Rumah Yang Tidak Dimasuki Malaikat
Ketenangan dan ketenteraman yang sentiasa meliputi setiap ruang rumah merupakan impian setiap penghuninya. Apa tidaknya, rumah adalah tempat berteduh, tempat melepaskan rasa keletihan, tempat beristirehat, tempat membesarkan anak- anak, tempat untuk bersendirian atau privacy bersama keluarga dan sebagainya. Sebuah rumah akan menjadi syurga jika benar-benar memberi ketenangan dan ketenteraman kepada penghuninya.
Namun ketenangan dan ketenteraman itu boleh saja berlalu atau hilang, di mana menyebabkan jiwa penghuninya menjadi kosong, tidak tenteram dan tidak merasa tenang. Mengapa perkara begini harus berlaku?
Mungkin saja kerana keadaan sekeliling kurang selesa, atau kelengkapan rumah tidak cukup, atau disebabkan anak-anak tidak lagi tinggal bersama menyebabkan terasa kesunyian, ataupun kemungkinan-kemungkinan yang seumpamanya.
Selain daripada beberapa kemungkinan tersebut, pernahkah kita terfikir akan penyebab keresahan, kekosongan dan ketidaktenteraman jiwa itu adalah timbul disebabkan cahaya rahmat dan berkat tidak masuk untuk meliputi setiap ruang sesebuah rumah? Apabila seseorang itu jauh daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka malaikat yang membawa rahmat akan keluar dan tidak masuk ke dalam rumahnya. Sebaliknya syaitan pula akan masuk mengambil alih tempat malaikat.
Perlu disebutkan di sini, sebelum kita menerangkan lebih lanjut rumah-rumah yang tidak dimasuki malaikat, apa yang dimaksudkan di sini ialah Malaikat Rahmat (همحةمالئكة الر), iaitu malaikat yang berkeliling pusing masuk ke rumah-rumah hamba-hamba Allah yang beriman untuk berziarah dengan membawa rahmat, berkat dan memohonkan keampunan kerana mendengar zikir dan sebagainya. Adapun malaikat yang menjaga, mengawas dan mencatat amalan dan perbuatan manusia tetap masuk ke setiap rumah, bahkan sentiasa mengiringi dan memerhati setiap gerak-geri manusia dalam setiap keadaan dan ketika. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat mengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Surah Qâf: 17-18)
Begitu juga halnya dengan Malaikat Maut iaitu malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa setiap makhluk, akan pergi dan masuk ke mana-mana tempat pun untuk mengambil nyawa seseorang apabila tiba ajalnya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. (Surah Al-Nisâ’: 78)
Malaikat Rahmat Dan Syaitan
Apakah faedah atau kelebihan apabila Malaikat Rahmat masuk ke dalam rumah kita?
Malaikat adalah makhluk Allah yang suci yang sentiasa taat menjunjung akan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan tidak pernah menderhakaiNya. Justeru itu, apabila malaikat masuk melawat ke dalam rumah seseorang maka ini disifatkan sebagai satu rahmat, keuntungan dan kebaikan bagi penghuninya. Kenapa disifatkan begitu?
Apabila rumah dimasuki oleh Malaikat Rahmat, maka penghuninya yang beriman akan:
- Dipohonkan keampunan oleh para malaikat itu.
- Dijaga dan dipelihara ketika mereka tidur dan jaga oleh para malaikat itu.
- Didoakan oleh para malaikat itu.
- Diaminkan bersama oleh malaikat ketika mereka sembahyang. - Memperolehi keberkatan pada rumahnya.
- Dikawal dan dijauhkan daripada diganggu oleh syaitan.
- Ditetapkan pada diri dan rumahnya ketenangan dan ketenteraman.
Inilah di antara kelebihan atau faedah rumah yang dimasuki Malaikat Rahmat. Oleh itu sayugia bagi setiap mukmin sentiasa memelihara tiap-tiap perkara yang boleh mendekatkan dan memudahkan Malaikat Rahmat memasuki rumah dan sentiasa berada di dalamnya, sebagai mempastikan memperolehi apa yang difirmankan Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dan Dialah yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan kamu daripada gelap gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang benderang (iman dan taat); dan adalah Dia sentiasa melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat). (Surah Al-Ahzâb: 41-43)
Sebaliknya, apabila malaikat tidak masuk ke dalam rumah kita maka ditakuti pula syaitan akan mengambil tempat memasukinya.
Al-Imam Al-Nawawi menjelaskan, apabila syaitan berada pada suatu tempat dan duduk bersila di situ disebabkan terdapat maksiat yang dilakukan, maka malaikat tidak akan masuk ke tempat tersebut, kerana malaikat itu adalah musuh syaitan.
Terdapat banyak ayat Al-Qur’an Al-Karim yang memberi peringatan kepada kita tentang bahaya godaan syaitan, kepintarannya yang menyesatkan orang dan tidak henti-hentinya membuat kerosakan. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu daripada syurga, sambil dia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka ‘aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). (Surah Al-A‘râf: 27)
Firman Allah Ta‘ala di dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya). (Surah Fâthir: 6)
Di dalam ayat yang lain pula disebutkan:
Tafsirnya: Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata. (Surah Al-Nisâ’: 119)
Ketiga-tiga ayat yang disebutkan di atas sudah cukup jelas mengingatkan kepada kita betapa syaitan itu merupakan musuh segala musuh yang begitu bijak menjalankan tipu dayanya untuk menyesatkan anak-anak Adam sehingga tergelincir daripada jalan yang betul. Ketahuilah bahawa sasaran utama yang hendak dicapai oleh syaitan dalam memperdayakan anak- anak Adam ialah untuk mengheret mereka ke dalam neraka dan menghalang mereka daripada masuk ke dalam syurga. Sebagai buktinya lagi cukuplah bagi kita meneliti apa yang difirmankan Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Sebenarnya dia (syaitan) hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi daripada penduduk neraka. (Surah Fâthir: 6)
Rumah-Rumah Yang Dijauhi Malaikat Rahmat
Sebahagian kriteria rumah atau tempat kediaman yang tidak dimasuki oleh Malaikat Rahmat di antaranya ialah:
[1] Rumah orang yang memutuskan tali persaudaraan:
Al-Qadi ‘Iyaad telah menegaskan, tidak terdapat perselisihan di antara ulama dalam menetapkan bahawa menghubungkan silaturahim adalah wajib, manakala memutuskannya pula adalah dianggap satu maksiat ataupun dosa besar.
