Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hak Kejiranan Penjamin Hidup Bermasyarakat

Islam dengan segala kebaikan, kemuliaan, kesejahteraan dan keharmonian yang terdapat di dalamnya menganjurkan penganutnya agar sentiasa berlaku ihsan dan berbuat baik dalam segenap aspek kehidupan.

Dalam realiti kehidupan ini, setiap individu tidak dapat lari daripada sentiasa mengharap dan memerlukan antara satu sama lain. Oleh sebab itu, Islam sangat mengambil perhatian yang serius dan mempastikan agar hubungan dan ikatan dengan masyarakat sekeliling sentiasa terjalin atas dasar yang betul dan berjalan di atas landasan yang benar.

Matlamat pemeteraian ikatan dan hubungan yang baik itu hanya dapat terlaksana andainya setiap individu saling hormat menghormati hak dan tanggungjawab antara satu sama lain, memperelok pergaulan, menuturkan kata-kata yang baik, mewujudkan suasana kejiranan yang harmoni dan memberi layanan yang selayaknya terhadap tetamu, bersikap toleran, bertimbang rasa dan sebagainya.

Inilah yang disarankan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadis:

Maksudnya: Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata yang baik atau hendaklah dia diam, dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tamunya. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengandungi nilai peradaban dan keluhuran budi pekerti yang tinggi. Seorang yang benar-benar beriman tentu menggunakan segala pengajaran peradaban ini untuk kesejahteraan dan keselamatan dirinya.

Di antara kesempurnaan dalam memperlengkap iman seseorang itu ialah dengan berbuat baik kepada jiran tetangga. Hubungan yang baik dengan jiran tetangga adalah satu perkara yang dapat mempertinggi budi serta memperluas pergaulan dan hubungan. Malahan berbuat ihsan dan memuliakan jiran itu merupakan satu tuntutan syara‘, sehingga keprihatinan Islam dalam memelihara hubungan kejiranan itu sampai kepada peringkat yang tidak ada tolok bandingannya dalam sejarah hubungan kemasyarakatan. Justeru itu, cuba perhatikan hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, iaitu sebagai bukti yang jelas akan kebenaran fakta di atas:

Maksudnya: Sentiasa Jibril berpesan kepadaku berkenaan dengan jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa Jibril akan menyatakan bahawa jiran itu mewarisi pusaka jirannya. (Hadis riwayat Bukhari)

Siapakah yang dikatakan jiran tetangga?

Adapun yang dikatakan jiran tetangga itu ialah:

i. Orang yang tinggal serumah dengan kita.

ii. Orang yang diam atau tinggal bersebelahan dengan rumah kita.

iii. Orang yang tinggal dalam jarak empat puluh buah rumah dengan rumah kita dari segenap lingkungan.

iv. Orang yang tinggal senegeri dengan kita.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh para ulama, adakalanya jiran itu terdiri daripada bukan orang Islam, maka dia mendapat layanan satu hak sahaja iaitu hak layanan sebagai jiran. Adakalanya jiran itu terdiri daripada orang Islam yang tidak ada hubungan kekeluargaan, maka dia mendapat layanan dua hak iaitu hak Islam dan hak jiran. Adakalanya pula jiran itu terdiri daripada kalangan ahli keluarga Islam, maka dia mendapat tiga layanan iaitu hak Islam, hak kerabat (kekeluargaan) dan hak jiran.

Apabila dilihat kepada pembahagian di atas, jelas bahawa jiran tetangga itu boleh dikategorikan kepada tiga golongan, di mana masing-masing mendapat hak-hak yang berbeza antara satu dengan yang lain mengikut taraf kelayakan mereka jika dipandang daripada sudut persamaan dan perbezaan agama, dan daripada sudut ikatan kekeluargaan.

Peruntukan dalam menjaga hak-hak jiran termaktub di dalam Al-Qur’an dan banyak terdapat sebutannya di dalam sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Firman Allah Ta‘ala dalam surah Al-Nisâ’, ayat 36:

Tafsirnya: Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.

