Hubungan Iman Dan Amal Salih Dengan Kualiti Hidup
Berbagai-bagai definisi boleh kita dapati mengenai maksud ‘kualiti hidup’ atau hidup yang berkualiti dewasa ini daripada sarjana-sarjana atau ahli-ahli fikir. Ada yang mendefinisikan untuk mendapat hidup yang berkualiti itu seseorang perlu menjuruskan usahanya dan mementingkan peranan ke arah kebendaan dan keduniaan sahaja dan ada pula yang mengutamakan peranan jiwa kerohanian dengan tidak mengambil kira kepada peranan kebendaan. Jadi, bagaimanakah perspektif Islam dalam mentakrifkan hidup yang berkualiti?
Apa yang dapat dikatakan berhubung dengan kehidupan berkualiti itu ialah dengan membawakan firman Allah di dalam surah Al-Nahl, ayat 97:
Tafsirnya: Sesiapa yang beramal salih, daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik (berkualiti); dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka (di akhirat) dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan.
Ini adalah janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya yang beramal salih iaitu beramal mengikut ajaran Al-Qur’an dan sunnah NabiNya Shallallahu ‘alaihi wasallam serta beriman dengan Allah dan rasulNya. Iaitu janjiNya akan memberikan kepada mereka حياة طيبة (kehidupan yang berkualiti), di samping akan membalas kepada mereka dengan balasan yang terbaik di akhirat kelak terhadap apa yang telah mereka lakukan.
Ada bermacam-macam tafsiran yang diberikan oleh ulama tafsir mengenai dengan maksud hakikat حياة طيبة di dalam ayat yang tersebut. Menurut pentafsiran Ibnu Katsir, kehidupan yang baik (berkualiti) itu ialah ketenteraman jiwa daripada sebarang gangguan, walau dari mana juga datangnya gangguan itu. Menurut satu pentafsiran yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan satu jemaah daripada ahli tafsir pula; kehidupan yang baik ialah mendapat rezeki yang halal lagi baik dalam hidup di dunia ini. Menurut tafsiran Ali bin Abu Thalib Radiallahu ‘anhu, kehidupan yang baik itu ialah qanâ‘ah iaitu perasaan tenang, perasaan cukup dan sabar pada apa yang diberikan Allah dengan tidak merasa gelisah. Menurut satu tafsiran lagi daripada Ali bin Abu Thalhah daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, kehidupan yang baik itu ialah al-sa‘âdah (merasa bahagia). Satu riwayat daripada Al-Dhahhak ialah rezeki yang halal, kelazatan dan kepuasan beribadat kepada Allah dalam hidup serta dada yang lapang.
Sebenarnya semua pentafsiran ini tidaklah berlawanan, malah ia melengkapkan di antara satu dengan yang lain dan yang shahîh kata Ibnu Katsir, kehidupan yang baik (berkualiti) itu meliputi semua yang telah disebutkan oleh para ulama tafsir tersebut sebagaimana yang disebutkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, Muslim dan Ibnu Majah daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya beroleh kemenanganlah sesiapa yang telah menjadi (beriman dengan) Islam dan diberikan rezeki yang secukupnya, dan diberikan sifat qanâ‘ah (merasa cukup dan tidak gelisah) oleh Allah dengan apa yang telah dikurniakan kepadanya. (Hadis riwayat Tirmidzi, Muslim dan Ibnu Majah)
Satu riwayat lain yang diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi dan Al-Hakim daripada Fadalah bin ‘Ubaid, bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Beruntunglah sesiapa yang diberi petunjuk kepada Islam dan mendapat kehidupan (rezeki) yang secukupnya dan dia qanâ‘ah (merasa cukup dengan apa yang dikurniakan Allah). (Hadis riwayat Tirmidzi dan Al-Hakim)
Maka jelas kepada kita, asas hidup yang baik dan berkualiti itu ialah kombinasi di antara dua unsur iaitu iman yang akan melahirkan ketenangan dan kebahagian jiwa dan amal iaitu usaha untuk mendapatkan rezeki-rezeki kurniaan Allah di dunia yang akan melahirkan ketenangan dan kebahagian fizikal serta perasaan merasa cukup terhadap apa-apa yang dikurniakan Allah kepadanya (qanâ‘ah).
