Doa Terhijab
Berdoa merupakan salah satu daripada elemen yang penting dalam kehidupan seorang muslim. Dari satu segi ia merupakan pengakuan kepada kekuasaan Allah yang mutlak terhadap segala yang berlaku, manakala dari segi yang lain pula ia adalah puncak pengabdian seorang hamba kerana hadirnya perasaan berhajat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Berdasarkan ini, doa mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah dan Allah menyukai orang yang berdoa kepadaNya. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah daripada doa.
Dalam hadis yang lain pula, daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Mohonlah anugerah daripada Allah kerana sesungguhnya Allah suka diminta anugerah dan sebaik-baik ibadah adalah menunggu kelapangan (terlepas daripada kesusahan).
Doa adalah penggerak dalaman yang memberikan kekuatan, keyakinan, harapan dan keberkatan dalam apa jua amal perbuatan. Maka tidak hairan di dalam Islam setiap langkah sesuatu perbuatan, ada doa-doa tertentu yang digalakkan untuk diamalkan sama ada sebelum memulakan sesuatu perbuatan atau pun selepas melakukannya. Semua ini tidak lain, bagi menggalakkan orang-orang Islam agar sentiasa berdoa dan bagi menggambarkan bahawa berdoa itu adalah salah satu daripada keperluan yang penting di dalam mencari keberkatan, keredaan dan perlindungan Allah yang sepenuhnya pada mencapai segala apa yang dilakukan. Sebab itu orang yang enggan berdoa bukan sahaja dia telah menutup bagi dirinya berbagai-bagai pintu kebaikan, malah dia juga akan mendapat kemurkaan daripada Allah. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang tidak minta (berdoa) kepada Allah, Dia (Allah) marah kepadanya.
Kelebihan atau fadhilat doa itu amat besar dan banyak sekali. Melalui doa, keampunan dan rahmat diperolehi, dan melalui doa juga musibah dan kesusahan terhindar. Pendeknya, jika Allah menghendaki dan merestui doa hambaNya, tiada satu daya kuasa pun yang dapat menghalangnya dan Allah tidak akan mensia-siakan keikhlasan orang yang berdoa. Allah Ta‘ala berfirman di dalam surah Al- Baqarah, ayat 186:
Tafsirnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik dan betul.
Adapun kelebihan orang yang berdoa itu sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepadaNya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.
Di dalam ayat dan hadis tersebut, jelas diterangkan bahawa apabila seorang hamba berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan doanya dan tidak akan membiarkan doanya itu kosong sahaja. Namun doa yang dimakbulkan oleh Allah itu mempunyai syarat-syarat yang tertentu sebagaimana doa yang tidak dimakbulkan itu pula ada sesuatu sebab mengapa ianya ditolak. Berapa banyak kita melihat orang berdoa, tetapi pada masa yang sama secara sedar atau tidak dia melakukan perkara-perkara yang menjadi punca atau sebab doanya tidak diterima oleh Allah. Maka mengetahui perkara-perkara yang menjadi punca atau sebab doa tidak diterima adalah penting bagi memperbaiki kesilapan dan menghalusi kekurangan yang terdapat di dalam berdoa. Di antara sebab doa tidak dimakbulkan oleh Allah ialah:
i. Orang yang berdoa itu tidak dicintai oleh Allah kerana mengabaikan perintah dan laranganNya. Kecintaan Allah tidak akan diperolehi kecuali dengan mendekatkan diri kepadaNya. Tiada cara untuk mendekatkan diri kepada Allah yang lebih baik dan disukai oleh Allah kecuali dengan mengerjakan apa yang diperintahkanNya terutama perkara yang difardhukanNya. Mencuaikan kefardhuan agama itu adalah di antara salah satu punca doa tidak diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Di dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah telah berfirman:
Maksudnya: Barangsiapa yang menyakiti waliKu (orang mukmin yang dikasihi Allah) maka sesungguhnya Aku memaklumkan perang kepadanya, dan tidak ada sesuatu yang dapat mendekatkan hambaKu kepadaKu yang lebih Aku sukai daripada apa-apa yang Aku wajibkan kepadanya, dan hambaKu sentiasa berusaha mendekatkan diri kepadaKu dengan amal-amal ibadah sunnah sehingga Aku menyintainya. Ketika Aku menyintainya, maka Aku menjadi (Pemelihara) pendengarannya yang dengan itu dia dapat mendengar (maka dia tidak akan mendengar kecuali apa yang dihalalkan baginya mendengar), dan Aku menjadi (Pemelihara) penglihatannya yang dengan itu dia dapat melihat (maka dia tidak akan melihat kecuali apa yang dihalalkan baginya melihat), dan Aku menjadi (Pemelihara) tangannya yang dengan itu dia dapat memegang dengan keras (maka dia tidak akan memegang kecuali apa yang dihalalkan baginya memegang) dan Aku menjadi (Pemelihara) kakinya yang dengan itu dia dapat berjalan (maka dia tidak akan berjalan kecuali apa yang dihalalkan baginya berjalan). Apabila dia memohon kepadaKu, maka Aku benar-benar menganugerahinya. Apabila dia memohon perlindungan kepadaKu, maka Aku benar-benar melindunginya. (Hadis riwayat Bukhari)
