Beberapa Soalan Mengenai Thalaq
BEBERAPA PERSOALAN MENGENAI THALAQ
Pendahuluan Persoalan thalaq atau perceraian merupakan suatu perkara yang tidak boleh dipandang ringan atau dipermudah-mudahkan apatah lagi dipermain-mainkan. Dalam masyarakat sekarang telah banyak berlaku perceraian antara suami isteri, masing-masing dengan sebab-sebab atau alasan-alasannya yang tersendiri. Apa yang dikhuatiri ialah terjadinya perceraian disebabkan oleh kejahilan tentang hukum menjatuhkan thalaq. Oleh kerana itu perlulah diketahui kata-kata atau ucapan yang bagaimanakah boleh menjatuhkan thalaq dan dalam perkara bagaimanakah thalaq boleh jatuh serta lain-lain persoalan yang akan dihuraikan berikut ini.
Rukun Thalaq Thalaq mempunyai lima rukun, iaitu: (i) Orang yang menjatuhkan thalaq iaitu suami. (ii) Orang yang dijatuhkan thalaq terhadapnya iaitu isteri. (iii) Isteri masih dalam kekuasaan (wilâyah) suami. (iv) Qashad (disengajakan). (v) Shîghah (lafaz). Dari rukun-rukun yang tersebut di atas timbul daripadanya berbagai-bagai masalah yang membabitkan hukum dalam menjatuhkan thalaq itu.
Pertama: Orang yang menjatuhkan thalaq iaitu suami Suami ialah orang yang berhak menjatuhkan thalaq, kerana suami adalah orang yang memegang akad nikah, suamilah yang menerima îjâb daripada pihak isteri ketika akad nikah. Thalaq adalah menjadi hak milik suami. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmidzi:
Maksudnya: Tidak wajib membayar nazar bagi yang tidak memilikinya tidak boleh memerdekakan hamba bagi yang tidak memilikinya dan tidak boleh juga menjatuhkan thalaq bagi orang yang tidak memilikinya. (Hadits riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Disyaratkan bagi suami yang hendak menthalaq isterinya itu:
(i) Berakal: Tidak sah thalaq suami yang gila atau suami yang sedang tidur (mengigau). Tetapi bagi suami yang hilang akalnya disebabkan meminum minuman yang memabukkan seperti meminum arak, adalah sah thalaqnya. Begitu juga, sah thalaq suami yang hilang akal disebabkan pengambilan ubat dengan tujuan yang tidak dibenarkan oleh syara‘, seperti untuk berkhayal-khayal, untuk suka-suka saja dan seumpamanya. Akan tetapi, suami yang hilang akal disebabkan pengambilan ubat dengan tujuan yang dibenarkan oleh syara‘ seperti untuk berubat, tidak sah dan tidak jatuh thalaqnya.
(ii) Baligh: Tidak sah thalaq suami yang masih kanak-kanak, kerana dia belum mukallaf.
Hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada Ali Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, orang gila sehingga dia berakal (sembuh dari gilanya) dan kanak-kanak sehingga dia dewasa. (Hadits riwayat Imam Ahmad)
(iii) Kemahuan sendiri (tidak dipaksa): Tidak jatuh thalaq secara dipaksa tanpa kehendak suami itu sendiri. Ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Diangkatkan (dimaafkan) atas umatku yang tersalah, terlupa dan dipaksa. (Hadits riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Daraqutni, Thabarani dan Al-Hakim)
Di dalam hadits yang lain diriwayatkan oleh Abu Daud:
Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak jatuh thalaq dan tidak merdeka hamba dalam keadaan dipaksa. (Hadits riwayat Abu Daud)
Paksaan semasa menjatuhkan thalaq boleh sahaja berlaku seperti mengancam untuk membunuh, mencederakan anggota tubuh badan, mengurung atau menahan seseorang dalam suatu tempat dalam jangka waktu yang lama, memukul dengan pukulan yang kuat atau memukul dengan pukulan yang sederhana bagi orang yang tidak tahan dan tidak biasa dengan pukulan itu.
