Anggota Sakit Bagaimana Mengangkat Hadas
Mengangkat hadas, sama ada hadas kecil atau hadas besar, merupakan cara bersuci bagi membolehkan seseorang itu melakukan ibadat.
Mengambil wudhu’ merupakan tuntutan yang wajib bagi orang yang berhadas kecil yang hendak mendirikan sembahyang, mengerjakan thawaf, menyentuh atau membawa mushhaf dan sebagainya.
Begitu juga mandi merupakan tuntutan yang wajib bagi orang yang berhadas besar kerana junub, kering darah haidh dan nifas.
Namun dalam keadaan tertentu, adakalanya seseorang itu tidak dapat bersuci atau mengangkat hadas dengan cara biasa disebabkan mempunyai keuzuran seperti mengidap penyakit kulit, luka dan seumpamanya, yang boleh memudaratkan jika dia menggunakan air bagi membasuh sesuatu anggota, sedang anggota itu wajib dibasuh ketika mengangkat hadas.
Anggota yang sakit itu pula keadaannya berbeza; adakalanya ia dibalut dengan sesuatu seperti dibalut dengan kain, plaster, simen atau seumpamanya dan adakalanya juga anggota yang sakit itu tidak berbalut. Bermakna, di sini terdapat dua keadaan dalam konteks cara penyucian atau pembersihan daripada hadas kecil atau besar. Keadaan pertama iaitu ‘anggota sakit yang berbalut’ yang mewajibkan seseorang itu melakukan tiga perkara, sementara keadaan yang kedua iaitu ‘anggota sakit yang tidak berbalut’ yang mewajibkan melakukan hanya dua perkara.
Anggota Sakit Yang Berbalut
Jika sekiranya anggota seseorang yang sakit itu dibalut dengan sesuatu seperti kain, plaster, simen atau seumpamanya dan ditakuti akan memudaratkannya jika dibuka balutan tersebut, maka dalam hal ini wajib dia melakukan tiga perkara seperti berikut:
1. Membasuh bahagian anggota yang tidak sakit, termasuklah juga sebelah bawah di bahagian-bahagian tepi balutan jika terdaya melakukannya dan membasuh bahagian anggota-anggota lain yang tidak sakit.
Apa yang perlu dilakukan ketika membasuh bahagian anggota tersebut hendaklah berhati-hati, jangan sampai air mengalir sehingga terkena bahagian yang sakit.
2. Menyapu semua balutan yang membalut anggota yang sakit dengan air, iaitu sebagai ganti perbuatan membasuh bahagian anggota yang tidak sakit yang ditutup oleh pembalut.
Jika sekiranya pembalut atau plaster tersebut tidak menutupi kecuali pada bahagian yang sakit sahaja, maka tidaklah wajib ianya disapu. Begitu juga, jika sekiranya terdaya membasuh bahagian yang tidak sakit yang tertutup oleh pembalut, maka tidaklah wajib menyapu balutan tersebut dengan air.
Bagi orang yang mengangkat hadas besar bolehlah dia menyapu balutan itu pada bila-bila masa ketika dia mandi hadas kerana tidak disyaratkan tertib.
Adapun bagi orang yang mengangkat hadas kecil hendaklah sentiasa menjaga tertib wudhu’ kerana tertib adalah di antara rukun wudhu’ dalam mazhab Syafi‘e. Oleh itu, apabila tiba masa membasuh anggota sakit yang tidak boleh terkena air barulah dia menyapu balutan tersebut. Umpamanya, jika terdapat luka yang berbalut pada tangan, maka hendaklah dia membasuh muka terlebih dahulu, kemudian membasuh bahagian tangan yang tidak sakit dan selepas itu barulah menyapu balutan yang ada pada tangan itu sebelum menyapu kepala dan seterusnya membasuh kaki.
3. Bertayamum pada anggota tayamum iaitu muka dan dua tangan untuk anggota yang berbalut yang tidak boleh terkena air iaitu sebagai gantinya.
Bagi orang yang mengangkat hadas besar tidaklah disyaratkan tertib. Oleh itu bolehlah dia bertayamum terlebih dahulu, kemudian membasuh anggota-anggota yang lain, ataupun membasuh anggota-anggota yang sihat terlebih dahulu, kemudian baru bertayamum.
