Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Bolehkah Memulakan Pelayaran Pada Hari Jumaat

Adakah pelayaran itu boleh dianggap sebagai keuzuran syar‘i yang mengharuskan seseorang meninggalkan sembahyang Jumu‘ah?

Para ulama mazhab Syafi‘e sepakat mengatakan bahawa sembahyang Jumu‘ah tidak diwajibkan ke atas orang musafir yang sedang dalam pelayaran, selama mana dia tidak berniat untuk bermuqîm atau menetap pada sesuatu tempat selama empat hari atau lebih (tidak termasuk hari sampai dan balik), dan pelayarannya itu bukan kerana melakukan atau bertujuan maksiat.

Akan tetapi keadaan itu berbeza bagi orang yang baru hendak memulakan pelayarannya pada hari Jumaat, sedang dia termasuk orang yang wajib menunaikan sembahyang Jumu‘ah. Bagi orang yang hendak memulakan pelayaran pada hari Jumaat padanya hukum tertentu, seperti berikut:

Sebelum terbit fajar: Harus memulakan pelayaran sebelum terbit fajar hari Jumaat.

Selepas sembahyang Jumu‘ah: Diharuskan juga memulakan pelayaran itu ketika mana sembahyang Jumu‘ah sudah selesai didirikan.

Selepas tergelincir matahari: Tidak harus, yakni haram memulakan pelayaran selepas tergelincir matahari pada hari Jumaat, bagi orang yang wajib ke atasnya mendirikan sembahyang Jumu‘ah.

Jika dia meneruskan juga memulakan pelayaran, maka tidak ada baginya rukhshah yakni keringanan hukum, umpamanya keringanan berbuka puasa ketika dalam pelayaran, mengqashar atau memendekkan sembahyang dan sebagainya, melainkan selepas dia terluput daripada sembahyang Jumu‘ah barulah dia beroleh rukhshah, kerana awal pelayarannya itu dikira mulai dari luputnya daripada sembahyang Jumu‘ah.

Namun ketetapan hukum mengenai haram memulakan pelayaran selepas tergelincir matahari pada hari Jumaat itu terdapat padanya beberapa pengecualian, seperti berikut:

i) Harus memulakan pelayaran pada waktu tersebut jika sekiranya dia boleh menunaikan sembahyang Jumu‘ah di tempat yang dituju atau di tengah-tengah perjalanan ketika dalam pelayaran, kerana maksud daripada larangan memulakan pelayaran tersebut ialah, supaya sesorang itu tidak terluput daripada mendirikan sembahyang Jumu‘ah. Sedangkan keadaannya dalam hal ini, sebagaimana mengikut kuat sangkaannya, dia boleh mendirikan sembahyang Jumu‘ah di mana-mana tempat dia mendapati waktu Jumu‘ah itu. Maka tidak ada halangan baginya untuk memulakan pelayaran.

Namun menurut setengah ulama‘, sebagaimana yang ditegaskan oleh pengarang kitab Al-Ta‘jîz, bahawa keharusan tersebut tertakluk juga kepada keadaan bila mana ketiadaannya itu tidak akan menjejaskan bilangan (mengurangkan bilangan empat puluh orang) ahli Jumu‘ah di tempatnya atau di perkampungannya. Jika ini berlaku, tidak harus baginya memulakan pelayaran, kerana disebabkan dia sembahyang Jumu‘ah tidak akan dapat didirikan di tempat itu.

ii) Andaikata ada sesuatu yang mewajibkan pergi belayar, seperti belayar untuk menyempati hari ‘Arafah, belayar kerana menyelamatkan harta dan sebagainya, maka dalam hal ini tidak haram memulakan pelayaran walaupun selepas tergelincir matahari, bahkan wajib pergi belayar bagi tujuan-tujuan tersebut atau seumpamanya.

iii) Begitu juga, jika sekiranya perjalanan itu ditangguhkan ditakuti akan mendatangkan kemudaratan jika dia ditinggalkan oleh rombongan yang pergi belayar pada masa itu, maka harus memulakan pelayaran walaupun selepas tergelincir matahari, kerana untuk menolak kemudaratan.

Sebelum tergelincir matahari: Tidak harus memulakan pelayaran di antara waktu terbit fajar hari Jumaat hingga tergelincir matahari melainkan setelah menunaikan sembahyang Jumu‘ah, sebagaimana menurut qaul jadîd Imam Syafi‘e Rahimahullah.

Akan tetapi harus memulakan pelayaran pada waktu tersebut jika sekiranya sembahyang Jumu‘ah boleh atau sempat dilakukan di tempat yang dituju atau di tengah perjalanan. Begitu juga jika dikhuatiri akan mendapat kemudaratan sekiranya ditinggalkan oleh teman atau rombongan seperjalanan, maka harus dia memulakan pelayaran pada waktu tersebut.

Hukum ini berlaku sekiranya pelayaran itu atas tujuan yang diharuskan, seperti belayar kerana urusan perniagaan umpamanya, ataupun pelayaran itu yang dimakruhkan seperti belayar seorang diri tanpa teman.

Bahkan hukum ini juga merangkumi pelayaran yang berupa ketaatan yakni ibadat, sama ada ianya wajib seperti naik haji, ataupun sunat seperti belayar kerana menziarahi maqam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Inilah pendapat yang ashah sebagaimana menurut Imam Nawawi.

Memang tidak dinafikan, walaupun pada masa kini setengah jadual pelayaran sudah pun diatur oleh pihak-pihak tertentu yang mesti dipatuhi, seperti jadual penerbangan umpamanya, tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh merencana dan memilih terlebih awal di antara masa-masa pelayaran yang telah dijadualkan yang bersesuaian.

Umpamanya, sesuatu destinasi yang hendak dituju itu, jika kita belayar dengan menggunakan pesawat kapal terbang, kadang-kadang dalam tempoh seminggu atau dalam sehari terdapat beberapa penerbangan menuju ke destinasi tersebut. Jika dibuat perancangan awal dengan rapi perkara memulakan pelayaran pada hari Jumaat sebelum sembahyang Jumu‘ah didirikan itu boleh dielakkan. Lain halnya jika tidak ada penerbangan melainkan pada hari tersebut, ataupun ada sesuatu keperluan penting yang memaksa untuk belayar pada hari tersebut, maka diharuskan belayar pada hari tersebut.

Maka di samping kita mengetahui akan kedudukan hukum memulakan pelayaran pada hari Jumaat, dapat juga diambil kesimpulan di sini betapa besarnya perkara sembahyang Jumu‘ah itu. Sehinggakan apabila terbit fajar hari Jumaat tidak diharuskan bagi seseorang yang wajib ke atasnya sembahyang Jumu‘ah untuk memulakan pelayaran melainkan setelah selesai sembahyang didirikan.

Di antara tujuannya ialah untuk mengelakkan supaya seseorang itu tidak lari daripada menunaikan kewajipannya dengan alasan ada keuzuran iaitu musafir. Padahal jika dia meneruskan juga memulakan pelayaran pada hari tersebut, tidak berhak baginya mendapat keringanan meninggalkan sembahyang Jumu‘ah di samping keringanan-keringanan atau rukhshah yang lainnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6231