Begitu juga, ianya boleh terjadi dengan ancaman untuk membunuh kedua ibu bapa orang yang dipaksa itu ataupun neneknya, ataupun mengancam untuk membunuh anak atau cucunya.
Dalam keadaan-keadaan yang tersebut di atas, seseorang yang diancam untuk melakukan sesuatu yang dia sendiri tidak redha untuk melakukannya, maka dia bolehlah dikatakan dipaksa.
Sungguhpun begitu, tidak dianggap seseorang itu dipaksa melainkan jika memenuhi syarat-syarat yang tersebut di bawah ini:
(a) Hendaklah orang yang memaksa itu benar-benar berkuasa untuk melakukan atau melaksanakan ancamannya itu.
(b) Hendaklah orang yang dipaksa itu menurut sangkaannya yang kuat bahawa orang yang memaksa itu akan melaksanakan ancamannya atau ugutannya jika dia (yang dipaksa) tidak melakukan apa yang dipaksakan terhadapanya. Dalam waktu yang sama orang yang dipaksa itu tidak berdaya melepaskan dirinya daripada ancaman itu, umpamanya tidak ada tempat untuk melarikan diri, tidak ada tempat untuk meminta pertolongan atau tidak berdaya untuk melawannya.
(c) Hendaklah ancaman itu termasuk di dalam perkara-perkara yang boleh membawa maut, mencederakan anggota tubuh badan atau membinasakan harta benda. Ini termasuk juga dalam perkara-perkara yang boleh memudaratkan orang yang ada hubungan dengan orang yang dipaksa seperti isterinya, anak atau cucunya dan seterusnya hingga keturunannya ke bawah, ibu bapa atau neneknya dan seterusnya hingga keturunannya ke atas.
Umpamanya, suami dipaksa untuk menceraikan isterinya, dan menurut sangkaan kuat oleh bahawa jika dia tidak menceraikan isterinya, maka isteri atau anaknya pasti akan dibunuh.
(d) Janganlah hendaknya paksaan orang yang memaksa itu di atas kebenaran (hak).
Sekiranya orang yang memaksa itu memaksa si suami untuk menceraikan isterinya di atas perkara yang hak, maka dihukumkan sah dan jatuh thalaq itu.
Umpamanya, suami yang melakukan îlâ’ (bersumpah tidak akan mencampuri isterinya dalam masa empat bulan atau melebihi empat bulan dengan tidak menyebut tempoh had masanya). Apabila seorang suami bersumpah dengan sumpah yang tersebut, hendaklah dia menunggu sampai empat bulan. Selepas itu, suami mestilah memilih antara dua perkara iaitu sama ada dia kembali menggauli isterinya seperti biasa dengan membayar kaffârah sumpah atau menthalaqkan isterinya. Kalau suami enggan melakukan salah satu dari dua perkara ini, hakim berhak menceraikan isterinya dengan paksa. Perceraian secara terpaksa begini adalah sah hukumnya kerana berdasarkan kebenaran (hak).
(e) Dalam paksaan untuk mencerai isteri itu, suami tidak berniat thalaq atau cerai. Sekiranya semasa dipaksa itu suami telah berniat untuk menceraikan isterinya, maka dia (suami) tidak dianggap dipaksa dan hukumnya sah dan jatuh thalaq tersebut.
Jadi, lafaz thalaq sharîh (terang) yang diucapkan ketika dipaksa dikira sebagai kinâyah (sindiran). Jika disertakan dengan niat jatuhlah thalaq. Tetapi, jika tidak disertakan dengan niat tidaklah jatuh thalaq.
(f) Hendaklah sesuatu yang dipaksakan itu kalau dibuat boleh melepaskan atau menyelamatkan daripada berlaku apa yang telah diancamkan terhadap orang yang dipaksa.