Melalui ayat di atas, di antaranya disebutkan supaya berbuat baik kepada jiran tetangga, tidak kira sama ada yang dekat ataupun yang jauh. Kedua-duanya mempunyai hak supaya sama-sama dihormati menurut taraf kelayakannya. Menurut setengah ahli tafsir bahawa apa yang dimaksudkan dengan tetangga yang dekat itu ialah tetangga yang seagama, dan tetangga yang jauh itu ialah tetangga yang berlainan agama.

Di dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Demi Allah, seseorang tiada beriman! Demi Allah, seseorang tiada beriman! Demi Allah, seseorang tiada beriman!” Berkata sahabat: “Siapa dia wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Orang yang tidak selamat jirannya daripada kejahatannya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Di dalam hadis yang lain pula, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang baik di antara mereka kepada sahabatnya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang baik di antara mereka kepada jirannya. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Bagaimana cara memuliakan atau memberi layanan kepada jiran tetangga yang selayaknya?

Di sini timbul persoalan, mengapa kita katakan ‘selayaknya’?

Sebagaimana yang disebutkan terdahulu bahawa jiran itu dapat dikategorikan kepada tiga golongan; jiran bukan Islam, jiran muslim yang tidak ada hubungan kerabat (kekeluargaan) dan jiran muslim yang ada hubungan kerabat. Berdasarkan pembahagian ini tentulah cara dan keutamaan dalam memberi layanan dan memuliakan jiran itu berbeza antara satu golongan dengan yang lain, dan berbeza daripada satu keadaan dengan keadaan yang lain.

Umpamanya, jiran yang lebih dekat adalah lebih berhak mendapat keutamaan daripada jiran yang lebih jauh rumahnya. Apabila bertetangga dengan dua orang jiran yang sama-sama berdekatan rumah, maka keutamaan diberi kepada yang paling dekat pintu rumahnya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa dia berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai dua orang jiran, maka kepada siapa saya akan memberi hadiah?” Rasulullah bersabda: “Berilah hadiah itu kepada jiran yang lebih dekat pintunya dengan pintu kamu.”

Perihal cara atau bentuk memberi layanan dan memberi hormat kepada jiran tetangga, Islam mengajar penganutnya nilai peradaban yang tinggi ini. Selain daripada dalil-dalil yang disebutkan terdahulu, terdapat lagi hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang lain yang turut menegaskannya.

Telah sabit sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada sahabat Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Wahai Abu Dzar! Apabila kamu memasak kuah lauk (atau sup) maka kamu banyakkan air kuahnya, dan kamu cari mana-mana jiran kamu dan berikan kuah lauk itu. (Hadis riwayat Muslim)

Cuba kita renungkan betapa Islam mengajarkan nilai peradaban yang tinggi, di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajak supaya berbuat baik, kerana berbuat baik itu mencambahkan bibit kasih mesra dan mahabbah yang tiada taranya, mempererat hubungan serta menolak perpecahan umat.

Jiran itu adakalanya dia mendapat kesusahan dengan bau masakan yang datang daripada sebelah rumahnya. Barangkali dia mempunyai anak-anak kecil dan apabila mencium bau makanan boleh jadi akan membangkitkan selera mereka. Ini akan membuatkan mereka merasa gusar jika tidak diberikan sedikit makanan tersebut. Lebih-lebih lagi jiran sebelah itu orang miskin atau janda yang mempunyai anak-anak yatim yang tidak mampu untuk mengadakan makanan seperti jiran sebelah. Untuk menghilangkan kegusaran dan menghindarkan kesusahan jiran sebelah elok dihantarkan sedikit makanan yang dimasak. Berhubung dengan perkara ini juga tersebut dalam sebuah hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Tiada beriman (yang sempurna) denganku orang yang tidur pada malam hari dalam keadaan kenyang (perutnya), sedangkan jiran sebelah rumahnya dalam kelaparan dan dia tahu akan hal jirannya itu. (Hadis riwayat Thabarani)

Di antara sifat yang perlu ada pada setiap individu, janganlah hendaknya dia merasa segan untuk memberi sesuatu pemberian kepada jiran, kawan-kawan atau kaum keluarga, walaupun pemberian tersebut seadanya saja.

