‘Asyura’: Sunnah Dan Bid’ah
Pendahuluan
Kepercayaan tentang adanya hari nahas dalam suatu hari atau dalam suatu bulan itu, masih tetap wujud dalam masyarakat kita, walaupun ada pertanda baik ianya telah berkurangan berbanding dengan beberapa dekad kebelakangan. Ini ialah kesan dari berkat pendidikan agama dan dakwah yang sedang berjalan pada masa ini.
Sebenarnya, tidak ada hari buruk atau hari sial di dalam Islam. Apa yang ada ialah hari yang lebih utama dari hari-hari yang lain. Hari Jumaat ialah ‘penghulu’ bagi hari-hari dalam seminggu, hari Isnin dan hari Khamis mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, Bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan dan Lailatulqadar lebih baik dari seribu bulan. Demikian secara ringkasnya bahawa tiap-tiap hari itu ada kelebihannya yang tersendiri tetapi tiada hari-hari nahas seperti yang dipercayai oleh sesetengah masyarakat.
Mungkin ramai umat Islam terkeliru dengan istilah hari utama atau hari yang lebih mulia dari hari-hari lain itu dengan beranggapan bahawa hari yang selain dari hari-hari yang mulia itu adalah hari-hari buruk atau sial.
Hakikatnya apabila kita menyebut hari yang lebih utama, tidaklah bermaksud hari-hari yang selainnya adalah hari sial, kerana ia tidak menepati pemahaman bahasa yang betul, di mana apabila kita mengatakan bahawa “Ahmad lebih baik dari Ali”, tidaklah membawa maksud bahawa Ali itu tidak baik, bahkan dia juga seorang yang baik, cuma Ahmad lebih baik daripadanya. Ibnu Majah di dalam Sunannya meriwayatkan:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia telah berkata: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak ada jangkitan, tidak ada sempena baik pada burung, tidak ada sempena buruk dengan sebab burung hantu dan tidak ada sempena jahat pada bulan Safar. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Hadits ini jelas menolak kepercayaan sesetengah orang kepada tahyul dan khurafat yang termasuklah di dalamnya kepercayaan tentang adanya hari-hari tertentu yang membawa mala-petaka ataupun sial.
Ibnu Hajar Al-Haitami dalam kitabnya Al-Fatâwâ Al-Hadîtsiyyah apabila beliau ditanya tentang hari-hari baik dan hari-hari nahas, beliau menyatakan:
“Barangsiapa yang ditanya tentang hari-hari nahas dan apa yang akan terjadi sesudahnya, janganlah ia dijawab melainkan dengan berpaling daripadanya, memperbodohkan apa yang telah dilakukannya dan menerangkan kepadanya keburukan-keburukannya, dan bahawasanya yang demikian itu adalah dari kelakuan orang-orang Yahudi, bukan dari petunjuk orang-orang Islam yang bertawakkal kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, yang tidak bersikap memperkira-kirakan (mempersoalkan apa yang terjadi kepada mereka) dan kepadaNya mereka berserah diri. Sementara apa yang dinukilkan daripada Ali Karramallahu Wajhah tentang hari-hari yang diramalkan baik buruknya adalah batil lagi dusta yang tidak mempunyai sandaran daripada agama, maka hendaklah kamu berhati-hati daripadanya.”
Pada masa-masa yang lalu, sebahagian orang kita mempercayai bulan Muharram adalah bulan yang tidak baik, kerana dikaitkan Muharram itu sebagai “haram” dan bulan Safar itu bulan nahas, oleh itu pada bulan-bulan tersebut jarang berlaku kerja-kerja seperti perkahwinan dan membangun rumah baru, tetapi semuanya telah banyak berubah sekaligus mengikis anggapan yang silap ini.
Keutamaan Hari ‘Asyura’
Muharram adalah bulan pertama dalam taqwim Islam. Di dalam bulan inilah terdapat satu hari yang dinamakan Hari ‘Asyura’, iaitu hari kesepuluh daripada bulan Muharram (10 haribulan Muharram). Ia dinamakan ‘Asyura’ kerana ia jatuh pada hari yang kesepuluh.
Tarikh 10 Muharram dianggap sebagai hari besar dan hari istimewa bagi umat Islam kerana pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang dapat dijadikan sebagai contoh teladan yang mencerminkan kemenangan gemilang bagi pejuang-pejuang yang gigih dan tabah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan, di samping peristiwa yang dapat menggerakkan hati umat Islam agar mensyukuri nikmat Allah yang tiada terhingga banyaknya.
