Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Penggunaan Emas Dan Perak Yang Diharuskan Dan Yang Dilarang

Dewasa ini berbagai-bagai benda yang diperbuat daripada emas atau perak sama ada bagi tujuan alat-alat kegunaan harian atau hanya dijadikan perhiasan pakaian atau perhiasan yang diletakkan seumpama di rumah-rumah atau sebagainya.

Benda-benda tersebut adakalanya diperbuat seluruhnya daripada emas atau perak, adakalanya disadur dengan emas atau perak dan adakalanya hanya dengan menampalkan atau melekatkan emas atau perak padanya. Semua ini mempunyai aspek-aspek tertentu dalam penetapan hukum yang dibincangkan oleh para ulama fiqh dari segi penggunaannya sama ada bagi lelaki atau perempuan.

Salah satu daripada benda yang disebutkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam memberikan panduan hukum menggunakan benda yang diperbuat daripada emas atau perak adalah bejana. Adalah haram ke atas setiap lelaki dan perempuan menggunakan bejana yang diperbuat daripada emas atau perak sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Hudzaifah bin Al-Yaman Radhiallahu ‘anhuma berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jangan kamu pakai sutera halus dan jangan (juga) sutera kasar dan jangan kamu minum pada (menggunakan) bejana emas dan perak dan jangan kamu makan pada (menggunakan) talam (pinggan) emas dan perak, kerana sesungguhnya barang-barang itu untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kamu (kelak) di akhirat. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Manakala hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha berkata bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang minum (menggunakan) pada bejana daripada emas atau perak, maka dia hanya akan mendengar api daripada neraka Jahannam bergelegak di dalam perutnya. (Hadis riwayat Muslim)

Berkata Ibnu Hajar Al-Haitami di dalam Al-Zawâjir, dalam Kitab Al-Thahârah, bâb Al- Âniyah:

Ertinya: Dan yang dimaksudkan dengan bejana itu ialah setiap benda yang digunakan untuk satu-satu perkara yang menurut ‘urf (kebiasaannya) ia dipakaikan bagi perkara berkenaan, maka (termasuklah dalam maksud itu) pencelak mata, bekas (tempat) pencelak mata, pencungkil gigi, pencungkil kotoran telinga dan seumpamanya.

Berkata Al-‘Allamah Al-Sayyid Abdullah Al-Jardani penyusun kitab Fath Al- ‘Allâm bi Syarh Mursyid Al-Anâm fî Al-Fiqh ‘alâ Madzhab Al-Sâdah Al- Syafi‘iyyah:

Ertinya: Ketahuilah bahawa termasuk daripada (maksud) bejana itu ialah bekas celak, tempat membakar kemenyan (pedupaan), sudu, tempat penaruhan alat tulis, sarung bagi memegang cawan, alat penyangkul, cerek (kendi) dan tempat menghidang makanan. Dan seumpama sedemikian itu (juga); penutup bekas (kendi) air, pencelak mata, pengorek gigi, jarum dan sikat, maka haram menggunakan semua itu apabila ia (diperbuat) daripada emas atau perak.

Perintah larangan ini bukan hanya terbatas kepada penggunaannya sahaja dari segi minum dan makan, tetapi ia meliputi apa jua bentuk penggunaan, bahkan menyimpan atau menaruhnya tanpa mengggunakannya seperti dibuat perhiasan dan seumpamanya adalah haram juga. Begitu juga adalah haram mengupah untuk membuat bejana tersebut dan mengambil upah membuatnya. (Lihat MughnîAl- Muhtâj 1/46 dan Hâsyiyah Al-Bajuri 1/40)

Di dalam satu kaedah fiqhiyyah disebutkan:

Ertinya: Apa yang haram hukum menggunakannya, haram (juga) mengambilnya (untuk disimpan).

Berkata Imam Khatib Al-Syarbini di dalam Mughnî Al-Muhtaj:

Ertinya: Dan diqiyaskan kepada (hukum haram makan dan minum pada bejana emas dan perak itu) semua jenis penggunaan selain makan dan minum dan dikhususkan penyebutan makan dan minum kerana keduanya itulah yang lebih nyata dari segi penggunaanya dan lebih selalu digunakan pada keduanya.

Berkata Imam Al-Nawawi di dalam Shahîh Muslim:

Ertinya: Berkata sahabat-sahabat kami: “Telah berlaku ijma‘ di atas pengharaman makan dan minum dan segala apa jua cara penggunaan pada bejana emas atau perak.”

