Bagaimana Menyempurnakan Niat Dalam Sembahyang
Niat dalam istilah masyarakat Melayu memberi berbagai-bagai maksud, di antaranya ianya memberi maksud azam, janji untuk melakukan sesuatu atau nazar dan sebagainya.
Namun, niat dalam pandangan syara‘ mempunyai pengertian yang berbeza. Niat mengikut pandangan syara‘ ialah kehendak hati yang ditujukan atau qashad untuk melaksanakan sesuatu, sambil melakukan perbuatan itu.
Dari pengertian di atas dapat ditanggapi bahawa niat itu berlaku dengan adanya kehendak atau kemahuan untuk melakukan sesuatu perkara sambil terus melakukan perkara tersebut, dan bukannya berlaku dengan kata-kata hati, apatah lagi dengan suara atau lidah. Dari sini juga dapat difahami bahawa tempat niat itu adalah di hati sebagaimana mengikut qaul yang mu‘tamad.
Peranan niat dalam hubungannya dengan ibadat ialah untuk membezakan sama ada perbuatan yang dilakukan oleh seseorang itu merupakan suatu ibadat ataupun hanya merupakan perbuatan biasa atau adat sahaja.
Masa untuk berniat ialah pada permulaan ibadat yang dilakukan, melainkan ibadat puasa, tidaklah memadai menyertakan niat puasa pada permulaannya iaitu semasa terbit fajar shâdiq, akan tetapi wajib mendahulukan niat puasa Ramadhan sebelum terbit fajar shâdiq. Maka bolehlah berniat puasa dalam tempoh di antara terbenam matahari sehingga sebelum terbit fajar shâdiq.
Sebagaimana niat itu merupakan salah satu rukun di dalam ibadat-ibadat yang lain ianya juga merupakan rukun di dalam ibadat sembahyang. Setiap sembahyang yang didirikan tidak dapat ditunaikan melainkan dimulai dengan niat semasa takbîratuli hrâm, iaitu rukun yang kedua ibadat sembahyang.
Dalil pensyariatan niat itu ialah sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. (Surah Al-Bayyinah: 5)
Di dalam hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya apa jua amal perbuatan itu adalah dengan niat dan bahawasanya bagi setiap orang itu hanyalah menurut apa yang diniatkannya. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Pembahagian Niat
Yang dimaksudkan di sini ialah apakah perkara-perkara yang menjadi tuntutan atau yang wajib ada dalam niat dan adakah tuntutan tersebut sama antara satu sembahyang dengan sembahyang yang lain. Dalam hal ini bolehlah dibahagikan kepada lima bahagian, seperti berikut:
Pertama: Sembahyang fardhu selain dari sembahyang Jumu‘ah dan sembahyang qashar.
Apa yang menjadi tuntutan atau yang wajib disertakan di dalam niat semasa takbîratul ihrâm itu ada tiga perkara:
1. Qashd, iaitu menyengaja atau bermaksud melakukan sembahyang. Umpamanya diniatkan dalam hati: “Sahaja aku sembahyang”.
2. Ta‘arrudh, iaitu menyatakan fardhu.
3. Ta‘yîn, iaitu menentukan waktu, sama ada Zhuhur, ‘Ashar, Maghrib atau sebagainya.
Maka dengan ketiga-tiga perkara di atas iaitu qashd, ta‘arrudh dan ta‘yîn terakadlah niat dan apabila dicantumkan jadilah seperti berikut:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu Zhuhur. Ataupun:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang Zhuhur fardhu.
