Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Ibadat Korban

Sejarah Korban

Melakukan korban dengan menyembelih binatang dan lain-lain kepada Allah sudah lama diamalkan. Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang menceritakan tentang Habil dan Qabil, putera-putera Nabi Adam ‘Alaihissalam:

Tafsirnya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil). (Surah Al-Maidah: 27)

Mengenai dengan persembahan korban Habil dan Qabil itu, ahli tafsir mengatakan bahawa pasangan kembar Qabil yang lahir bersamanya dari kandungan yang sama yang bernama Iqlimia’ adalah seorang perempuan yang cantik, manakala pasangan kembar Habil bernama Layudza merupakan seorang perempuan yang kurang cantik. Sudah menjadi syariat Nabi Adam untuk mengahwinkan anak perempuan dari satu kandungan dengan anak lelaki dari kandungan yang lain.

Qabil merasa iri hati dengan saudaranya Habil, dan demi untuk kepentingan dirinya, dia ingin mengahwini pasangan kembarnya Iqlimia’. Meskipun bapanya berharap agar dia mengikut perintahnya dengan mengahwini Layudza, namun dia enggan mematuhinya. Lalu mereka pun membuat perundingan dan masing-masing bersetuju untuk menyembahkan korban.

Korban Qabil berupa seikat padi dan Habil pula berkorban dengan seekor kibasy. Lalu Allah menerima korban Habil. Ahli tafsir mengatakan bahawa kibasy itu diangkat ke syurga sehingga Allah menebus Nabi Ismail ‘Alaihissalam dengan kibasy itu. Ini adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Sa‘id bin Jubair dan lain-lain ulama.

Sebenarnya persembahan korban juga berlaku di kalangan orang-orang Yahudi, sebagaimana perkara ini diceritakan oleh Al-Qur’an:

Tafsirnya: Orang-orang (Yahudi itulah) yang berkata: “Sebenarnya Allah telah perintahkan kami, supaya kami jangan beriman kepada seseorang rasul sehingga dia membawa kepada kami korban yang dimakan api. (Surah Âli ‘Imrân: 183)

Perbuatan menyembahkan korban masih kekal menjadi amalan orang-orang Yahudi untuk mereka jadikan sebagai bukti kebenaran mana-mana nabi yang diutus kepada mereka, sehinggalah ianya dimansûkhkan oleh Nabi Isa bin Maryam.

Ahli sejarah mengatakan bahawa pada mulanya korban itu dengan binatang, kemudian berleluasa hingga menjadikan manusia sebagai korban, boleh jadi mimpi Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam menyembelih puteranya Ismail adalah sebagai salah satu daripada gambaran ini.

Dalam sejarah juga ada menceritakan bagaimana Abdul Muththalib telah bernazar bahawa jika dia dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan sepuluh orang anak lelaki nescaya dia akan menyembelih seorang di antara mereka sebagai korban. Apabila dia dikurniakan dengan sepuluh orang anak, maka dia pun memenuhi nazarnya dengan mengundi mereka untuk dijadikan korban. Undian itu jatuh kepada anaknya yang bernama Abdullah iaitu ayahanda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi orang-orang Quraisy menghalangnya daripada melakukan penyembelihan itu, kerana mereka khuatir perbuatannya itu akan menjadi ikutan yang berterusan. Akhirnya setelah memikirkannya, Abdul Muththalib bersetuju menebus Abdullah dengan seratus ekor unta.

Pandangan Islam Terhadap Ibadat Korban

Islam mensyariatkan ibadat korban itu sebagai salah satu ciri mendekatkan diri kepada Allah. Justeru itu Islam telah menyusun dan mengatur tatacara berkorban itu dengan kemas dan sempurna.