Begitu juga bagi pihak yang menerima, hendaklah dia menerima pemberian tersebut dengan rasa senang hati dan jangan sekali-kali menghampakannya apatah lagi menghinakannya, walaupun pemberian itu tidak seadanya. Perkara ini turut dijelaskan di dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, di mana Baginda bersabda:

Maksudnya: Wahai perempuan-perempuan muslimah! Janganlah seorang jiran itu merasa segan atau malu (menghadiahkan sesuatu kepada) jirannya sekalipun pemberian itu satu betis kambing. (Hadis riwayat Bukhari)

Ulama menegaskan bahawa apa yang dimaksudkan di sini ialah jangan hendaknya seorang jiran itu merasa segan dan malu akan pemberian yang dihadiahkannya kepada jiran tetangganya, walaupun pemberian itu sesuatu yang tidak boleh dimanfaatkan pada kebiasaannya. Setengah ulama pula menegaskan bahawa apa yang dimaksudkan daripada hadis tersebut ialah, jangan hendaknya seorang jiran itu menghina dan menghampakan pemberian yang dihadiahkan oleh tetangganya.

Pemberian merupakan suatu simbol, di mana di dalamnya tersirat suatu makna keeratan ikatan keharmonian dan kasih sayang antara satu sama lain.

Dalam mentafsirkan maksud memuliakan dan berbuat ihsan kepada jiran dan meninggalkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kesusahan dan boleh menyakitinya terdapat beberapa hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkannya, di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada bapanya daripada datuknya bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bersabda maksudnya: “Tahukah kamu apakah dia hak jiran itu?

i. Apabila dia minta pertolongan kepada kamu maka kamu berikan dia pertolongan.

ii. Apabila dia meminta dihutangkan kepada kamu maka kamu beri hutang kepadanya.

iii. Apabila dia berhajat kepada kamu maka kamu sampaikan hajatnya.

iv. Apabila dia sakit maka kamu datanglah menjenguknya.

v. Apabila dia mendapat sesuatu kebajikan maka kamu beri tahniah dan ucapan selamat kepadanya.

vi. Apabila dia ditimpa musibah malapetaka maka kamu beri takziah dan ucapan kedukacitaan kepadanya.

vii. Apabila dia meninggal maka kamu ikut menghantar jenazahnya ke kubur.

viii. Jangan tinggikan bangunan kamu daripada bangunan jiran kamu supaya tidak tersekat angin dari rumah jiran kamu kecuali dengan izinnya.

ix. Jangan kamu sakiti dengan bau periuk masakan kamu melainkan hendaklah kamu berikan dia sesinduk lauk masakan kamu itu kepadanya.

x. Apabila kamu membeli buah maka kamu beri sedikit buah itu, dan jika kamu tidak memberikannya maka hendaklah kamu bawa masuk ke dalam rumah kamu dengan senyap-senyap dan jangan kamu biarkan anak kamu keluar dengan buah itu, kelak akan menjadi kemarahan anak jiran kamu dengan buah itu.” (Hadis riwayat Al-Khara’ithi)

Jiran Bukan Islam Dalam keadaan hidup berjiran, seorang itu bukan setakat bertetangga dengan orang Islam malahan adakalanya jirannya itu terdiri daripada orang bukan Islam. Apabila seorang muslim berjiran dengan orang yang berlainan agama hendaklah dia terlebih dahulu mempertimbangkan apakah batas-batas ketentuan agama perihal pergaulan seorang muslim dengan orang yang berlainan agama itu.

