puasa itu, ia tidak merosakkan puasa yang terdahulu dan yang terkemudian.

Berniat pada tiap-tiap malam ini khusus bagi puasa wajib sahaja, iaitu puasa bulan Ramadhan, nazar, kaffârah, qadha dan fidyah haji. Masa berniat itu mulai terbenam matahari hinggalah sebelum terbit fajar shâdiq.

Di samping kita wajib berniat pada tiap-tiap hari, kita juga digalakkan untuk berniat dengan niat satu bulan penuh, itupun hanya di awal bulan Ramadhan sahaja. Tujuannya ialah untuk berjaga-jaga kalau-kalau kita terlupa berniat pada malam-malam berikutnya dengan bertaqlîd kepada mazhab Imam Malik. Maka dengan adanya niat sebulan itu akan menampung niat pada hari yang kita lupa itu. Akan tetapi niat tersebut tidak akan dikira niat sebulan jika ia diniatkan setelah berlalu satu Ramadhan. Contohnya orang yang berpuasa itu berniat dengan niat puasa sebulan pada hari kedua puasa, maka niat tersebut tidak sah.

Maka dalam hal ini, perkara penting yang mesti kita ambil perhatian ialah kita wajib berniat puasa pada tiap-tiap malam, dan sebaiknya kita juga berniat puasa sebulan pada permulaan Ramadhan sebagai langkah berjaga-jaga kalau-kalau ada hari kita terlupa berniat.

Ini bererti niat pada tiap-tiap malam itu tidak boleh kita tinggalkan dengan senghaja kerana beralasan bahawa kita sudah berniat puasa sebulan. Adalah tidak memadai dan tidak sah puasa selain puasa hari pertama Ramadhan jika ia dikerjakan dengan hanya berniat satu bulan sahaja tanpa disertai dengan niat puasa setiap hari.

Lafaz niat sebulan puasa itu ialah:

Ertinya: Sahaja aku puasa bulan Ramadhan seluruhnya pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.

ii. Wajib Menahan Diri (Imsâk)

Apabila masuknya bulan Ramadhan masih terdengar di media- media elektronik seperti radio dan televisyen yang menyiarkan berita tentang orang Islam yang didenda oleh mahkamah kadhi kerana tidak berpuasa dan makan atau minum di khalayak ramai. Fenomena ini menggambarkan bahawa masih ada sebilangan kecil daripada masyarakat kita yang tidak menghiraukan kewajipan berpuasa, sedangkan ketika itu dia mukallaf dan tiada sesuatu yang menghalangnya daripada berpuasa.

Ada pula di antara mereka yang senghaja berbuat demikian malahan berbangga-bangga dengan tidak berpuasa, seolah-olah kewajipan itu tidak ada bagi mereka. Perbuatan ini wajib kita perbetulkan daripada terus berleluasa.

Menurut ketentuan hukum syara‘, orang-orang yang meninggalkan puasa dengan senghaja itu sangat berat seksaannya. Perbuatan tersebut termasuk dalam kategori dosa besar malahan menjadi kerugian yang tidak boleh ditukar ganti sebagaimana digambarkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup. (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Maksudnya: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat pintu yang disebut Rayyan, yang mana pada Hari Qiamat orang-orang yang berpuasa masuk ke syurga daripadanya. Dikatakan: “Di manakah orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka berdiri, tidak ada seorang pun selain mereka yang masuk daripadanya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup, sehingga tidak ada seorang pun yang masuk daripadanya. (Hadis Muttafaq ‘Alaih)

Hadis di atas menerangkan bahawa orang-orang yang berpuasa itu akan diberi keistimewaan khas di mana mereka berhak untuk masuk syurga melalui pintu Al- Rayyan. Amat rugilah orang-orang yang tidak mengerjakan ibadah puasa itu kerana tiada hak untuk masuk syurga melalui pintu tersebut.

Apa yang lebih dikhuatiri ialah orang-orang yang tidak berpuasa itu beranggapan bahawa puasa itu tidak perlu dikerjakan kerana ia hanya suatu budaya yang menyeksa manusia. Menurut ijmâ‘ ulama, sesiapa yang mengingkari fardhu puasa Ramadhan atau merasa ragu-ragu akan fardhunya maka dia adalah terkeluar daripada agama Islam iaitu murtad, wal‘iyadzubillah.

Daripada hadis-hadis dan ijmâ‘ ulama yang disebutkan di atas, jelas kepada kita bahawa terdapat ancaman dan peringatan kepada mereka yang mengabaikan puasa bulan Ramadhan. Oleh itu janganlah kita mengambil ringan akan perkara ini dengan mengabaikan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana azab Allah Subhanahu wa Ta‘ala amat pedih.

Membincangkan tentang orang yang berbuka puasa tanpa keuzuran ini selain daripada menerima ancaman dan balasan seperti yang disebutkan di atas, mereka ini juga dipertanggungjawabkan untuk memenuhi kehendak hukum-hukum syara‘ yang diwajibkan ke atas mereka. Antaranya ialah menahan diri (imsâk) daripada perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa.

Menurut para fuqahâ’, orang-orang yang berbuka puasa dengan senghaja tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh hukum syara‘ itu wajib imsâk iaitu menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Imsâk juga diwajibkan ke atas orang yang berbuka puasa Ramadhan bukan disebabkan keuzuran seperti orang yang lupa berniat atau makan di waktu yang disangkakannya masih belum terbit fajar sedangkan ketika itu fajar sudah terbit. Diwajibkan ke atas mereka imsâk kerana menghormati waktu puasa.

Manakala bagi orang yang berbuka puasa disebabkan keuzurannya seperti orang yang sakit apabila dia sembuh dan orang yang musafir apabila dia sampai ke tempat kediamannya pada waktu siang Ramadhan, hukum imsâk atau menahan diri itu adalah sunat.

Sunat imsâk bagi orang yang gila bila dia sedar, orang kafir apabila masuk Islam, kanak-kanak apabila dia baligh dan perempuan yang haidh atau nifas apabila dia bersih di siang hari Ramadhan.

Menurut pengarang Hâsyiyah I‘ânah Ath-Thâlibin terdapat dua kaedah mengenai perkara imsâk ini. Kaedah yang pertama ialah bahawa setiap orang yang diharuskan baginya berbuka puasa dan dia mengetahui akan hakikat hari itu maka tidak diwajibkan baginya imsâk bahkan disunatkan sahaja. Kaedah yang kedua iaitu bagi orang yang tidak diharuskan berbuka puasa dan dia mengetahui akan hakikat hari itu maka diwajibkan baginya imsâk.

Demikianlah ketentuan hukum yang perlu kita fahami tentang kewajipan mengerjakan ibadah puasa dan hukum yang berkaitan dengannya. Semoga dengan mengetahui hukum-hukum tersebut akan menambahkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

iii. Perempuan Hamil Dan Yang Menyusukan Anak

Fungsi ibadah yang disyariatkan kepada manusia itu ialah untuk mengukur dan membuktikan ketaatan seorang hamba kepada Tuhannya. Selain itu ia juga berperanan sebagai jalan yang menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, tidak kira ibadah itu wajib ataupun sunat. Perkara ini dijelaskan dalam firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal salih, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga ‘adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah redha akan mereka dan mereka pun redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang- orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. (Surah Al-Baiyinah: 7-8)

Adalah salah pendapat yang mendakwa bahawa ibadah-ibadah seperti sembahyang, puasa, haji, zakat dan sebagainya itu sebagai suatu bebanan yang menyeksa manusia. Tuduhan ini dengan tegas ditolak oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (Surah Al-Hajj: 78)

Kita telahpun diajar tentang tahap (darajah) hukum-hukum ibadah yang disyariatkan itu dan apa yang perlu diambil penuh perhatian ialah ibadah-ibadah yang wajib. Ibadah seumpama ini jika kita tinggalkan tanpa keuzuran akan menyebabkan kita berdosa.

Walaupun demikian, Islam sebagai agama yang mulia dan diperakukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala telahpun menggariskan tentang kewajipan manusia dalam melaksanakan ibadah-ibadah wajib itu. Sekalipun sesuatu ibadah itu wajib dilaksanakan, namun tahap kewajipan melaksanakannya adalah mengikut kadar yang termampu oleh manusia. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah Al-Baqarah: 286)

Ayat di atas juga dengan jelasnya menerangkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu bersifat Rahîm iaitu amat Pengasihani. Begitulah cantiknya syariat Islam itu. Walaupun demikian hakikatnya, tidak bererti kita bersikap cuai atau mengambil ringan tentang hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Islam. Kecuaian atau sikap mengambil ringan soal hukum-hukum Islam boleh membawa kepada berleluasanya perkara mungkar dan maksiat yang akhirnya meleburkan iman dan taqwa manusia.

Berbalik kepada kelonggaran atau keringanan yang diberikan oleh syariat Islam itu, maka bagaimanakah hukum dan kewajipan berpuasa terhadap perempuan hamil atau menyusukan anak?