Keteguhan atau kekuatan hubungan silaturahim di antara sesama Islam juga merupakan sebahagian asas di mana Islam terbina di atasnya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri ada menyebutkan melalui sabda Baginda:
Maksudnya: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia menghubungkan tali silaturahim, dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata yang baik atau hendaklah dia diam.
(Hadis riwayat Bukhari)
Apakah benar Malaikat Rahmat tidak memasuki rumah orang yang memutuskan tali kekeluargaan atau tali silaturahim?
Jawapannya, ya! Ini adalah berdasarkan pada apa yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Abu Awfa Radhiallahu ‘anhuma bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya malaikat tidak turun ke atas kaum di mana dalam kalangan mereka terdapat orang yang memutuskan tali persaudaraan. (Hadis riwayat Thabarani)
Bahkan terdapat di dalam Al-Qur’an menyebutkan bahawa orang-orang yang memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum keluarga itu adalah di antara orang-orang yang dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Orang-orang yang dilaknat itu tentulah jauh daripada rahmat Allah ‘Azza wa Jalla. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: (Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara- perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya. (Surah Muhammad: 22-23)
Oleh itu bagi sesiapa yang ingin rumahnya sentiasa dikunjungi oleh Malaikat Rahmat hendaklah dia sentiasa menghubungkan persaudaraan dan merapatkan tali silaturahim walaupun terhadap orang yang memutuskannya. Jika orang itu memutuskan, maka sebaliknya dia pula yang menyambungnya. Biarlah segala yang ma‘ruf itu dijadikan sebagai prinsip dan syi‘ar dalam kehidupan, sebagaimana yang diajarkan kepada kita oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jangan biarkan sekali-kali diri kita melakukan perkara yang boleh menjauhkan Malaikat Rahmat daripada memasuki rumah yang akan membawa berkat dan mendoakan kebaikan serta keselamatan terhadap diri kita.
[2] Rumah orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapa:
Sesungguhnya Malaikat Rahmat tidak masuk ke dalam rumah orang yang melakukan dosa besar, seperti dosa menderhaka kepada kedua ibu bapa.
Kewajipan anak terhadap ibu bapa ialah berbuat baik, taat dan menghormati mereka. Ini adalah bersesuaian dengan panggilan fitrah yang mesti dipenuhi dengan sebaik-baiknya.
Di dalam Al-Qur’an serta hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan bahawa derhaka terhadap kedua ibu bapa itu dianggap sebagai sebesar-besar dosa (أك ْب الكبائر ) sesudah syirik kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim bahawa semua dosa akan ditangguhkan oleh Allah apa sahaja yang dikehendakiNya sehinggalah Hari Kiamat, kecuali derhaka kepada kedua ibu bapa, maka sesungguhnya Allah akan menyegerakan ke atas pelakunya dalam hidupnya di dunia sebelum dia meninggal lagi.
Cuba kita perhatikan kecelakaan buruk yang amat besar akibat daripada penderhakaan terhadap ibu bapa sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, di antaranya ialah:
i. Sesungguhnya perbuatan menderhaka kepada ibu bapa itu adalah suatu yang diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan merupakan suatu perkara yang sangat dibenci.
ii. Sesungguhnya perbuatan tersebut merupakan sebesar-besar dosa yang boleh mencelakakan dan mengheret pelakunya ke dalam neraka Jahannam.
iii. Hebatnya dosa menderhaka kepada ibu bapa itu, jangankan masuk syurga, malahan untuk memperolehi hembusan angin sepoi-sepoi dan wangian bau syurga pun tidak boleh.
iv. Segala amalan baik yang dilakukan oleh orang yang menderhaka kepada ibu bapanya tidak akan diterima, walaupun dia itu orang yang suka berbuat baik.
v. Orang yang menderhaka itu akan menerima balasan, selain akan diseksa di akhirat kelak, dia akan mendapat balasan terlebih dahulu di dunia ini sebelum dia mati, umpamanya mendapat kehinaan, diserang penyakit, diasingkan oleh kaum keluarga dan sebagainya.
vi. Orang yang menderhaka itu sentiasa terdedah kepada laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala, RasulNya serta kalangan manusia.
vii. Penderhakaan terhadap kedua ibu bapa menyebabkan seseorang itu akan mati dalam keadaan kesudahan yang buruk (سوء اْلاَتة ), Allah akan butakan mata hatinya dan tidak akan terucap olehnya dua kalimah syahadah. Allah Ta‘ala akan mencabut roh keimanan daripada dirinya.
Setelah kita mengetahui betapa besar dosa menderhaka kepada kedua ibu bapa, maka tidak hairanlah mengapa malaikat Rahmat tidak mendekati untuk masuk ke dalam rumah pelakunya kerana bencinya.
Ketahuilah juga, bahawa keredhaan Allah Ta‘ala adalah terletak pada keredhaan kedua ibu bapa terhadap anaknya dan kemurkaan Allah Ta‘ala adalah terletak pada kebencian kedua ibu bapa terhadap anaknya.
[3] Rumah orang yang memakan harta anak yatim:
Ketahuilah bahawa sesungguhnya Malaikat Rahmat tidak akan masuk ke dalam rumah orang yang berlaku zalim oleh sebab memakan harta anak yatim. Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memberi peringatan tentang azab seksaan terhadap pelakunya, sebagaimana ditegaskan di dalam surah Al-Nisâ’, ayat 10:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. (Surah Al-Nisâ’: 10)
Ibnu Daqiq Al-‘Ied berkata, bahawa memakan harta anak yatim boleh menyebabkan seseorang itu mati dalam keadaan kesudahan yang buruk (سوء اْلاَتة ). Semoga Allah Ta‘ala melindungi kita.
