Cara Menyambut Kelahiran Anak
Apabila Islam menggariskan kriteria-kriteria tertentu mengenai pemilihan bakal pasangan pengantin, terutama kriteria agama, maka matlamat utama dari kriteria itu ialah untuk mewujudkan pasangan suami isteri yang sakînah (yang mempunyai ketenangan) dan mahabbah (kasih sayang).
Hasil dari perkongsian hidup yang bahagia akan lahirlah anak-anak yang salih.
Jauh sebelum anak itu lahir, Islam telah mendidik bakal anak-anak yang akan lahir itu supaya sewaktu pasangan itu bersatu akan membaca doa-doa yang khusus supaya menjauhi dari syaitan, baik bagi diri mereka mahupun bakal anak yang akan lahir.
Kedua pasangan suami isteri terus mendoakan kandungannya dengan doa-doa serta bacaan surah-surah Al-Qur’an yang tertentu supaya anak dalam kandungan dididik dengan kerohanian dan pendidikan Al-Qur’an sehinggalah anak itu lahir.
Doa-doa supaya anak-anak menjadi zuriat atau keturunan yang thayyibah (yang baik) disebut oleh Al-Qur’an berkali-kali.
Contohnya ayat 128, dari surah Al-Baqarah:
Tafsirnya: Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Al-Baqarah: 128)
Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. (Surah Âli-‘Imrân: 38)
Begitu juga dalam firmanNya:
Tafsirnya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Surah Ibrahim: 40)
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Surah Al-Furqân: 74)
Dalam hubungan menyambut kelahiran anak, Islam telah menggariskan cara-cara yang sebaik-baiknya, di antaranya ialah seperti dengan ucapan tahniah dan merasa gembira di atas kelahiran anak itu, menyerukan azan dan iqâmah, mentahnîk, mencukur rambut, memberi nama, aqiqah dan lain-lain lagi. Ruangan ini insya Allah akan menghuraikan cara-cara yang sedemikian.
Memberi Khabar Gembira Dan Ucapan Tahniah
Memang sudah menjadi naluri manusia suka dan merasa senang dengan khabar-khabar gembira, kerana itu Islam menggalakkan umatnya agar menggembirakan saudara muslimnya yang lain. Di antara perkara-perkara yang kita patut gembira dan menggembirakan ialah setiap muslim yang mendengar saudara mara atau jiran tetangga atau sesiapa sahaja yang dikenalinya telah mendapat ataupun baru menerima kelahiran anak, agar mengkhabarkan berita gembira itu kepada orang lain, lebih-lebih lagi kepada keluarga yang berkenaan.
Tujuan ini jelas supaya mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan dapat menjalinkan ikatan kemesraan di kalangan mereka.
Sebenarnya galakan untuk memberitakan khabar gembira itu bukanlah berupa jalinan atau rangkaian kata-kata yang tidak mempunyai asas tertentu atau suatu kebiasaan yang baru tumbuh dalam masyarakat moden sekarang, akan tetapi suatu amalan yang telah lama wujud. Al-Qur’an sendiri yang merupakan sumber perundangan Islam yang utama menceritakan tentang anjuran atau galakan ini.
Al-Qur’an telah menceritakan bagaimana Allah telah mengkhabarkan berita gembira kepada beberapa orang rasulNya tentang kelahiran putera bagi rasul-rasul itu. Berita ini bagi rasul-rasul itu mempunyai kesan kejiwaan yang sangat mendalam.
Ini adalah sebagai petunjuk dan memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa berita yang menggembirakan itu memberi kesan yang besar dalam menyubur dan menguatkan hubungan bermasyarakat di kalangan mereka.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam menceritakan kisah Nabi Zakaria ‘Alaihissalam:
Tafsirnya: (Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):“Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang menggembirakanmu, dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang Kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya.” (Surah Maryam: 7)
Demikian juga Allah telah menggembirakan Nabi Ibrahim dengan kelahiran Nabi Ismail ‘Alaihimassalam dalam firmanNya:
Tafsirnya: Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar. (Surah Al-Shâffât: 101)
Di dalam beberapa buku sejarah yang berkaitan dengan kelahiran Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menceritakan bagaimana kisah Abu Lahab telah memerdekakan seorang hambanya yang bernama Tsuwaibah kerana hambanya itu mengkhabarkan berita gembira kepadanya tentang kelahiran Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dengan sikap Abu Lahab ini Allah mengurangkan penyeksaanNya kepada beliau itu.
Berkata Al-Suhaili bahawa Al-‘Abbas pernah bermimpi bertemu dengan Abu Lahab setelah setahun kematiannya. Al-‘Abbas telah bertanya akan perkhabarannya di sana. Abu Lahab menjawab bahawa dia diseksa dengan seksaan yang amat pedih, tetapi pada setiap hari Isnin dikurangkan penyeksaannya itu kerana hari itu dia telah memerdekakan seorang hambanya kerana terlalu gembira akan kelahiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, anak saudaranya.
Oleh kerana itu bagi sesiapa yang mendengar berita gembira tentang saudaranya atau sahabat handainya yang baharu sahaja menerima cahaya mata, disunatkan supaya bersegera mengucapkan tahniah kepada mereka atas anugerah dan nikmat Allah itu dengan iringan doa agar hidup mereka dirahmati Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ketika memberi tahniah sebaiknya diucapkan:
Ertinya: Semoga Allah memberkati dirimu atas kurniaanNya, aku bersyukur kepada Allah yang menganugerahkan, dan engkau telah mendapat anugerah kebaikanNya dan sungguh sempurna kekuasaanNya.
Ataupun diucapkan:
Ertinya: Semoga Allah menjadikannya (anakmu itu) pembawa berkat kepadamu dan kepada umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Mudah-mudahan dengan pengucapan tahniah itu akan menimbulkan suatu perasaan persaudaraan yang amat mendalam. Ini juga merupakan ajaran Al-Qur’an yang mewajibkan umatnya berkasih sayang di antara satu sama lain.
Kelaziman yang dilakukan oleh kebanyakan orang pada masa ini, mereka memberi cenderamata yang berupa barang atau wang kepada si anak atau kepada si ibu, atau diberikan sejambangan bunga dan sebagainya, sebagai tanda kegembiraan di atas kelahiran anaknya.
Cara ini juga tidak mengapa, kerana ia akan menambahkan lagi kemesraan, ingatan dan kasih sayang antara satu sama lain. Secara tidak langsung akan dapat mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa kerana hadiah-hadiah itu dapat menampung keperluan anak.
Menyerukan Azan Dan Iqâmah
Di antara amalan sunat yang dianjurkan oleh Islam kepada umatnya ketika menyambut kelahiran anak ialah mengazankannya di telinga kanan dan mengiqâmahkan di telinga kirinya. Kedua-dua amalan ini hendaklah dilakukan sejurus kelahiran anak. Hal ini bertepatan dengan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam setiap kali menerima kelahiran cucu Baginda, sebagaimana disebutkan oleh hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmidzi daripada Abu Rafi‘:
Maksudnya: Aku telah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengazankan di telinga Hasan bin Ali ketika dia dilahirkan oleh ibunya Fatimah. (Hadits riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Dalam hadits lain riwayat Al-Baihaqi dan Ibnu Al-Sunni daripada Al-Hasan bin Ali daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan anak yang baru lahir maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan diiqâmah di telinga kiri, nescaya tidak akan menyakitinya Umm Al-Shibyân (pengikut jin atau penunggu atau suatu penyakit yang terkena pada kanak-kanak pada masa kecilnya).
