Persoalan Mandi Selepas Beranak
Di antara tuntutan Islam kepada penganutnya ialah sentiasa dalam keadaan bersih dan suci. Bererti juga menjauhi dari segala kotoran, sama ada yang berbentuk fizikal mahupun yang bersifat rohani. Kedudukan orang-orang yang suka menyucikan dirinya itu adalah orang-orang yang disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah Al-Baqarah: 222)
Di dalam hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pula disebutkan bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. (Hadits riwayat Muslim)
Bersuci dalam konteks hubungannya dengan beberapa ibadat tertentu merupakan jalan untuk diterima atau sahnya sesuatu ibadat itu. Ibadat sembahyang atau thawaf umpamanya, tidak sah dilakukan jika dalam keadaan najis. Bagi orang yang berhadas pula, tidak sah sembahyangnya tanpa mengangkat hadas terlebih dahulu, sama ada hadas kecil mahupun hadas besar. Perkara ini ada dijelaskan di dalam sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Tidak akan diterima sesuatu sembahyang tanpa kebersihan dan tidak akan diterima sedekah dari harta yang didapati dengan cara kejahatan (seperti mencuri, menipu, judi dan sebagainya). (Hadits riwayat Muslim)
Salah satu cara bersuci itu ialah dengan mandi khususnya mandi wajib. Dalam hubungannya dengan ibadat ianya membawa pengertian meratakan dan menyampaikan air ke seluruh tubuh badan disertakan dengan niat.
Di antara dalil-dalil pensyariatan mandi wajib itu sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib. (Surah Al-Mâ’idah: 6)
Di dalam ayat yang lain Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. (Surah Al-Baqarah: 222)
Ada beberapa perkara yang mewajibkan mandi, di antaranya ialah keluar darah nifas. Para ulama telah ijma‘ mengatakan bahawa wajib mandi dengan sebab keluar darah nifas. Darah nifas ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak.
Tidak dikatakan sebagai nifas darah yang keluar dari rahim perempuan sebelum dia melahirkan anak ataupun darah yang keluar bersama-sama anak yang dilahirkan, akan tetapi dikatakan ia sebagai darah fasâd. Itupun jika tidak bersambung dengan darah haidh yang terdahulu. Jikalau bersambung dengan darah haidh yang terdahulu maka ia adalah haidh bukan darah fasâd. Ini adalah diasaskan kepada pendapat yang ashah yang mengatakan bahawa perempuan yang hamil boleh datang haidh.
Tempoh Nifas
Tempoh keluar nifas antara seorang perempuan dengan seorang perempuan yang lain adalah berbeza mengikut fizikal dan keadaan perempuan itu sendiri. Oleh itu para ulama membahagikan tempoh nifas itu kepada tiga kategori, seperti berikut:
i) Masa yang paling minima ialah kadar keluar setitik darah. Apabila keluar darah sedikit selepas bersalin (melahirkan anak) kemudian berhenti, maka darah yang sedikit itu dipanggil nifas.
Bahkan memang ada perempuan melahirkan anak tanpa darah nifas, sebagaimana diceritakan oleh Al-Imam Al-Bukhari bahawa berlaku di Makkah seorang perempuan melahirkan anak tanpa darah, kemudian perempuan itu menemui Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, lalu beliau (‘Aisyah) berkata: “Engkau perempuan yang disucikan oleh Allah”.
Bermulanya darah nifas itu keluar sebelum berlalu lima belas hari setelah seseorang perempuan melahirkan anak. Andaikata darah tidak keluar melainkan setelah berlalu masa selama lima belas hari atau lebih, maka darah yang keluar itu tidak dikatakan sebagai nifas tetapi dikatakan ia sebagai darah haidh.
ii) Masa yang sederhana dan biasa berlaku ialah kadar keluar darah dalam tempoh empat puluh hari empat puluh malam. Kadang-kadang terdapat juga perempuan yang bernifas kurang tempoh tersebut, seperti tiga puluh hari tiga puluh malam, tiga puluh lima hari tiga puluh lima malam dan sebagainya.
iii) Masa yang paling maksima ialah kadar keluar darah dalam tempoh enam puluh hari enam puluh malam.
Jika darah masih berterusan keluar walaupun sudah menjangkau tempoh maksima, maka darah yang keluar selepas tempoh maksima itu tidak lagi dikatakan sebagai nifas tetapi dikatakan ia sebagai darah istihâdhah (darah yang keluar dari rahim perempuan selain dari masa haid dan nifas dengan sebab penyakit).
Bila Diwajibkan Mandi
Mandi yang dilakukan ketika masih dalam nifas hanya merupakan mandi adat atau mandi biasa. Sehubungan dengan itu, perempuan yang masih dalam nifas tidak diharuskan baginya mandi hadas sebelum kering darah nifasnya.
Sebaik sahaja terputus atau kering darah nifas, umpamanya setelah sepuluh hari atau tiga puluh lima hari atau empat puluh hari atau enam puluh hari atau sebagainya mengikut keadaan dan fizikal seseorang perempuan, diwajibkan ke atasnya mandi mengangkat hadas.