Kedua: Sembahyang fardhu Jumu‘ah. Hendaklah disertakan di dalam niat semasa takbîratul ihrâm empat perkara. Tiga daripadanya sebagaimana yang tersebut di atas dan ditambah satu lagi, iaitu berniat menjadi imam atau menjadi makmum. Sebagai contoh niat sembahyang fardhu Jumu‘ah itu:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu Jumu‘ah menjadi makmum. Jika tidak diniatkan menjadi imam atau menjadi makmum ketika takbîratul ihrâm, nescaya tidaklah sah sembahyang Jumu‘ah seseorang itu. Ketiga: Sembahyang Qashar. Perkara-perkara yang menjadi tuntutan yang mesti disertakan ketika takbîratul ihrâm ada empat perkara, iaitu: 1. Qashd, iaitu “aku sembahyang”. 2. Ta‘arrudh, iaitu “fardhu”.
3. Ta‘yîn, iaitu “Zhuhur”.
4. “Qashar”.
Maka apabila keempat-empat perkara tersebut disatukan jadilah seperti berikut:
Ertinya: Sahaja aku sembahyang fardhu Zhuhur qashar.
Keempat: Sembahyang sunat yang mempunyai waktu dan sembahyang sunat yang mempunyai sebab.
Jika sembahyang sunat itu mempunyai waktu seperti sembahyang sunat Hari Raya, sembahyang Dhuha dan sembahyang sunat Rawatib bagi sembahyang fardhu, ataupun sembahyang sunat yang mempunyai sebab, seperti sembahyang gerhana bulan atau matahari, sembahyang minta hujan dan sebagainya, maka wajiblah disertakan di dalam niat ketika takbîratul ihrâm dua perkara, iaitu:
1. Qashd, iaitu “aku sembahyang”.
2. Ta‘yîn, iaitu “sunat Hari Raya Adhha”, “sunat gerhana bulan”, dan sebagainya.
Termasuk juga dalam perkara ini, menentukan qabliyah dan ba‘diyah dalam sembahyang sunat Rawatib. Ini tertentu kepada sunat Zhuhur, Maghrib dan ‘Isya’, seperti dinyatakan dalam niat: “Sunat Zhuhur qabliyah/ba‘diyah”.
Adapun sunat Shubuh dan ‘Ashar tidaklah disyaratkan menentukan qabliyah, kerana kedua-dua sembahyang tersebut tidak terdapat padanya melainkan sunat qabliyah sahaja.
Kelima: Sembahyang sunat mutlak.
Dalam hal ini hanya wajib disertakan di dalam niat semasa takbîratul ihrâm satu perkara sahaja iaitu qashd. Umpamanya seseorang berniat ketika mengangkat takbîratul ihrâm (Allâhu Akbar): “Sahaja aku sembahyang”.
Cara Menyempurnakan Niat
Sebenarnya menyebut satu persatu di dalam hati ‘sahaja aku sembahyang fardhu Zhuhur empat rakaat tunai/qadha’ mengikut imam/menjadi imam kerana Allah Ta‘ala’ tidaklah dituntut untuk menghadirkannya ke dalam hati satu persatu sebagaimana contoh di atas, iaitu bermula dari kalimat ‘sahaja aku’ sehingga ‘kerana Allah Ta‘ala’. Yang dituntut hanyalah qashd (aku sembahyang), ta‘arrudh (fardhu) dan ta‘yîn (Zhuhur, Ashar dan sebagainya).
Adapun niat imam atau makmum ketika takbîratul ihrâm hanya disyaratkan pada sembahyang yang diwajibkan berjemaah sahaja seperti sembahyang fardhu Jumu‘ah, tetapi pada sembahyang jemaah selain daripada itu tidaklah disyaratkan bahkan hanya disunatkan bagi mendapatkan pahala berjemaah.
Jika seorang tidak berniat mengikut imam ketika takbîratul ihrâm pada sembahyang fardhu selain daripada sembahyang yang diwajibkan berjemaah seperti sembahyang fardhu Jumu‘ah, kemudian pada mana-mana rukun sembahyang, ketika berdiri umpamanya, dia mahu mengikut imam, maka dia masih lagi dibolehkan berniat mengikut imam. Akan tetapi makruh dia berbuat begitu dan dia tidak mendapat pahala berjemaah sekalipun pada bahagian sembahyang yang dia mengikut imam.