Menyerukan azan dan iqâmah ke telinga anak yang baru dilahirkan itu mempunyai hikmah atau tujuan tertentu, antaranya menurut Ibnu Qayyim di dalam kitabnya Tuhfah Al-Maudûd agar kalimah yang mula-mula didengar oleh anak itu ialah kalimah tauhid, kalimah yang mengakui keagungan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan keesaanNya. Kalimah ini juga yang akan didengarnya apabila dia mengakhiri hidupnya di dunia ini.
Walaupun pada dasarnya anak itu tidak mengerti akan makna kalimah itu, tetapi ia akan meresap ke hatinya yang suci bersih dan meninggalkan kesan yang amat bererti buat dirinya, kerana kalimah ini merupakan kalimah yang menyatakan keimanan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya dan kalimah yang mengajar anak itu supaya taat dan bertawakal kepadaNya. Ini merupakan petunjuk iman yang perlu ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak awal-awal lagi.
Selain dari itu, menyerukan azan dan iqâmah itu juga adalah sebagai usaha untuk memohon perlindungan daripada gangguan syaitan, di mana dengan seruan azan ini syaitan akan lari dari anak tersebut, dan pada hakikatnya azan merupakan salah satu cara untuk menghalau syaitan. Azan juga merupakan laungan dan seruan kepada Allah.
Sebenarnya azan dan iqâmah itu merupakan laungan dan seruan kepada Allah, kepada agamaNya dan beribadah kepadaNya. Dengan melakukan seruan ini akan mendahului seruan syaitan. Azan juga adalah seruan kepada fitrah manusia yang asal sebelum digoda oleh syaitan yang ingin mengalih haluan kepada jalan-jalan yang terkutuk dan dilaknati oleh Allah.
Semua hikmah yang disebutkan ini menunjukkan betapa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam amat mengambil berat tentang aqidah, tauhid dan iman dan dalam waktu yang sama menghalau syaitan dan nafsu sejak dari anak itu mula mencium bau dunia dan sejak dia bernafas dengan nafas kehidupan.
Mendoakan Dan Membaca Surah Al-Ikhlâsh Dan Surah Al-Qadr.
Sunat dibacakan pada telinga kanan anak yang baharu dilahirkan itu ayat Al- Qur’an sebagai doa:
Tafsirnya: Bahawasanya, aku pohonkan perlindungan Engkau (wahai Allah) diri anak ini dan zuriat keturunannya kelak daripada tipu daya syaitan. (Surah Âli ‘Imrân: 36)
Sunat juga dibacakan pada telinga kanan anak itu surah Al-Ikhlâsh kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah membacakan surah ini pada telinga anak yang baharu dilahirkan. Ini sebagaimana yang telah diriwayatkan di dalam Musnad Abu Razin.
Begitu juga sunat dibacakan surah Al-Qadr pada telinga kanan anak itu kerana barangsiapa berbuat demikian, nescaya Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak akan mentakdirkannya berzina sepanjang hayatnya.
Melakukan Tahnîk
Amalan lain yang disunatkan supaya dilakukan kepada anak yang baru lahir ialah dilakukan tahnîk. Amalan ini dilakukan sebaik saja anak itu dilahirkan.
Tahnîk ini dilakukan dengan mengutamakan mengunyah ruthab (kurma yang matang yakni sebelum ianya menjadi tamar) kemudian baharulah tamar (kurma). Ruthab atau kurma yang dikunyah itu diletakkan di hujung jari, kemudian dimasukkan ke dalam mulut anak tersebut dengan perlahan-lahan digerakkan jari itu ke kanan dan ke kiri mulutnya. Ini dilakukan sehingga isi buah ruthab atau kurma tadi menyentuh pada keseluruhan mulut anak berkenaan dan ruthab atau kurma tersebut akan masuk ke dalam rongga tekaknya.
Sekiranya sukar untuk mendapatkan ruthab atau kurma, maka bolehlah digantikan dengan apa sahaja yang manis, seperti anggur kering (kismis) dan yang seumpamanya yang belum disentuh oleh api.
Adapun untuk melakukan tahnîk ini adalah lebih afdhal jika diserahkan kepada mereka yang taqwa dan salih, ulama dan ahl al-fadhl (orang yang mulia) bagi memperolehi keberkatan daripada mereka. Mudah-mudahan anak itupun akan bersifat taqwa. Jika tiada lelaki yang dapat melakukannya, maka bolehlah diserahkan kepada perempuan yang salih.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah mentahnîk Abdullah bin Al-Zubair. Dengan berkat air liur Baginda, Abdullah telah dipenuhi dengan keutamaan dan kesempurnaan yang tidak dapat digambarkan. Beliau adalah seorang pembaca Al-Qur’an, jauh dari melakukan sebarang maksiat, banyak berbuat kebaikan dan sebagainya.
Sebagaimana keterangan di atas, tahnîk ini telah diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana terdapat hadits-hadits yang boleh dijadikan dalil yang menunjukkan hukum sunat amalan tersebut.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Musa Radhiallahu ‘anhu, dia berkata:
Maksudnya: Telah dikurniakan kepadaku seorang anak, maka akupun membawanya menemui Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda menamakannya Ibrahim, lalu Baginda mentahnîkkannya dengan kurma dan mendoakan keberkatan untuknya, kemudian Baginda menyerahkan kembali anak itu kepadaku. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Amalan ini mempunyai hikmat-hikmatnya yang tersendiri. Di antaranya ialah untuk membekalkan masa depan anak itu dengan keimanan, yang mana cara ini akan dapat menanamkan iman yang teguh ke dalam diri anak tersebut. Ini adalah kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengumpamakan buah kurma sebagai orang yang beriman. Jadi adalah diharapkan dengan amalan bertahnîk akan dapat melahirkan orang yang beriman seawal dia dilahirkan.
Selain daripada itu, bertahnîk juga dapat menguatkan urat-urat mulut anak yang baru lahir itu dengan sebab pergerakan lidah bersama barang yang telah ditahnîk, di samping menguatkan dua tulang rahangnya hingga akhirnya mudah baginya ketika hendak menghisap susu ibunya. Ini akan memberi kepuasan dan kekenyangan kepada anak itu.
Dari sudut kesihatan pula, bertahnîk dapat menggerakkan sebahagian daripada pangkal usus perut bagi membantu proses penghadaman.
Mencukur Rambut
Mencukur rambut juga adalah di antara amalan yang disunatkan untuk dilakukan ke atas anak yang baharu dilahirkan. Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh dari kelahirannya. Kemudian rambut itu ditimbang dan disunatkan bersedekah dengan emas atau perak seberat timbangan rambut yang dicukur itu kepada fakir miskin jika berkemampuan. Jika tidak mampu, maka tidaklah diberatkan ke atas ibu bapa anak berkenaan, melainkan sekadar yang terupaya, umpamanya digantikan dengan nilaian wang atau sebagainya mengikut kemampuan.
