Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Menyentuh Mushhaf Bagi Orang Yang Berhadas

Kehormatan dan kesucian diri adalah suatu aset yang amat bernilai di dalam diri seseorang. Justeru itu ia mesti dijaga dengan sepenuh perhatian agar ia tidak akan tercemar dan diragut oleh anasir-anasir yang tidak sihat dan pengaruh-pengaruh liar sama ada yang datangnya daripada manusia itu sendiri ataupun berpunca daripada alam persekitaran.

Kehormatan dan kesucian diri seseorang itu berkait rapat dengan norma yang dipercayainya atau dipegangnya. Kita orang Islam, tentulah Al-Qur’an sebagai sumber kepercayaan kita dalam mencorakkan bentuk kehormatan dan kesucian itu.

Oleh kerana Al-Qur’an itu menjadi pegangan dan panduan umat manusia ke arah kehidupan yang sempurna dan merupakan kitab suci yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka semestinya ia kita jaga dan pelihara kehormatannya. Salah satu daripada cara menjaga kehormatan Al-Qur’an itu ialah dengan berwudhu’ ketika memegang atau menyentuhnya dan ketika membawa atau mengangkatnya.

Walaupun nampak kepada setengah orang bahawa perkara ini begitu mudah, namun pada praktikalnya ia sesuatu yang rumit. Apa tidaknya, kerana ada sesetengah orang yang tidak begitu endah dalam perkara menyentuh dan mengangkat Al-Qur’an itu tanpa memikirkan hukum mengenainya. Perkara ini mungkin terjadi kerana jahil atau mungkin kerana dia tidak komited dengan hukum-hakam yang digariskan meskipun sebenarnya dia mengetahuinya.

Ini belum lagi dalam hal-hal atau perkara-perkara yang menyentuh tentang lembaran atau helaian kertas yang bertulis dengan ayat Al-Qur’an, memang ramai yang belum memahami ketentuan hukum mengenainya.

Kertas Mushhaf Orang yang berhadas haram menyentuh kertas mushhaf Al-Qur’an sehingga tepi-tepi kertas dan menyentuh antara baris-baris kertas itu kerana mushhaf adalah meliputi segala celah-celah barisan dan di tepi-tepi kertas itu.

Kulit Mushhaf

Juga haram bagi yang berhadas menyentuh kulit mushhaf yang bersambung dengan mushhaf kerana kulitnya yang bersambung itupun satu juz’ dari mushhaf. Tetapi jika kulit itu bercerai dari mushhaf, maka harus yakni halal menyentuh kulit itu.

Sarung, Peti Dan Tali Mushhaf

Juga haram bagi yang berhadas menyentuh sarung mushhaf, atau peti yang ada di dalamnya mushhaf yakni peti mushhaf dan tali gantung mushhaf. Dari Belakang Baju

Juga haram bagi yang berhadas menyentuh mushhaf dari belakang bajunya yakni berlapikkan bajunya atau baju orang lain.

Menanggung Mushhaf

Juga haram bagi yang berhadas menanggung mushhaf, bahkan menanggung itu lebih berat dari menyentuhnya.

Tetapi boleh ia ditanggung jika bersama-samanya barang-barang serta bukan dengan tujuan mengangkat mushhaf.

Harus menyentuh dan menanggung apa yang ditulis dari Al-Qur’an bukan kerana belajar Al-Qur’an, seperti tulisan ayat dibuat azimat, atau ayat ditulis atas wang atau pakaian.

Ayat Dalam Tafsir Harus bagi yang berhadas menyentuh dan memegang kitab-kitab tafsir sekiranya tafsirnya itu lebih banyak daripada Al-Qur’an dan sebaliknya haram jika Al- Qur’an lebih banyak daripada tafsirnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6266