Seperti yang kita jelaskan sebelum ini puasa itu wajib ke atas orang-orang Islam yang mukallaf. Ini bererti perempuan yang hamil atau perempuan yang menyusukan anak itu termasuk di bawah hukum di atas. Hamil itu boleh terjadi atas jalan pernikahan dan tanpa pernikahan. Menyusukan anak pula, boleh terjadi kerana menyusukan anak sendiri atau anak orang lain. Perempuan yang menyusukan anak ini disebut dalam bahasa Arab sebagai murdhi‘.

Menurut hukum syara‘ perempuan yang hamil sekalipun hasil daripada perzinaan dan perempuan yang menyusukan anak damit (murdhi‘) walaupun anak damit itu kepunyaan orang lain disebabkan menderma atau diupah, adalah diharuskan bagi mereka untuk berbuka puasa semata-mata kerana dua perkara tersebut.

Sekalipun demikian, persoalan lain yang timbul, apakah hukum yang berbangkit dari berbuka puasa itu? Adakah diwajibkan ke atas mereka qadha atau lain hukum mengenainya?

Dalam hal ini para fuqahâ’ telah merumuskan hukum-hukum mengenainya. Rumusan hukum dan perbincangan mereka lebih tertumpu kepada perkara-perkara yang menyebabkan mereka berbuka puasa.

Jika mereka berbuka puasa kerana takut akan kemudaratan kepada anak dalam kandungan atau anak yang disusukan itu sahaja, maka wajib ke atas mereka membayar fidyah dan juga qadha pada tiap-tiap hari puasa yang ditinggalkannya itu.

Jika mereka berbuka puasa kerana takut akan timbul kemudaratan atas diri mereka atau kedua-duanya iaitu takut ke atas diri mereka dan anak dalam kandungan atau anak yang disusukan, maka wajib ke atas mereka mengqadha puasa yang ditinggalkan itu tanpa wajib mengeluarkan fidyah.

Jika perempuan yang hamil atau yang menyusukan anak (murdhi‘) itu sedang dalam musafir ataupun sakit, lalu mereka berbuka puasa dengan berniat rukhshah (kelonggaran) atas sebab musafir atau sakit, bukan kerana takut akan kemudaratan kepada anaknya, maka diwajibkan ke atas mereka mengqadha puasa itu tanpa membayar fidyah di hari-hari puasa yang ditinggalkan ketika musafir itu.

Dalam keadaan musafir atau sakit, jika perempuan hamil atau yang menyusukan anak (murdhi‘) berbuka kerana takut akan kemudaratan anaknya dan bukan berbukanya itu atas rukhshah musafir atau sakit, menurut pendapat yang ashah dia juga tidak diwajibkan membayar fidyah. Sebagaimana tidak diwajibkan membayar kaffârah kepada orang musafir yang sampai ke kediamannya ketika siang hari puasa, lalu dia melakukan persetubuhan di siang hari itu bersama isterinya yang tidak berpuasa disebabkan baru bersih daripada haidh atau nifas di siang hari itu juga. (Al-Majmû‘: 6/272 & 375)

Berkait dengan hukum ini, ingin juga dijelaskan apakah dia fidyah kerana meninggalkan puasa itu? Kepada siapakah ia diserahkan dan bagaimanakah melaksanakannya?

Fidyah ialah denda atau tebusan yang dikenakan kepada orang Islam yang melakukan beberapa kesalahan tertentu dalam ibadah. Ia juga merujuk kepada menebus ibadah (kerana uzur dan disyariatkan), dengan memberi sedekah kepada fakir miskin berupa makanan yang mengenyangkan. (Ensiklopedia Islam: 3/264)

Adapun makna fidyah dalam hal puasa ialah bayaran denda kerana tidak berpuasa Ramadhan dengan sebab-sebab tertentu atau kerana melambat-lambatkan mengqadha puasa Ramadhan sehingga masuk Ramadhan berikutnya.

Jenis fidyah itu ialah sama seperti jenis zakat fitrah iaitu makanan asasi dan yang mengenyangkan bagi sesebuah negeri seperti Negara Brunei Darussalam makanan asasinya adalah beras. Kadar yang patut dikeluarkan ialah satu mudd (secupak) iaitu kira-kira lima belas tahil beras bersamaan 566.85 gram.

Pihak yang berhak menerima fidyah itu ialah orang-orang fakir dan miskin sahaja. Fidyah itu boleh diberi dengan lebih daripada satu cupak kepada seorang miskin berlainan dengan kaffârah, kerana ia hendaklah satu cupak sahaja kepada setiap seorang miskin hingga enam puluh orang iaitu tidak boleh dua cupak untuk satu orang miskin bagi membayar kaffârah.

Membayar fidyah itu diharuskan selepas terbit fajar di hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan kerana keuzuran seperti orang yang sakit yang tiada harapan untuk sembuh, orang yang terlalu tua yang tidak berdaya untuk puasa dan perempuan yang hamil dan murdhi‘. Walau bagaimanapun diharuskan juga mengeluarkan fidyah itu sebelum terbit fajar bagi hari yang dikeluarkan fidyah itu dan diharuskan juga mengeluarkan fidyah terlebih dahulu sebelum berbuka, akan tetapi hanyalah satu fidyah sahaja di hari berbukanya itu dan tidak harus mendahuluinya bagi hari kedua dia berbuka puasa. Begitu juga tidak diharuskan membayar fidyah sebelum masuk bulan Ramadhan. (Raudah Ath-Thâlibîn: 2/385)

iv. Puasa Dalam Pelayaran

Pada kelazimannya di musim Ramadhan inilah ramai masyarakat kita mengambil kesempatan untuk membuat perjalanan jauh seperti belayar ke luar negara untuk menziarahi sanak saudara, menunaikan umrah untuk mengambil ganjaran pahalanya yang besar di bulan mubarak ini dan juga ada yang membeli belah untuk keperluan Hari Raya atau sebagainya. Tidak kurang pula mereka yang berada di luar negara khasnya para pelajar yang akan balik bercuti ke tanah air untuk sama-sama menyambut Ramadhan dan berhari raya bersama-sama kaum keluarga.

Pada dasarnya ibadah puasa itu tidak diwajibkan ke atas orang yang dalam pelayaran (musafir). Ini kerana musafir itu adalah salah satu keuzuran syar‘i yang menyebabkan beberapa kewajipan yang berbentuk ‘azimah diangkat daripada mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka) kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah Al-Baqarah: 184)

Ada juga hadis-hadis Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam yang menyatakan tentang keharusan perkara ini. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Saiyidatuna Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Sesungguhnya Hamzah bin ‘Amr Al-Aslamiy berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam: “Adakah mesti aku berpuasa di dalam musafir?” (Walhal) adalah Hamzah itu seorang yang banyak mengerjakan ibadah puasa. Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Jika engkau hendak berpuasa, berpuasalah dan jika engkau hendak berbuka, berbukalah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Walau bagaimanapun tidak semua musafir itu diberikan rukhshah berbuka puasa. Mereka yang diberikan kelonggaran itu hanya orang yang memenuhi syarat-syarat berikut:

a) Perjalanannya mestilah mencapai atau melebihi jarak yang dibolehkan mengqashar sembahyang. Iaitu jarak dari tempat ia memulakan pelayarannya ke tempat yang ditujunya itu dan mestilah tidak kurang daripada dua marhalah iaitu kira-kira lapan puluh sembilan kilometer.

b) Perjalanan itu ialah perjalanan yang diharuskan oleh hukum syara‘ bukan perjalanan yang melibatkan perkara maksiat.

Pelayaran Yang Tidak Membebankan

Adakah pelayaran yang tidak membebankan orang yang bermusafir seperti yang berlaku di zaman yang serba canggih ini boleh dianggap sebagai uzur syar‘i yang mana si musafir ini boleh mengambil rukhshah berbuka?

Mengikut apa yang telah dijelaskan oleh ayat al-Qur’an di atas bahawa musafir itu adalah merupakan satu keuzuran syar‘i tanpa memperincikan sama ada pelayaran yang dilakukan itu pelayaran yang mendatangkan beban kepayahan ataupun tidak.

Menurut apa yang telah diperjelaskan oleh Imam Asy-Syafi‘e dan ashhâbnya Rahimahullah, keharusan berbuka puasa itu lebih kepada wujudnya kepayahan sepertimana yang disebutkan:

Maksudnya: Jika dengan berpuasa akan memudharatkannya maka berbuka itu afdhal dan jika sebaliknya maka berpuasa itu lebih afdhal. (Kitab Al-Majmû‘: 6/265)

Ini bererti apa jua jenis pengangkutan yang digunakan untuk bermusafir maka dia adalah diharuskan dan berhak untuk mengambil rukhshah berbuka mengikut syarat yang telah dijelaskan. Akan tetapi berpuasa itu adalah lebih utama (afdhal) jika tidak memudaratkan dirinya sebagimana yang telah dijelaskan oleh Imam Asy- Syafi‘e dan ashhâb beliau Rahimahumullah.

Bila Diharuskan Mengambil Rukhshah Berbuka

Syarat lain yang membawa kepada keharusan berbuka ketika musafir itu ialah orang berkenaan memulakan perjalanan sebelum terbit fajar shâdiq. Maksud memulakan perjalanan di sini ialah apabila dia melewati sempadan atau perbatasan kampung tempat tinggalnya.