Begitu juga jika sekiranya terdapat beberapa anggota sakit yang berbalut memadailah dengan melakukan satu tayamum sahaja kerana hukum seluruh badan bagi orang yang mengangkat hadas besar adalah seperti satu anggota sahaja.
Manakala bagi orang yang mengangkat hadas kecil, apabila tiba masa membasuh anggota sakit yang tidak boleh terkena air barulah dia bertayamum kerana memelihara tertib. Oleh itu, jika terdapat luka yang berplaster pada muka, maka hendaklah dia bertayamum terlebih dahulu sebelum dia membasuh dua tangan. Ataupun luka tersebut terdapat pada tangan, maka hendaklah dia bertayamum terlebih dahulu sebelum dia menyapu kepala dan begitulah seterusnya.
Apabila terdapat dua anggota sakit yang berbalut maka diwajibkan juga dua tayamum, jika tiga anggota maka diwajibkan juga tiga tayamum, dan jika empat anggota maka diwajibkan juga empat tayamum, jika penyakit yang tidak boleh terkena air itu tidak terdapat pada keseluruhan anggota wudhu’, hanya yang tertentu sahaja, kecuali kepala. Umpamanya, hanya separuh muka dan separuh tangan sahaja yang sakit, maka wajib dua tayamum. Atau separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, maka wajib tiga tayamum. Ataupun separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, akan tetapi seluruh kepala terkena penyakit, maka dalam hal ini wajib empat tayamum.
Akan tetapi jika keempat-empat anggota wudhu’; seluruh muka, seluruh dua belah tangan, seluruh kepala dan seluruh dua belah kaki, semuanya sakit tidak boleh terkena air, maka memadailah dengan satu tayamum sahaja. Demikian juga, jika penyakit itu terdapat pada seluruh dua anggota yang berturut-turut, seperti muka dan dua belah tangan, ataupun kepala dan dua belah kaki, maka memadailah dengan satu tayamum bagi tiap-tiap dua anggota yang berturut-turut tersebut.
Anggota Sakit Yang Berbalut Yang Boleh Dibuka Atau Yang Tidak Berbalut
Jika sekiranya anggota seseorang yang sakit itu dibalut dengan sesuatu dan tidak memudaratkan jika dibuka balutan tersebut, ataupun anggota tersebut tidak dibalut dengan sesuatu, maka dalam hal ini wajiblah dia melakukan dua perkara seperti berikut:
1. Membasuh bahagian yang tidak sakit atau luka daripada bahagian anggota tersebut. Begitu juga di bahagian anggota-anggota lain yang tidak sakit.
Apa yang mesti dilakukan ketika membasuh bahagian anggota yang tidak sakit itu, hendaklah dia berhati-hati jangan sampai air mengalir sehingga terkena bahagian yang sakit, iaitu dengan cara meletakkan sehelai kain atau tuala yang basah di tepi bahagian yang kena sakit. Dengan titisan-titisan air daripada kain atau tuala tersebut akan terbasuhlah bahagian yang tidak sakit yang berada di tepi anggota yang sakit. Jika tidak mampu untuk melakukannya sendiri bolehlah dia meminta bantuan daripada orang lain.
Tidak diwajibkan menyapu dengan air pada bahagian yang sakit seperti luka, walaupun tidak memudaratkan jika disapu padanya. Akan tetapi disunatkan sahaja jika mahu melakukannya.
2. Bertayamum pada anggota tayamum iaitu muka dan dua tangan iaitu sebagai ganti tuntutan membasuh anggota yang sakit atau luka yang tidak boleh terkena air, sungguhpun anggota yang sakit atau luka tersebut bukan pada anggota tayamum. Jika sekiranya anggota yang sakit atau luka itu terdapat di bahagian anggota tayamum wajiblah melalukan debu tanah pada bahagian tersebut jika tidak memudaratkan ketika bertayamum.
Bagi orang yang mengangkat hadas besar tidaklah disyaratkan tertib. Oleh itu bolehlah dia bertayamum terlebih dahulu, kemudian membasuh anggota-anggota yang sihat, ataupun membasuh anggota-anggotanya yang sihat terlebih dahulu, kemudian baru bertayamum.