Sandaran kepada amalan ini adalah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Ali bin Abu Thalib, dia berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah beraqiqah untuk Al- Hasan dengan seekor kibasy dan Baginda bersabda: “Wahai Fatimah! Cukurlah kepalanya (rambutnya) dan bersedekahlah seberat timbangan rambutnya dengan perak.” (Ali) berkata: “Lalu dia (Fatimah) timbang (rambut anaknya itu), maka beratnya adalah satu dirham atau setengah dirham.” (Hadits riwayat Tirmidzi)
Amalan mencukur rambut anak ini mempunyai hikmat tertentu, di mana ia akan memberi satu kesan yang amat baik kepada anak tersebut.
Dari sudut kesihatan, ia boleh mempercepatkan proses pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala) dan juga memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, hiduan hidung dan pendengaran telinga. Ini boleh terjadi bilamana liang-liang atau lubang-lubang rambut anak itu terbuka yang memberi kekuatan kepada anggota pancaindera itu tadi untuk berfungsi dengan lebih baik dan cergas.
Dari sudut kemasyarakatan pula, ia memberi peluang untuk bersedekah dengan timbangan berat rambut yang dicukur itu sebagai salah satu usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan mengikuti sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, di samping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaanNya. Kesempatan ini juga akan dapat membantu fakir miskin yang memerlukan bantuan. Ini merupakan satu amalan yang dituntut di dalam Islam agar umatnya sentiasa membantu fakir miskin, di samping dapat menjalinkan kemesraan dan hubungan silaturahim.
Sehubungan dengan itu, meskipun amalan bercukur itu adalah sunat, namun terdapat bentuk-bentuk cukuran yang dilarang oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu apa yang disebut sebagai melakukan qaza‘. Qaza‘ adalah perkataan Arab yang bererti mencukur sebahagian rambut kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain.
Larangan melakukan qaza‘ ini telah disebut dengan terang dan jelas dalam hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma yang berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada melakukan qaza‘.
Terdapat empat bentuk atau cara qaza‘ yang dilarang:
Pertama: Mencukur rambut di beberapa bahagian kepala secara tidak merata.
Kedua: Mencukur bahagian tengah kepala dan meninggalkan bahagian yang tepi.
Ketiga: Mencukur bahagian tepi kepala dan meninggalkan bahagian yang tengah.
Keempat: Mencukur bahagian hadapan kepala dan meninggalkan bahagian belakangnya.
Cara mencukur rambut anak yang baharu dilahirkan yang dituntut oleh Islam ialah dengan mencukur keseluruhan rambut anak tersebut. Ini berdasarkan kepada sebuah hadits daripada Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melihat seorang kanak-kanak yang dicukur sebahagian rambutnya dan ditinggalkan sebahagian yang lain, lalu Nabi melarang mereka berbuat demikian dan bersabda: “Kamu cukur (rambut itu) kesemuanya atau kamu tinggalkan kesemuanya (tidak mencukurnya).” (Hadits riwayat Abu Daud)
Pada hakikatnya larangan melakukan qaza‘ ini juga mempunyai hikmahnya yang tertentu. Mengikut pendapat Ibnu Al-Qayyim Rahimahullah bahawa semua ini adalah untuk menunjukkan kesempurnaan Allah dan RasulNya dalam mencintai keadilan, di mana manusia diperintahkan agar berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri.
Justeru itu umat Islam dilarang mencukur sebahagian rambut kepala anak-anak mereka yang baharu lahir dan meninggalkan sebahagian yang lain, kerana ia merupakan suatu perbuatan yang tidak adil kepada kepala kerana hal sedemikian menyebabkan sebahagian kepala akan ditutupi rambut manakala sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut. Keadaan ini samalah dengan larangan duduk antara tempat yang kena cahaya matahari dan tempat teduh yang terlindung daripada cahaya matahari kerana ia merupakan sikap ketidakadilan kepada tubuh seseorang. Contoh yang lain, adalah dilarang memakai sebelah kasut ketika berjalan.
Hikmahnya yang lain, larangan ini menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menitikberatkan atau prihatin terhadap penampilan orang Islam di dalam masyarakat. Baginda ingin umatnya mempamerkan penampilan yang sesuai sama ada dari sudut keperibadiannya mahupun perhiasannya. Keinginan Baginda ini jelas dengan larangan perbuatan mencukur sebahagian rambut kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain, kerana perbuatan ini bertentangan dengan sifat- sifat kehormatan, kesopanan serta kecantikan.
Islam amat mengambil berat terhadap pembentukan akhlak umatnya. Perbuatan mencukur serupa ini, jelas menunjukkan kurang sopannya seseorang itu, di samping ia bukan daripada bentuk rambut yang dianjurkan oleh Islam.
Apabila kita merujuk kepada realiti kehidupan masyarakat kita masa kini dalam hubungannya dengan amalan bercukur ini, terdapat amalan ‘papat jambul’ yang dilakukan bagi menggantikan amalan mencukur rambut.
Amalan ‘papat jambul’ ini dilakukan dengan memotong atau menggunting hujung rambut anak yang baharu dilahirkan itu lalu dimasukkan rambut itu ke dalam ruang buah kelapa muda yang sudah ditebuk atau yang seumpamanya. Amalan ini lebih merupakan adat, bukan sebagaimana yang disyariatkan dan memang wajar tidak dapat dipertahankan apatah lagi untuk diteruskan. Kewajipan umat Islam ialah menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam walaupun kecil, kerana pada akhir zaman ini, mereka disuruh berpegang dengan agama mereka seperti menggigitnya dengan gigi-gigi geraham mereka. Di samping itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah meninggalkan pesan, di antaranya:
Maksudnya: Daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya. (Hadits riwayat Tirmidzi dan (beginilah) yang lainnya)
Memberi Nama Di antara hak anak ke atas ibu bapanya ialah memberikannya nama yang baik dan menghindarkan dari memberikannya nama yang tidak elok.
Tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya di antara hak anak ke atas bapa ialah mengelokkan namanya dan mengelokkan adabnya. (Hadits riwayat Al-Bazzar)
Di dalam hadits yang lain pula disebutkan, juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Hak seorang anak ke atas bapa ialah mengelokkan namanya, mengahwinkannya apabila sampai umur dan mengajarkannya Al-Kitab (Al-Qur’an).” (Hadits riwayat Al-Dailami)
Sebagaimana juga menurut hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang lain dan kata-kata ulama bahawa adalah dituntut terutama sekali kepada ibu bapa supaya memilih nama-nama yang baik dan nama-nama yang memberi sempena baik ketika meletakkan atau memberi nama kepada anak yang baru lahir, dan menghindarkan dari meletakkan nama-nama yang dimakruhkan lebih-lebih lagi yang diharamkan.