Jika dia melewati tempat tersebut selepas terbit fajar shâdiq maka kewajipan puasa itu dituntut ke atasnya dan tidak harus baginya berbuka kecuali ada sesuatu kesusahan yang menyebabkan dia tidak berkuasa meneruskan puasanya. Dalam keadaan ini dia diharuskan berbuka kerana tidak berkemampuan berpuasa atau khuatir akan memudaratkan dirinya bukan kerana perjalanan (safar).

Tetapi jika dia singgah di sesuatu tempat bukan dengan niat bermuqîm maka dia diharuskan berbuka, walaupun selepas terbit fajar shâdiq dia keluar untuk meneruskan perjalanannya kerana ia masih dihukumkan sebagai orang musafir.

Wajib Mengqadha Puasa Yang Ditinggalkan

Walaupun orang yang musafir itu diharuskan berbuka puasa semasa dalam pelayaran tetapi dia masih diwajibkan menqadha hari-hari puasa yang di tinggalkan itu tanpa membayar fidyah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka) kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain. (Surah Al-Baqarah: 184)

Sekiranya pelayaran itu menuju negeri yang lambat kelihatan anak bulan Ramadhan yang menyebabkan penduduk negeri tersebut terkemudian menunaikan puasa Ramadhannya daripada negeri asalnya, maka dia dikehendaki berpuasa bersama-sama dengan penduduk negeri itu menurut pendapat yang ashah sekalipun ia telah berpuasa tiga puluh hari penuh.

Begitu juga halnya jika dia membuat pelayaran menuju negeri yang lebih awal kelihatan anak bulan, apabila dia sampai di sana penduduknya telah menyambut Hari Raya, maka ketika itu dia diwajibkan berbuka (berhari raya bersama mereka) dan haram baginya berpuasa. Walaupun bilangan puasanya pada waktu mereka menyambut Hari Raya itu kurang daripada sebulan penuh pada perkiraannya.

Sekiranya jumlah puasanya sebanyak dua puluh lapan hari dia akan berhari raya pada hari yang kedua puluh sembilan mengikut negeri tersebut, tetapi dalam keadaan ini dia dikenakan mengqadha sebanyak sehari untuk mencukupkan sebulan kerana satu bulan itu sekurang-kurangnya adalah sebanyak dua puluh sembilan hari. Berlainan pula halnya jika dia sudah berpuasa sebanyak dua puluh sembilan hari maka dia tidak perlu mengqadha kerana bilangan dua puluh sembilan hari itu adalah bilangan sebulan yang paling minima. (Mughni Al- Muhtâj: 1/422-423)

Hukum Menahan Diri (Imsâk)Bagi Orang Musafir

Jika dia sampai ke negeri tempat dia hendak bermuqîm dalam keadaan dia berbuka atau tidak berpuasa maka adalah disunatkan ke atasnya imsâk iaitu menahan diri bagi menghormati waktu. Imsâk itu tidak wajib ke atasnya kerana dia berbuka atas sebab keuzuran syar‘i iaitu musafir. Walau bagaimanapun dalam mazhab Hanafi pula mewajibkan imsâk ke atasnya.

Walaupun imsâk itu hanya sunat ke atasnya tetapi jika dia makan sesuatu hendaklah bukan di khalayak orang ramai yang tidak mengetahui keuzuran itu kerana ditakuti akan menimbulkan tohmahan dan hukuman.

Jika orang yang musafir itu sampai ke tempat yang ditujunya dalam keadaan dia berpuasa maka dia mesti menyempurnakan puasanya itu. (Kitab Al-Majmû‘: 6/267 dan I‘ânah Ath-Thâlibîn: 2/269)

Waktu Berbuka Dalam Perjalanan

Menurut hukum syara‘ waktu berbuka puasa itu ialah apabila tenggelam matahari (waktu Maghrib). Soalnya bagaimana halnya jika pelayaran menggunakan kapal terbang yang pada kebisaannya matahari akan masih lagi wujud pada penglihatan penumpang walaupun ia sudah hilang (tenggelam) bagi mereka yang berada di bumi?

Dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala ada menjelaskan:

Tafsirnya: Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam (Maghrib). (Surah Al-Baqarah: 187)

Sementara itu hadis Baginda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abu Aufa Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Kami bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam satu perjalanan di bulan Ramadhan. Ketika matahari telah terbenam Baginda bersabda: “Hai Fulan! Turunlah, dan siapkan makanan kita!” Jawab orang itu: “Hari masih siang, ya Rasullullah!” Sabda Rasulullah: “Turunlah dan siapkan makanan kita!” Kata Abdullah: “Orang itu pun segera turun, lalu dia menyiapkan makanan dan menyajikannya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam, dan Baginda langsung minum. Kemudian Baginda bersabda sambil menunjuk dengan tangannya: “Apabila matahari telah terbenam di sana, dan malam telah datang di sini, maka orang puasa sudah boleh berbuka.” (Hadis Muttafaq ‘alaihi)

Maka berpandukan ayat Al-Qur’an dan hadis di atas, jika seseorang itu berpuasa lalu belayar dengan menaiki kapal terbang dan dia sedang berada di udara, waktu berbukanya ialah apabila matahari itu hilang daripada penglihatannya. Tidak sah puasanya jika dia berbuka selagi matahari ternampak olehnya walaupun negeri dari tempat dia memulakan perjalanan itu sudah tiba saatnya untuk berbuka.

Sebagaimana yang berlaku bagi mereka yang menuju ke arah Timur, maka waktu siangnya adalah pendek berbanding dengan mereka yang menuju ke arah Barat waktu siangnya adalah panjang. Oleh yang demikian apa yang diambil kira sekarang bagi orang yang berpuasa itu ialah dengan terbenamnya matahari daripada penglihatannya, walau di mana dia berada ketika itu dan bukan dikira dengan waktu tempatan yang dilaluinya atau waktu negerinya sendiri yang ditinggalkannya.

Sekiranya puasa sepanjang hari itu menyusahkannya, maka baginya terdapat kelonggaran yang mengharuskannya berbuka, sebaliknya jika tidak menyusahkan dan dia dapat menyempurnakan puasanya itu, maka yang afdhal baginya ialah menerus dan menyempurnakan puasanya itu.

MENGHAYATI IDULFITRI

Setelah umat Islam berusaha selama sebulan penuh ketika berpuasa di bulan Ramadhan, mengekang nafsu daripada melakukan perkara yang ditegah, sama ada yang haram atau yang harus dilakukan di luar puasa, sudah setentunya kita bergembira serta bersyukur dengan kedatangan 1 Syawal iaitu hari kemenangan bagi mereka yang benar-benar menghayati Ramadhan.

Sememangnya telah menjadi tradisi masyarakat kita, sambutan Idulfitri ini lebih meriah daripada sambutan hari-hari kebesaran Islam yang lain umpamanya Idul Adhha. Berlainan halnya dengan masyarakat Islam lain seperti di Timur Tengah, bagi mereka Hari Raya Adhha lebih dimeriahkan dan mendapat perhatian daripada Idulfitri.

Ketetapan awal Syawal bagi negara kita adalah berpandukan penglihatan anak bulan. Jika ia berhasil dilihat maka awal Syawal jatuh pada malam hari tersebut dan kita diharamkan berpuasa pada siang hari esok. Sebaliknya jika anak bulan Syawal tidak kelihatan maka kita wajib meneruskan puasa pada esok hari. Ketentuan ini perlu difahami oleh kaum Muslimin khasnya di negara kita. Ada segelintir masyarakat kita jika tidak kelihatan anak bulan Syawal maka mereka tidak akan berpuasa pada hari esoknya. Di antara alasan mereka ialah berpandukan negara lain yang sudah jatuh bulan Syawal. Perkara ini sebenarnya tidak tepat menurut hukum syara‘. Oleh itu ikutilah keputusan pihak berwajib di negara kita mengenai hal ini.

Idulfitri sebagai hari yang berkat dan hari yang hanya terkhusus bagi kaum Muslimin dan juga merupakan satu syiar. Maka ada cara dan adabnya yang tersendiri yang perlu diikuti sepertimana yang telah digarispandukan oleh syara‘.

Di negara kita khususnya, sebaik saja diumumkan bahawa Hari Raya telah jatuh pada malam tersebut sejurus itulah kedengaran bunyi-bunyi mercun yang dipasang bagi menyemarakkan musim perayaan ini. Pada kebiasaannya perkara ini dilakukan oleh golongan muda dan kanak-kanak. Di samping itu juga lagu-lagu hiburan yang bermacam-macam terus berkumandang diikuti dengan berbagai pesta sehingga beberapa hari untuk memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Raya.

Perkara ini adalah satu perkara yang bertentangan dengan kehendak syara‘ dan bercanggah dengan sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang perlu diperbetulkan. Sama ada sedar atau tidak, pada hakikatnya dengan melakukan perkara sedemikian kita seolah-olah meniru sesuatu kaum atau agama lain bagaimana cara mereka merayakan hari kebesaran atau perayaan mereka. Walhal umat Islam sangat dilarang daripada meniru dan mengikut-ikut itu.

Padahal di dalam Islam sudah diperjelaskan di dalam kitab-kitab fiqh bagaimana cara menyambut Hari Raya seumpama ini.