ii. Tidak memelihara makan, minum dan pakaian daripada yang halal atau daripada sumber yang halal. Sesungguhnya hidup yang bergelumang dengan perkara-perkara yang haram terutama makan, minum dan pakaian adalah punca utama doa tidak dimakbulkan sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik (suci bersih daripada segala kekurangan), Dia (Allah) tidak menerima kecuali yang baik (halal), dan Allah memerintahkan kepada orang-orang beriman dengan apa yang Dia perintahkan kepada para rasul. Maka Dia (Allah) berfirman: “Wahai para rasul makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Mu‘minun: 51) Dan Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (halal) yang telah Kami berikan kepada kamu” (Al-Baqarah: 172). Kemudian Rasulullah menyebutkan berkenaan seorang lelaki yang melakukan perjalanan yang jauh, yang kusut rambutnya lagi berdebu, dia menadahkan tanganya ke langit sambil (berkata): “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku (berdoa), (padahal) makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan yang haram, bagaimana doanya itu hendak dimakbulkan?” (Hadis riwayat Muslim)
iii. Meninggalkan mengajak manusia untuk berbuat kebajikan dan mencegah kemungkaran (amr ma‘rûf nahy munkar). Kemungkaran apa jua bentuknya sama ada berlaku di dalam sebuah keluarga, kampung, masyarakat dan negara adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam mencegahnya mengikut kemampuan dan kuasa yang ada padanya. Membiarkan kemungkaran berlaku bukan hanya menyebabkan doa terhijab, malah mengundang turunnya azab Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Hudzaifah bin Al- Yaman:
Maksudnya: Demi zat yang diriku dalam kekuasaanNya, hendaklah kamu mengajak berbuat kebaikan dan mecegah kemungkaran atau (jika kamu tidak melaksanankannya) sungguh Allah akan menurunkan seksa ke atas kamu, kemudian kamu berdoa kepadaNya tetapi Dia tidak mengabulkan doa kamu.
iv. Tidak bertaubat dan memohon keampunan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan. Taubat dan memohon keampunan Allah itu adalah pembuka pintu rahmat Allah dan penutup pintu azab Allah di dunia dan di akhirat. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman di dalam surah Al-Anfâl, ayat 33:
Tafsirnya: Dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfâr (memohon keampunan)
Begitu juga Nabi menjelaskan akan kelebihan orang yang sentiasa memohon keampunan Allah di dalam sabdanya yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Barangsiapa sentiasa memohon keampunan, Allah jadikan daripada setiap kesempitan baginya jalan keluar dan daripada setiap kesusahan (baginya) kelapangan dan Allah beri rezeki kepadanya daripada jalan yang tidak disangka-sangka. (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
v. Cepat berputus asa dan tergesa-gesa menganggap doa tidak dikabulkan akibat tidak sabar dengan ujian yang dihadapi. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Dikabulkan (doa) salah seorang daripada kamu selama dia tidak tergesa-gesa iaitu dengan berkata: “Aku sudah berdoa (tetapi) tidak dikabulkan. (Muttafaq ‘alaih)
Dalam satu riwayat lain yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu juga, Nabi bersabda:
Maksudnya: Doa seorang hamba akan selalu dikabulkan selama dia tidak berdoa untuk tujuan dosa atau memutuskan silaturahim dan selama dia tidak tergesa-gesa. Dikatakan: “Wahai Rasulullah apakah yang dimaksudkan tergesa-gesa itu?” Beliau menjawab: “(Umpamanya seorang) berkata: “Aku sudah berdoa, aku sudah berdoa, akan tetapi aku belum melihat doaku dikabulkan, maka dia berputus asa dan dia meninggalkan doa.” (Hadis riwayat Muslim)
vi. Tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa hingga menjadikan hati lalai ketika berdoa dan tidak yakin doa akan dikabulkan. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dikabulkan dan ketahuilah Allah tidak akan mengabulkan doa daripada hati yang lupa serta lalai.