Hidup akan menjadi kosong dan sia-sia tanpa ada rasa iman kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana dengan hilangnya iman dari hati, maka akan hilang juga perasaan tanggungjawab terhadap perbuatannya kerana dia merasa bebas lepas dalam hidup ini dengan tidak terikat kepada hukum, agama dan moral. Dengan itu mudah tumbuh perasaan sombong dan takabbur, berbuat sesuka hatinya apabila telah merasa dirinya tidak terikat kepada sebarang tanggungjawab.
Hakikat beriman itu ialah kepercayaan yang meresap di dalam hati dengan penuh keyakinan yang tidak bercampur syak dan ragu serta memberi pengaruh bagi pandangan hidup dan tingkah laku dalam perbuatan sehari-hari. Ini adalah kerana iman yang sempurna dan sebenar-benarnya terbentuk daripada tiga rangkai yang utama; membenarkan dalam hati (التصديقِبلقلب), mengikrarkan dengan lidah (اإلقرارِبلسان) dan membenarkan dengan perbuatan (العمل ِبلتكليف)
Oleh itu, iman bukanlah semata-mata pernyataan dengan lidah bahawa dia orang beriman kerana banyak orang munafik yang mengaku beriman dengan lidahnya, sedang hati mereka tidak mempercayainya sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Baqarah, ayat 8-9:
Tafsirnya: Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada Hari Akhirat”, padahal mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya diri mereka sendiri, sedang mereka tiada menyedarinya.
Begitu juga iman itu bukan pula semata-mata mengerjakan amal dan syiar-syiar yang biasa dikerjakan oleh orang-orang beriman, kerana berapa banyak orang yang pada lahirnya mengerjakan perbuatan baik dan peribadatan, sedang hati mereka kosong daripada rasa kebaikan dan keikhlasan kepada Allah. Firman Allah di dalam surah Al-Nisâ’, ayat 142:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) ria (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).
Begitu pula, iman itu tidak akan sempurna jika hanya membenarkan di dalam hati tanpa ada perbuatan-perbuatan atau amalan yang melambangkan kepada keimanan kerana amal itu adalah sebahagian daripada iman dan tidak dapat dipisahkan bagi membentuk keimanan yang sempurna. Berapa banyak kita lihat orang yang mengakui beriman dengan hati dan berikrar dengan lidah tetapi amal perbuatan dan tingkah laku mereka jelas bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan iman.
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda pada menggambarkan hakikat iman itu yang diriwayatkan oleh Ibnu Najjar dan Dailami:
Maksudnya: Iman itu bukanlah merupakan harapan dan bukan pula perhiasan lahir, melainkan yang tertanam dalam hati dan dibuktikan oleh perbuatan. (Hadis riwayat Ibnu Al-Najjar dan Al-Dailami)
Dengan sebab itu juga apabila kita melihat Al-Qur’an membicarakan mengenai iman, lebih daripada 70 ayat menyebutkan perkataan iman itu berganding dengan perkataan amal (perbuatan). Amal perbuatan pula tidak memadai dengan semata-mata amal, melainkan yang dikehendaki ialah amal yang salih, dengan ertinya yang luas iaitu memberikan kebaikan dunia dan akhirat kepada diri dan masyarakat, yang mana tujuannya yang asas sekali adalah untuk mencari keredaan Allah.
Akidah Islam sama sekali telah menolak angan-angan dan harapan kosong yang menyebabkan sebahagian manusia mengira bahawa syurga itu disediakan untuk mereka tanpa melakukan amal perbuatan yang baik. Syurga juga bukanlah sebagai harta benda yang dapat diwarisinya daripada nenek moyangnya, atau hak yang boleh diterima semata-mata kerana dia menganut agama Allah. Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 111-112:
Tafsirnya: Dan mereka (orang Yahudi dan Nashrani) berkata: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nashrani.” Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar. (Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa sahaja yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amal perbuatannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita”
Bahkan bukan sahaja orang-orang Yahudi dan Nashrani yang berpendirian sedemikian tetapi ada juga di antara orang-orang Islam sendiri yang mempunyai harapan dan angan-angan kosong. Mereka mengira, bahawa dengan semata-mata mengucapkan dua kalimah syahadat atau mengaku diri mereka orang Islam, sudah cukup untuk membuka pintu syurga lalu mereka masuk ke dalamnya dengan selamat dan sentosa dan juga akan terserlah kehidupan yang baik dan berkualiti. Al-Qur’an telah pun menegaskan bahawa kehidupan yang baik (berkualiti) dan syurga itu hanya akan didapati oleh orang-orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah iaitu beriman dan mengerjakan amal perbuatan yang baik. Firman Allah dalam surah Al-Nahl, ayat 97:
Tafsirnya: Sesiapa yang beramal salih, daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik (berkualiti); dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan
FirmanNya lagi di dalam surah Al-Nisâ’, ayat 124:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang mengerjakan amal salih, daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.