Apabila sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat, umat Islam disunatkan untuk melaungkan takbîr. Hukum sunat ini berlarutan sehinggalah imam mengangkat takbîratulihrâm untuk menunaikan sembahyang Hari Raya. Walau bagaimanapun menurut pendapat yang ashah bahawa takbir Idulfitri itu tidak disunatkan sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang. (Kitab Hâsyiyatân: 1/357) Ini berbeza dengan takbir bagi Hari Raya Adhha di mana ia disunatkan setiap kali selepas menunaikan sembahyang dan berterusan sehingga selepas menunaikan sembahyang Ashar pada hari Tasyriq yang terakhir.

Takbir pada hari ini disyariatkan bukan sahaja semata-mata untuk memeriahkan suasana Hari Raya bahkan lebih dari itu ialah merupakan lambang kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan anugerah yang dikurniakanNya dan ianya juga merupakan perkara ibadah.

Mereka yang menghidupkan malam ini akan diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana malam Idulfitri adalah di antara malam-malam yang sunat dihidup dan dita‘mîrkan selain daripada malam-malam Idul Adhha, awal Rejab dan Jumaat kerana di dalamnya adalah saat dan ketika dikabulkan doa.

Al-Syeikh Qalyubi di dalam kitab Hâsyiyatân telah menyebutkan bahawa sunat hukumnya menghidupkan malam Idulfitri dan malam Idul Adhha dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat Tasbîh. Adalah memadai menghidupkan malam ini pada sebahagian besarnya dan sekurang-kurangnya ialah dengan menunaikan sembahyang Isya’ berjemaah serta berazam untuk menunaikan sembahyang Subuh. (Kitab Hasyiyatâ Qalyubi wa Umairah: 1/359)

Pada pagi Idulfitri pula disunatkan mandi iaitu berniat kerana kedatangan Idulfitri bukannya sahaja membersihkan diri tanpa disertai niat. Perkara sunat mandi ini bersumberkan hadis yang ditakhrîjkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adhha.

Di samping itu adalah sunat memakai bau-baun yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut, memotong kuku dan menanggalkan bau yang tidak sedap. Sunat juga memakai pakaian yang paling elok daripada pakaian-pakaian yang dia ada dan yang paling afdhal ialah warna putih serta memakai serban. Perkara-perkara sunat ini hanya khusus bagi kaum lelaki. Manakala itu perempuan-perempuan cantik dan yang berkedudukan adalah makruh hukummnya bagi mereka datang ke masjid. Berbeza dengan perempuan tua mereka adalah disunatkan bersama-sama pergi ke masjid tanpa memakai haruman dan sebagainya. (Kitab Al-Raudhah 2/7)

Inilah pendapat mazhab Syafi‘e tentang perempuan pergi ke masjid. Walaupun di sana ada hadis menganjurkan perempuan untuk sama-sama hadir ke masjid di Hari Raya ini, tetapi dalam mazhab Syafi‘e anjuran itu adalah untuk perempuan-perempuan yang sudah tua.

Idulfitri yang juga sebagai menandakan tamatnya tempoh berpuasa, maka disunatkan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil. Hal ini bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al- Bukhari daripada Anas katanya:

Maksudnya: “Adapun Rasulullahu Shallallhu ‘alaihi wasallam tidak keluar (untuk bersembahyang sunat Hari Raya) pada Hari Raya Fitrah sehinggalah Baginda makan beberapa biji kurma.” (Hadis riwayat Bukhari)

Menurut riwayat daripada Anas lagi bahawa Baginda memakannya dengan bilangan yang ganjil.

Di dalam kitab Nail Al-Awthâr An-Nakha‘i ada menyatakan bahawa di antara hikmah disunatkan memakan kurma (tamar) itu ialah dengan manis buah tamar itu dapat menguatkan penglihatan yang mana telah berkurangan disebabkan puasa dan juga di antaranya boleh melembutkan hati dan ia adalah yang paling mudah daripada yang selainnya. Oleh itu sebahagian daripada at-tâbi‘în menganggap sunat berbuka dengan benda-benda yang manis seperti madu.

Sementara itu di antara hikmah memakannya dengan bilangan yang ganjil telah berkata Al-Mahlab bahawa perkara itu ialah isyarat kepada keEsaan Allah Ta‘ala dan juga adapun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya di dalam semua urusan Baginda sebagai jalan bertabarru‘ dengan demikian itu. (Fath Al- Bâri: 3/122)

Menunaikan sembahyang sunat Hari Raya pula adalah perkara yang paling penting dan utama bagi menyambut Hari Raya ini daripada perkara-perkara sunat yang lain sebagaimana yang di jelaskan oleh pengarang kitab Fath Al-Bâri. Hal ini bersandarkan kepada hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah bersembahyang. (Hadis riwayat Bukhari)

Oleh yang demkian, perlulah dipastikan agar semua orang Islam menunaikan sembahyang Idulfitri ini. Bagi mereka yang tidak berkesempatan menunaikannya di masjid atas urusan-urusan tertentu, mereka juga boleh menunaikannya secara bersendirian di rumah atau lainnya menurut mazhab di dalam kitab-kitab Syafi‘iyyah.

Hari Raya Fitrah adalah hari persaudaraan dan hari kegembiraan. Di hari ini disunatkan sesama Islam saling mengucap tahniah dengan doa-mendoakan di antara satu sama lain seperti mengucapkan:

Ertinya: Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak.

Hukum sunat mengucapkan tahniah di Hari Raya ini diperakui oleh Ibnu Hajar Rahimahullah.(Hâsyiyatân: 1/359)

Adapun maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa ini membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan.

Dengan penjelasan di atas membuktikan bahawa Hari Raya orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan hari raya orang bukan Islam apatah lagi ianya disambut sebaik sahaja selesai menunaikan ibadah puasa. Kalau orang-orang kafir berhari raya hanya sekadar untuk berhibur dan bergembira walau ada kaitan dengan unsur keagamaan, maka kita sebagai umat Islam bukan itu cara dan konsepnya. Berhibur di dalam Hari Raya orang Islam berkonsepkan ibadah sebagai melahirkan syukur kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Amat mendukacitakan kerana sebilangan umat Islam hari ini tidak faham akan konsep Hari Raya yang sebenar, lalu tidak dapat menghayatinya sehingga merayakannya seperti mana orang-orang bukan Islam berhari raya. Kalau agama lain umpamanya mempunyai lagu khas sempena Hari Raya mereka, maka kita pun memilikinya bahkan lebih daripada mereka dengan rentak dan irama yang bermacam-macam. Perkara ini sebenarnya boleh mendatangkan tanggapan negatif bagi orang-orang bukan Islam terhadap Islam. Mereka menganggap bahawa Hari Raya orang Islam tidak jauh bezanya daripada hari-hari perayaan mereka iaitu hanya sekadar melahirkan rasa gembira dan berhibur.

Selain itu, corak sambutan yang mereka lakukan itu adalah kesan daripada tidak menghayati Ramadhan sepenuhnya kerana Ramadhan adalah bulan qana‘ah yang mampu menghindarkan kita daripada sifat boros dan berlebihan di dalam menyambut Idulfitri.

Kita perlu sedar bahawa Hari Raya inilah hari menerima ganjaran bagi mereka yang benar benar beramal di bulan Ramadhan.

Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Sa‘ad bin Aus Al-Anshari daripada ayahnya Radhiallahu ‘anhu Baginda bersabda:

Maksudnya: Apabila tiba Hari Raya Fitrah berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru: “Pergilah wahai kaum muslimin menghadap Tuhan yang Pemurah yang memberikan kebajikan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan qiyâmullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati Tuhan kamu maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru: “Ketahuilah bahawasanya Tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari al- Ja‘izah (hari mendapat ganjaran). (Hadis riwayat Thabarani)

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama memperbanyak amal ibadah di hari ini dengan tidak mencampur-baurkannya dengan perkara maksiat. Seperti berziarah umpamanya, yang mana amalan berziarah ini sangat dituntut oleh Islam. Lebih- lebih lagi masyarakat kita mengambil kesempatan Hari Raya ini untuk kunjung-mengunjugi. Sayugialah jangan dicemari dengan pergaulan bebas di antara yang bukan mahram serta aktiviti yang merosakkan keimanan yang telah kita sucikan di sepanjang Ramadhan, seperti pesta tari-menari dan berkaraoke sehingga mengganggu ketenteraman jiran-jiran yang berdekatan yang mana perbuatan ini adalah amat ditegah di dalam Islam. Selain daripada itu amalan besedekah di Hari Raya ini juga merupakan tuntutan sunat di mana Baginda menganjurkan untuk bersedekah sebaik sahaja selepas menunaikan sembahyang Hari Raya.

Kesimpulannya, Hari Raya Fitrah ini adalah hari hablun minallah dan hablun minannâs iaitu hari mempererat serta memperkukuh hubungan di antara makhluk dengan Khaliq dan di antara makhluk dengan makhluk.