Dalam kitab I‘ânah Al-Thâlibîn disebutkan peristiwa-peristiwa yang terjadi pada hari itu, iaitu:
(1) Nabi Adam ‘Alaihissalam bertaubat kepada Allah dan taubatnya diterima sehingga dia bersih dari dosa dan kesalahan.
(2) Nabi Idris ‘Alaihissalam diangkat oleh Allah ke tempat yang tinggi (mulia).
(3) Nabi Nuh ‘Alaihissalam diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi tenggelam selama enam bulan.
(4) Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
(5) Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam.
(6) Nabi Yusuf ‘Alaihissalam dibebaskan dari penjara Mesir, setelah dihukum penjara selama beberapa tahun akibat fitnah Siti Zulaikha.
(7) Pandangan Nabi Ya‘kub ‘Alaihissalam yang kabur dipulihkan Allah kembali sehingga dia dapat melihat dengan jelas.
(8) Nabi Ayyub ‘Alaihissalam disembuhkan Allah dari semacam penyakit kulit yang dideritainya.
(9) Nabi Yunus ‘Alaihissalam selamat keluar dari perut ikan paus yang besar setelah dia berada di dalam perut ikan itu selama empat puluh hari empat puluh malam.
(10) Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa ‘Alaihissalam dan pengikut-pengikutnya dari dikejar oleh Fir‘aun.
(11) Kesalahan Nabi Daud ‘Alaihissalam diampuni Allah.
(12) Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam dikurniakan Allah sebuah kerajaan yang besar. (13) Hari pertama Allah menciptakan alam. (14) Hari pertama Allah menurunkan rahmat. (15) Hari pertama Allah menurunkan hujan dari langit. (16) Allah menjadikan ‘Arasy. (17) Allah menjadikan Lauh Mahfûzh. (18) Allah menjadikan Qalam. (19) Allah menjadikan malaikat Jibril ‘Alaihissalam. (20) Nabi Isa ‘Alaihissalam diangkat ke langit. Oleh yang demikian, hari ‘Asyura’ itu mempunyai keutamaan dan kelebihannya yang tersendiri yang patut kita perhatikan dan ambil iktibar. Di antara keutamaan hari ‘Asyura’ itu ada disebutkan di dalam sebuah hadits:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Uyainah daripada Abdullah bin Abu Yazid daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia telah berkata: “Aku tidak pernah melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mempunyai maksud untuk mengerjakan puasa pada suatu hari yang Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih mengutamakannya dari hari-hari yang lain, kecuali hari ini iaitu hari ‘ Âsyûrâ’ dan berpuasa dalam bulan ini yakni bulan Ramadhan. (Hadits riwayat Bukhari)
Daripada riwayat yang disebutkan, dapat kita rasakan betapa besarnya keutamaan atau kelebihan hari ‘Asyura’ itu.
Lebih jauh Imam Al-Yafi‘ dan Al-Nasyiri dalam Îdhâhnya menyatakan, satu di antara keajaiban hari ‘Asyura’ itu ialah binatang liar di hutan berpuasa pada hari itu.
Fatah bin Syukhruf menyatakan, setiap hari dia memberi makan semut sedikit roti. Bila hari ‘Asyura’ semut itu tidak mahu memakannya (berpuasa).
Amalan-Amalan Yang Disunatkan Pada Hari ‘Asyura’
Amalan utama yang sunat kita lakukan pada hari ‘Asyura’ itu ialah puasa. Ini berdasarkan kepada hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menganjurkan melakukannya, di antaranya:
Maksudnya: Daripada Abdullah bin Sa‘id bin Jabir daripada ayahnya daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam datang di Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian bertanya: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari baik. Inilah hari yang pada saat dahulu Allah telah menyelamatkan Bani Isra’il (umat Yahudi) dari musuh mereka. Oleh sebab itu Nabi Musa ‘Alaihissalam berpuasa pada hari ini.” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku adalah lebih berhak untuk menghormati Nabi Musa ‘Alaihissalam daripada anda sekalian.” Selanjutnya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada hari ‘ Âsyûrâ’ itu dan menyuruh para sahabatnya agar mereka juga berpuasa pada hari tersebut. (Hadits riwayat Bukhari)
Begitu juga sebuah hadits yang juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari:
Maksudnya: Daripada Humaid bin Abdul Rahman bahawasanya dia mendengar Mu‘awiyah bin Abu Sufyan Radhiallahu ‘anhuma pada hari ‘ Âsyûrâ’ iaitu pada tahun haji berkata di atas mimbar: “Hai penduduk Madinah, di manakah alim ulama kamu sekalian? Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ini adalah hari ‘ Âsyûrâ’ dan tidaklah diwajibkan mengerjakan puasa kepada kamu sekalian padanya. Namun demikian aku berpuasa pada hari ini. Maka barangsiapa yang menghendaki, bolehlah dia berpuasa dan barangsiapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka boleh sajalah dia berbuka. (Hadits riwayat Bukhari)
Melalui hadits ini, jelaslah bahawa hukum berpuasa pada hari ‘Asyura’ itu hanyalah sunat mu’akkad.