Hikmat dari pensyariatan ibadat ini di antaranya ialah:

(i) Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim yang mengorbankan puteranya Nabi Ismail ‘Alaihimassalam dengan menyembelihnya, akan tetapi Allah menggantikannya dengan kibasy. Fakta ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata: “Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?” Jawab Rasulullah: “Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim.” Mereka berkata: “Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya. (Hadits riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi)

(ii) Memupuk sikap pemedulian terhadap masyarakat iaitu dengan memberi dagingnya sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya, meskipun pada asalnya ia bertujuan untuk memberi manfaat kepada penduduk Makkah dan orang yang datang ke sana untuk mengerjakan haji. Firman Allah:

Tafsirnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain- lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. (Surah Al-Hajj: 34)

(iii) Melahirkan kesyukuran kepada Allah terhadap nikmat hidup yang telah diberikanNya.

(iv) Menyemai dan menanamkan sifat dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladan kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘Alaihimassalam dan sifat mereka yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah dari rasa cinta kepada diri sendiri dan kepada anak.

Sementara itu dalil-dalil yang menunjukkan pensyariatan ibadat korban di dalam Islam adalah dari Al-Qur’an, sunnah dan ijmâ‘.

Dalil dari Al-Qur’an ialah:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). (Surah Al-Kautsar)

Jadi apakah hubungan di antara penganugerahan Allah yang berupa Al-Kautsar kepada RasulNya dengan sembahyang dan penyembelihan yang disebutkan selepasnya?

Diriwayatkan bahawa surah ini diturunkan apabila kaum musyrikin Makkah mengaibkan atau memalukan Rasulullah berikutan dengan kewafatan putera Baginda dengan menggelar Baginda dengan gelaran Al-Abtar (orang yang tidak mempunyai anak lelaki). Lalu Allah Subhanahu wa Ta‘ala memuliakan Baginda dengan memberikannya sesuatu yang lebih baik daripada mempunyai anak lelaki iaitu Al-Kautsar. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menenangkan Baginda agar jangan terpengaruh dan jangan pedulikan cemuhan mereka, bahkan hendaklah Baginda terus beribadat kepada Allah semata-mata, bukan sebagaimana yang telah dilakukan oleh orang-orang musyrikin yang beribadat bukan kerana Allah dan membuat penyembelihan untuk berhala-berhala yang mereka sembah. Maknanya, seolah-olah Allah berfirman: “Kekallah wahai Muhammad dengan dakwah yang engkau jalankan dan dengan ketaatanmu kepada Allah semata-mata, dan barangsiapa yang mengaibkanmu dengan gelaran Al-Abtar, merekalah yang sebenarnya Al-Abtar iaitu orang yang terputus daripada rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.”

Adapun dalil daripada sunnah yang menunjukkan korban ini sebagai sesuatu yang disyariatkan ialah hadits yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu, dia berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkorban dengan dua ekor kibasy (biri-biri) putih yang bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan Baginda sendiri sambil membaca Basmalah dan bertakbir dan Baginda meletakkan (menginjakkan) kakinya di pangkal leher biri-biri itu. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Hukum Ibadat Korban

Mengenai dengan hukum korban, sebilangan besar ulama fiqh mengatakan bahawa ibadat korban itu adalah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat-sangat dituntut). Akan tetapi mereka berbeza pendapat adakah ibadat korban itu wajib bagi orang yang berkemampuan?

(i) Jumhur ulama mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang berkemampuan itu. Jika ditinggalkannya walau tanpa sebarang keuzuran, tidaklah dia berdosa dan tidak mesti dia mengqadhanya. Di antara mereka yang berpendapat begini ialah Abu Mas‘ud Al-Badri, Sa‘id bin Al- Musayyab, ‘Alqamah, Al-Aswad, ‘Atha, Imam Malik, Imam Ahmad dan lain-lain.