Sehubungan dengan itu adalah haram hukumnya menghiasi rumah-rumah, majlis-majlis, masjid-masjid dan Ka‘bah dengan emas dan perak atau bejana yang diperbuat daripada emas dan perak. (Lihat Kitab Al-Majmû‘ 4/332, Mughnî Al- Muhtâj 1/46 dan Hâsyiyah Al-Bajuri 1/41)

Saduran (Tamwîh) Emas Dan Perak

Perbuatan menyadur sesuatu benda dengan emas atau perak adalah haram secara mutlak sama ada seorang itu menyadur alat perang, Al-Qur’an dan sebagainya, atau sama ada dia menyadur sesuatu benda untuk kegunaan perempuan atau lelaki, atau sama ada saduran itu boleh dipisahkan jika dibentang di atas api (dilebur) atau tidak. (Lihat Tuhfah Al-Muhtâj 1/123, Bujairimi ‘alâ Al-Khatib 1/116 dan I‘ânah Al-Thâlibîn 2/180)

Adapun menggunakan benda atau bejana yang disadur dengan emas atau perak adalah harus hukumnya dengan syarat saduran emas atau perak itu sedikit iaitu sekira-kira tidak dapat dihasilkan daripada saduran itu sesuatu yang berharga apabila dibentang di atas api (dilebur). Jika saduran emas atau perak itu banyak, sekira-kira dapat dihasilkan daripada saduran emas atau perak itu sesuatu yang berharga apabila dibentang di atas api (dilebur), maka adalah haram hukum menggunakannya kecuali bagi perempuan iaitu barang-barang kemas yang digunakan sebagai perhiasan mereka seperti gelang, rantai dan yang seumpamanya. Manakala bejana atau benda yang diperbuat daripada emas atau perak, jika disadur dengan tembaga dan seumpamanya tidaklah diharamkan menggunakannya. Jika dapat dihasilkan daripada saduran tembaga itu sesuatu yang berharga apabila dibentang di atas api (dilebur), jika tidak dapat dihasilkan sesuatu yang berharga daripadanya maka ia adalah haram. (Lihat Mughnî Al-Muhtâj 1/46, Bujairimi ‘alâ Al-Khatib 1/116, Tuhfah Al-Muhtaj 1/122, Hâsyiyah Al-Bajuri 1/41 dan Fath Al- ‘Allâm 1/267)

Yang dimaksudkan dengan berharga itu ialah apa yang boleh dikira sebagai harta mengikut ‘urf (kebiasaan ramai). (Al-Qâmûs Al-Fiqhî)

Adapun bejana emas yang berkarat (bertagar) yang tidak lagi nyata ‘ain emasnya kerana ditutupi oleh karatnya zahir dan batin, tidak haram menggunakannya. Hal seumpama ini boleh terjadi pada emas yang bercampur dengan bahan-bahan logam yang lain. Adapun emas tulen ia sekali-kali tidak akan berkarat (bertagar). (Lihat kitab Al-Majmû‘ 4/327 dan Hâsyiyah Al-Bajuri 1/41)

Berkata Ibnu Hajar Al-Haitami di dalam Al-Zawâjir:

Ertinya: Dan ‘illah (sebab) pada pengharaman (menggunakan bejana emas dan perak itu dua ‘illah) iaitu ‘ain (zat emas dan perak itu sendiri) dan bermegah, sehubungan itu jika ditutupi bejana emas atau perak dengan tembaga atau yang seumpamanya sehingga meliputi keseluruhan (zahir dan batin) bejana itu, halal menggunakannya dan sekalipun tidak dapat dihasilkan daripadanya (tembaga) sesuatu (yang berharga apabila dilebur di atas) api, sebagaimana (juga seperti) bejana emas yang berkarat dan meliputi karatnya itu keseluruhan bejana, maka (semua itu) sesungguhnya halal penggunaannya kerana telah luput salah satu sebab daripada dua bahagian illah (sebab pengharamannya) iaitu ‘bermegah’, (maka dengan sebab itu juga) halal menggunakan bejana-bejana yang berharga lagi mahal seperti permata dan mutiara kerana ketiadaan (‘illah) ‘ain dan tiada menjadi pemerhatian (perkiraan) kerana adanya (‘illah) bermegah, kerana (‘illah bermegah) satu-satunya sahaja tidak mencukupi (bagi menghukumkan haram menggunakan bejana yang seumpama itu).

Menampal (Tadhbîb) Menggunakan Emas Atau Perak

Asalnya yang dimaksudkan dengan menampal di sini ialah satu benda yang pecah atau retak atau yang seumpamanya yang memerlukan kepada tampalan. Maka diletakkan atau ditampalkan di tempat itu kepingan logam untuk menemukannya dan memeliharanya daripada pecah supaya dapat digunakan benda itu.

