Etika Dalam Pengisian Ramadhan
Terasa Ramadhan seperti baru beberapa hari yang lalu kita tinggalkan, tahu-tahu kita sudah berada di ambang Ramadhan yang baru. Inilah bulan yang kita nanti-nantikan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan banyak kelebihan. Bulan yang pada permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka daripada api neraka. Andaikata kalangan manusia mengetahui akan kelebihan-kelebihan dan keberkatan yang terdapat di dalam Ramadhan itu, nescaya mereka menghendaki agar Ramadhan terus berada di sepanjang tahun.
Dalam bulan inilah orang-orang Islam menjalani ibadat puasa yang difardhukan ke atas mereka. Firman Allah Ta‘ala dalam Al-Qur’an:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Surah Al-Baqarah: 183)
Rahsia puasa itu sangat jelas sebagaimana firman Allah Ta‘ala ‘agar kamu bertaqwa’. Taqwa itu takut daripada melakukan maksiat. Ini jelas kerana dengan berpuasa seseorang terpaksa meninggalkan runtunan hawa nafsunya yang menjadi punca maksiat dan meninggalkan perkara-perkara yang boleh mencacat dan membatalkan ibadat puasa yang dilakukannya. Bertolak dari sini, orang berpuasa yang ingin agar ibadatnya diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sewajarnya dia memelihara segala macam perkara yang boleh merosakkan dan mencacatkan ibadat puasanya.
Bagi mencapai kesempurnaan puasa agar diterima dan diberi ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, tidak memadai setakat menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan, minum, melakukan persetubuhan dan sebagainya. Walaupun yang demikian itu sudah memenuhi tuntutan kefardhuan puasa dari segi syariat, akan tetapi lebih dari itu, sebagai orang yang berpuasa hendaklah menjaga adab-adab berpuasa di samping menyerikannya lagi dengan melakukan perkara-perkara sunat yang sewajarnya tidak diabaikan, bersesuaian dengan kelebihan Ramadhan yang amat besar.
Apa yang dikhuatiri, jika seseorang yang berpuasa itu tidak dapat menjaga dan memelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dibenci dan dilarang oleh syara‘ - sungguhpun puasa yang dikerjakan itu dihukumkan sah, selama mana dia tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa - akan tetapi belum tentu dia memperolehi apa-apa ganjaran daripada ibadat puasa yang dikerjakannya itu. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sebuah hadits yang dikeluarkan oleh Al-Nasa’i dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Berapa banyak orang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga (yakni tidak mendapat pahala).
Adab-Adab Puasa
Di antara adab-adab yang perlu dijaga ketika seseorang menjalani ibadat puasa ialah:
i) Menutup pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh syara‘ dan yang boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah Ta‘ala. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”. Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya…….” (Surah Al-Nûr: 30-31)
ii) Menutup telinga daripada mendengar perkara-perkara yang diharamkan supaya tidak tergolong ke dalam orang-orang seperti yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong. (Surah Al-Mâ’idah: 42)
iii) Menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah seperti berbual-bual kosong dan lebih-lebih lagi yang dituntut supaya menjaga lidah dari pada mengeluarkan kata-kata yang diharamkan seperti mengumpat, berdusta, memfitnah, berbantah-bantah kerana perkelahian, bersumpah bohong dan sebagainya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata yang batil (dusta) dan melakukan perbuatan itu maka Allah tidak berhajat padanya untuk dia meninggalkan makanan dan minumannya. (Hadits riwayat Bukhari)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sebuah hadits yang lain:
Maksudnya: Puasa itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, akan tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu ialah menahan diri daripada kata- kata yang sia-sia dan kata-kata yang keji. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)
iv) Memelihara seluruh anggota yang lain seperti tangan, kaki dan sebagainya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan yang diharamkan.
Inilah sebenarnya ciri-ciri orang beriman yang memperolehi kemenangan di mana mereka sentiasa memelihara pancaindera dan anggota mereka daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia dan yang dilarang oleh syara‘ pada setiap masa dan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyu‘ dalam sembahyangnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna…… (Surah Al-Mu’minûn: 1-3)
Firman Allah Ta‘ala dalam ayat yang lain:
Tafsirnya: Dan apabila mereka (ahli-ahli kitab yang beriman) mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya. (Surah Al-Qashash: 55)
Secara umumnya, puasa yang benar-benar diterima itu ialah bukan setakat menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, bahkan juga memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara maksiat.