Maka, tidaklah dianggap paksa jika seseorang mengugut si suami dengan berkata: “Ceraikan isterimu, jika tidak, aku akan membunuh diriku sendiri.” Sebabnya, belum tentu orang yang memaksa itu tidak akan membunuh dirinya sekiranya si suami menuruti kehendaknya dengan melafazkan lafaz cerai.
(g) Hendaklah ancaman itu boleh berlaku serta merta.
Maka tidaklah dikatakan sebagai suatu paksaan jika ancaman itu secara tangguh atau lambat. Kerana yang demikian itu dapat memberikan ruang atau masa bagi orang yang dipaksa untuk meminta pertolongan atau meminta perlindungan kepada pihak tertentu.
Umpamanya, seseorang itu mengugut si suami dengan berkata: “Ceraikan isterimu, jika tidak, kubunuh engkau esok hari.” Dalam keadaan seperti ini, suami tidaklah dianggap sebagai dipaksa.
(h) Janganlah hendaknya orang yang dipaksa itu melakukan apa yang tidak dipaksakan ke atasnya, atau melakukan lebih daripada apa yang dipaksakan, ataupun kurang daripada yang dipaksakan.
Jika dia melakukan sesuatu yang bersalahan dengan ketiga-tiga keadaan yang dipaksakan terhadapnya itu, bermakna dia rela dengan perbuatannya itu dan dia tidak dikatakan sebagai dipaksa.
Umpamanya, jika seseorang itu memaksa si suami untuk menceraikan isterinya dengan lafaz thalaq sharîh (terang) lalu diceraikannya isterinya dengan lafaz kinâyah (sindiran) dan dia berniat, atau dipaksa si suami menceraikan isterinya dengan thalaq satu, lalu diceraikannya dengan thalaq tiga, atau dipaksa suami itu menthalaq isterinya dengan thalaq tiga, lalu diceraikannya dengan thalaq satu, maka dalam hal-hal yang sedemikian itu tidaklah dianggap sebagai paksaan dan dihukumkan jatuh thalaq.
(i) Hendaklah perkara yang dipaksakan itu ditentukan.
Seperti masalah seorang suami yang beristeri lebih daripada seorang, umpamanya salah seorang isterinya bernama Fatimah dan seorang lagi bernama Aminah, maka jika sekiranya si suami dipaksa menthalaq isterinya Fatimah, misalnya dikatakan kepada suami: “Ceraikan isterimu Fatimah”, lalu si suami menceraikan isterinya Fatimah berdasarkan paksaan tersebut, yang demikian itu dianggap sebagai paksaan dan tidak jatuh thalaq.
Adapun jika si suami semasa dipaksa telah diberi pilihan sama ada menceraikan isterinya Fatimah atau isterinya Aminah umpamanya, lalu si suami telah memilih untuk menceraikan isterinya Fatimah. Maka pilihan suami itu boleh menjatuhkan thalaq, walaupun pada mulanya dia dipaksa.
(j) Janganlah hendaknya ancaman atau ugutan itu merupakan hak bagi orang yang memaksa, di mana dengan haknya itu digunakan untuk memperolehi sesuatu yang bukan haknya dan bukan kewajipannya.
Maka, jika orang yang memaksa itu menggunakan haknya untuk mendapat sesuatu yang bukan haknya dan bukan kewajipannya, tidak dikatakan yang demikian itu sebagai paksaan.
Umpamanya dalam kes bunuh, berkata ahli waris orang yang dibunuh kepada pembunuh: “Thalaq isterimu, jika tidak aku akan menuntut qishâsh terhadapmu.” Dalam hal ini tidaklah boleh dikatakan sebagai paksa.