Memakan harta anak yatim adalah dikategorikan sebagai salah satu perbuatan penganiayaan dan kezaliman. Maka adalah menjadi kerugian yang besar dalam kehidupan orang-orang zalim seperti ini kerana doanya tidak akan diperkenankan. Ini adalah disebabkan penganiayaan dan kezaliman yang telah mereka lakukan terhadap orang yang tidak berdaya, lemah dan tidak mempunyai kekuatan iaitu anak-anak yatim. Hanya Allah Ta‘ala sahaja yang mempunyai daya upaya dan kekuatan ‘ ِبّلِله ال حول وال قوة إال’. Sebaliknya orang-orang yang dianiaya dan dizalimi seperti anak-anak yatim, doa dan permohonan mereka terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala sangat mustajab iaitu tidak ditolak, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiga orang yang diterima (tidak tolak) permohonan mereka: ibu atau bapa, orang yang musafir dan orang yang dizalimi. (Hadis dikeluarkan oleh Ahmad, Ibnu Hibban, Tirmidzi dan selain daripada mereka)
Selain itu, orang yang memakan harta anak yatim itu juga dilabelkan sebagai orang yang paling jahat perangainya dengan dicap sebagai pendusta agama. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. (Surah Al-Mâ‘ûn: 1-3)
Bukan setakat itu sahaja, bahkan rumah orang seperti ini juga dilabelkan sebagai seburuk-buruk rumah orang Islam. Perkara ini jelas sebagaimana dipetik daripada sepotong hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sebaik-baik rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang diberi layanan yang baik terhadapnya. Dan seburuk-buruk rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang dianiaya. (Hadis riwayat Bukhari di dalam kitab Al-Adab dan Ibnu Majah)
Oleh itu memang wajarlah rumah seperti ini tidak dimasuki Malaikat Rahmat dan tersisih daripada berkat dan rahmat Allah. Semoga Allah sentiasa melindungi diri kita dan rumah kita daripada dosa-dosa dan kemungkaran seperti ini.
[4] Rumah yang terdapat di dalamnya aktiviti riba:
Memang sudah jelas bahawa riba hukumnya adalah haram di sisi syara‘. Telah nyata juga disebutkan dalam hadis bahawa semua suku-sakat yang terlibat dengan pengamalan riba, baik yang dekat mahupun yang jauh, adalah dilaknat.
Daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberikannya, penulisnya dan kedua saksinya, dan Baginda bersabda: “Mereka semua adalah sama.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Kecelakaan dan musibah yang menimpa ke atas orang yang memakan riba di antaranya ialah: i. Orang yang mengambil riba pada kebiasaannya, walaupun dia banyak mengaut keuntungan dan memiliki harta yang banyak namun akibatnya menuju kepada kefakiran dan hilangnya keberkatan pada hartanya itu.
Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya riba itu walaupun banyak tetapi akibatnya menuju kepada kesusutan. (Hadis riwayat Al-Hakim)
ii. Kesan daripada pengamalan riba itu akan mengakibatkan pelakunya mendapat celaan, keaiban, hilangnya sifat kemuliaan diri, hilangnya kepercayaan orang terhadap dirinya, menampilkan imej yang buruk dan sebagainya.
iii. Tidak dinafikan bahawa pengamalan riba boleh menyebabkan tercetusnya permusuhan dan kebencian di antara golongan masyarakat. Golongan yang diperas harta mereka untuk mengaut keuntungan riba, terutama golongan miskin akan mengutuk, memaki, mencerca dan mendoakan sesuatu yang tidak baik terhadap orang yang mengambil dan memakan riba.
iv. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mendoakan orang yang mengamalkan riba itu dengan mendapat laknat dan jauh daripada mendapat rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Memang tidak diragui bahawa doa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah mustajab. Maka amat malanglah nasib orang yang mengamalkan riba kerana tidak dapat tidak akan terjauh daripada naungan dan perlindungan Allah dan belas kasihanNya.
v. Sesungguhnya telah sabit di dalam Al-Qur’an bahawa orang-orang yang memakan riba akan dibangkitkan pada Hari Kiamat dalam keadaan seperti orang gila kerana kerasukan syaitan sebagai alamat atau tanda mereka memakan riba semasa di dunia.
vi. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala mewajibkan ke atas dirinya untuk tidak memasukkan orang yang memakan riba ke dalam syurgaNya.
Kalaulah begitu keadaannya jenayah riba itu bagaimana mungkin Malaikat Rahmat menghampiri orang seperti ini.
[5] Rumah yang mempunyai anjing:
Islam adalah agama yang begitu menitikberatkan soal kebersihan dan kesucian. Salah satu keprihatinan itu tampak jelas bilamana Islam memandu penganutnya supaya tidak memelihara anjing tanpa ada keperluan.
Dari segi hukum thahârah, najis anjing adalah dianggap sebagai najis yang berat yakni najis mughallazhah, di mana cara menyucikannya tidak memadai dengan sekali jirusan air bahkan hendaklah disertu, iaitu tujuh kali basuh dengan air, termasuk salah satunya dicampur dengan tanah.
Adanya anjing dalam rumah seorang muslim memungkinkan terdapatnya najis pada sekeliling atau persekitaran rumah disebabkan jilatan dan kencing anjing ataupun seumpamanya.
Dari segi yang lain mengapa ditegah memelihara anjing tanpa adanya keperluan adalah kerana telah sabit melalui beberapa nash ataupun dalil bahawa Malaikat Rahmat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing. Di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Talhah, beliau berkata: “Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan tidak pula masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya rupa patung-patungan. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Untuk menerangkan alasan mengapa Malaikat Rahmat tidak mahu masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing, Al-Imam Al-Nawawi ada menegaskan di dalam Shahîh Muslim bi Syarh Al-Nawawi sebagaimana yang beliau petik daripada kata-kata para ulama, sebabnya ialah:
i. Anjing adalah sejenis haiwan yang suka memakan benda-benda yang najis.
ii. Sebagaimana tersebut di dalam hadis bahawa sebahagian daripada anjing-anjing itu dinamakan syaitan, sedang malaikat itu adalah seteru syaitan.
iii. Anjing itu baunya busuk dan malaikat benci kepada bau yang busuk.
iv. Memelihara anjing itu adalah ditegah. Oleh itu orang yang memeliharanya akan mendapat kerugian kerana malaikat tidak akan masuk ke dalam rumahnya, tidak akan mendoa dan memintakan ampun baginya, tidak akan memberkati ke atas diri dan rumahnya serta tidak akan menolak bagi dirinya daripada gangguan syaitan.
Menurut pendapat setengah ulama, anjing yang dipelihara kerana ada kepentingan, seperti untuk berburu, menjaga tanaman, menjaga binatang dan sebagainya tidaklah menegah Malaikat Rahmat memasuki rumah yang terdapat di dalamnya anjing seperti itu.