Kemudian para ahli fiqh membincangkan dengan panjang lebar perkara ini sama ada tujuan menampal ini kerana hajat seperti benda itu perlu kepada tampalan atau hanya semata-mata untuk menampal sahaja bagi tujuan hiasan dan sebagainya. (Lihat Kitab Al-Majmû‘ 1/311 dan Mughnî Al-Muhtâj 1/47)

i) Tampalan menggunakan emas

Menggunakan atau menyimpan bejana atau yang seumpamanya yang ditampal dengan emas adalah haram dengan mutlak (sama sekali) sama ada ia besar, kecil, kerana hajat atau perhiasan, berdasarkan mafhûm hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Ali bin Abu Thalib:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil sutera dengan tangan kirinya dan emas dengan tangan kanannya, kemudian Baginda mengangkat keduanya dengan dua tangannya seraya berkata: “Sesungguhnya dua benda ini (sutera dan emas) adalah haram (penggunaannya untuk berhias) ke atas umatku yang lelaki dan halal bagi mereka yang perempuan (untuk berhias).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

ii) Tampalan menggunakan perak

Adapun hukum tampalan yang menggunakan perak adalah seperti berikut:

a. Jika tampalan perak itu besar dan ditampal bagi tujuan perhiasan, maka ia adalah haram.

b. Jika tampalan itu besar kerana hajat atau kecil kerana perhiasan, maka ia adalah makruh. Begitu juga jika tampalan itu kecil dan berbilang-bilang kerana tujuan perhiasan dan tidak menjadi kadar yang besar bila dikumpulkan semuanya, hukumnya adalah makruh.

c. Jika tampalan itu kecil kerana hajat, maka ia harus dan tidak makruh berdasarkan kepada satu riwayat daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Sesungguhnya mangkuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pecah, maka Baginda menjadikan (menampal) pada tempat yang pecah itu dengan kepingan daripada perak. (Hadis riwayat Bukhari)

Adapun maksud ‘hajat’ di sini ialah keperluan untuk membaikinya, bukannya bermaksud keperluan kepada tampalan daripada perak atau emas yang membuatkan seseorang itu tidak mempunyai pilihan selain daripada menggunakan perak atau emas, kerana jika sedemikian maka ia dikira sebagai dharurah (terpaksa) yang mengharuskan penggunaan bejana emas atau perak walaupun keseluruhannya diperbuat daripada emas dan perak, maka begitulah juga jika ianya hanya bertampal. (Lihat Mughnî Al-Muhtâj 1/47 dan Hâsyiyah Al-Bajuri 1/41)

Ukuran bagi menentukan sesuatu tampalan itu besar atau kecil adalah kembali kepada ‘urf (kebiasaan ramai di sesuatu tempat), maka sesuatu yang dikira oleh ‘urf besar maka ia adalah besar dan sesuatu yang dikira oleh ‘urf sebagai kecil maka ia adalah kecil. (Lihat Sabîl Al-Muhtadîn 1/32)

Menurut ulama, berhias menggunakan emas dan perak bagi lelaki pada asalnya adalah haram melainkan apa yang dikecualikan oleh syara‘. Ini ada disebutkan oleh Imam Al-Sayuthi di dalam kitabnya Al-Asybâh wa Al-Nadzhâ’ir:

Ertinya: Haram berhias daripada keduanya (emas dan perak) ke atas orang lelaki melainkan apa yang dikecualikan (oleh syara‘).

Manakala Imam Ibnu Hajar Al-Haitami menyebutkan juga di dalam kitabnya Tuhfah Al-Muhtâj ketika membicarakan perkara memakai cincin perak:

Ertinya:.......kerana hukum asal pada perak itu adalah haram ke atas orang lelaki melainkan ada keizinan yang shahih padanya (daripada syara‘).

Umumnya, orang lelaki dan perempuan tidak boleh menggunakan emas dan perak kecuali ada nash yang mengharuskannya sebagaimana yang tersebut di bawah ini:

1. Harus bagi orang lelaki dan perempuan yang terputus hidungnya menggunakan hidung yang diperbuat daripada emas atau perak sebagaimana di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Arfajah bin As‘ad katanya:

Maksudnya: Hidungku tercedera pada hari (perang) Al-Kulab di zaman jahiliyah, maka aku membuat hidung daripada perak, (tetapi hidung itu) menjadi berbau busuk kepadaku, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruhku supaya aku membuat hidung daripada emas. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Seumpama hidung itu juga ialah gigi dan hujung jari, maka harus bagi orang lelaki dan perempuan yang hilang hujung jarinya atau tanggal giginya memakai hujung jari atau gigi yang diperbuat daripada emas atau perak, sekalipun berbilang-bilang bilangannya. Ini adalah berqiyâskan kepada hidung. Selain daripada hidung, gigi dan hujung jari, ianya adalah tidak diharuskan bahkan diharamkan. (Lihat kitab Al-Majmû‘ 4/327, Raudhah Al-Thâlibîn 2/262 dan Mughnî Al-Muhtâj 1/530)