Maka sama-samalah kita hidupkan malam dan siang Hari Raya ini dengan perkara yang disunatkan sama ada yang langsung dijelaskan oleh hadis Baginda atau secara mafhûmnya dituntut di dalam Islam berpandukan huda (petunjuk) Rasulullah. Jika kita mengikut sunnah Baginda bererti kita mencintai Allah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Katakannlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu. (Surah Âli ‘Imran: 31)

BERTUDUNG: Fesyen Lawan Syariat

Menutup aurat merupakan kewajipan utama setiap orang Islam. Bagi kaum wanita, wajib ke atas mereka menutup seluruh badan mereka selain muka dan dua pergelangan tangan apabila berada di hadapan lelaki bukan mahram.

Ini bermakna bahagian kepala wanita termasuk rambut dan telinga adalah wajib ditutup. Antara cara yang digunakan untuk menutup aurat di bahagian tersebut adalah dengan memakai tutup kepala yang lebih dikenali sebagai tudung di kalangan masyarakat kita.

Tidak dinafikan, kebanyakan wanita di negara kita sekarang menunjukkan kesedaran mereka dalam menutup aurat. Kecenderungan mereka untuk memakai pakaian menutup aurat kini didukung pula oleh kemajuan dunia fesyen yang menyajikan pelbagai jenis busana Muslimah dan tudung yang nampaknya seperti cendawan tumbuh di pasaran.

Ada yang murah dan ada yang mahal, ada yang besar dan ada yang kecil, ada yang tebal dan ada yang nipis, ada yang polos dan ada yang berwarna-warni, bercorak, berkerawang, berlabuci, beropol dan sebagainya.

Tidak kurang juga cara atau gaya pemakaian tudung, terdapat bermacam fesyen yang boleh kita lihat. Ada yang dilipat, ada yang dililit, ada yang dimasukkan sahaja, ada yang berlapis-lapis dan ada pula yang hanya diletak di atas kepala dan disidai pada bahu, boleh turun boleh naik dengan sekelip mata. Semua ini tergantung kepada citarasa si pemakai.

Terdapat fesyen atau cara bertudung yang tidak menepati maksud sebenar menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘. Sebahagian wanita kadang-kadang tersilap dalam memilih cara seorang Muslimah dengan memakai tudung mengikut arus moden atau up-to-date. Pada hakikatnya mereka masih belum menepati gaya sebenar yang dituntut dalam menutup aurat. Ini mungkin disebabkan mereka kurang memahami konsep sebenar pemakaian tudung dalam Islam kerana lebih mengutamakan fesyen.

Maka ruangan Irsyad Hukum pada kali ini akan menjelaskan cara yang patut diikuti dalam pemakaian tudung supaya kesilapan mengenainya tidak berterusan dilakukan oleh orang Islam, khususnya para wanita Islam.

Pensyariatan Memakai Tudung

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah an-Nûr: 31)

Menurut Imam al-Qurthubi, ayat di atas diturunkan sebagai panduan dan teguran kepada wanita-wanita Islam dahulu yang menutup kepala mereka dengan khimar atau tudung dengan melabuhkannya ke belakang sehingga menyebabkan bahagian dada terbuka, leher dan telinga juga kelihatan.

Menurut Imam Ibnu Katsir, ayat di atas merupakan kewajipan yang diperintahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas setiap wanita Islam untuk membezakannya daripada sifat dan perbuatan wanita jahiliah yang bertudung tetapi masih mendedahkan dada, leher, telinga dan rambut.

Lantaran turunnya ayat tersebut, para wanita Muhajirin yang awal terus mematuhi apa yang diperintahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan memakai tudung yang labuh melimpasi dada dan menutupi seluruh anggota aurat mereka sebagaimana yang dikhabarkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ merahmati wanita-wanita Muhajirin yang awal kerana apabila Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menurunkan ayat yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”, lantas mereka segera mengoyakkan pakaian (kain) bulu mereka dan mereka menutup kepala dengannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hukum Memakai Tudung

Menutup kepala bagi wanita Islam apabila di hadapan lelaki bukan mahram adalah wajib. Ini bererti, tidak boleh tidak, seorang wanita Islam wajib memakai tudung apabila berada di khalayak ramai atau di hadapan lelaki asing.

Pada dasarnya, wanita yang memakai tudung itu akan mendapat pahala kerana telah menunaikan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana yang dituntut oleh syara‘. Sekalipun demikian kita perlu mengetahui ciri-ciri dan cara memakai tudung yang menepati kehendak hukum syara‘.

Ciri-Ciri Dan Cara Pemakaian Tudung Menurut Syara‘

Agama Islam telah menggariskan ciri-ciri tudung dan cara pemakaian tudung yang perlu diikuti. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Memakai tudung labuh yang menutupi aurat di bahagian kepala sehingga ke bahagian dada.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah an-Nûr: 31)

Berdasarkan ayat di atas, wajib ke atas wanita Islam memakai tudung yang menutupi seluruh kepala dengan melabuhkannya sehingga ke dada kecuali kawasan muka. Ini termasuk menutupi seluruh rambut, kedua cuping telinga, tengkuk dan leher.

Belahan baju itu letaknya di kawasan leher dan dada. Oleh yang demikian, tudung kepala itu hendaklah juga menutup atau menyembunyikan bahagian leher dan dada.

Ini bererti tidak memadai memakai tudung itu jika masih nampak rambut, leher, tengkuk, telinga dan bahagian dada.

2. Memakai tudung yang diperbuat daripada material tebal yang menutupi warna kulit dan rambut daripada kelihatan.

Maksud tudung yang tebal ialah tudung tersebut tidak jarang, tidak nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada mengingatkan perkara tersebut dengan bersabda:

Maksudnya: Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tidak menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama)... (Hadits riwayat Muslim)

Ulama dalam mensyarahkan hadits ini mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bertelanjang itu ialah wanita yang berpakaian nipis yang masih menampakkan warna kulit dan berpakaian menutupi sebahagian anggota aurat dan membuka sebahagiannya lagi.

Oleh itu ketahuilah bahawa memakai tudung nipis atau jarang itu tidak menepati kehendak sebenar cara bertudung untuk menutup aurat kerana ia masih menampakkan warna kulit. Selain itu, tudung yang terlalu nipis dan ringan juga mudah tersingkap apabila ditiup oleh angin dan menyebabkan aurat terbuka.

Selain itu, terdapat juga telekung yang diperbuat daripada material nipis dan jarang serta mempunyai kerawang yang besar dan banyak. Telekung sebegini boleh menyebabkan sembahyang tidak sah kerana syarat menutup aurat masih tidak terlaksana dengan sempurna.

3. Tidak memakai cemara atau sanggul yang tinggi.

Terdapat segelintir wanita yang bertudung dengan memakai sanggul palsu. Tujuannya agar kelihatan lebih cantik berbanding tidak memakainya.

Perlu diketahui bahawa memakai sanggul yang terlalu menonjol merupakan antara perkara yang dilarang melakukannya. Larangan tersebut sangat keras sehingga dinyatkan bahawa seorang wanita yang melakukannnya tidak akan masuk syurga hatta tidak dapat menghidu bau syurga. Padahal bau syurga itu boleh dihidu dari jarak yang sangat jauh. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyatakan perkara tersebut dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tidak menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh). (Hadits riwayat Muslim)

Memakai cemara itu termasuk memakai rambut tambahan, sama ada daripada rambut lain atau bukan daripada rambut seperti nilon atau lain-lain yang digunakan untuk membesarkan sanggul.

Selain larangan memakai cemara, menyambung rambut juga termasuk perkara yang dilarang meskipun lengkap memakai tudung. Memakai rambut tambahan atau menyambung rambut dihukumkan haram bagi perempuan dan juga lelaki.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melaknat orang yang memakai rambut tambahan sekalipun orang itu adalah perempuan yang rambutnya gugur kerana sakit atau perempuan yang hendak menjadi pengantin. Hukum tersebut adalah berdasarkan kepada hadits shahîh, antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Seorang perempuan telah datang (bertanya) kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, katanya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya anak saya yang akan melangsungkan perkahwinan telah terkena suatu penyakit sehingga rambutnya gugur, apakah boleh saya menyambung rambutnya?” Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ashhâb (ulama-ulama asy-Syafi‘e) dalam menghuraikan hadits di atas mengatakan bahawa tiada perbezaan pendapat ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia, sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliaannya.

Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ia najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan haram juga disambung dengannya.

4. Tudung tidak mengandungi gambar atau lukisan objek yang bernyawa atau lambang yang diharamkan

Islam melarang menggunakan kain, selimut atau langsir yang terdapat padanya lukisan atau gambar sesuatu yang bernyawa seperti gambar atau lukisan manusia atau haiwan.

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Sewaktu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran, pada ketika itu aku telah memasang tabir pada pintuku, tabir bulu yang ada padanya gambar kuda yang mempunyai beberapa sayap. Lalu Baginda memerintahkanku (agar aku menanggalkannya) maka aku pun menanggalkannya (dari pintu itu). (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, menggunakan tudung yang terdapat padanya gambar manusia atau binatang juga adalah dilarang.

Orang Islam juga dilarang memakai tudung yang memaparkan gambar-gambar seperti imej atau tulisan jenama tertentu seperti jenama minuman keras atau memaparkan lambang-lambang agama lain. Sebagai contoh, haram memakai tudung yang memaparkan lambang salib. Salib termasuk simbol atau lambang yang dipakai khas bagi orang Nashrani.