Begitu juga sekiranya terdapat beberapa anggota yang sakit atau luka memadailah dengan melakukan satu tayamum sahaja, kerana hukum seluruh badan bagi orang yang mengangkat hadas besar adalah seperti satu anggota jua.
Manakala bagi orang yang mengangkat hadas kecil, apabila tiba masa membasuh anggota sakit yang tidak boleh terkena air barulah dia bertayamum, kerana memelihara tertib. Hendaklah melakukan beberapa kali tayamum jika bahagian yang sakit atau luka itu melibatkan beberapa anggota wudhu’, itu pun jika sekiranya penyakit atau luka itu tidak terkena pada setiap satu anggota tersebut, sama seperti yang diterangkan terdahulu.
Akan tetapi jika keempat-empat anggota wudhu’, semuanya sakit tidak boleh terkena air, maka memadailah dengan satu tayamum sahaja. Sama halnya, jika penyakit itu terdapat pada seluruh dua anggota yang berturut-turut, maka memadailah dengan satu tayamum bagi setiap dua anggota tersebut, sama seperti yang diterangkan terdahulu.
Adakah Wajib Diulang/Diqadha Sembahyang Apabila Sembuh?
Dalam mazhab Syafi‘e, kedudukan sembahyang orang yang mempunyai keuzuran yang menghalangnya daripada menggunakan air pada anggota yang sakit seperti penyakit kulit, luka dan sebagainya, ketika mengangkat hadas adalah seperti berikut:
1. Jika sekiranya anggota seseorang yang sakit atau luka itu tidak dibalut dengan sesuatu, lalu dia mengangkat hadas dengan membasuh bahagian yang tidak sakit, kemudian bertayamum sebagai ganti tuntutan membasuh anggota yang sakit atau luka itu, maka tidaklah perlu diulang/diqadha sembahyang yang telah dikerjakannya sepanjang dia mengalami keuzuran dan bersuci dengan cara demikian.
Melainkan jika sekiranya luka itu terdapat pada bahagian anggota tayamum iaitu muka dan dua tangan dan tidak dapat menyapunya dengan debu ketika bertayamum kerana ditakuti akan memudaratkan, maka dalam hal ini wajiblah diulang/diqadha sembahyang apabila sembuh.
2. Jika sekiranya anggota yang sakit atau luka itu dibalut atau berplaster, lalu dia mengangkat hadas dengan membasuh bahagian anggota yang tidak sakit, menyapu balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit dengan air, kemudian bertayamum sebagai ganti tuntutan membasuh anggota yang sakit atau luka itu, maka diwajibkan ke atasnya mengulangi/mengqadha sembahyang yang telah dikerjakannya sepanjang dia mengalami keuzuran dan bersuci dengan cara demikian, dalam tiga keadaan berikut:
i) Jika sekiranya pembalut atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak pada bahagian tertentu anggota tayamum iaitu muka dan dua tangan, sama ada ketika hendak memakai pembalut itu dia dalam keadaan suci daripada hadas ataupun tidak dan sama ada pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit ataupun tidak.
ii) Pembalut atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak pada bahagian bukan daripada anggota tayamum, tetapi diletakkan atau dipakai ketika dalam keadaan berhadas, dan pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit, walaupun kerana keperluan untuk mengikat pembalut itu.
iii) Jika sekiranya pembalut atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak pada bahagian bukan daripada anggota tayamum dan diletakkan atau dipakai ketika dalam keadaan suci daripada hadas, akan tetapi pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit melebihi had yang diperlukan.
Contoh Bagaimana Mempraktikkan
Bagi kemudahan memahami masalah yang kita bincangkan maka kita bawakan beberapa contoh seperti berikut:
Contoh pertama:
Seseorang yang mengidap penyakit kulit atau luka pada tangan dan terpaksa diplaster atau dibalut dan tidak dapat membuka plaster atau pembalut tersebut kerana ditakuti akan melambatkannya sembuh daripada penyakit itu ataupun akan menyebabkannya terasa sakit jika dibuka, maka apakah yang perlu dibuat apabila dia hendak mengambil wudhu’?