Qishâsh ialah: hukuman balas bunuh iaitu nyawa dibalas dengan nyawa, kecuali jika pihak ahli waris orang yang terbunuh mengampunkan, maka si pembunuh dikenakan membayar diyah (ganti nyawa yang berupa harta benda) dengan sepatutnya.
Kedua: Orang yang dijatuhkan thalaq terhadapnya iaitu isteri.
Isteri yang dithalaq itu hendaklah isteri yang sah, iaitu seorang perempuan yang telah menjadi isteri kepada seorang lelaki melalui perkahwinan/pernikahan yang sah, walaupun isteri tersebut belum disetubuhinya. Begitu juga, termasuk isteri yang sah itu isteri yang masih di dalam ‘iddah raj‘i, kerana thalaq raj‘i itu tidak memutuskan ikatan perkahwinan/pernikahan kecuali setelah selesai ‘iddah.
Adapun isteri yang sudah diceraikan dengan thalaq tiga (thalaq bâ’in kubrâ) tidak jatuh thalaq terhadapnya walaupun dia masih dalam masa ‘iddah, kerana suami hanya berhak menjatuhkan thalaq tidak lebih daripada tiga thalaq.
Manakala isteri yang telah diceraikan dengan thalaq satu atau thalaq dua dan sudah selesai menjalani masa ‘iddahnya (thalaq bâ’in shughrâ) juga tidak jatuh thalaq terhadapnya. Kerana dalam hal ini antara suami dan isteri tiada ada lagi hubungan perkahwinan.
- Apakah pula hukumnya menjatuhkan thalaq terhadap bahagian-bahagian tertentu daripada anggota tubuh badan isteri?
Adapun menjatuhkan thalaq terhadap anggota-anggota tubuh badan isteri yang bersambung, umpamanya suami berkata pada isterinya: “Aku thalaq tanganmu” atau “Aku thalaq kakimu” atau seumpamanya, maka dihukumkan jatuh thalaq dalam hal yang demikian itu, walaupun tanpa niat menjatuhkan thalaq, kerana lafaz begini dianggap lafaz sharîh.
Begitu juga jatuh thalaq jika suami berkata kepada isterinya: “Aku ceraikan satu perempat atau setengah badanmu atau seumpamanya.”
Jika suami berkata kepada isterinya: “Aku thalaq rambutmu atau kukumu”, juga dihukumkan jatuh thalaq. Demikian halnya, suami yang menjatuhkan thalaq dengan melafazkan: “Aku thalaq darahmu”, maka dihukumkan jatuh thalaq.
Manakala menjatuhkan thalaq terhadap benda-benda yang keluar dari tubuh badan isteri seperti air ludah, peluh dan air kencing, umpamanya suami berkata kepada isterinya: “Aku thalaq air ludahmu atau peluhmu atau air kencingmu”, maka dihukumkan tidak jatuh thalaq pada hal yang demikian itu. Begitu juga halnya jika suami menjatuhkan thalaq terhadap air mani dan air susu isterinya, dihukumkan tidak jatuh thalaq.
Ketiga: Isteri masih dalam kekuasaan (wilâyah) suami.
Maka tidaklah sah thalaq, jika perempuan itu bukan isteri atau belum menjadi isteri yang sah. Umpamanya, berkata seorang lelaki kepada seorang perempuan ajnabiyyah (asing): “Jika aku kahwin dengan engkau maka engkau terthalaq”, atau lelaki itu berkata: “Setiap perempuan yang aku kahwini maka terthalaqlah dia”, maka dalam hal yang demikian atau yang seumpamanya dihukumkan tidak sah dan tidak jatuh thalaq tersebut.
Keempat: Diqashadkan thalaq (disengajakan).
Yakni thalaq yang dijatuhkan oleh suami yang dilafazkannya dengan cara sengaja, walaupun tanpa niat, bukan kerana dipaksa atau terkeluar daripada mulut secara terkejut, melatah atau tersasul lidah dan sebagainya.