Bagi perempuan yang tidak keluar darah nifas sejurus selepas bersalin, hanya selepas sehari atau dua hari atau seminggu (sebelum berlalu lima belas hari) barulah keluar darah nifasnya, maka jarak tempoh di antara selepas dia bersalin sehingga keluar darahnya itu (selepas sehari atau seminggu atau sebelum berlalu lima belas hari) dikira sebagai masa suci. Sehubungan dengan itu, wajib ke atas perempuan tersebut mandi dan mendirikan sembahyang pada waktunya.
Jika darah nifas seorang perempuan itu keluar melebihi tempoh enam puluh hari enam puluh malam, berjalanlah ke atasnya hukum mustahadhah. Maka bolehlah dia mandi setelah berlalu tempoh tersebut dan menutup tempat keluar darah (kemaluannya) sedapat mungkin dengan kain, kapas, tisu atau sebagainya bagi menghalang darah keluar serta dapat mengurangkannya, kemudian berwudhu’ setiap kali hendak sembahyang iaitu setelah masuk waktu sembahyang.
Fenomena Dalam Masyarakat
Pada adat kebiasaannya perempuan yang baru melahirkan anak selagi belum melewati tempoh empat puluh hari atau lebih dia masih lagi terikat dengan pantang. Banyak perkara-perkara yang dipantangkan selama dalam tempoh tersebut, termasuk larangan mandi dengan sesuka hati, kerana ditakuti akan memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan diri perempuan berkenaan.
Setelah melewati empat puluh hari atau lebih barulah dia terlepas dari perkara-perkara yang dipantangkan.
Apa yang terjadi pada setengah orang dalam kelompok masyarakat kita, mereka menjadikan tempoh empat puluh hari, yang merupakan tempoh kebiasaan keluar darah nifas, sebagai ukuran untuk membolehkan seseorang itu mengangkat hadas kerana nifas, walaupun darahnya berhenti lebih awal daripada tempoh tersebut. Selagi belum sampai kepada tempoh tersebut, selagi itulah juga mandi hadas belum dapat dilakukan.
Untuk membetulkan kekeliruan sedemikian, maka perempuan yang bernifas, apabila selesai sahaja (kering) nifasnya, diwajibkan ke atasnya bersuci dengan mengangkat hadas besar, sebagaimana diterangkan terdahulu, dan wajib ke atasnya mendirikan atau melakukan kewajipan-kewajipan agamanya seperti sembahyang dan puasa. Tidak perlulah dia menunggu empat puluh hari sedangkan darah nifasnya telah berhenti lebih awal daripada tempoh tersebut.
Di samping itu, niat merupakan salah satu rukun mandi. Tanpa niat, mandi tersebut hanya dianggap tidak lebih daripada mandi biasa dan tidaklah terangkat hadas yang dimaksudkan. Niatlah yang membezakan sama ada sesuatu perbuatan itu merupakan ibadat ataupun hanya adat kebiasaan saja. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sebuah hadits yang sangat masyhur:
Maksudnya: Sesungguhnya apa jua amal perbuatan itu adalah dengan niat. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Apabila tiba waktu bersuci, kebiasaannya seseorang perempuan itu akan dimandikan oleh orang lain, pada kebiasaannya seorang bidan. Apa yang hendak ditekankan di sini bahawa jika mandinya itu merupakan mandi hadas yang diwajibkan hendaklah perempuan tersebut berniat sendiri mengangkat hadas dan tidak memadai jika niat tersebut diniatkan oleh orang lain, seperti bidan.
Jelasnya, adalah tidak memadai seseorang itu mewakilkan orang lain untuk berniat mandi hadas untuknya, padahal dia sendiri layak untuk melakukan niat itu. Ini jelas dalam sambungan hadits di atas:
Maksudnya: Dan bahawasanya bagi setiap orang itu hanyalah menurut apa yang diniatkannya. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Contoh niat mandi hadas kerana nifas itu ialah:
Ertinya: Sahaja aku mengangkat nifas.
Atau:
Ertinya: Sahaja aku menunaikan fardhu mandi.
Satu perkara lain, air merupakan yang biasa digunakan untuk bersuci daripada hadas, dan yang dimaksudkan di sini ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air mutlak.
Merujuk kepada apa yang berlaku, kadang-kadang air yang digunakan untuk mandi selepas beranak adalah air yang bercampur dengan daun-daunan atau bunga-bungaan yang boleh mengubah sifat air itu sebagai air mutlak. Maka jadilah ia air muqayyad iaitu air yang dihubungkaitkan dengan sesuatu, seperti air bunga-bungaan atau yang seumpamanya.
Air jenis ini walaupun dihukumkan suci tetapi jika ianya digunakan untuk mengangkat hadas tidaklah memadai, yakni tidak terangkat hadas. Tegasnya, air jenis ini dihukumkan suci tetapi tidak menyucikan yang lain.
Oleh itu, sayugialah bagi perempuan yang selesai daripada nifas melakukan mandi hadas dengan menggunakan air mutlak, bukan dengan air yang bercampur daun-daunan atau bunga-bungaan yang boleh mengubah sifat air itu sebagai air mutlak.