Hati atau jiwa manusia itu bukan hanya boleh menjadi lupa dan lalai, malah hati atau jiwa itu boleh menjadi mati disebabkan oleh berbagai-bagai perkara. Akibatnya apabila hati telah mati maka segala doa yang dipohonkan tidak diterima atau dimakbulkan oleh Allah Ta‘ala. Tersebut di dalam kitab Al-Majâlis Al-Saniyyah tulisan Al-Syeikh Ahmad bin Hijazi Al-Fasyni Al-Mishri, beliau menceritakan:
“Suatu hari Ibrahim bin Adham (seorang ahli tashawwuf yang masyhur) berjalan lalu di pasar Bashrah, beliau dikerumuni oleh orang ramai. Di antara mereka ada yang bertanya: “Wahai Abu Ishak (panggilan kepada Ibrahim bin Adham), apa halnya kami, kami berdoa, tetapi tidak dimakbulkan doa-doa kami”. Maka Ibrahim menjawab: “Kerana hati-hati kamu telah mati dengan sebab sepuluh perkara:
Pertama: Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menyempurnakan hakNya.
Kedua: Kamu menyangka kamu mencintai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi kamu meninggalkan sunnahnya.
Ketiga: Kamu membaca Al-Qur’an, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
Keempat: Kamu makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak menyempurnakan kesyukuranNya.
Kelima: Kamu katakan bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu setuju dengannya dan tidak pula kamu menentangnya.
Keenam: Kamu katakan bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
Ketujuh: Kamu katakan neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
Kelapan: Kamu katakan bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
Kesembilan: Kamu bangun daripada tidur, tetapi kamu sibuk dengan keaiban manusia, padahal kamu lupa keaiban kamu sendiri.
Kesepuluh: Kamu mengkebumikan mayat-mayat kamu, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripada mereka.”
Daripada kata-kata ulama tersebut di atas, jelas membayangkan betapa doa itu adalah berkait rapat dengan hati atau menjadi urusan hati. Hanya hati-hati yang hidup dengan keimanan dan ketaqwaan sahaja yang akan berhasil memperolehi kemurahan dan perkenan Allah.
vii. Kehendak Allah yang Maha Adil dan Maha Bijaksana yang mempunyai hikmahnya tersendiri. Maka apabila orang yang berdoa itu telah melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya, dia harus faham bahawa adakalanya apa yang dipohonkannya di dalam doa itu tidak dikurniakan seperti mana yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun, salah satu daripada tiga perkara akan menunggu apabila doa diterima oleh Allah, iaitu sama ada dikurniakan kepadanya seperti apa yang dipohonkannya, atau ditangguhkan doanya itu pada Hari Akhirat, atau dipalingkan daripada dirinya sesuatu keburukan dengan sebab doanya itu. Daripada Abu Sa‘id Al-Khudri berkata sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiada seorang muslim berdoa dengan satu doa yang bukan doa yang mengandungi dosa dan bukan doa yang memutuskan silaturahim, melainkan Allah akan mengurniakan dengannya salah satu daripada tiga perkara, sama ada dipercepatkan (ditunaikan) baginya doanya itu, atau disimpan baginya doanya itu di akhirat (sebagai balasan), atau dipalingkan daripadanya sesuatu keburukan seumpamanya, mereka berkata: “Kalau begitu baiklah kami memperbanyakkan doa”. Nabi Bersabda: “Allah lebih banyak menerima doa hamba-hambaNya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Maka dari itu, sebagai hamba Allah yang tidak akan putus asa mengharapkan rahmat Allah di dunia dan di akhirat, hendaklah kita memastikan perkara-perkara yang boleh menjejaskan keberkesanan doa, bahkan akan terus memperbanyakkan doa sepanjang masa, terutama di saat-saat senang dan mewah supaya Allah akan melihatnya di saat-saat menghadapi kesusahan dan kesulitan. Daripada Abu Hurairah Radhiallah ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa suka supaya dikabulkan doanya oleh Allah di waktu kesulitan dan kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan doa di waktu senang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6052