Syeikh Al-Islam Ibrahim Al-Baijuri menegaskan di dalam kitab Fath Al-Qarîb bahawa sunat diberi nama anak dengan nama yang baik, sebagaimana menurut sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya kamu dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, dari itu elokkanlah nama-nama kamu. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Sehubungan dengan itu Islam meletakkan garis panduan yang boleh dijadikan sebagai asas ketika memilih dan memberi nama anak.
Masa Yang Dianjurkan Memberi Nama Anak
Al-Imam Al-Nawawi menegaskan di dalam kitabnya Al-Adzkâr bahawa sunat memberi nama anak yang baru dilahirkan sama ada pada saat hari dia dilahirkan ataupun pada hari ketujuh, sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada bapanya daripada datuknya:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan agar memberi nama kepada anak yang baru lahir pada hari ketujuh dari hari kelahirannya, menghilangkan kotoran daripadanya dan membuat ‘aqiqah untuknya. (Hadits riwayat Tirmidzi)
Tentang pemberian nama pada saat hari lahir anak itu pula adalah berdasarkan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Anakku lahir pada malam tadi, maka aku beri nama dengan nama datukku iaitu Ibrahim.” (Hadits riwayat Muslim dan lainnya)
Tersebut lagi di dalam hadits yang lain:
Maksudnya: Daripada Sahl bin Sa‘d dia berkata: “Mundzir bin Abu Usaid dibawa ke hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika dia baru dilahirkan, kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam meletakkannya di atas paha Baginda, sedang Abu Usaid duduk. Oleh sebab Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sibuk dengan sesuatu yang ada di hadapan Baginda, maka Abu Usaid menyuruh mengangkat anaknya, lalu diambil anaknya daripada paha Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lantas mereka membawanya pulang ke rumah. Setelah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam teringat akan anak tersebut Baginda bersabda: “Mana anak tadi?” Abu Usaid menjawab: “Kami bawa pulang wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Siapa namanya?” Abu Usaid menjawab: “Si Polan (si Anu) wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Tidak, tetapi namanya Al-Mundzir.” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika itu memberinya nama Al-Mundzir. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun yang demikian, ada juga ulama mengatakan bahawa tidaklah mengapa yakni harus memberi nama anak sebelum hari ketujuh ataupun selepasnya.
Orang Yang Berhak Memberikan Nama Bapa selaku wali kepada anaknya adalah orang yang berhak memilih dan memberi nama. Namun elok bagi bapa sama-sama berbincang dengan isterinya selaku ibu dalam memilih nama untuk anak mereka, kerana yang demikian itu akan menggembirakan dan menyenangkan hati isteri.
Selain dari itu, sunat menyerahkan urusan memilih dan memberi nama anak kepada orang-orang salih, sama ada dia itu lelaki ataupun perempuan. Ini adalah berdasarkan sebagaimana yang sering berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana apabila salah seorang sahabat dikurniakan anak dia akan membawanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda memberi nama anak tersebut. Di antara hadits yang menegaskan perkara tersebut ialah yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: (Apabila) anak Abu Talhah lahir maka aku (Anas) membawanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda mentahnîknya (mengunyahkan kurma kemudian dimasukkannya ke dalam mulut anak itu) dan diberinya nama Abdullah. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Memberi Nama Anak Yang Meninggal Kerana Keguguran
Jika anak yang meninggal kerana keguguran itu sudah ditiupkan roh ke dalamnya, maka sunat diberikan dia nama. Apabila tidak dikenali apakah dia laki-laki atau perempuan, maka diberi nama yang sesuai untuk laki-laki dan perempuan, seperti Talhah, ‘Umairah dan lain-lain.
Begitu juga sunat diberikan nama anak yang belum sempat diberikan nama sebelum dia meninggal dunia.
Nama-Nama Yang Disunatkan
Apa yang perlu diambil perhatian ketika memberi nama anak ialah memilih nama yang baik dan indah, sebagai mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Justeru itu disunatkan memberi nama anak dengan nama-nama seperti berikut:
Sebaik-baik nama yang dianjurkan ialah nama Abdullah (hamba Allah) dan Abdul Rahman (hamba Allah yang bersifat rahman yang sangat pemurah).
Ataupun nama ‘Abd (hamba) yang disandarkan kepada nama-nama Allah (Al-Asmâ’ Al-Husnâ), seperti Abdul Hakim, Abdul Halim, Abdul Aziz dan seumpamanya.
Kemudian nama-nama yang mengandungi pujian seperti Muhammad, Ahmad, Mahmud dan seumpamanya.
Sebenar-benar nama pula ialah Harits (orang yang mencari kehidupan atau orang yang rajin bekerja) dan Hammam (orang yang bercita-cita tinggi atau berazam terus menerus).
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Sesungguhnya nama- nama kamu yang paling disukai Allah ‘Azza wa Jalla ialah Abdullah dan Abdul Rahman.” (Hadits riwayat Muslim)
Di dalam hadits yang lain pula Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berilah nama (anak kamu) dengan nama-nama nabi. Nama yang paling disukai Allah Ta‘ala ialah Abdullah dan Abdul Rahman, dan nama yang paling benar ialah Harits (yang rajin bekerja) dan Hammam (yang bercita-cita tinggi), sementara nama yang paling buruk ialah Harb (peperangan) dan Murrah (pahit). (Hadits riwayat Abu Daud, Nasâ’i dan lainnya)
Selain dari itu, memberi nama dengan nama Muhammad itu mengandungi beberapa kelebihan yang tinggi dan membawa keberkatan, di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa pada Hari Kiamat malaikat memanggil: “Bangunlah orang yang namanya Muhammad dan masuklah ke dalam syurga, kerana memuliakan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (I‘ânah Al-Thâlibîn 2/337, Hasyiah Al-Bajuri 2/305 dan Mughni Al- Muhtâj 4/371)
Nama-Nama Yang Diharamkan
Haram memberi nama anak atau memakai nama dengan nama Allah, Al-Ilah, Al- Rabb, Malik Al-Muluk (raja sekalian raja), Syahan Syah (raja sekalian raja) dan Hakim Al-Hukkam (hakim sekalian hakim), kerana nama-nama tersebut semata-mata khusus untuk Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Jika hendak memakai nama-nama tersebut mestilah didahulukan dengan nama ‘Abd (hamba), seperti Abdullah, ‘Abd Al-Ilah, Abd Al-Rabb dan sebagainya.
Tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam Baginda bersabda:
Maksudnya: Seorang lelaki yang paling dimurkai Allah pada Hari Kiamat, dan yang paling buruk serta yang paling dimurkaiNya ialah seorang lelaki yang diberi nama dengan nama Malik Al-Amlâk (raja sekalian raja). Tidak ada Malik (yang Maha Penguasa) kecuali Allah. (Hadits riwayat Muslim)
Selain dari itu, haram memakai nama atau memberi nama anak dengan nama Rahman (yang Maha Pemurah) tanpa meletakkan nama ‘Abdul’ di hadapannya, kerana sifat yang Maha Pemurah itu tidak layak dipakai untuk makhluk melainkan untuk Allah jua. Nama Rahman merupakan salah satu daripada nama-nama Allah (Al-Asmâ’ Al-Husnâ). Justeru itu apabila memakai nama Rahman hendaklah diletakkan di hadapannya nama ‘Abdul’ menjadi Abdul Rahman.