Hal ini boleh sahaja terjadi kepada sebilangan orang disebabkan lupa umpamanya. Jika orang itu terlupa berniat mengikut imam ketika takbîratul ihram, kemudian semasa dalam sembahyangnya itu diam ahu mengikut imam, maka dia masih lagi dibolehkan berniat mengikut imam. Akan tetapi makruh dia berbuat begitu dan dia tidak mendapat pahala berjemaah sekalipun pada bahagian sembahyang dia mengikut imam.
Namun, jika orang yang tidak berniat mengikut imam ketika takbîratul ihram itu mengikut perbuatan imam, ruku’ umpamanya, dan dia berdiri lama menunggu untuk ruku’ bersama imam (padahal dia belum berniat mengikut imam) maka sembahyangnya menjadi batal. Ini kerana dia menghubungkan sembahyangnya dengan sembahyang imam tanpa ada ikatan iaitu niat mengikut imam. Tetapi jika dia menunggu perbuatan imam itu dalam kadar waktu yang singkat sahaja tidaklah yang demikian itu membatalkan sembahyangnya.
Oleh itu, supaya tidak terdedah kepada risiko sembahyang menjadi batal dan terlepas pahala berjemaah, perlulah sentiasa diambil perhatian bersungguh-sungguh untuk menghadirkan ke dalam hati niat mengikut imam ketika takbîratul ihrâm.
Begitu juga dengan imam yang tidak berniat menjadi imam ketika takbîratul ihrâm atau ketika mengerjakan rukun yang lain pada sembahyang fardhu selain daripada sembahyang yang diwajibkan berjemaah seperti sembahyang fardhu Jumu‘ah, walaupun tidak membatalkan sembahyang tetapi dia tidak beroleh pahala berjemaah. Namun jika dia berniat menjadi imam di dalam mana-mana rukun sembahyang tersebut (selepas takbîratul ihram) dia akan beroleh pahala berjemaah bermula daripada dia menghadirkan niat menjadi imam.
Manakala niat ‘kerana Allah Ta‘ala’ juga tidak disyaratkan, bahkan hanya disunatkan sahaja.
Namun tidak menjadi kesalahan untuk menghadirkan kesemuanya ke dalam hati jika mampu berbuat begitu.
Untuk itu, bagaimanakah caranya untuk menyempurnakan niat?
Niat adalah lintasan hati. Di dalam konteks perbincangan kita ini, apabila seseorang hendak mengerjakan sembahyang Zhuhur umpamanya, hendaklah dia menumpukan betul-betul dan menghadirkan di dalam hatinya ataupun mengarahkan kemahuannya bahawa dia akan mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur (qashd, ta‘arrudh dan ta‘yîn) sebelum dia mengangkat takbîratul ihrâm. Maka ketika itu sunat menyebut lafaz niatnya dengan lidah, iaitu:
Dalam pada itu, dihadirkan ke dalam hatinya atau diarahkan kemahuan di dalam kalbunya makna lafaz niat yang diucapkannya, iaitu: “Aku sembahyang fardhu Zhuhur”. Apabila telah hadir di dalam hatinya, maka tatkala itu ucapkan dengan lidahnya: “Allahu Akbar”, sambil dikekalkan makna lafaz niat itu di dalam hati, dalam jangka jarak mengucapkan: “Allahu Akbar”.
Penyakit Was-Was Dalam masalah menyempurnakan niat ini banyak berlaku kekeliruan dan ketidakfahaman orang ramai mengenainya. Sebenarnya, dalam perkara ini kita juga perlu ilmu, kerana dengan ilmulah kita dapat mengatasi masalah yang timbul, khasnya masalah was-was untuk menyertakan niat ketika takbîratul ihrâm.