Dalil bagi mereka yang mengatakan sunat berkorban, di antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Jabir, dia mengatakan:

Maksudnya: Aku bersembahyang ‘Idul Adhha bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Apabila telah selesai, Baginda membawa seekor kibasy (biri-biri) lalu Baginda menyembelihnya dan membaca: “ َلبسم

Maha Besar, wahai Tuhan kami, inilah korban daripadaku dan daripada orang-orang yang belum berkorban daripada kalangan umatku). (Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi)

Di antaranya juga ialah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma secara marfû‘:

Maksudnya: Aku diperintahkan (diwajibkan) untuk mendirikan sembahyang dua rakaat (Hari Raya) Adhha sedangkan kamu tidak diperintahkan (diwajibkan) untuk mendirikannya, dan aku diperintahkan (diwajibkan) untuk menyembelih korban akan tetapi ia tidak diwajibkan ke atas kamu. (Hadits dikeluarkan oleh Ahmad)

(ii) Sementara itu Rabi‘ah, Al-Auza‘ie, Abu Hanifah dan Al-Laits mengatakan hukumnya adalah wajib ke atas orang yang berkemampuan dan pendapat ini dipersetujui oleh sebahagian ulama Malikiyyah.

Pendapat yang masyhûr di sisi Abu Hanifah pula ialah wajib ke atas orang yang muqîm yang memiliki nishâb.

Pendapat yang mengatakan wajib bersandarkan kepada ayat:

Tafsirnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (Surah Al-Kautsar: 2)

Di mana mereka mengatakan bahawa kata kerja suruhan di sana adalah menunjukkan wajib, akan tetapi pandangan ini ditolak dengan hujah bahawa ayat ini bukanlah sebagai dalil atau nash yang menunjukkan perintah wajib bagi ibadat korban, ayat ini ditujukan umum kepada semua ibadat yang wajib diniatkan kerana Allah semata-mata.

Hukum sunat ibadat korban itu adalah sunat mu’akkadah yang berupa sunat kifâyah jika ahli keluarga orang yang menyembelih korban itu ramai bilangannya. Jadi jika salah seorang daripada mereka menyembelih korban maka adalah memadai untuk mewakili semua ahli keluarga. Sebaliknya jika dia tidak mempunyai ahli keluarga melainkan hanya dirinya seorang sahaja, maka hukumnya adalah sunat ‘ain.

Apa yang menjadi prasyarat sebelum melakukan ibadat korban itu ialah mestilah orang yang berkorban itu mempunyai wang belanja yang melebihi keperluannya pada siang hari dan malamnya, dan dia memiliki pakaian yang sesuai dipakainya sama ada pada musim sejuk atau musim panas. Begitu juga dia mestilah mempunyai perbelanjaan yang mencukupi keperluannya pada Hari Raya dan hari-hari Tasyriq kerana hari-hari ini adalah waktu menyembelih korban.

Ibadat korban itu lebih afdhal dari bersedekah sunat. Berkata Imam Syafi‘e: “Tidak ada kelonggaran untuk meninggalkannya bagi orang yang mampu, jika ditinggalkannya juga maka hukumnya makruh.”

Adakalanya ibadat korban itu menjadi wajib jika dinazarkan, sebagaimana hadits:

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika mati orang yang bernazar itu sekalipun, adalah harus digantikan oleh sesiapa sahaja yang ditentukannya sebelum kematiannya.

Fadhilat Ibadat Korban

Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang keutamaan ibadat korban. Di antaranya hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tiada ada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah dari menumpahkan darah. Bahawasanya ia (korban itu) datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya dan bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih. (Hadits riwayat Tirmidzi)

Kemudian hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: Tidak ada sesuatu yang dibelanjakan oleh mata wang yang lebih baik dari menyembelih (korban) pada Hari Raya. (Hadits riwayat Al-Daraquthni)