Begitu juga haram memakai nama atau memberi nama anak dengan nama Abdul Ka‘bah (hamba Ka‘bah), Abdul Husain (hamba Husain), Abdun Nabi (hamba Nabi), Jarullah (jiran Allah), Rafiqullah (rakan Allah) atau seumpamanya, kerana nama-nama tersebut boleh memberi tanggapan yang palsu bahawa yang selain daripada Allah itu juga ada mempunyai hamba ataupun Allah itu mempunyai jiran dan kawan.
Adalah haram menggelar seseorang dengan nama yang tidak disukainya, sekalipun apa yang digelarkan itu terdapat pada orang berkenaan. Asas tegahan itu ialah firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah pula kamu panggil-memangil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Surah Al-Hujurât: 11)
Akan tetapi jika seseorang itu tidak boleh dikenali melainkan dengan gelaran yang tidak disukainya itu, maka harus dipanggil dia dengan gelaran itu sebagai pengenalan diri dan batang tubuhnya.
Nama Yang Dimakruhkan
Memberi nama dengan nama yang tidak elok boleh menyebabkan anak itu tidak dihormati dan diejek-ejek pada masa akan datang, sama ada secara disedari atau tanpa disedari, umpamanya nama Sapihah (bodoh), Balidah (bodoh), Bahimah (binatang), Sariqah (pencuri) dan sebagainya. Semua nama-nama tersebut atau yang seumpamanya, walaupun setengahnya sedap didengar tetapi ianya membawa maksud yang tidak baik dan ini boleh menjadi bahan ejekan orang terhadap anak yang diberikan nama seperti itu.
Oleh itu makruh memberikan nama anak dengan nama yang tidak elok, seperti nama-nama yang disebutkan di atas atau seumpamanya.
Begitu juga makruh memberi nama dengan nama yang pada kebiasaannya boleh membawa dalam jiwa seseorang kepada rasa pesimistik, yakni cenderung melihat keburukan sesuatu atau mudah berasa hilang kepercayaan terhadap sesuatu, seperti nama Yasar (senang), Rabah (untung), Harb (peperangan) dan sebagainya.
Umpamanya anda bertanya kepada seseorang: “Adakah Rabah di sana?” Atau: “Adakah Yasar di sana?” Atau: “Ke mana Harb pergi?”. Lalu dijawab orang dengan berkata: “Rabah tidak ada,” atau “Yasar telah pergi” atau “Harb telah datang”, dan ini boleh menimbulkan rasa pesimistik dalam diri anda, kerana jawapan orang itu seolah-olah membawa maksud, bahawa tidak akan ada keuntungan atau kesenangan telah pergi atau peperangan akan datang (berlaku).
Padahal Islam menyuruh penganutnya bersikap optimistik, iaitu melihat sesuatu perkara dengan jangkaan atau harapan baik, bukan bersikap pesimistik.
Sehubungan dengan itu, terdapat hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan mengenai perkara ini, di antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Samurah bin Jundab Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Jangan engkau beri nama anakmu dengan nama Yasar (senang), jangan pula Rabah (untung), jangan pula Najah (berjaya) dan jangan pula Aflah (menang), kerana pada suatu ketika kamu akan berkata: “Adakah dia ada di sana?” Kebetulan pula dia tidak ada, maka dikatakanlah: “Tidak” (tidak ada kesenangan, tidak ada keuntungan, tidak ada kejayaan atau tidak ada kemenangan).” Itulah empat kata, kamu tidak perlu menambahnya lagi. (Hadits riwayat Muslim)
Nama Yang Diharuskan
Sebagaimana menurut ulama, boleh memakai nama atau memberi nama anak dengan nama-nama Allah (Al-Asmâ’ Al-Husnâ) dengan tidak meletakkan nama ‘Abd (hamba) di hadapannya, seperti Al-Quddus, Al-Rahim dan sebagainya, kecuali nama-nama yang diharamkan sebagaimana yang dinyatakan terdahulu.
Namun yang demikian, sunat diletakkan nama ‘Abd (hamba) sebelum Al-Asmâ’ Al-Husnâ bagi menunjukkan kehambaan kepada Allah dan mengambil sempena baik dengan memakai nama-nama daripada sifat-sifat Allah, seperti Abdul Quddus, Abdul Rahim dan sebagainya.
Harus memberi nama anak dengan nama yang baik dan indah seperti nama Fakhruddin (kemegahan agama), Zainul ‘Abidin (perhiasan orang-orang yang beribadat), Wahidah (yang terkemuka), Wajihah (yang mempunyai nama dan darjat di dunia dan di akhirat) dan lain-lain nama yang baik.
Mengubah Nama
Wajib diubah nama-nama yang diharamkan, kerana mengubah nama yang haram itu adalah sebahagian daripada perkara menghilangkan kemungkaran.
Di samping itu pula, sunat diubah nama yang kurang elok kepada nama yang lebih baik.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri mengubah nama- nama orang seperti Al- ‘Ashi (penderhaka), Aziz (perkasa), ‘Atalah (tongkat besi besar), Syaitan, Al- Hakam (yang bijaksana dalam menghukum), Ghurab (gagak), Habab (buih air) dan Syihab (bintang atau tahi bintang), dengan nama baru iaitu Hasyim.
Tersebut di dalam sebuah hadits:
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma (beliau meriwayatkan) bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengubah nama ‘Ashiah (penderhaka), dan Baginda bersabda: “Namamu (berubah menjadi) Jamilah (cantik).” (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Salah satu identiti tentang keislaman seseorang itu ialah namanya. Dengan nama memudahkan pengenalan awal tentang siapa diri orang itu.
Sebagai orang Islam hendaklah memberi nama anak dengan nama yang dianjurkan oleh syara‘ bukan dengan nama yang bunyinya sahaja sedap didengar tetapi tidak elok maksudnya. Si anak tidak akan merasa malu dengan namanya yang memberi makna yang baik dan bukan sebaliknya. Di samping itu dengan nama yang elok itu mudah-mudahan akan memberi kesan yang baik kepada bentuk peribadi anak berkenaan.
Aqiqah
Dari segi bahasa, para ulama telah berselisih pendapat dalam mengertikan aqiqah. Ada empat pendapat yang diberikan iaitu:
a) Aqiqah ialah rambut yang di atas kepala anak ketika dia dilahirkan.
b) Perkataan aqiqah diambil daripada kata dasar ‘al-‘aqq’ yang membawa erti memutuskan (al-qath‘).
c) Aqiqah adalah perbuatan menyembelih itu sendiri. Hujahnya, bahawa makna asal ‘al-‘aqq’ itu adalah dari perkataan ‘al-qath‘’ (memutus atau memotong).
d) Mengandungi makna kedua-duanya sekali iaitu dengan makna rambut dan menyembelih, dan ini merupakan pendapat yang lebih baik dipegang.
Manakala dari segi syara‘ pula, aqiqah ialah binatang ternakan yang berkaki empat yang disembelih ketika hendak mencukur rambut di kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau selepasnya.
