Elakkan Diri Dari Sifat Meminta-minta
Setiap makhluk Allah yang melata di atas muka bumi ini telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahawa Dia yang akan menanggung rezekinya. Ini jelas sebagaimana firmanNya di dalam surah Hûd, ayat 6:
Tafsirnya: Dan tiadalah sesuatupun daripada makhluk- makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfudz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).
Ayat ini menjelaskan bahawa segala yang melata di atas bumi ini tidak usah merasa khuatir akan ketiadaan rezeki, sebab Allah Subhanahu wa Ta‘ala sudah menyediakannya. Apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘bergerak’ di dalam ayat ini ialah semua makhluk yang berjalan, merangkak, merayap dan menjalar. Ini termasuklah sekalian manusia. Semuanya sudah ada ketentuan rezekinya oleh Allah dan sudah tersedia makanan yang akan dimakannya. Persediaan makanan cukup bagi seluruh makhluk.
Namun begitu kita jangan pula tersalah anggap bahawa ayat ini melarang kita daripada berusaha mencari rezeki yang halal kerana di dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat). (Surah Al-Jumu‘ah: 10)
Walaupun setelah kita bekerja dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rezeki namun masih juga berada di tahap kesusahan dan kepayahan, usah mengeluh dan berputus asa. Bekerja dan berusahalah terus kerana ianya ibadat dan hari esok belum berakhir. Mungkin terdapat hikmat yang tertentu di sebalik ketentuan rezeki yang belum bertambah selain pahala menanggung penderitaan kerana di dalam kesabaran ada nilai keimanan.
Mengenai dengan ketentuan kadar rezeki yang diperolehi oleh seseorang, telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata. (Surah Al-Syûrâ: 27)
Walaupun kita ditakdirkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuk menjadi seorang yang miskin atau fakir, namun kita masih tidak digalakkan untuk meminta-minta. Kenyataan ini berdasarkan kepada sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyayangi hambaNya yang beriman yang miskin yang tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai.
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Apabila orang miskin sudah tidak digalakkan untuk meminta- minta, ini lebih-lebih lagi bagi orang yang berada. Sudah setentunya perkara seumpama ini amat bertentangan dengan ajaran Islam.
Seorang Islam seharusnya bersifat qanâ‘ah atau sentiasa redha atas rezeki Allah yang dikurniakanNya kepada kita. Allah melarang daripada bersifat tamak kepada harta benda orang lain atau menginginkan sesuatu yang ada dalam tangan mereka. Begitu juga Allah melarang agar jangan merasa haloba hendak mencari harta dengan apa jua cara sekalipun asalkan ia dapat diperolehi tanpa menilai baik buruknya cara itu. Semua ini harus diperhatikan agar kita tidak terjerumus ke dalam keburukan akhlak dan budi pekerti yang akan mengheret kita kepada melakukan kemungkaran-kemungkaran yang ditegah oleh agama.
Islam melarang meminta-minta kepada orang lain. Di antara hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan sedemikian:
Maksudnya: Barangsiapa meminta-minta yang dia dalam kecukupan (sedangkan ia tidak perlu), maka sebenarnya dia telah mengumpulkan bara api Jahannam. Barangsiapa yang meminta-minta, sedangkan yang ada padanya sudah mencukupi, dia akan datang pada Hari Kiamat nanti dengan wajahnya yang tinggal tulang semata, tidak ada daging lagi.
Larangan ini menunjukkan bahawa perbuatan meminta-minta tanpa hajat itu adalah haram dan dilarang dengan keras. Ini jelas apa yang dimaksudkan dengan tidak ada daging di wajahnya pada Hari Kiamat itu ialah suatu aib atau kehinaan yang akan menimpanya pada Hari Akhirat.
Sebenarnya perbuatan meminta-minta itu adalah di antara perbuatan orang-orang yang suka berlumba-lumba memperbanyak atau mengumpul harta. Mereka lupa firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang berbunyi:
Tafsirnya: Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh). (Surah Takâtsur: 1)
Begitu juga mereka lupa sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sungguh telah celaka hamba dinar dan hamba dirham dan hamba pakaian. Celaka dan kacewalah. Dan apabila dia terlungkup nescaya tidak boleh terselamat lagi. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Hadits ini menunjukkan bahawa orang yang sangat mencintai wang ringgit itu samalah seperti dia menyembahnya atau menjadi hamba kepadanya.
Meskipun pada dasarnya perbuatan meminta-minta itu haram dan dilarang oleh agama, namun jika timbul sesuatu darurat atau keadaan terpaksa, maka ia menjadi harus.
Keadaan darurat yang dimaksudkan itu ialah seperti seorang yang lapar meminta makanan untuk mengisi perutnya kerana dia bimbang kalau tidak makan segera, mungkin dia akan jatuh sakit atau mati. Begitu juga orang yang tidak mempunyai sebarang pakaian, terpaksa meminta pakaian untuk menutup auratnya. Hal-hal seperti ini mengharuskan seseorang itu meminta kepada orang lain, selama mana si peminta itu tidak berkuasa membuat sesuatu pekerjaan untuk menyara keperluannya. Andaikata dia berupaya untuk bekerja tetapi dia malas, maka tidaklah diharuskan dia meminta-minta kepada orang lain kecuali bagi penuntut ilmu agama yang masanya penuh dengan menuntut ilmu sehingga dia tidak mempunyai masa untuk bekerja.
Adapun orang yang tidak berhajat atau tidak terdesak oleh sesuatu keadaan darurat, akan tetapi dia masih juga meminta-minta, maka dalam hal ini, meminta-minta kepada orang lain adalah haram hukumnya secara pasti.
Dimaksudkan dengan orang yang berhajat itu ialah orang yang memerlukan sesuatu pertolongan yang sangat penting bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya seperti pesakit yang berhajat kepada ubat untuk menyembuhkan penyakitnya, atau orang yang ditimpa musibah, bencana alam dan sebagainya.
Tentang membataskan ukuran berhajat yang mengharuskan meminta-minta dengan tidak berhajat yang mengharamkan meminta-minta, para ulama telah menggambarkan cara-caranya menurut keadaan setiap hajat dari orang-orang itu, justeru keperluan seseorang itu agak sukar dapat dibataskan hadnya. Oleh yang demikian perkara itu terserahlah atas kebijaksanaan orang itu sendiri unutk memerhatikan keperluannya dan mengukur antara dirinya dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Sebenarnya masalah kemiskinan tidak akan timbul di dalam sebuah negara yang benar-benar menjalankan sistem perekonomian Islam dan adanya komitmen anggota masyarakat terhadap saudaranya yang lain. Pengagihan harta zakat kepada fakir miskin sudah setentunya dapat menyelesaikan masalah kemiskinan.
Oleh yang demikian, sebagai umat Islam yang bermaruah tinggi dan berakhlak mulia, sewajarnya seseorang itu mengelakkan diri dari perbuatan meminta-minta. Perbuatan meminta-minta tanpa sebab yang mengharuskannya itu mencerminkan seorang yang kurang memiliki akhlak yang mulia kerana di antara akhlak yang mulia itu ialah tabah menempuh keperitan hidup.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6317