Dalam membina kehidupan yang berkualiti, iman dan amal adalah sama pentingnya, iaitu amal dalam pengertiannya yang luas sama ada berbentuk keduniaan atau peribadatan yang memberikan kemanfaatan kepada individu itu sendiri ataupun masyarakatnya.
Bahkan amal pekerjaan orang yang beriman itu adalah amal yang berkualiti kerana dorongan dari dalam. Dia bukan hanya sekadar bekerja, bahkan dia bekerja dengan kemahuan yang bulat dengan cara yang terbaik dan sempurna. Maka dengan itu, dicurahkannya segenap tenaga dan kesanggupannya terhadap pekerjaannya kerana dia menyedari dengan kepercayaan yang yakin, bahawa Allah sentiasa memperhatikannya dalam setiap amal perbuatannya, sama ada di sawah, di kilang, di pejabat, di ladang di mana saja dan pada bila-bila masa. Inilah yang dikatakan ihsan sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
Maksudnya: “...... Ihsan itu ialah, engkau beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya, dan jika engkau tidak dapat melihatNya, (maka hendaklah engkau ingat), bahawa Allah melihat engkau.........” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Beribadat dalam ertinya yang luas termasuk bekerja yang diniatkan kerana Allah. Di antara kriteria orang yang bekerja kerana Allah adalah mempercayai bahawa Allah sentiasa memperhatikannya. Inilah yang tumbuh dalam jiwa orang yang benar-benar beriman. Justeru itu pula, ini akan mendorongnya kepada pekerjaan dan penghasilan yang berkualiti kerana orang yang beriman itu tahu bahawa Tuhannya tidak akan meredhai segala pekerjaannya melainkan dia menjalankannya di dalam bentuk yang sempurna dan berkualiti. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Baihaqi:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang daripada kamu mengerjakan suatu pekerjaan (sama ada untuk dunia atau akhirat) supaya dikerjakannya dengan tekun dan sempurna (berkualiti). (Hadis riwayat Baihaqi)
Tidak dinafikan bahawa apabila kita memperkatakan kualiti hidup, akan tergambar di fikiran seseorang tentang ekonomi atau kewangan yang mantap yang dapat menghasilkan makan minum yang baik, perhiasan, tempat tinggal, kenderaan yang selesa dan sebagainya dalam bentuk kebendaan. Berdasarkan ajaran Islam, segala perkara tersebut tidaklah dilarang untuk dinikmati kerana tidak mungkin Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan semua perkara itu dan mengharuskannya, kemudian mengharamkan untuk dinikmati.
Prinsip Islam adalah jelas; mengharuskan manusia menikmati segala apa yang diciptakanNya di bumi ini daripada kecantikan, perhiasan dan kebaikan daripada rezeki-rezeki, asal sahaja dipelihara batas-batas yang telah dihalalkan oleh Allah dan menjauhi yang diharamkanNya. Allah Subhanahu wa ta‘ala tidak menghalalkan sesuatu kepada hamba-hambaNya kecuali yang berkualiti dan terbaik. Begitu juga Dia tidak mengharamkan sesuatu benda kecuali semuanya yang keji dan kotor.
Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah, ayat 168:
Tafsirnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik.
FirmanNya lagi dalam surah Al-A‘râf, ayat 157:
Tafsirnya: Dan ia (kitab Taurat dan Injil) menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.
Semua ini akan lebih jelas lagi apabila kita melihat firman Allah tatkala mengingkari perbuatan orang-orang yang mengharamkan perhiasan dan rezeki-rezeki yang baik dan berkualiti yang telah dikurniakanNya di dalam surah Al- A‘râf, ayat 32:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan (pakaian dan benda-benda yang indah) yang Allah telah keluarkan untuk hamba-hambaNya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakanNya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada Hari Kiamat.” Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.