Larangan tersebut adalah untuk mengelakkan diri kita daripada terlibat dalam mempromosi imej dan jenama-jenama berkenaan dan menghindari diri kita daripada menyerupai orang-orang bukan Islam kerana memakai lambang-lambang tersebut. Larangan ini disebut dengan jelas oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai/meniru sesuatu kaum maka dia adalah daripada golongan mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Imam al-Munawi dan al-‘Alqami Rahimahullâhu Ta‘âlâ sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab ‘Aun al-Ma‘bûd Syarh Sunan Abu Daud, maksud tasyabbuh (penyerupaan) dengan sesuatu kaum itu ialah berkelakuan dengan tingkah laku mereka, termasuk pakaian dan sebahagian perbuatan mereka.

Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa larangan tasyabbuh (penyerupaan) terhadap sesuatu kaum itu adalah juga dalam berpakaian. Ini bermakna, tasyabbuh dalam pemakaian tudung juga merupakan larangan.

Sementara memakai tudung yang terdapat padanya lukisan atau gambar sesuatu yang tidak bernyawa seperti gambar atau lukisan pokok, sungai, gunung-ganang dan seumpamanya adalah tidak mengapa dan harus.

5. Tidak melampau atau berlebih-lebihan.

Perbuatan berlebih-lebihan boleh sahaja mengubah fungsi tudung yang pada asalnya digunakan untuk menutup aurat kepada perhiasan untuk mencantikkan diri dan menjadi tarikan kepada orang yang melihatnya.

Selain itu, berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara termasuk bertudung kadang-kadang akan menimbulkan perkara-perkara negatif yang dilarang orang Islam melakukannya antaranya membazir.

Pembaziran boleh berlaku jika seseorang itu berlebih-lebihan dalam pemakaian tudung. Sikap berlebih-lebihan ini didorong oleh nafsu keinginan untuk kelihatan cantik dan menarik atau keinginan untuk bermegah dan menunjuk-nunjuk. Seseorang sanggup membeli tudung dan aksesori tudung yang terlalu mahal dan terlalu banyak sehingga melebihi had yang sepatutnya demi memastikan penampilannya kelihatan menarik dan sentiasa mengikut trend terkini.

Umat Islam sangat dilarang daripada melakukan perbuatan membazir dan berlebih-lebihan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. (Surah al-Isrâ’: 26)

Daripada penjelasan ini, sayugia disarankan khususnya kepada setiap wanita Islam untuk mengetahui, memahami dan seterusnya mengikuti konsep bertudung yang dikehendaki oleh syara‘.

Wanita Islam perlu berhati-hati dalam memilih pakaian dan tudung memandangkan terdapat juga fesyen yang pada zahirnya nampak Islamik tetapi sebenarnya tidak menepati kehendak syara‘ dan maksud menutup aurat.

Begitu juga jangan memakai tudung tetapi dalam masa yang sama mengenakan pakaian sendat, baju lengan pendek, kain berbelah, seluar yang masih juga menampakkan bahagian aurat atau yang seumpamanya. Cara sedemikian ini masih sahaja tidak menepati hukum menutup aurat.

CINCIN SUASA: Bolehkah Dipakai Oleh Lelaki?

Orang lelaki sunat memakai cincin daripada perak kerana Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah memakainya berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya beliau berkata:

Maksudnya: Cincin Nabi Shallallâhu ‘alahi wasallam seluruhnya diperbuat daripada perak, batu matanya pun daripada perak. (Hadits riwayat Abu Daud)

Selain cincin daripada perak ini dipakai orang lelaki, cincin emas suasa juga masih menjadi kegemaran sebahagian yang lain. Persoalannya bolehkah orang lelaki memakai cincin suasa ini?

Ramai orang lelaki beranggapan bahawa memakai cincin suasa tidak haram, kerana cincin suasa ini tidak lagi dianggap seperti cincin emas tulin sebagaimana yang diharamkan.

Perlu diingat bahawa cincin emas itu haram dipakai oleh orang lelaki, sama ada emas yang ada pada cincin itu sedikit ataupun banyak. Tidak kira sama ada melalui proses penyalutan (plating) seperti cincin gold plated dan proses pengaloian bahan emas bersama bahan yang lain seperti cincin suasa. Pengharaman ini jelas sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ali bin Abu Thalib Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah melarang aku daripada memakai cincin emas. (Hadits riwayat Muslim)

Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengibaratkan seseorang yang memakai cincin emas itu seperti meletakkan bara api neraka ke tangannya sendiri sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah melihat sebentuk cincin emas di tangan seorang lelaki, lalu Baginda mencabut dan melontarkannya sambil bersabda:

Maksudnya: (Adakah) seseorang daripada kamu sengaja (mahu) mengambil bara api dari neraka lalu meletakkannya (api itu) di tangannya? (Hadits riwayat Muslim)

Nash pengharaman emas bagi orang lelaki sama ada sedikit ataupun banyak disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘:

Ertinya: Ulama dalam mazhab kita (mazhab Syafi‘e) juga sepakat mengharamkan pemakaiannya (emas) sama ada sedikit atau banyak sebagaimana telah disebutkan oleh penyusun (kitab al-Muhadzdzab, Imam asy-Syiradzi Rahimahullâh). Sekiranya cincin itu diperbuat daripada perak dan padanya terdapat sebutir logam yang diperbuat daripada emas ataupun sebentuk cincin (yang diperbuat daripada emas) haram ia digunakan secara sepakat para ulama. (Kitab al-Majmû‘: 1/383)

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Hj Ismail bin Omar Abdul Aziz menyebutkan dalam fatwa beliau: “Haram atas lelaki memakai barang-barang kemas daripada emas suasa kerana emas suasa itu suatu logam yang terjadi daripada emas dan suasa.”

Berkata ulama: “Kerana warna yang ada pada suasa itu warna kuning, sekalipun sedikit pada pandangan padanya, tetapi warna kuning itu tidak sepenuhnya bahkan warna kuning bercampur dan bersulam dengan warna merah dan ada khuyalâ’

(rasa sombong atau bermegah-megah) pada memakai suasa seperti ada khuyalâ’ pada memakai emas.”

Dari itu jelaslah bahawa cincin emas suasa adalah haram dipakai oleh orang lelaki kerana terdapat padanya emas walaupun sedikit.

BOLEHKAH BERWASIAT KEPADA AHLI WARIS?

Wasiat bermaksud pemberian suatu hak kepada seseorang selepas berlakunya kematian pewasiat. Antara dalil yang menyatakan tentang pensyari‘atan wasiat itu ialah firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: (Pembahagian itu dibuat) setelah dilaksanakan terlebih dahulu wasiat yang diwasiatkan oleh si mati atau setelah dibayar segala hutangnya. (Surah an-Nisâ’: 11)

Sementara itu di dalam hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam disebutkan satu riwayat daripada Sa‘d bin Waqqash Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Wahai Rasullullah, aku telah ditimpa sakit sedangkan aku mempunyai harta, apakah pandanganmu kerana tiada seorang pun yang akan mewarisi harta itu melainkan anak perempuanku seorang, adakah boleh aku menyedekahkan dua pertiga daripada hartaku itu? Baginda bersabda: “Tidak”. Kemudian aku bertanya lagi: “Bagaimana jika aku sedekahkan separuh daripada hartaku?”Baginda bersabda lagi: “Tidak”. Akupun berkata lagi: “Apakah boleh satu pertiga?” Baginda bersabda: “Satu pertiga adalah banyak, sesungguhnya engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka (ahli warismu) dalam keadaan miskin meminta-minta kepada orang ramai.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Wasiat

Pada permulaan Islam, mewasiatkan semua harta kepada ibu bapa dan kaum kerabat hukumnya adalah wajib. Ini adalah berdasarkan dalil daripada al-Qur’an, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu hampir mati, sekiranya ada meninggalkan harta, berwasiat untuk kedua ibu bapa dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik, sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 180)

Akan tetapi hukum wajib mewasiatkan harta itu dimansukhkan setelah diturunkan ayat-ayat pusaka. Maka hukum mewasiatkan harta menjadi sunat dengan tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan yang diberikan kepada selain ahli waris.

Berwasiat harta kepada bukan daripada kalangan ahli waris, sama ada ahli waris dalam keadaan kaya ataupun fakir disunatkan tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan, malah lebih baik jika kurang daripada kadar satu pertiga itu kerana kadar satu pertiga itupun dikira banyak.

Wasiat itu adalah lebih utama didahulukan pemberiannya kepada kaum kerabat yang bukan daripada kalangan ahli waris. Oleh itu didahulukan mahram kemudian yang bukan mahram. Seterusnya diikuti keluarga sesusuan, kemudian keluarga kerana perkahwinan seperti suami kepada saudara perempuan (ipar) atau suami kepada anak perempuan (menantu), selepas itu diikuti dengan jiran-jiran dan orang yang memerlukan.

Bagaimana pula jika wasiat kepada selain ahli waris itu melebihi daripada satu pertiga?