Hukum Aqiqah Dan Tujuannya Jumhur ulama mengatakan bahawa hukum aqiqah itu adalah sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan oleh Islam. Dasar kepada tuntutan ini ialah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya. (Hadits riwayat Tirmidzi)
Terdapat dua pendapat dalam menghuraikan maksud “anak-anak tergadai dengan aqiqahnya” di sini. Pendapat pertama mengatakan bahawa jika tidak diaqiqahkan, anak itu akan terbantut atau terhalang pertumbuhannya, tidak seperti anak- anak lain yang diaqiqahkan. Pendapat kedua mengatakan bahawa maksudnya ialah anak itu tidak akan memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya pada Hari Kiamat kelak jika dia tidak diaqiqahkan. Pendapat kedua ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, dan pendapat ini adalah pendapat yang terbaik.
Keguguran anak yang sudah bernyawa (ditiupkan roh) juga dituntut supaya dibuatkan aqiqah untuknya.
Aqiqah dituntut oleh Islam bukan sahaja bertujuan untuk menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bagi mencari keredaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, tetapi juga dituntut bagi melahirkan kesyukuran ibu bapa kepada Allah di atas anugerah cahaya mata atau zuriat keturunannya. Di samping itu, ia juga merupakan latihan untuk umat Islam dalam melakukan sedikit pengorbanan.
Selain daripada itu, pelaksanaan aqiqah juga adalah bagi melahirkan kegembiraan ibu bapa di atas nikmat yang besar itu. Adalah dianggap kurang sopan kepada ibu bapa yang telah dikurniakan nikmat yang begitu besar, tidak bersyukur kepada Allah dengan melaksanakan aqiqah itu, sedangkan dia mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan kelapangan.
Orang Yang Berhak Melakukan Aqiqah Orang yang disunatkan membuat aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan itu ialah orang yang wajib memberi nafkah kepada anak tersebut iaitu bapa atau ibunya sekalipun mereka itu orang fakir atau papa.
Aqiqah tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak wajib ke atasnya memberi nafkah kepada anak tersebut melainkan dengan izin daripada orang yang wajib memberi nafkah (bapa atau ibunya).
Belanja untuk aqiqah itu hendaklah diambil dari wang atau harta bapa atau ibu itu sendiri dan tidak boleh diambil dari harta anak yang hendak diaqiqahkan kerana aqiqah adalah tabarru‘ (sedekah). Jika diambil dari wang atau harta anak, aqiqah yang dibuat itu tidak sah dan ibu bapa tersebut wajib menggantinya. Bagi ibu bapa yang berkemampuan, hukum sunat melakukan aqiqah untuk anak mereka itu berkekalan sehinggalah anaknya itu baligh atau cukup umur. Jika anak itu sudah baligh tetapi tiada dibuat aqiqah untuknya, maka sunat ke atasnya melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.
Adapun yang dimaksudkan dengan berkemampuan yang merupakan syarat untuk melakukan aqiqah itu ialah orang yang hendak melakukan aqiqah itu mempunyai wang belanja yang lebih untuk dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya sebelum berlalu jangka masa terpanjang bagi perempuan bernifas iaitu enam puluh hari. Jika kemampuannya itu wujud selepas berlalu masa tersebut (sebelum itu dia tidak mampu, kemudian selepas enam puluh hari baharulah dia mampu), maka tidaklah disunatkan ke atasnya beraqiqah.
Al-Syeikh Muhammad Al-Khathib Al-Syarbini di dalam kitabnya Mughni Al- Muhtâj mengatakan bahawa jika wali anak tersebut tidak mampu untuk beraqiqah sebaik saja anak itu dilahirkan, kemudian dia mampu sebelum umur anak itu genap tujuh hari, maka sunat ke atas wali itu beraqiqah untuk anaknya itu.
Jika kemampuannya itu ada selepas hari ketujuh dari hari kelahiran anaknya dalam masa isterinya sudah melalui semaksima hari-hari nifasnya (enam puluh hari), maka kebanyakan ulama muta’akhirîn berpendapat tidak disunatkan ke atasnya aqiqah.
Adapun jika kemampuan itu wujud selepas hari ketujuh dari hari kelahiran anaknya sedang isterinya masih dalam nifas, maka dalam hal ini, para ulama berbeza pendapat. Menurut pendapat Yusuf Al-Ardabili di dalam kitabnya Al- Anwâr li A‘mâli Al-Abrâr, beliau mentarjîhkan (lebih cenderung kepada) pendapat yang mengatakan sunat ke atasnya aqiqah.
Dalam erti kata lain, jika wali itu tidak mampu sehingga habis masa nifas isterinya, maka gugurlah daripadanya hukum sunat melakukan aqiqah.
Dalam masalah menentukan hukum melakukan aqiqah untuk anak zina pula, para ulama berselisih pendapat:
(i) Pendapat Ibnu Hajar yang tersebut dalam kitabnya Tuhfah Al-Muhtâj mengatakan bahawa hukumnya adalah sunat ke atas ibunya melakukan aqiqah untuk anak zinanya itu, akan tetapi hendaklah dilakukan aqiqah itu secara sembunyi-sembunyi (tidak dizahirkan).
(ii) Pendapat Al-Syeikh Muhammad Al-Khathib Al-Syarbini yang tersebut di dalam kitabnya Al-Mughni Al-Muhtâj bahawa tidak disunatkan ke atas ibunya melakukan aqiqah untuk anak zinanya itu sekalipun nafkah perbelanjaan wajib ke atasnya. Ini kerana jika dia melakukan aqiqah bagi anaknya, boleh menambahkan lagi aib atau malu ibu tersebut.
Masa Aqiqah
Aqiqah sunat dilakukan sebaik-baik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling râjih. Apabila anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.
Walaupun masa yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhalnya hendaklah dilakukan pada hari ketujuh dari hari kelahirannya. Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Sebaliknya jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula dari hari selepasnya (siang berikutnya).
Jika tidak sempat disembelih aqiqah pada hari ketujuh, digalakkan disembelih pada hari yang keempat belas dari hari kelahiran anaknya, jika tidak sempat pada hari tersebut, disembelih pada hari yang kedua puluh satu. Begitulah seterusnya, boleh dilakukan selepas itu setiap kali berlalu tujuh hari yang berikutnya, seperti pada hari yang kedua puluh lapan, tiga puluh lima dan seterusnya.
Di dalam kitab Kifâyah Al-Akhyâr ada menyebutkan bahawa masa untuk menyembelih aqiqah (bagi yang mampu) itu hendaklah jangan melebihi tempoh sehingga kering darah nifas ibu yang bersalin. Jika tidak dilakukan aqiqah setelah kering darah nifas ibunya, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi sepatutnya janganlah terlewat sehingga anak itu berhenti menyusu (dalam tempoh dua tahun dari tarikh lahir). Jika tidak dilakukan juga, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu berumur tujuh tahun. Jika tidak dilakukan juga sehingga anak itu berumur tujuh tahun, boleh lagi dilakukan selepas itu, tetapi hendaknya sebelum anak itu sampai umur (baligh). Jika anak itu telah sampai umur baligh, maka pada masa itu diberi pilihan kepada anak tersebut melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.