Mungkin timbul pertanyaan, adakah ini tidak berlawanan dengan sifat zuhud yang dianjurkan oleh Islam? Jawabnya sama sekali ianya tidak bertentangan. Adapun zuhud yang dianjurkan oleh Islam bukanlah mengharamkan kebaikan-kebaikan kehidupan dunia, menolak amal usaha dan meningkatkan taraf hidup sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang. Tetapi zuhud itu ialah memiliki kebaikan-kebaikan dunia dan kekuatan jiwa yang dapat mengawal fitnah- fitnah keinginan dan keelokan dunia, disebabkan oleh rangsangan kehidupan di akhirat.
Manakala amaran-amaran ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap keelokan kehidupan dunia bukanlah ditujukan kepada mereka yang menikmati kebaikan kehidupan di dunia, tetapi ia adalah ditujukan kepada mereka yang menjadikan kehidupan dunia sebagai matlamat hidup mereka dan meletakkan segala amal usaha mereka semata-mata untuk dunia serta membiarkan fikiran mereka dikuasai oleh dunia sehingga cinta kepada dunia dan harta serta membenci akan kematian (kehidupan akhirat). Di antaranya firman Allah Ta‘ala dalam surah Al-Isrâ’, ayat 18-19:
Tafsirnya: Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki, kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak) untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir daripada rahmat Allah. Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang dia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam juga telah memberi peringatan mengenai akibat mementingkan keduniaan semata-mata yang mana implikasinya bukan sahaja terhadap kehidupan di akhirat, malah juga kehidupan di dunia ini. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Tsauban:
Maksudnya: Akan terjadi suatu masa, di mana umat-umat lain mengerumuni memperebutkan kamu, sebagaimana orang-orang yang makan dengan lahapnya menghadapi piring. Berkata seorang: “(Adakah kerana) daripada (bilangan) kami yang sedikit ketika itu?” Jawab Rasulullah: “(Tidak), bahkan kamu ketika itu ramai, akan tetapi kamu bagai buih ketika banjir dan Allah mencabut dari hati musuh-musuh kamu akan kegentaran terhadap kamu dan melemparkan ke dalam hati kamu akan kelemahan.” Berkata seseorang: “Apakah kelemahan itu (sebabnya)?” Jawab Rasulullah: “Mencintai kesenangan dan kemewahan dunia dan benci kepada kematian.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Orang yang zuhud itu ialah orang yang memiliki kehidupan dunia di tangannya, dengan maksud dia yang mempermainkan dunia, bukan dunia yang mempermainkannya. Dunia yang menghendakinya bukan dia yang menghendaki dunia. Dunia baginya adalah sebagai alat yang berada di genggamannya yang digunakan untuk mendapatkan kebaikan hidup di akhirat. Sehubungan itu Imam Al-Ghazali memberi penjelasan berhubung dengan zuhud iaitu: “Bukanlah orang yang zuhud itu orang yang tiada berharta, tetapi orang yang zuhud itu ialah orang yang tiada dibimbangkan oleh hartanya sekalipun harta seluruh alam ini kepunyaannya belaka.”
Dalam hal ini Sayyidina Ali Radiallahu ‘anhu pernah berkata: “Kalau seorang lelaki mengambil sekalian apa yang ada di permukaan bumi ini dengan maksud semata-mata kerana Allah, maka bukan dia termasuk daripada orang yang gemarkan dunia.”
Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa kualiti hidup itu ialah bersifat zuhud yang berasas daripada iman dan amal salih bagi mendapatkan kurniaan Allah berupa kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Firman Allah di dalam surah Al- Baqarah, ayat 201:
Tafsirnya: Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami berikanlah kepada kami kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di akhirat (dengan kehidupan berkualiti) dan peliharakalah kami daripada azab api neraka.”
Kesimpulannya, kebaikan hidup di dunia dan akhirat pada asasnya tidak akan dicapai kecuali dengan keimanan dan ketakwaan yang sebenar-benarnya dalam mentaati segala apa yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi segala apa jua laranganNya sebagaimana janji Allah di dalam firmanNya dalam surah Al-A‘râf, ayat 96:
Tafsirnya: Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6113