Oleh itu, selama mana tidak ada keperluan atau kepentingan, maka tidak wajar bagi seorang muslim memelihara anjing di dalam rumahnya kerana dikhuatiri Malaikat Rahmat akan lari dan enggan masuk ke dalam rumahnya membawa rahmat.
[6] Rumah yang mengadakan majlis yang kosong daripada mengingati Allah:
Sesuatu majlis yang tidak diisi dengan dzikrullah iaitu ucapan-ucapan mengingati Allah seperti bertasbîh, bertahmîd, bertakbîr dan sebagainya, dan tidak juga diisi dengan ucapan-ucapan salawat dan salam ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, pada permulaannya adalah disifatkan sebagai suatu kelalaian yang ditimpakan kepada sekalian yang menghadirinya. Manakala natijahnya pula disifatkan sebagai suatu kerugian dan penyesalan, disebabkan hilangnya kebajikan, tidak mendapat apa-apa ganjaran atau pahala, jauhnya daripada Malaikat Rahmat dan bertapaknya pula syaitan dalam majlis tersebut.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidaklah suatu kaum duduk dalam satu majlis di mana mereka tidak berzikir kepada Allah dan tidak membaca selawat ke atas Nabi mereka melainkan ditimpakan ke atas mereka pengurangan pahala. Kalau Dia (Allah) berkehendak, maka Dia akan mengazab mereka. Dan kalau Dia berkehendak, maka Dia akan mengampuni dosa mereka. (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi, dan ini adalah lafaz beliau)
Apabila suatu majlis itu tidak didatangi oleh Malaikat Rahmat, maka rumah ataupun tempat diadakan majlis tersebut juga tidak didatangi oleh Malaikat Rahmat.
Perbandingan rumah yang disemarakkan dengan ucapan-ucapan memuji, mengagung dan mensucikan Allah (ذكر هللا) dengan rumah yang tidak disemarakkan dengan dzikrullah adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang telah mati. Hal ini telah diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Perumpamaan rumah yang diucapkan di dalamnya dzikrullah dengan rumah yang tidak diucapkan di dalamnya dzikrullah adalah seperti orang yang hidup dengan yang mati. (Disepakati oleh Bukhari dan Muslim)
Bahkan rumah yang kosong daripada dzikrullah disifatkan juga seperti kubur, sebagaimana yang dapat difahami melalui hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu jadikan rumah kamu itu seperti kubur dan sesungguhnya rumah yang dibacakan di dalamnya surah Al-Baqarah syaitan tidak akan memasukinya. (Hadis riwayat Tirmidzi)
Kubur adalah tempat tinggal orang mati, manakala rumah adalah tempat tinggal orang yang masih hidup. Orang-orang yang mati itu tidak membuat apa-apa amal melainkan mereka itu menerima balasan baik ataupun balasan seksa. Oleh itu orang-orang yang hidup janganlah menjadikan rumah tempat tinggal mereka itu seperti kubur dengan tidak membuat apa-apa amalan dan zikir, sehingga menjadi senyap sunyi tiada apa-apa bunyi suara amal ibadat di dalamnya. Sesiapa yang berbuat demikian maka rugilah dia kerana berkat tidak akan masuk ke dalam rumahnya dan kosong daripada apa-apa kebajikan akhirat.
Ulama berkata bahawa zikir yang afdal dan lebih berfaedah bagi rumah dan segala isinya ialah membaca Al-Qur’an, iaitu membaca surah Al-Baqarah, sebagaimana maksud hadis di atas. Syaitan akan berkata apabila melihat orang yang membaca surah tersebut di dalam rumahnya: “Ini orang beragama dan ini orang yang ingat kepada Allah, jauhlah kita daripadanya dan pergilah kepada orang yang tidak beragama dan tidak ingat kepada Allah”. Oleh itu janganlah diabai-abaikan daripada membaca surah Al-Baqarah di rumah masing-masing dan sentiasalah mengamalkannya.
Al-Imam Al-Nawawi menegaskan, sebagaimana disunatkan berzikir, disunatkan juga duduk di dalam kumpulan orang-orang yang sedang berzikir dan dalil yang menunjukkan yang demikian itu adalah nyata.
Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id dan Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhuma bahawa sesungguhnya mereka berdua telah menyaksikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Suatu kaum itu tidak duduk diam mengingati Allah ‘Azza wa Jalla melainkan malaikat-malaikat akan mengelilingi mereka, rahmat akan meliputi mereka, ketenangan akan turun ke atas mereka, dan Allah menyebut- nyebut mereka kepada orang yang berada di sisiNya.” (Hadis riwayat Muslim)
[7] Rumah yang banyak kedengaran di dalamnya caci maki:
Bagi setiap diri muslim dan muslimah mestilah sentiasa memelihara atau menjaga lidahnya daripada setiap kata atau ucapan melainkan yang jelas ada manfaatnya.
Sebagaimana kata-kata yang baik itu merupakan sedekah, kuntuman senyum yang diberikan kepada saudara kita itu merupakan sedekah yang boleh mempertingkat budi pekerti dan menambah kebajikan. Sebaliknya mengeluarkan kata-kata yang sia-sia, mengumpat, mengadu domba, mencaci maki dan mengeluarkan kata-kata kotor, semuanya itu merendahkan martabat budi perkerti, menghapus segala kebaikan yang dikerjakan dan menjauhkan diri daripada rahmat Allah Ta‘ala.
Di antara rahsia di sebalik menjaga lidah itu ialah memudahkan Malaikat Rahmat mendekati diri kita dan datang berkunjung ke dalam rumah kita.