Jika wasiat itu melebihi daripada jumlah satu pertiga, dan ahli waris yang berhak menerima harta waris tidak bersetuju dengan wasiat itu, maka batallah kadar tambahan itu menurut apa yang disepakati oleh para ulama. Disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Jika wasiat melebihi satu pertiga dan ahli waris tertentu yang mempunyai kuasa untuk mengurus harta membantah lebihan itu, maka batallah wasiat pada kadar yang berlebihan itu secara ijmâ‘ kerana (bahagian tambahan itu adalah) haknya (waris). (Kitab Tuhfah al-Muhtâj)

Berlainan halnya jika ahli waris itu bersetuju. Jika mereka bersetuju dengan lebihan daripada satu pertiga itu maka sahlah wasiat tersebut.

Wasiat Kepada Ahli Waris

Sebagaimana yang dijelaskan, wasiat itu adalah diberikan kepada bukan ahli waris. Akan tetapi jika wasiat itu diberikan juga kepada ahli waris maka hukumnya adalah harus, dengan syarat ahli waris yang lain bersetuju dengan wasiat tersebut. Dengan persetujuan mereka itu maka wasiat kepada ahli waris itu dikira sah. Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Tidak harus memberikan wasiat kepada ahli waris melainkan dipersetujui oleh ahli waris yang lain. (Hadits riwayat ad-Daraquthni)

Dalam keadaan hanya terdapat seorang sahaja ahli waris atau dikira sebagai pewaris tunggal, jika si mati berwasiat kepadanya, maka dalam hal ini wasiat itu tidak sah. Ini kerana sebagai pewaris tunggal sememangnya akan mendapat bahagian yang besar dalam pembahagian harta pusaka. Oleh sebab itu tidak sah untuk dia diberi wasiat. Namun jika ada lagi ahli waris lain yang juga berhak menerima harta pusaka maka wasiat itu dikira sah asalkan ada persetujuan ahli waris yang lainnya.

Perkara ini ada disebutkan dalam kitab Asnâ al-Mathâlib: “Wasiat kepada ahli waris jika tidak ada ahli waris yang lain melainkan orang yang diwasiatkan seorang sahaja walau bukan dengan kadar satu pertiga adalah batal (tidak sah). Namun jika ada ahli waris yang lain (selain orang yang diwasiatkan itu), maka ia tertakluk kepada persetujuan daripada ahli waris yang lain.”

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang itu masing-masing akan haknya, maka tidak ada wasiat untuk ahli waris. (Hadits riwayat Abu Daud)

Untuk lebih jelas dibawakan contoh persetujuan ahli waris dalam memberikan wasiat kepada ahli waris yang lain. Apabila dilihat kepada senarai ahli waris, tidak semua ahli waris akan mendapat bahagian daripada harta pusaka. Maka persetujuan adalah diambil kira daripada ahli waris yang berhak menerima harta pusaka dan mendapat bahagian dalam farâ’idh dan bukanlah daripada ahli waris yang tidak berhak menerima harta pusaka itu.

Secara umumnya ahli waris itu terdiri daripada pewaris lelaki dan pewaris perempuan.

Ahli waris daripada kalangan lelaki yang boleh mewarisi harta melalui keturunan, perkahwinan dan persaudaraan itu ialah:

1. Anak lelaki (al-ibn). 2. Anak lelaki kepada anak lelaki (ibn al-ibn) dan ke bawah. 3. Bapa (al-ab). 4. Datuk (al-jadd) iaitu bapa kepada bapa dan ke atas. 5. Adik-beradik lelaki (al-akh) seibu sebapa, sebapa atau seibu. 6. Anak lelaki kepada adik-beradik lelaki seibu sebapa (ibn al-akh asy-syaqîq) dan anak lelaki kepada adik-beradik lelaki sebapa (ibn al-akh min al-ab).

7. Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (al-‘amm asy-shaqîq) dan sebapa (al-‘amm min al-ab). 8. Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa (ibn al-‘amm min al-ab). 9. Suami (az-zauj). 10. Orang yang memerdekakan hamba.

Manakala ahli waris daripada kalangan perempuan yang boleh mewarisi harta melalui keturunan, perkahwinan dan persaudaraan itu pula ialah:

1. Anak perempuan (al-bint). 2. Anak perempuan kepada anak lelaki (bint al-ibn) dan ke bawah. 3. Ibu (al-umm). 4. Nenek iaitu ibu kepada ibu sebelah ibu atau bapa (al-jaddah min al-umm au al-ab) dan ke atas. 5. Adik-beradik perempuan (al-ukht) daripada mana-mana kedudukan, sama ada seibu sebapa (asy-syaqîq) atau sebapa (lil-ab) atau seibu (lil-umm). 6. Isteri atau isteri-isteri (az-zaujah). 7. Wanita yang memerdekakan hamba.

Jika kesemua ahli waris lelaki dan perempuan ini masih hidup ketika kematian si mati, maka hanya lima golongan sahaja yang boleh mewarisi harta sementara yang lain terhalang. Mereka yang berhak itu ialah anak lelaki (al-ibn), anak perempuan (al-bint), bapa (al-ab), ibu (al-umm) dan salah seorang daripada suami atau isteri.

Maka apabila hendak berwasiat kepada salah seorang daripada lima golongan yang berhak mendapat harta seperti anak lelaki (al-ibn), maka persetujuan ahli waris yang lain seperti anak perempuan (al-bint), bapa (al-ab), ibu (al-umm) dan salah seorang daripada suami atau isteri adalah diperlukan untuk menjadikan wasiat itu dikira sah. Sebaliknya jika mereka semua tidak bersetuju maka wasiat itu dikira tidak sah.

Manakala jika sebahagian ahli waris bersetuju dan sebahagian yang lain pula membantah, maka wasiat itu dibatalkan daripada bahagian waris yang membantah tetapi boleh dilaksanakan pada bahagian waris yang bersetuju mengikut kadar bahagian dalam pusaka.

Sebagai contoh lima golongan yang berhak mendapat harta pusaka yang disebutkan sebelum ini, jika si mati berwasiat kepada anak lelaki (al-ibn), kemudian dibantah oleh anak perempuan (al-bint) dan dipersetujui oleh bapa (al-ab), ibu (al-umm) dan salah seorang daripada suami atau isteri, maka sebelum melaksanakan wasiat kepada anak lelaki itu hendaklah bahagian anak perempuan yang tidak bersetuju itu diberikan terlebih dahulu sepertimana yang ditentukan dalam farâ’idh, kemudian barulah wasiat kepada anak lelaki itu dikira dan diambil daripada bahagian golongan yang bersetuju mengikut kadar yang ditentukan dan seterusnya pembahagian hak mereka masing-masing mengikut kiraan farâ’idh.

Setelah ahli waris yang lain bersetuju dengan wasiat yang ditentukan kepada salah seorang ahli waris itu, maka mereka tidak lagi dapat menarik balik persetujuan mereka walaupun orang yang diwasiatkan belum menerima wasiat yang diberikan kepadanya. Ini kerana persetujuan awal mereka itu sudah memadai untuk dilaksanakan wasiat tersebut bukannya bermula sebaik penyerahan daripada waris.

Berlainan halnya bagi si pewasiat yang ingin menarik balik wasiatnya, kerana dia boleh menarik balik wasiat yang diucapkannya seperti dengan berkata: “Aku batalkan wasiatku.”

Sebagai kesimpulan, hukum berwasiat kepada ahli waris adalah harus dengan adanya persetujuan ahli waris yang lain. Walaupun ada antara ahli waris lain tidak bersetuju, maka wasiat itu dibatalkan daripada bahagian waris yang membantah tetapi dilaksanakan pada bahagian waris yang bersetuju dengan kadar pembahagian mengikut farâ’idh. Namun keharusan berwasiat kepada ahli waris itu tidaklah termasuk ahli waris tunggal kerana berwasiat kepada ahli waris tunggal adalah tidak sah.

Begitu juga ahli waris yang bersetuju dengan pembahagian wasiat kepada ahli waris yang lain itu tidak lagi dapat menarik balik persetujuannya itu walaupun orang yang diwasiatkan itu belum menerima harta yang diwasiatkan.

ISIKAN MAJLIS DENGAN ZIKIR DAN DO‘A

Mengadakan sesuatu majlis, perhimpunan atau perjumpaan memang merupakan perkara biasa yang dibuat oleh masyarakat kita. Untuk menjayakannya pula berbagai aturcara atau agenda disusun tertakluk kepada tujuan sesuatu majlis atau perhimpunan itu diadakan.

Dalam mengadakan sesebuah majlis, terdapat beberapa adab yang digariskan oleh syara‘ yang boleh digunakan sebagai panduan. Salah satu ciri-ciri majlis yang baik itu ialah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ialah tempat perhimpunan yang selesa dan bersesuaian, dengan menjaga kemashlahatan semua yang hadir. Kemudian hendaklah dipastikan ketika berada dalam sesuatu majlis, orang yang hadir itu akan duduk dengan cara yang sopan dan terjaga auratnya.