Antara yang dititikberatkan untuk dijaga ialah perkara akidah. Dalam hubungan seorang jiran muslim dengan seorang jiran bukan Islam tidak lebih daripada hubungan sebagai jiran. Maka tidak boleh bagi seorang muslim itu terikut-ikut apatah lagi mengakui dan redha akan kekufuran orang bukan Islam itu. Bahawasanya redha dengan kekufuran itu haram. Umpamanya, dalam perayaan keagamaan bukan Islam, tidak boleh bagi seorang Islam melibatkan diri untuk sama-sama merayakan perayaan agama orang bukan Islam itu, kerana ini bererti memuliakan dan redha dengan agama kufur itu.

Apa yang dibolehkan, apabila seorang jiran mendapat kesenangan atau dalam kesukaan berilah ucapan selamat dan tahniah. Umpamanya, boleh datang apabila dijemput oleh jiran bukan Islam, asalkan tidak ikut serta menjalankan upacara keagamaan mereka.

Apabila dia ditimpa musibah, sakit atau kematian, maka harus datang berziarah dan memberi ucapan takziah. Tetapi jangan ikut serta menjalankan upacara kematian menurut agama mereka.

Tegasnya, syarat asasi yang mesti dijaga dalam hal ini jangan sekali-kali seorang Islam itu ikut serta dalam menjalankan upacara keagamaan bukan Islam.

Jiran bukan Islam boleh didoakan supaya mendapat hidayah masuk agama Islam dan menjadi jiran yang baik dan aman kepada jiran muslim. Tetapi jangan mendoakannya dengan keampunan dan keselamatan daripada azab dunia dan azab akhirat. Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan dosa orang yang mensyirikkan Allah sebagaimana kehendak ayat:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia dan Dia mengampuni dosa yang lain daripada syirik itu bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya dia telah tersesat sejauh-jauhnya. (Surah Al-Nisâ’: 116)

Firman Allah Ta‘ala di dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam. (Surah Al-Taubah: 113)

Satu perkara baik yang boleh dilakukan terhadap jiran bukan Islam ialah dengan mengajaknya kepada mencintai Islam dan menerangkan akan kebaikan Islam. Di samping itu menunjukkan teladan dan cara hidup yang berpaksikan keimanan dan keislaman yang tulen, supaya dengan demikian akan menjinakkan hatinya kepada Islam.

Ancaman Atau Peringatan Terhadap Orang Yang Menyakiti Jiran Tetangganya

Apakah balasan atau peringatan terhadap orang yang menyakiti jiran tetangganya? Sebagaimana yang disebutkan terdahulu bahawa hubungan yang baik dengan jiran tetangga adalah menjadi salah satu tuntutan dalam Islam. Sebaliknya pemutusan hubungan dan mendatangkan sesuatu yang tidak disenangi adalah suatu perkara yang tercela dan mendatangkan dosa.

Di dalam sebuah hadis ada diceritakan bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, bahawa ada seorang perempuan dikatakan banyak bersembahyang, banyak mengeluarkan sedekah, selalu mengerjakan puasa, akan tetapi sayang sekali, lidahnya jahat selalu menyakiti jirannya.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Perempuan itu ahli neraka.” Lelaki itu berkata lagi: “Wahai Rasulullah, bahawa ada perempuan dikatakan sedikit puasa sunatnya, sedikit sembahyang sunatnya, tetapi dia banyak bersedekah dengan keju dan tidak menyakiti jirannya.” Rasulullah bersabda: “Dia ahli syurga.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lain-lain ulama hadis daripada sahabat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu.

Dengan demikian dapatlah ditanggapi betapa tercelanya, betapa celakanya dan padah yang buruk yang bakal diterima akibat daripada perbuatan menyakiti jiran tetangga.