Orang yang celupar lidahnya, suka memaki hamun, mencela dan mengutuk tidaklah disifatkan sebagai orang yang beriman sebagaimana ditegaskan dalam sebuah hadis, di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Seorang yang beriman itu bukanlah orang yang suka mencela, suka mengutuk, suka berbuat jahat dan bukan pula yang kotor lidahnya. (Hadis riwayat Tirmidzi)
Sebagaimana juga dipetik daripada maksud sebuah hadis lain bahawa seorang hamba apabila mengutuk sesuatu, maka kutukannya itu naik ke langit lalu tertutuplah pintu langit kerananya. Kemudian turun semula ke bumi, maka pintu-pintu bumi juga tertutup kerananya. Kemudian ia mengambil jalan ke kanan dan ke kiri, maka apabila ia tidak mendapatkan tempat yang diizinkan, kembalilah ia kepada orang yang dikutuk jika ia memang benar orangnya yang perlu dikutuk. Jika tidak, maka kutukannya itu kembali kepada orang yang mengucapkannya.(Al- Adzkâr m.s. 498)
Sebahagian daripada pelbagai perkara yang boleh mendatangkan laknat dan terjauh daripada rahmat dan keberkatan disebabkan perbuatan mencaci maki itu ialah:
i) Mencaci maki para sahabat Radhiallahu ‘anhum:
Termasuk di antara sebesar-besar dosa dan sebesar-besar kesalahan itu ialah menghina dan mencaci maki para sahabat Ridhwanullahi ‘alaihim ajma‘in. Mereka disifatkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai ‘khairul qurûn’ iaitu sebaik-baik zaman.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang mencaci maki sahabat- sahabatku maka ditimpa ke atasnya laknat Allah dan malaikatNya serta sekalian orang-orang (yang beriman). (Hadis riwayat Thabarani)
ii) Mencaci maki orang yang telah mati:
Mencaci maki orang yang mati adalah ditegah oleh syara‘. Tidaklah boleh disebut-sebut akan keadaan orang yang sudah mati melainkan perkara yang baik-baik sahaja. Maka tidaklah boleh dikatakan si Polan itu pencuri, suka berjudi, makan riba dan sebagainya. Menyebut-nyebut perkara yang tidak baik terhadap si mati boleh jadi akan menyakiti anak cucunya yang hidup. Jika tidak anak cucunya, mungkin akan menyakiti kaum kerabat dan sanak saudaranya. Sebab itu tersebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Al-Mughirah bin Syu‘bah, beliau berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu mencaci maki orang-orang yang telah mati kerana kamu akan menyakiti orang-orang yang masih hidup. (Hadis dikeluarkan oleh Ahmad dan Tirmidzi)
Apabila perbuatan mencaci maki orang yang mati itu boleh menyakiti hati kaum kerabatnya yang masih hidup, maka tidak syak lagi akan menimbulkan pergaduhan dan fitnah yang besar.
iii) Mencaci maki syaitan:
Sungguhpun syaitan dianggap sebagai musuh segala musuh, namun mencaci makinya tidaklah disuruh bahkan ditegah. Ini adalah disebabkan syaitan akan membesarkan dirinya ataupun membanggakan dirinya kerana cacian tersebut. Akan tetapi apa yang disuruh untuk kita melakukannya ialah memohon perlindungan kepada Allah supaya dihindarkan daripada kejahatan dan gangguan syaitan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu mencaci maki syaitan dan mohonlah perlindungan dengan Allah daripada kejahatannya. (Hadis riwayat Dailami)
iv) Mencaci maki seorang muslim yang lain:
Al-Imam Al-Nawawi menegaskan bahawa mencaci maki seorang muslim dengan tidak ada hak hukumnya adalah haram dengan ijma‘ umat Islam. Orang yang mencaci maki disifatkan sebagai orang yang fâsiq yakni tidak taat kepada Allah dan RasulNya. Hal ini ada disebutkan di dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Caci maki seorang muslim itu adalah fasiq dan perang sesama Islam itu adalah kufur. (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa’i dan Ahmad)
Akan tetapi lebih hebat lagi jika yang dicaci itu adalah kedua ibu bapa kerana yang demikian itu termasuk di dalam kategori sebesar-besar dosa. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya sebesar-besar dosa besar ialah seorang melaknat kedua ibu bapanya sendiri”. Kemudian para sahabat merasa hairan, bagaimana mungkin seorang yang berakal dan beriman melaknat kedua ibu bapanya, pada hal mereka adalah penyebab hidupnya. Lalu mereka bertanya: “Bagaimana mungkin seorang melaknat kedua ibu bapanya?” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab dengan bersabda: “Iaitu dia mencaci ayah orang lain, kemudian orang tersebut mencaci ayahnya dan dia mencaci ibu orang lain, kemudian orang tersebut mencaci ibunya.” (Disepakati oleh Bukhari dan Muslim)
Jika seorang anak melakukan suatu perkara yang menyebabkan ibu bapanya mendapatkan kutukan atau cacian, sudah dianggap sebesar-besar dosa, apalagi mencaci mereka langsung di hadapan mereka sendiri.
v) Mencaci maki kejadian alam:
Mengeluarkan kata-kata cemuhan ataupun mencaci maki kejadian-kejadian alam seperti hujan, panas, angin, taufan, banjir dan sebagainya, ataupun mengatakan bahawa hari begini atau begitu tidak baik, hari celaka atau hari sial atau sebagainya, semuanya ini adalah ditegah oleh syara‘.
Mencemuh atau mempersalahkan kejadian-kejadian alam ini biasanya berlaku bilamana ianya mendatangkan kesusahan atau musibah kepada seseorang atau segolongan penduduk. Perbuatan seperti ini adalah bertentangan dengan hukum syara‘. Terdapat banyak hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menegaskan mengenai tegahan tersebut, di antaranya sebuah hadis shahîh yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah Ta‘ala berfirman: “Anak Adam selalu mencaci maki masa, padahal Akulah masa. Siang dan malam hari ada di tanganKu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadis yang lain disebutkan, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Janganlah sekali-kali salah seorang di antara kamu mengatakan: “Alangkah sialnya masa ini!”, kerana sesungguhnya Allah Dialah masa. (Hadis riwayat Muslim)
Tidak sepatutnya bagi seorang hamba sebagai makhluk Allah memaki angin, hujan, panas dan sebagainya apabila mendapat musibah disebabkan kejadian-kejadian tersebut. Sebagaimana juga, tidak sepatutnya bagi seorang hamba Allah mengatakan sial terhadap masa-masa dan hari-hari tertentu apabila mendapat kesusahan atau musibah pada masa tersebut. Cacian dan perkataan sial yang diucapkan itu sebenarnya bukan tertuju kepada kejadian-kejadian tersebut, tetapi tertuju kepada Pelakunya yang menciptakan segala sesuatu isi alam ini iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh sebab itu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah umatnya daripada melakukan perbuatan mencaci maki masa.