Adapun kelebihan ataupun fadhilat yang akan kita perolehi apabila kita menunaikan ibadat puasa pada hari ‘Asyura’ itu ada disebutkan di dalam sebuah hadits:
Maksudnya: Daripada Abu Qatadah bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Puasa hari ‘Asyura’ bahawasanya aku kira atas Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya.
(Hadits riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Berpuasa pada hari ‘Asyura’ sebaiknya didahului dengan berpuasa pada hari Tasu‘a’ (hari kesembilan dari bulan Muharram) agar tidak menyerupai dengan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Asyura’ sahaja. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Berpuasalah kamu pada hari kesembilan dan kesepuluh Muharram, dan jangan kamu meniru cara orang-orang Yahudi. (Hadits riwayat Baihaqi)
Di dalam riwayat yang lain, ada menganjurkan supaya kita berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas hari ‘Asyura’. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura’ dan buatlah kelainan (jangan disamakan) dengan orang Yahudi iaitu berpuasalah kamu sehari sebelumnya dan sehari sesudahnya. (Hadits riwayat Ahmad)
Amalan khas yang sunat pada hari ‘Asyura’ itu juga ialah menggembirakan keluarga atau saudara mara terdekat. Menggembirakan keluarga yang dimaksudkan boleh dilakukan dengan melebihkan duit belanja pada hari tersebut atau menyediakan makanan dan minuman yang agak lebih sedap daripada biasanya.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang melapangkan (menggembirakan) keluarganya pada hari ‘Asyura’, maka Allah akan melapangkan rezekinya sepanjang tahun itu. (Hadits riwayat Thabarani dan Baihaqi)
Selain daripada itu, kita juga digalakkan untuk berdoa kepada Allah dalam keadaan kita berpuasa pada hari ‘Asyura’ itu kerana orang yang sedang berpuasa termasuk orang yang diperkenankan doanya.
Amalan Bid‘ah Pada Hari ‘Asyura’
Di antara amalan-amalan bid‘ah yang dikaitkan dengan hari ‘Asyura’ itu ialah:
i. Mandi-mandi dengan niat mandi hari ‘Asyura’.
ii. Memakai pakaian baharu.
iii. Mencelak mata.
iv. Memakai inai.
v. Bersembahyang malam ‘Asyura’.
Adapun hadits yang menyuruh bercelak mata pada hari itu, menurut Al-Hakim adalah hadits mungkar, sedangkan Ibnu Hajar berpendapat hadits itu maudhû‘.
Al-‘Allâmah Al-Ajhuri lebih jauh menyatakan bahawa dia menanyakan masalah bercelak mata itu, serta memasak beberapa jenis biji-bijian, berpakaian baru dan memperlihatkan kegembiraan pada hari itu, kepada imam-imam ahli hadits dan ahli-ahli hukum Fiqh. Menurut Al-Ajhuri tiada dijumpai satu hadits shahîh yang menganjurkan hal itu. Tiada dilakukan para sahabat dan tiada digemari oleh imam-imam kaum muslimin. Begitu juga (kata Al-Ajhuri), tiada dijumpai apa yang dikatakan orang bahawa “Barangsiapa bercelak mata pada hari itu, nescaya tiada akan sakit mata dalam tahun itu.” Begitu juga anggapan kalangan yang mengatakan bahawa “Barangsiapa yang mandi pada hari itu, tiada akan jatuh sakit dalam tahun itu.”
Penutup Mudah-mudahan dengan berpuasa ‘Asyura’ dan dengan mengamalkan atau melakukan perkara-perkara yang disunatkan pada hari itu serta mengambil iktibar peristiwa-peristiwa yang berlaku akan menambah keimanan dan taqwa yang merobah corak hidup yang lebih baik.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6353