Maka tidaklah jatuh thalaq bagi guru yang melafazkannya walaupun berulang-ulang kali kerana tujuan mengajar.
- Menjatuhkan thalaq secara bergurau atau bermain-main:
Mengenai dengan menjatuhkan thalaq secara bergurau iaitu suami menjatuhkan thalaq terhadap isterinya secara bergurau, boleh menyebabkan jatuh thalaq. Samalah hukumnya dengan nikah dan rujû‘ yang dilakukan dengan bergurau atau bermain-main, nikah dan rujû‘ itu adalah sah. Ini adalah berdasarkan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tiga perkara yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dianggap bersungguh-sungguh, dan yang dilakukan dengan bergurau (main-main) adalah dianggap juga bersungguh-sungguh, iaitu nikah, thalaq dan rujû‘. (Hadits riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Abu Daud dan Tirmidzi)
Begitu juga sama hukumnya, jika suami bermain-main menjatuhkan thalaq terhadap isterinya yang disangkanya bukan isterinya, seperti isterinya itu berada di tempat yang sangat gelap atau berada di sebelah dinding. Dalam hal ini, sah dan jatuh thalaq suami itu, walaupun dia tersilap bahawa orang yang disebelah dinding itu disangkanya orang lain, tapi sebenarnya isterinya. Kerana thalaq yang dijatuhkannya itu dilafazkannya dengan sengaja dan dengan kehendaknya (tidak dipaksa).
- Tersasul lidah:
Adapun lafaz thalaq yang keluar dengan cara tersasul lidah, seperti suami hendak berkata: “Aku mengelak diriku”, tetapi dia tersasul lidah atau tersalah cakap dengan tidak sengaja, lalu dikatanya: “Aku menthalaq isteriku”, maka hukumnya menurut ulama Syafi‘e tidak jatuh thalaq yang demikian itu kerana tiada qashad (tidak sengaja).
Kelima: Shîghah (lafaz).
Shîghah adalah bermaksud lafaz yang digunakan pada masa bercerai, seperti dalam bahasa Arab menggunakan lafaz “thalaq, firâq atau sarâh” atau dalam bahasa Melayu “cerai”, seperti suami berkata kepada isterinya: “Aku ceraikan engkau” atau “Aku thalaqkan engkau.”
Oleh itu, thalaq tidak jatuh melainkan dengan lafaz-lafaz tersebut, seperti suami berkata kepada isterinya: “Aku thalaqkan engkau dengan thalaq satu”, walaupun tanpa niat. Adapun jika suami berniat menjatuhkan thalaq, tetapi dia tidak melafazkannya, tidaklah jatuh thalaq tersebut.
Thalaq dari segi lafaznya terbahagi kepada dua jenis:
(i) Thalaq sharîh (terang): Iaitu thalaq yang nyata dan jelas tanpa berkehendak kepada niat, seperti berkata suami kepada isterinya: “Aku thalaqkan engkau” atau “Aku ceraikan engkau dengan thalaq satu/dua/tiga.”
Lafaz thalaq sharîh itu ada tiga: Thalaq, firâq dan sarâh. Dalam bahasa Melayu disebut cerai.
Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa thalaq itu boleh jatuh dan sah jika dilafazkan oleh suami kepada isterinya. Keadaan ini tidak ada bezanya sama ada ia dilafazkan di hadapan isterinya, walaupun isterinya itu dalam keadaan tidur atau gila (hilang akal), seperti dilafaznya: “Aku ceraikan engkau dengan thalaq satu”, ataupun di belakang isteri, seperti suami melafazkan thalaq di dalam sebuah bilik sedang isterinya pada masa itu berada di tempat yang lain. Umpamanya, semasa suami itu berada di sebuah bilik dia bercakap seorang diri ataupun bersama orang lain, dan antara lain isi percakapannya itu dia melafazkan perkataan menceraikan isterinya seperti: “Aku menceraikan isteriku dengan thalaq satu”, maka jatuh thalaq walaupun dalam keadaan bermain-main atau bergurau.