Sepatutnya bagi setiap orang apabila khuatir akan tertimpa musibah disebabkan kejadian alam yang berlaku hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya terhindar daripada segala bahaya bukannya dengan mencaci maki.
vi) Mencaci maki ayam:
Bagi sesiapa yang mahu lidahnya terbiasa dengan berzikir maka hendaklah dia menjauhi daripada segala macam perkara yang boleh melalaikannya daripada berzikir mengingati Allah. Di antara perkara yang perlu dijauhi itu ialah apa sahaja perbuatan mencaci maki, sungguhpun yang dicaci itu adalah seekor binatang.
Diriwayatkan daripada Zaid bin Khali Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu memaki ayam kerana ia membangunkan orang untuk menunaikan sembahyang. (Hadis riwayat Abu Daud)
vii) Mencaci maki penyakit:
Mungkin bagi sesetengah orang, mereka menganggap penyakit itu lebih merupakan suatu penderitaan. Tetapi bagi hamba Allah yang benar-benar beriman, bahawa penyakit yang menimpa mereka itu lebih dianggap sebagai suatu nikmat, suatu anugerah daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka menganggap penyakit yang menimpa diri mereka itu sama ada merupakan ujian Allah Ta‘ala untuk mengangkat martabat mereka kepada kedudukan yang lebih tinggi di sisiNya, untuk menghapuskan atau menebus dosa-dosa yang dilakukan, ataupun untuk menguji kekuatan iman mereka.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang umatnya daripada mencaci maki penyakit, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Jangan engkau memaki penyakit demam, kerana ia menghilangkan kesalahan bani Adam sebagaimana dapur (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi. (Hadis riwayat Muslim)
Daripada sejumlah pelbagai perbuatan caci maki yang disebutkan, sewajarnya menjadi perkara yang sentiasa dihindari oleh setiap individu muslim. Jika tidak demikian, ditakuti kutukan atau cacian tersebut pula akan memakan tuannya sendiri dan terjauh daripada rahmat Allah.
Daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa mengutuk sesuatu padahal ia bukan semestinya begitu kembalilah kutukan itu kepadanya sendiri. (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
viii) Rumah yang terdapat di dalamnya patung dan gambar:
Seorang muslim tidaklah dilarang untuk menghias rumahnya. Namun dalam pemilihan bentuk perhiasan dia seharusnya tahu mana satu yang dibolehkan dan yang tidak dibolehkan.
Termasuk di antara perhiasan yang tidak dibenarkan itu ialah menyimpan patung. Sebab, adanya patung dalam rumah menyebabkan malaikat yang membawa rahmat dan keredhaan Allah akan jauh dari rumah tersebut.
Dalam hal ini Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat patung-patung atau gambar-gambar. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sebagaimana juga tersebut di dalam hadis yang lain:
Maksudnya: Daripada Thalhah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan tidak pula masuk ke rumah yang terdapat di dalamnya rupa patung-patungan.” (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Al-Tirmizi, Al-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Apa yang dimaksudkan dengan gambar dalam konteks ini ialah gambar yang mempunyai bentuk jasad dan bayang-bayang yang dikatakan sebagai patung, ataupun yang tidak mempunyai bentuk jasad yang dilukis di atas kertas, kain, hamparan dan sebagainya.
Para ulama berkata bahawa malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah yang terdapat gambar kerana pemiliknya itu menyerupai orang kafir, di mana mereka biasa meletakkan gambar sedemikian dalam rumah-rumah mereka untuk diagung-agungkan. Sebab itulah malaikat tidak suka dan tidak mahu masuk bahkan menjauhi rumah tersebut.
Al-Imam Al-Nawawi turut menegaskan sebagaimana beliau memetik daripada kata-kata ulama bahawa keengganan Malaikat Rahmat masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya gambar kerana adanya gambar itu merupakan suatu maksiat yang keji dan seolah-olah menandingi ciptaan Allah. Sesetengah gambar itu pula berupa objek yang disembah.
Para ulama menjelaskan bahawa membuat atau melukis gambar yang berupa haiwan atau apa-apa jua objek bernyawa hukumnya adalah haram dan merupakan antara sebesar-besar dosa. Tidak kira sama ada ianya dibuat dengan sesuatu yang boleh menghinakannya ataupun tidak, seperti lukisan pada baju, bejana, dinding, hamparan, alas kaki dan sebagainya. Secara keseluruhannya sama sahaja, tetap haram. Sebab, terdapat di dalamnya unsur-unsur menandingi ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Adapun membuat atau melukis gambar objek yang tidak bernyawa seperti pokok, gunung-ganang, rumah dan seumpamanya, maka hukumnya tidaklah haram.
Apa yang kita sebutkan ini adalah berkenaan membuat gambar atau lukisan. Adapun hukum meletakkan ataupun menjadikannya sebagai perhiasan di dalam rumah, sebagaimana yang dapat disimpulkan daripada kata-kata Al-Imam Al-Nawawi ketika beliau membicarakan mengenai perkara di atas bahawa meletakkan gambar atau lukisan benda-benda yang bernyawa seperti gambar binatang di tempat- tempat yang terhormat, maka yang demikian itu adalah haram.
Jika gambar seperti ini pula diletakkan pada tempat yang tidak terhormat seperti diletak untuk dijadikan alas kaki, hamparan, bantal kepala, tempat sandaran dan seumpamanya, maka yang demikian itu tidaklah dianggap haram.
Segala masalah yang disebutkan di atas adalah merangkumi, tidak kira sama ada jenis gambar yang mempunyai bayang-bayang ataupun tidak.
Persoalannya pula, tidakkah perkara ini boleh menghalang Malaikat Rahmat daripada memasuki rumah berkenaan?
Al-Imam Al-Nawawi seterusnya menjelaskan, setengah ulama mengatakan bahawa jenis rumah yang tidak dimasuki Malaikat Rahmat ialah rumah yang ada menaruh di dalamnya gambar-gambar yang ditegah. Manakala rumah yang menyimpan di dalamnya gambar-gambar yang tidak ditegah, tidaklah yang demikian itu menghalang Malaikat Rahmat memasuki rumah tersebut.
Ada juga setengah ulama mengatakan bahawa malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar, tidak kira sama ada jenis yang ditegah ataupun tidak. Keadaannya sama sahaja, tidak ada perbezaan. Wallahua‘lam. (Shahîh Muslim bi Syarh Al-Nawawi 7/341-343)
Menyentuh mengenai masalah gambar yang diambil dengan menggunakan sinar matahari atau yang kini dikenal dengan nama fotografi, Al-Marhum Al-Syeikh Muhammad Al-Najdi memfatwakan bahawa harus mengambilnya kerana gambar-gambar itu serupa dengan gambar di dalam cermin atau serupa dengan bayang-bayang gambar dalam air tempayan atau air sungai yang hening.