Masa yang afdhal untuk menyembelih aqiqah itu ialah setelah terbit matahari, dan semasa penyembelihan itu dilakukan hendaklah dibaca:
Ertinya: Dengan nama Allah dan Allah Maha Besar (kerajaanNya), ya Allah, mohon kurniakan selawat, rahmat dan kebesaran kepada Sayyidina Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabat Baginda, ya Allah, ini aqiqah si Polan.
Semasa menyembelih itu juga disyaratkan berniat dengan niat bahawa binatang yang disembelih itu adalah untuk aqiqah.
Bilangan Binatang Yang Hendak Disembelih
Bagi anak lelaki, yang afdhalnya disunatkan menyembelih dua ekor kambing yang sama keadaan keduanya (besarnya). Manakala bagi anak perempuan, memadai dengan seekor kambing sahaja. Ini berdasarkan kepada hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kami beraqiqah untuk anak lelaki dengan (menyembelih) dua ekor kambing dan untuk anak perempuan dengan (menyembelih) seekor kambing. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Jika tidak mampu menyembelih dua ekor kambing untuk anak lelaki, maka memadailah dengan seekor kambing atau satu pertujuh dari seekor unta atau dari seekor lembu atau kerbau sahaja, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri membuat aqiqah untuk cucunda Baginda, Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain dengan menyembelih seekor kambing bagi tiap-tiap seorang.
Bagi anak yang khuntsâ iaitu anak yang mempunyai dua kemaluan pula, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan bilangan binatang aqiqah yang hendak disembelih untuknya. Ibnu Hajar berpendapat bahawa anak khuntsâ sama seperti anak perempuan iaitu memadai disembelih seekor kambing sahaja. Manakala Imam Al-Ramli mengatakan bahawa bagi anak khuntsâ disunatkan disembelih dua ekor kambing, sama seperti anak lelaki.
Pada perkara membuat aqiqah itu, yang lebih afdhal ialah dengan tujuh ekor kambing, kemudian seekor unta, kemudian dengan seekor lembu atau kerbau, kemudian dengan seekor kibasy, kemudian dengan seekor kambing, kemudian dengan satu pertujuh unta dan seterusnya dengan satu pertujuh lembu atau kerbau.
Oleh kerana itu, jika seseorang itu mempunyai harta yang banyak, yang paling afdhal sekali, dituntut supaya dia beraqiqah bagi seorang anak dengan tujuh ekor kambing atau dengan seekor unta atau seekor lembu.
Binatang Aqiqah Dan Dagingnya
Binatang yang sah disembelih untuk aqiqah sama seperti binatang-binatang yang sah dibuat korban iaitu binatang ternakan berkaki empat seperti unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan kibasy yang telah sampai umurnya dan sihat badannya, tidak berpenyakit dan tidak ada sebarang kecacatan yang boleh mengurangkan daging atau lemaknya atau mengurangkan anggota-anggota yang boleh dimakan.
Oleh Kerana itu, binatang yang sangat kurus, yang kudung, yang patah kaki atau pincang, yang buta, yang terpotong telinga atau seumpamanya, tidak sah dibuat aqiqah.
Manakala daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan dimasak dengan sedikit rasa manis.Tujuannya ialah untuk menaruh harapan baik (optimis) terhadap keelokan perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.
Kemudian daging yang dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka hadir makan ke rumah tempat beraqiqah, tetapi jika dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka adalah lebih afdhal.
Adapun kaki hingga ke pangkal peha kambing tersebut adalah dikecualikan dari dimasak iaitu dibiarkan ia mentah, dan disunatkan disedekahkan kaki kanannya kepada bidan yang menyambut kelahiran anak tersebut. Ini kerana Sayyidatina Fatimah Radhiallahu ‘anha, puteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri melakukan demikian dengan suruhan Baginda.
Sementara itu, orang yang beraqiqah digalakkan memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan selama mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar).
Begitu juga daging aqiqah itu harus dihadiahkan kepada orang kaya, dan dia memiliki apa yang dihadiahkan kepadanya itu, dengan maksud bahawa dia boleh memakannya atau menjualnya.
Akan tetapi daging aqiqah haram diberikan kepada orang kafir dan juga haram dijual.
Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecah atau dikerat-kerat tulang binatang yang diaqiqah itu, bahkan dikehendaki supaya diasing-asingkan tulang-tulang itu antara satu sama lain melalui sendi-sendinya sahaja, ini bertujuan untuk mengambil sempena baik supaya tulang anak-anak nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqahnya. Kalau sekiranya tulang-tulang binatang aqiqah itu dipecah-pecah atau dipotong-potong dan dikerat sebagaimana yang biasa dilakukan kepada binatang sembelihan biasa, maka tidaklah menjadi makruh, akan tetapi hanyalah menyalahi yang utama (khilâf al-awlâ).
Berkhatan Berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan.
Berkhatan termasuk di antara amalan-amalan dalam agama yang telah disyariatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap hambaNya. Ia adalah sebagai pelengkap fitrah yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada bersabda:
Maksudnya: Fitrah (sifat semulajadi) itu lima perkara: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Hukum Berkhatan
Menurut mazhab Syafi‘e, berkhatan itu wajib ke atas lelaki dan perempuan yang dilahirkan tidak berkhatan. Ini berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar. (Surah Al-Nahl: 123)
Di dalam ayat ini, Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya mengikut ajaran-ajaran agama Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, dan di antara ajaran-ajaran Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam itu ialah berkhatan. Perkara ini jelas dikuatkan lagi dengan perbuatan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam itu sendiri yang mengkhatan dirinya pada masa umurnya lapan puluh tahun.
Jika ada yang mengatakan bahawa ayat ini tidaklah menunjukkan wajibnya berkhatan dengan alasan bahawa kita disuruh mengikut ajaran-ajaran agama Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, itu hanyalah berdasarkan kepada kepercayaannya dalam sesuatu amalan yang dilakukannya. Jika apa yang dilakukannya itu dipercayainya sebagai sesuatu yang wajib, maka kita lakukannya dengan mempercayai bahawa ia adalah wajib, dan jika apa yang dilakukannya sebagai sesuatu yang sunat, maka kita lakukan secara sunat, sedangkan amalan berkhatan ini tidak diketahui bahawa Nabi Ibrahim melakukannya sebagai suatu amalan wajib.
Masalah ini hendaklah dijawab dengan mengatakan bahawa ayat ini jelas menyuruh agar kita mengikut apa jua yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, dan ini membawa kepada pengertian bahawa setiap perbuatan yang dilakukannya adalah amalan wajib melainkan apa-apa yang didatangkan nash atau dalil yang menunjukkan ia adalah amalan sunat, umpamanya amalan bersugi, dan Al-Khathabi mengatakan bahawa sifat-sifat fitrah (semulajadi) yang tersebut di dalam hadits terdahulu adalah wajib ke atas Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, maka ia juga adalah wajib ke atas kita selama mana tidak ada dalil yang menunjukkan ia adalah sunat.