Dari aspek kehadiran seseorang dalam sesuatu majlis pula, antara adabnya ialah memberi kelapangan dan keselesaan sesama hadirin dan menempati tempat duduk yang telah disediakan. Selain itu, hendaklah mengelakkan diri daripada mengambil tempat duduk orang lain atau menyebabkan orang lain terpaksa bangun dari tempat duduknya. Namun, jika tempat itu pada asalnya telah ditetapkan untuk individu tertentu, maka wajarlah dia menempati tempat duduk yang dikhaskan untuknya walaupun dia datang kemudian, atau individu yang lebih awal menempati tempat tersebut bangun atau berpindah dengan kerelaan hatinya sendiri.

Selain beberapa adab yang disebutkan di atas, hendaklah majlis atau perhimpunan yang diadakan itu tidak sunyi daripada sebarang zikir atau do‘a.

Risiko Majlis Yang Tidak Diucapkan Zikir Di Dalamnya

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ menyebutkan bahawa antara akibat daripada sesuatu majlis yang kosong daripada mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu adalah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tiada satu kaum pun apabila mereka berdiri (meninggalkan) dari sesuatu majlis, mereka tidak mengingati Allah Ta‘ala di dalamnya, melainkan mereka berdiri (bersurai) seumpama bangkai keldai dan bagi mereka itu suatu kerugian. (Hadits riwayat Abu Daud)

Maksud seumpama bangkai keldai dalam hadits di atas ialah dari segi busuk, kotor dan menjijikkan kerana yang terbit daripada mereka adalah percakapan yang tiada nilai, malahan dikeji syara‘. Mereka tidak memperolehi sesuatu pun melainkan kerugian di akhirat yang berupa kekesalan yang berkekalan disebabkan kesan percakapan mereka.

Selain itu, majlis yang kosong atau sunyi daripada sebarang zikir atau selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ditakuti akan mendapat balasan seperti mana yang disebutkan dalam satu riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tidak duduk suatu kaum di suatu majlis dalam keadaan mereka tidak mengingati Allah Ta‘ala dan tidak juga mengucapkan selawat ke atas Nabi mereka di dalam majlis itu, melainkan ke atas mereka kekurangan, jika (Allah) menghendaki (Allah) akan mengazab mereka, dan jika (Allah) menghendaki, (Allah) akan mengampunkan mereka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Demikian sebahagian hadits yang menjelaskan risiko majlis yang tidak diucapkan di dalamnya sebarang zikir.

Antara Zikir Dan Do‘a Yang Dianjurkan Di Dalam Majlis

Demi untuk mengelakkan diri kita daripada mendapat kerugian dan balasan ketika dalam sesuatu majlis seperti yang dijelaskan dalam hadits di atas, maka antara zikir dan do‘a yang dianjurkan untuk dibaca dalam sesuatu majlis itu ialah seperti berikut:

1. Zikir apabila memulakan majlis.

Apabila hendak memulakan majlis elok dibaca basmalah, hamdalah dan zikir, seumpama segala puji-pujian kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta selawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Selain itu, antara perkara yang menepati sunnah ialah seorang Muslim mengucapkan atau memberikan salam sebelum memulakan sebarang percakapan.

2. Berdo‘a di akhir majlis.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ adalah makruh bersurai dari sesuatu majlis tanpa mengingati atau menyebut nama Allah Ta‘ala. Oleh yang demikian, antara perkara yang dianjurkan untuk dilakukan apabila seseorang itu hendak bersurai dari sesuatu majlis ialah berdo‘a untuk dirinya sendiri dan juga untuk para hadirin.

Disebutkan dalam kitab Riyâdh ash-Shâlihîn, diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa jarang sekali Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bangkit berdiri dari suatu majlis melainkan Baginda berdo‘a untuk diri Baginda dan untuk mereka yang hadir dengan do‘a-do‘a berikut:

Maksudnya: Ya Allah, berikanlah kami daripada rasa takut (kami) kepadaMu sesuatu yang boleh menghalang kami daripada berbuat maksiat kepadaMu, dan (berikanlah kami) daripada ketaatan (kami) kepadaMu sesuatu yang boleh menyampaikan kami kepada syurgaMu, dan (berikanlah kami) daripada keyakinan (kami kepadaMu) sesuatu yang dapat meringankan musibah dunia atas kami. Ya Allah, jadikanlah kami sentiasa dapat meni‘mati pendengaran kami, penglihatan kami dan kekuatan kami selama Engkau hidupkan kami, dan jadikanlah kesemua itu pewaris daripada kami, dan jadikanlah pembalasan kami atas orang-orang yang menzalimi kami, dan berikanlah kemenangan ke atas kami terhadap orang-orang yang memusuhi kami, dan janganlah Engkau jadikan musibah yang menimpa kami terjadi pada agama kami, dan janganlah Engkau jadikan dunia sebagai sebesar-besar kerisauan (matlamat) kami, dan (janganlah Engkau jadikan dunia itu) batas pengetahuan kami, dan janganlah Engkau jadikan orang-orang yang tidak menyayangi kami berkuasa atas kami.

3. Membaca surah al-‘Ashr di akhir majlis.

Amalan membaca surah al-‘Ashr sebelum mengakhiri sesuatu majlis elok juga dilakukan. Ini adalah berdasarkan amalan para sahabat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam seperti yang disebutkan oleh ath-Thabarani, bahawa seorang sahabat kepada ad-Darimi menceritakan seperti berikut:

Ertinya: Bahawa dua orang sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila mereka berjumpa, mereka tidak pernah berpisah melainkan salah seorang daripada mereka membaca surah ‘ ُ ْ خٍ سر َ ْ وَ الْ عِ صِرَّ إْنِ اْ إلَ نَ سَان ِ لفي ’ (iaitu surah al-‘Ashr) sehingga sempurna ke akhir surah, kemudian mereka saling memberi salam di antara satu sama lain lalu berpisah.

Demikianlah yang dilakukan oleh para sahabat Radhiallâhu ‘anhum. Perkara ini juga disebut dalam pendahuluan surah al-‘Ashr, Tafsir Ibnu Katsir mengenai kelebihan surah ini.

4. Membaca tasbîh ketika hendak bersurai.

Apabila selesai sesuatu majlis, ditutup pula dengan kaffârah majlis, atau disebut juga sebagai tasbîh kaffârah. Disebut sebagai kaffârah kerana dalam salah sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah disebutkan perkataan kaffârah itu sendiri, manakala disebut sebagai tasbîh kerana zikir tersebut berupa tasbîh.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ jika seseorang itu hendak bersurai dari sesuatu majlis, maka sebelum dia bangun berdiri meninggalkan majlis tersebut dianjurkan membaca tasbîh atau do‘a yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang duduk dalam suatu majlis, lalu banyak (terjadi) di dalamnya laghath (riuh-rendah atau bising), kemudian dia mengucapkan sebelum dia berdiri dari majlisnya itu (tasbîh berikut):

(Maha Suci Engkau Ya Allah dan dengan pujian kepadaMu, aku bersaksikan bahawa tidak ada tuhan melainkan Engkau, aku memohon ampun kepadaMu dan aku bertaubat kepadaMu) melainkan diampunkan baginya apa yang telah berlaku dalam majlisnya itu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Menurut satu pendapat, maksud ‘laghath’ yang disebutkan dalam hadits di atas ialah seorang yang bercakap perkara dosa. Ini kerana pada penghujung hadits tersebut disebutkan mengenai pengampunan (dosa) baginya.

Manakala satu pendapat lagi mengatakan bahawa maksud perkataan ‘laghath’ itu ialah percakapan berupa ejekan, olok-olokan, mempersendakan atau mentertawakan dan apa-apa yang tiada faedah, umpamanya percakapan atau perbualan kosong tanpa membawa makna.

Faedah atau ganjaran daripada mengamalkan pembacaan tasbîh ini dikuatkan lagi oleh sebuah hadits yang lain. Pada suatu ketika Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam membaca tasbîh tersebut setelah selesai daripada sebuah majlis, lalu Baginda ditanya mengenai bacaan Baginda itu. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun menjawab:

Maksudnya: Demikian itu kaffârah (penebus dosa) bagi apa yang berlaku dalam majlis. (Hadits riwayat Abu Daud)

5. Mengucapkan salam ketika meninggalkan majlis.

Sunat mengucapkan salam ketika bertemu, masuk ke rumah atau majlis dan disunatkan juga mengucapkan salam ketika berpisah atau keluar dari rumah atau majlis. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu sampai di suatu majlis, maka hendaklah dia memberikan salam, lalu apabila dia hendak meninggalkannya, maka hendaklah dia memberikan salam. Tidaklah salam pertama itu lebih utama daripada salam terakhir. (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Sebagai kesimpulan, sekalipun dalam sesuatu majlis atau perkumpulan itu diisikan dengan perkara yang berkebajikan dan bermanfaat, namun kita juga masih dianjurkan untuk sentiasa memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan daripada kelalaian dan memohon keampunan andaikata terjadi kesalahan dan kesilapan yang tidak disengajakan. Caranya adalah dengan membaca tasbîh dan do‘a yang wârid diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, iaitu dengan membaca zikir kaffârah majlis sebagai penebus dosa sekiranya berlaku dosa di dalam majlis tersebut. Selain itu, mengikut amalan para sahabat Radhiallâhu ‘anhum, mereka membaca surah al-‘Ashr dan memberi salam sebelum berpisah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6013