Al-Marhum Al-Syeikh Muhammad Al-Najdi dianggap salah seorang ulama besar di Mesir pada zamannya. Beliau juga merupakan seorang syeikh atau kepala ulama mazhab Syafi‘e di Mesir. (Bahr Al-Mâdzî 12/133)
Sebagaimana juga yang difatwakan oleh Al-Syeikh Muhammad Bakheet, iaitu seorang ulama besar dan pernah menjawat sebagai Mufti Kerajaan Mesir, bahawasanya menghasilkan gambar foto atau fotograf iaitu dengan cara penahanan bayangan menggunakan suatu alat yang telah dikenal oleh ahli-ahli teknik dalam bidang ini, tidaklah termasuk dalam kategori membuat atau melukis gambar yang ditegah. (Bahr Al-Mâdzi 12/133 dan Al-Halal wa Al-Haram 110)
ix) Rumah orang yang meninggalkan mandi junub:
Di antara perkara yang mewajibkan mandi ialah junub, sama ada disebabkan jima‘ (bersetubuh) walaupun tidak keluar air mani, ataupun disebabkan keluar air mani ketika tidur ataupun ketika jaga (tidak tidur).
Malaikat Rahmat tidak akan memasuki rumah yang penghuninya tidak mandi junub berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya gambar dan tidak juga masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan tidak juga masuk ke dalam rumah orang yang berjunub. (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Ibnu Hibban dalam Shahîhnya)
Oleh sebab itu, bagi orang yang berjunub pada malam hari dan hendak menangguhkan mandinya pada keesokan pagi (waktu subuh), disunatkan baginya mengambil wuhdu’ sebelum masuk tidur, supaya tidak terjauh daripada rahmat Allah dan sentiasa dalam pemeliharaanNya di sepanjang malam itu. Dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan, malaikat tidak mendekati mereka, iaitu: Mayat orang kafir, orang yang berlulur dengan khaluq (sejenis wangi-wangian yang diadun daripada kuma-kuma dan lainnya) dan orang yang berjunub melainkan dia berwudhu’. (Hadis riwayat Abu Daud)
Bahkan disunatkan juga mengambil wudhu’ bagi orang yang berjunub itu sebelum dia makan, minum dan sebelum dia melakukan jima‘ sebelum mandi junub. Para ulama mazhab Syafi‘e menegaskan, makruh bagi orang yang berhadas besar masuk tidur, makan, minum dan melakukan jima‘ sebelum mengambil wudhu’. Maka, apabila dia mengambil wudhu’ tidaklah lagi makruh baginya melakukan salah satu perkara tersebut. (Bahr Al-Mâdzî 1/169)
Menyebut tentang hikmat mengambil wudhu’ sebelum tidur bagi orang yang berjunub, para ulama mengemukakan berbagai pandangan. Al-Imam Al-Nawawi sendiri memetik daripada kata-kata ulama mazhab Syafi‘e bahawa hikmatnya ialah untuk meringankan hadas kerana dia telah mengangkat hadasnya daripada anggota-anggota wudhu’.
Manakala Abu Abdullah Al-Mazariy Radhiallahu ‘anhu pula mengemukakan beberapa pandangan ulama. Sebahagian mereka mengatakan bahawa hikmatnya ialah supaya orang yang berjunub itu tidur di dalam keadaan salah satu daripada dua suci. Siapa tahu, boleh jadi dia mati di dalam tidurnya.
Setengah ulama yang lain pula mengatakan, boleh jadi dengan sebab mengambil wudhu’ orang yang berjunub itu akan menjadi rajin dan bangkit hatinya untuk mandi.
Bagaimana pula kedudukan orang yang sedang haidh, adakah juga disunatkan mengambil wudhu’ sebelum tidur?
Menurut Al-Imam Al-Nawawi yang memetik pendapat para ulama mazhab Syafi‘e, bersepakat mengatakan bahawa tidak disunatkan bagi orang yang sedang haidh dan nifas mengambil wudhu’ sebelum tidur. Sebabnya, wudhu’ itu tidak memberi apa-apa kesan terhadap hadas mereka itu. Maka apabila sudah selesai atau habis haidhnya itu jadilah dia seperti orang yang berjunub. (Shahîh Muslim bi Syarh Al-Nawawi 2/223 dan Bahr Al-Mâdzî 1/169-170)
x) Rumah orang-orang yang dilaknat:
Orang yang dilaknat itu selain terjauh dan terhindar daripada pancaran cahaya rahmat Allah serta limpahan keredhaanNya, bahkan akan mendapat kemurkaanNya pula. Justeru itu, tidak mungkin Malaikat Rahmat akan mendampingi orang seperti ini dan pastinya tidak akan mendapat pertolongan daripada sesiapa pun jua yang akan melindunginya daripada azab seksa Allah Ta‘ala. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya. (Surah Al-Nisâ’: 52)
Jika dihitungkan, terdapat beberapa golongan yang dilaknat disebabkan dosa maksiat yang mereka lakukan sebagaimana sabit melalui hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antara golongan yang dimaksudkan itu ialah:
i) Orang yang terlibat dengan najis arak:
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Jibril ‘Alaihissalam telah datang kepadaku lalu berkata: “Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla melaknat arak, tukang perah arak, orang yang diperahkan arak untuknya, peminum arak, tukang bawa arak, orang yang dihantarkan kepadanya arak, penjual arak, pembeli arak, tukang tuang arak, dan orang yang dituangkan arak untuknya.” (Hadis dikeluarkan oleh Al-Thabarani, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan Ahmad)
Justeru itu, apabila Allah melaknat zat arak itu sendiri dan mengharamkannya lantaran banyaknya konsekuensi atau akibat buruk yang timbul daripadanya yang memang sudah jelas terbukti, maka dengan itu juga Allah Subhanahu wa Ta‘ala melaknat segala apa juga bentuk atau cara yang memungkinkan seorang itu sampai terlibat dengan arak bermula daripada memerahnya sehinggalah menuangkannya. Demikianlah manhaj atau metodologi yang terdapat dalam ajaran agama Islam. Bilamana Islam membuat penjagaan atau merawat sesuatu symptom atau gejala maka ia akan merawatnya daripada segenap aspek.