Termasuk juga antara lain adab berpuasa itu ialah tidak berlebih-lebihan dalam menyediakan juadah untuk berbuka puasa lebih-lebih lagi jika berlaku pembaziran. Pembaziran hukumnya adalah haram. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan. Begitu juga, tidak boleh berlebih-lebihan ketika menikmati juadah berbuka puasa. Seseorang yang makan berlebihan boleh menyebabkannya lalai dan malas untuk mengerjakan sembahyang dan ibadat-ibadat yang lain. Islam telah menggariskan ‘sukat-sukat’ (panduan) tertentu dalam perkara ini, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia (Allah Ta‘ala) tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (Surah Al-A‘râf: 31)
Jika tabiat berlebih-lebihan ini berlaku, sudah setentunya matlamat berjimat cermat dalam berbelanja melalui ibadat puasa itu tidak boleh dicapai.
Di antara lain, adab yang perlu ada pada diri orang yang berpuasa itu ialah wujudnya perasaan takut sama ada amalan ibadat puasanya itu akan diterima atau tidak. Jika diterima, maka dia adalah orang hampir kepada Allah dan jika sebaliknya, maka dia akan menjadi orang yang rugi.
Perkara-Perkara Sunat Puasa
Terdapat beberapa perkara yang sunat dilakukan oleh orang berpuasa, di antaranya ialah:
1) Melewatkan bersahur:
Sunat bagi orang yang hendak mengerjakan puasa itu bersahur dengan sesuatu makanan walaupun sedikit, hatta walau dengan sebiji kurma ataupun seteguk air kerana bersahur itu mengandungi keberkatan. Tersebut di dalam sebuah hadits shahîh:
Maksudnya: Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya dalam sahur itu terdapat keberkatan. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadits yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu tinggalkan walaupun salah seorang daripada kamu hanya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah Ta‘ala dan MalaikatNya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur. (Hadits riwayat Imam Ahmad)
Antara keberkatan yang terdapat pada makan sahur itu, di samping ianya dapat membantu seseorang menyiapkan ketahanan dirinya dari segi fizikal untuk mengerjakan ibadat puasa di siang hari, ianya juga dapat membantu mengisi keperluan rohaninya dengan merebut peluang untuk bertahajjud, berzikir, beristighfar dan berdoa pada waktu sahur yang sangat mubarak, yang dipenuhi dengan seribu rahmat. Apatah lagi jika malam tersebut kebetulan merupakan Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Dengan demikian mudah-mudahan kita akan dimasukkan ke dalam golongan sebagaimana Allah berfirman:
Tafsirnya: Orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah) dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya) dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah) dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur. (Surah Âli ‘Imrân: 17)
Disunatkan pula melambatkan sahur sehingga hampir waktu fajar iaitu kira-kira pada kadar membaca lima puluh atau enam puluh ayat sebelum terbit fajar. Di antara tujuannya ialah demi memendekkan masa untuk menahan diri daripada kelaparan dan daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Tersebut di dalam satu riwayat yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa seorang sahabat yang bernama Zaid bin Tsabit Radhiallahu ‘anhu telah berkata: “Kami telah bersahur bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami mendirikan sembahyang, lalu Anas Radhiallahu ‘anhu bertanya: “Berapakah jarak waktu di antara keduanya?” Zaid menjawab:
Maksudnya: Kadar lima puluh atau enam puluh, yakni ayat.
Tersebut di dalam sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
Maksudnya: Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur. (Hadits riwayat Imam Ahmad)
Adapun waktu bersahur itu bermula sebaik sahaja masuk waktu pertengahan malam dan berlarutan sehingga terbit fajar. Oleh yang demikian, orang yang makan sebelum masuk waktu pertengahan malam tidaklah dia dikatakan bersahur tetapi ianya cuma makan biasa sahaja dan tidak ada baginya pahala sunat bersahur.