(i) Apabila dia hendak mengambil wudhu’, pertama sekali hendaklah dia mengambil wudhu’ seperti biasa iaitu dimulakan dengan membasuh muka disertakan dengan niat.
(ii) Selepas membasuh muka disusuli dengan membasuh bahagian tangan yang tidak sakit, kemudian menyapu bahagian tangan yang sakit yang berplaster dengan air.
(iii) Selepas itu bertayamum dengan debu tanah, iaitu dengan meletakkan atau menepuk kedua tapak tangan dalam keadaan kering di atas debu, kemudian memindahkan debu ke muka sambil berniat, lalu menyapu muka. Selepas itu, letakkan atau tepuk kedua tapak tangan di atas debu sekali lagi, kemudian memindahkan debu tersebut ke tangan, lalu menyapu kedua tangan hingga ke siku.
(iv) Ataupun boleh juga dilakukan, selepas membasuh muka disusuli dengan bertayamum sebagai ganti membasuh tangan yang berplaster dan hendaklah tangan itu kering, kemudian baru membasuh bahagian tangan yang tidak sakit, seterusnya menyapu bahagian tangan yang sakit yang berplaster dengan air.
(v) Kemudian menyapu kepala, dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki serta dua buku lali.
Oleh kerana anggota yang sakit itu adalah tangan yang merupakan anggota wudhu’, maka terdapat kekurangan pada wudhu’ itu kerana tangan tidak dapat dibasuh dengan sepenuhnya disebabkan plaster yang menutupinya. Tambahan pula tangan yang sakit itu merupakan anggota tayamum, maka terdapat juga kekurangan pada tayamum. Ini bererti pengganti (tayamum) itu kurang dan yang kena ganti (wudhu’) itu pun kurang. Oleh itu, hendaklah orang yang bersuci (berwudhu’) dengan cara demikian mengulang/mengqadha semua sembahyang yang dikerjakannya selama dia memakai plaster tersebut apabila sakit atau luka itu sudah sembuh.
Contoh kedua:
Seorang mengalami sakit kaki dan kakinya itu dibalut dengan plaster simen (bersimen) yang tidak boleh dibuka ketika hendak mengambil wudhu’. Maka dalam hal ini bolehlah dia mengambil wudhu’ dengan cara berikut:
(i) Pertama sekali hendaklah dia mengambil wudhu’ sebagaimana biasa, iaitu dimulai dengan membasuh muka berserta niat, kemudian membasuh kedua belah tangan dan menyapu kepala.
(ii) Selepas itu membasuh bahagian kaki yang tidak bersimen (yang tidak sakit) sebagaimana biasa, kemudian menyapu plaster simen dengan air iaitu setakat bahagian kaki yang termasuk di dalam anggota wudhu’.
(iii) Selepas itu barulah bertayamum iaitu menyapu muka dan kedua belah tangan dengan debu tanah sebagai ganti anggota kaki yang bersimen yang sukar untuk dibuka balutannya.
Maka dalam hal ini, hendaklah orang yang bersuci (berwudhu’) dengan cara demikian mengulang/mengqadha semua sembahyangnya yang dikerjakannya selama dia memakai plaster simen tersebut, jika sekiranya ketika dia meletakkan plaster tersebut untuk membalut kakinya dia dalam keadaan berhadas.
Contoh ketiga:
Seorang yang mengidap penyakit kulit seperti kudis, kurap dan sebagainya pada bahagian tertentu di mukanya, tanpa ditampal dengan plaster, maka dalam hal ini bolehlah dia mengambil wudhu’ dengan cara berikut:
(i) Pertama sekali, bolehlah dia bertayamum terlebih dahulu, iaitu menyapu muka dengan debu tanah termasuk pada bahagian yang sakit jika tidak memudaratkan. Jika ditakuti akan mendatangkan mudarat, tidak diwajibkan menyapu pada bahagian yang sakit. Kemudian menyapu kedua belah tangan dengan debu. Dengan demikian selesailah tayamum.
(ii) Selepas bertayamum barulah membasuh bahagian muka yang tidak sakit.