Masalah was-was bukanlah masalah yang jarang berlaku, bahkan ianya sering dilihat terutama dalam sembahyang berjemaah. Sering kali kedapatan ada setengah orang terlalu susah untuk menyertakan niatnya semasa takbîratul ihrâm, dia berulang-ulang mengangkat takbir sehingga beberapa kali. Kadang-kadang apabila imam ruku‘ barulah dia dapat menyempurnakan niatnya. Sebenarnya orang seperti ini diganggu oleh syaitan atau jin yang menyebabkan dia berasa was-was dengan perbuatan yang dilakukannya sama ada sudah sempurna ataupun belum.
Ada pula setengah orang berkelakuan seperti orang bermain bunga silat ketika mengangkat takbîratul ihrâm, hanya kerana untuk menyertakan niat. Perbuatan seperti ini tidak syak lagi boleh menjejaskan keshahîhan dan kesempurnaan ibadat sembahyangnya, kiranya sebutan kalimat takbîratul ihrâm iaitu “Allahu Akbar” melebihi dari harakat yang dibenarkan iaitu tidak melebihi empat belas harakat (tujuh alif). Kemudian, dari segi pergerakan tangannya boleh jadi melebihi had yang dibenarkan iaitu tiga kali pergerakan.
Gambaran keadaan ini mencerminkan akan kedangkalan atau kejahilan mengenai cara menyempurnakan niat dengan betul.
Doa Atau Bacaan Bagi Orang Yang Was-Was
Sebahagian ulama mengatakan, bahawa sunat bagi orang yang terkena was-was pada setiap kali berwudhu’, sembahyang dan lain-lain membaca: ُالإِلـه َ إِال َّ اللَّـه sebab syaitan itu apabila mendengar kalimat zikir dia akan lari dan menjauhkan diri. Selain daripada itu kalimat ُالإِلـه َ إِال َّ اللَّـه itu adalah induk segala zikir.
Para ulama juga mengatakan, bahawa ubat yang paling mujarab untuk menghilangkan penyakit was-was ialah dengan memperbanyak zikir kepada Allah.
Al-Sayyid Al-Jalil Ahmad bin Abu Al-Hawari berkata: “Aku mengadu kepada Abu Sulaiman Al-Darani tentang was-was yang menimpaku. Lalu dia pun berkata: “Apabila kamu ingin menghilangkannya daripada dirimu, maka apabila saja kamu merasa was-was itu datang, bergembiralah, kerana apabila engkau bergembira was-was itu akan terputus daripadamu. Tidak ada sesuatu yang paling dibenci oleh syaitan daripada kegembiraan orang yang beriman. Jika engkau bersedih hati tentulah was-was itu akan bertambah-tambah lagi menyerang dirimu.”
Menurut riwayat yang shahîh daripada Imam Bukhari dan Imam Muslim ada disebutkan, bahawa manusia itu sentiasa tertanya-tanya, sampai kepada pertanyaan Allah menjadikan makhluk ini, lalu siapa pula yang menjadikan Allah itu? Maka barangsiapa menemukan hal semacam itu, hendaklah dia membaca:
Maksudnya: Aku beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya.
Al-Ustaz Abu Al-Hasan Al-Syazali pernah mengajarkan sahabat-sahabatnya amalan yang boleh menangkis atau menolak was-was dan lintasan-lintasan fikiran yang tidak baik, dia mengatakan kepada mereka, bahawa barangsiapa yang merasa hal yang seumpama itu, maka letakkanlah tangan kanannya di atas dadanya, sambil mengucapkan:
Ertinya: Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa, yang Maha Suci dari kekurangan, yang Maha Menciptakan sekalian makhluk dan yang Maha Melakukan (apa yang dikehendakiNya).
Dibaca sebanyak tujuh kali. Kemudian dibaca pula:
Tafsirnya: Jika Dia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu. (Surah Ibrahim: 19 - 20)
Amalan tersebut bolehlah dilakukan sebelum seseorang itu mengangkat takbîratul ihrâm.
Demikianlah di antara amalan-amalan dan doa-doa yang boleh diamalkan ketika diserang perasaan was-was ataupun lintasan- lintasan pemikiran yang tidak baik.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6272