Tegasnya, thalaq tetap jatuh jika dilafazkan di hadapan isteri atau di belakang isteri.
Begitu juga, jika seseorang bertanya kepada suami dengan berkata: “Adakah engkau menceraikan isterimu?” Lalu si suami menjawab: “Ya”, maka jatuh thalaq dengan jawapannya itu, walaupun tanpa niat, mengikut pendapat yang al-ashah.
(ii) Thalaq kinâyah (sindiran): Iaitu thalaq yang berkehendak kepada niat, di mana maksud lafaz thalaq tersebut tidak nyata dan boleh diertikan kepada maksud yang lain (bukan thalaq), seperti berkata suami kepada isterinya: “Aku kosongkan engkau” atau “Engkau aku lepaskan pergi balik ke rumah keluargamu” atau “Engkau seperti bangkai” dan lain-lain lagi.
Jika suami itu berniat bahawa apa yang dilafazkan kepada isterinya itu bermaksud thalaq, maka jatuhlah thalaq, tetapi jika lafaz itu tidak diniatkannya sebagai thalaq, maka yang demikian tidaklah jatuh thalaq. Tegasnya, thalaq kinâyah (sindiran) ini jatuh atau tidak jatuhnya adalah bergantung kepada niat suami tadi.
- Thalaq melalui tulisan:
Apakah pula hukumnya menulis lafaz thalaq?
Jika suami menulis di atas kertas atau seumpamanya lafaz sharîh (terang), seperti ditulisnya: “Terthalaqlah isteriku”, dan dia tidak berniat menjatuhkan thalaq, maka dalam hal ini tidaklah jatuh thalaq. Tetapi jika dia berniat menjatuhkan thalaq, jatuhlah thalaqnya.
Adapun jika suami itu menulis dan pada masa yang sama dilafazkannya lafaz thalaq sharîh itu, maka jatuhlah thalaq, walaupun tanpa niat, kerana thalaq itu tetap juga jatuh walaupun tidak ditulisnya, disebabkan oleh lafaz suami melalui lidahnya.
Seorang suami yang menulis surat atau seumpamanya kepada isterinya dan dalam isi surat itu antara lain suami mengatakan: “Jika suratku ini selamat kau terima, terthalaqlah engkau”, dan suami itu berniat bahawa lafaz yang ditulisnya itu bermaksud thalaq, maka jika surat itu sampai kepada isterinya, jatuh thalaq dalam keadaan yang demikian. jika surat itu tidak sampai kepada isterinya disebabkan hilang dalam perjalanan umpamanya, tidaklah jatuh thalaq.
Kalau surat tersebut sampai ke tangan isteri, tetapi tulisan dalam surat itu semuanya hilang atau kabur sehingga tidak dapat dibaca, disebabkan dakwat tulisan itu kembang terkena air umpamanya, tidaklah jatuh thalaqnya.
Demikian juga, jika suami menulis surat atau seumpamanya, antara lain dia memberitahu isterinya: “Jikalau engkau membaca suratku ini terthalaqlah engkau”, dengan berniat bahawa lafaznya itu bermaksud thalaq dan isterinya itu seorang yang pandai membaca, lalu dibaca oleh si isteri tersebut, maka jatuhlah thalaq dalam hal yang demikian. Tetapi jika surat itu dibacakan kepada si isteri oleh orang lain sedangkan dia boleh membaca, tidaklah jatuh thalaq.
Lain halnya jika isteri tersebut tidak pandai membaca, seorang yang buta huruf, kemudian dibacakan kepadanya surat tersebut, jatuh dan sah thalaq itu.