Apa yang mesti dilakukan ketika membasuh bahagian tersebut hendaklah dia berhati-hati, jangan sampai air mengalir sehingga terkena bahagian yang sakit kerana ditakuti akan memudaratkan, iaitu dengan cara meletakkan sehelai kain atau tuala yang basah di tepi bahagian yang kena sakit. Dengan titisan-titisan air daripada kain atau tuala tersebut akan terbasuhlah bahagian yang tidak sakit yang berada di tepi anggota yang sakit. Jika tidak mampu untuk melakukannya sendiri bolehlah dia meminta bantuan daripada orang lain.
Tidak diwajibkan menyapu dengan air pada bahagian yang sakit walaupun tidak memudaratkan jika disapu padanya. Akan tetapi disunatkan sahaja jika mahu melakukannya.
(iii) Selesai membasuh muka disusuli pula dengan membasuh kedua belah tangan, menyapu kepala dan membasuh kedua belah kaki. Maka dengan itu selesailah wudhu’.
Dalam hal ini, tidaklah perlu diulang/diqadha sembahyang orang yang bersuci dengan cara demikian, jika sekiranya dia dapat menyapu bahagian muka yang sakit dengan debu tanah ketika bertayamum. Akan tetapi jika sekiranya dia tidak dapat menyapunya dengan debu tanah maka wajiblah diulang/diqadha sembahyangnya.
Contoh keempat:
Seorang yang berhadas besar yang hendak mandi hadas, sedangkan terdapat pada tangannya luka yang tidak boleh terkena air dalam keadaan tidak berbalut atau berplaster, maka dalam hal ini bolehlah dia mandi hadas dengan dua cara seperti berikut: i) Sama ada dia bertayamum terlebih dahulu, iaitu dengan menggunakan debu tanah dia menyapu muka, kemudian menyapu kedua belah tangan hingga ke siku, termasuk menyapu pada bahagian yang luka jika tidak memudaratkan. Jika memudaratkan tidaklah diwajibkan menyapunya, akan tetapi wajib mengulang sembahyangnya sesudah sembuh lukanya.
Selepas itu membasuh seluruh anggota tubuh badan, kecuali anggota (tangan) yang luka yang tidak boleh terkena air. Dengan demikian selesailah mandi hadasnya.
ii) Boleh juga dilakukan dengan cara sebaliknya, iaitu dengan mendahulukan membasuh seluruh anggota tubuh badan, kecuali tangan yang terkena luka, kemudian baru bertayamum.
Andaikata luka orang yang berhadas besar itu dibalut dengan kain atau plaster, maka dalam hal ini bolehlah dia mandi hadas dengan cara seperti berikut:
i) Membasuh seluruh anggota tubuh badan, kecuali bahagian yang berplaster atau berbalut.
ii) Menyapu dengan air semua balutan atau plaster yang menutupi anggota yang luka.
iii) Bertayamum pada muka dan dua belah tangan dengan debu tanah, sebagai ganti anggota yang tidak dapat dibasuh dengan air.
Ketiga-tiga perkara ini bolehlah dilakukan walaupun tidak mengikut tertib atau susunan kerana tidak disyaratkan tertib bagi orang yang mengangkat hadas besar.
Begitulah cara mengangkat hadas, sama ada hadas kecil atau besar, dalam keadaan yang tidak mengizinkan seseorang menggunakan air untuk membasuh sesuatu anggota yang wajib dibasuh ketika mengangkat hadas, disebabkan terkena penyakit atau luka, sepertimana mengikut mazhab Syafi‘e.
Pandangan Mazhab Maliki
Menurut mazhab Maliki, bahawa orang yang mengidap penyakit kulit umpamanya, ataupun luka pada salah satu anggota yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhu’ atau mandi hadas, sama ada anggota tersebut dibalut dengan sesuatu seperti plaster simen, ataupun ditaruh di atasnya ubat tanpa dibalut dengan sesuatu dan membasuh anggota tersebut boleh memudaratkan atau menyebabkan terasa sakit, maka dalam hal ini apa yang perlu dilakukannya ketika mengangkat hadas ialah:
i) Jika anggota berkenaan dibalut dengan sesuatu, maka hendaklah dia menyapu semua balutan atau plaster itu dengan air, di samping itu membasuh anggota sihat yang lain dengan air.
ii) Jika anggota berkenaan ditaruh di atasnya ubat tanpa dibalut dengan sesuatu, maka hendaklah dia menyapu di atas ubat itu dengan air sekiranya tidak memudaratkan. Jika ditakuti memudaratkan, maka bolehlah dibalut luka yang berubat itu dengan kain yang bersih umpamanya, kemudian menyapu balutan tersebut dengan air, di samping itu membasuh anggota sihat yang lain dengan air.