Ulama berkata, salah satu perkara dalam agama Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam ialah berkhatan. Berkhatan itu adalah wajib dalam agamanya. Demikian menurut kitab Syarh Al-Muhadzdzab.
Sementara itu, dalil dari hadits yang menunjukkan wajib berkhatan itu ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Buanglah rambut-rambut kamu yang ada ketika kamu kufur dan berkhatanlah. (Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam mengambil dalil dengan hadits ini, para ulama Syafi‘e mengatakan bahawa jika berkhatan itu tidak wajib, nescaya tidaklah diharuskan membuka aurat ketika berkhatan dan tidaklah diharuskan tukang khatan melihat aurat orang yang dikhatan, kerana kedua-duanya itu adalah haram. Jadi apabila kedua-dua yang diharamkan itu diharuskan bagi tujuan berkhatan, ini menunjukkan bahawa berkhatan itu hukumnya adalah wajib.
Al-Syirazi, Al-Ghazali (kedua-duanya dari ulama mazhab Al-Syafi‘e) dan sebahagian ulama pula berdalil dengan qiyâs. Mereka mengatakan bahawa berkhatan itu ialah dengan memotong anggota yang sejahtera. Jika berkhatan itu tidak wajib, nescaya tidaklah boleh memotongnya (memotong selaput kulit zakar) sebagaimana tidak boleh memotong jari, kerana tidak harus memotong anggota yang sejahtera melainkan jika kerana dijatuhkan qishâsh.
Cara bagaimana berkhatan itu, yang wajib bagi lelaki ialah dengan memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar sehingga nampak (terdedah) kepala zakar itu keseluruhannya. Jika dipotong sebahagian sahaja daripada selaput kulit itu, wajib dipotong bakinya sekali lagi.
Cara yang wajib bagi perempuan ialah dengan memotong daging yang ada di sebelah atas faraj yang seakan-akan bonggolan atau jambul di kepala ayam jantan. Yang lebih afdhal ialah dengan memotong sedikit sahaja dari daging itu. Ini berdasarkan kepada sebuah hadits daripada Ummu ‘Athiah Radhiallahu ‘anha bahawa seorang perempuan sedang mengerjakan kerja-kerja khatan di Madinah, lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menegurnya dengan bersabda:
Maksudnya: Jangan engkau berlebih-lebihan (dalam memotong), kerana yang demikian itu menjernihkan air muka perempuan dan mendatangkan kesukaan kepada suami (boleh menambah kelazatan bersetubuh). (Hadits riwayat Abu Daud)
Masa Atau Waktu Berkhatan
Dalam mazhab Syafi‘e, masa wajib untuk berkhatan itu ialah selepas baligh dan berakal. Namun begitu adalah sunat dan digalakkan kepada ibu bapa untuk mengkhatankan anak-anak mereka semasa mereka masih kecil lagi kerana ini lebih memberi manfaat kepada mereka, luka berkhatan lebih cepat sembuh dan bentuk zakar akan lebih sempurna.
Setengah ulama berkata bahawa sunat dikhatankan anak pada hari ketujuh dari hari kelahirannya melainkan jika dia lemah, tidak berdaya (tidak tahan) menanggung kesakitan berkhatan dijalankan ke atasnya. Maka dalam hal ini hendaklah ditangguhkan pengkhatanan itu sehingga dia berdaya menanggungnya, dan makruh dikhatankan anak sebelum hari ketujuh dari hari kelahirannya.
Jika tidak dapat dikhatan pada hari ketujuh, sunat dikhatan pada hari keempat puluh. Jika terlewat (tidak dikhatankan) juga, sunat dikhatankan pada masa umurnya tujuh tahun. Dalam hal menentukan masa berkhatan ini, anak lelaki dan anak perempuan adalah sama.
Perlulah ditekankan di sini, bahawa hukum berkhatan pada masa-masa yang disebutkan sebelum ini (masa sebelum baligh) adalah sunat dan bukannya wajib. Ini adalah pendapat yang shahîh yang masyhûr yang dipegang oleh jumhur ulama.
Sebagaimana yang dijelaskan terdahulu, bahawa kewajipan berkhatan itu bermula dari sesudah anak itu baligh. Sekiranya dia sudah baligh maka kewajipan itu berjalan dengan serta merta. Namun begitu jika orang yang sudah baligh itu lemah kejadiannya, di mana jika dia dikhatankan, ditakuti akan mendatangkan kemudaratan kepadanya, maka dalam hal ini tidaklah harus dia dikhatan, bahkan hendaklah ditunggu sehingga keadaannya selamat atau mengizinkan untuk berkhatan.
Hikmah Dan Kelebihan Berkhatan
Islam menuntut umatnya supaya berkhatan kerana terdapat beberapa hikmah dan kelebihan yang tersendiri yang tidak akan diperolehi mereka yang tidak berkhatan. Hikmah dan kelebihan itu boleh kita lihat pada dua sudut iaitu sudut keagamaan dan sudut kesihatan. Pada sudut keagamaan, di antaranya:
(i) Berkhatan merupakan tuntutan fitrah dan salah satu syiar Islam.
(ii) Sebagai menyempurnakan tuntutan syara‘ yang berasaskan kepada sunnah Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam.
(iii) Untuk membezakan antara orang-orang Islam dengan penganut-penganut agama lain. Namun begitu sekarang ini ramai orang-orang kafir yang sudah mula berkhatan.
(iv) Sebagai suatu ikrar kesetiaan penghambaan terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan patuh segala arahanNya dan tunduk di bawah hukum dan kekuasaanNya.
Dari sudut kesihatan pula:
(i) Untuk membersihkan zakar, memperelokkannya, mencantikkan bentuknya dan merangsangkan syahwat.
(ii) Untuk mengawasi kesihatan tenaga batin serta memelihara diri daripada dihinggapi penyakit kelamin, kanser dan lain-lain penyakit.
Demikianlah di antara hikmah dan kelebihan yang diperolehi oleh orang-orang yang berkhatan. Dengan ini juga tergambar kepada kita akan keindahan Islam serta rahsia-rahsia di sebalik syariatnya.
PERSOALAN MANDI SELEPAS BERANAK
Di antara tuntutan Islam kepada penganutnya ialah sentiasa dalam keadaan bersih dan suci. Bererti juga menjauhi dari segala kotoran, sama ada yang berbentuk fizikal mahupun yang bersifat rohani. Kedudukan orang-orang yang suka menyucikan dirinya itu adalah orang-orang yang disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah Al-Baqarah: 222)
Di dalam hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pula disebutkan bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. (Hadits riwayat Muslim)
Bersuci dalam konteks hubungannya dengan beberapa ibadat tertentu merupakan jalan untuk diterima atau sahnya sesuatu ibadat itu. Ibadat sembahyang atau thawaf umpamanya, tidak sah dilakukan jika dalam keadaan najis. Bagi orang yang berhadas pula, tidak sah sembahyangnya tanpa mengangkat hadas terlebih dahulu, sama ada hadas kecil mahupun hadas besar. Perkara ini ada dijelaskan di dalam sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda:
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6243