Ini jelas menunjukkan bahawa thalaq melalui tulisan semata-mata itu dikira sebagai thalaq kinâyah (sindiran) dan berkehendak kepada niat. Perlu diingat, dalam hal ini hendaklah dipastikan bahawa tulisan itu adalah tulisan suami yang menjatuhkan thalaq tersebut. Jika tsabit dan dikenal pasti, sama ada melalui syahâdah atau melalui ikrar, bahawa tulisan itu benar tulisan suami tersebut, dan dia mengakui (berikrar) bahawa dia berniat menjatuhkan thalaq, maka sah thalaqnya itu.
- Thalaq melalui isyarat:
Sah dan jatuh juga thalaq orang bisu dengan menggunakan isyarat yang boleh difahami oleh kebanyakan orang, walaupun tanpa niat di mana ia dianggap sebagai thalaq sharîh (terang). Tetapi jika bahasa isyaratnya itu tidak mudah difahami kecuali bagi orang-orang tertentu sahaja, maka tidak sah dan tidak jatuh thalaq melainkan disertakannya dengan niat. Dari itu, thalaq isyaratnya itu dianggap sebagai thalaq kinâyah (sindiran).
Adakah jatuh thalaq orang pandai bercakap tetapi dia menggunakan bahasa isyarat?
Tidak sah dan tidak jatuh thalaq orang yang pandai bercakap tetapi dia menggunakan bahasa isyarat, sungguhpun isyaratnya itu mudah difahami bahawa dia menjatuhkan thalaq kepada isterinya. Contohnya, seorang isteri berkata kepada suaminya: “Ceraikan aku”, lalu suaminya mengisyaratkan dengan tangannya menyuruh dia pergi. Dalam kedudukan ini tidak sah dan tidak jatuh thalaq, sama ada dia berniat menjatuhkan thalaq ataupun tidak.
Tetapi jika suami berkata kepada isterinya: “Aku thalaqkan engkau sebegini” (sambil dia mengisyaratkan bilangan tiga dengan jari tangannya), maka jatuhlah thalaq tiga.
- Thalaq melalui ta‘lîq (bersyarat)
Iaitu thalaq yang bergantung dengan sesuatu perkara atau perbuatan, di mana perkara atau perbuatan itu dilakukan oleh isteri atau oleh suami, seperti suami berkata kepada isterinya: “Jikalau engkau keluar dari rumah ini tanpa kebenaranku, engkau terthalaq” ataupun suami berkata kepada isterinya: “Jikalau aku tidak memberi nafkah kepadamu selama empat puluh hari, maka engkau terthalaq dengan thalaq satu.”
Di dalam kedua-dua contoh di atas atau seumpamanya, jika berlaku mengikut ta‘lîqnya atau mengikut apa yang disyaratkannya, iaitu “keluar dari rumah tanpa kebenaran” (contoh yang pertama), “tidak memberi nafkah selama empat puluh hari” (contoh yang kedua) atau seumpamanya, maka jatuhlah thalaqnya dengan syarat yang tertentu itu.
Menurut mazhab Syafi‘e, bahawa sah menjatuhkan thalaq dengan cara ta‘lîq (bersyarat), selama mana syaratnya itu bukan suatu perkara yang mustahil berlaku.
Maknanya, syaratnya itu adalah sesuatu yang harus berlaku, sama ada syaratnya itu diketahui boleh berlaku, seperti terbit matahari, tiba bulan hadapan dan seumpamanya. Ataupun syaratnya itu merupakan perkara yang berkemungkinan boleh berlaku, seperti keluar rumah, tidak memberi nafkah, meninggalkan isteri dan sebagainya.
Contohnya bagi “syarat yang diketahui boleh berlaku”, seperti suami berkata kepada isterinya: “Kamu terthalaq apabila matahari terbit pada esok pagi.” Dalam hal ini tercerailah isteri sebaik sahaja terbit matahari pada esoknya.