Adapun hukum sembahyang yang dikerjakan selama seseorang itu memakai plaster atau pembalut, dengan sebab takut memudaratkan jika ditanggalkan, tidaklah perlu diulang/diqadha sembahyangnya itu.
Oleh yang demikian, bagi orang yang mempunyai keuzuran sepertimana yang disebutkan di atas dan hendak mengikut mazhab Maliki hendaklah dia mengambil wudhu’ sebagaimana cara berwudhu’ dalam mazhab Maliki.
Pertama sekali yang perlu diketahui betul-betul, fardhu wudhu’ dalam mazhab Imam Malik ada tujuh perkara, iaitu:
i) Niat.
ii) Membasuh muka.
iii) Membasuh dua tangan serta dua siku.
iv) Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga).
v) Membasuh dua kaki serta dua buku lali.
vi) Berturut-turut dengan tiada berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota yang lain.
vii) Menggosok atau menyental dengan tapak tangan anggota-anggota wudhu’ yang dibasuh.
Bagi orang yang mempunyai keuzuran seperti di atas, umpamanya terdapat luka di bahagian tangan, yang hendak bertaqlîd atau mengikut mazhab Maliki maka dia boleh mengambil wudhu’ dengan cara seperti berikut:
i) Mula-mula hendaklah berniat dan membasuh muka sebagaimana biasa.
ii) Selepas itu membasuh dua tangan yang sihat, kemudian menyapu semua plaster atau pembalut yang membalut luka dengan air.
iii) Selepas itu menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga).
iv) Kemudian membasuh dua kaki serta dua buku lali.
Perlu diingat, ketika membasuh dan menyapu anggota wudhu’ hendaklah dilakukan berturut-turut tanpa ada bertangguh dari satu anggota ke satu anggota yang lain dan menggosok atau menyental dengan tapak tangan setiap anggota wudhu’. Perbuatan ini menjadi tuntutan kerana termasuk di dalam fardhu atau rukun wudhu’ dalam mazhab Maliki.
Selain daripada itu perlu juga diketahui dan difahami betul-betul perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ dalam mazhab Maliki. Menurut ahli-ahli fiqh mazhab Maliki, perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ adalah seperti berikut:
i) Keluar sesuatu yang biasa keluar dari qubûl (kemaluan) dan dubur, iaitu air kencing, air mazi, air wadi, air mani, air tetuban, darah istihâdhah, tahi dan angin.
ii) Hilang akal dengan sebab gila, pitam, mabuk ataupun dengan sebab tidur yang lena. Di antara tanda-tanda tidur yang lena itu ialah orang yang tidur itu tidak lagi mendengar suara-suara di sekelilingnya, mengalir air liur daripada mulutnya ataupun terlepas sesuatu dari genggamannya.
iii) Apabila seorang yang baligh menyentuh lawan sejenis (antara laki-laki dan perempuan) dengan perasaan nikmat (syahwat). Adapun mengucup pada mulut juga boleh membatalkan wudhu’ walaupun tanpa ada perasaan nikmat.
iv) Apabila seorang laki-laki baligh menyentuh kemaluannya dengan tapak tangannya tanpa berlapik. Tetapi tidak membatalkan wudhu’ seorang perempuan yang menyentuh kemaluannya (farj).
v) Murtad.
vi) Merasa ragu setelah berwudhu’ adakah masih suci atau sudah batal.
Adapun bagi yang berhadas besar yang mempunyai keuzuran sepertimana yang disebutkan di atas dan hendak bertaqlîd dengan mazhab Maliki dalam perkara mandi hadas, maka perlulah diketahui betul-betul bahawa rukun mandi dalam mazhab Imam Malik ada lima perkara, iaitu:
i) Niat.
ii) Berturut-turut tanpa bertangguh membasuh anggota-anggota tubuh.
iii) Membasuh seluruh tubuh badan yang zahir dengan air.
iv) Menggosok atau menyental anggota-anggota tubuh yang dibasuh.
v) Menyela-nyela rambut serta jari-jari tangan dan kaki.