ii) Orang yang memberi dan menerima rasuah:
Demi menjaga kepentingan kestabilan masyarakat Islam, Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengharamkan ke atas manusia perbuatan memakan harta sesama mereka dengan jalan yang salah. Di antara jalan atau cara yang dianggap berlawanan dengan hukum Allah itu ialah rasuah.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah Al-Baqarah: 188)
Bukan setakat perbuatan memberi rasuah sahaja yang dilarang malahan juga menerimanya juga adalah dilarang dan pelakunya sama-sama mendapat kutukan ataupun laknat. Daripada Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah. (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Tidak hairanlah kalau Islam mengharamkan rasuah dan menimpakan laknat ke atas sesiapa sahaja yang terlibat. Sebab, berleluasanya rasuah bererti akan berleluasanya juga kezaliman dan penganiayaan. Misalnya mendahulukan orang yang seharusnya dikemudiankan, mengkemudiankan orang yang sepatutnya didahulukan, menetapkan hukum dengan jalan yang tidak benar dan sebagainya.
iii) Orang yang merubah ciptaan Allah:
Islam menentang sikap berlebih-lebihan dalam berhias sehingga sampai ke peringkat yang boleh dikatakan sebagai merubah ciptaan Allah Ta‘ala.
Di antara perbuatan berhias yang dianggap berlebih-lebihan yang diharamkan dalam Islam dan boleh mendatangkan laknat kepada pelakunya ialah membuat tatu pada tubuh badan, mencukur atau menipis alis mata dan menjarangkan gigi supaya kelihatan cantik.
Diriwayatkan daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat perempuan-perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang minta dicukur alisnya, dan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik yang merubah ciptaan Allah. Maka seorang perempuan berkata sesuatu kepada Ibnu Mas‘ud mengenai perkara tersebut, lalu beliau berkata: “Mengapa tidak aku melaknat orang yang dilaknat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, padahal tersebut di dalam Kitab Allah, Allah Ta‘ala berfirman (tafsirnya): “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Termasuk juga apa yang diharamkan dan boleh mendatangkan laknat itu ialah menyambung rambut dengan rambut yang lain. Biasanya perbuatan ini dilakukan oleh kaum perempuan, sebab itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat perempuan-perempuan yang melakukan perbuatan ini.
Diriwayatkan daripada Asma’ Radhiallahu ‘anha, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut atau meminta disambungkan rambut. (Hadis riwayat Muslim)
Sungguhpun yang disebutkan dalam hadis di atas adalah kaum perempuan, tetapi ini tidak bermakna yang kaum lelaki adalah dikecualikan, bahkan kutukan yang sama terkena juga kepada kaum lelaki yang menjadi tukang sambung ataupun yang disambungkan rambutnya.
iv) Lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menegaskan bahawa di antara perkara yang dilarang ke atas kaum perempuan ialah memakai pakaian kaum lelaki atau sebaliknya.
Di samping itu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam juga melaknat kaum lelaki yang menyerupai kaum perempuan dan kaum perempuan yang menyerupai kaum lelaki. Umpamanya dalam cara bercakap, gerak-geri, cara berjalan, cara berpakaian dan sebagainya.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat kaum lelaki yang menyerupai kaum perempuan dan kaum perempuan yang menyerupai kaum lelaki. (Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah dan Al- Thabarani)
Di dalam hadis yang lain, juga diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat kaum lelaki yang berkelakuan seperti perempuan (kedi/pondan) dan kaum perempuan yang berkelakuan seperti lelaki. (Hadis riwayat Bukhari)
Perbuatan ini merupakan suatu bencana yang mengancam kehidupan manusia dan masyarakat kerana berlawanan fitrah atau tabiat semulajadi, di mana tabiat lelaki dan tabiat perempuan itu mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Jika seorang lelaki berlagak lembut seperti perempuan dan seorang perempuan bergaya seperti lelaki, maka ini merupakan suatu sikap yang tidak normal.
v) Isteri yang tidak mahu menerima ajakan suami:
Apabila suami mengajak isterinya untuk melakukan persetubuhan maka tidak wajar bagi isteri menolak ajakan suaminya itu, melainkan jika terdapat keuzuran syar‘ie pada pihak isteri seperti haidh, nifas, sakit dan sebagainya.
Menolak ajakan suami boleh menyebabkan si isteri mendapat dosa dan malaikat akan melaknatnya sehinggalah waktu subuh tiba.
Tersebut di dalam hadis shahîh yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur (bersetubuh), lalu dia tidak mahu datang, maka malaikat melaknatnya sehingga waktu Shubuh tiba. (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
vi) Muhallil:
Iaitu orang yang menikahi atau mengahwini perempuan yang ditalak tiga oleh suaminya, dengan tujuan supaya perempuan itu boleh berkahwin kembali dengan bekas suaminya. Perkahwinan seperti ini dikatakan dalam masyarakat Melayu sebagai ‘kahwin cina buta’. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggelarkan lelaki seperti ini sebagai kambing jantan sewaan, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: “Mahukah kamu aku khabarkan siapa yang digelar kambing jantan sewaan itu?” Mereka menjawab: “Mahu, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Dia adalah muhallil (yang melakukan cina buta), Allah melaknat muhallil dan orang yang dicina-butakan untuknya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Al-Hakim)
Perkahwinan seperti ini sungguhpun dianggap sah, tetapi hukumnya adalah haram dan termasuk di dalam kategori dosa besar serta mendapat kutukan daripada Allah Ta‘ala kepada pelakunya.
Kesimpulan
Sebagai suatu iktibar dan pengajaran daripada segala apa yang telah dihuraikan, dapat disimpulkan bahawa orang yang melakukan sesuatu yang tidak disukai dalam agama, akan menyebabkan para Malaikat Rahmat tidak akan mendampingnya dan tidak mahu masuk ke dalam rumahnya. Iaitu malaikat yang membawa rahmat, berkat dan memohonkan keampunan bagi hamba- hamba Allah yang beriman dan beramal salih.
Tentulah perkara ini suatu kerugian. Sedangkan keberkatan itu pula suatu yang tidak ternilai harganya. Oleh sebab itu pastikan rumah kita orang-orang Islam selamat daripada sebarang perkara yang menghalang kemasukan Malaikat Rahmat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6152