2. Harus bagi perempuan memakai jenis perhiasan yang khusus bagi perhiasan mereka (barang kemas) yang diperbuat daripada emas atau perak seperti gelang tangan, kalung leher, cincin, anting-anting dan gelang kaki. (Lihat kitab Al- Majmû‘ 4/328-330 dan Mughnî Al-Muhtâj 1/532).

Ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Ali bin Abu Thalib katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil sutera dengan tangan kirinya dan emas dengan tangan kanannya, kemudian Baginda mengangkat keduanya dengan dua tangannya seraya berkata: “Sesungguhnya dua benda ini (sutera dan emas) adalah haram (penggunaannya untuk perhiasan) ke atas umatku daripada kaum lelaki dan halal bagi mereka daripada kalangan perempuan (untuk berhias).” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Manakala bagi lelaki adalah diharamkan perhiasan-perhiasan yang tersebut di atas kecuali cincin yang diperbuat daripada perak dengan ijmâ‘, bahkan disunatkan memakainya kerana Rasulullah Shallallahhu ‘alaihi wasallam ada memakai cincin yang diperbuat daripada perak sebagaimana di dalam satu riwayat yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengambil (memakai) cincin daripada perak yang dulunya berada di tangannya, kemudian cincin itu berada di tangan Abu Bakar, kemudian cincin itu berada di tangan ‘Umar, kemudian cincin itu berada di tangan ‘Utsman hinggalah terjatuh daripadanya ke dalam sebuah perigi yang bernama perigi Aris. Berukir pada cincin itu (nama): “Muhammad Rasulullah.” (Hadis riwayat Muslim)

Disunatkan memakai cincin itu di jari kelingking di sebelah kanan atau kiri dan yang lebih afdhal dipakai di sebelah kanan. (Lihat Mughnî Al-Muhtâj 1/531, Qalyubi wa ‘Umairah 2/30, I‘ânah Al-Thâlibîn 2/177-178, Fath Al-‘Allâm 3/363 dan kitab Al-Fiqh ‘alâ Madzâhib Al-‘Arba‘ah 2/15).

3. Diharuskan kepada lelaki sahaja, tidak kepada perempuan melekatkan (tahliyah) alat-alat peperangan dengan perak seperti pedang, sarung pedang, anak panah, baju besi dan seumpamanya dengan tidak berlebih-lebihan (israf) bagi tujuan menggerunkan musuh. Ini telah sabit daripada riwayat Sa‘id bin Abu Al-Hasan katanya: (Lihat kitab Al-Majmû‘ 4/331 dan Tuhfah Al-Muhtâj 3/277-278)

Maksudnya: Adalah hujung pemegang pedang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada perak. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Bagi lelaki juga adalah harus melekatkan perak pada mushhaf Al-Qur’an bagi tujuan memuliakannya, manakala bagi perempuan diharuskan baginya melekatkan perak atau emas. (Lihat Mughnî Al-Muhtâj 1/533 dan Tuhfah Al-Muhtâj 3/281)

Erti tahliyah itu ialah melekatkan kepingan-kepingan emas atau perak di atas sesuatu benda.

Adapun emas atau perak yang bercampur dengan tembaga atau jenis logam-logam yang lain, berkata Kiyai Al-Imam Al-‘Allamah Al-Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah Al-Banjari di dalam kitabnya Sabîl Al-Muhtadîn li Al-Tafaqquh fî Amr Al-Dîn: “....maka haramlah memakai ia (bejana emas dan perak) dan menaruh ia atas tiap-tiap lelaki dan perempuan dan khuntsa yang ‘âqil lagi baligh sama ada dipakainya akan tempat makan atau minum atau akan tempat bersuci atau barang sebagainya dan sama ada dipakainya bagi dirinya atau bagi lainnya dan sama ada bejana itu sekaliannya emas atau sekaliannya perak atau bercampur ia dengan tembaga seperti suasa dan perak usam (pudar, suram tidak berkilat atau bercahaya) dan sama ada bejana itu besar atau kecil.”

Maka dapat difahami daripada apa yang diterangkan di atas bahawa benda yang diperbuat daripada perak atau emas adalah dilarang menggunakannya dan menyimpannya kecuali ada dalil-dalil yang mengharuskannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6146