Manakala contoh bagi “syarat yang berkemungkinan boleh berlaku”, seperti suami berkata kepada isterinya: “Kalau engkau keluar dari rumah tanpa izinku maka tercerailah kamu.” Dengan itu tercerailah isteri sebaik sahaja dia keluar dari rumah tanpa izin suaminya, tetapi tidak jatuh thalaq jika si isteri keluar rumah dengan kebenaran suaminya.
Perlu diingat, bahawa ta‘lîq thalaq yang dilafazkan, menurut mazhab Syafi‘e, tidak boleh ditarik balik sama seperti thalaq itu sendiri, tidak boleh ditarik balik setelah dilafazkan.
Ini memberi erti bahawa ta‘lîq thalaq dan thalaq itu sendiri adalah perkara yang sama. Yang pertama (ta‘lîq thalaq) tergantung kepada apa yang disyaratkan (tertakluk kepada syarat) dan yang kedua (thalaq) berlaku secara langsung.
- Berta‘lîq dengan perkataan ‘insya Allah’
Kalimat ‘insya Allah’ yang bererti: “Jika dikehendaki Allah”, apabila ia dijadikan sebagai ta‘lîq dalam menjatuhkan thalaq, seperti suami berkata kepada isterinya: “Aku ceraikan engkau insya Allah”, maka dihukumkan tidak jatuh thalaq, kerana ta‘lîq atau syarat ‘insya Allah’ itu adalah merupakan suatu perkara yang tidak diketahui akan berlakunya dan tiada diketahui oleh sesiapapun akan kehendak Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu.
Akan tetapi jika perkataan “insya Allah” itu tidak dimaksudkannya sebagai ta‘lîq, bahkan dia menyebutnya hanya kerana tersasul atau seumpamanya, maka jatuh thalaq dalam hal yang seumpama ini.
- Menyerahkan kuasa menthalaq (tafwîdh al-thalâq)
Menurut hukum syara‘, seorang suami harus (boleh) menyerahkan thalaq kepada isterinya, dan jatuhlah thalaqnya itu dengan syarat isteri tadi menthalaq dirinya dengan segera tanpa putus di antara îjâb dan qabûl, kerana qabûl isteri itu adalah menjadi syarat jatuh thalaq tersebut.
Umpamanya, suami berkata kepada isterinya: “Thalaqlah dirimu dengan satu thalaq.” Setelah habis saja suami berkata, terus serta merta dengan segera isteri tadi menthalaq dirinya dengan berkata: “Aku thalaq diriku dengan satu thalaq.”
Jika suami berkata kepada isterinya: “Thalaqlah dirimu dengan thalaq tiga”, lalu isterinya berkata: “Aku thalaq diriku dengan satu thalaq”, ataupun suami berkata: “Thalaqlah dirimu dengan satu thalaq”, lalu isterinya berkata: “Aku thalaq diriku dengan tiga thalaq”, maka dihukumkan jatuh thalaq satu sahaja.
Walau bagaimanapun harus bagi suami menarik balik perkataannya sebelum sempat isteri menthalaq dirinya.
Kesimpulan
Jadinya, perihal menjatuhkan thalaq ini ada hukum-hukumnya yang tertentu mengikut sesuatu keadaan. Berdasarkan penerangan dan contoh-contoh di atas, nyatalah perkara thalaq itu bukanlah sesuatu yang boleh dipermain-mainkan, kerana dari perkara yang dipermainkan itu boleh menjadi sungguh-sungguh yang tidak boleh ditarik balik.
Oleh itu umat Islam hendaklah berhati-hati dalam semua perkara yang berkaitan dengan thalaq itu. Jangan dipermudahkan, kerana dalam bergurau senda atau bermain-main pun thalaq tetap sah atau tetap jatuh dan tidak boleh ditarik balik. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata apakan daya. Kesan thalaq itu sangat mempengaruhi diri, keluarga dan masyarakat. Hindarkan diri dari perkara-perkara negatif dengan kata-kata yang tidak berguna.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6359