2) Menyegerakan berbuka puasa:
Apabila masuk waktu berbuka, sunat bagi orang yang berpuasa itu menyegerakan berbuka puasa terlebih dahulu sebelum dia mengerjakan sembahyang Maghrib kerana menyegerakan berbuka puasa itu merupakan sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sentiasa manusia itu dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Manakala itu pula, sunat berbuka puasa dengan tiga biji kurma basah (ruthab). Jika tidak ada, memadai dengan kurma kering (tamar), atau memadai dengan beberapa teguk air. Beginilah cara Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berbuka puasa. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berbuka puasa sebelum Baginda menunaikan sembahyang (Maghrib) dengan beberapa biji kurma basah. Jika tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan beberapa biji kurma kering dan jika tidak ada kurma kering, maka Baginda meneguk beberapa teguk air. (Hadits riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Di dalam hadits yang lain Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu berbuka puasa maka berbukalah dengan tamar (kerana) bahawasanya tamar itu ada padanya berkat. Jika dia tidak memperolehi tamar, maka berbukalah dengan air (kerana) air itu menyucikan. (Hadits riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan lainnya)
Kemudian selesai menunaikan sembahyang Maghrib barulah menikmati juadah yang lain.
Apakah rahsia di sebalik anjuran berbuka dengan buah kurma dan air?
Menurut ulama, bahawa hikmat mendahulukan berbuka puasa dengan buah kurma, sama ada yang basah atau yang kering kerana kurma itu manis dan sedap lagi mengenyangkan serta memudahkan hadam.
Pakar perubatan moden pula turut mengesahkan akan kebaikan cara Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berbuka puasa dengan kurma. Kebiasaannya, pada siang hari seseorang yang berpuasa itu akan banyak membuat pembakaran gula yang terkandung di dalam sel-sel badannya. Penurunan nisbah gula di dalam darahnya yang lebih banyak daripada biasa menyebabkan dia merasa lemah dan malas. Oleh sebab itu, betapa perlunya dia memberikan badannya kadar gula yang mencukupi sewaktu berbuka puasa, bukan dengan memberikannya bahan-bahan yang mengandungi minyak dan berkanji.
Di antara bahan makanan yang paling cepat diproses sebagai bekalan tenaga, tidak lain ialah kurma. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.
Begitu juga dengan air, ianya sangat berguna untuk menyucikan perut dan membersihkannya daripada makanan yang tidak cerna, menguatkan isi perut, menggerakkan perut supaya menjalankan fungsinya dengan baik dan membasahkan hati yang telah kering sepanjang hari.
3) Berdoa sepanjang siang khususnya ketika berbuka puasa:
Sunat bagi orang berpuasa itu sentiasa membasahkan bibirnya dengan berzikir dan berdoa sepanjang hari dia menjalani ibadat puasa.
Sesungguhnya ibadat puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan akan membolehkan seseorang itu hampir kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dengan demikian akan memudahkan lagi segala zikir dan doanya diterima dan dimakbulkan oleh Allah Ta‘ala. Oleh itu, sayugialah diperbanyakkan doa dan zikir di sepanjang hari puasa, lebih-lebih lagi yang dituntut ketika waktu berbuka puasa kerana doa orang berpuasa ketika dia berbuka sangat mustajab dan tidak tertolak. Tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka itu adalah (waktu) berdoa yang tidak akan tertolak. (Hadits riwayat Ibnu Majah dan Ibnus Sunni)
Di antara doa yang wârid yang elok dibaca ketika berbuka ialah:
Maksudnya: Ya Allah, kerana Mu aku berpuasa dan di atas rezeki Mu aku berbuka. Kepada Mu sahajalah aku berserah diri dan kepada Mu aku beriman. Haus telah hilang, urat-urat telah basah dan semoga tetap memperolehi ganjaran insya Allah. Wahai (Tuhan) Yang Maha Luas kelebihanNya, ampunilah aku. Segala puji-pujian bagi Allah yang telah menolong aku, maka aku dapat berpuasa dan telah memberi rezeki kepadaku, maka aku dapat berbuka.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6323