Sebaliknya jika dia mandi kerana tujuan perubatan atau mandi adat tidaklah mengapa menggunakan air yang bercampur dengan daun-daunan atau bunga-bungaan itu kalau memang berkehendakkan demikian.
Berdasarkan apa yang telah dihuraikan, kita lebih cenderung untuk mengatakan, bahawa apa yang dimaksudkan dengan mandi selepas beranak dalam masyarakat kita iaitu mandi selepas empat puloh hari atau lebih, yang dimandikan oleh mak bidan, atau kadang-kadang disebut juga sebagai mandi ‘belawat’, bukannya dalam erti kata mengangkat hadas atau mengangkat nifas, akan tetapi ia lebih merupakan mandi adat kerana tujuan seperti perubatan.
Oleh yang demikian, adalah lebih baik mandi hadas kerana nifas dan mandi selepas empat puluh hari untuk tujuan perubatan itu tidak dicampuradukkan antara keduanya. Ini tidak lain adalah bertujuan supaya adanya kesempurnaan dan mencapai tujuan yang dimaksudkan pada kedua-dua mandi tersebut.
Maka cara yang boleh dilakukan ialah dengan mendahulukan salah satu mandi tersebut, kemudian diikuti yang lain mengikut suatu keperluan dan keadaan. Jika sekiranya nifas perempuan itu berhenti sebelum sampai tempoh empat puluh hari, maka didahulukan mandi hadas sebaik saja darah berhenti keluar dan tidak perlu menunggu sampai empat puluh hari. Sebaliknya jika darahnya tidak berhenti walaupun sudah melewati tempoh empat puluh hari, maka didahulukan mandi untuk tujuan perubatan itu jika ianya menghendaki demikian.
Masalah Keguguran
Termasuk di dalam perkara yang mewajibkan mandi ialah wilâdah yakni mandi kerana beranak, sekalipun melahirkan tanpa basah (darah). Adapun sebab diwajibkan mandi dalam hal ini, sebagaimana menurut kata ulama, kerana anak itu pada hakikatnya adalah air mani yang beku, lalu ia pun keluar pada tempoh tertentu.
Adapun bagi perempuan yang mengalami keguguran anak, tidak terkecuali daripada kewajipan mandi, sama ada keguguran itu hanya berupa darah beku (‘alaqah) ataupun hanya berbentuk seketul daging (mudhghah).
Masalah keguguran, sama ada berupa darah beku, berbentuk seketul daging ataupun anak biasa, ada mempunyai titik persamaan dalam tiga perkara:
i. Sebagaimana wilâdah yakni melahirkan anak membatalkan puasa walaupun tanpa basah (darah), begitu juga dalam masalah perempuan yang mengalami keguguran, adalah membatalkan puasanya.
ii. Wajib mandi kerana melahirkan anak sekalipun anak itu hanya berupa segumpal darah ataupun hanya berbentuk seketul daging.
iii. Darah yang keluar selepas melahirkan anak dan selepas keguguran kedua-duanya adalah nifas.
Di samping itu, dengan sebab keguguran jika anak yang gugur itu berbentuk seketul daging (mudhghah), selesailah tempoh ‘iddah seorang perempuan yang dicerai oleh suaminya ketika dia hamil, sebagaimana selesai ‘iddah seorang perempuan yang hamil sebaik sahaja dia melahirkan anaknya.
Melahirkan Melalui Pembedahan
Bagi setengah perempuan yang terpaksa menjalani pembedahan perutnya untuk mengeluarkan anak, maka dikategorikan hal yang demikian itu juga sebagai wilâdah.
Maka wajib ke atas perempuan tersebut melakukan mandi, sama ada dilakukannya selepas dia bersalin dengan cara tersebut, jika darah nifasnya tidak ada, ataupun dilakukannya setelah berhenti keluar nifasnya.
Kesimpulan
Mandi kadang-kadang merupakan ibadat yang wajib dilakukan dan dalam konteks hubungannya dengan ibadat yang lain, ia merupakan jalan untuk menuju sahnya sesuatu ibadat itu. Mandi juga kadang-kadang dilakukan hanya sebagai adat atau kebiasaan saja, sesuai dengan sesuatu tujuan yang dimaksudkan seperti untuk perubatan, menyegarkan tubuh badan dan sebagainya.
Disebabkan keduanya adalah berlainan; ibadat dan adat, maka tidak seharusnya ianya disatukan kerana masing-masing dengan maksudnya tersendiri. Oleh itu, bagi yang diwajibkan mandi lebih awal daripada tempoh empat puluh hari tidak sepatutnya menunggu sampai kepada tempoh tersebut untuk melakukan mandi hadas kerana di samping diwajibkan ke atasnya mandi dia juga diwajibkan mendirikan ibadat-ibadat lain seperti sembahyang dan puasa. Tidak sah sembahyang tanpa bersuci daripada hadas terlebih dahulu.
Pemahaman dan perlaksanaan yang keliru mengenai sesuatu hukum akan mendatangkan dosa dan kehilangan peluang-peluang untuk mengaut kelebihan beribadat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6251