Akibat daripada menyakiti jiran tetangga inilah juga balasan azab dilipatgandakan, kerana ia merupakan satu penganiayaan, pengkhianatan dan pemungkiran terhadap segala kebaikan, pertolongan dan bantuan yang dihulurkan dan kepercayaan yang dititipkan oleh seorang jiran terhadap jiran tetangganya.

Jiran tetanggalah orang yang sentiasa berada di sisi kita apabila kita memerlukan pertolongan, dialah yang dapat menunaikan hajat kita apabila kita memerlukan seseorang untuk menunaikan hajat kita, sama ada dalam keadaan suka atau duka, dan dialah orang yang kita percayai untuk kita menitipkan anak isteri dan harta benda selama kita berpergian jauh untuk beberapa hari. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika dikatakan bahawa mengkhianati jiran tetangga itu adalah menyamai sepuluh kali ganda lebih teruk daripada mengkhianati orang lain yang bukan tetangga.

Perkara ini jelas sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadis di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada para sahabat: “Apa kata kamu dalam perkara zina?” Para sahabat menjawab: “Ia adalah perbuatan haram yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya, maka ia adalah haram sehingga ke Hari Kiamat.” Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya seorang lelaki yang berzina dengan sepuluh orang perempuan lebih ringan ke atasnya berbanding dia berzina dengan seorang isteri jirannya.” Nabi bersabda lagi kepada para sahabat: “Apa kata kamu perihal perbuatan mencuri?” Para sahabat menjawab: “Allah dan RasulNya telah mengharamkannya, maka ia adalah haram.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya seorang lelaki yang mencuri dari sepuluh buah rumah lebih ringan ke atasnya berbanding dia mencuri dari seorang jirannya.”

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Al-Thabarani daripada sahabat Al-Miqdad bin Al-Aswad Radhiallahu ‘anhu.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa yang menyakiti jirannya maka sesungguhnya dia menyakiti saya, dan barangsiapa menyakiti saya maka sesungguhnya dia menyakiti Allah, dan barangsiapa memerangi jirannya maka sesungguhnya dia memerangi saya, dan barangsiapa yang memerangi saya maka sesungguhnya dia memerangi Allah. (Hadis riwayat Abu Al-Syeikh Ibn Hayyan)

Apabila seorang diuji berhadapan dengan jiran yang tidak elok maka hendaklah dia bersabar dengan kerenah jirannya itu kerana sesungguhnya dengan kesabaran itu akan dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Di antara hikmat berjiran yang boleh dibuat sebagai suatu kesimpulan, apabila dilihat daripada aspek faedahnya kepada masyarakat majmuk, akan dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni, saling membantu dan memperkemas hubungan hidup bermasyarakat serta toleransi. Inilah di antara tuntutan agama terhadap setiap anggota masyarakat dan tuntutan tersebut dapatlah dipetik dan ditanggapi melalui firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong- menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. (Surah Al-Mâ’idah: 2)

Apabila dilihat dari aspek keindividualan, seseorang itu dapat mengenali dirinya sama ada dia seorang yang baik atau sebaliknya. Jika jiran di sekeliling merasa hidup tenteram bertetangga dengannya, ataupun sebaliknya, maka dari situ dia dapat mengetahui apakah dia seorang yang baik atau sebaliknya. Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Bagaimana saya dapat mengetahui, bila saya berbuat baik dan bila saya berbuat jahat? Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila engkau mendengar jiran-jiran engkau berkata bahawa engkau seorang yang baik, maka engkau adalah seorang yang baik, dan apabila engkau mendengar mereka berkata bahawa engkau seorang yang tidak baik, maka engkau adalah seorang yang tidak baik. (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ketika mana jiwa-jiwa dipenuhi dengan roh keimanan dan penghidupan sentiasa berlegar di atas paksi Islam, maka sudah tentu setiap insan tahu dan kenal apakah hak-hak orang lain yang tertanggung ke atas dirinya dan akan sentiasa memelihara serta menunaikannya kepada yang berhak.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6047