Waktu Menyembelih Korban

Waktu menyembelih korban ialah dari terbit matahari dan kadar berlalu sembahyang sunat Hari Raya dan dua khutbahnya, sebagaimana perkara itu dijelaskan oleh hadits-hadits berikut:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang pada Hari Raya Korban, kemudian Baginda menyembelih (korban) lalu bersabda: “Barangsiapa yang menyembelihnya sebelum dia bersembahyang (Hari Raya), maka hendaklah dia menyembelih yang lain sebagai gantinya, dan barangsiapa yang belum menyembelihnya, maka hendaklah dia menyembelihnya dengan menyebut nama Allah. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga hadits Al-Barra’ bin ‘Azib yang mana bapa saudaranya Abu Burdah melakukan penyembelihan sebelum sembahyang Hari Raya, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang menyembelih (korban) sebelum sembahyang raya, dia hanya menyembelih untuk dirinya sendiri (tidak menyembelih korban), dan sesiapa menyembelih sesudah sembahyang Raya maka sempurnalah ibadatnya dan dia telah melaksanakan sunnah kaum muslimin dengan tepat. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkata Imam Al-Nawawi di dalam kitab Syarh Shahîh Muslim: “Adapun waktu mengerjakan ibadat korban itu adalah selepas dia mendirikan sembahyang Hari Raya bersama imam, dalam keadaan ini dia mendapat pahala sebagaimana yang disepakati oleh para ulama.” Ibnu Al-Mundzir pula berkata: “Para ulama sepakat bahawa ibadat korban itu tidak harus dilakukan sebelum terbit fajar pada Hari Raya korban, akan tetapi mereka bersalahan pendapat pada menentukan hukum berkorban yang dilakukan selepas waktu tersebut.”

Imam Syafi‘e, Daud, Ibnu Al-Mundzir dan lain-lainnya berkata: “Bermula waktu untuk berkorban itu dari terbit matahari dan kadar berlalu sembahyang Hari Raya dan dua khutbahnya. Jika disembelih binatang korban itu selepas kadar waktu ini, diterima korbannya, sama ada imam sudah mendirikan sembahyang Hari Raya ataupun belum, sama ada dia mengerjakan sembahyang Dhuha ataupun tidak, sama ada dia orang kota ataupun orang kampung atau orang musafir, sama ada imam menyembelih korbannya atau tidak.”

Imam Abu Hanifah dan ‘Atha pula berkata: “Bermula waktu berkorban itu pada hak orang-orang kampung dari terbit fajar kedua (fajar shâdiq), dan bagi orang-orang bandar pula dari selepas imam bersembahyang dan berkhutbah Hari Raya. Jika dia menyembelih sebelum waktu yang disebutkan ini, maka tidak diterima korbannya.”

Imam Malik pula berpendapat: “Tidak harus berkorban melainkan selepas imam bersembahyang dan berkhutbah Hari Raya dan menyembelih korbannya.”

Imam Ahmad berkata: “Tidak harus sebelum imam mendirikan sembahyang, dan harus selepasnya dan sebelum imam menyembelih korban. Baginya sama sahaja orang-orang bandar dan orang-orang kampung.”

Bertolak dari sini dapatlah ditanggapi bahawa orang-orang yang menyembelih korbannya pada hari ‘Arafah atau pada malam Hari Raya sebelum terbit fajar, penyembelihannya tidaklah dikira sebagai korban yang dituntut oleh syara‘.

Sementara itu masa atau waktu terakhir untuk membuat korban itu, berkata Imam Syafi‘e: “Harus berkorban pada hari Nahar dan hari-hari Tasyriq yang tiga selepasnya”. Imam Abu Hanifah dan Ahmad pula berpendapat, berkorban itu tertentu pada hari Nahar dan dua hari selepasnya.

Jadinya, penentuan permulaan waktu untuk berkorban itu adalah bersandarkan kepada hadits-hadits yang tsabit meskipun terdapat percanggahan di dalam memahami maksudnya. Adapun penentuan waktu terakhir untuk berkorban itu pula adalah bersandarkan kepada ijtihâd semata-mata.

Oleh itu adalah wajar kepada orang-orang yang berkemampuan agar tidak melepaskan peluang untuk berkorban, kerana ibadat ini amatlah dituntut dan tinggi nilainya di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, lebih-lebih lagi ada kalangan ulama yang mengatakannya wajib, dan masa melakukannya pula adalah terhad, berbanding dengan sedekah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dan waktu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6223