Cara mempraktikkannya bagi orang yang mempunyai keuzuran:
i) Mula-mula sekali berniat dan membasuh serta menggosok atau menyental seluruh anggota tubuh badan, kemudian menyela-nyela rambut serta jari-jari tangan dan kaki, kecuali bahagian yang berplaster atau berbalut. Hendaklah dilakukan secara berturut-turut tanpa bertangguh ketika membasuh anggota badan.
ii) Kemudian baru menyapu dengan air semua balutan atau plaster yang menutupi anggota yang luka.
iii) Ataupun boleh juga dilakukan secara sebaliknya, iaitu menyapu balutan dengan air terlebih dahulu, kemudian baru membasuh anggota yang sihat, sebagaimana diterangkan di atas.
Sebagai irsyad, boleh seseorang yang terpaksa disebabkan keuzuran pada salah satu anggotanya bertaqlid mazhab Maliki dalam perkara wudhu’ dan mandi. Syaratnya, dia hendaklah mengikut betul-betul cara-cara wudhu’ dan mandi hadas dalam mazhab Maliki, sekiranya bertaqlid dengan mazhab Maliki itu mudah baginya kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak mahu memberatkan hambaNya terutama ke atas orang-orang yang sakit dan uzur atau yang seumpamanya.
Perkara Yang Perlu Dilakukan Apabila Sembuh
Seorang yang bersuci melalui kaedah yang telah diterangkan apabila sembuh daripada penyakit atau luka yang dihidapinya, hendaklah dia mengulangi atau mengqadha sembahyang yang telah dilakukannya sepanjang dia memakai plaster atau pembalut di badannya. Itu pun jika sekiranya dia tertakluk dalam keadaan yang mewajibkan dia mengulangi atau mengqadha sembahyangnya (sila rujuk keterangan yang telah lalu).
Di samping itu, jika sekiranya dia sembuh dan masih dalam keadaan suci daripada hadas kecil, maka batallah tayamumnya dan hendaklah dia membasuh bekas anggota yang sakit itu. Itu pun jika anggota yang sakit itu termasuk dalam anggota wudhu’. Tidak perlu baginya memperbaharui wudhu’. Cuma yang mesti dilakukannya ialah membasuh, mulai dari bekas anggota yang sakit sehinggalah anggota- anggota wudhu’ seterusnya. Umpamanya, bekas anggota yang sakit itu ialah tangan, maka dia mulai membasuh dari tangan, kemudian menyapu kepala dan seterusnya membasuh kaki. Ini adalah disebabkan untuk memelihara tertib yang disyaratkan dalam wudhu’.
Adapun bagi yang telah mengangkat hadas besar melalui kaedah bersuci yang kita bincangkan, apabila sembuh daripada penyakitnya dan dia masih kekal dalam keadaan suci daripada hadas besar, maka batallah tayamumnya dan hendaklah dia membasuh bekas anggota yang sakit itu. Tidak perlu baginya membasuh semula semua anggota yang lain. Cuma yang mesti dilakukannya ialah membasuh bekas anggota yang sakit.
Bagi yang telah mengangkat hadas, sama ada hadas kecil atau besar, mengikut mazhab Maliki, apabila sembuh daripada penyakit dan dia masih dalam keadaan suci daripada hadas, maka hendaklah dia membasuh bekas anggota yang sakit itu dengan segera tanpa bertangguh, supaya tidak meluputkan rukun muwâlah yakni berturut-turut tanpa bertangguh.
Demikian sedikit sebanyak huraian mengenai cara mengangkat hadas bagi orang yang mempunyai keuzuran pada anggota tertentu, khususnya yang melibatkan anggota yang wajib dibasuh ketika mengangkat hadas. Apa yang diharapkan daripada huraian tersebut akan dapat memudahkan dan meringankan beban khususnya bagi yang menghadapi masalah untuk bersuci ketika berlaku keuzuran dan seterusnya akan memudahkan lagi dalam melakukan ibadat seharian.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6107
